Artikel "SHAHAROM MENULIS DI PUSARA ISTERI" ini tersiar dalam Utusan Melayu Mingguan 1 Sept 2000
Cikgu Shaharom Husain mundar mandir di luar pagar "Gapura Sastera"nya Sabtu petang dua minggu yang lalu. Beliau berbaju kurung putih dengan celana sedikit kekuningan. Cikgu Shaharom memungut beberapa ranting kayu dan daun kering yang berguguran dan melonggokkannya di satu tempat. Seperti beliau sedang membersihkan kawasan di luar pagarnya. Beliau menoleh ke belakang barangkali setelah mendengar deru enjin kenderaan. Serta merta wajahnya berubah, menunjukkan sedikit seri, tanda beliau gembira melihat tamu datang. Dengan gerak tangan seperti menyambut tamu Cikgu Shaharom mengisyaratkan supaya saya masuk bersama kenderaan sekali ke pekarangan Gapura Sastera. Setelah saling bertanya khabar kami duduk di bangsal kecil di depan Gapura a.k.a kediamannya.
Keadaan di sekitar pekarangan Gapura tetap tidak berubah seperti dahulu. Nama dan tempat sejarah, terutama yang ada kaitannya dengan Sejaerah Johor masih utuh di tempatnya. Jika pun ada kekurangan, barangkali dalam sebulan dua ini Cikgu Shaharom "tidak begitu mengambil berat" membenahinya kerana nun jauh di dalam hatinya, Cikgu Shaharom masih lagi "berkabung" sejak beliau ditinggalkan pergi oleh "buah hatinya" iaitu isteri tercinta. Suasana berkabung Cikgu Shaharom belum juga menampakkan akan susut walaupun "edah" beliau ditinggalkan telah lama berlalu. Katanya, "Inilah Encik Fadzil. Saya lebih tenang ketika di pusara isteri saya. Di sini saya terlalu keseorangan."
Ramai bimbang akan keadaan Cikgu Shaharom, terutama anak-anaknya yang tidak seorang pun tinggal bersamanya. Tetapi itu semua sementara kerana menurut Cikgu Shaharom, anaknya yang bertugas di Mersing akan pindah kerja di Johor Bahru. "Sekarang, saya seorang saja di rumah. Ada jiran sebelah sudah saya berikan satu kunci. Manalah tahu," katanya lagi. Bagaimanapun, Cikgu Shaharom sedikit terhibur di hujung minggu apabila seorang dua anak dan cucunya pulang.
Dalam keadaan berkabung itu, nyatanya Cikgu Shaharom tetap aktif dengan kegiatan penulisannya. Beliau sedang dikejar waktu untuk menyiapkan novel sejarahnya yang baru. Menurutnya sudah ada penaja yang sanggup menerbitkannya. "Percaya tidak, saya menulis di pusara isteri saya. Begitu laju saya menulis seolah-olah suasana pusara membuatkan ilham tiba mencurah-curah. Saya sendiri tidak percaya, tapi begitulah. Sekarang pun saya telah mencipta sebuah sajak. Saya ini mana pernah menulis sajak sebelum ini." Beliau kemudian membaca sebait dua sajak itu. Sajak itu tentunya diabadikan untuk "isteri tercinta".
Sebenarnya pertemuan kami ada kaitannya dengan novel sejarahnya yang bakal terbit September ini. Manuskrip novel itu telah lama dihasilkan hanya menunggu untuk diterbitkan. Cikgu Shaharom amat berterima kasih kepada mantan pengarah ITM (kini UiTM) Tan Sri Arshad Ayub kerana sanggup menjadi penaja untuk menerbitkan novel ini. Novel Cikgu Shaharom ini berjudul "Di Bawah Hujan Peluru" yang berlatar belakangkan penaklukan Jepun di Semenanjung Tanah Melayu.
Kata Cikgu Shaharom, cerita dalam novel ini disandarkan kepada kisah benar ketika Jepun sedang rancak-rancaknya mara ke selatan menuju Johor dan Singapura. Cikgu Shaharom yang sering tidak terlepas untuk menghadirikan diri dalam karya sejarahnya, tetapi membuat pendekatan yang sama dalam novelnya ini. Dalam novel ini beliau bercerita tentang kisah sebenar kawan-kawannya, melalui watak utama Rasiman dan Rasimah. Kedua-duanya ini sedang berkasih-kasihan tetapi masa depan percintaan mereka dimusnahkan oleh perang yang melanda. Mereka terpisah akibat perang dan oleh kerana keadaan hidup yang melarat, hajat Rasiman untuk menegikuti jejak kekasihnya ke Johor Bahru tidak kesampaian.
Dalam pada itu Cikgu Shaharom mempertahankan cara pengolahan cerita melalui pendekatan konvensional dan cara bercerita pengarang tempo dulu. Dan sebenarnya inilah cara Cikgu Shaharom berkarya. Baik dulu baik sekarang. Menariknya, dialog yang digunakan watak-watak lebih real atau berpijak di bumi nyata. Maksudnya tiada unsur sastera-sasteraan ketika wataknya berdialog walaupun ada kalanya tutur kata relatif panjang. Misalnya, perbualan antara ibu dan ayah Rasiman: "Betul juga , bapak Rasiman. Tapi jangan lupa, kita hidup bermasyarakat. Kita belum lepas daripada adat. Hidup biarlah lebih berbudi bahasa. Wang ringgit kita tak ada. Budi bahasa kan tak berjual beli. Apa salahnya dan apa ruginya kita mempelawa dan menjemput orang berlindung selamat di rumah kita ini? Yang awak sibuk benar nak membetul dan membuatkan anjung dan dapur pondok getah itu kerana apa?" Sebuah dialog panjang dengan kata-katanya mirip percakapan sehari-hari orang Johor.
Dalam pendahuluannya, Cikgu Shaharom mengakui bahawa "novel ini berdasarkan pada peristiwa yang benar-benar berlaku pada masa bala tentera Jepun menyerang Tanah Melayu pada akhir tahun 1941. Tidak sampai dua bulan mereka berjaya menewaskan kekuatan tentera British yang mempertahankan Tanah Melayu dan Singapura. … Kandungan novel ini didasarkan kepada yang benar-benar penulis dengar, lihat dan alami sendiri. Terutama peperangan yang berlaku di kawasan-kawasan dalam negeri Johor dan Singapura. Malapetaka dan peristiwa kejam bersejarah yang menyayat hati itu, penulis kumpulkan dan jadikan novel ini."
Generasi hari ini semakin jauh untuk memehami jerih-perih dan penderitaan generasi terdahulu ketika hidup di bawah pendudukan Jepun. Generasi hari ini tidak dapat menghayati penderitaan agenerasi terdahulu ketika turut terlibat dalam peperangan. Generasi sekarang hanya tahu berkata, "Itu dulu bukan sekarang." Seolah-olah penglibatan dan penderitaan akibat perang adalah urusan agenerasi terdahulu dan tidak ada kena mengena dengan generasi sekarang. Novel ini bagaikan ingin menyampai mesej kepada generasi anak muda hari ini bahawa sebarang bentuk konflik dan perang, baik dulu baik sekarang, adalah sama dari sudut cara dan akibatnya, iaitu penderitaan. Dan barangkali Cikgu Shahnon dalam mesejnya melalui novel ini ingin menasihati anak muda hari ini supaya "jangan cuba-cuba menaikkan semangat yang membawa kepada konflik dan pergaduhan kerana tidak ada siapa untung kecuali rakyat terbanyak yang menjadi mangsa."
Sambil menyemak halaman pruf novel itu Cikgu Shaharom bercerita tentang sumber inspirasinya dalam bidang penulisan. "Saya lebih senang berada di pusara isteri saya. Jadi kalau nak jumpa saya di pagi hari, ke sana saja. Kadang-kadang saya di sana hingga tengahari. Kalau tidak ada urusan saya boleh dicari di sana. " Ketika masih bersama, Cikgu Shaharom tidak sunyi daripada kalibatnya. Kadang-kadang ketika mengarang di ruang kerjanya, isterinya akan duduk di kerusi menghadapnya. Ada tikanya isteri akan meminta Cikgu Shaharom "beristirehat sebentar" kerana katanya jangan terlalu memaksa diri "kita kan dah tua". Dan ada tikanya juga isterinya akan menyiapkan minuman untuk kemudian duduk kembali menghadapi Cikgu Shaharom meneruskan penulisannya.
"Yang membuat saya terkejut ialah bahan dokumentasi isteri saya. Selama 50 tahun berkahwin saya tidak tahu yang dia juga mengumpul bahan. Apa saja yang berkaitan dengan kehidupan kami ada tersimpan. Percaya tidak pakaian kahwin kami masih tersimpan baik. Rupa-rupanya dia juga banyak koleksi buku sastera dan budaya yang ada beberapa di antaranya saya sendiri tak ada. Setelah berbincang dengan anak-anak, kami putuskan untuk memelihara koleksi dan dijadikan dokumentasi keluarga," kata Cikgu Shaharom.
Wajah Cikgu Shaharom menggambarkan sebak dadanya. Di kelopak matanya, air jernih mula bergenang tapi tidak sampai mengalir turun membasah pipi. Cikgu Shaharom masih dapat menahan rasa sedihnya barangkali. Namun ada beberapa ketika dalam bercerita suaranya bergetar dan Cikgu Shaharom berhenti sebentar daripada bersuara. Hal ini amat jelas ketika beliau bercerita tentang saat-saat beliau menemui keadaan isterinya yang sudah terkujur badan. "Ketika Encik Fadzil telefon saya waktu itu, isteri saya baru dua jam meninggalkan saya. Sungguh saya tidak sangka kerana sehari sebelum itu dia baik-baik saja. Pagi itu saya cuba bercanda dengannya bila dia tidak bangun-bangun. Saya lihat dia biasa sahaja seperti orang tidur, walaupun ketika itu sudah pukul sembilan. Dia begitu tenang dan seperti tersenyum juga. Kedua-dua belah tangannya terletak di bahagian badan seperti orang tengah sembahyang. Saya hanya meraung bila mendapati dia tidak ada lagi," ujarnya.
Hari semakin senja dan pertemuan hanya sampai di situ. Cikgu Shaharom menyerahkan halaman pruf "Di Bawah Hujan peluru" sambil bertanya, "Bila terbit? Mungkin saya akan Tanjung Malim pada 8 atau 9 September ini. Kalau boleh dapat beberapa naskhah, boleh juga saya bawa ke sana."
"Ada penting di sana Cikgu?"
"Universiti Pendidikan di sana jemput saya. Mula saya keberatan maklum dalam keadaan sekarang ini, tapi nampaknya mereka mahu sangat saya ke sana."
Sambil melambai tangan Cikgu Shaharom menutup pintu pagarnya. Lama dia di pintu itu seolah-olah dia begitu berat melangkah masuk ke Gapuranya yang buat sementara ini hanya beliau seorang menjadi penghuninya. Saya teringatkan kata-katanya, "Bila senja tiba saya tidak tertahan rasanya. Malam pula begitu lama." Dalam pada itu saya mengutuk diri kerana tidak teringat untuk bertanya nama isteri Cikgu Shaharom.
A.F.Yassin
1 September 2000
No comments:
Post a Comment