21 November 2011

SETELAH ENAM DEKAD MERANTAU MERAJUK HATI...


Abdullah (kanan) bersama Haji Hamdan Yatim (tengah) dan Bahari di rumah Hamdan di Taman Fajar Harapan Bongek 8 Nov. 2011 yang lalu.

SETELAH LEBIH ENAM DEKAD TINGGALKAN TANAH DATAR
Nama ini betul-betul baru. Belum pernah saya dengar nama ini sejak saya mengenal asam garam kehidupan lebih enam dekad yang lalu. Tiba-tiba saya terlihat fotonya dalam facebook. Fikir saya, “Macam kenal, tapi siapa ya?” Setelah bebarapa kali berkomunikasi melalui media social itu, “foto” itu memaklumkan bahawa “saya abang Bahari Abd. Rahman. Nama saya Abdullah dan berusia 70 tahun.”

Pertama kali saya dengar Bahari Abd. Rahman, suami Rosiah (kini Datuk) mempunyai abang. Saya kagum melihat foto yang dipamerkan dalam Facebook. Saling tak tumpah wajah Bahari yang saya kenal sejak bersama sebagai murid di Sekolah Tunku Besar Tampin tahun 1950an dahulu.
Itulah asal mula saya mengenali Abdullah, seorang “warih” dari suku Tanah Datar, Gadong yang mengikut ceritanya merantau ke Kuala Lumpur setelah dikatakan merajuk akibat tertekan dengan cakap-cakap kurang positif orang kampong terhadap dirinya. Beliau meninggalkan kampung setelah tamat belajar setakat Darjah VII di Sekolah Melayu Kota (terletak di Kampong Perah) sekitar tahun 1955.Dengan berbekalkan pendidikan di tahap itu dan dilengkapi asas-asas ilmu agama yang dipelajarinya di sekolah Agama Ulu Gadong (kini dinamakan Sekolah Menengah Agama Haji Mohd. Yatim, Ulu Gadong), Abdullah meneruskan pelajaran secara sendiri-sendiri sehingga Berjaya memasuki Institiut Pertanian Serdang.
Rumah tradisi Abdullah di Tanah Datar, Gadong
Beliau akhirnya memajukan bidang kerjayanya dalam bidang pertanian dan berkhidmat sebagai kakitangan kerajaan. Menurutnya mana negeri yang beliau tidak memberikan khidmatnya. Beliau cukup banyak pengalaman bagaikan beliau sendiri faham asam garam sebagai seorang anak tani, lahir dan membesar di kampung. Barangkali beliau amat
memahami bahawa ayahnya mungkin
seorang penoreh getah, manakal ibunya seorang pesawah. Apatah lagi apabila beliau adalah ahli waris yang taat mengamalkan sistem adat Perpatih. Anak suku Tanah Datar ini pernah menyemenda ke suku Biduanda Gadong.
Beliau aktif dalam kerja-kerja sosial dan kemasyarakatan. Beliau tidak mengasingkan diri dalam memahami politik tanah air. Malah beliau memperkasa dirinya menjadi seorang yang pintar berkomunikasi dengan penduduk setempat, terutama di tempat beliau tinggal sekarang, iaitu di Taman Sri Rampai, Setapak Jaya. Begitu akrabnya beliau dengan anggota masyarakat setempat beliau terus dipilih menjadi pemimpin masyarakat (opinion leader) yang saya anggap amat disenangi. Beliau cepat mesra, mesra tegur sapanya malah ketawanya telah menjadi ciri khas perawakannya. Saya sendiri baru menganalinya kira-kira sebulan yang lalu tetapi kemesraan bersamanya seolah-olah saya telah mengenalinya sejak mula mengenal asam garam kehidupan. Dan ketika beliau menyebut nama saya, seolah-olah saya merasa saya seperti mempunyai seorang abang kandung yang sejak 50 tahun lalu hilang “entah ke mana.”
Latiff Rahman menunjukkan kolam ikan lele kepada Abdullah dan Bahari di Lubok China.
Pada 8 November 2011 yang lalu, saya, Abdullah dan adiknya Bahari behalal-bihalal ke kampung untuk menemui beberapa orang kampong yang telah lama tidak dikunjungi Abdullah. Maklum sejak merantau pada tahun 1955. Nama yang masih meniti di bibir Abdullah ialah Haji Hamdan Yatim, anak mantan Kadi Rembau, Haji Mohd. Yatim Haji Zainal, Abd. Latiff Rahman yang sesuku dengan Abdullah dan seorang dua yang namanya masih meniti di bibirnya. Sepanjang hari pada Selasa itu kami mengadakan kunjungan ke rumah mereka.
Di Bongek Abdullah menemui Haji Hamdan, kini bertugas sebagai Imam di Masjid Bongek, Chengkau. Kalau tak dilerai pertemuan dua kawan lama ini barangkali Abdullah ‘kena tinggal bermalam di rumah Hamdan.” Kemudian kami mengunjungi Latiff Rahman di Lubok China di Taman Berembang Jaya. Latiff sempat memperkenalkan kolam mandi mini dan Homestay Villanya. Kami dijamu dengan masakan khas “gulai lomak cilia api”. Sebelum mengunjungi ibu saya, Minah Wahab dan bekas rakan sekerja, Haji Majid dan isteri, Kak Chik, kami bertiga sempat mengunjungi replica Istana Raja Melewar di Istana Raja.
Mantan teman sekerja Abdul Majid diapit Abdullah (kiri) dan Bahari di rumah Majid di Gadong, 8 Nov. 2011
Dan biasanya, Abdullah dan Bahari akan bernostalgia, malah tafakur beberapa minit di “porak”  rumah ibunya di Kampong Ulu Gadong, tetapi masih dalam suku Tanah Datar. Sebuah rumah tradisi yang mungkin telah berusia satu abad masih utuh. Binaan dan struktur rumah masih kukuh.Rumah yang terletak betul-betul di belakang Sekolah Menengah Agama Haji Mohd Yatim Ulu Gadong. Ketika di rumah Minah Wahab, perbualan berlangsung hamper satu jam. Abdullah banyak bercerita tentang kisah beliau masih kanak-kanak dan beliau dianggap nakal. Abdullah dan Bahari dijamu dengan lemang dan rending kerana kebetulan sudah masuk waktu minum petang. Sebelum meninggalkan kampong Abdullah menguji ingatan teman sekerjanya, Majid yang tinggal sejiran dengan rumah ibu saya, Minah.
Ternyata Majid tidak mengenali Abdullah sehingga Majid mendengar ketawanya. “Dollah ni. Apa buat kat sini?” dan walaupun perbualan ringkas tapi mereka saling berpelukan dan bercerita kisah lama ketika bertugas di Kuala Lumpur. “kita akan jumpa lagi, Insya Allah,” kata Abdullah. Dan dari Majid Abdullah dapat tahu bahawa Majid suami isteri baru sahaja “pulang kampong” beberapa tahun kebelekangan ini.

Begitulah perjalanan Abdullah dengan ditemani adiknya Bahari dan saya menelusuri sepanjang jalan kenangan  sehari suntuk hanya untuk menemui dua tiga orang rakan lamanya yang tidak pernah ditemuinya sejak tahun 1955.  Seorang budak kampong yang merajuk hati  yang akhirnya menjadi seorang yang dianggap popular di kalangan komunitinya di tempat barunya di Kuala Lumpur.
Itulah Haji Abdullah Abd. Rahman, yang kini bertugas sebagai Pengerusi  masjid Taman Sri Rampai, Setapak Jaya. Namun beliau tetap sederhana dalam penampilan, cepat mesra dan mudah beragul.  Beliau turut memiliki blognya sendiri yang beliau namakan Cahaya Andang http://www.cahayaandang.blogspot.com


16 September 2011

SUTARDJI JAHIL TENTANG PENULIS-PENULIS MALAYSIA?

 Tan Sri Ismail Hussain, Ketua 1 GAPENA, dalam stu pose temubual denagan penulis rencana, A.F.Yassin di Rumah Gapena, 2007.


Rencana ini telah disiarkan dalam dalam Ruangan "Sastera dan Budaya", Berita Harian, 2 Ogos 1999 yang lalu, dengan judul "Gapena Hanya Buang Masa: Sutardji".

"Seniman perlu ada semangat amok," kata Sutardji Calzoum Bachri, ketika membentangkan kertaskerjanya dalam Kolokium Penulisan Kreatif di Daik-Lingga, Riau 7 Julai lalu. Sutardji berkata demikian di hadapan kira-kira 80 orang peserta Perkampungan Penulis Melayu Serumpun dari lima negara di Daik Lingga di Balai Pertemuan Kelurahan Daik di Jalan Masjid Sultan Lingga. Maksud semangat amok ini boleh ditafsir berbagai-bagai. Hamzah Hamdani yang ikut serta menafsirkan sebagai penulis mestilah berani melahirkan karya besar yang kadang-kadang menongkah arus. Ada pula yang menilai Sutardji melepaskan geram kerana kecewa tidak dapat yang dia mahukan.

Tentang Gapena Suratdji menilai badan itu selama ini mengadakan kegiatan yang sia-sia, Tidak ada hasil yang konkrit seperti penerbitan buku setelah berlangsungnya sesuatu kegiatan. Sutardji kesal rancangan Gapena hanya "membuang masa, tenaga dan wang. "Hanya sia-sia lebih kepada kegiatan basa-basi. Kegiatan Gapena lebih kepada mencari Melayu di mana saja," ujarnya.

Para peserta yang hadir bercakap sesama sendiri, sebagai memberikan reaksi pro-dan kontra terhadap pandangan Sutardji. Di luar balai, reaksi semakin gencar. Ada yang marah dan ada pula yang kesal dengan penilaian Sutardji terhadap kegiatan Gapena. Saya melihat ada kesatuan dalam membidas sikap kurang sopan Sutardji dari peserta-peserta Malaysia. Hampir semuanya mempertahankan Gapena, terutama Tan Sri Ismail Hussein, Ketua Satunya.

"Tak patut Sutardji berkata begitu," kata Tengku Alias Taib. "Nampak sangat dia ini dengki. Perli kawan-kawan seperti Taufik Ismail dan Rendra yang mendapat layanan istimewa dari Kerajaan Malaysia. Tengku Alias menambah, "biar orang lain mengakui kita penyair besar. Tak perlulah kita angkat diri sendiri. Saya rasa dia hendak layanan seperti Taufik, terbitkan puisinya, beri layanan baik seperti yang diterinma Rendra dan Taufik dan beri anugerah RM5,000 seperti Taufik."

Akhirnya Tengku Alias menilai Sutardji terlalu membesarkan diri bila berkata puisi Taufik tidak bernilai sedangkan "puisi-puisi Taufik dalam bukunya Aku Malu Menjadi Bangsa Indonesia sungguh tinggi nilainya berbanding sesetangah puisi Sutardji."

Peserta Sabar Bohari turut tidak berkenan dengan pandangan Sutardji dan mempertahankan Gapena yang selama ini telah berbuat banyak dalam meningkatkan martabat sastera Malaysia di mata dunia. Sementara beberapa peserta Malaysia lain mempersoalkan kridibiliti Sutardji dalam menilai usaha Gapena. "Siapa Sutardji? Dia orang luar dan tidak sepatutnya memperli kegiatan Gapena. Barangkali dia kecewa kerana tidak dapat kerana Gapena dan Malaysia tidak memilihnya menerima Anugerah sastera Nusantara baru-baru ini," kata seorang peserta.

"Lihat saja aksinya di pentas. Dengan cara dia menghisap paip dan matanya meliar ke sana ke mari seperti dia tidak menunpukan perhatian kepada kolokium. Biarkan dia seperti Si Luncai terjun dengan labu-labunya," marah peserta lain. Lau disambut seorang lagi peserta, "Biarkan, biarkan."

Sutardji Luncai? Tidak. Dia bajak wangkang makan diangkat, kata seorang. Malah ada menuduhnya kurang sopan apabila berbicara. Dan dia bicara di depan peserta yang sebahagian besarnya dari Malaysia dan kebanyakannya penulis mapan dan ahli akademik yang punya nama. Ada yang menilai bahawa Sutardji terlalu geram dan kecewa dengan Malaysia kerana kononnya dia tidak dianggap setaraf dengan Rendra dan Taufik. Lalu dia menjadikan Gapena kambing hitamnya. Terdengar juga suara marah-marah dari peserta Malaysia yang menghentam Sutardji dari sudut peribadi yang kurang enak dicatatkan.

Saya tanyakan Hamzah Hamdani tentang kriteria pemberian anugerah sastera Nusantara di Johor Bahru baru-baru ini. Jawabnya ada beberapa yang perlu dilihat. Pertama karya terbaru seseorang calon penerima. Kedua usaha dan kegiatan dan penglibatannya dalam membina dan mengembangkan produk kesusasteraan kepada masyarakat khalayak dan ketiga sumbangan pemikiran calon penerima terhadap dunia kesusasteraan di negara masing-masing, khasnya.

Maka dalam hal ini memang wajar Taufik Ismail dipilih untuk menerima anugerah, terutama apabila dilihat sumbangan kegiatan dan pemikirananya dalam menjayakan Pertemuan Sasterawan Nusantara ke-9 dua tahun lalu di Bukit Tinggi dan Padang di Sumatra Barat. Umumnya semua orang mengakui Sutardji seniman besar di Indonesia, malah oleh Ismail Hussein, Sutardji dianggap seniman tulen. Sutardji punya wawasan yang ideal untuk membina kesusasteraan yang biasanya dimilik semua seniman tulen. Wawasan itu kadang-kadang terlalu ideal untuk berpijak di bumi nyata. Sedangkan apa yang dilakukan Gapena ialah mencari jalan tengah untuk merealisi wawasan kesusasteraan berdasarkan realiti semasa.

"Apa yang dilakukan oleh Gapena banyak juga faedahnya. Paling-paling perkampungan di Daik ini dapat mempertemukan penulis-penulis dari kelima-lima negara di Nusantara. Malah Sutardji pun dapat datang sambil bermesra dengan para penulis, " kata Rejab F.I. Manakala peserta dari Yayasan Warisan Johor, Ahmad Ruslan bertanya "apakah dia (Sutardji) akan kecam begitu jika sekiranya dia dapat Anugerah Sasterawan Nusantara itu?" Sutardji tidak menjawab.

Saya melihat reaksi peserta Malaysia seperti menujukkan satu patriotisme dalam kesusasteraan, ketika berada di luar negeri. Kita sama-sama maklum reaksi negatif sesetengah penulis terhadap usaha Gapena di dalam negeri, tapi nyatanya reaksi seumpama itu tidak terlihat pada hari kedua di Daik, iaitu hari berlangsungnya kolokium. Semangat kebersamaan ini menarik.

Apapun jua, sebilangan penulis muda dari Riau yang hadir menilai positif pandangan Sutardji. Bagi mereka sepatutnya panitia yang bertanggungjawab mengadakan perkampungan seperti ini perlu memikirkan bagaimana satu usaha konkrit perlu dilakukan bagi menerbitkan karya-karya yang lahir daripada pertemuan seperti ini. "Penulis muda perlukan wadah penampungan karya mereka." Seorang peserta Malaysia senyum simpul mendengar cadangan penulis muda Riau ini. Katanya kepada saya, "Suruhlah pertubuhan sastera awak (negaranya) terbitkan karya, bukanya Gapena."

Demikian pagi itu, ada dua kelompok suara yang menghangatkan kolokium di Balai Pertemuan Kelurahan Daik. Apapun jua Rejab khabarnya telah mendapat restu Gapena untuk menyelenggarakan sebuah antologi cacamerba (puisi, cerpen, rencana atau apa saja coretan dari Daik) yang bakal diterbitkan Gapena sendiri. Rejab meminta jasa baik kawan-kawan yang turut sama dalam perkampungan itu untuk memberikan sumbangan. Kurang pasti apakah tindakan Rejab ini berputik daripada kecama Sutardji terhadap Gapena atau memang Rejab telah memikirkannya lama sebelum dia sampai di Daik. Apapun jua, ramai yang percaya bahawa Sutardji telah memberi satu suntikan yang sedikit mengejutkan kepada setiap yang hadir hari itu. Sesi kedua dan petangnya kembali menenangkan suasana dan pembentang dan peserta lebih bersikap rasional berdisiplin. Tidak ada lontaran pendapat dan pandangan yang kontraversi. Seperti kata seorang peserta "carik-carik bulu ayam di sidang pagi akhirnya bercantum juga di sebelah petangnya." Sementara seorang peserta lain berkata bahawa lontaran Sutardji tidak menjadi kudis kepada perkampungan."

Kolokium yang sepatutnya diadakan satu hari setengah itu dapat diselesaikan dalam masa sehari. Khabarnya ada beberapa pembentang kertas kerja tidak dapat hadir atas sebab-sebab tertentu. Hujan tengahari menyebabkan tidak ramai yang hadir pada sesi petang. Daripada hasil perbincangan sehari itu satu Deklarasi Daik diisytiharkan pada malam terakhir di Daik. Deklarasi yang disusun oleh Sutardji Calzoum Bachri, Taufik Ikram Jamil, Hamzah Hamdani, Al azhar, Masran Sabran, Yusmar Yusuf dan seluruh peserta Perkampungan Penulis Melayu Serumpun adalah hasil perbincangan kolokium dan dibacakan oleh Drs Syafrial Syamsuddin selaku Ketua Pelaksana Perkampungan. Deklarasi itu berbunyi:

1. Adalah suatu kenyataan bahawa bahasa merupakan mahkota kebudayaan Melayu yang penggunaannya tersebar pada sejumlah negara di Asia Tenggara.

2. Oleh kerana sastera merupakan mahligai bahasa maka sepatutnya kegiatan sastera memperoleh perhatian yang khas dalam kegiatan kebudayaan Melayu. Perhatian khas dimaksud antara lain berupa penerbitan buku bersama atau penampilan seni sastera.

3. Mengembangkan rasa saling memiliki karya sastera tersebut melalui semua sarana.

4. Deklarasi ini dibuat setelah mengamati dan mempertimbangkan fikiran mahupun perasaan yang muncul dalam Perkampungan Penulis Melayu Serumpun tajaan Pusat Pengajian Bahasa dan Kebudayaan Melayu, Universitas Riau (P2BKM UNRI) di Daik, 4 - 8 Julai 1999.

A.F.YASSIN
Daik Lingga
7 Julai 1999

06 September 2011

SEMBAH ADAT DI RANAH MINANG

Allahyarham Keris Mas pernah melanjutkan pelajarannya di Bukit Tinggi di Tawalib School, SMA dn kemudian di Kolej Kulitul Muslimin Al-Islamiah.

SEMBAH ADAT DI PAGAR RUYUNG

 Kota Padang menyambut rombongan Jejak Bahasa TV3-DBP dengan keramahan masyarakat Padang. Pak Wisran Hadi, budayawan dan sasterawan Sumatera Barat telah menunggu di terminal Lapangan Terbang Padang. Masalah membawa 39 buah beg berisi kelengkapan kamera TV3 dapat diselesaikan dengan segera, kerana barangkali pengaruh tokoh seperti Wisran.


Di hotel penginapan, Bumi Minang, Dr Awang Sariyan, yang sampai siangnya menyambut  12 anggota rombongan yang  yang bertolak dari Jakarta, dua jam terlewat. Awang berharap akan dapat bersama-sama mengalami proses penggambaran di Sumatera Barat, walaupun beliau akan pulang riga hari kemudian.

Tidak termasuk dalam jadual penggambaran ialah upacara kerapatan adat di Istana Besar Pagarruyung. Kebetulan majlis itu diadakan sempena perlantikan salah seorang waris keturunan Raja Pagarruyung sebagai Bupati Kabupaten Tanah Datar. Majlis itu juga diadakan kerana menyambut kedatangan salah satu keluarga diraja di Serei Menanti,Negeri Sembilan. Biasanya keluarga diraja Negeri Sembilan itu akan mengunjungi istana besar ini sempena kedatangan bulan Puasa.

Rombongan dijemput khas menghadiri upacara penuh istiadat ini. Maka pada 8 November kami bertolak dari Padang menuju istana di Batu Sangkar. Hampir semua penghulu adat dari seluruh kabupaten (Daerah) Tanah Datar berdatang sembah untuk meraikan perlantikan Bupati baru Tanah Datar, Marsiadi Martunus. Upacara ini mendapat sorotan meluar dari TVRI dan disiarkan sebelah petangnya dalam Berita Jam Enam.

Bagi kami kesempatan itu benar-benar menjadi mercu tanda ingatan, apatah lagi ketika semua anggota rombongan, khususnya Awang Sariyan dan Othman Ismail, pengurus projek Jejak Bahasa diberikan penghormatan duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan Datuk-Datuk Penghulu Adat yang jumlahnya hampir seratus orang. Yang menarik daripadas upcara ini ialah kata-kata perbilangan adat yang saling menyambut di kalangan datuk-datuk adat. Kami tidak begitu jelas dan kurang memahaminya bukan kerana ia dituturkan dalam bahasa Minang tetapi kerana perbilangan itu terlalu cepat dituturkan. Kami hanya sempat mendengar tentang kebulatan masyarakat seperti bulat air kerana pembetungan bulat manusia kerana muafakat. Ada juga kami mendengar perbilangasn adat bersendi kepadas syarak manakala syarak bersendi kepada kitabullah.

Upacara keraian adat ini berlansung dengan penuh istiadat dan bagi ketua projek, Dr Awang, kehadiran rombongan amat memberi kesan kepada bukan sahaja projek jejak bahasa tetapi juga projek bahasa secara keseluruhan dilihat dasri sudut kebudayaan dan istiadat Melayu. Katanya, “Kita tidak tergelincir dari tujuan asal program kita menjejaki bahasa kerana kita melihat pertumbuhan dan pengembangan bahasa  bukan setakat bahasa per se. Juga saya melihat dengan kehadirasn kita semacam memberi satu jalur baru terutama dengan Bapak Bupati Tanah Datar, Pak Marsiadi, yang juga salah seorang kerabat kedaulatan Yang Dipertuan Pagarruyung.”

Selain itu, Dr Awang amat gembira kerana Jejak Bahasa dapat mengungkapkan peranan bahasa dan kebudyaan dan kehdiupan masyarakat Minang. Pertemuan dengan beberapa orang tokoh penting seperti A.A. Navis dan Wisran Hadi di Padang amat memberi manfaat kepada usaha Dewan Bahasa dan Pustaka memulakan hubungan kebahasaan dengan masyarakat penulis tetapi juga pusat pengajian tinggi di Sumatera Barat, khususnya Universiti Andalas.

Pertemuan dengan Ibu Adriyati Amir, Pembantu Dekan I di Fakulti Sastera, Universiti Andalas pada 9 November berlansung cukup akadamis. Kedua-dua pihak – DBP dan Fakultas Sastera Universiti Andalas – sependapat bahawa hubungan lebih dekat perlu diteruskan untuk misalnya mengadakan penerbitan naskhah lama.

Dari sudut penggambaran pula penerbit TV3, Zailan Abdul Rahman  bagaikan tidak cukup watu untuk menyiapkan “shot-shot” menarik. Zailan dengan bantuan lima orang krunya mempunyai agenda paling ketat untuk sekadar membuat “shot”untuk dua peristiwa. Misalnya di majlis kerapat adat di Pagarruyung, Zailan menhabiskan masa sehingga  satu hari mengadakan penggambaran. Setengah hari untuk merakamkan kerapatan adat dan setengah hari lagi merakamkam randai yang diadakan sebelah petang. Faktor cuaca yang tidak menentu turut mempengaruhi pemnggambaran. Sebelah petangnya, hujan turun dan penggambaran terpakasa ditangguhkan untuk beberapa ketika.

Zailan yang benar-benar peka tentang sudut-sudut dan latar penggambaran sesuatu peristiwa menghadapi masalah untuk merakamkan acara “kaba”yang telah diaturkan di Universiti Andalas. Menurutnya, latar yang digunakan untuk “Kaba” tidak sesuai. Kaba merupakan acara bercerita yang dilagukan dengan iringan serunai. Bagi Zailan latar yang sesuai untuk acara pembacaan kaba ini ialah suasana hening dan romantik seperti di tengah sawah atau di depan rumah gadang Minang.

Maka akhirnya dipilih satu tempat yang berlatar belakangkan sawah padi dengan gunung ganang di belakangnya. Tempat itu terletak kiras-kira lima kilometer dari universiti. Timbul masalah. Bagaimana mahu mengangkat pertalatan penggambaran. Sebabnya untuk sampai ke tempat penggambaran, kami perlu meniti permatang sawah yang licin dan berlumpur. Pujian perlu diberikan kepada setiap kru TV3 dapat menyelesaikan masalah itu. Mereka begitu sabar membawa alat-alat penggambaran itu satu demi satu. Oleh kerana mereka membawa satu kamera maka adegan membaca “kaba”ini diadakan berulang kali. Penggambaran memakan masa hampir tiga jam untuk hanya tayangan tidak lebih daripada satu minit.

Pada Malam terakhir di Padang sebelum menuju Bukit Tinggi DBP-TV3 meraikan Bupati Tanah Datar, Masriadi, Timbalan Bupati Solok, Elvi Sahlan dan pengarang A.A.Navis dalam satu majlis makan malam di Kota Padang. Dr Awang dalam ucapan alu-aluannya berharap kerjasasma erat dalam bidang kebudyaan, khususnya kebahasaan dapat dijalin dengan kedua-dua bupati dan fakulti sastera, Universiti Andalas. Ini satu titik mula yang amat menyenangkan. 

Kedua-dua bupati dari Tanah Datar dan Solok ini melihat pertemuan malam itu sebagai pemula daripada satu hubungan jangka panjang yang “bisa dimanfaatkan kedua-dua pihak.” Mereka mengungkapkan bahawa pusat pengajian tinggi akan dan sedang diusahakan di kedua-dua daerah itu. Malah di Tanah Datar “sudah ada pusat pengajian tinggi bertaraf universiti dengan mahasiswanya berjumlah hampir seribu orang. Kedua-dua bupati mengharapkan kunjungan akan lebih banyak diadakan bagi mempererat bukan sahaja hubungan silaturrahim tetapi juga jalinan kebahasaan, persuratan dan kebudayaan.

Bagaimanapun, hasrat A.A.Navis yang disampaikannya dalam majlis makan malam itu amat mengharuku. Navis mahu orang bahasa dari kedua-dua negara – Malaysia dan Indonesia – jangan terlalu egois. Katanya, dalam usaha kita mencari persamaan dan menyatukan dua bahasa, kita sebenarnya menjarakkan kedua-dua bahasa yang sepatutnya disamakan. Navis yakin bahawa ketika ini bahasa Melsayu dan bahasa Indonesia semakin jauh memisahkan dire. Orang Indonesia terlalu ghairah dengan pembentukan kata-kata singkatan atau akronim dan cuba memperkayanya dengan mencari ke dalam bahasa yang sudah “mati”(sanskrit). Di Malaysia pula tokoh bahasanya terlalu ghairah membentuk  kata-kata dari bahasa Inggeris.

Navis memberi contoh. Ketika di Malaysia dia terdengar orang bercakap melalui telefon bimbitnya, “ Don’t worrylah. Insya Allah!” Sementara di Indonesia dia mendengar pula percakapan seperti, “Kakan pusdiklat.”  Ini bahasa apa? Tanyanya. Navis tidak mengerti. Navis juga melihat banyaknya perbezaan kata dan istilah yang membawa orang tidak mengerti. Contoh nyata Navis ialah perkataan “ibu pejabat”. Di Malaysia apakah ibu pejabat perlu dipijak-pijak. Orang Indonesia memahaminya sebagai wanita yang menyandang jawatan pegawai kerajaan. Sedangkan di Malaysia ibu pejabat adalah kantor  bagi Indonesia.

Perbezaan yang diakibatkan oleh sikap egois kedua-dua pihak dalam bidang bahasa ini membuat Navis pusing (bukan berpusing-pusing, katanya sacara bercanda). Makanya di depan dua Bupati, dia mohon jasa baik mereka agar sesuatu perlu dilakukan untuk menjalin rasa kebersatuan dalam bahasa Malaysia dan Indonesia. Hasrat Navis ini cukup lantang dan merupakan satu permintaan daripada seorang pengarang terkenal Indonesia. “Suasana dan situasi di Indonesia hari ini memungkinkan  pesoalan itu bisa diselesaikan,” katanya.

Selepas majlis makan malam, saya melihat wajah Awang yang ceria berseri. Segera saya teringatkan kata-katanya semasa berada di Mekah beberapa bulan yang lalu. Awang mempelawa saya untuk sama-sama menjayakan program Jejak Bahasa yang akan diterbitkan bersama DBP dan TV3. Awang menjelaskan tujuan program yang leboh menumpukan kepada pertumbuhan dan pengembangan bahasa dilihat dari perspektif tamadun Melayu dan kebudayaan sejak zamanlampau. Katanya berulang kali bahawa program ini bukan memaparkan bahasa per se. Dan hal inilah juga yang sering dikatakan berulang kali dalam setiap mesyuarat post-mortem dan preview yang diadakan hampir setiap malam. Sebabnya ada satu dua anggota rombongan yang masih lagi mempersoalkan beberapa aspek  dan objek penggambaran yang dilakukan kru TV3 yang menurutnya tidak relevan.
Padang, 10 November 2000

26 August 2011

Hadiah Sastera Mastera dan Sasterawan Seberang Sapardi Djoko Damono


BICARA
OLEH A.F.YASSIN

HADIAH SASTERA MASTERA 1999

Soronok juga berbual santai dengan Sapardi Djoko Damono di majlis makan malam anjuran Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA). Sambil menunggu hidangan, kami bersembang tentang banyak perkara, terutama di Indonesia - tentang politik semasa, tentang sastera dan tentang internet. Sapardi tokoh sastera ternama di Indonesia. Kini dia bertugas sebagai guru besar kesusasteraan di Universitas Indonesia.

Kata Sapardi, dia ke Malaysia atas undangan sebagai pembentang kertas kerja dalam Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Bandingan selenggaraan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Dan katanya lagi, "kami tidak punya masaalah untuk mengetahui perkembangan sastera Malaysia kerana kami baca melalui internet. Biasanya kami dapat bahan dari Berita Harian dan New Straits Times yang disiar dalam internet."

Apakah dia tidak kecewa kerana gagal memenangi hadiah mastera malam itu? Sapardi senyum sambil berkata, "Tidak apa-apa kok!". Dari Indonesia, yang menang malam itu ialah Titis Basiono P.I. melalui trilogi novelnya, Dari Lembah ke Coolibah 1997, Welas Asih Merangkuh Tajali 1997 dan Menyucikan Perselingkuhan 1889.

Nama Sapardi masuk peringkat akhir lewat karyanya Arloji (kumuplan puisi). Tapi  barangkali nasib tidak menyebelahinya. Seorang lagi tokoh Indonesia yang namanya masuk peringkat akhir ialah Taufik Ikram Jamil melalui antologi cerpennya Membaca Hang Jebat.

Malam itu kelihatan Sapardi tidak banyak bercakap. Dia barangkali bukan jenis manusia yang "mulut murai". Namun dari raut wajahnya seperti dia sedang memikirkan sesuatu. Sesekali matanya "berlegar" memandang keadaan keliling. Dan apabila saya tanyakan jumlah tokoh sastera yang datang dari Indonesia, dia menjawab lima dan matanya tercari-cari lagi yang tiga. Seorang sudah berada di sebelahnya yang sedang asyik berbual dengan A. Rahim Abdullah dan Rahman Shaari.
Apakah yang difikirkan Sapardi? Apakah dia sedang memikirkan kertas kerjanya yang akan dibentangkan pagi esoknya? Atau dia memikirkan kawan-kawannya yang tidak kelihatan malam itu? Atau mungkin saja dia memikirkan bagaimana karyanya tidak terpilih untuk memenangi Hadiah Mastera yang pertama itu? Kerana siapa tidak mahu menjadi pemenang sulung  dari negaranya untuk hadiah sastera yang terbongsu yang dilahirkan dan yang pula merupakan projek sulung Mastera dalam program pengiktirafan bakat atau tokoh sastera serantau.

Dan Sapardi bukan calang-calang tokoh di negara jiran itu. Pada tahun 1984, Sapardi menrima Anugerah Puisi Putra dari Malaysia. Dua tahun kemudian Sapardi menerima pula SEA-Write Award dari Thailand. Pada tahun 1990, dia meraih pula Hadiah Seni dari negaranya sendiri. Sedangkan Titis Basino cuma pernah memenangi hadiah hiburan majalah sastera tahun 1963.

 Namun seperti kata penganjur, hadiah mastera hanya mempertimbangkan karya-karya yang diterbitkan pada tahun 1997 dan 1998. Dan pertimbangan tidak mengambil kira karya-karya sebelumnya, mahupun pretasi dan status tokoh sastera itu sendiri. Hanya karya yang menjadi tumupuan. Misalnya, Indonesia menyenaraikan 38 buah karya ke peringkat akhir. Malaysia pula 22 buah sementara Brunei 10. Daripada sejumlah karya ini tiga masuk peringkat akhir bagi setiap negara.

Penilaian di peringkat akhir ini dilakukan oleh Panel Hadiah Sastera Peringkat Induk yang terdiri daripada Hj Aziz Deraman (pengerusi), Hj Hamdan Yahya (Timbalan pengerusi), Zaini Oje @Ozea (setiausaha), Zahrah Ibrahim (Timbalan Pengerusi). Sementara ahli-ahlinya ialah Prof. Dr. Md Salleh Yaapar dan Prof Dato' Abu Hassan Sham dari Malaysia; Hj Abd. Hakim Hj. Mohd Yassin dari Brunei Darussalam; Drs Abd Rozak Zaidan dari Indonesia dan Dr. Hadijah Rahmat dari Singapura.

Karya-karya Malaysia ke peringkat akhir dipilih oleh lapan ahli panel terdiri daripada Hj Aziz Deraman, Hj Hamdan Yahya, Hamzah Hamdanu, Kemala, Zaini Oje@Ozea, Abdul Rahman Yusof, Prof. Madya Dr Sahlan Mohd Saman, Prof. Madya Dr. Siti Zainon Ismail dan Zahrah Ibrahim. Di Indonesia, karya-karya ke pringkat akhir dipilih oleh Drs. Abdul Rozak Zaidan, Hamsad Rangkuti, Dr. Boen S. Oemarjati, Drs. Lukman Ali dan Prof Dr. Yus Rusyana. Brunei pula diwakili oleh Dato' Paduka Hj Alidin Hj Othman, Hj Abd. Hakim bin Hj Mohd Yassin, Awang Alimin bin Hj Abd. Hamid, Datuk paduka Haji Mahmud Haji Bakyr, Dato' Paduka Hj Ahmad bin Kadi, Dr Haji Hashim bin Hj Abd. Hamid, Pg. Hj Mahmud bin Pg. Hj. Damit dan Dayang aminah binti Haji Momin. Singapura tidak mempunyai ahli panel dan tidak memilih karya kerana statusnya sebagai pemerhati.

Dengan demikian itu hadiah mastera sulung ini hanyalah untuk tiga negara, Malaysia, Brunei dan Indonesia. Kemungkinan pemberian hadiah ini akan diperluaskan ke negera-negara lain di Asia Tenggara akan menjadi kenyataan sekiranya rakyat masing-masing negara mampu berkarya dalam bahasa Melayu/Indonesia. Mana tahu dalam masa yang terdekat ini Singapura dan Thailand mungkin akan menghantar karya tokoh sasteranya untuk dipertimbangkan memandangkan banyak juga hasil karya  dalam bahasa Melayu/Indonesia telah diterbitkan.

Panel setiap negara yang terlibat telah memilih tiga karya untuk dinilai secara induk di Malaysia. Brunei misalnya memilih kumpulan puisi Episod-Episod Si Awang, karya Badaruddin H.O. (1998),  Kumpulan cerpen "Hoha" karya Norsiah M.S. (1887) dan novel Kenawi Dari Hulu oleh P.H. Abd. Aziz (1998).

Indonesia memilih Trilogi novel Dari Lembah ke Coolibah (1997), Welas Asih Merengkuh Tajali (1997) dan Menyucikan Perselingkuhan (1998) karya Titis Basino P.I.;  Kumpulan puisi 'Arloji" karya Sapardi Djoko Damono (1998) dan kumpulan cerpen "Membaca Hang Jebat" oleh Taufik Ikram Jamil. Manakala Malaysia pula memilih esei/kritikan "Rasa- Fenomenologi: Penerapan Terhadap Karya A. Samad Said" karya Sohaimi Abdul Aziz (1998); ese/kritikan "Dunia Puisi Dalam Penelitian dan Pengajaran" karya Dharmawijaya (1998) dan kumpulan cerpen "Rapsodi" karya Zaen Kasturi.

Malam itu, selain Titis Basino penenang dari Indonesia, muncul pula Badaruddin H.O. sebagai pemenang dari Brunei  dengan "Episod-Episod Si Awang"nya dan dari Malaysia sendiri muncul Sohaimi  Abdul Aziz dengan esei-kritikannya itu. Nyatanya Malaysia mengutarakan esei'kritikan sebagai pemenang, sementara Indonesia dan Brunei karya kreatif (novel dan puisi).

Ketika memberikan ulasan Panel Induk mendapati semua karya yang dinilai di peringkat akhir, iaitu pringkat induk dan rantau (negara) mempunayi kekuatan masing-masing. Panel juga "sedar bahawa menilai karya antara genre secara bandingan memang sukar dan memerlukan asas penilaian dan pemilihan yang kukuh. Kata penilai lagi, "Bagaimanapun, karya yang dinilai tyang merentasi genre didasarkan pada dampaknya kalau dibaca seganding dengan karya-karya lain walaupun berbeza genre. Penilian ini melihat kekuatan kesatuan organik karya, kekuatan dan keaslian persoalan yang ditampilkan  secara matang, keseimbangan estetika bahasa dengan persoalan kemanusiaan, keindahan moral, kesusilaan nilai dan inovasi dalam kreativiti. Di samping itu ada ketetapan lain juga yang dicapai oleh panel dalam menentukan pemilihan seperti jumlah karya dalam satu antologi, imbangan peratusan karya lama dan baru, tempoh relevannya esei/kritikan, ada tidaknya ISBN, dan sumber penerbit."

Demikianlah, berdasarkan jargon penilaian inilah akhirnya panel induk membuat pemilihan akhir. Cuma ada yang bertanya di majlis penyampaian hadiah malam itu tentang kemungkinan panel masing-masing negara tidak memperolehi dan membaca setiap karya sastera yang diterbitkan oleh pelbagai penerbit. Di Malaysia sahaja ada 300 buah penerbit dan tidak kurang daripada 25% dripadanya menerbitkan karya sastera. Dan setiap penerbit ini tidak hanya menerbitkan sebuah dua karya dalam tempoh dua tahun kebelakangan (1997-1998). Begitu juga halnya di Indonesia. Penerbitan karya sastera dalam pelbagai genre cukup berkembang, ketimbang audien pembacanya yang cukup luas pula.

Rahman Shaari pula menekankan peri pentingnya diwujudkan satu kriteria penilaian yang standard dan umum yang merentasi antarnegara peserta. Ertinya Rahman mencadangkan supaya pihak mastera "mencari satu kayu ukur penilaian dan kriteria minimal agar setiap karya yang terpilih di setiap negara mempunyai kualiti yang asas." Rahman berkata tidak wajar sekiranya karya yang terpilih di sebuah negara itu  mempunyai kualiti yang terlalu tinggi berbanding karya yang dipilih oleh negara yang lain pula. Persoalan ini akan timbul sebaik sahaja ada peneliti yang telah selesai membuat kajian tentang karya-karya yang menang setiap dua tahun.

Bagaimanapun jua, usaha mastera menampilkan hadiah sasteranya sendiri ini patut diberi pujian kerana ia akan menambahkan lagi jumlah hadiah sastera yang ada di negeri ini. Dengan demikian, maka tidaklah keterlaluan jika saya katakan Malaysia begitu pemurah dalam pemberian hadiah kepada golongan  penulis dan sasterawannya. Mana tahu suatu hari nanti Indonesia, Brunei, Singapura dan negara-negara anggota Asean yang lain akan mengikuti jejak langkah Malaysia dalam usahanya memertabatkan kesusasteraan  dan sasterawannya.

Sebelum pulang saya melihat ramai hadirin yang masih lagi berkumpul di ruang lobi dewan. Antara yang terakhir meninggalkan lobi ialah Sapardi  sendiri. Dia masih ayik berbual-bual dengan rakan-rakan sasterawan dari Malaysia dan Brunei. Haji Aziz, Hj Hamdan dan Hj Hamzah menjadi hos paling baik dan mesra malam itu apabila mereka tetap melayan dan menunggu sehingga jemputan tearkhir meninggalkan dewan jamuan. Turut sama hingga ke saat akhir ialah Datok Hassan Ahmad, mantan Ketua pengarah DBP yang sekarang ini memimpin Yayasan Karyawan.


A.F.Yassin
27 Ogos 1999

22 August 2011

Kembali Ke Bonda Tanah Melayu Daik-Lingga


 
 Tim TV3 sedang "shooting" Jejak Bahasa di tapak Istana Damnah di Daik-Lingga.


 Sekembalinya dari ekspedisi Jejak Bahasa di Sumatera, Jakarta dan Bandung, hari kedua puasa, terlihat satu mesej di atas meja. Mesej itu dari Saleh Daud, Bendahari Gapena. Pendek saja bunyinya: Buku dah siap. Datanglah ambil - Saleh (ejaan rumi Saleh dengan satu L). Ketika mengunjungi rumah Gapena beberapa hari kemudian, orang yang memberi mesej tidak ada. Yang ada cuma penghuni tetap, Zul. Dia menyerahkan dua naskhah. Saya minta dua naskhah kerana ada dua orang yang menyumbang karya. Saya sendiri dan isteri, Rubiyah.

Tajuk buku "Daik, Bonda Tanah Melayu" segera mengingatkan saya kepada kunjungan budaya ke Lingga, 4-8 Julai 1999 yang lalu. Seperti baru semalam rombongan Gapena berkunjung ke sana. Malah ketika saya mengikuti ekspedisi Jejak Bahasa DBP-TV3 Oktober lalu, dan menyelusuri sungai Resun dari jeti Panchor-Pakaka, saya seperti berada dalam bot pompom yang sedang mudik. Kenangan meruntun-runtun datang dan mahu rasanya saya menghubungi rakan-rakan penulis yang ikut serta dalam rombongan Kembara Budaya Gapena itu.

Bonda Tanah Melayu itulah Daik. Dan Daik Bonda Tanah Melayu adalah tajuk buku yang diselenggarakan Rejab F.I. salah seorang peserta kembara budaya 1999 itu. Kepadanya telah diserahkan tugas mencari bahan dan menyusunnya dalam bentuk buku. Bahan boleh berupa apa sahaja, asal ia jenis ciptasastera, baik kreatif mahupun bukan kreatif. Rejab memerlukan hampir 15 bulan untuk mengumpul dan menerbitkan buku "Daik Bonda Tanah Melayu" ini. Kegigihan Rejab patut dipuji, terutama dalam usahanya mendapatkan hasil karya kawan-kawan penulis yang umumnya bersikap bagaikan liat-liat daging setengah masak.

Daik, Bonda Tanah Melayu (tebalnya 346 halaman) mengandungi pelbagai genre sastera yang terdiri daripada makalah, sajak, cerpen dan pantun syair. Juga dikepilkan gambar-gambar tentang kembara budaya di pulau yang dianggap budayawan Riau, Raja Hamzah Yunus sebagai mutiara bahasa melayu dari sudut kebahasaan. Ada 21 buah makalah, lima cerpen, 45 sajak dan sebelas pantun serta syair. Seramai 44 penulis - baru dan mapan - memberikan sumbangan. Penulis seperti Affrini Adham menyumbang dalam tiga genre, makalah, sajak dan pantun. Ada yang menyumbang dalam dua kategori seperti Rejab sendiri, Sabar Bohari dan Ahmad Jamaan.

Rejab dalam "prakata" memberi rasional kepada penerbitan buku ini. Menurutnya, ketika berbincang di Daik ada peserta yang menyelar Gapena yang bergiat dengan langsung "tidak menghasilkan apa-apa, maksudnya himpunan karya-karya  yang perlu diterbitkan." Rejab rasa tercabar dengan selaran peserta itu yang kebetulan bukan dari anggota rombongan Gapena. Rejab pun berunding dengan pucuk pimpinan Gapena, khususnya Tan Sri Ismail Hussein, Ketua Satu, dan menyatakan kesediaannya untuk mengumpulkan bahan dan seterusnya menerbitkannya sebagai "satu amanah".

Kata Rejab, "Saya berusaha menghubungi setiap peserta Malaysia, sejumlah 77 orang yang terdiri daripada  berbagai latar kehidupan  dan peserta dari Riau melalui Dr. Yusmar Yusuf, Kepala Pusat Pengajian Bahasa dan Kebudayaan Melayu, universiti Riau."  Rejab berhasil mendapatkan pelbagai karya dan dimuat dalam buku ini tanpa saringan dan penyuntingsn. Kata Rejab pemuatan cara begini bermaksud memberi kesempatan kepada para peserta  "yang berusaha menghasilkan tulisan untuk diabadikan."

Dengan kata lain  estetika karya tidak dinilai. Setiap karya yang dikirim dimuatkan. Yang penting bagi perkiraan Rejab ialah rakaman pengalaman penulis dalam bentuk apa jua pun untuk diabadikan. Malah pada sesetangah karya, diabadikan, "misalnya keajaiban bumi yang bernama Daik dengan gunungnya bercabang tiga, patah satu tinggal dua."

Penulis Evy R. Syamsir dari Riau melakar bumi Daik Lingga sebagai sebahagian daripada sejarah Melayu yang dilupakan. Katanya, Daik Lingga baginya adalah saksi sebuah kebesaran Melayu, yang kini hanyalah sebuah ibukota kecamatan Lingga, kabupaten kepulauan Riau yang jarang disebut-sebut orang. Katanya, "bahkan di sana tidak satu pun ada kemudahan umum untuk menunjangi kunjungan pendatang ke bekas kerajaan Melayu Riau Lingga itu."

Yusmar Yusuf menilai Daik Lingga dikenal sebagai sebuah negeri yang bertamadun tinggi, memiliki taji sejarah yang tajam dan panjang serta penuturan bahasa yang halus, yang merupakan benteng lidah Melayu sekaligus benteng tamadum. Namun  keluhnya, "apa yang terjadi sekarang Daik ibarat amnesia sejarah kerana kita tidak pernah berniat sungguh-sungguh membangun Daik sehingga masyarakat di sana berada dalam garis kemiskinan."
Apapun jua, Syamsir menilai keindahan alam Pulau Lingga, kekayaan sejarah dan budaya yang dimilikinya serta prestasinya di masa lalu "sebagai kerajaan Melayu Riau Lingga, pantaslahia disebut bonda Tanah Melayu. Siapa pun yang singgah  ke Pulau Lingga akan berdecak kagum  melihat indahnya panorama alam Gunung Daik (Gunung tertinggi di Riau, 1,200 meter) yang puncaknya bercabang tiga, perairan lautnya yang biru serta pemandangan laguna (danau tasik tepi laut)  yang berhias rumpun bakau. Belum lagi kekhasan budaya Melayu masyarakat tempatan dan rimbunya pohon yang telah berumur ratusan tahun."

Inilah rakaman saksi mata tentang latar keindahan Lingga bersama Daiknya yang memukau. Latar keindahan itu menjadi objek mainan kata-kata sang penyair, lebih-lebih lagi dari Malaysia. Terlupa seketika akan nasib malang pulau itu di tengah-tengah kancah perekonomian bangsanya. Yang punya ilham mencipta akan mengungkaikan kata lunak yang kadang-kadang sinis menempelak yang ditujukan kepada pulau yang menyajikan keindahan semula jadi yang serba adanya.

Penyair Hashim Ismail, misalnya bermadah melalui "Daik, Bondaku". Melalui mata hatinya Hashim menulis, "Daik, bermula aku memijak tanahmu dapat kurenungkan kusut masai wajahmu/ Dapat kurasakan betapa erat peluk ciummu/ Membuatkan kita remuk redam/ Sebak dek debaran pertemuan/ Setelah sekian lama berjauhan…Kita tinggalkan dia kelemasan/Tenggelam dihanyut kegelapan zaman/Hilang haluan/hilang di perantauan.

Rahimidin Zahari, penayir muda dari Kuantan yang sedang "naik" menyumbang dua sajak berjudul "Beberapa Percakapan Di Tanjung Pinang" dan "Aku Di Kampung Masa Lampau". Dengarkan suara hati Rahimidin ketika "aku di kampung masa lampau/Mengapung jiwa di permukaan sungai/Yang jernih oleh rimbun pohon/aku menyelam ke dasar/batu-batu sejuk yang dingin/sambil bersalaman/dengan anak-anak ikan/yang jinak".

Rahimidin begitu nostalgik dan rindukan tamadun silam apabila melihat suasana kontras Daik dulu dan sekarang. Dia menghimbau "Anak-anak SD (sekolah dasar = rendah) yang manis, ibu/dan kakek yang menyapa/di sepanjang jalan -- menyalami kami/dengan suara emas bahasa dan /jalinan cermat adat yang tepu/bersukat." Lalu Rahimidin berhiba di jeti Sungai Resun sambil "kukesat mataku yang gerimis".

Yang menarik ialah suara rasa Sabar Bohari dengan nukilan tiga puisinya. "Wajahmu wajahku jua" seperti sebuah pengakuan dari dalam diri Sabar bahawa Melayu di Daik adalah "tulen/adalah sejati/mencengkam erat/tiada goyah oleh masa/tiada goyah oleh keadaan/bahasanya masih segar/masih utuh/diuji zaman/diuji gelombang."  Lalu Sabar pun menyatu dalam keikhlasan cintanya terhadap Daik. Katanya, "Melayumu, Melayuku/akrab bersatu/mempamerkan keunggulan/ia akan menjadi saksi/satu bangsa/satu bahasa/Daik Lingga/wajahmu adalah wajahku jua."

Siapa pun tidak menduga bahawa pulau Lingga Daik yang jauhnya kira-kira 100 km dari Tanjung Pinang, malah lebih jauh dari Tanah Semenanjung begitu dekat dengan jiwa setiap peserta rombongan. Ada suatu daya tarikan yang menjadi pulau bersejarah itu dipuisikkan dengan "begitu syahdu". Seolah-olah ia tidak pernah lekang dan sirna dari hati para penulis Malaysia.

Malah lebih mengharukan ketika meneliti bait-bait syarir dan pantun yang dimuatkan, hasil nukilan sebelas penulis baru dan lama. Sebuah pantun berkait paling panjang mengandungi 33 rangkap bercerita tentang Pulau Daik sendiri. Pantun karya Yusof Bakar ini pantun nasihat tentang tingkah laku. Sekali baca ia seperti membawa tema "Gurindam 12" syair agung Raja Ali Haji itu. Namun terselit juga rangkap-rangkap yang bercerita tentang Daik, tentang Pulau pandan dan alam flora dan fauna sekitarnya.

Dalam satu rangkapnya Yusof seperti bertanya, "Dimasak oleh gadis Melayu/harganya mahal tiada ditanya/Daik bonda Tanah melayu/ Kemajuannya terpinggir di mana silapnya?" Manakala peserta Saleh Ali bagaikan jatuh cinta dengan tanah Daik apabila dia mencipta rangkap pantunnya, "Dua tiga kucing berlari/manakan sama si kucing belang/ dua tiga boleh kucari/ manakan sama puteri Daik seorang." Khabarnya Saleh berkunjung lagi beberapa kali ke Daik setelah Kembara Budaya Gapena. Khabarnya juga dia banyak membantu membina sebuah kelong  dan sebuah sekolah agama di pulau itu.

Dalam ulasannya Ismail Hussein menganggap hasil karya dalam buku ini adalah "suara hati dan suara bicara para peserta - amat berguna untuk kajian dan penyelidikan  tentang Daik dan Pulau Lingga yang suatu ketika dahulu menjadi pusat pemerintahan Melayu serumpun."  Kata Ismail lagi "peserta merakamkan segala aspek yang mereka perolehi sama ada  secara spontan, menemuramah penduduk Daik, penyelidikan daripada  bahan-bahan sejarah atau dari hasil inspirasi mereka sendiri menghasilkan karya-karya kreatif cerpen dan puisi."  Ismail dan Gapena terhutang budi dengan Malaysian Ensaiklopedia Research Centre Berhad pimpinan Haji Hassan Hamzah yang sudi menaja penerbitan antologi empat genre ini. Jarang amat kita melihat dan membaca sebuah buku berisikan pelbagai genre sastera sekaligus. Penajaan oleh sebuah pusat penyelidikan ini bagaikan menyahut cabaran seorang peserta Perkampungan Penulis Melayu Serumpun dahulu itu.

Mahunya usaha murni ini dapat diteruskan dengan kelahiran lebih banyak buku seumpama ini dan setiap kali Gapena  "berkabilah" ke sesuatu lokasi Melayu. Cuma barangkali antologi seperti Daik Bonda Tanah Melayu ini sebaiknya disusun tanpa mengesampingkan nilai estetika yang diperlukan dalam sesebuah hasil karya.

A.F.Yassin
19 Disember 2000.       

 

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PROFIL

My photo
Rawang, Selangor Darul Ehsan, Malaysia

What Other People Say...


"A.F.Yassin dalam cerpennya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).