20 April 2012

MELIHAT ORANG MELAYU DI SINGAPURA

Pembinaan "gateway" (CIQ ) Johor Bahru yang semakin memisahkan dua negara yang dahulunya satu, iaitu Singapura dan Malaysia. Kompleks CIQ ini dalam pembinaan dan A.F.Yassin mengabadikannya pada 17 Disember 2008 dari Kompleks City Square Johor Bahru, di Jalan Tun Razak.

Menaiki komuter MRT di Singapura membawa kenangan menarik, terutama melihat suasana sekitaran dari Stesen Buono Vista di barat Singapura menuju Stesen Pasir Ris di sebelah timur. Perjalanan memakan masa kira-kira 45 minit. Koc penuh sesak dengan penumpang.

 Ketika kereta api berhenti sejenak di Stesen Paya Lebar, penulis melihat semula Perkampungan Melayu, kira-kira 200 meter di sebelah kanan dan berhampiran dengan "pasar makan" Geylang Serai. Kompleks Perkampungan Melayu itu memang menarik kerana reka bentuk keMelayuannya. Ada pelbagai jualan di kompleks itu, termasuk sebuah restoran makanan laut, gerai makan Melayu dan gerai hasil kraftangan orang Melayu. Di kompleks itulah malam sebelumnya saya menikmati hidangan Melayu sambil menonton peraduan menyanyi karaoke sempena mengutip derma untuk pembinaan sebuah masjid. Nyanyian karaoke oleh para peserta yang kebanyakan terdiri daripada  pasangan suami isteri mengingatkan saya kepada zaman kegemilangan Jalan Ampas tahun 1950an dan Pop Yeye tahun 1960an. Hampir semua lagu yang dibawakan adalah lagu-lagu dari filem-filem P. Ramlee dan lagu-lagu tahun 1960an. Difahamkan kompleks itu didirikan dan dimiliki oleh orang bukan Melayu.

 Kecuali kompleks itu tidak ada lagi bangunan bercirikan Melayu yang dibina di sekitarnya. Dulu satu waktu, kawasan Geylang ini dipenuhi rumah-rumah bentuk Melayu sehinggalah ke Pasir Ris. Kini ia dipenuhi bangunan rumah pangsa puluhan tingkat yang memagari sepanjang jalan MRT. Penduduknya tidak lagi majoriti Melayu tetapi telah dibaurkan sehingga menjadi percampuran pelbagai sukubangsa - Cina, Melayu dan India.

 Ketika keluar dari Stesen Pasir Ris, penulis terkenal Singapura Jamal Tukimin menujukkan jari telunjuknya ke arah timur. Katanya, "Dulu tempat itu adalah perkampungan Melayu. Di situ juga lokasi penggambaran siri filem Bujang Lapuk. Sekarang hanya rumah pangsa dan taman." Dan di sebuah restoran stesen itu kami melihat sekumpulan anak muda lelaki perempuan sedang asyik bersembang. Mereka berpakaian fesyen terkini, yang lelaki berseluar pendek dan yang perempuan berseluar panjang. Seorang daripada mereka duduk di kerusi roda.

 Pada mulanya kami menyangka mereka daripada keturunan Cina kerena wajah mereka saling tgak tumpah keturunan itu. Tetapi setelah mendengar mereka bercakap, barulah saya sedari bahawa mereka anak muda Melayu. Nampaknya semakin hari semakin sukar untuk  mengenali  keturunan anak-anak muda Singapura melalui wajah dan perawakan. Jamal sendiri  pun kata begitu. Malah dia sendiri kini mempunyai ahli keluarga yang wajahnya tidak lagi sepenuhnya Melayu atau Jawa. Menurutnya, dia punya menantu dari keturunan India dan kalau tidak ada haral melintang pada tahun depan dia bakal mempunyai menantu dari keturunan Cina pula.

 Oleh kerana hari hampir maghrib, Jamal membawa kami ke mesjid terdekat. Kata Jamal mesjid Pasir Ris yang kami kunjungi itu baru sebulan setengah dibuka dan ia dibina hasil titik peluh penduduk, tanpa bantuan satu sen pun daripada kerajaan. Sebagai anak Melayu, kata Jamal, penduduk berasa bangga kerana "kita tidak mengemis." Kerajaan hanya membantu dari sudut pengurusan kewangan, iaitu dengan "membuat pemotongan gaji."

 Statistik tahun 1990 menunjukkan penduduk Melayu Singapura berjumlah kira-kira 400,000 ribu orang, termasuk kira-kira 17,000 orang Islam bukan Melayu. Penduduk Melayu Singapura terdiri daripada keturunan Melayu (261,200 orang), keturunan Jawa (65,600 orang), keturunan Boyan (43,200 orang), keturunan Bugis (1,500 orang) dan keturunan suku Melayu lainnya (11,200 orang). Jumlah penduduk Singapura seluruhnya ialah 2.7 juta orang. Orang Melayu merupakan golongan majoriti dalam kumpulan minoriti, iaitu kira-kira 15% daripada keseluruhan jumlah penduduk. Menurut Jamal Melayu Singapura telah dapat menyesuaikan diri dengan keadaan dan suasana dan mereka telah mampu bersaing dengan masyarakat-masyarakt lain, terutama  masyarakat Cina dalam semua bidang, pendidikan khasnya.   Mereka tidak lagi rasa tersisih atau rendah diri. 

 Yang menarik ialah wajah kosmopolitan orang Melayu ini baik lahiriah mahupun batiniah, lebih-lebih lagi batiniah. Hj Mohamad Arif Ahmad, dalam kertas kerjanya "Kebudayaan Melayu Kini Dalam Kehidupan Di Singapura" yang dibentangkan dalam Kongres Nilam pada tahun 1999 merumuskan bahawa "Cara hidup baru demikian itu, lama kelamaan telah mengubah kehidupan orang Melayu dini yang sentiasa berkita, menjadi orang Melayu kini yang hidup beraku dan berengkau, yakni yang lu sapa-gua sapa. Semangat kekitaan hampir pudar."

 Kata  Mohamad Arif, "Oleh kerana 86% jiran di rumah pangsa terdiri daripada mereka yang bukan beragama Islam, maka jarang-jaranglah orang Melayu berpeluang mengucapkan assalamualaikum kepada jirannya. Mereka lebih kerap kali mengucapkan good morning kepada jirannya. Kadang-kdang chau-an atau sekali-sekala manekem. Itu pun hanya sekali dua mereka  bersapaan dalam sehari, ketika kebetulan mereka bertemu di dalam lif atau masa hendak pergi atau pulang kerja.

 Dari sudut kebudayaan, orang Melayu menghayati kebudayaan kebangsaan sebagai rakyat Singapura dan dalam pada itu menghayati dan mengamalkan pula kebudayaan warisan sebagai orang Melayu. Mohamad Arif mengertikan kebudyaan kebangsaan sebagai kebudayaan yang tercipta sesuai dengan kehendak dan kepentingan negara - sama ada yang tercipta hasil dari rasa, karsa dan daya masyarakat Singapura ataupun yang terbentuk dari asimilasi/akulturasi budaya warisan bangsa-bangsa warganegara. Manakala dia mengertikan kebudayaan warisan sebagai kebudayaan yang terwaris daripada nenek moyang, yang telah dihayati zaman berzaman. Demikianlah amalan dan penghayatan orang Melayu terhadap kebudayaan. Hal ini mudah difahami kerana asas-asas persekitaran dan demografi yang telah dirancang sejak sekian tahun oleh pihak berkuasa.

 "Sebagai golongan majoriti dalam miniroti, kami anggap ini jalan keluar paling baik untuk kehidupan langsung orang Melayu di pulau ini," kata seorang peserta Kongres Nilam (Nilai Melayu). "Yang penting sekarang ialah mencari jalan bagaimana jati diri orang Melayu terus kekal dan mencari satu formula yang boleh menonjolkan eniti keMelayuan itu sendiri."

 Membaca kertas kerja Muhammad Arif, yang pertama kali dibentangkan di "Simposium Jalinan Melayu Antarabangsa", di Holiday Inn Shah Alam April 1996 yang lalu, mengingatkan saya kepada kehidupan orang Melayu di Cape Town, Afrika Selatan. Ingatan itu diperkuatkan lagi oleh tingkah laku sekumpulan anak-anak muda Melayu di Stesen Pasir Ris. Di Cape Town, identiti Melayu yang tingal hanya nama warisan. Kaum Melayu di Cape Town tidak dapat menegaelak daripada bersemenda dan berkahwin secara saling-silang ras dengan suku-suku bangsa lain, seperti Arab dan India. Dan akhirnya bahasa Inggeris diangkat menjadi bahasa ibunda (bahasa pertama). Bahasa Melayu sudah menjadi asing, malah tidak dituturkan langsung baik sesama ahli keluarga mahu pun sesama kawan dan anggota masyarakat.

 Orang Melayu Singapura belum sampai ke tahap itu dan menurut seorang peserta agak mustahil untuk sampai ke tahap begitu, namun disebabkan keghaiarahan suku bangsa ini untuk saling bersaing dengan masyarakat-masyarakat bukan Melayu demi mengejar kemajuan akan memungkinkan berubahnya senario budaya Melayu Singapura menjadi seperti yang di Cape Town. Di Majlis Pusat, Institut Kebangsaan bagi Kepimpinan Masyarakat (NACLI), tidak ada sepatah pun bahasa Melayu digunakan di papan-papan tanda arah. Anak-anak muda yang duduk di sebalah kami itu juga lebih banyak bersembang dalam bahasa Inggeris daripada bahasa Melayu. Pakaian yang mambalut tubuh yang tidak lagi sawo matang ittu tidak lagi menampakkan ciri keMelayuan.

 Sebelum meninggalkan Singapura Ahadnya, saya mampir di Istana Kampong Glam di Sultan Gate. Seluruh kawasan istana telah menjadi hakmilik negara (state property), mulai 18 September 1999. Satu papan tanda tentang perkara itu diletakkan di depan istana dan kawasan itu telah menjadi kawasan larangan. Namun masih terdapat 11 keluarga waris Sultan Hussein Shah tinggal di dalam pekarangan istana dan pemerintah menganggapnya sebagai setinggan. Pada 29 September, ahli-ahli waris ini telah disaman untuk hadir di mahkamah bagi menjawab  mengapa mereka menduduki tanah hakmilik negara secara haram.

 Difahamkan bahawa ahli-ahli waris seperti Tengku Yusoff b T. Abd Samad dan isteri Raja Khatijah Bt Raja Saad serta Raja abu Bakar b. Raja Abd Rahman telah mngiriman surat kepada  Queen Elizabeth II di London meminta jasa baik baginda menyelesaikan masalah istana ini. Pada 15 September 1999 mereka menerima jawapan dari ratu Inggeris itu yang antara lain berkata bahawa agak mustahil bagi baginda  masuk campur  dalam hal-ehwal negara lain. Namun Baginda telah memanjangkan surat itu kepada Robin Cook, Setiausaha Luar  dan Hal-Ehwal Komonwel untuk tindakan selanjutnya. Surat jawapan Ratu Inggeris itu dialamatkan kepada Tengku Mohamad B Tengku Jamil.

 Keadaan hidup serba dhaif ahli-ahli waris Sultan Hussein di pekarangan istana adalah refleksi kisah sejarah bermulanya Sultan Hussein diangkat menjadi Sultan Johor ke-16 oleh penjajah Inggeris pada tahun 1819. Hari ini saki baki waris sultan itu mula bertaburan, sesetengahnya telah meninggalkan pulau republik itu buat selama-lamanya, menumpang ehsan di rumah kerabat di Johor, terutama di Batu Pahat. Istana Kampong Gelam pula ibarat sarang setinggan di tengah-tengah kota kosmopolitan yang corak pembangunan fizikalnya tidak ubah seperti kota London atau Cape Town.


6 comments:

  1. Abang saya Orang Gadung,

    Keadaan Melayu Singapura tidak dapat dielakkan.Kita, 'kalau tidak sedikit,banyak'kita bertanggungjawab ke atas tragedi ini.

    Positifnya, daya tahan meraka semakin kuat untuk bersaing dengan orang lain.

    Apo pon, Pokan Kota kito masih mempertahankan 'keKotaannya dari dahulu hingga sekarang.

    ReplyDelete
  2. Jangan dirisaui apa yang belaku di Singapura, itulah pentas dunia, takkan kekal. Akhirat yang kekal abadi. Solat jangan tinggalkan berdakwahlah walaupun hanya membaca bismillah untuk makan nasik. Dunia sekejab je Bro... Relaks... solat tu kerna khyusuk dan berbaik baik semata-mata sebelum menutup mata, Ada reti?

    ReplyDelete
  3. Jangan dirisaui apa yang belaku di Singapura, itulah pentas dunia, takkan kekal. Akhirat yang kekal abadi. Solat jangan tinggalkan berdakwahlah walaupun hanya membaca bismillah untuk makan nasik. Dunia sekejab je Bro... Relaks... solat tu kerna khyusuk dan berbaik baik semata-mata sebelum menutup mata, Ada reti?

    ReplyDelete
  4. Jangan dirisaui apa yang belaku di Singapura, itulah pentas dunia, takkan kekal. Akhirat yang kekal abadi. Solat jangan tinggalkan berdakwahlah walaupun hanya membaca bismillah untuk makan nasik. Dunia sekejab je Bro... Relaks... solat tu kerna khyusuk dan berbaik baik semata-mata sebelum menutup mata, Ada reti?

    ReplyDelete
  5. mati mmg la kita semua akan mati.tapi kalu di dunia di Negara sendiri islam tah kemana, apa nak kita bwk kt akhirat nanti?

    ReplyDelete
  6. mula mula inggeris dapt singapura sbb dia cucuk melayu sma melayu jadi bertelagah.rebut tuk jd sultan.itulah sikap melayu...suka bertelagah sama sendiri.bertelagah lak sampai tak ingat apa.sampai melayu sendiri jadi punah .ada tu bertelagah sama sendiri pd perkara kecil yang tak menguntugkan sendiri.ego lebih kot

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PROFIL

My Photo
Rawang, Selangor Darul Ehsan, Malaysia

What Other People Say...


"A.F.Yassin dalam cerpennya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).