17 August 2011

Berkampung Di Tanah Kelahiran Seniwati Maria Menado dan Normadiah



 Abd. Rahim Aman, perantara Jejak Bahasa di Menado. Rahim adalah alumni Universitas Hasanuddin di   Makasar, Sulawesi Selatan.



BERKAMPUNG DI TANAH KELAHIRAN NORMADIAH, MARIA MENADO 
Oleh A.F.Yassin     
Berita kematian bintang filem Normadiah beberapa ketika yang lalu masih membekas dalam hati ketika pertama kali saya menjejakkan kaki di tanah kelahirannya di Menado.  Begitu juga dengan nama bintang filem kawakan tahun 50an dan 60an, Maria Menado. Saya dan hampir seluruh sebelas anggota rombongan Jejak Bahasa DBP-TV3 begitu ghairah untuk melihat suasana dan keadaan sekitarnya, terutama Kota Menado, yang terletak di hujung utara Pulau Sulawesi.

Bagi Abd. Rahim Aman, Penyelidik untuk Daerah Sulawesi dan Pensyarah UKM, kedatangan ke Menado seperti “balik kampung” sahaja sebabnya mertuanya orang Gurintalo tetapi menetap di Minado.  Maka tidak hairanlah dia tenang sahaja sepanjang penerbangan dari Makassar ke Menado. Lagu Oinani kiki nyanyian Aniki Karunluh tahun 60-an dan dinyanyikan semula oleh penyanyi remaja sensasi Sulawesi Utara, Nova Sandukh untuk rakaman penggambaran Jejak Bahasa di Pantai Menado mengasyikkan.

Walaupun tidak sebaik penampilan suaranya berbanding Aniki Karunluh namun suara Nova Sandukh cukup untuk mengembalikan ingatan kami kepada penyanyi Aniki Karunluh yang kini khabarnya menetap di Belanda.  Menurut pemandu Jejak Bahasa di Menado, Bety Polo seorang Pegawai Wanita dari Pejabat Gabenor Sulawesi Utara, lagu Oinani Kiki adalah lagu simpati seorang anak yang ingin membeli rumah tetapi tidak punya wang.

Bety Menterjemahkan bait-bait lagu itu ke dalam bahasa Melayu antara lain: Oh anak ku tersayang/mahu pergi ke Minado/ingin membeli rumah / tolong berikan wang / kerana saya tidak punya apa-apa / asalkan ikhlas.  Suara Nova serak-serak basah dan penyanyi keturunan Minahasa dan anak saudara pula kepada Gabenor Sulawesi Utara itu popular dengan tiga album solonya, dua daripadanya berjudul “satu .Kadira (kerusi) tiga orang” dan “kita rela berkorban” Nova baru berusia 17 tahun tetapi berstatus “janda anak satu”.  Katanya, “saya kahwin muda eihoo!

Dari atas bukit Tomahon Kota Minado kelihatan memenuhi pinggiran sebuah teluk.  Pulau Menado tua berbalam seperti mengepungi perairan teluk sehingga Menado bagaikan teluk di pinggiran sebuah tasik.  Kotanya tidaklah besar, tetapi di sana sini gereja menjadi unsur terpenting.  Adalah sebuah dua masjid besar, termasuk masjid raya yang sedang dibangunkan.

Menurut Bety, terdapat hanya 10% penduduk beragama Islam di kota ini, tetapi 42% daripada hampir tiga juta penduduk provinsi Sulawesi Utara, beragama Islam.  Kebanyakannya tinggal di Guruntalo yang akan menjadi sebuah provinsi dalam waktu terdekat ini.

Ertinya Guruntalo akan menjadi provinsi yang hampir seluruh penduduknya beragama Islam.  Barangkali pemisahan Guruntalo daripada Sulawesi Utara didasarkan kepada kelompok etnik dan keagamaan. Salah satu yang menarik di Minado ialah intonasi dan sebutan penutur bahara Indonesia/Melayu.  Ramainya yang berkata bahawa orang Menado bercakap dalam bahasa Melayu Menado.   Jarang kami dengar penduduk tempatan menyatakan mereka berbahasa Indonesia.  Kata seorang peniaga ikan di pasar Pililangan ”kami bercakap dalam bahasa Melayu dialek Minado” soalnya apakah ada dialek Minado dan apakah memang rasminya mereka bercakap dalam apa yang dikatakan mereka “Melayu Menado?”

Jejak Bahasa mendapatkan pandangan Profesor Doktor Haji Hongo Tajuddin Yusof, Ketua Pejabat Bahasa Menado merangkap Profesor di Institut Keguruan Ilmu Pendidikan (IKIP) Menado.  Kata Profesor Yusof bahasa Melayu itu rasminya bahasa Indonesia dan di Menado bahasa itu dituturkan melalui berbagai-bagai dialek seperti dialek Menado sendiri, dialek Guruntalo atau dialek Minahasa. Sementara itu setiap dialek itu mengandungi idioleknya pula semacam bunyi sebutan atau intonasi. “Yang kita dengar mereka bicara itu adalah tutur kata mereka berdasarkan idiolek itu’, katanya.

Tutur kata orang di Menado cepat dan pantas.  “Kita perlu dengar baik-baik kalau mahu mengerti dan banyak perkataan dalam bahasa tempatan berasal daripada bahasa Melayu. Kata Bety.  Hal ini diakui oleh Profesor Yusof sendiri.  Menurutnya di Sulawesi Utara penduduknya memahami tiga bahasa, baik bahasa ibunda mereka sendiri, bahasa Melayu Menado dan bahasa Indonesia’. Menurut Profesor Yusof bahasa ibunda mereka terdiri daripada misalnya bahasa Minahasa untuk etnik Minahasa bahasa Guruntalo untuk etnik yang hampir semuanya  beragama Islam atau bahasa etnik lainnya.  Bahasa-bahasa etnik ini berbeza sekali antara satu dengan yang lain.  Perbezaan sama seperti perbezaan antara bahasa jawa dengan bahasa Melayu atau bahasa sunda.

“Bagaimanapun, semua etnik itu tahu berbahasa Melayu Menado dan berbahasa Indonesia.  Kedua-dua bahasa Melayu Menado ini pula berbeza dengan bahasa Indonesia, ”kata Profesor Yusof.  Kami difahamkan bahasa-bahasa Melayu minado itu berasal dari bahasa Melayu Riau. Cuma bahasa itu mengalami proses sosiolisasi dan membaur dengan bahasa ibunda.  Kata Bety,”Bahasa Indonesia pula, ya sepertinya yang ada sekarang.  Banyak perkataan telah dijawakan”.

Bety Polo beragama Kristian Protestan. Tapi tunggu dulu, katanya. “Walaupun saya beragama Kristian keharmonian hubungan antara agama amat rukun.  Kami seperti berkeluarga.  Di sini perkahwinan antara agama sudah lazim.Misalnya, ada keluarga yang isteri Islam, suami Kristian dan anak-anak dipersilakan untuk memilih, apakah mahu masuk Islam agama ibunya atau Kristian, agama ayahnya.  Itukan rukun namanya” ketua Komiti penyambut, David Babiho, beragama Islam, walaupun namanya bukan Daud.  Lebih menarik ialah nama salah seorang pemain gitar kumpulan muzik yang mengiringi nyanyian Nova Sandukh. namanya Jefri bin Jaafar.  Pengacara TVRI, Menado yang turut menganggotai komiti penyambut, bernama Drs. Uthkan Diman.  Bunyi macam beragama Islam tetapi dia kristian.

Othman Ismail, Ketua Projek Jejak Bahasa dan saya berpandangan ketika Bety menjelaskan dalam mesyuarat malam pertama bersama Jawatankuasa Penyambut Jejak Bahasa di Menado. Yang membuatkan kami saling berpandangan lagi ialah apabila orang Islam dan orang Kristian saling bersapa-sapaan dengan ucapan Assalamualaikum dan selom sekali gus” atau seorang beragama Hindu dengan seorang beragama Islam memberi salam dan “Om Swastiastu” sekali gus.  Bety Polo yang Protastan setiap kali menyapa kami dengan assalamualaikum” terlebih dahulu.  Inilah rukun hidup orang Minado.

Beberapa hari bersama hos rombongan dan menjelajahi Menado dan daerah sekitarnya menyaksikan keharmonian sebuah kota kecil yang seperti tidak mengenali erti demontrasi dan tunjuk rasa yang sedang hangat-hangatnya di Jakarta.  Kata David, “di sini semua tenang-tenang sahaja”.Saya fikir rukun agama yang sudah menjadi adat kebiasaan di Menado memperkuat hubungan silaturahim antara sesama kita.  Saudara perlu memahami konsep hidup kami di Menado ialah kerukunan dan lambang kami di kota ini ialah Menado kota  nyiur melambai”

Menado kota nyiur melambai! sungguh Menado dipenuhi pohon kelapa.  Di sana sini di tengah-tengah kota pohon kelapa ditanam orang.  Apabila ditiup angin dari laut atau dari gunung daunnya meliang liuk terkena tiupan bagaikan ia sedang melambai pengunjung dari lautan atau dari daratan.  “Kami gunakan kata nyiur bukan kelapa.  Itu adalah pengaruh bahasa Melayu.  Bahasa Indonesia kelapa”, kata seorang anggota komiti penyambut. Kami dibawa kekaki sebuah gunung berapi.  Masih terdapat asap dan sesekali api yang menyala.  Seluruh lereng di sebelah selatannya berwarna hitam dan dibahagian depannya kekuningan. 

“Saudara boleh tafsirkan sendiri maka daripada warna-warna itu”, kata  ..........yang memandu kami ke tempat itu.  Gunung ini adalah salah satu daripada dua gunung berapi yang mengapit kota Menado dari selatan dan utara yang menurut pemandu kami masih hidup dan aktif. Tidak jauh daripada tempat kami melihat kota Menado “yang saujana mata memandang” ada sebuah tanah perkuburan orang Minahasa yang dinamakan wali  waroga dalam bahasa Minahasa wali bererti rumah dan waroga badan yang hancur luluh dalam batu.

Terdapat puluhan kubur orang Minahasa dulu-dulu yang batu nisan mengandungi mayat.  Ertinya orang Minahasa suatu ketika dulu menanam mayat di dalam batu yang kemudian ditegakkan sebagai nisan. Ertinya lagi, dalam batu nisan tersimpan mayat yang ditanam secara duduk berpeluk tubuh, lengkap dengan ruang kepala di bahagian atas batu, bukan dalam tanah seperti lazimnya orang menanam mayat. Menurut penjaga kubur, Ulca, wanita berusia 33 tahun beranak empat, batu-batu itu dipindahkan dari berbagai-bagai tempat di seluruh daerah Minahasa.  “Yang ada masih puluhan.  Ada 2,000 lagi yang akan dipindahkan ke sini”, kata Ulca
Dia begitu pintar bicara dalam bahasa Indonesia.  Dia menjelaskan beberapa perbezaan dalam ukiran dan bentuk batu nisan bermayat itu.  Batu tanpa tulisan atau gambar menunjukkan ia telah berusia ribuan tahun. Yang berukirkan kelasi. Portugis menunjukkan batu nisan itu berisikan mayat orang Portugis sementara batu nisan berukirkan mahkota di bahagian atasnya menunjukkan ia berisikan mayat orang Belanda.  Batu yang bertuliskan bahasa minahasa berisikan mayat orang Minahasa. Kuburan ini menarik kerana mayat semua agama ditanamkan di satu tempat, terutama Islam dan Kristian.  Nyatanya tanah perkuburan turut  “hidup rukun”! di Menado. (Dipetik daripada akhbar Utusan Zaman, 28 Januari 2001).

1 comment:

  1. Tuan,

    Artikal ini sangat menarik walaupun saya berpeluang membacanya selepas lebih 10 tahun.

    Mungkin tuan sengaja tidak 'taip' catatan mengenai gadis Menado. Secantik Maria Menado kah mereka.

    Saya simpan dalam 'Bookmarks'artikal ini.T.Kasih.

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

What Other People Say...


"A.F.Yassin dalam cerpennya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).