23 February 2015

SIAPA PENEROKA GUNUNG DATUK (REMBAU)?

Puncak Gunung Datuk dengan ketinggian 800 meter dari paras laut. Ada calet di kaki gunung. Juga Lubuk Petai.

Pemandangan panorama Gunung Datuk yang tinggi berbalam diabadikan dari kawsan kolam ikan Gating, Gadong. Dulunya kawasan ini adalah sawah padi
 
 Menurut terombo di Negeri Sembilan, Datuk Perpatih Pinang Sebatang ini telah diperintahkan oleh Raja Minangkabau di Pagar Ruyung pergi ke tanah seberang (Semenanjung Tanah Melayu) untuk menjaga kepentingan orang Minangkabau yang telah lama bermastautin di sana. Hari ini kawasan itu meliputi Negeri Sembilan, Alor Gajah, Segamat dan Kelang. Bagaimanapun, kedatangan datuk adat ini diceritakan dalam pelbagai versi. Dua yang paling terkenal ialah apa yang disebut Terombo versi Kuala Pilah dan Terombo versi Naning. Akhir-akhir ini penulis buku Negeri Yang Sembilan (1995),

Seorang pengkaji Budaya di Rembau, Norhalim Haji. Ibrahim telah memperkenalkan Teromba versi Rembau atau lebih tepat versi Batu Hampar. Kesemua versi ini cuba menegakkan kebenaran masing-masing. Percanggahan amat nyata walaupun kesamaan masih terasa. Kata seorang Datuk Lembaga di Rembau, “Inilah masalahnya. Saya sekarang tak tahu versi yang mana yang boleh kita terima. Kuala Pilah, Naning atau Rembau. Dan siapa tahu tidak lama lagi akan muncul pula Terombo versi Jelebu, Johor, Tampin dan Sungai Ujong. Semua akan mengaku versinya lebih tepat dan betul.” Anggapan versi mana yang lebih tepat dan betul ini lazimnya dikaitkan dengan ketokohan dan karisme datuk peneroka adat itu sendiri. Secara psikologis kelompok masyarakat yang mendakwa mereka dari keturunan peneroka adat ini akan meletakkan status sosialnya lebih tinggi berbanding kelompok masyarakat lain yang sekadar menjadi pengikut.

Sesetengah kalangan di Negeri Sembilan berpendapat oleh kerana “kehebatan tokoh inilah, maka banyak daerah di negeri itu mahu mengaitkan datuk ini dengan pembukaannya.” Terombo versi Kuala Pilah setakat ini lebih tertonjol berbanding versi-versi lain. Menurut Norhalim selagi tidak ada versi yang dapat menyanggah kebenaran Kuala Pilah ini selagi itulah ia dianggap versi terkuat. Lagi pula yang memperkenalkan versi ini adalah tokoh adat yang bukan “calang-calang” tokoh, antaranya Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Idris melalui buku Payung Terkembang (1990) dan pengarang Dharmala N.S.. Terombo versi Naning adalah pencabar terdekatnya. Menurut terombo versi Kuala Pilah yang dicatat Abu Cit Mat Serum, rombongan pertama orang Minangkabau datang ke Negeri Sembilan di bawah pimpinan Datuk Perpatih Pinang Sebatang.

Rombongan meninggalkan Pagar Ruyung di Sumatera menuju Siak. Dari Siak rombongan belayar ke Muar. Dari Muar, rombongan mengikuti jalan darat menuju Bukit Kepong dan terus ke Johor (Lama?). Dari Johor rombongan mudik pula ke Pasir Besar dan terus ke Hulu Muar ke satu tempat yang disebut Pelangai. Setelah beberapa ketika rombongan meneruskan perjalanan ke Kampung Tengah, Seri Menanti dan akhirnya Pilah. Rombongan akhirnya menetap di Angga Bisa, Hulu Pilah. Ketua rombongan Datuk Perpatih mula menyusun dan mengatur pantang dan sendi adat yang akhirnya dinamakan Adat Perpatih. Adat ini disebarkan ke seluruh kawasan yang berdekatan yang didiami orang asli, antaranya di Jenang, Jiru dan Johol. Datuk Perpatih kemudian bertolak ke Naning tetapi gagal menemui Datuk Batin ketua penduduk orang asli di sana. Dalam perjalanan pulang Datuk Perpatih singgah di Rembau, Sungai Ujong dan Jelebu.

Menurut ceritanya ke mana sahaja datuk ini singgah, pengikut-pengikutnya terus meneroka negeri. Maksudnya mereka menetap di tempat-tempat yang dilalui dan berkahwin dengan penduduk-penduduk asli tempatan. Pada tahun 1372, dan setelah berada selama 20 tahun di Tanah Semenanjung, Datuk itu mengadakan satu perhimpunan besar di Gunung Datuk, juga disebut Gunung Rembau. Dalam perhimpunan itu Datuk Perpatih melantik Datuk-Datuk Undang dan Datuk-Datuk Lembaga untuk semua kawasan yang telah menerima sistem Adat Perpatih. Dikatakan setelelah pelantikan itu Datuk Perpatih pun menghilangkan diri (ghaib?). Penduduk-penduduk di kaki gunung itu mendakwa nama Gunung Datuk itu adalah mengambil sempena nama Datuk Perpatih Pinang Sebatang. Nama Gunung Datuk lebih terkenal berbanding nama rasminya Gunung Rembau.

Terombo versi Naning pula membawa sedikit kelainan. Pencatat versi ini, Shahiba, menulis Datuk Perpatih Pinang Sebatang meninggalkan Pagar Ruyung menuju Kampar lalu ke Siak. Dari Siak rombongan belayar ke Bengkalis dan Bukit Batu. Rombongan kemudian menyeberang Selat Melaka ke muara Sungai Linggi. Dari muara ini mereka mudik ke hulu sungai hingga ke Paya Dalam dan meneruskan perjalanan ke Bukit Penyaling lalu membuat kampung. Datuk Perpatih berkahwin dengan anak Datuk batin, ketua orang Jakun di kawasan itu, sementara pengikut-pengikut Datuk itu berkahwin dengan anak-anak buah Datuk Batin. Tidak lama kemudian Datuk Perpatih menamakan tempat itu Naning dan beliau dilantik menjadi Penghulu Naning yang pertama bergelar Datuk Naning. Datuk Naning pertama mewujudkan Suku Semelenggang dan keturunan Datuk Naning dari suku ini menjadi pewaris jawatan Datuk Naning hingga ke hari ini. Datuk Naning pertama (Datuk Perpatih Pinang Sebatang) meninggal dunia dan dimakamkan di pinggir jalan yang menghala ke Lubok Kepong.

 Terombo versi Naning mendakwa Datuk Perpatih Pinang Sebatang bukanlah orangnya yang “membuka” dan memperkenalkan Adat Perpatih di Segamat, Hulu Muar, Johor, Rembau, Sungai Ujong, Jelebu, Kelang, Hulu Pahang, Jempul dan Serting. Semua daerah ini diteroka oleh kumpulan orang Minangkabau yang datang kemudian. Kumpulan inilah yang memperkenalkan adat ini setelah mendapat restu dari Datuk Perpatih di Naning. Maka jelas melalui kedua-dua versi ini terlihat percanggahan dalam penglibatan Datuk Perpatih di Negeri Sembilan dan Naning. Dari sudut geografi, versi Naning lebih mudah difahami dan lebih diterima akal. Secara alamiah, kawasan pantai barat Semenanjung akan menjadi kawasan pertama yang akan didiami oleh penghijrah dari Sumatera.

Dalam hal ini kemungkinan amat besar bahawa rombongan Datuk Perpatih akan meneroka daerah di sepanjang pantai. Rombongan berikutnya akan “terpaksa” mudik dari muara sungai ke hulu atau mengikut jalan darat ke daerah pedalaman. Jika dikaji kedudukan daerah-daerah yang disebutkan itu, Naning merupakan kawasan yang paling dekat dengan pantai. Jaraknya tidak melebihi 40 km berbanding Kuala Pilah atau Jelebu yang jauhnya ratusan kilometer di pedalaman, hatta Sungai Ujong sekalipun. Hanya Rembau yang bersamaan jarak dengan Naning. Juga sedikit aneh dan tidak ada sebab, mengapa rombongan Datuk Perpatih perlu berjalan beratus-ratus kilometer ke daerah pedalaman hingga ke Kuala Pilah dan Jelebu untuk menjaga kepentingan orang Minangkabau. Sedangkan secara geografisnya kebanyakan orang Minangkabau telah terlebih dahulu bermastautin di kawasan-kawasan pantai Selat Melaka. Pemastautin di Kuala Pilah tentunya merupakan pendatang-pendatang terkemudian. Lain lagi ceritanya dengan Terombo versi Rembau (Batu Hampar) yang diperkenalkan Norhalim.

Menurut Norhalim, yang memetik beberapa hasil kajian orang Portugis dan Belanda, adat Perpatih yang hampir sama dengan adat di Minangkabau diperkenalkan oleh seorang “wakil” Raja Minangkabau. Wakil raja itu bernama Datuk Leteh dan diperintahkan pergi ke Rembau pada tahun 1490an untuk memimpin masyarakat Minangkabau yang menetap di daerah-daerah di sekitar pantai dan kawasan yang hari ini disebut Rembau. Datuk Leteh berasal dari Batu Hampar, Mendahiling dan bersukukan Caniago. Pengikut-pengikutnya terdiri daripada penduduk-penduduk dari suku Batu Hampar sendiri, Paya Bidara, Pagar Cincang dan Agam. Mereka sampai di muara sungai yang hari ini disebut Kuala Sungai Linggi lalu mudik ke Lubok China (wilayah Naning sekarang Alor Gajah). Dari Lubok China Datuk Leteh mudik ke hulu hingga ke Relong dan bertemu dengan ketua orang Asli, Datuk Batin Skudai. Datuk Leteh meminta izin dengan datuk batin untuk menetap di Relong. Kawasan itu hari ini dinamakan Kampung Penajis Ulu. Datuk Leteh mula menyusun dan mengatur sistem masyarakat orang Minangkabau sehampir mungkin dengan sistem adat di tanah asalnya. Sistem ini diterima baik oleh penduduk orang asli pimpinan Datuk Batin Skudai kerana kebersamaan dengan adat orang asli yang matrilineal. Pada tahun 1500, Datuk Leteh bersama Datuk Batin Skudai meninggalkan Relong untuk membuka negeri di Kampung Lada, Chengkau. Datuk Batin Skudai kemudian meninggalkan Kampung Lada untuk menetap di Seliau, Rantau dan meninggalkan salah seorang anak perempuannya, Datuk Bungkal, dalam jagaan Datuk Leteh. Datuk Bungkal telah lama menjadi anak angkat Datuk Leteh. Ada kemungkinan Datuk Leteh tidak mempunyai anak dan menjadikan anak Datuk Batin Skudai anak angkatnya.

Pada tahun 1502, Datuk Leteh sekali lagi pindah, kali ini ke Kampung Kota Lama (sebelumnya dinamakan Kampung Gembira yang dibuka oleh Datuk Batin Pak Nilu dari Sungai Ujong, kawasan Rahang, Seremban sekarang). Di kampung itu pertemuan diadakan dengan Datuk Lela Balang, juga dari Batu Hampar yang telah menetap di Kota Lama. Mereka bermuafakat untuk membahagikan wilayah kuasa di Kota Lama itu kepada dua, satu ditadbirkan Datuk Leteh dan satu lagi Datuk Lela Balang. Berdasarkan permuafakatan itu Datuk Leteh mendapat wilayah “kanan mudik” Sungai Rembau, sementara Datuk Lela Balang wilayah “kiri mudik.” Datuk Leteh menamakan wilayah kuasanya sebagai Kampung Perah oleh kerana banyaknya pokok perah (elateriospermum tapos) di kawasan itu. Datuk Lela Balang dikahwinkan dengan Datuk Bungkal dan keturunan keluarga ini mewarisi jawatan Undang Rembau hari ini.

Walaupun terombo versi Rembau ini tidak menyebut langsung nama Datuk Perpatih Pinang Sebatang tetapi perintah yang diberikan kepadanya oleh Raja Minangkabau dan tindakannya memperkenal sistem adat Minangkabau adalah sama seperti yang ditulis dalam versi Kuala Pilah dan Naning. Cuma perbezaannya terletak pada nama tokoh sentralnya, sama ada Datuk Perpatih Pinang Sebatang atau Datuk Leteh. Di kalangan penduduk Rembau ada yang menganggap Datuk Leteh dan Datuk Perpatih Pinang Sebatang sebenarnya nama orang yang sama. Anggapan ini diasaskan kepada beberapa pertimbangan. Pertama berlakunya peristiwa perhimpunan besar di Gunung Datuk untuk melantik undang dan lembaga oleh Datuk Perpatih Pinang Sebatang. Gunung ini terletak di Rembau. Di kaki gunung terletak Kampung Perah dan Kampung Kota Lama yang pula bersempadankan Naning. Sedangkan Kuala Pilah berada jauh di sebalik gunung. Bayangkan Datuk Perpatih terpaksa mendaki Bukit Putus atau Bukit Miku sebelum mendaki Gunung Datuk.

 Andainya Datuk Perpatih Pinang Sebatang mahu melantik undang dan lembaga, apakah perlu beliau naik gunung turun gunung yang mungkin memakan masa beberapa hari, malah minggu untuk sampai ke puncak Gunung Datuk. Manakala Datuk Leteh yang tinggal di kaki gunung tersebut hanya memerlukan kira-kira tiga atau empat jam untuk sampai ke puncak. Kedua, titah perintah raja Minangkabau kepada Datuk Perpatih adalah juga titah perintah raja Minangkabau kepada Datuk Leteh. Soalnya apakah perlu seorang raja memerintahkan dua orang pembesarnya untuk menjaga kepentingan masyarakat Minangkabau di kawasan yang sama di seberang? Dikatakan Datuk Perpatih dan Datuk Leteh belayar ke seberang melalui pangkalan yang sama, iaitu Siak. Cuma bezanya Datuk Perpatih menuju muara Sungai Muar (versi Kuala Pilah) sementara Datuk Leteh menuju muara Sungai Linggi (versi Rembau).

Dalam hal ini ada persamaan antara versi Naning dengan Rembau. Kedua-dua versi ini menyebut orang besar raja ini belayar dari Siak menuju muara Sungai Linggi. Jika versi Kuala Pilah diambil kira maka sudah tentu ada kesan-kesan peninggalan Minangkabau di Muar seperti halnya di Kuala Linggi. Setidak-tidaknya berlaku proses penyemendaan antara orang Minang dengan penduduk tempatan. Ketiga dan dianggap lebih penting ialah kisah penerokaan Datuk Perpatih dalam ketiga-tiga versi. Teromba versi Kuala Pilah memperlihatkan satu perjalanan yang kompleks (sungai dan daratan) sebelum membuka tempat baru. Versi ini menunjukkan kehebatan Datuk Perpatih mengembara dari Muar ke Johor Lama (mungkin ke Batu Sawar tempat bersemanyamnya Sultan Johor), lalu mudik ke Hulu Muar sebelum meneruskan perjalanan ke Hulu Pilah.

Secara geografisnya hari ini, Datuk itu bersama pengikutnya menjelajah dua negeri, Johor dan Negeri Sembilan. Satu perjalanan panjang dan memakan masa berbulan-bulan lamanya. Jika dilihat dari sudut ini, maka versi Naning dan Rembau adalah lebih rasional. Demikianlah, tiga versi terombo yang kadang-kadang terlihat sebagai satu cara memperbesar jurai keturunan penganut adat Perpatih di Negeri Sembilan dan Alor Gajah (Naning) hari ini. Norhalim barangkali berkata benar apabila orang sering mengaitkan kehebatan tokoh peneroka dengan daerah tempat tinggalnya.(Catatan: Artikel ini akan dimutkn dlm Memoir A.F.Yassin yang bakal diterbitkan April/Mei 2015).

08 February 2015

HARI-HARI TERAKHIR AFY DI PENERBIT FAJAR BAKTI


Kad Selamat Jalan yang diserahkan kepada saya pada hari terakhir sebelum saya meninggalkan Penerbit Fajar Bakti.

Arahan terakhir yang saya terima sebagai Pengarah Penerbitan II (Editorial) sebulan sebelum saya meninggalkan penerbit ternama iaitu Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. (sekarang dikenali sebagai Oxford Fajar Sdn. Bhd.) ialah serah terima tugas. Ertinya, saya akan mengikuti tradisi OUP dan Fajar menyiapkan “Rancangan Tiga Tahun” dan bajet tahunan yang akan datang. Penyiapan dan seterusnya penyerahan rancangan dan bajet ini adalah asas, tanpanya gaji terakhir mungkin akan ditahan sementara. Maka dalam hal ini “anak-anak buah” saya di jabatan, iaitu ketua-ketua unit memberikan bantuan yang sungguh menakjubkan. Bagaikan sudah memahami bahawa saya akan meninggalkan Fajar Bakti, mereka dalam kesibukan rutin harian turut membuat persiapan.  

Misalnya, Abd. Majid Baharom, Ketua Unit (Pengurus) Perkamusan memberikan laporan terperinci tentang program perkamusan untuk tujuh tahun yang akan datang, termasuk penterjemahan The Avanced Learner’s Dictionary of Current English Oxford yang telah selesai diterjemahkan oleh Prof. Dato’ Dr. Asmah Hj. Omar, dari Pusat Bahasa, Universiti Malaya. Sembang santai antara staf Fajar Bakti dengan pengarang-pengarang yang menyumbang kepada Fajar Bakti. Kamus dwibahasa ini dijangka dapat diterbitkan menjelang pertengahan tahun depan (1999). Yulis Alwi, mantan Pegawai Perancangan Bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), banyak membantu dengan menyemak dan menjadi penyelaras dengan Prof. Dato’ Asmah. Yulis ialah lulusan dari Universitas Gadjah Mada, Jogjakarta, Indonesia.Turut menjadi “tenaga utama” penerbitan kamus dwibahasa besar ini ialah Siti Rosmah Razak, seorang graduan, lulusan University Michigan, USA.

Kemudian ada pula Pemangku Ketua Unit Buku Umum, Norazah Aziz, lulusan Program Komunikasi dari USM.Kelincahannya bekerja walaupun baru masuk tahun ketiga di syarikat ini cukup menjadi satu aset yang baik. Melaluinya, buku-buku bahasa, sastera dan bacaan umum dapat diterbitkan mengikut jadual. Hanya dalam masa kurang daripada tiga tahun, Norazah telah menyesuaikan dirinya untuk meminati buku-buku yang suatu waktu begitu asing baginya. Norazah tidak akan kenal siapa pngarang Aziz Jahpin, atau Karim Abdullah, Mohd. Affandi Hassan atau Kassim Ahmad, Dharmawijaya atau Masuri S.N. dan ramai lagi nama besar dalam dunia sastera Malaysia andainya dia tidak mengendalikan penerbitan buku sastera. Norazah ini orang komunikasi dan baginya tokoh-tokoh seperti Dr. Mansor Ahmad Saman, Dr. Asiah Sarji, Dato’ Kadir Jasin atau Dato’ Nazri Abdullah akan lebih mesra bermain di bibirnya.Tambahan pula dia adalah anak saudara kepada Prof. Dr. Bokhari Ismail, Pengarah ITM Cawangan Perlis, lulusan Ph.D dalam bidang komunikasi dan mantan Ketua Kajian Komunikasi Massa, ITM.

Norazah dibantu “kamus bergerak” Fajar Bakti, Khalid Mohd.Noor yang telah berkhidmat selama lebih 16 tahun di syarikat itu. Memang Khalid ini pakar ejaan, tanpanya barangkali editor-editor di Fajar Bakti semuanya akan mati langkah untuk memastikan setiap buku yang diterbitkan bebas daripada kesalahan ejaan. Malah, Khalid telah “dinobatkan” sebagai “pakar rujuk ejaan”.Baginya buku-buku panduan ejaan DBP bagaikan telah menjelma masuk ke dalam dirinya.Pengarang-pengarang yang bukunya telah pernah diterbitkan oleh Fajar Bakti jarang membuat teguran tentang ejaan salah dalam buku mereka.Malah, Dharmawijaya yang telah memberikan kepercayaannya kepada Fajar Bakti untuk menerbitkan buku-bukunya tidak berhenti-henti mengucapkan rasa penghargaan terhadap kualiti buku yang diterbitkan.“Tanpa Khalid siapalah kami editor Fajar Bakti.”

Kata-kata ini pernah diluahkan oleh seorang editor dalam mesyuarat post-mortem penerbitan.Jabatan Pengarang yang saya kendalikan mempunyai tiga unit besar, iaitu Unit Perkamusan, Unit Buku Akademik dan Unit Buku Umum.Di samping menebitkan buku-buku bahasa dan sastera, Unit Buku Umum menerbitkan juga buku-buku bacaan yang dikategorikan dalam berbagai-bagai siri. Antara siri-siri yang popular ialah Siri Kisah Remaja, Siri Seram, Siri Misteri, Siri Kembara, Siri Bacaan Kanak-kanak, Siri Bacaan Sekolah Menengah, di samping Siri Karya Umum yang berkait dengan novel-novel umum. Tujuan memperbanyak siri ini agar lebih banyak buku bacaan diterbitkan pada sesuatu waktu.Manusia banyak seleranya dan seperti kata Keris Mas, “Terserah kepada penerbit untuk menerbitkan karya-karya yang dapat memenuhi setiap selera itu.”Kata Keis Mas lagi, “Penerbit mesti cari sasaran selera itu dan untuk berjaya mencari sasaran penerbit perlu kreatif dan inovatif.”

Kata-kata ini dituturkannya kepada saya suatu hari di lobi DBP.Ketika itu Keris Mas adalah Ketua Bahagian Penerbitan Umum DBP.Norazah mematuhi nasihat Keris Mas ini seperti yang saya sampaikan kepadanya.Maka dalam perancangan tiga tahun yang dia siapkan untuk saya serah-terima nanti tidak banyak perubahan yang saya lakukan. Cuma masalah besar yang mungkin menanti Norazah ialah pelaksanaan penerbitan siri-siri yang banyak juga telah diluluskan akan tertangguh akibat kemelesetan ekonomi hari ini. Tidak kurang pentingnya ialah Unit Akademik dalam menyumbang kepada pendapatan keseluruhan bahagian.Unit Akademik diketuai oleh Ida Suraini Abd.Shukor (pemangku).Beliau lulusan Universiti Malaya dalam bidang Biologi.Unit ini dianggap “unit berbudi” oleh mantan ketuanya, Asiah Abd. Rahman pada tahun-tahun 1980-an dahulu.

Ketika itu Asiah berkata begitu kerana kebanyakan buku akademik yang diterbitkan oleh unit ini kurang mendapat sambutan orang ramai.Ertinya buku-buku yang diterbitkan kurang laku.Dasar penerbitan Fajar Bakti pada masa itu adalah mengedarkan lapan atau 10 buah buku akademik setahun.Nyataya dasar ini tidak banyak menyumbang kepada pembesaran kantung Fajar Bakti.Lebih banyak naskhah buku tersimpan di gudang daripada yang laris di kedai.Apapun jua, sambutan masyarakat terhadap penerbitan buku kategori akademik ini tetap mampu meningkatkan imej atau citra Fajar Bakti. Kedatangan Ida bagaikan membawa tuah.Dia yang mula bertugas dua tahun lalu memberikan harapan kepada usaha mempertingkat kegiatan penerbitan unit.

Ida berusaha merancang buku-buku akademik yang disebut “item bernilai tinggi”, iaitu menerbitkan buku akademik yang sesuai dan bersifat mewah (lux) kulit tebal dengan harga yang relatif tinggi.Sasaran audiensnya tergolong daripada mereka yang suka mengumpul collector’sitems dan buku-buku yang diterbitkan ini adalah dalam kategori ini.Sehingga dengan demikian dia mula mengusahakan buku-buku yang ada kaitannya dengan bidang sains yang diperlukan oleh pelajar-pelajar matrikulasi, terutamanya.Ida melihat ada kemajuan dalam bidang penerbitan buku-buku untuk rujukan matrikulasi ini.Hari ini, banyak buku dalam siri ini telah dijadikan buku teks di beberapa buah universiti tempatan.Ida dibantu Norhayati Abbas, lulusan Komunikasi Massa, UiTM.

Abd.Majid, Norazah, Ida, Siti Rosmah, Norhayati dan Khalid adalah tonggak dan tenaga penggerak Jabatan Pengarang Buku Umum dan Pengajian Tinggi Fajar Bakti.Mereka menjadi peghubung antara penulis yang kebanyakannya terdiri daripada tokoh-tokoh dan pemimpin-pemimpin besar negara dalam pelbagai bidang. Bekerja dengan mereka daripada generasi baharu ini (rata-rata usia mereka dalam lingkungan pertengahan dan akhir 20-an) mengingatkan saya cara bekerja dengan Tan Sri A. Samad Ismail, Dato’ A. Samad Said, A. Shukor Haron, Salim Kajai, Mali dan A. Shukor Rahman di surat khabar Berita Harian, atau Keris Mas, Dato’ M. Noor Azam, Dato’ Usman Awang, Dato’ Abdullah Hussain, Saleh Daud, Kemala, Awam-il-Sarkam, A. Karim Abdullah, Shamsuddin Jaapar, Dharmawijaya, Wijaya Mala, Rubaidin Siwar, Abdul Ahmad, Jaafar Rahim dan Salmiah Ismail di DBP.

Saya melihat ada suatu kebersamaan sikap “siapa kamu, siapa saya” dalam heirarki pejabat.Hampir tidak wujud heirarki seumpama itu di kedua-dua tempat.Kami bekerja dalam satu keluarga di bawah satu bumbung, saling membantu dan saling memenuhi rasa tanggungjawab.Saya seperti merasakan ada tangan-tangan kemanusiaan yang wujud dalam insan-insan seni, baik semasa di Berita Harian, mahupun di DBP.Seolah-olah saya telah dilatih secara alamiah membimbing generasi baharu yang dahagakan bimbingan di tempat saya bertugas ketika itu, iaitu Penerbit Fajar Bakti.Malah, generasi yang saya pimpin itu tetap tidak melupakan nama-nama besar di institusi berkenaan, terutama apabila ada sesetengahnya menawarkan buku-buku mereka diterbitkan di Fajar Bakti.

Maka, tidak hairanlah pada hari-hari terakhir saya di Fajar Bakti, Sidang Editor Jabatan yang saya pimpin melakar sebuah puisi sebagai penghargaan yang tiada bandingannya. Antara lain puisi itu mengungkapan:

Bertemu dan berpisah hukum yang lumrah
Sepanjangnya terpahatlah kenangan perungkai sejarah.
Sanjungan tak mesti segunung intan
Penghargaan tak perlu seluas lautan
Cukup sekadar terima kasih yang berpanjangan
Atas segala tunjuk ajar dan bimbingan
Yang terbit daripda ikhlas kemanusiaan bukan buatan.

Abdul Majid dan rakan-rakan yang menghadiahkan saya puisi demikan mengharapkan agar:
Bos!
Agar pegangan dan perjuanganmu
Selama ini tidak sia-sia
Inilah doa kami anak-anak bimbinganmu. 

Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1 Mac 1983, ketika saya melangkah keluar buat kali terakhirnya bagaikan menerpa di depan mata. Ketika itu tidak ada ucapan perpisahan, tidak ada titisan air mata keharuan, tidak ada genggaman erat tangan-tangan hangat dan tidak ada bait-bait puisi yang mengiringi.Namun, demikian pula lumrahnya sebuah kehiduan. Manakan sama seorang editor di Dewan Bahasa dan Pustaka yang meletakkan jawatan dengan seorang Ketua Jabatan di Penerbit Fajar Bakti yang mengundurkan diri!

Pengarang Aziz Jahpin, yang dua buah bukunya,Biar Buang Anak dan Pulanglah Perantau yang kami terbitkan berkunjung ke Fajar Bakti, setelah membuat panggilan telefon terlebih dahulu. Pada sebelah paginya, mantan editor DBP, A. Karim Abdullah bertanya tentang masa depan saya, juga melalui telefon. Pengarang Othman Puteh dan Rahman Shaari bertandang ke rumah saya, ketika itu di Bandar Baru Bangi untuk meraikan dan bertanya khabar.Sementara Saleh Daud minta saya belanjanya makan, seperti katanya, “Tidak semestinya orang yang berhenti tidak boleh beri makan orang yang mengucapkan tahniah!”

Akhirnya pada malam Jumaatnya Yahaya Ismail, pengarang buku politik yang terkenal itu mengucapkan “selamat masuk kelab penulis sepenuh masa sepertinya”.Yahaya sembang melalui telefon.Begitu juga dengan kawan dari Perlis, Nazel Mohd.Hashim.Katanya, “Sekarang bolehlah jumpa selalu tiap kali ada rombongan GAPENA ke mana-mana.”

Catatan pinggir

1. Setelah menamatkan khidmat di Fajar Bakti, saya bertugas sebagai Perunding Penulisan dengan Yayasan Warisan Johor dengan Kerajaan Negeri Johor. Timbalan Pangarah, YWJ, Tuan Haji Ismail Zamzam telah meminta saya membantunya dalam bidang penulisan dan kepengarangan. Di samping itu, tugas utamanya membuat penyelidikan tentang Sejarah Kesultanan Johor Moden.Setelah itu berkelana dalam bidang akademik dan penyelidikan serta penulisan, antaranya sebagai pensyarah tamu di Universiti Malaysia Sabah (UMS), di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Felo Tamu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).Turut membantu Ketua Pengarah DBP, Dato’ Dr. Firdaus Abdullah sebagai Pegawai Dengan Tugas-Tugas Khas pada tahun 2005 hingga 2007.Akhirnya sebelum bersetuju membuat penyelidikan dan penulisan untuk sebuah organisasi pelajar luar negeri, saya telah membantu menyempurnakan penyelidikan dan penulisan sebuah buku untuk Kerabat Diraja Pahang Darul Makmur. Ahad, 3 Disember 2012.
 
2. Catatan ini merupakan salah satu artikel yang akan dimuatkan dalam buku Memoir A.F.Yassin Suka Duka Menuju Pelabuhan Waktu untuk Kategori Keluarga. 

07 February 2015

ABU AMAN BACHIK: KUCUPAN TERAKHIR BUAT SA TERSAYANG


 
Derita seorang Atuk melihat cucunya SA pergi at such a tender age.


Ikutilah catatan tragis Cikgu Abu Aman Bachik yang juga merupakan alumni Tunku Besar School Tampin tentang cucu kesayangannya di bawah ini seperti yang saya terima melalui e-melnya: abuaman42@me.com.
Sejak daripada munculmu kami berdoa untuk kesejahteraanmu, namun kau lebih mencintai-Nya. Aku faham engkau hanya dipinjamkan-Nya cuma. Samapai tempoh pinjamanmu dijemput-Nya kembali. Begitu tepat pinjaman-Nya. Begitu, Dia tidak akan memungkirkan janji-Nya. Begitulah Dia dengan cinta-Nya. Begitulah arrahmannya Allah begitulah arrahimnya Allah dan begitulah penyayangnya Allah. Allah hu akbar. Tiada Tuhan melainkan Allah!
Tiada kusangka. Tiada kuduga. Tiada kumimpikan bahawa pinjaman-Mu hanya tiga belas tahun cuma. Allah hu akbar. Mahu Suci Mu Ya Allah. Lahirmu ke dalam hidupku begitu tidak disangka-sangka. Begitu tiba-tiba. Letih abangmu belum lagi reda. Engkau telah begitu memaksa. Engkau terlalu beria-ia membawakan kegembiraan kepadaku yang tidak terhingga. Namun, apakan daya kegembiraan, keceriaan dan kegirangan untuk kita nikmati bersama hanya sedetik cuma. Rupa-rupanya engkau lebih rela untukku menikmati kegembiraan yang lebih abadi di sana, insya-Allah. Oh Allah parancangan-Mu lebih abadi kiranya. Perancangan-Mu adalah lebih sempurn,a ya Allah. Perancangan-Mu mengatasi segala-galanya. Masya-Allah.
Demikianlanlah berakhirnya rancangan-Mu ya Allah. Pada lepas waktu subuh Jumaat tanggal 12.9.2014, kembalilah cucuku yang begitu dikasihi ke pangkuanmu Allah yang telah meminjamkannya selama sedetik belaka, namun sedetik pinjaman itu rupanya telah dan akan membuatkan aku termangu-mangu sehingga akhir hayatku pula. Oh, rupa-rupanya kucupan yang kuberikan di bilik ICU kepadamu semalam sebelum berpisah adalah KUCUPAN TERAKHIR DARIKU UNTUKMU. MASYA-ALLAH.
Walaupun 13 tahun bersamamu kekasihku, begitu banyak kenangan pahit dan manis yang telah kita lalui bersama. Ketika kelahiranmu, ketika tumbesaranmu. Ketika kamu disahkan lahir tanpa buah pinggang yang sempurna. Ketika berulang-alik ke Hospital Pakar Damansara. Ketika kamu dipindahkan ke hospital kanak-kanak di HKL dan masa-masa yang berlalu seterusnya sungguh membuatku merinduimu sepanjang hayatku, insya-Allah. Bagaimana mungkin aku memendamkan rasa kehilanganmu terhadapku. Oh Allah, Engkau Maha Agung!!!
Ketika aku menghantarmu ke airport dengan galagatmu yang amat menceriakan sementara menunggu flightmu untuk ke Melbourn untuk pemindahan buah pinggang ibumu untukmu dan ketika menunggu detik balikmu dari Australia. Ketika menunggumu boleh menyusu tanpa menggunakan tiub plastik melalui hidungmu. Ketika menunggu perkataan pertama dari mulutmu yang comel itu dan ketika menunggumu membesar dan memulakan hari pertamamu di tadika Smart Reader Kids.
Bagaimana akan kulupakan senyumanmu kepadaku ketika kau baru benar dilahirkan oleh ibumu. Engkaulah satu-satunya cucu buah hatiku telah tersenyum kepadaku ketika engkau baru dilahirkan ke dunia ini. Kiraku senyumanmu itu akan berada di sisiku sentiasa. Rupa-rupanya itu adalah hadiah untukku seketika cuma. Inilah saat yang amat bahagia bagiku, kerana tiada siapa menyangka engkau menghadiahkan sebutir senyuman untukku dan kukira tidak kepada sesiapa yang lain. Bagaimana aku akan mungkin melupakan ketika tumbesaranmu, terpaksa disusukan melalui saluran tiub menerusi hidungmu kerana kamu hilang deria rasa akibat buah pinggangmu yang tidak normal. Aku masih terbayang-bayang di mataku ketika kita melawat The French Quarter begitu ramai orang melihatmu dan mereka berbisik-bisik kerana melihat kejanggalanmu mempunyai tiub yang diklipkan ke rambutmu. Mereka pelik memikirkan apakah gerangan fungsi tiub itu.
Sejak kamu disahkan lahir tanpa sepasang buah pinggang yang sempurna aku berdoa setiap lepas solat agar Allah memulihkan kesihatanmu dengan buah pinggang yang sempurna. Namun, cinta Allah mengatasi segala-galanya. Doaku tiada mendapat layanan-Nya. Kerana Allah ada rancangan yang lebih baik untukmu yang dirahsiakan-Nya sehingga kamu berumur tiga belas tahun. Demikianlah hebatnya Allah. Bagaimana akan kuhapuskan memoriku ketika berulang-alik ke Hospital Pakar Damansara dan ketika aku berulang-alik ke Bahagian Kanak-kanak HKL aku terlalu keletihan dan mengantuk kemudian menumpang baring di serambi Masjid Jamek HKL hingga terlelap. Semua ini adalah kenang-kenangan yang mendewasakanku dan mendidik aku supaya banyak berdoa dan bersabar melihatkan ujian Allah terhadap ibu bapa dan abangmu yang aku percaya tidak lekang bibir mereka berdoa akan kesejahteraanmu. Masya-Allah, Agungnya Ujian Allah.
Tidak mungkin juga, pastinya aku melenyapkan daripada memoriku bagaimana setelah mendapat rawatan di klinik nephro di HKL kita akan ke stesen LRT Kampung Baru untuk menghantar ibumu kembali ke ofis di Menara Berkembar Petronas. Di sana kita akan bersalaman dan berdakapan dengan ibumu yang telah datang bersendirian manaiki teksi ke unit nephro HKL untuk menemanimu mendapat rawatan daripada nephrologist yang bertugas pada hari itu. Sebelum itu kamu pasti meminta dibelikan cendol dan pisang goreng untuk kamu makan tepung kulitnya sahaja dan membiarkan nenekmu yang memangkumu di ribanya memakan isinya. Dan bagiku tidak mungkin hilang daripada memoriku perkataan dari bibir comelmu, ketika kamu mengajukkan bunyi halangan di tol semasa mahu melepasinya, "Tit tit kata ia." Sungguh menghiburkan suaramu itu dan biasanya akan kami ajukkan suara itu pula. Betapa damai dan mesranya suasana di dalam kereta Proton Iswara ketika itu. Keadaan begini berterusan sehinggalah aku tidak mampu lagi untuk menghantarmu ke klinik itu kerana keuzuranku pula.
Seluruh keluarga berbangga dan bersyukur. Ketika umurmu lima tahun kamu telah dasekolahkan di Tadika Smart Reader Kids yang berhampiran. Dengan ghairahnya aku menghantar dan menjemputmu balik ketika pagi dan tengah hari. Ini untuk beberapa lama cuma. Kamu selalu tidak sihat. Doktor pakar yang merawatmu di HKL menasihati supaya kamu tidak disekolahkan di sekolah yang ramai pelajarnya. Kamu terpaksa diberhentikan sementara daripada bersekolah di SRK itu. Kamu dihantar untuk private tuition pula ke rumah seorang guru tuition yang berhampiran.
Ketika kamu bertuisyen di sini aku telah diingatkan oleh jiran guru ini seorang yang warak agama supaya aku waspada kerana guru itu ialah seorang Cina Kristian. Jiran itu bimbang jika nanti kamu dipengaruhi oleh cikgu itu. Aku berterima kasih kepada jiran yang prihatin itu kerana menyatakan kebimbangannya. Kamu adalah satu-satunya cucu yang amat bertuah kerana keistimewaanmu, ibu bapamu telah menghatar kamu ke sekolah swasta. Ini adalah atas nasihat doktor yang merawatmu supaya kamu tidak dihantar ke sekolah biasa yang anggota kelasnya berbilangan terlalu besar; dengan latar belakang kesihatan yang berbeza pula. Sedangkan kamu amat sensitif dengan jangkitan sebarang penyakit. Di sekolah swast,a bilangan murid sekelasnya kecil. Pendedahan kepada jangkitan juga adalah minimum.
Apa yang sungguh membanggakan ialah kamu di sekolah adalah seorang pemain bola sepak yang aktif dan seorang perenang yang mencipta nama di Okinawa Jepun. Kamu telah muncul naib johan di dalam pertandingan renang daripada kalangan ahli transplant yang diadakan. Di samping itu di dalam ujian UPSR yang telah diadakan, pencapaianmu sungguh membanggakan keluarga; sehinggakan kamu telah dibawa menunaikan umrah bersama. Namun, keadaanmu ketika mengerjakan umrah kesihatanmu tidak mengizinkan, banyak perlakuan aktiviti menurut nenekmu yang turut membuat umrah bersamamu dan keluarga. Namun demikianlah kehendak Allah yang Maha Kaya.
Ketika di Australia juga keadaanmu adalah amat mencemaskan, namun kasih sayang Allah kepadamu amatlah nyata. Kecemasan itu berlalu seketika cuma. Alhamdulillah, namun kasih sayang Allah terhadapmu telah mengatasi segala-galanya. Perjanjian pinjaman untukmu dan kami telah sempurna, lalu pada jam 7.40 pagi Jumaat, 12.9.2014 telah datanglah utusan Allah untuk menjemputmu ke hadirat-Nya, namun apa yang masih terngiang-ngiang di telingaku ialah, "Atuk gi Jumaat tak?" "Gi," jawabku sepatah. "Nak beli air nanti." "Ok," balasku, faham maksudnya ialah Coke tin dengan iringan tit bits kegemarannya. Malam Isnin 02.02.2015, 10.49 malam. 

Derita seorang Atuk Abu Amn Bachik

Ketika masih belajar di Tunku Besar School Tampin. Gambar kenangan Jemaah Literary and Debating Society tahun 1961. Abu Aman berdiri di baris belakang nombor dua dari kanan). Yusof Basir duduk baris depan nombor dua dari kanan adalah Pengerusi Jemaah.

 Komen:
AAB, saya telah baca seluruh catatan ini dan amat memahami suasana kesedihan yang menyelubungi anggota keluarga saudara. Menyayatkan, terutama memikirkan anak kecil baru berusia at tender age. Belum lagi puas menikmati alam kanak-kanak Allah telah memanggilnya kembali. Penderitaan yang tidak tertanggung dan suasana derita itu meresap masuk ke dalam diri setiap anggota keluarga daripada atuk hingga ke abang dan adik anak ini. Ibu bapanya lebih terseksa melihat anak yang dilahirkan "istimewa" demikian. Namun demikian, Allah menyalurkan hasrat dan keinginan-Nya kepada setiap hambanya. Saya merasakan apa yang saudara rasakan dan doa kami sekeluarga di sini semoga saudara tabah menghadapinya. Kita hanya boleh merancang, namun Allah menentukan segala-galanya dan itulah hikmah yang harus kita terima. Allah menyayanginya. Terima kasih kerana mengizinkan kami berkongsi pengalaman. Sebuah tragedi yang tidak dapat kita elakkan. Al-Fatihah.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PROFIL

My photo
Rawang, Selangor Darul Ehsan, Malaysia

What Other People Say...


"A.F.Yassin dalam cerpennya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).