Belum lama ini, saya mengunjungi bekas mahaguru saya, Bapak Riyono Pratikto (gambar kiri) di kediamannya di Jalan Sosiologi, Kompleks perumahan Dosen UNPAD, di daerah Dago Utara. Beliau adalah dosen untuk kuliah Scientific writing yang wajib saya ambil pada semester 7 dan 8, tahun 1979. Beliau lebih senang dipanggil Pak Riyono saja. Gempal orangnya dan tidak banyak bicara. Sentiasa senyum dan perawakannya amat menyenangkan. Bicaranya lembut dan ketika memberikan kuliah, beliau bicara santai seperti layaknya seorang pembicara ilmu komunikasi. Sememangpun beliau adalah daripada jurusan ilmu publisistik, dengan bidangnya jurnalistik.
Tutur katanya teratur dan jelas. Amat mudah kita memahaminya. Beliau terharu dikunjungi di rumahnya. Berdasarkan cerita burung beliau dikatakan kurang senang kalau ada mahasiswa yang mengunjungi ke rumahnya tanpa terlebih dahulu membuat temu janji. Namun apabila berdepan dengannya saya melihat semua rasa tidak senangnya itu tidak pula dijelmakan, pada hal saya mengunjunginya ketika itu tanpa temu janji. Alasan saya tidak menghubunginya terlebih awal kerana saya ada seperti yang saya katakan kepadanya “kasus darurat.”
Beliau bertanya khabar tentang bekas-bekas mahaiswanya seperti Sulaiman Muhamad, Supian Mat, Razali Aziz, Ismail Hamzah dan Yunus Mohd Amin. Terus terang sahaja saya katakan bahawa saya jarang menemui mereka walaupun ketika saya pulang bercuti di Kuala Lumpur.
Lahir pada 27 Ogos 1932 di Tegal, Jawa Tengah, Pak Riyono adalah juga seorang sasterawan Indonesia dan menulis sejak di bangku sekolah lagi. Genre cerpen adalah bidangnya dan beliau banyak menghasilkan karya dalam tahun-tahun 1952-56. Beliau terbawa-bawa dengan gaya dan imagini sasterawan tersohor Idrus. Beliau telah menghasilkan beberapa buah antologi termasuk Api dan beberapa Cerita Pendek Lain (1951), Si Rangka dan beberapa cerpen Lain (1958), Wira Muda Dari Ambarawa dan General (tarikh tidak dapat dikesan).
Dalam bidang akademik, beliau menghasilkan buku Kreatif Menulis Feature dan Berbagai Aspek Ilmu Komunikasi. Walaupun beliau masih aktif menulis beliau terus memberi kuliah dalam bidang komunikasi. Beliau pernah mengandaikan betapa amannya manusia dan damainya dunia jika manusia itu sebagai makhluk Tuhan dapat memahami hati nurasni sesesama mereka”. Inilah juga andaian yang diluahkan Pak Riyono sejak dulu lagi, katanya. Malah saya sendiri pertama kali mendengar luahan rasa hatinya sejak mula mengenali beliau pada hari pertama saya mengikuti kuliahnya.
Pak Riyono pasti semua masalah manusia berkait erat dengan masalah komunikasi. Baginya komunikasi adalah segala-galanya. Kemelut dunia hari ini berpunca daripada angkara manusia yang gagal berkomunikasi. Mereka berinteraksi tetapi tidak berkomunikasi. Mereka berbicara dan mereka berpandangan tetapi mereka tidak berkomunikasi, sehingga memungkinkan timbulnya gejolak rasa yang negatif. Manusia pun saling berbunuhan, saling bermusuhan, saling memfitnah dan saling berperang,” katanya.
Pak Riyono yakin pada suatu hari nanti akan wujud suatu sistem komunikasi bentuk telepati yang boleh memindahkan apa yang difikirkan seseorang kepada seorang yang lain. Ketika itu manusia akan lebih memahami apa yang ingin disampaikan sesama sendiri. Pada waktu itu nanti manusia tidak perlu lagi berkata-kata atau menggunakan bahasa atau bahasa isyarat. Cukuplah manusia berada pada situasi pandang-memandang atau fikir-memikir. “Bayangkan waktu itu, dunia dan manusianya tidak lagi seperti apa yang berlaku pada hari ini, tidak saling berbunuhan, bermusuhan atau saling –memfitnah,” ujar Pak Riyono lagi.
Dalam pertemuan ini Pak Riyono bagaikan memberi kuliah kepada mahasiswanya. Begitu bersemangat beliau dan itulah pendiriannya. Beliau seperti mahu menyampaikan pesan kepada dunia: “berhentilah daaripada berperang, bermusuhan dan bersengketa.” Namun renungan matanya yang kadang-kadang di kejauhan seperti memberi isyarat bahawa beliau makhluk lemah dan hanya manusia biasa. Cuma barangkali apa yang tersirat daaripada keinginannya itu tidak sukar diteka.
Khabarnya Pak Riyono kurang disenangi oleh Pemerintah waktu itu. Beliau dikatakan terlibat dalam kegiatan Lekra (Lembaga Kebudayaan Rakyat) yang dianggap pro-komunis. Beliau sentiasa menafikan dakwaan tak berasas itu. Menurutnya terdapat salah pengertian yang berpunca daripada kegiatannya sebagai seorang sasterawan di zaman Lekra yang pada saat itu pengaruh Lekra begitu meluas. Malah dalam tempoh itu beliau menghasilkan banyak karya seperti halnya sasterawan-sasterawan lain yang sedang “gila berkarya”. Beliau malah terpaksa mencari wadah untuk menampung hasil karyanya, tidak kiralah sama ada tempat penampungan itu yang pro-komunis atau sebaliknya. Itulah katanya yang menjadi realiti keadaan dan situasi ketika itu.
Sebagai contoh banyak hasil karyanya disiarkan dalam majalah Zaman Baru dan akhbar harian Kebudayaan Baru, kedua-duanya milik Lekra. Oleh kerana beliau menulis kepada majalah dan harian seumpama itu . maka beliau dianggap salah seorang pengarang Lekra seperti halnya Pramoedya Ananta Toer dan S. Rukiah.
“ Saya tidak punya pilihan kecuali menyiarkan karya saya melalui media berkenaan. Sama ada ia milik Lekra atau bukan bukan persoalan atau tidak menjadi persoalan. Maka saya tidak hairan jika saya dianggap orang Lekra kerana pasti orang tidak memahami hati nurasi saya dan tidak dapat memahami apa yaang saya fikirkan, katanya.
Menurutnya, jika masalah komunikasi sekecil peribadi itu tidak dapat diatasi maka apatah lagi masalah komunikasi yang global sifatnya. Saya pasti maksudnya. Contohnya permusuhan Palestin-Israel adalah hasil bibit-bibit pergolakan akibat salah faham yang terus tumbuh dan sehingga menjadi kronik sekarang ini. Akibat salah fahamitu juga timbulnya rasa rakus dan gila kuasa antara manusia dengan manusia.
Mengingatkan kata-kata itu maka tidak ada siapa yang akan berasa hairan “ manusia akan terus bersengketa dan bermusuhan, malah terus menreus berbunuhan. Konflik akan menjadi-jadi antara manca negara sampai dunia lebuh menjadi debu,” kata Pak Riyono. “ Jika orang enggan berkomunikasi melalui akal dan fikiran tetapi diseret oleh hati dan perasaan, inilah akibatnya.”
Saya mohon diri setelah hampir tiga jam bersamanya. Beliau begitu apologetik dan mesra. Barangkali beliau mengetahui bahawa saya juga sebenarnya seperti beliau yang meminati bidang kesusasteraan. (Ini berupa catatan memori saya pada tahun 1979 di Universitas Negeri Padjadjaran Bandung. Catatan ini kemudian dijadikan sumber rencana untuk koleksi artikel yang termuat dalam buku Sembang Sastera Bersama Orang Persuratan yang diterbitkan oleh Penerbit Fajar Bakti, Shah Alam, tahun 1998)
No comments:
Post a Comment