BICARA
OLEH A.F.YASSIN
HADIAH SASTERA MASTERA 1999
Soronok juga berbual santai dengan Sapardi Djoko Damono di majlis makan malam anjuran Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA). Sambil menunggu hidangan, kami bersembang tentang banyak perkara, terutama di Indonesia - tentang politik semasa, tentang sastera dan tentang internet. Sapardi tokoh sastera ternama di Indonesia. Kini dia bertugas sebagai guru besar kesusasteraan di Universitas Indonesia.
Kata Sapardi, dia ke Malaysia atas undangan sebagai pembentang kertas kerja dalam Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Bandingan selenggaraan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Dan katanya lagi, "kami tidak punya masaalah untuk mengetahui perkembangan sastera Malaysia kerana kami baca melalui internet. Biasanya kami dapat bahan dari Berita Harian dan New Straits Times yang disiar dalam internet."
Apakah dia tidak kecewa kerana gagal memenangi hadiah mastera malam itu? Sapardi senyum sambil berkata, "Tidak apa-apa kok!". Dari Indonesia, yang menang malam itu ialah Titis Basiono P.I. melalui trilogi novelnya, Dari Lembah ke Coolibah 1997, Welas Asih Merangkuh Tajali 1997 dan Menyucikan Perselingkuhan 1889.
Nama Sapardi masuk peringkat akhir lewat karyanya Arloji (kumuplan puisi). Tapi barangkali nasib tidak menyebelahinya. Seorang lagi tokoh Indonesia yang namanya masuk peringkat akhir ialah Taufik Ikram Jamil melalui antologi cerpennya Membaca Hang Jebat.
Malam itu kelihatan Sapardi tidak banyak bercakap. Dia barangkali bukan jenis manusia yang "mulut murai". Namun dari raut wajahnya seperti dia sedang memikirkan sesuatu. Sesekali matanya "berlegar" memandang keadaan keliling. Dan apabila saya tanyakan jumlah tokoh sastera yang datang dari Indonesia, dia menjawab lima dan matanya tercari-cari lagi yang tiga. Seorang sudah berada di sebelahnya yang sedang asyik berbual dengan A. Rahim Abdullah dan Rahman Shaari.
Apakah yang difikirkan Sapardi? Apakah dia sedang memikirkan kertas kerjanya yang akan dibentangkan pagi esoknya? Atau dia memikirkan kawan-kawannya yang tidak kelihatan malam itu? Atau mungkin saja dia memikirkan bagaimana karyanya tidak terpilih untuk memenangi Hadiah Mastera yang pertama itu? Kerana siapa tidak mahu menjadi pemenang sulung dari negaranya untuk hadiah sastera yang terbongsu yang dilahirkan dan yang pula merupakan projek sulung Mastera dalam program pengiktirafan bakat atau tokoh sastera serantau.
Dan Sapardi bukan calang-calang tokoh di negara jiran itu. Pada tahun 1984, Sapardi menrima Anugerah Puisi Putra dari Malaysia. Dua tahun kemudian Sapardi menerima pula SEA-Write Award dari Thailand. Pada tahun 1990, dia meraih pula Hadiah Seni dari negaranya sendiri. Sedangkan Titis Basino cuma pernah memenangi hadiah hiburan majalah sastera tahun 1963.
Namun seperti kata penganjur, hadiah mastera hanya mempertimbangkan karya-karya yang diterbitkan pada tahun 1997 dan 1998. Dan pertimbangan tidak mengambil kira karya-karya sebelumnya, mahupun pretasi dan status tokoh sastera itu sendiri. Hanya karya yang menjadi tumupuan. Misalnya, Indonesia menyenaraikan 38 buah karya ke peringkat akhir. Malaysia pula 22 buah sementara Brunei 10. Daripada sejumlah karya ini tiga masuk peringkat akhir bagi setiap negara.
Penilaian di peringkat akhir ini dilakukan oleh Panel Hadiah Sastera Peringkat Induk yang terdiri daripada Hj Aziz Deraman (pengerusi), Hj Hamdan Yahya (Timbalan pengerusi), Zaini Oje @Ozea (setiausaha), Zahrah Ibrahim (Timbalan Pengerusi). Sementara ahli-ahlinya ialah Prof. Dr. Md Salleh Yaapar dan Prof Dato' Abu Hassan Sham dari Malaysia; Hj Abd. Hakim Hj. Mohd Yassin dari Brunei Darussalam; Drs Abd Rozak Zaidan dari Indonesia dan Dr. Hadijah Rahmat dari Singapura.
Karya-karya Malaysia ke peringkat akhir dipilih oleh lapan ahli panel terdiri daripada Hj Aziz Deraman, Hj Hamdan Yahya, Hamzah Hamdanu, Kemala, Zaini Oje@Ozea, Abdul Rahman Yusof, Prof. Madya Dr Sahlan Mohd Saman, Prof. Madya Dr. Siti Zainon Ismail dan Zahrah Ibrahim. Di Indonesia, karya-karya ke pringkat akhir dipilih oleh Drs. Abdul Rozak Zaidan, Hamsad Rangkuti, Dr. Boen S. Oemarjati, Drs. Lukman Ali dan Prof Dr. Yus Rusyana. Brunei pula diwakili oleh Dato' Paduka Hj Alidin Hj Othman, Hj Abd. Hakim bin Hj Mohd Yassin, Awang Alimin bin Hj Abd. Hamid, Datuk paduka Haji Mahmud Haji Bakyr, Dato' Paduka Hj Ahmad bin Kadi, Dr Haji Hashim bin Hj Abd. Hamid, Pg. Hj Mahmud bin Pg. Hj. Damit dan Dayang aminah binti Haji Momin. Singapura tidak mempunyai ahli panel dan tidak memilih karya kerana statusnya sebagai pemerhati.
Dengan demikian itu hadiah mastera sulung ini hanyalah untuk tiga negara, Malaysia, Brunei dan Indonesia. Kemungkinan pemberian hadiah ini akan diperluaskan ke negera-negara lain di Asia Tenggara akan menjadi kenyataan sekiranya rakyat masing-masing negara mampu berkarya dalam bahasa Melayu/Indonesia. Mana tahu dalam masa yang terdekat ini Singapura dan Thailand mungkin akan menghantar karya tokoh sasteranya untuk dipertimbangkan memandangkan banyak juga hasil karya dalam bahasa Melayu/Indonesia telah diterbitkan.
Panel setiap negara yang terlibat telah memilih tiga karya untuk dinilai secara induk di Malaysia. Brunei misalnya memilih kumpulan puisi Episod-Episod Si Awang, karya Badaruddin H.O. (1998), Kumpulan cerpen "Hoha" karya Norsiah M.S. (1887) dan novel Kenawi Dari Hulu oleh P.H. Abd. Aziz (1998).
Indonesia memilih Trilogi novel Dari Lembah ke Coolibah (1997), Welas Asih Merengkuh Tajali (1997) dan Menyucikan Perselingkuhan (1998) karya Titis Basino P.I.; Kumpulan puisi 'Arloji" karya Sapardi Djoko Damono (1998) dan kumpulan cerpen "Membaca Hang Jebat" oleh Taufik Ikram Jamil. Manakala Malaysia pula memilih esei/kritikan "Rasa- Fenomenologi: Penerapan Terhadap Karya A. Samad Said" karya Sohaimi Abdul Aziz (1998); ese/kritikan "Dunia Puisi Dalam Penelitian dan Pengajaran" karya Dharmawijaya (1998) dan kumpulan cerpen "Rapsodi" karya Zaen Kasturi.
Malam itu, selain Titis Basino penenang dari Indonesia, muncul pula Badaruddin H.O. sebagai pemenang dari Brunei dengan "Episod-Episod Si Awang"nya dan dari Malaysia sendiri muncul Sohaimi Abdul Aziz dengan esei-kritikannya itu. Nyatanya Malaysia mengutarakan esei'kritikan sebagai pemenang, sementara Indonesia dan Brunei karya kreatif (novel dan puisi).
Ketika memberikan ulasan Panel Induk mendapati semua karya yang dinilai di peringkat akhir, iaitu pringkat induk dan rantau (negara) mempunayi kekuatan masing-masing. Panel juga "sedar bahawa menilai karya antara genre secara bandingan memang sukar dan memerlukan asas penilaian dan pemilihan yang kukuh. Kata penilai lagi, "Bagaimanapun, karya yang dinilai tyang merentasi genre didasarkan pada dampaknya kalau dibaca seganding dengan karya-karya lain walaupun berbeza genre. Penilian ini melihat kekuatan kesatuan organik karya, kekuatan dan keaslian persoalan yang ditampilkan secara matang, keseimbangan estetika bahasa dengan persoalan kemanusiaan, keindahan moral, kesusilaan nilai dan inovasi dalam kreativiti. Di samping itu ada ketetapan lain juga yang dicapai oleh panel dalam menentukan pemilihan seperti jumlah karya dalam satu antologi, imbangan peratusan karya lama dan baru, tempoh relevannya esei/kritikan, ada tidaknya ISBN, dan sumber penerbit."
Demikianlah, berdasarkan jargon penilaian inilah akhirnya panel induk membuat pemilihan akhir. Cuma ada yang bertanya di majlis penyampaian hadiah malam itu tentang kemungkinan panel masing-masing negara tidak memperolehi dan membaca setiap karya sastera yang diterbitkan oleh pelbagai penerbit. Di Malaysia sahaja ada 300 buah penerbit dan tidak kurang daripada 25% dripadanya menerbitkan karya sastera. Dan setiap penerbit ini tidak hanya menerbitkan sebuah dua karya dalam tempoh dua tahun kebelakangan (1997-1998). Begitu juga halnya di Indonesia. Penerbitan karya sastera dalam pelbagai genre cukup berkembang, ketimbang audien pembacanya yang cukup luas pula.
Rahman Shaari pula menekankan peri pentingnya diwujudkan satu kriteria penilaian yang standard dan umum yang merentasi antarnegara peserta. Ertinya Rahman mencadangkan supaya pihak mastera "mencari satu kayu ukur penilaian dan kriteria minimal agar setiap karya yang terpilih di setiap negara mempunyai kualiti yang asas." Rahman berkata tidak wajar sekiranya karya yang terpilih di sebuah negara itu mempunyai kualiti yang terlalu tinggi berbanding karya yang dipilih oleh negara yang lain pula. Persoalan ini akan timbul sebaik sahaja ada peneliti yang telah selesai membuat kajian tentang karya-karya yang menang setiap dua tahun.
Bagaimanapun jua, usaha mastera menampilkan hadiah sasteranya sendiri ini patut diberi pujian kerana ia akan menambahkan lagi jumlah hadiah sastera yang ada di negeri ini. Dengan demikian, maka tidaklah keterlaluan jika saya katakan Malaysia begitu pemurah dalam pemberian hadiah kepada golongan penulis dan sasterawannya. Mana tahu suatu hari nanti Indonesia, Brunei, Singapura dan negara-negara anggota Asean yang lain akan mengikuti jejak langkah Malaysia dalam usahanya memertabatkan kesusasteraan dan sasterawannya.
Sebelum pulang saya melihat ramai hadirin yang masih lagi berkumpul di ruang lobi dewan. Antara yang terakhir meninggalkan lobi ialah Sapardi sendiri. Dia masih ayik berbual-bual dengan rakan-rakan sasterawan dari Malaysia dan Brunei. Haji Aziz, Hj Hamdan dan Hj Hamzah menjadi hos paling baik dan mesra malam itu apabila mereka tetap melayan dan menunggu sehingga jemputan tearkhir meninggalkan dewan jamuan. Turut sama hingga ke saat akhir ialah Datok Hassan Ahmad, mantan Ketua pengarah DBP yang sekarang ini memimpin Yayasan Karyawan.
A.F.Yassin
27 Ogos 1999
No comments:
Post a Comment