02 August 2011

Perjalanan Tokoh ASAS 50 (MAS) Di Rumah GAPENA


 Cikgu Mohd. Ariff Ahmad, Tokoh ASAS 50 (duduk kiri) bersama Datuk Abdullah Hussein. Masuri SN (berdiri kanan) bersama A.F.Yassin di Majlis pelancaran buku MAS di Rumah GAPENA.

Perjalanan MAS Di Rumah Gapena seperti yng disiarkan dalam Utusan Malaysia Mingguan, 4 julai 2004

Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) maju selangkah lagi apabila melancarkan buku warganegara asing di Rumahnya di Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur 19 Jun 2004 lalu. Sedikit luar biasa bagi sesetengah penulis di Kuala Lumpur. Mengapa buku penulis luar bukan buku penulis Malaysia sendiri? Inilah yang difikirkan sebaik sahaja menerima kad jemputan Gapena beberapa minggu lalu. Dalam kad jemputan itu tertulis antara atur acaranya “Pelancaran Memoir Perjalanan MAS”. Pelancaran pula akan dirasmikan oleh Dato’ Siti Azizah,  Ketua Setiausaha Kementeri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia. Majlis pelancaran ini mendahului acara induk Dialog Kebudayaan Melayu Malaysia-Singapura.

Mengapa tidak?  Jawapan spontan seorang penulis Malaysia yang turut hadir dalam majlis dialog itu Sabtu lalu. “Kita kena tengok buku siapa yang kita lancarkan. Ini buku Mohamad Ariff Ahmad, pengasas dan bekas Ketua Satu ASAS ’50. Dan lagi kalau awak nak tahu Mohamad Ariff lulusan maktab perguruan Tanjung Malim. Dan kalau nak tahu lagi, dulu waktu cikgu Arif belajar di Tanjung Malim tak ada itu apa yang disebut negara Singapura,” ujar penulis itu.

Penulis yang sudah berumur juga ini barangkali berasa tersinggung apabila soalan itu diajukan kepadanya. Atau mungkin juga dia sedang meluahkan emosi kecintaannya terhadap apa yang disebut Melayu yang sekarang ini mula diperlekeh sesetengah pihak. Tanggapan kedua ini mungkin benar kerana daripada perbualan pendek dengnnya, dapat disimpulkan bahawa semangat Melayunya cukup tinggi. Baginya Ariff adalah simbol Melayu yang kental dengn semangat Melayunya, walaupun dia kini adalah warga minoriti di sebuah negara pulau yang dulunya sebuah negeri Melayu jua.

Ariff adalah penyambung rantaian Melayu di kedua-dua seberang tambak dan di Singapura sendiri Ariff adalah lambang survival bangsa minoriti Melayu di Singapura. “Terima kasih kepada Tanjung Malim yang telah meniupkan semangat Melayu dalam rongganya. Dan hari ini dia tunjukkan semangat kecintaan semangat itu dengan mengizinkan memoir perjalanannya dilancarkan di Kuala Lumpur.”

Cadangan untuk melancarkan buku Ariff ini berpunca daripada pertemuan Ketua Satu Gapena, Tan Sri Ismail Hussain dan ketua duanya, Datuk Latiff Bakar dengan Ariff dan Zulkifly, Presiden Majlis Pusat Pertubuhan Budaya Melayu Singapura beberapa minggu sebelum ini. Kedua-dua pihak tertarik dengan cadangan untuk melancarkan memoir Ariff buat kali keduanya di Rumah Gapena. Semuanya atas dasar persamaan bahawa Ariff, bekas pelajar SITC dan bekas guru sekolah Melayu. Ariff adalah antara warga golongan seperti yang disbut Prof. Madya Zainal Abidin Borhan dalam dialog pagi itu, “agamawan-wartawan-sasterawan yang menyedari hakikat kewujudan sebuah bangsa.” Golongan ini berkongres untuk meletakkan bahasa Melayu, sastera Melayu dan tulisan Melayu sebagai wadah pentauan. Sementara menurut Zainal Abidin kongres persuratan dan bahasa Melayu, Kongres Melayu, Kongres Kebudayaan Melayu merupakan wadah pertemuan dan penyatuan meletakkan gagasan kebangsaan.

Ketika perjuangan berada pada tahap puncaknya, entiti dua negara Malaysia dan adalah satu dari sudut geo-politiknya dan sisa satu entiti itu masih jelas benar dari sudut geo-budayanya. Dan semasa berlangsungnya majlis pelancaran memoir perjalanan Ariff dan dialog kebudayaan Melayu di Rumah Gapena, suasana  keMelayuan itu amat terasa. Malah 29 orang Melayu dari Singapura itu bagaikan tinggal sekampung dengan puluhan lagi Melayu dari Malaysia yang memenuhi jemputan Gapena hari itu.

Meilhat Arif duduk bersama-sama dengan Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussein, Cikgu Hassan Ali dan Ismail, Djamal Tukimin pula bersama dengan Prof. Madya Dr. Solehah Ishak, dan Masuri SN dipelawan makan tengah hari oleh Abd. Rahim Marsidi (pensyarah UPM) di restoran  masakan ala Jakarta di Kg. Baru, bagaikan tidak wujud langsung rasa rasa keterasingan antara mereka. Orang tidak akan percaya melihat kemesraan orang Melayu dari dua negara itu sebenarnya dipisahkan oleh hanya politik dan kuasa.

Ariff adalah ikon orang Melayu Singapura, malah Ariff boleh juga dianggap sebagai ikon ASAS ’50, tanpanya tidak mungkin sasterawan tanah air seperti Usman Awang, Asraf,  atau Awal il-Sarkam ditokohkan seperti adanya hari ini. Datuk Yaakob Isa, dari Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) yang memperkenalkan Memoir Perjalanan MAS di majlis itu menyebut betapa nama Ariff dikenali dengan akrab di kalangan pelajar-pelajar Singapura yang sedang belajar di Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah. Menurut Yaakob, “Bagi pelajar ini, cikgu Ariff adalah  orang yang sangat baik, orang yang banyak sekali menolong orang Melayu Singapura, penulis, pengarang, pendidik dan tokoh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS). Mereka sekata menganggap semua orang Melayu  Singapura mesti mengenali Cikgu Ariff.”
Buku memoir perjalanan cikgu Ariff ini adalah tentang pengalaman dalam bidang pendidikan, kesusasteraan dan kebudayaan dengan tokoh sentralnya Mohamad Ariff Ahmad. Kata Yaakob, “Perjalanan Mas membawa kita mengkagumi kecekalan seorang guru Melayu yang berkhidmat di pelbagai arena dalam sebuah negara republik yang bangsa Melayu merupakan minoriti yang nampaknya tidak pernah menjadikan Cikgu Ariff terpencil atau memencilkan dirinya daripada arus perdana pembangunan negaranya. Inilah sebenarnya semangat perjuangan guru Melayu yang ditanamkan oleh tokoh-tokoh pendidik yang menjadi tenaga pengajar di SITC dan tetap subur dan menjiwai peribadi Cikgu Ariff.”

Begitu mendalamnya hubungan Ariff dengan SITC, khususnya dan Semenanjung Tanah Melayu (Malaya ketika itu) sehingga beliau sanggup berundur  dari kegiatan yang diadakan oleh Persatuan Guru-guru Melayu Singapura. Pengundurannya ini berpunca daripada keputusan Sekolah Melayu Kota Raja menolak permohonan Ariff dan teman-temannya untuk  menggunakan dewan sekolah berkenaan untuk tempat mengadakan Kongres Persuratan Melayu Se-Malaya. Yaakob menulis, “Ingin juga kita mengetahui siapakah guru besar sekolah Melayu Kota Raja yang tergamak hatinya menolak permohonan Cikgu Ariff dan teman-temannya.”

Satu isu paling menarik dalam memoir ini ialah  soal penggunaan tulisan Jawi. Badan kerabat yang menyertai Kongres Persuratan Melayu Se-Malaya berbeza pendapat tentang isu ini. Ada yang setuju tulisan Jawi digantikan dengan tulisan rumi ( di sekolah-sekolah?) dan membiarkan Jawi hanya dalam pengajaran agama Islam. Dalam pengundian yang dijalankan kemudian, ternyata majoriti mahukan  tulisan Jawi hanya untuk agama Islam, manakala tulisan rumi menjadi tulisan rasmi. Dengan keputuan ini Ariff menyimpulkan ada kecenderungan pada penulis Melayu “menggunakan tulisan rumi sebagai tulisan bagi Persuratan Melayu Se-Malaya.”

Ariff datang bertongkat ke Rumah Gapena, hanya mahu melibatkan diri sepenuhnya dengan pelancaran bukunya. Lebih-lebih lagi pelancaran ini merupakan sebahagian daripada acara Dialog  Kebudayaan Melayu Malaysia-Singapura yang julung-julung kali diadakan. Seperti kata Ismail dalam ucapan sambutan dialog kebudayaan Melayu ini bakal menjadi agenda tahunan dan dialog di Rumah Gapena merupakan yang pertama dan akan diikuti dengan yang kedua kemudian nanti. Mungkin sahaja giliran Singapura pula mengadakannya.

Mana tahu jika nanti sampai giliran Singapura, dan Majlis Pusat Pusat Pertubuhan  Budaya Melayu Singapura  menjadi penganjurnya, ada pula memoir seorang tokoh nasionalis Melayu dari Malaysia yang boleh dilancarkan di pulau republik itu. Tentunya memori itu dikaitkan pula dengan ibu kandung suluh budiman, dengan anak-anaknya kini telah menjadi tokoh besar dalam bidang pendidikan, kesusasteraan dan kebudayaan sedarjat dengan ketokohan Ariff dan Masuri SN di Singapura.

Dan dalam hal ini tidak ada yang luar biasanya melancarkan buku Malaysia di Singapura, selagi hubungan erat kebudayaan antara Melayu Singapura dengan Melayu Malaysia terus bertahan. Sememangnya begitulah, jika diambil kira pandangan Djamal Tukimin (Singapura) dalam kertas kerjanya “Kemelayuan, Sesuatu Yang Mulai Terhakis Dan Cuba Didakap Kembali....Asing Tapi Mesra.” Kata Djamal, “Masih banyak juga dengan semangat kental menganggapnya sampai bila-bila pun Melayu tidak akan hilang di dunia.” Ends.







No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PROFIL

My photo
Rawang, Selangor Darul Ehsan, Malaysia

What Other People Say...


"A.F.Yassin dalam cerpennya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).