Tim TV3 sedang "shooting" Jejak Bahasa di tapak Istana Damnah di Daik-Lingga.
Sekembalinya dari ekspedisi Jejak Bahasa di Sumatera, Jakarta dan Bandung, hari kedua puasa, terlihat satu mesej di atas meja. Mesej itu dari Saleh Daud, Bendahari Gapena. Pendek saja bunyinya: Buku dah siap. Datanglah ambil - Saleh (ejaan rumi Saleh dengan satu L). Ketika mengunjungi rumah Gapena beberapa hari kemudian, orang yang memberi mesej tidak ada. Yang ada cuma penghuni tetap, Zul. Dia menyerahkan dua naskhah. Saya minta dua naskhah kerana ada dua orang yang menyumbang karya. Saya sendiri dan isteri, Rubiyah.
Tajuk buku "Daik, Bonda Tanah Melayu" segera mengingatkan saya kepada kunjungan budaya ke Lingga, 4-8 Julai 1999 yang lalu. Seperti baru semalam rombongan Gapena berkunjung ke sana. Malah ketika saya mengikuti ekspedisi Jejak Bahasa DBP-TV3 Oktober lalu, dan menyelusuri sungai Resun dari jeti Panchor-Pakaka, saya seperti berada dalam bot pompom yang sedang mudik. Kenangan meruntun-runtun datang dan mahu rasanya saya menghubungi rakan-rakan penulis yang ikut serta dalam rombongan Kembara Budaya Gapena itu.
Bonda Tanah Melayu itulah Daik. Dan Daik Bonda Tanah Melayu adalah tajuk buku yang diselenggarakan Rejab F.I. salah seorang peserta kembara budaya 1999 itu. Kepadanya telah diserahkan tugas mencari bahan dan menyusunnya dalam bentuk buku. Bahan boleh berupa apa sahaja, asal ia jenis ciptasastera, baik kreatif mahupun bukan kreatif. Rejab memerlukan hampir 15 bulan untuk mengumpul dan menerbitkan buku "Daik Bonda Tanah Melayu" ini. Kegigihan Rejab patut dipuji, terutama dalam usahanya mendapatkan hasil karya kawan-kawan penulis yang umumnya bersikap bagaikan liat-liat daging setengah masak.
Daik, Bonda Tanah Melayu (tebalnya 346 halaman) mengandungi pelbagai genre sastera yang terdiri daripada makalah, sajak, cerpen dan pantun syair. Juga dikepilkan gambar-gambar tentang kembara budaya di pulau yang dianggap budayawan Riau, Raja Hamzah Yunus sebagai mutiara bahasa melayu dari sudut kebahasaan. Ada 21 buah makalah, lima cerpen, 45 sajak dan sebelas pantun serta syair. Seramai 44 penulis - baru dan mapan - memberikan sumbangan. Penulis seperti Affrini Adham menyumbang dalam tiga genre, makalah, sajak dan pantun. Ada yang menyumbang dalam dua kategori seperti Rejab sendiri, Sabar Bohari dan Ahmad Jamaan.
Rejab dalam "prakata" memberi rasional kepada penerbitan buku ini. Menurutnya, ketika berbincang di Daik ada peserta yang menyelar Gapena yang bergiat dengan langsung "tidak menghasilkan apa-apa, maksudnya himpunan karya-karya yang perlu diterbitkan." Rejab rasa tercabar dengan selaran peserta itu yang kebetulan bukan dari anggota rombongan Gapena. Rejab pun berunding dengan pucuk pimpinan Gapena, khususnya Tan Sri Ismail Hussein, Ketua Satu, dan menyatakan kesediaannya untuk mengumpulkan bahan dan seterusnya menerbitkannya sebagai "satu amanah".
Kata Rejab, "Saya berusaha menghubungi setiap peserta Malaysia, sejumlah 77 orang yang terdiri daripada berbagai latar kehidupan dan peserta dari Riau melalui Dr. Yusmar Yusuf, Kepala Pusat Pengajian Bahasa dan Kebudayaan Melayu, universiti Riau." Rejab berhasil mendapatkan pelbagai karya dan dimuat dalam buku ini tanpa saringan dan penyuntingsn. Kata Rejab pemuatan cara begini bermaksud memberi kesempatan kepada para peserta "yang berusaha menghasilkan tulisan untuk diabadikan."
Dengan kata lain estetika karya tidak dinilai. Setiap karya yang dikirim dimuatkan. Yang penting bagi perkiraan Rejab ialah rakaman pengalaman penulis dalam bentuk apa jua pun untuk diabadikan. Malah pada sesetangah karya, diabadikan, "misalnya keajaiban bumi yang bernama Daik dengan gunungnya bercabang tiga, patah satu tinggal dua."
Penulis Evy R. Syamsir dari Riau melakar bumi Daik Lingga sebagai sebahagian daripada sejarah Melayu yang dilupakan. Katanya, Daik Lingga baginya adalah saksi sebuah kebesaran Melayu, yang kini hanyalah sebuah ibukota kecamatan Lingga, kabupaten kepulauan Riau yang jarang disebut-sebut orang. Katanya, "bahkan di sana tidak satu pun ada kemudahan umum untuk menunjangi kunjungan pendatang ke bekas kerajaan Melayu Riau Lingga itu."
Yusmar Yusuf menilai Daik Lingga dikenal sebagai sebuah negeri yang bertamadun tinggi, memiliki taji sejarah yang tajam dan panjang serta penuturan bahasa yang halus, yang merupakan benteng lidah Melayu sekaligus benteng tamadum. Namun keluhnya, "apa yang terjadi sekarang Daik ibarat amnesia sejarah kerana kita tidak pernah berniat sungguh-sungguh membangun Daik sehingga masyarakat di sana berada dalam garis kemiskinan."
Apapun jua, Syamsir menilai keindahan alam Pulau Lingga, kekayaan sejarah dan budaya yang dimilikinya serta prestasinya di masa lalu "sebagai kerajaan Melayu Riau Lingga, pantaslahia disebut bonda Tanah Melayu. Siapa pun yang singgah ke Pulau Lingga akan berdecak kagum melihat indahnya panorama alam Gunung Daik (Gunung tertinggi di Riau, 1,200 meter) yang puncaknya bercabang tiga, perairan lautnya yang biru serta pemandangan laguna (danau tasik tepi laut) yang berhias rumpun bakau. Belum lagi kekhasan budaya Melayu masyarakat tempatan dan rimbunya pohon yang telah berumur ratusan tahun."
Inilah rakaman saksi mata tentang latar keindahan Lingga bersama Daiknya yang memukau. Latar keindahan itu menjadi objek mainan kata-kata sang penyair, lebih-lebih lagi dari Malaysia. Terlupa seketika akan nasib malang pulau itu di tengah-tengah kancah perekonomian bangsanya. Yang punya ilham mencipta akan mengungkaikan kata lunak yang kadang-kadang sinis menempelak yang ditujukan kepada pulau yang menyajikan keindahan semula jadi yang serba adanya.
Penyair Hashim Ismail, misalnya bermadah melalui "Daik, Bondaku". Melalui mata hatinya Hashim menulis, "Daik, bermula aku memijak tanahmu dapat kurenungkan kusut masai wajahmu/ Dapat kurasakan betapa erat peluk ciummu/ Membuatkan kita remuk redam/ Sebak dek debaran pertemuan/ Setelah sekian lama berjauhan…Kita tinggalkan dia kelemasan/Tenggelam dihanyut kegelapan zaman/Hilang haluan/hilang di perantauan.
Rahimidin Zahari, penayir muda dari Kuantan yang sedang "naik" menyumbang dua sajak berjudul "Beberapa Percakapan Di Tanjung Pinang" dan "Aku Di Kampung Masa Lampau". Dengarkan suara hati Rahimidin ketika "aku di kampung masa lampau/Mengapung jiwa di permukaan sungai/Yang jernih oleh rimbun pohon/aku menyelam ke dasar/batu-batu sejuk yang dingin/sambil bersalaman/dengan anak-anak ikan/yang jinak".
Rahimidin begitu nostalgik dan rindukan tamadun silam apabila melihat suasana kontras Daik dulu dan sekarang. Dia menghimbau "Anak-anak SD (sekolah dasar = rendah) yang manis, ibu/dan kakek yang menyapa/di sepanjang jalan -- menyalami kami/dengan suara emas bahasa dan /jalinan cermat adat yang tepu/bersukat." Lalu Rahimidin berhiba di jeti Sungai Resun sambil "kukesat mataku yang gerimis".
Yang menarik ialah suara rasa Sabar Bohari dengan nukilan tiga puisinya. "Wajahmu wajahku jua" seperti sebuah pengakuan dari dalam diri Sabar bahawa Melayu di Daik adalah "tulen/adalah sejati/mencengkam erat/tiada goyah oleh masa/tiada goyah oleh keadaan/bahasanya masih segar/masih utuh/diuji zaman/diuji gelombang." Lalu Sabar pun menyatu dalam keikhlasan cintanya terhadap Daik. Katanya, "Melayumu, Melayuku/akrab bersatu/mempamerkan keunggulan/ia akan menjadi saksi/satu bangsa/satu bahasa/Daik Lingga/wajahmu adalah wajahku jua."
Siapa pun tidak menduga bahawa pulau Lingga Daik yang jauhnya kira-kira 100 km dari Tanjung Pinang, malah lebih jauh dari Tanah Semenanjung begitu dekat dengan jiwa setiap peserta rombongan. Ada suatu daya tarikan yang menjadi pulau bersejarah itu dipuisikkan dengan "begitu syahdu". Seolah-olah ia tidak pernah lekang dan sirna dari hati para penulis Malaysia.
Malah lebih mengharukan ketika meneliti bait-bait syarir dan pantun yang dimuatkan, hasil nukilan sebelas penulis baru dan lama. Sebuah pantun berkait paling panjang mengandungi 33 rangkap bercerita tentang Pulau Daik sendiri. Pantun karya Yusof Bakar ini pantun nasihat tentang tingkah laku. Sekali baca ia seperti membawa tema "Gurindam 12" syair agung Raja Ali Haji itu. Namun terselit juga rangkap-rangkap yang bercerita tentang Daik, tentang Pulau pandan dan alam flora dan fauna sekitarnya.
Dalam satu rangkapnya Yusof seperti bertanya, "Dimasak oleh gadis Melayu/harganya mahal tiada ditanya/Daik bonda Tanah melayu/ Kemajuannya terpinggir di mana silapnya?" Manakala peserta Saleh Ali bagaikan jatuh cinta dengan tanah Daik apabila dia mencipta rangkap pantunnya, "Dua tiga kucing berlari/manakan sama si kucing belang/ dua tiga boleh kucari/ manakan sama puteri Daik seorang." Khabarnya Saleh berkunjung lagi beberapa kali ke Daik setelah Kembara Budaya Gapena. Khabarnya juga dia banyak membantu membina sebuah kelong dan sebuah sekolah agama di pulau itu.
Dalam ulasannya Ismail Hussein menganggap hasil karya dalam buku ini adalah "suara hati dan suara bicara para peserta - amat berguna untuk kajian dan penyelidikan tentang Daik dan Pulau Lingga yang suatu ketika dahulu menjadi pusat pemerintahan Melayu serumpun." Kata Ismail lagi "peserta merakamkan segala aspek yang mereka perolehi sama ada secara spontan, menemuramah penduduk Daik, penyelidikan daripada bahan-bahan sejarah atau dari hasil inspirasi mereka sendiri menghasilkan karya-karya kreatif cerpen dan puisi." Ismail dan Gapena terhutang budi dengan Malaysian Ensaiklopedia Research Centre Berhad pimpinan Haji Hassan Hamzah yang sudi menaja penerbitan antologi empat genre ini. Jarang amat kita melihat dan membaca sebuah buku berisikan pelbagai genre sastera sekaligus. Penajaan oleh sebuah pusat penyelidikan ini bagaikan menyahut cabaran seorang peserta Perkampungan Penulis Melayu Serumpun dahulu itu.
Mahunya usaha murni ini dapat diteruskan dengan kelahiran lebih banyak buku seumpama ini dan setiap kali Gapena "berkabilah" ke sesuatu lokasi Melayu. Cuma barangkali antologi seperti Daik Bonda Tanah Melayu ini sebaiknya disusun tanpa mengesampingkan nilai estetika yang diperlukan dalam sesebuah hasil karya.
A.F.Yassin
19 Disember 2000.
No comments:
Post a Comment