23 April 2012

BERKUBURNYA MAJALAH MINGGUAN BERITA MASSA


Ma'rof Saad (Allahyarham) pernah menjadi editor kepada sebuah majalah berita mingguan "era" yang juga tak dapat bertahan. Era ketika itu diterbitkan dan dipimpin Dato' Baharuddin Zainal sebagai Ketua Editornya.


Matinya Sebuah Lagi  Majalah Berita Massa


Oleh A.F.Yassin

 Editor pertama majalah berita mingguan MASSA, Datuk Chamil Wariya, yang ditemui pada hari kematian majalah yang pernah dipimpinnya itu memberikan reaksi pendek, “Baca berita pagi ini. Majalah MASSA dah tutup.” Chamil yang kini bertugas di stesen swasta TV3 tidak melanjutkan reaksinya tentang nasib majalah berita mingguan itu. Tidak pasti sama ada Datuk itu kecewa dengan penutupan majalah berkenaan atau semamangnya beliau merasakan bahawa sudah agak terlewat majalah itu ditutup.

 Chamil memimpin MASSA yang mula mengetuk pintu pasaran sembilan tahun lalu. Chamil barangkali tahu benar suka duka “mendodoi” majalah itu ketika ia masih di peringkat bayi. Harapannya MASSA akan menjadi majalah berita satu-satunya di Malaysia yang menyajikan apa yang diharapkan rakyat kelas menengah, terutama golongan pembuat keputusan (decision makers) di kalangan kaum elit pentadbiran kerajaan dan pengurusan swasta. MASSA diharapkan menjadi majalah dalam bahasa Melayu yang boleh menyaingi majalah TEMPO di Indonesia, Time, Newsweek atau Far Eastern Economic Review yang diterbitkan di Hongkong.

 Difahamkan majalah MASSA merupakan majalah harapan yang akhirnya akan diiktiraf sebagai  Flagship Kumpulan Utusan Melayu satu hari nanti dan ia dilahirkan dengan restu istimewa Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan waktu itu, Tan Sri Kamarul Ariffin (kini Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka). Bagaimanapun harapan Chamil dan Kamarul tidak kesampaian apabila riwayat majalah berakhir 6 Jun 2004 lalu. Dalam ruangan “Bisik-Bisik Mingguan”nya,  Awang Selamat memberi alasan “tidak laku” sehingga  “terpaksa diberhentikan penerbitannya.” Tujuan Awang Selamat mengumumkan “kematian” majalah ini adalah untuk menyedarkan  pembaca  “akan tabiat membaca  di kalangan rakyat Malaysia yang masih tidak banyak berubah.”

 Awang Selamat menjelaskan hanya 6,000 orang membeli MASSA setiap minggu. Ini bererti jumlah yang terjual setiap minggu hanyalah 6,000 naskhah. Dengan demikian purata jualan sebulan ialah 24,000 naskhah. Jumlah ini tidak banyak bezanya dengan majalah bulanan Dewan Masyarakat, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Difahamkan, Dewan Masyarakat baru dua tiga bulan kebelakangan ini meningkat  jualannya menghampir 30,000 naskhah setelah berada pada titik terendah sebanyak 13,000 naskhah  sebelumnya.

 Membandingkan MASSA dengan Dewan Masyarakat mungkin tidak begitu adil kerana Dewan Masyarakat diterbitkan sebulan sekali dan kandungannya tidak seluruhnya analisis berita seperti yang terdapat dalam MASSA. Lagi pula Dewan Masyarakat telah mengalami jatuh bangun dari sudut jualan dan jumlah cetakan. Satu ketika jumlah terjual mencecah 100,000 naskhah. Hal itu berlaku ketika Datuk Johan Jaafar menyandang jawatan Ketua Editornya. Namun “tangan emas” Johan bagaikan tidak berfungsi ketika mempin MASSA sebagai Ketua Pengarangnya satu ketika. Pengalaman editor-editor MASSA seperti Chamil, Ratnawati Jamil, Hassan Mohd Nor atau Baharom Mahusin turut tidak banyak membantu meningkatkan jualan.

 Apa yang terjadi kepada MASSA ini pernah juga dialami oleh majalah berita mingguan yang pertama, iaitu ERA di bawah pimpinan Ketua Editornya, Datuk Baharuddin Zainal dan Editornya Allahyarham Ma’arof Saad. ERA sempat bertahan dua tahun berbanding MASSA sembilan tahun.  ERA mula diterbitkan pada tahun 1985, sementara MASSA 10 tahun kemudian. Sebelum lahirnya ERA dan MASSA, telah ada cadangan untuk menerbitkan majalah berita mingguan pada tahun 1970an.

Ketika itu Datuk M. Noor Azam dan Datuk Usman Awang pernah membayangkan untuk menerbitkan majalah berita ini melalui penubuhan sebuah syarikat penerbitan, tentunya setelah bersara dari DBP. Bagaimanapun bayangan ini hanya tinggal bayangan setelah kajian  secara mendalam dilakukan tentang risiko tinggi menerbitkan majalah berita seumpamanya, terutama risiko hasil pengiklanan dan pulangan. Malah, masalah iklan menjadi dasar pertimbangan kerana tanpa iklan untuk setidak-tidaknya menampung kos penerbitan dan overhed, majalah tidak akan kekal bertahan.

 Dan masalah iklan ini pula yang menjadi faktor utama “mati”nya MASSA seperti yang dimaklumkan Awang Selamat. Menurut Awang, “Pengiklan tidak suka  majalah seperti itu. Apa yang pengiklan suka? Itu  satu cerita lain.” Satu ketika dalam pertengahan tahun 1970an, pemimpin sebuah majalah berita terkemuka yang diterbitkan di Hongkong pernah menjelaskan bahawa jumlah naskhah yang terjual tidak menjadi penentu hidup matinya sesebuah majalah. Yang menentukannya ialah jumlah hasil iklan yang diperolehi. Majalah TEMPO yang terbit di Jakarta dapat bertahan hingga kini (kecuali ia diharamkan buat seketika di zaman pemerintahan order baru pimpinan bekas Presiden Soeharto) kerana hasil iklan yang begitu banyak menghiasi halamannya.

 Menurut satu sumber, TEMPO  dapat bertahan dan jumlah iklan yang diperolehi kerana wujudnya satu peraturan dalam pengurusan iklannya. Difahamkan setiap halaman iklan yang diterbitkan dalam majalah itu menampung kos perbelanjaan untuk menyiarkan sesuatu rencana atau tulisan yang “mengapitnya”. Maka bukan tidak mungkin setiap iklan yang diperoleh bukan sahaja dapat menampung kos demikian pengeluaran tulisan tetapi juga kos overhed dan honorarium bagi setiap tulisan yang tersiar. Soalnya bagi majalah sesebuah majalah berita di negeri ini bagaimana hendak mendapatkan iklan atau meyakinkan syarikat untuk mengiklankan produknya dalam majalah, terutama yang  berbahasa Melayu.

 Seorang pemerhati media berpendapat mati hidupnya majalah berita bergantung kepada bagaimana meyakinkan syarikat, baik swasta mahupun awam. Jika  syarikat atau pengiklan tidak suka  majalah seperti MASSA atau ERA, maka perlu pula dicari sebab mengapa “mereka tidak suka”. Dan jika kita tinjau secara rambang di pasaran tidak semua majalah yang berbahasa Melayu memperoleh keyakinan pengiklan, kecualilah mungkin majalah Wanita atau Mastika. Lain halnya majalah berita (mingguan, dwibulanan atau bulanan) dalam bahasa Inggeris dan bahasa Cina terbitan dalam atau luar negeri. yang banyak menerima tempahan iklan.

 Tabiat membaca yang tidak berubah seperti yang disebut Awang Selamat mungkin satu faktor mengapa majalah tidak laku, tetapi ia tidak pula menjadi  faktor penentu. Belum ada kajian khas tentang hal ini. Maka ada baiknya satu kajian terperinci dilakukan untuk mencari kepastian apakah tabiat membaca yang tidak berubah menjadi penyebab kematian sesebuah majalah berita dan ilmiah atau ada sebab-sebab lain. MASSA hanya sebuah majalah berita. Keilimiahnya tidak dapat disamakan dengan apa yang disajikan, misalnya oleh Dewan Masyarakat. Namun, tidak tahulah jika MASSA sudah tergelincir dari landasan analisi beritanya dan menjadi ilmiah sehingga menyaingi majalah Pemikir  (juga terbitan Kumpulan Utusan Melayu) atau jurnal Dewan Bahasa.

 Satu kajian komparatif, sebagai satu cara post-mortem, untuk menilai secara bandingan dan melihat sejauh mana kebersamaan antara mutu  bahan yang disiarkan majalah berita mingguan berbahasa Melayu dengan bahan majalah berita berbahasa lain, terutama Inggeris.  Hal ini penting untuk mencari jawapan yang tepat mengapa majalah berita berbahasa Melayu tidaki mendapat sambutan orang ramai. Walaupun sekarang ini alasan utama kurangnya sambutan ialah apa yang dikatakan sesetengah golongan pengamal media lebih bersifat emosi dan prejudis terhadap bahasa Melayu itu sendiri. 

Ada sesetengah pengamal media, misalnya menilai kematian MASSA dapat dikaitkan dengan faktor semangat cintakan bahasa Melayu. Dia membandingkan sambutan orang ramai terhadap majalah berita bukan bahasa Melayu seperti Time, Newsweek, Asia Inc., atau Malaysian Business. Dia juga membandingkan jumlah pengiklan dalam majalah-majalah ini. Lebih penting dia membandingkan golongan pembeli dan pembaca majalah-majalah ini dengan majalah berita berbahasa Melayu, persisnya MASSA. Katanya, “Tidak pernah saya dengar penerbit majalah-majalah berkenaan berkata  pengiklan tidak suka kepada majalah-majalah seumpama itu.”

 Mesej yang ingin disampaikan pemerhati ini ialah pengiklan masih suka kepada majalah berita. Namun majalah berita berbahasa Melayu perlu meyakinkan pengiklan agar kandungan majalah menepati citarasa pembaca, terutama pembuat keputusan kerajaan dan golongan menengah serta dapat dimanfaatkan oleh mereka. Pimpinan majalah juga perlu mengkaji sejauh mana  bahan kandungan majalah berbahasa Melayu ini dapat mempengaruhi  golongan ini secara psikologis. Bagaimana pula  sikap golongan ini terhadap bahan majalah berita berbahasa Melayu. Mungkin juga  ada yang akan berkata, secara praktisnya, analisis berita dan pendapat yang terkandung dalam dalam majalah berbahasa Melayu belum setanding dengan anlisis dalam bahasa Inggeris.

 Dengan lain perkataan, golongan ini masih menganggap apa sahaja yang disajikan oleh majalah-majalah berita dalam bahasa selain daripada bahasa Melayu mempunyai nilai yang lebih tinggi, patut dibaca dan perlu.  Jika inilah  sikap mereka, maka tidak akan ada sebarang majalah berita dalam bahasa Melayu yang dapat  bertahan. Dan seperti kata pemerhati media itu, “Tempoh sembilan tahun bertahan bagi MASSA sudah dianggap cukup baik.”

Bagaimanapun, ada pula yang berpendapat penerbit MASSA agak terburu-buru menutup majalah berkenaan. Menurut mereka, sepatutnya penerbit diberikan opsyen untuk mengubah tempoh penerbitan daripada seminggu kepada sebulan atau dua minggu sekali. Sehingga dengan demikian kandungannya juga turut berubah berdasarkan kekerapan penerbitan. Balasungkawa buat sebuah majalah yang hanya mampu menemui pembacanya selama sembilan tahun.



         

21 April 2012

BERCAKAPLAH DENGAN BAHASA YANG BETUL!



Barangkali perwakilan kedua-dua negara baik melalui diplomatik mahun pihak NGO masing-masing boleh membantu memperbaiki cara pertuturan rakyat masing-masing. Gambar di atas dengan ehsan PAPTI menunukkan pertemuan antara perwakilan KBRI dengan PAPTI suatu ketika. 

CATATAN A.F.YASSIN

Cakaplah dengan bahasa yang betul!

 Minggu lalu selama dua hari saya seperti pemandu pelancong, membawa sepasang suami isteri dari Jakarta ke Melaka. Saya diminta menjadi pemandunya selama berkunjung ke Malaysia. Sebelumnya mereka menulis surat minta persetujuan saya membawa mereka makan angin ke Melaka di samping Kuala Lumpur. Ketika sedang minum cendol tepi Sungai Melaka berhampiran dengan bangunan merah Studthys, peninggalan Belanda, sang suami geleng kepala dengar perbualan beberapa orang anak muda di meja sebelah. Katanya perlahan, “Bang, saya nggak ngerti mereka ngomong apa. Kok bahasa Melayu dan Inggeris bisa satu gitu. Saya faham kok tapi bunyinya aneh. Kalau di kita bahasa Indonesia ya bahasa Indonesia, bahasa Inggeris yan bahasa Inggeris. Nggak dicampur-campur gitu. Bunyinya kayak saya sedang ada di Manila. Inggeris separuh, Tagalog separuh.”

 Komen teman lelaki saya itu membuat saya tak terkata. Apa reaksi yang patut saya berikan terhadap komennya itu. Katanya lagi, “Kelmarin pagi juga begitu Bang. Saya lihat seorang wartawan yang ditemubual di TV swasta ngomongnya separuh Inggeris separuh Melayu. Apa itu sudah menjadi kebiasaan. Kadang-kadang juruacara Tvnya juga gitu.”  Saya amat memahami perasaan teman saya ini. Dia baharu sahaja menyiapkan sebuah buku tentang komunikasi popular. Dia juga merupakan seorang professor di salah sebuah universiti terkemuka di negara jiran sebudaya. Disiplin ilmunya komunikasi. Maka tentunya dia amat prihatin dengan percakapan antara manusia dengan manusia. Walaupun dia mengakui bahawa kemungkinan besar percakapan dengan menggunakan  dua bahasa memudahkan pendengar memahami apa yang dimaksudkan tetapi dari segi etika bahasa ia sedikit “terkehel”.

 Saya hanya dapat memberi reaksi. “Itu realiti berbahasa di tempat kami. Tak dapat elak.”

Dia bertanya, “Orang kampung juga begitu bang?”

Saya jawab, “Lihat kampung mana dulu. Kalau Kampung Baru, saya rasa begitulah.”

“Maksud abang, orang kampung di Malaysia semuanya gitu. Hebat ya, pengaruh Inggeris di Malaysia.”

“Kampung Baru itu nama sahaja kampung. Tapi ia di tengah-tengah Kuala Lumpur.”

“Oh, yang kelmarin kita makan nasi lemak di warong itu,” ujarnya mengingatkan. Sehari sebelumnya saya membawa pasangan suami isteri ini bersarapan pagi di sebuah warong berdekatan flat Kg. Baru.

 Dalam salah satu bab buku terbarunya, professor ini mengupas masalah hubungan kebahasaan antara Malaysia dengan Indonesia. Dia mencari persamaan dan perbezaan antara bahasa Malaysia dan Indonesia dalam percakapan seharian rakyat biasa dua negara. Dia mengkaji dari sudut komunikasi dan  budaya kontemporari. Buku mengandungi 36 bab, berbicara tentang komunikasi secara global dan bersifat berada di mana-mana (omnipresent). Maka tidak hairanlah dia begitu berminat mendengar percakapan jiran sepeminuman cendol di meja sebalah.

Walaupun dia mengakui di kota-kota besar Indonesia orang juga telah mula bercakap bahasa campur-aduk ini. Namun ia belum begitu meluas seperti di Malaysia dan itu yang membuatnya rasa aneh. Kemudian katanya, “Kalau dahulu orang bercakap campur-campur bahasa Indonesia dengan bahasa Belanda, kini mereka bercakap seperti sinilah. Ya, masih belum banyak tapi sudah bermula. Hebat ya Bang, pengaruh bangsa penjajah ini. Tapi mahu diapakan. Sememangnya begitulah, bahasa Inggeris sudah omnipresent.”

 “Jadi Prof sebagai sarjana, suka begitu?”

“Sebenarnya saya tidak senang sama-sekali. Tapi kalau kita mahu lihat efek komunikasinya, barangkali juga bahasa campur aduk itu lebih mengesankan. Boleh dimengerti malah kita rasa intim begitu. Maksud saya unsur kehangatan hubungan amat terasa,” jawabnya.

 Dia tidak menyalahkan orang yang bertutur dalam bahasa campur-aduk, tetapi seperti katanya, “Yang perlu kita salahkan ialah sistem dan peraturan yang ada. Abang lihat sahajalah di mana-mana. Kita lihat penggunaan dua bahasa di beberapa tempat seperti di toko-toko. Saya lihat di Melaka ini tidak hanya bahasa pribumi yang ditulis, malah ada juga bahasa lain. Papan iklan juga banyak yang gitu. Saya nonton tv. Lihat berita. Dan saya lihat pemimpin-pemimpin politik di sini juga ngomongnya  campur aduk antara Inggeris dan Melayu dalam satu kalimat. Maaf, bang saya tidak bercadang untuk masuk campur dalam urusan kebahasaan  di negeri abang. Tapi tup-tup bicara saya datang dengan sendirinya.”

 Apabila diminta cara terbaik mengatasi masalah bahasa sampur aduk itu, jawapannya begitu mudah. “Gampang Bang, kalau bicara dalam bahasa Inggeris, gunakan bahasa Inggeris sepenuhnya. Kalau mahu ngomong dalam bahasa sendiri, bahasa sendiri sepenuhnya. Itu akan dilihat lebih intelek sifatnya dan malah dihormati. Bagi saya kenapa orang berbahasa campur aduk itu adalah disebabkan mereka hanya tahu separuh-separuh. Mereka tak faham sepenuhnya bahasa sendiri dan mereka juga tak faham sepenuhnya bahasa Inggeris. Kedua, mereka mahu menunjuk-nunjuk mereka boleh ngomong dua bahasa. Orang Indonesia bilang gengsi dong. Ketiga dan ini yang lebih penting, mereka kononnya terpelajar dan intelektuil. Bagi saya mereka tidak lebih daripada kaleng (tin) kosong.”

 Dari sudut ilmu komunikasi bagaimana?

“Ya, dari sudut itu saya melihat orang yang ngomong begitu berhasil menyampaikan dua pesan. Pertama dia berhasil mempamerkan hubungan intimnya dan kedua dia berhasil menyamai tingkat fahamannya dengan tingkat fahaman orang yang mendengarnya. Tapi kalau abang nggak senang nonton TV yang menggunakan bahasa sampur aduk, tutup sahaja tv dan cari rangkaian yang menunjukkan tertib bahasanya Malaysiakan punya banyak stesen TV. Putar sahaja TV yang tertib bicara. Habis cerita.”

Perbualan sambil melancong dengan prof komunikasi dan isterinya dari Indonesia ini memberikan gambaran ringkas apa yang ada dalam fikirannya tentang konsep komunikasi. Baginya realiti di lapangan dan dalam lingkungan sosial umumnya mencerminkan tahap berfikir yang dipengaruhi unsur luar, terutama unsure penjajahan. Dia menganggap ia satu penjajahan minda yang tanpa disedari sedang dan akan berlaku di kalangan bangsa-bangsa di negara sedang membangun. Mereka hanya tahu apa sahaja yang datang dari negara yang berbahasa Inggeris adalah super hebat.

 Katanya, “Saya yakin bukan tidak ada ahli bahasa dan komunikasi di Malaysia yang prihatin. Tapi setakat mana mereka bisa melahirkan kemelut keprihatinan menjadi tanda tanya besar. Lalu media yang berperanan memperbetul persepsi dan mengurangi kemelut demikian tidak banyak berbuat apa-apa. Malah ada yang lebih mendorong orang bikin begitu. Mereka tidak ambil pusing kerana buntut operasi mereka ialah duit dan untung.”

 Kami berada di puncak bukit St. Paul dan professor itu menunjukkan ke arah batu-batu bertulis dalam bahasa Belanda. Katanya sinis, “ Sepatutnya bahasa Inggeris juga sebagai bahasa penjajah sudah seharusnya berada di tempat batu bertulis ini. Yalah, kalau kita mahu meilhat dari sudut politiknya. Sebut tentang politik bahasa ini saya amat senang dengan sikap orang Perancis, Jerman dan Jepang. Saya udah ke sana semuanya. Saya lihat semangat nasionalismenya terhadap bahasa sendiri cukup tinggi. Mereka juga majukan? Kadang-kadang saya macam tidak percaya bahawa banyak juga yang pintar ngomong dalam bahasa Inggeris. Tapi mereka seperti kucing sembunyi kuku.”

 Demikianlah, Melaka yang kami kunjungi menjadi medan tempat kami berbual kosong tentang bahasa. Teman saya tidak menunjukkan rasa bosannya berbincang. Baginya, apa yang dilihat dan yang dialaminya di Kota Melaka menjadi ibarat sebahagian daripada premis bicaranya, tanpa formaliti dan terarah. Kadang-kadang terfikir juga agaknya seorang professor itu tidak dapat mengelak daripada berbicara yang berat-berat walaupun ia sedang dalam rangka meringankan beban mindanya, mencari ketenangan jiwa dengan melancong ke tempat-tempat menarik.

 Dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur petangnya, teman saya cuba menjenguk hati saya lagi. Katanya, “Bang, selama beberapa hari kami di Malaysia, Abang nggak usah mikir-mikir tentang bahasa di kaca Tvlah. Abang berikan kami sepenuh masa abang bawa kami makan angin  di KL. Nanti bila kami pulang, abang jangan nonton TV. Terus saja ke kamar kerja dan hibernasi di sana lalu tulis bukulah.” Dia ketawa dan isterinya juga ikut ketawa. Ends.

    




20 April 2012

MELIHAT ORANG MELAYU DI SINGAPURA

Pembinaan "gateway" (CIQ ) Johor Bahru yang semakin memisahkan dua negara yang dahulunya satu, iaitu Singapura dan Malaysia. Kompleks CIQ ini dalam pembinaan dan A.F.Yassin mengabadikannya pada 17 Disember 2008 dari Kompleks City Square Johor Bahru, di Jalan Tun Razak.

Menaiki komuter MRT di Singapura membawa kenangan menarik, terutama melihat suasana sekitaran dari Stesen Buono Vista di barat Singapura menuju Stesen Pasir Ris di sebelah timur. Perjalanan memakan masa kira-kira 45 minit. Koc penuh sesak dengan penumpang.

 Ketika kereta api berhenti sejenak di Stesen Paya Lebar, penulis melihat semula Perkampungan Melayu, kira-kira 200 meter di sebelah kanan dan berhampiran dengan "pasar makan" Geylang Serai. Kompleks Perkampungan Melayu itu memang menarik kerana reka bentuk keMelayuannya. Ada pelbagai jualan di kompleks itu, termasuk sebuah restoran makanan laut, gerai makan Melayu dan gerai hasil kraftangan orang Melayu. Di kompleks itulah malam sebelumnya saya menikmati hidangan Melayu sambil menonton peraduan menyanyi karaoke sempena mengutip derma untuk pembinaan sebuah masjid. Nyanyian karaoke oleh para peserta yang kebanyakan terdiri daripada  pasangan suami isteri mengingatkan saya kepada zaman kegemilangan Jalan Ampas tahun 1950an dan Pop Yeye tahun 1960an. Hampir semua lagu yang dibawakan adalah lagu-lagu dari filem-filem P. Ramlee dan lagu-lagu tahun 1960an. Difahamkan kompleks itu didirikan dan dimiliki oleh orang bukan Melayu.

 Kecuali kompleks itu tidak ada lagi bangunan bercirikan Melayu yang dibina di sekitarnya. Dulu satu waktu, kawasan Geylang ini dipenuhi rumah-rumah bentuk Melayu sehinggalah ke Pasir Ris. Kini ia dipenuhi bangunan rumah pangsa puluhan tingkat yang memagari sepanjang jalan MRT. Penduduknya tidak lagi majoriti Melayu tetapi telah dibaurkan sehingga menjadi percampuran pelbagai sukubangsa - Cina, Melayu dan India.

 Ketika keluar dari Stesen Pasir Ris, penulis terkenal Singapura Jamal Tukimin menujukkan jari telunjuknya ke arah timur. Katanya, "Dulu tempat itu adalah perkampungan Melayu. Di situ juga lokasi penggambaran siri filem Bujang Lapuk. Sekarang hanya rumah pangsa dan taman." Dan di sebuah restoran stesen itu kami melihat sekumpulan anak muda lelaki perempuan sedang asyik bersembang. Mereka berpakaian fesyen terkini, yang lelaki berseluar pendek dan yang perempuan berseluar panjang. Seorang daripada mereka duduk di kerusi roda.

 Pada mulanya kami menyangka mereka daripada keturunan Cina kerena wajah mereka saling tgak tumpah keturunan itu. Tetapi setelah mendengar mereka bercakap, barulah saya sedari bahawa mereka anak muda Melayu. Nampaknya semakin hari semakin sukar untuk  mengenali  keturunan anak-anak muda Singapura melalui wajah dan perawakan. Jamal sendiri  pun kata begitu. Malah dia sendiri kini mempunyai ahli keluarga yang wajahnya tidak lagi sepenuhnya Melayu atau Jawa. Menurutnya, dia punya menantu dari keturunan India dan kalau tidak ada haral melintang pada tahun depan dia bakal mempunyai menantu dari keturunan Cina pula.

 Oleh kerana hari hampir maghrib, Jamal membawa kami ke mesjid terdekat. Kata Jamal mesjid Pasir Ris yang kami kunjungi itu baru sebulan setengah dibuka dan ia dibina hasil titik peluh penduduk, tanpa bantuan satu sen pun daripada kerajaan. Sebagai anak Melayu, kata Jamal, penduduk berasa bangga kerana "kita tidak mengemis." Kerajaan hanya membantu dari sudut pengurusan kewangan, iaitu dengan "membuat pemotongan gaji."

 Statistik tahun 1990 menunjukkan penduduk Melayu Singapura berjumlah kira-kira 400,000 ribu orang, termasuk kira-kira 17,000 orang Islam bukan Melayu. Penduduk Melayu Singapura terdiri daripada keturunan Melayu (261,200 orang), keturunan Jawa (65,600 orang), keturunan Boyan (43,200 orang), keturunan Bugis (1,500 orang) dan keturunan suku Melayu lainnya (11,200 orang). Jumlah penduduk Singapura seluruhnya ialah 2.7 juta orang. Orang Melayu merupakan golongan majoriti dalam kumpulan minoriti, iaitu kira-kira 15% daripada keseluruhan jumlah penduduk. Menurut Jamal Melayu Singapura telah dapat menyesuaikan diri dengan keadaan dan suasana dan mereka telah mampu bersaing dengan masyarakat-masyarakt lain, terutama  masyarakat Cina dalam semua bidang, pendidikan khasnya.   Mereka tidak lagi rasa tersisih atau rendah diri. 

 Yang menarik ialah wajah kosmopolitan orang Melayu ini baik lahiriah mahupun batiniah, lebih-lebih lagi batiniah. Hj Mohamad Arif Ahmad, dalam kertas kerjanya "Kebudayaan Melayu Kini Dalam Kehidupan Di Singapura" yang dibentangkan dalam Kongres Nilam pada tahun 1999 merumuskan bahawa "Cara hidup baru demikian itu, lama kelamaan telah mengubah kehidupan orang Melayu dini yang sentiasa berkita, menjadi orang Melayu kini yang hidup beraku dan berengkau, yakni yang lu sapa-gua sapa. Semangat kekitaan hampir pudar."

 Kata  Mohamad Arif, "Oleh kerana 86% jiran di rumah pangsa terdiri daripada mereka yang bukan beragama Islam, maka jarang-jaranglah orang Melayu berpeluang mengucapkan assalamualaikum kepada jirannya. Mereka lebih kerap kali mengucapkan good morning kepada jirannya. Kadang-kdang chau-an atau sekali-sekala manekem. Itu pun hanya sekali dua mereka  bersapaan dalam sehari, ketika kebetulan mereka bertemu di dalam lif atau masa hendak pergi atau pulang kerja.

 Dari sudut kebudayaan, orang Melayu menghayati kebudayaan kebangsaan sebagai rakyat Singapura dan dalam pada itu menghayati dan mengamalkan pula kebudayaan warisan sebagai orang Melayu. Mohamad Arif mengertikan kebudyaan kebangsaan sebagai kebudayaan yang tercipta sesuai dengan kehendak dan kepentingan negara - sama ada yang tercipta hasil dari rasa, karsa dan daya masyarakat Singapura ataupun yang terbentuk dari asimilasi/akulturasi budaya warisan bangsa-bangsa warganegara. Manakala dia mengertikan kebudayaan warisan sebagai kebudayaan yang terwaris daripada nenek moyang, yang telah dihayati zaman berzaman. Demikianlah amalan dan penghayatan orang Melayu terhadap kebudayaan. Hal ini mudah difahami kerana asas-asas persekitaran dan demografi yang telah dirancang sejak sekian tahun oleh pihak berkuasa.

 "Sebagai golongan majoriti dalam miniroti, kami anggap ini jalan keluar paling baik untuk kehidupan langsung orang Melayu di pulau ini," kata seorang peserta Kongres Nilam (Nilai Melayu). "Yang penting sekarang ialah mencari jalan bagaimana jati diri orang Melayu terus kekal dan mencari satu formula yang boleh menonjolkan eniti keMelayuan itu sendiri."

 Membaca kertas kerja Muhammad Arif, yang pertama kali dibentangkan di "Simposium Jalinan Melayu Antarabangsa", di Holiday Inn Shah Alam April 1996 yang lalu, mengingatkan saya kepada kehidupan orang Melayu di Cape Town, Afrika Selatan. Ingatan itu diperkuatkan lagi oleh tingkah laku sekumpulan anak-anak muda Melayu di Stesen Pasir Ris. Di Cape Town, identiti Melayu yang tingal hanya nama warisan. Kaum Melayu di Cape Town tidak dapat menegaelak daripada bersemenda dan berkahwin secara saling-silang ras dengan suku-suku bangsa lain, seperti Arab dan India. Dan akhirnya bahasa Inggeris diangkat menjadi bahasa ibunda (bahasa pertama). Bahasa Melayu sudah menjadi asing, malah tidak dituturkan langsung baik sesama ahli keluarga mahu pun sesama kawan dan anggota masyarakat.

 Orang Melayu Singapura belum sampai ke tahap itu dan menurut seorang peserta agak mustahil untuk sampai ke tahap begitu, namun disebabkan keghaiarahan suku bangsa ini untuk saling bersaing dengan masyarakat-masyarakat bukan Melayu demi mengejar kemajuan akan memungkinkan berubahnya senario budaya Melayu Singapura menjadi seperti yang di Cape Town. Di Majlis Pusat, Institut Kebangsaan bagi Kepimpinan Masyarakat (NACLI), tidak ada sepatah pun bahasa Melayu digunakan di papan-papan tanda arah. Anak-anak muda yang duduk di sebalah kami itu juga lebih banyak bersembang dalam bahasa Inggeris daripada bahasa Melayu. Pakaian yang mambalut tubuh yang tidak lagi sawo matang ittu tidak lagi menampakkan ciri keMelayuan.

 Sebelum meninggalkan Singapura Ahadnya, saya mampir di Istana Kampong Glam di Sultan Gate. Seluruh kawasan istana telah menjadi hakmilik negara (state property), mulai 18 September 1999. Satu papan tanda tentang perkara itu diletakkan di depan istana dan kawasan itu telah menjadi kawasan larangan. Namun masih terdapat 11 keluarga waris Sultan Hussein Shah tinggal di dalam pekarangan istana dan pemerintah menganggapnya sebagai setinggan. Pada 29 September, ahli-ahli waris ini telah disaman untuk hadir di mahkamah bagi menjawab  mengapa mereka menduduki tanah hakmilik negara secara haram.

 Difahamkan bahawa ahli-ahli waris seperti Tengku Yusoff b T. Abd Samad dan isteri Raja Khatijah Bt Raja Saad serta Raja abu Bakar b. Raja Abd Rahman telah mngiriman surat kepada  Queen Elizabeth II di London meminta jasa baik baginda menyelesaikan masalah istana ini. Pada 15 September 1999 mereka menerima jawapan dari ratu Inggeris itu yang antara lain berkata bahawa agak mustahil bagi baginda  masuk campur  dalam hal-ehwal negara lain. Namun Baginda telah memanjangkan surat itu kepada Robin Cook, Setiausaha Luar  dan Hal-Ehwal Komonwel untuk tindakan selanjutnya. Surat jawapan Ratu Inggeris itu dialamatkan kepada Tengku Mohamad B Tengku Jamil.

 Keadaan hidup serba dhaif ahli-ahli waris Sultan Hussein di pekarangan istana adalah refleksi kisah sejarah bermulanya Sultan Hussein diangkat menjadi Sultan Johor ke-16 oleh penjajah Inggeris pada tahun 1819. Hari ini saki baki waris sultan itu mula bertaburan, sesetengahnya telah meninggalkan pulau republik itu buat selama-lamanya, menumpang ehsan di rumah kerabat di Johor, terutama di Batu Pahat. Istana Kampong Gelam pula ibarat sarang setinggan di tengah-tengah kota kosmopolitan yang corak pembangunan fizikalnya tidak ubah seperti kota London atau Cape Town.


16 April 2012

PULAU PANDAN JAUH KE TENGAH GUNUNG DAIK BERCABANG TIGA..


Kelihatan Gunung Daik bercabang tiga, patah satu tinggal dua dari Makm Bukit Cengkeh di Pulau Lingga, sewaktu rombongan GAPENA mengunjungi ke pulau yang digelar "Bonda Tanah Melayu".

Ada sesuatu yang mengusik jiwa ketika saya menjejakkan kaki di Pulau Daik Lingga 5 Julai lalu. Bulu roma tegak berdiri apabila  lebih 70 orang anggota rombongan Perkampungan Penulis Melayu Serumpun dari Malaysia, Singapura, Negeri Thai, Filipina dan tuan rumah Kepulauan Riau ditaburi beras kunyit melalui sambutan penuh adat Melayu oleh masyarakat Daik. Kemesraan datang spontan dalam dialek dan adat resam yang sama. Para pembesar Kecamatan Lingga dan Kelurahan Daik menyambut kami lengkap berpakaian baju Melayu. Sesampainya rombongan di dataran Kota Daik, yang dahulunya pasar, ribuan masyarakat Daik telahpun menunggu dengan pakaian cantik berwarna warni.

 Bekas Imam Mesjid Sultan Daik Lingga, Haji Abdul Ghani menjelaskan bahawa ramai warga Daik yang bekerja di pulau-pulau berdekatan seperti Dabosingkep, Batam, Bintan serta pulau-pulau yang lain pulang, semata-mata ingin ikut serta dalam perayaan tiga hari sempena Perkampungan penulis Melayu Serumpun ini.

 Gunung Daik masih dilindungi awan ketika kami sampai, walaupun cuaca cukup panas. Sehingga dengan demikian kami tidak berpeluang melihat gunung yang masyhur dengan cabang tiganya itu. Namun keramahan masyarakat Daik mengurangi kekecewaan itu Menurut penduduk tempatan cabang gunung itu telah "patah satu tinggalah dua". Sepatah kata Datuk Prof Zainal Keling, "Disitulah letaknya misteri Gunung Daik. Ia begitu ilusif."


Waris keturunan Kesultanan Johor-Riau-Lingga, YM Tengku Husien Saleh, B.Sc. berdiri di atas puing-puing Istana Damnah Daik Lingga ketika penggambaran program Jejak Bahasa DBP-TV3 di pulau itu pada tahun 2000.

Umumnya sambutan yang diterima rombongan boleh disimpulkan daripada pandangan Ketua I Gapena, Tan Sri Prof Emeritus Hj Ismail Hussein, "Saya begitu terharu dengan sambutan. Rasa keterikatan begitu mencengkam, seolah-olah orang Daik ini saudara rapat yang dipertemukan semula setelah sekian lama hilang."

 Perasmian perkampungan selama tiga hari ini dilakukan Gabnor Riau, Hj. Saleh Jasit, SH. Sebelum melafaz rasmi perkampungan Hj. Saleh berpantun:

       Gunung Daik bercabang tiga

      Nampak tersenyum dari Selat Melaka

      Adat resam dan nilai budaya

      Pusaka yang harus kita bina bersama.

 Sememangnya budaya dan adat resam di Daik Lingga khasnya tidak dapat dipisahkan, walaupun oleh eniti politik yang berbeza. Implikasi daripada dasar pecah dan perintah penjajah Belanda dan Inggeris abad lampau tidak sedikitpun menjejaskan kebersatuan budaya dan adat resam bangsa Melayu di Nusantara. Di Daik sendiri penduduknya mengamalkan adat dan budaya yang sama seperti di Malaysia, khususnya Johor, Riau, Brunei dan Singapura. Tutur kata sehari-hari, pemakanan dan cara berpakaian orang Daik saling tak tumpah seperti orang Melayu di daerah lain Nusantara dan alam Melayu. Semua anggota rombongan ke perkampungan ini seperti berada di tengah-tengah keluarga sendiri apatah lagi mereka mendapat "berkeluarga angkat" semasa tinggal di Daik.   


YM Raja Hamzah Yunus (kanan) ahli waris Yamtuan Muda Riau bersama-sama rombongan Jejak Bahasa DBP-TV3, wakil GAPENA dan wakil Jabatan Penyelidikan DBP di Balai Maklumat dan Dokumentasi Pulau Penyengat pada tahun 2000.

 Memang benarlah Daik Lingga adalah bunda tanah Melayu. Raja Hamzah Raja Yunus, generasi keenam daripada waris keturunan Raja Haji Fisabilillah, Yamtuan Muda Riau ke-4 mengungkapkannya demikian. Raja Hamzah, Ketua Pusat Maklumat Kebudayaan Melayu Riau berkata, "Daik itu pernah menjadi pusat Kerajaan Lingga-Riau selama kurang lebih 120 tahun. Sebagai pusat kerajaan tentu di sana juga sebagai pusat pengembangan budaya, adat istiadat, serta agama. Dengan demikian pada suatu ketika memang pantas Daik-Lingga dikatakan sebagai bunda tanah Melayu.

 Sebagai saksi sejarah kepada keagungan silam kerajaan Daik, terdapat empat makam sultan Melayu, iaitu Makam Sultan Mahmud Riayat Shah, Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah, Sultan Muhammad dan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah II. Ada pula makam Yang Dipertuan Muda Riau ke-10, Raja Muhammad Yusuf. Kemudian terdapat pula bekas lima buah istana, iaitu Istana Pengkalan Kenanga, Istana Keraton, Istana Damnah, Istana Robat dan Istana 44 bilik. Istana terakhir ini tidak sempat siap kerana sultannya telah dipecat Belanda.

 Untuk melihat keagungan kerajaan Riau-Lingga di tanah Daik tidak sukar seperti diakui Raja Hamzah. Sebabnya, semasa Daik menjadi pusat kerajaan, ia pernah mengembangkan budaya fikir yang dituangkan dalam bentuk tulisan. Katanya, "Masih banyak naskhah lama tentang kerajaan Daik Lingga atau yang berkaitan dengan masalah budaya serta agama yang ditulis oleh pengarang  tanah Lingga. Naskhah itu sekarang masih banyak dan masih dapat dibaca. Jadi tidak begitu sulit kalau ada orang yang mahu menelaah tentang kebesaran kerajaan Riau-Lingga di Daik."

 Salah seorang penduduk Daik yang masih banyak menyimpan naskhah lama ialah Tengku Husein Saleh, generasi keenam daripada keturunan Sultan Muhammad  Muazzam Shah yang memerintah Riau Lingga dari tahun 1830 hingga 1841. Dalam pertemuan singkat kami (Datuk Prof. Zainal Keling, Prof. Amat Johari Moain, Prof. Madya Zainal Borhan dan Raja Hamzah)  satu petang dengan beliau, Tengku Husein bukan sahaja memperagakan naskhah-naskhah lama yang ditulis tangan, tetapi juga membentangkan carta salsilah keturunannya. Tengku Husein menyelusuri salsilah keturunannya  seawal Sang Nila Utama yang digelar Sri Tri Buana dan berayahkan Sang Saperba dari Bukit Siguntang, Palembang. Sang Nila Utamalah yang menemui Tumasik (Singapura) dan menjadi raja pertama Singapura pada tahun 1160.

 Menurut salsilah itu, Singapura diperintah oleh lima orang raja, iaitu Sri Tri Buana sendiri, Sri Pekermawira (1203), Sri Ratna Wikarma (1223), Sri Maharaja  (1236), Sri Iskandar (1249). Sewaktu pemerintahan Sri Maharaja, Singpaura telah dilanggar todak dan sewaktu pemerintahan Sri Maharaja (Parameswara?) Majapahit datang melanggar Singapura dan Sri Maharaja terpaksa berundur ke  Melaka dan berbuat negeri di sana pada tahun 1254. Saya tanyakan Tengku Husein dan Raja Hamzah tentang perbezaan hampir 200 tahun antara tarikh ini dengan tarikh yang diberikan orintalis Barat yang Malaka dibuka Parameswara pada tahun 1403.

 "Mungkin ada motif tertentu pihak Barat untuk menidakkan tamadun Melayu sebelum Melaka. Pada hal Singpaura sudah pun melahirkan tamadun besar di bawah pemerintahan raja-raja Melayu yang belum masuk Islam," jawab Raja Hamzah. Tengku Husein sependapat dengan Raja Hamzah.

 "Kita kena luruskan sejarah. Dan rasanya mestilah ada orang yang sanggup membuat penelitian. Dan selagi belum ada penemuan dan hasil penelitian yang menyangkal fakta Barat ini maka kita terpaksalah menganggap yang ada sekarang adalah benar," celah Zainal Keling.

 Salsilah yang dibentangkan Tengku Husein ini berupa dokumen penting untuk dikaji sebagai langkah awal untuk meluruskan sejarah keagungan tamadun Melayu. Daik telah membuka pintunya untuk memberi peluang kepada ahli sejarah bangsa Melayu sendiri, paling-paling untuk menyangkal segala bentuk tulisan Barat selama ini. Ikut serta dalam rombongan beberapa orang ahli akademik dari jurusan sejarah. Tengku Husein dan Raja Hamzah'  masing-masing daripada keturunan Yang Dipertuan Besar atau Sultan Riau-Lingga dan Yamtuan Muda Riau malah dengan segala senang hati mahu memberikan kerjasama. Keramahan dan kemesraan masyarakat Daik, yang menurut Raja Hamzah, sebahagian besarnya daripada keturunan pengikut-pengikut Sultan Mahmud Shah yang berpindah dari Hulu Riau membuka negeri di Daik Lingga, turut menambah ringankan beban peneliti untuk mencari kebenaran sejarah.

 Cuma amat disayangkan seperti kata Datuk Zainal, tapak bekas kerajaan Melayu di Riau Lingga ini, seperti halnya di negeri-negeri Melayu lainnya, tidak dapat bertahan lama. Tidak seperti halnya dengan  tinggalan sejarah purba di Itali, misalnya yang masih tersergam walaupun usianya sudah hampir seribu tahun. "Tapi, kita tidak pula dapat menafikan bahawa kebanyakan istana sultan zaman dulu diperbuat daripada kayu. Ia tak tahan," katanya.

 Namun ia tidak bererti usaha meluruskan sejarah terhenti di situ. Raja Hamzah berkata sejarah boleh digali  dan akan menjadi sah faktanya jika peneliti mengikuti empat syarat penting. Syarat-syarat itu ialah  ada cerita, ada salsilah, ada keududukan awal dan ada siarah, iaitu kaitan kekeluargaan dengan keluarga dalam istana berdasarkan semenda. Di Daik hingga ke Hulu Riau kesemua syarat ini dapat dipenuhi. Terserah kepada sungguh tidak sungguhnya para peneliti yang berminat dalam hal ini.

"Contohnya, di Riau Lingga pernah ada seorang wanita menjadi raja. Baginda ialah Engku Fatimah, Sultanah yang memerintah negeri. Silakan cari sejarahnya," kata Raja Hamzah.

 Selama tiga hari di Kota Daik, runtunan hati untuk kembali mengenang zaman silam semakin menggugah jiwa apabila setiap malam pelbagai persembahan budaya dipentaskan masyarakat Daik. Pada malam pertama pesta joget tempo dulu-dulu yang popular di tahun-tahun 1950an di "Happy World" Singapura dipersembahkan. Yang menjadi penarinya wanita-wanita yang sudah berumur dan isteri orang. Pada malam kedua dipentaskan pula Bangsawan Melayu bertjudul "Hulubalang Daik" sementara pada malam terakhir diadakan pula tarian-tarian tradisional dan tarian orang laut. Pelakon-pelakon bangsawan terdiri kebanyakan daripada suri rumah. Sejarah mencatatkan bahawa  kerajaan dahulu memang kaya seni. Malah ada yang mendakwa bahawa muzik Ghazal berasal dari Daik, lalu berkembang di Johor dan kawasan-kawan lain di Tanah Melayu.

 Demikianlah, kembara budaya rombongan dari mancanegara di Nusantara ini telah mewujudkan semacam untaian rasa dan kenangan yang tidak begitu mudah dilupakan. Gunung Daik yang pada hari pertama masih menyembunyikan tiga cabangnya, mula bermurah hati pada hari kedua. Setelah hujan lebat mencurah turun pada paginya, kami disajikan pemandangan yang mengasyikkan. Tiga cabang gunung itu menampakkan diri, yang oleh masyarakat Daik diungkapkan "Gunung Daik bercabang tiga, patah satu tinggallah dua." Sebabnnya, cabang kiri gunung  telah patah di tengah-tengah - A.F.Yassin. (Dipetik daripada majalah berita mingguan Massa, 17 Juli 1999, yang diterbitkan Kumpulan Utusan Melayu)


 


05 April 2012

MENGUNJUNGI RUMAH KEDAH DI MEKAH AL-MUKARRAMAH


Rombongan GAPENA ketika mengunjungi kediaman Duta Besar Malaysia di Arab Saudi di Jeddah

MENGUNJUNGI RUMAH KEDAH DI MEKAH
Bangunan empat tingkat yang diwakafkan Sultan Kedah, yang terletak kira-kira lima kilometer dari Masjidil Haram di Mekah dinamakan Wakaf Nuzhak. Bangunan 16 pintu ini adalah pemberian sultan kepada warga Kedah yang belajar dan menetap dan mencari rezeki di Mekah. Memang tujuan utama bangunan ini dibeli adalah untuk kemudahan pelajar-pelajar yang ingin mendalami ilmu agama dan hafiz al-Quran. Namun ada juga beberapa warga asal Kedah yang bukan pelajar  menjadi penghuninya. Warga ini biasanya bekerja sambilan sana sini mencari rezeki halal. Ada yang bekerja sebagai pemandu teksi dan ada pula yang mencari upah  mengerjakan Umrah atau Haji bagi pihak orang lain. Untuk membiayai kos penyenggaraan maka sebahagian daripada bangunan ini disewakan kepada penduduk-penduduk Arab.

 Salah seorang penghuni bangunan, asal Kedah ialah Hassan Shafie al-Qedah. Pada pagi Jumaat, 2 Jun lalu, kami dijemput ke rumahnya di bangunan itu dengan teksi yang dipandu adiknya Hussain. Pada mulanya saya menyangka Hassan dan Hussain ini orang Arab Yaman, melihat daripada pakaian dan perawakan mereka. Sesekali teringat pula akan wajah orang Melayu yang sarat dengan pakaian ala Arab ketika melintas di Sungai Pencala, Kuala Lumpur. Bagaimanapun, Hassan dan Hussein yang kami temui pagi itu dua insan yang saya kira sedang merindukan “berita” dari kampung halamannya. Dalam kerinduan itu pula mereka tidak tanggung-tanggung mahu bercerita tentang ehwal mereka, sebagai pemastautin di kota suci Mekah.
 Hassan tiba di Mekah pada tahun 1948 ketika usianya dua setengah tahun. Dia anak Kaki Bukit. Ketika baru sampai orang tua Hassan dan keluarga menetap tidak jauh dari dari kawasan Masjidul Haram. Hassan tak pandai bertutur dalam bahasa Melayu pada suatu ketika. Sekarang dia pandai dan menurutnya kepandaiannya itu adalah hasil interaksinya dengan  ahli-ahli jemaah Haji dan Umrah saban ketika setiap tahun. Ternyata dia memang petah berbahasa, cuma pelat Arabnya menguasai penuh tutur katanya bagaikan lidahnya sudah setebal lidah Arab.

 Hassan tidak lokek berkongsi pengetahuan, terutama dengan kami yang sejak pagi lagi menunggu kedatangannya. Rombongan kecil kami terdiri daripada Hj Shaari Awang Besar, Osman Ayob (kedua-duanya dari ASASI), Yaakob Haron, Prof. Madya Dr. Mohamad Redzuan Othman (kedua-duanya dari Universiti Malaya), Megat Shamsuddin dan Idris Said dari RTM. Pada mulanya “segan” juga hendak ikut serta, maklum tidak ada kawan rapat yang turut serta. Namun oleh kerana Tan Sri Ismail Hussein membuat pelawaan  saya menjadi serba salah. Janggal rasanya. Kata Ismail, ” Barangkali ada sesuatu yang menarik tentang Rumah Kedah atau penghuninya.”
Barangkali ada wakil Utusan Melayu atau Berita Harian yang ikut. Tidak ada. Yang ada hanya krew RTM. Barangkali juga Wahba atau Nazar Abdul punya acara yang berasingan. Wartawan Utusan Melayu Wahba khabarnya tidak dapat bergerak lasak kerana sehari sebelumnya tapak kakinya melecur akibat memijak batau jalan yang panas. Wahba terpaksa berkaki ayam balik dari solat di Masjidul Haram kerana seliparnya dicuri orang. Mahu tidak mahu saya gahkan juga untuk ikut serta. Lagi pula sehari sebelumnya saya tidak dapat hadir  di majlis kenduri di rumah tokoh masyarakat Melayu Mekah, Wan Hussain Wan Abdullah kerana ada temu janji dengan Ibrahim Abdullah, mualaf asal jerman yang berkahwin dengan wanita Melayu, Ani Kamaruddin dari Kampung Tanjung Kota, Negeri Sembilan. Pasangan suami isteri ini telah bermastautin di Mekah sejak tahun 1996. Wan Hussein yang mesra dengan  panggilan Pak Wan berasal dari Baling, Kedah. Khabarnya kira-kira 50 orang hadir dalam majlis itu.

 Memang menarik. Sepanjang perjalanan sebelum sampai di Wakaf Kedah itu, kami dibawa mengunjungi beberapa tempat bersejarah yang berkaitan dengan Rasulullah. Kira-kira setengah kilometer dari Masjidul Haram, Hassan menunjukkan bekas tapak Wakaf Kedah yang kini sudah diganti dengan bangunan tinggi-tinggi yang tersergam dilereng-lereng bukit. Katanya, “Kami terpaksa pindah ke daeah luar yang sebelumnya tidak dihuni oleh sesiapa kecuali binatang liar seperti serigala dan ular.”
Kemudian kami berhenti seketika di sebuah bangunan kecil yang  usang. Kami tafakkur sebentar melihat bangunan yang letaknya berdekatan dengan jalan raya. Kata Hassan, “Inilah rumah tempat Nabi dilahirkan.”  Serta merta hati menjadi sayu dan kami tergesa-gesa keluar dari kenderaan untuk melihat bangunan itu dengan lebih dekat. “Yang di sebelah kiri di bawah jejantas itu adalah bekas tempat tinggal Saidina Ali. Sekarang ia sudah menjadi tempat letak kereta.” Sebelum sampai ke Wakaf Kedah Hassan membawa kami mengunjungi ke Wakaf Jarwal. Di wakaf ini terletak telaga di mana Rasulullah sempat mandi sebelum memasuki Mekah dalam kemenangan dari Madinah.

 Hassan sungguh bertenaga membawa kami sambil bercerita. Panas terik Kota Mekah dengan mencubit-cubit kulit bagaikan tidak terasa kerana Hassan pandai bercerita. Sesekali dia cuba juga bertutur dengan pelat Kedah, terutama apabila dia mengingat kembali zaman remajanya di Kota Suci itu. Menurutnya, ayahnya datang dahulu ke Mekah bersama Tok Guru  Idris yang berasal dari Air Hitam, Kedah. Setelah keadaan mengizinkan ayah Hassan  menjemput isteri dan anak-anaknya, termasuk Hassan yang baru berusia dua tahun setengah. Hassan mendapat didikan agama dan pada suatu ketika mengajar sebelum menjadi tukang jahit. Katanya, “Maklum, mahu bekerja undang-undang tidak membenarkan. Sekarang ini kami cari rezeki dengan membuat kerja macam-macam seperti mengambil upah Haji dan Umrah. “
Melihat keadaan rumahnya yang serba selesa, tidak ada siapa yang percaya yang Hassan tidak mempunyai kerja tetap. Katanya, “Ada rumah, ada dua kereta. Alhamdulillah rezeki ada di mana-mana.” Menurutnya lagi, setiap bulan dia terpaksa belanja dua ribu rial (sekitar RM2,000) untuk anak isteri. “Untungnya adik-adik kasi seribu rial. Yang lain adalah sedikit kerja sana sini.” Hassan menawarkan upah mengerjakan Haji bagi mereka tidak berupaya ke Tanah Suci sebanyak tiga ribu rial, manakala upah mengerjakan Umrah lima ratus rial. Maka sebahagian besar rezekinya adalah melalui cara begini. Katanya, “Apa yang saya lakukan ialah tolong menghasilkan Haji atau Umrah. Ertinya saya dan anak-anak isteri saya tolong sama mengerjakan Haji atau Umrah untuk mereka yang memerlukan bantuan.”

 Apakah tidak ada niat untuk pulang ke Malaysia? Hassan senyum sambil menjawab, “Kalau balik apa nak buat. Naik balik pun duit tak dak. Anak ramai. Tiga tahun dulu ada anak-anak balik kampung nak buat kad pengenalan. Kami semua masih lagi warganegara Malaysia.”  Hassan tidak menyendiri dengan keluarganya. Malah masa baginya terlalu singkat. Terlalu banyak kegiatan dilakukannya. Menurutnya setiap hari ada sahaja orang Malaysia mengerjakan Umrah di luar musim haji, terutama di bulan puasa. “Insya Allah ada sahaja rezeki.” Kemudian ada kalanya masyarakat Melayu di sekitar Mekah ini mengadakan kegiatan berkumpul dan berkenduri. Mereka saling menziarahi. “Ada masanya kami jumpa dalam masjid sendiri. Malam kalmarin kami kumpul di rumah Pak Wan meraikan  rombongan Gapena.”
Yang menarik tentang Hassan ini ialah cara dia mengahwini isterinya sekarang. Isterinya bukan wanita Arab tetapi wanita dari Perlis. “Ada cerita tentang isteri saya ini,” katanya. Menurut Hassan, pada mulanya dia tidak mahu kahwin lagi kerana belum punya kerja tetap. Lagipun, katanya mana ada anak gadis yang mahu menikah dengan lelaki yang tidak punya kerja. Oleh kerana desakan keluarga Hassan yang ketika itu berusia 21 tahun mengirimkan gambarnya yang paling hodoh dengan harapan wanita pilihan keluarganya itu menolak pinangannya. “Saya terpaksa buat begitu kerana pendapatan saya hanya 120 rial sahaja, gaji mengajar pondok. Dalam   gambar itu saya betul-betul kurus kerana saya ambil selepas sakit,” katanya. Bagaimanapun oleh kerana sudah jodoh, wanita itu tidak menolaknya dan akhirnya “sampailah hari ini dia menjadi isteri saya.”

 Demikianlah, Hassan Shafie al-Qedah yang menjemput kami ke rumah pangsanya untuk saling memperkenal diri. Hassan begitu polos dan bersama adiknya Hussain mencari rezeki halal di daerah Tanah Suci. Adiknya membawa teksi dengan rezekinya tertumpah apabila mengangkut jemaah yang ingin keluar dari kawasan Tanah Haram untuk mengambil Miqat (niat Ihram) Umrah di Tan’im (jauhnya enam kilometer) atau di Ji’ranah (jauhnya 16 kilometer).  Inilah sumber rezeki utama mereka dan “Alhamdulillah!” kata mereka, “Kami bersyukur bahawa di Tanah Suci ini, rezeki ada di mana-mana, asal ada usaha.” Ungkapan ini disebut Hassan berulang kali sepanjang pertemuan di bilik tetamunya yang nyaman dan selesa.
Hassan dan Hussein, kedua-duanya anak Melayu yang seperti halnya anak-anak Melayu di tempat lain di Benua Afrika dan Asia sanggup merentas halangan meneroka daerah baru sambil berakomodasi dengan penduduk setempat. Bagi Hassan dan Hussein, ayah mereka menentukan nasib mereka di bumi Arab, barangkali ingin melihat Hassan dan Hussain menjadi insan yang soleh dengan hidup matinya di Tanah Mulia bumi Mekah.

 A.F.Yassin 15 Jun 2000












01 April 2012

CERITA EMPAT SEBIRAS DARI KELUARGA SULEIMAN DAN ASIAH!



Isteri Ayob, Zubaidah Suleiman memeluk seorang anggota keluarga sebelum berpisah di ruang menunggu ICU Hospitak Serdang, 31 Mac 2012. 

Kami berempat dan sebiras. Ertinya kami - Ayob Hashim dari Muar, Ahmad Fadzil Yassin dari Kota, Negeri Sembilan, Mohd Daud Kassim dari Segamat dan Norzrin Mohd Noor dari Seri Menanti, Kuala Pilah -  berkahwin dengan empat gadis dari keluarga Haji Suleiman Rahimin dan Hajah Asiah Minhat di Johor Bahru. Ayob berkahwin dengan Zubaidah Suleiman, Ahmad Fadzil berkahwin dengan Rubiyah Suleiman, Norzrin berkahwin dengan Noraniza Suleiman manakala Mohd Daud berkahwin dengan Normaizon Suleiman.

Kami empat sebiras ini memang mesra dan rapat sehingga ke hari ini. Tetapi kami jarang berjumpa, kalau pun ada sesekali, terutama pada musim lebaran. Ada seorang lagi biras. Namanya Zulkarnain atau Zul (panggilan mesra kami) berkahwin dengan Noraleeza Suleiman. Namun Zul tidaklah serapat kami berempat. Ini mungkin kerana usia Zul yang agak jauh juniornya.


Biras Norzrin (duduk) dengan biras Mohd Daud sedang berbincang tentang keadaan Ayob yang sedang berada di Wad ICU.


Yang ingin kongsi pengalaman ialah apabila empat sebiras ini sama-sama bercuti dan tinggal serumah di Kg. Melayu, Majidee Johor Bahru. Kalau kebetulan malam minggu, kami berempat sering menghabiskan waktu sehingga ke pagi dengan bermain trup (atau kad). Kami kumpul mata yang menang akan belanja yang kalah. Kadang-kadang begitu asyiknya bermain kami lupa waktu sehinggalah azan subuh bergema dari Masjid Kg. Melayu. Sebelum itu empat sebiras ini bersama adik-adik ipar lelaki akan mengikuti  "ngopi" atau "ngoteh" di bandar, biasanya di Restoran Singgah Selalu. Yang sering mengiringi kami ialah Mohd Sedek dan Mohd Ruskeen. Kadang-kaang turut ikut Mohd. Nazmir

Ini cerita lama yang kadang-kadang mengusik jiwa. Cerita kemesraan itu hanya tinggal kenangan. Kelmarin di ruang menunggu ICU Tingkat 4 Hospital Serdang, kami bertiga tanpa Ayob yang sedang berada di Wad ICU, merenung jauh ke belakang dan ke hadapan. Bagaimanakah nasib tiga sebiras ini setelah melihat keadaan kritikal Ayob. Dan walaupun Ayob berkahwin dengan adik dalam keluarga Hj. Suleiman ini, namun Ayob adalah yang tua daripada segi usia.

Biras Ayob bersama isteri Zubaidah ketika menghadiri majlis pertunangan anak saudara di Bukit Jelutong, Shah Alam, Februari 2012 yang lalu. 

Saya melihat kesayuan dalam mata Mohd Daud dan Norzrin. Boleh saya bayangkan perasaan mereka. Tanpa Ayob kami tidak dapat melihat keletah dan tingkah Ayob semasa dengan kami. Jarang sekali beliau marah di hadapan kami dan kami pun demikian pula. Malah kami pula yang sering memanipulasi permainan, misalnya, sehingga menyebabkan Ayob kalah terpaksa dalam permainan. Dan akhirnya beliau sering "ngocok" daun dan membahagi-bahagikan buat kami. Dan seperti biasa permainan Jin-Ramilah yang paling kami gemari. Dan kami sering ketawa melihat cara Ayob memegang dan menyusun kad. Dan kami sentiaasa melihat wajahnya ketika Ayob hampir menang. Seronok  sekali!

Hampir jam tujuh kami masih lagi berada di ruang menunggu. Dan mengikut waktu, kami sudah harus beredar meninggalkan rung itu kerana waktu terakhir ziarah ialah 6.30 petang. Hampir 20 orang datang berkunjung petang ini, termasuk anggota keluarga terdekat Ayob dan isterinya Zubaidah. Tiga keluarga datang dari Johor Bahru.

Hanya doa yang dapat kami panjatkan agar Ayob kembali sembuh dan dapat bersama anggota keluarganya semula. Ayob mempunyai dua orang anak yang sudah berkahwin dan tiga cucu. Ketika turun ke ruang lobi, Mohd Daud, Norzrin dan saya berjalan seiiring menuju lif. Mohd Daud dan keluarga akan pulang ke ruahnya di Jalan Jelutong, Shah Alam, Norzrin akan menginap semalam lagi di rumah adiknya di Bangi Perdana sementara saya dan keluarga akan pulang ke Sg. Buloh. Masih dalam kepala kenangan biras berempat, dan akan terus berputar selagi Ayob dalam keadaan kritikal begitu.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PROFIL

My photo
Rawang, Selangor Darul Ehsan, Malaysia

What Other People Say...


"A.F.Yassin dalam cerpennya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).