24 July 2011

Sejenak Di Tanah Kelahiran Allahyarhan Tun Ghafar Baba Di Kuala Pilah


Allahyarham Tun Ghafar Baba


EKSPEDISI KE TEBAT KERING KUALA PILAH 9 SEPTEMBER 2006.

Ke Kampung Tebat Kering, Kuala Pilah bersama Norhalim Ibrahim, ahli sejarah dan budaya Negeri Sembilan. Bertolak dari Seremban pukul 10.30 pagi. Yang menjadi pemandu ekspedisi ialah Dato’ Khalid  bin Bonget, bergelar Dato’ Seri Maharaja,  Lembaga Suku Mungkal, Luak Ulu Muar. Di perkenalkan di depan Masjid Pekan Kuala Pilah dan darapan sebelum memulakan ekspedisi.

Menurut bekas To’ Empat Jamaluddin Ali yang sama bersekolah dengan Tun Ghafar Baba, dan kini tinggal di Sawah Lebar, Kg. Tebat Kering, Bukit Tembusu itu asalnya bernama Kg. Jawa. Dikatakan di situ ramai penduduk dari keturunan Jawa yang bekerja menjual sate dan menarik kereta lembu. Ayah Ghafar, Baba bin Abdullah pindah ke Kg. Jawa ini atas desakan hidup di Melaka  mungkin dipanggil abangnya Hitam yang berkahwin dengan Peah di kampung ini. Peah adalah dari suku Biduanda.

Tapak rumah Peah dan Baba di Kg. Jawa yang sekarang dinamakan Tebat Kering (Tobek Koring) dan seluruh kawasan tanah kira-kira  1 pole (boleh bangun dua rumah) telah dijual dua tahun dahulu (2004) kepada orang lain. Tapak rumah itu berjiran pula dengan Cikgu Othman Abu Samah. Tanah ini betul-betul di persimpangan tiga  Taman Tebat Kering.

Isteri Jamaluddin bernama Khadijah Yunus. Yunus bapa Khadijah bekas guru pelawat di zaman Tun Ghafar.

Perbualan dengan bekas To’ Empat, Jamaluddin Ali dan isterinya Hajah Khadijah Yunus di rumahnya di Sawah Lebar, Kuala Pilah. Perbualan berlangsung pada pukul 12.30 tangah hari.

Encik Jamaluddin ini sudah kelihatan uzur berusia 84 tahun, sementara Cikgu Othman, jiran sebelah rumah keluarga Tun Ghafar berusia 79 tahun.  Menurut Jamaludin, Ghafar kutip bulu golf dan tenis dan kemudian menyerahkannya kepada Mat Saleh di Kelab Ulu Muar, yang terletak kira-kira 1.5 kilometer di tempat padang golf itu. Ghafar dan kawan-kawan akan diberikan kira-kira $1 (duit sekarang).  Bola golf itu dikutif di kawasan lekuk antara Sekolah Kebangsaan Kuala Pilah, (sekarang Pejabat PPD Kuala Pilah) hingga membawa ke masjid yang berada sekarang.  Sekolah Ghafar terletak di mana Pusat Kesihatan dan Sekolah Kindergaten berada sekarang. Jadi Ghafar akan ke kawasan lekuk padang golf itu dan membawanya ke kelab Ulu Muar yang terpaksa melalui depan sekolahnya dahulu.  Dengan duit itu dia pulang ke rumahnya di Tebat Kering, kira-kira  1 kilometer ke selatan (sekarang ini Taman Tebat Kering).

Hajah Khadijah menafikan sekeras-kerasnya Ghafar terlalu miskin sampai kurang makan dan terpaksa pungut bola golf untuk mencari sesuap nasi. Khadijah juga menafikan yang Ghafar jarang pulang ke rumah, tidur rumah kawan-kawan kerana tidak ada siapa yang menjaganya. Menurut Khadijah, semiskin-miskin orang Kuala Pilah tidak ada yang sampai tak makan dan bekerja macam usia Ghafar. Memang betul ayah Ghafar bawa kereta lembu dan bawa teksi, tapi jarang tak makan. Bila ayah Ghafar meninggal, Ghafar adalah di bawah jagaan ibunya dan juga bapak saudaranya Hitam, yang rumahnya berdekatan dengan kawasan lekuk Sek Kebangsaan Kuala Pilah. Khadijah tidak yakin Ghafar akan ditinggalkan begitu sahaja oleh bapa saudaranya. Adat orang Kuala Pilah atau Negeri Sembilan, jarang meninggalkan anak saudaranya tak makan. Ada kemungkinan Ghafar mahu mencari duit sedikit membantu ibunya atau untuk kegunaannya sendiri maka beliau sanggup mengutip bola golf. Buku Titianku, memoir Ghafar Baba tidak pula menceritakan lebih lanjut tentang zaman kecil-kecilnya.

Rumah ibu bapa Ghafar agak besar juga. Walaupun rumahnya tidak ada lagi tetapi Cikgu Othman menunjukkan contoh rumah ibu bapa Ghafar yaang terletak di Jalan Kuala Pilah-Tampin. Rumah itu seperti rumah minang yang bahagian serambinya terbuka. Atap rumbia dan bumbungnya sedikit melengkung. Kawasan tapak rumah dan tanah yang dimiliki ibu Ghafar satu ketika dahulu semak samun. Tanah ini telah dijual kepada orang lain kira-kira dua tahun dahulu.

Kampung Tebat Kering ini bukanlah sebuah kampung yang jauh di hulu, tetapi di tengah-tengah pekan Kuala Pilah. Berhampiran pula dengan Kelab Ulu Muar dan sebelah utara sedikit berhampiran dengan masjid sekarang kawasan padang golf kelab. Pekan Kuala Pilah itu sendiri berada di tengah-tengah antara Padang Kelab Golf dengan Kelab Ulu Muar. Sekolah Ghafar berada di sebelah kiri Jalan Seremban-Kuala Pilah, berhampiran dengan persimpangan jalan Kuala Pilah-Tampin dan Kuala Pilah-Seremban. Di depan Kelab Golf Ulu Muar ada padang dan di tepi padang berdepan dengan Kelab terdapat Sekolah Tamil.  Berhampiran tapak rumah Ibu bapa Ghafar terdapat pula Sekolah Menengah Cina.  Tidak diduga sekarang kawasan ini adalah kawasan strategik dan menemnpatkan rumah-rumah kerajaan yang tidak lagi didiami di pekan Kuala Pilah.

Laporan ini disiapkan hari ini di UKM pada 12 September 2006 pukul 1.01 petang.   


18 July 2011

Martabat Bahasa Melayu Di Puncak Dewan Bahasa?



Allahyarham Kamaludin Mohamad (Keris Mas) Sasterawan Negara pertama yang banyak menaikkan nama Dewan Bahasa dan Pustaka. Juga bos saya yang banyak memberi nasihat dalam bidang penulisan.



 Martabat Bahasa di Puncak Dewan

Oleh A.F.Yassin


Lama juga tidak ke Dewan Bahasa dan Pustaka (Dewan Bahasa). Sejak mesyuarat terakhir Program Jejak Bahasa ditangguhkan enam bulan dahulu bangunan Dewan Bahasa tidak dikunjungi. Tidak ada yang perlu untuk ke sana. Hendak mengunjungi kawan-kawan, tak banyak lagi yang tinggal. Semuanya sudah bersara. Kalau pun ada tinggal Abdul Ahmad yang satu angkatan, yang bersama-sama memerah otak dan tenaga menghidupkan majalah Dewan Masyarakat, ketika itu di bawah pimpinan M. Noor Azam (kini Dato’). Atau Jaafar Rahim dan Ghaffar Abdullah. Kemudian adalah juga seorang berdua yang setahun dua junior seperti Haji Hamdan Yahya dan Dr Anuar Rithwan ( kini Dato’). Tetapi mereka ini telah terlalu tinggi jawatannya sehingga tidak mudah untuk datang dan pergi tanpa  “temu janji” terlebih dahulu.

Baru-baru ini saya kena pergi jugalah ke Dewan Bahasa kerana ada surat jemputan untuk menghadiri mesyuarat  Jejak Bahasa III. Sebagai salah seorang penyelidik program ini saya diminta hadir dengan “harap tidak diuzurkan”. Kalau sebelum ini mesyuarat sentiasa sahaja diadakan di luar Dewan Bahasa tetapi masih di Kuala Lumpur, namun kali ini ia diadakan di Dewan Bahasa di Tingkat 29. ‘Wow!” spontan saya hampir menjerit apabila membaca tingkat 29 dalam surat jemputan mesyuarat. Ertinya bangunan Dewan Bahasa yang baru setinggi 33 tingkat ( kalau tak silap) telah digunakan.  Kurang pasti sejak bila ia digunakan. Tidak terdengar bila ia dirasmi atau ditepung tawar.

Jika mesyuarat diadakan di Tingkat 29, maka sudah barang tentu panorama Kuala Lumpur dari udara boleh mengkhayalkan orang yang melihatnya dari tingkat setinggi itu. Saya tidak sabar-sabar lagi untuk menghadiri mesyuarat. Bukan kenapa, cuma mahu melihat tempat baru. Sebagai bekas kakitangan Dewan Bahasa, paling sedikit masih terpalit dalam hati rasa megah dan bangga kerana institusi bahasa yang pernah menjadi tempat “mencari rezeki” pada tahun-tahun 1970an dahulu kini beroperasi di bangunan setinggi itu. Dahulu bangunan Dewan Bahasa hanya enam tingkat, kini jumlah tingkatnya berganda lebih lima kali. Tahniah kepada Pengarah Dewan Bahasa Dato’Haji Aziz Deraman yang mengambil inisiatif meningkatkan keselesaan fizikal Dewan Bahasa.

Tegak juga bulu roma ketika lif meluru ke tingkat 29. Lajunya bukan main kerana tidak sampai beberapa saat sahaja ia telah berhenti di Tingkat 29. Kelajuan lif ini amat jauh bezanya berbanding kelajuan lif di bangunan lama. Terbuka sahaja pintu lif, seorang pengawal telah menunggu di pintu masuk. Dengan sopan pengawal menunjukkan bilik mesyuarat Jejak Bahasa III (JB3). Suasana tingkat 29 mengkagumkan, terutama peralatan bilik mesyuarat dan kerusi mejanya. Ruang menunggu, walaupun kecil, amat selesa dan menyenangkan.

Seluruh tingkat 29 dikhaskan untuk tempat mesyuarat. Ada bilik mesyuarat induk yang terbesar di kalangan bilik-bilik yang lain. Tidak pasti berapa jumlah bilik mesyuarat, tetapi banyak juga berbanding di bangunan lama yang ditempatkan di jabatan atau bahagian masing-masing. Jika dibandingkan dengan kemudahan bilik mesyuarat di hotel-hotel yang pernah digunakan Dewan Bahasa, bilik-bilik mesyuarat di Tingkat 29 ini tidak kalah hebatnya. Malah bilik mesyuarat Dewan Bahasa lebih hebat jika dilihat dari sudut pemandangan sekitar Kuala Lumpur. Di Hotel biasanya bilik mesyuarat berada di tingkat bawah. “Kalau sudah begini, tak perlulah kita ke hotel lagi untuk bermesyuarat,” ujar salah seorang penyelidik Jejak Bahasa.

Ketika mesyuarat ditangguhkan untuk makan tengah hari dan sembahyang Zuhur, kami diundang makan tengah hari di Tingkat 5, yang menempatkan kantin Dewan Bahasa. Seluruh tingkat 5 ini dikhaskan untuk kantin dan bilik sembahyang. Sekali lagi kami terpesona melihat susun-atur  kantinnya. Berkata juga dalam hati, “Kalau begini kantinnya sampai petang pun boleh duduk minum dan sembang-sembang.” Suasana kantin seperti suasana di hotel, lengkap dengan bilik makan khas. Difahamkan setiap pegawai dan kakitangan tidak dibenarkan memesan makanan dari luar kecuali dari kantin berkenaan, terutama untuk mesyuarat. Sedap tak sedap itu soal kedua. Difahamkan juga harga makanan dikawal pihak Dewan Bahasa.

Ketika sedang makan teringat juga pengalaman makan di hotel apabila sidang ditangguhkan. Oleh kerana sistem sistem terbuka di restoran makannya maka biasanya pengunjung terpaksa beratur mendapatkan makanan, terutama pada waktu puncak. Di Dewan Bahasa tidak begitu halnya. Semuanya sudah disajikan di bilik makan khas. Bukan sahaja waktu makan dapat dihematkan, tetapi juga ada masa yang lebih daripada mencukupi untuk solat dan mengunjungi kawan-kawan lama, jika masih ada.

Kesempatan ini saya gunakan untuk mengunjungi bahagian majalah, kalau tak silap saya di Tingkat 14. Di tingkat inilah terletaknya pejabat Pengarah Penerbitan, Dato’ Dr Anwar Rithwan. Suasana di Bahagian Majalah sedikit tidak menyenangkan. Sistem pejabat terbuka yang dilaksanakan di tingkat ini nampaknya tidak begitu selesa buat sidang editornya. Hal ini mungkin disebabkan ruangan yang begitu sempit menampung seluruh warga majalah. Suasana bekerja di bangunan lama lebih selesa.

Tidak pasti sama ada Bahagian Majalah akan kekal ditempatkan di ruang sempit itu. Jika kekal maka diyakini keadaan bekerja yang kurang selesa itu akan menjejaskan produktiviti sidang editor. Bukan sahaja mereka akan terganggu dalam kerja penyuntingan, tetapi juga dalam kerja mengarang. Dengan batas waktu (deadline) pendek untuk menyiapkan tugas apakah tidak mungkin nanti ada yang akan histerikal dan “buntu minda”. Saya tidak dapat mengelak daripada mengganggu konsentrasi para editor apabila berjalan sebelah mereka untuk bertemu Hassan Alias, Timbalan Editor  majalah Dewan Sastera dan Nor Hazizan Talib, editor majalah Dewan Bahasa. Tidak sempat pula bertanya kepada mereka berdua ini di mana pejabat Ketua Editor, Zulkifli Salleh.

Bagaimana khabarnya dua kawan sepertugas majalah tahun 1970an, Abdul dan Jaafar. Kini mereka tidak lagi berkerja di Bahagian majalah. Abdul kini bertugas di Bahagian Penerbitan Sastera dan Jaafar di Bahagian Sastera Moden. Mereka berdua ini mungkin telah dipisahkan bukan sahaja oleh Bahagian tetapi juga oleh tingkat bangunan. Belum sempat lagi bertanya khabar. Rasa rindu untuk medengar Jaafar ketawa atau melihat Abdul mereka bentuk sendiri kulit buku (melampaui tugas seorang editor buku) begitu menebal. Malah rasa rindu turut dirasakan ketika terkenang suasana “bergaduh dan bertengkar” semasa mesyuarat post-mortem setiap kali Dewan Masyarakat diterbitkan. Kadang-kadang terfikir juga bilakah agaknya  kedua-dua sahabat sepertugas ini hendak bersara. Apakah usia bagi mereka kekal tak meningkat.

Demikianlah, Dewan Bahasa Dari hanya menumpang di Tingkat 2, Bangunan Pejabat Kerajaan di Bukit Timbalan di Johor Bahru pada tahun 1956, kini ia beroperasi di sebuah bangunan tinggi dan indah di tengah-tengah kota. Harap-harap kebanyakan pegawai dan kaitangan Dewan Bahasa dapat memanfaatkan keselesaan dan keindahan bangunannya untuk meningkatkan produktiviti per kepalanya. (Modified on 28 Mac 2003)

14 July 2011

SEA Write Award: Penulis Suka Bercakaran!?


10 Disember 2000
CATATAN A.F.YASSIN
PENULIS MASIH SUKA BERCAKARAN!

Betulkah kata orang: Penulis itu sensitif. Tidak boleh salah sikit terus sahaja bercakaran sesama sendiri. Kurang jelas apakah hal ini disebabkan sensitiviti mereka atau ada unsur keakuan dalam pandangan dan sikap. Terbaru ada cerita "rumah siap pahat masih berbunyi" berhubung penerimaan anugerah SEA Write Award tahun 2000. Penyair Lim Swee Tin dipilih untuk menerima anugerah tersebut. Akibat pemilihannya, maka timbul ribut. Ada sahaja yang tak kena dengan keputusan pemilihan. Maka panel pemilih dipersoalkan, malah wibawa dan wewenang mereka diragukan. Yang menjadi kambing hitam Dewan Bahasa dan Pustaka sendiri, yang menjadi sekretariat pemilihan.

Tetapi betulkah disebabkan sensitiviti maka penulis terus berbalah sesama sendiri, mempersoalkan keputusan yang dibuat panel tyang terdiri daripada penulis-penulis sendiri? Atau apa yang disebut seorang penulis veteran, "heboh-heboh tentang persoalan penulis ini hanya berlaku kerana gatal-gatal tangan sahaja". Katanya, "Lazimnya, penulis itu kerjanya menulis. Ada sahaja yang boleh dijadikan bahan penulisan, mereka akan tulis. Tidak kira apakah tulisannya itu bawa mudarat atau akibat. Itu bukan soal dia."

Jika demikian halnya, maka apa perlu ribut-ribut tentang hasil pemilihan sesuatu anugerah seperti SEA Write Award ini? Penulis veteran ini menafikan apa yang dipergonjengkan sekarang ini adalah ribut-ribut. Katanya, "Bukan ribut, cuma penulis ini tidak boleh duduk diam. Percayalah, selepas dua tiga minggu semuanya reda. Penulis akan bertanya sesama sendiri berapa honorarium yang mereka perolehi masing-masing dari suratkabar atau majalah yang memuatkan tulisan mereka tentang hal ribut-ribut ini."

Tetapi soalnya pemilihan tokoh untuk SEA Write Award ini dan penganugerahannya sudah melampaui tiga minggu itu. Pandangan pro dan kontra terhadap hasil pemilihan masih juga dikeluarkan. Terakhir oleh  Hashim Yaakob dengan pusat pandangannya tertumpu kepada penyair Rahman Shaari, yang masih lagi belum terpilih menertima anugerah berprestij dari Bangkok itu. Dalam pada itu ada pula penulis yang membuat cadangan bagaimana seharusnya anggota panel penilai dipilih dan dari golongan penulis mana. Ada juga penulis yang membebelkan pandangannya yang kurang relevan dengan isu pemilihan SEA Write Award ini dengan mengungkit-ungkit kewibawaan panel penilai anugerah atau hadiah sastera lainnya. Maka bertambah gawat lagi dunia persuratan ini jadinya!

Seorang penulis yang menghasilkan banyak karya sastera remaja mempersoalkan kredibiliti sesetengah ahli panel penilai peraduan atau anugerah apabila berkata "karya sastera remaja baru satu sudah boleh menjadi ahli panel."  Ada yang senyum sinis mendengarnya. Memang penulis ini tidak tahu banyak tentang konsep penghakiman dan pemilihan panel. Yang senyum ini bertanya pula, "Apakah mereka yang pernah menjadi ahli panel penilai karya kreatif sastera harus orang yang kreatif juga, sudah menulis cerepen atau sajak? Bagaimana dengan Prof. Dr Hashim Awang atau Dr. Ramli Isin. Begitu juga Prof Dr. Yusof Hassan atau Dr. Suhaimi Aziz mahupun Salleh Yaapar serta Dr. Ungku Maimunah? Tidak pasti berapa banyakkah karya kreatif mereka yang telah dibaca orang awam, kecuali hasil kritikan?"

Pertanyaan yang tersenyum sinis ini seperti mendedahkan ada yang tidak kena dengan alam pemikiran persuratan kita hari ini. Umumnya penulis mempunyai buah fikir "yang samrawut dan kacau". Dan bukan tidak mungkin cara berfikir begini timbul akibat tidak adanya disiplin berfikir yang baik dan tersusun.  Barangkali ia dikaitkan juga dengan penulis yang kota fikirnya belum terisi penuh dengan ilmu penulisan dan persuratan. Sehingga dengan demikian wujudlah apa yang dinamakan sindrom "baku hentam", tanpa memikirkan implikasinya kepada kewibawaan jangka panjang golongan penulis sendiri.

Dengan hal yang demikian maka sindrom "baku hantam" ini barangkali turut mempengaruhi  persoalan pemilihan penerima anugerah SEA Write Award tahun 2000. Pertanyaan siapa yang lebih layak selain Lim Swee Tin diulang-ulang. Nama-nama lain disebut sebagai bahan bukti untuk mewar-warkan pandangan. Nama-nama itu diperalat, antaranya nama tokoh penyair Shamsuddin Jaafar, Tengku Alias Taib, Zen Kasturi, Lim Swee Tin dan Rahman Shaari sendiri. Pernah saya ditanya oleh seorang petugas Dewan Bahasa dan Pustaka sebulan sebelum penerima anugerah SEA Write Award ini diumumkan. Pertanyaan itu diajukan ekoran tersiarnya sebuah rencana dalam majalah "Dewan Sastera" yang membuat spekulasi  tentang pemilihan ini.  

Jawapan saya tidak memberi sebarang petunjuk siapa yang layak dipilih. Sebabnya saya kurang pasti apa kriteria dan peraturan pemilihan. Apakah ia didasarkan kepada merit, atau kekananan pengalaman dalam bidang penulisan yang tentunya menjangkau kerangka waktu dan musiman. Barangkali sahaja panel pemilih SEA Write Award Malaysia mempunyai kriteria yang tersendiri. Barangkali juga panel pemilih diarahkan untuk menilai seseorang calon pemenang itu berdasarkan kreativiti semasanya tanpa memberi pertimbangan kepada hasil karya mereka sepuluh tahun yang lalu, misalnya. Kemudian barangkali juga panel penilai diarahkan untuk mengkaji dan meneliti karya-karya yang dihasilkan sepanjang tahun pemilihan sahaja, tanpa mengambil kira hasil karya tahun lalu.

Maka jawapan yang tepat amat bergantung kepada apa yang difikir dan ditentukan oleh panel pemilih. Andainya ketiga-tiga "kebarangkalian" di atas dijadikan asas pemilihan maka siapa yang aktif sepanjang tahun 1999, misalnya berkemungkinan besar terpilih. Tokoh seperti Shamsuddin Jaafar yang telah menjadi purnawirawan a.k.a pesara dalam serba serbi termasuk menulis dengan aktif tidak mungkin tersenarai. Begitu juga halnya dengan Tengku Alias Taib yang bukan menganggap dirinya "kilang pencetak karya kreatif yang beroperasi 24 jam sehari." Rahman Shaari jauh sekali. Dengarnmya selagi dia tidak boleh menghafiz karya yang bakal dilahirkan maka dia tidak akan mengirimkannya ke suratkabar atau majalah untuk disiarkan. Saya dengar sahaja. Betul tak betul itu kena tanya Rahman sendiri.

Cerita tentang Rahman ini sedikit "terkehel". Konon ceritanya nama Rahman tidak dapat dipertimbangkan kerana dia sendiri adalah anggota panel pemilih. Rahman nafikan kerana katanya surat tawaran menjadi ahli panel pemilih terlewat sampai. Maka selama ini Rahman tidak tahu menahu bahawa dia juga seorang ahli panel. Jika cerita Rahman ini benar maka timbul pula pertanyaan. Mengapa surat tawaran dari Dewan Bahasa lambat sampai sedangkan jarak antara rumah Rahman di Bandar Baru Bangi dengan Dewan Bahasa tidak sampaipun 30 km. Bagaikan ada yang tidak kena dalam sistem penghantaran surat.

Soalnya pula, apakah nama Rahman dapat dipertimbangkan andainya dia tidak menjadi anggota panel? Soalnya lagi tokoh seperti Rahman yang memang terkenal dengan karya puisinya lebih daripada karya-karya dari genre lain belum layak menerima anugerah ini. Barangkali masalah Rahman ini ialah dia juga bukan seperti Tengku Alias Taib yang tidak punya "kilang puisinya yang beroperasi 24 jam sehari."

Maka disarankan mulai sekarang tokoh-tokoh seperti Rahman, Tengku Alias Taib atau Shamsuddin Jaafar yang veteran ini hendaklah aktif semula menulis. Soal mutu soal kedua, yang penting menulis sebanyak-banyaknya untuk layak menjadi calon penerima anugerah. Dalam pada itu Rahman, misalnya, perlu membulatkan azam sama ada mahu namanya dipertimbangkan sebagai calon penerima anugerah atau dia mahu menjadi anggota panel pemilih. Jika pilihan kedua yang dia ambil maka saya kira sampai bila-bila pun dia tidak layak menerima anugerah berprestij itu kecuali dia berhenti atau "dipecat" menjadi ahli panel pada sesuatu waktu tertentu.

Bagi kebanyakan orang yang mengikuti anugerah SEA Write Award ini, nama-nama seperti Tengku Alias Taib, Shamsuddin Jaafar dan Rahman Shaari ini adalah contoh klasik, malah antik, sepanjang pemilihan calon anugerah ini. Dahulu nama Prof. Muhammad Haji Salleh pernah dijadikan demikian. Setelah Muhamad terpilih sebagai penerima, walaupun sebelumnya dia dinobatkan sebagai sasterawan negara, nama itu serta-merta padam daripada wajah klasiknya. Kurang pasti apakah ada tangan-tangan halus yang membuatkan nama Muhammad menjadi klasik dan antik beberapa ketika. Dan apakah tidak mungkin pula tangan-tangan yang serupa membuatkan nama-nama Tengku Alias, Shamsuddin Jaafar dan Rahman Shaari menjadi klasik dan antik. Nampaknya orang yang punya nama ini terpaksa mandi air bunga!  Paling-paling untuk mengelakkan diri daripada menjadi bahan tulisan penulis-penulis yang gatal tangan atau tahaf keakuannya  sudah sampai ke pringkat megaloman, sekadar meminjam istilah psikologi.

Bagi penerima anugerah tahun ini, Lim Swee Tin, soal sama dia layak menerima atau tidak tidak timbul. Sama juga halnya dengan kes Muhammad Hj Salleh. Tidak timbul soal sama ada dia layak menerima anugerah ini setelah dinobatkan sebagai Sasterawan Negara!

A.F.Yassin  

 

11 July 2011

Sinis Seorang Profesor Bahasa Terhadap Ratib 1000 Syair GAPENA


CATATAN A.F.YASSIN

PANDANGAN SINIS TERHADAP RATIB 1000 SYAIR

Kelihatannya, apa sahaja kegiatan yang diadakan oleh Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) semuanya tidak kena bagi sesetengah orang. Kegiatan terbaru badan penulis itu ialah Majlis Ratib 1000 Syair, yang diadakan selama 24 jam dan terus dicatat dalam “Malaysia Book of Records” pada 2-3 November lalu.

Salah seorang daripadanya tokoh bahasa yang sudah bertaraf profesor emeritus. Bidangnya lingusitik, sudah bersara tapi dipanggil lagi untuk bertugas oleh sebuah universiti lain. Barangkali ilmunya masih perlu dimanfaatkan. Bidang penyelidikannya masih boleh membawa faedah kepada perkembangan kebahasaan di negara ini.

Maknanya profesor ini masih belum ada taranya dari sudut bidang ilmunya. Bagaimanapun apabila beliau secara sinis bertanya apakah Gapena bikin acara ratib hanya nak masuk “Malaysia Book of Records” maka pertanyaan itu sudah sedikit keterlaluan. Tidak sewajarnya seorang ahli akademik dalam apa bidang ilmu sekalipun bersuara sinis terhadap institusi seperti Gapena yang selama ini berusaha memartabatkan bidang kesusasteraan dan kebudayaan termasuk aspek kebahasaan juga. Malah tokoh yang memimpin Gapena selama 30 tahun merupakan seorang ahli akademik dan setaraf jawatan profesornya. Makna kata Tan Sri Prof. Emeritus Ismail Hussein dan profesor bahasa itu sama setaraf dari segi akademik. Tan Sri Ismail dalam bidang kesusasteraan manakala satu lagi dalam bidang kebahasaan.

Kurang pasti mengapa profesor bahasa itu bersikap demikian terhadap profesor sastera. Apakah ia ada kaitannya dengan pandangannya bahawa hasil karya pengarang Melayu terutama novel tidak ada yang bermutu. Menurutnya Gapena sepatutnya  mengutamakan usaha meningkatkan mutu karya pengarang. Teringatkah kita akan pandangan yang sama yang diberikan oleh Mohd Affandi Hassan suatu ketika dahulu. Nampaknya Mohd Affandi Hassan tidak keseorang dalam hal ini.

Bagi Tan Sri Ismail, pandangan sinis dan segala macam itu “sudah lali” di telinganya. Gapena punya agenda tersendiri dan terpulanglah kepada siapa sahaja untuk berkata “apa”. Dan pandangan yang tidak semestinya sama itu menjadi hak orang yang memberikannya. Apakah acara Ratib 1000 syair hanya bertujuan untuk dicatat dalam “Malaysia Book of Records”?

Menurut Tan Sri Ismail acara ratib ini diilhamkan daripada mimpi “kawan-kawan”penyair di Rumah Gapena. Mereka ingin berbuat sesuatu untuk meningkatkan lagi usaha memasyarakatkan puisi ke khalayak ramai. Barangkali para penyair berdetik hatinya apabila tiba-tiba sahaja sambutan orang ramai terhadap karya puisi semakin hangat dan menyeluruh. Ada media elektronik yang menggunakan deklamasi puisi sebagai acara selingan. Orang politik menjadikan  puisi, terutama pantun untuk memperkuat hujah politiknya. Beberapa buah negeri dengan rasminya menganjurkan kembara puisi masing-masing dan bukan tidak mungkin  daerah-daerah juga mula memperkenalkan deklamasi puisi kepada warganya. 

Baru-baru ini seorang pegawai tingkat tinggi sebuah kementerian menghubungi seorang pengrang kenalannya  memintanya menyiapkan beberapa kerat pantun dan perbilangan adat tentang perkahwinan. Pegawai itu minta tolong bagi pihak bosnya untuk majlis perkahwinan anaknya. Menurutnya, kata perbilangan itu perlu kerana bosnya itu orang Negeri Sembilan dan biasanya pesta kahwin di Negeri Sembilan tidak akan meriah kalau tidak dimasukkan kata-kata perbilangan adat.

Demikianlah, atas prestasi puisi yang semakin ditatang orang kewujudannya, maka apakah salah bagi Gapena untuk terus memperteguh citra yang semakin mula meneguh itu? Dan untuk respons terhadap pandangan profesor bahasa yang bergelar datuk itu, apakah sudah menjadi tugas utama Gapena untuk mempastikan setiap karya pengarang yang dilahirkan mesti bermutu tinggi setanding karya dari pengarang Barat? Kata seorang anggota kerabat Gapena, “Tugas Gapena mempersiapkan infrastruktur, menyediakan lapangan dan memperteguh fundasi berkarya. Kemudian terserah kepada pengarang itu sendiri untuk mencipta yang terbaik. Kalau pengarang mencipta yang tidak baik, itu bukan salah Gapena!” katanya.

Gapena sebuah institusi yang terlalu besar untuk sekadar memantau nilai karya pengarang. Bukankah ada pengkritik yang memantaunya? Tugas Gapena lebih besar dan luas. Tugas Gapena melihat Melayu dan dunianya yang satu waktu habis dirobek-robek oleh perakus Barat dengan pemikrian penjajahannya. Gapena perlu melihat jauh, melepasi sempadan politik dalam usaha mencari dan menebus semula maruah ketuanan Melayu yang sekian lama hilang. Satu ketika dahulu Melayu pernah menjadi bangsa besar, mempunyai empayar yang dikenali di seluruh dunia. Setelah dijajah, ramai Melayu dijadikan hamba dan pesuruh sehingga harus ditebus semula oleh keadaan dan masa. Melayu telah menjadi salah satu bangsa yang betebaran di merata-rata negara sehingga timbullah apa yang disebut Melayu diaspora.

Bagaimanapun, istilah diaspora ini pun tidak disenangi profesor bahasa itu. Menurutnya diaspora tidak sesuai digunakan untuk orang Melayu yang tinggal di luar tanah induk Melayu. Menurut kamus diaspora bermakna antara lain sesuatu kelompok manusia yang bertaburan lari ke tempat lain disebabkan satu keadaan seperti perang atau diusir. Profesor itu berkata masih boleh dipertikai apakah orang keturunan Melayu yang ditemui Gapena di Afrika Selatan, Sri Lanka atau Madagaskar itu Melayu diaspora. Profesor itu mungkin belum bertanya hal atau membuat penelitian tentang keadaan orang Melayu di sana yang ramai bercerita bagaimana nenek moyang mereka dibawa keluar dari kepulauan Nusantara ke tempat di mana mereka berada sekarang. Mereka dibawa secara paksa sebagai hamba atau khadam. Keadaan nusantara waktu itu mirip perang yang berlanjutan. Apakah keturunan Melayu di negara-negara berkenaan bukan diaspora?

Profesor bahasa itu juga mempertikaikan apakah orang keturunan Melayu di negara-negara berkenaan benar-benar datang dari Semenanjung Tanah Melayu, Singapura atau Brunei. Mungkin sahaja mereka dari kepulauan lain seperti Jawa atau Sulawesi. Dan bagi profesor itu kedua-dua daerah itu bukan tempat tinggal orang Melayu. Barangkali maksud preofesor itu orang Jawa bukan orang Melayu, orang Bugis bukan orang Melayu kerana bahasanya berlainan sekali dengan bahasa Melayu.

Inilah tantangan Gapena. Isu nilai karya dan isu orang Melayu yang ditimbulkan oleh profesor bahasa didasarkan bidang ilmunya, iaitu linguistik. Melayu baginya barangkali adalah mereka yang bertutur dalam bahasa Melayu, mengamalkan kebudyaan Melayu dan beragama Islam. Persis seperti dalam Perlembagaan Malaysia. Soalnya apakah Gapena melihat Melayu seperti yang didefinisikan oleh Perlembagaan? Oleh kerana perjuangan mencari Melayu itu jauh melepasi sempadan politik maka jawapan kepada isu profesor bahasa itu menjadi mudah.

Pandangannya terhadap Melayu dan nilai karya Melayu inilah yang diyakini mewarnakan alam fikirnya sehingga prejudis terhadap sebarang kegiatan Gapena. Dan tidak mengejutkan jika dia bersikap sinis dengan majlis ratib 1000 syair. Biar apapun kelemahan yang ada, majlis ratib 24 jam itu bukan setakat mengejar catatan  “Malaysia Book of Records” tetapi lebih penting keinginan para penyair dan pencinta sastera untuk mencipta kelastarian dalam pengucapan puisi. Dan ia merupakan satu proses untuk mencari pembaharuan demi pembaharuan.

Suara sinis seperti yang dilontarkan profesor bahasa itu mungkin tidak besar jumlahnya di kalangan orang akademik. Tetapi kalau sesuatu tidak dilakukan jumlah itu akan meningkat. Sebabnya pemilik-pemilik suara sinis demikian tidak dapat menghayati perjuangan orang sastera atau orang budaya. Atau mungkin juga dunia pemilik suara sinis terletak di sekitar bidangnya sahaja sehingga terlupa bahawa masih wujud dunia-dunia lain di luar bidangnya. Ada yang mahu Gapena mengambil inisiatif mendekatkan pemilik-pemilik suara ini kepada kegiatan Gapena, menjelaskan kepada mereka konsep dan falsafahnya.

Satu waktu dahulu pernah terdengar suara yang mengatakan kegiatan Gapena hanya bersifat sorak-sorai. Tetapi hari ini kebanyakan daripada pemilik suara itu bukan sahaja telah dapat menghayati perjuangan Gapena tetapi turut aktif dalam kegiatannya. Tidak perlulah disebut siapa pemilik suara itu. Yang penting gerak inisiatif Gapena mengenal pasti suara “sumbang”ini dan membawa pemilik suara itu melalui hamparan permaidani Gapena untuk mengetahu apakah hamparan itu gatal atau enak untuk diduduki.

Mana tahu nanti jika ada lagi acara ratib syair kedua, mungkin jumlah syairnya 2000 pula, profesor bahasa yang bersuara sinis akan mengirimkan nukilan sajaknya untuk dibaca di atas pentas dan di hadapan sejumlah besar penyair Malaysia. Waktu itu nanti profesor bahasa itu akan berfikir bahawa kata perbilangan, syair, gurindam  dan pantun-pantun yang sesetangahnya diminatinya kerana “keindahan bunga bahasa” lahir daripada ciptaan nenek moyang orang Melayu yang mencipta dan dibacakan dalam majlis keramaian seperti ratib 1000 syair ini. Mungkin ada yang ingin tahu siapa profesor bahasa itu. Sebaiknya namanya  berada dalam baris-baris “catatan a.f. yassin” minggu ini.(modified on 30 June 2011)


  

05 July 2011

DBP Dengan cerita Dol Keropoknya. Siapa Dol Keropok?

CATATAN A.F.YASSIN

Mengingat Kembali Dol Keropok di Dewan Bahasa

Bucu, satu kawasan kecil terletak di depan Dewan Bahasa dan Pistaka. Ia juga dikenali sebagai Tanjung. Terdapat beberapa gerai makan yang sejak enam pagi lagi sudah dikunjungi ramai pelanggan yang datang bergelombang. Mulanya, datang berkunjung sarapan kumpulan polis lalulintas. Mereka meninggalkan gerai sebelum tujuh pagi. Kemudian datang pula kumpulan editor dan staf Dewan Bahasa.

Setelah pukul lapan sepi seketika sehingga pukul sepuluh apabila editor dan staf ini kembali berkunjung untuk kudapan. Mereka disertai kumpulan perekabentuk syarikat Dawama yang berpejabat di Wisma Miramar. Ini berterusan ketika rehat makan tengah hari dan akhirnya minum petang pukul tiga.

Yang menarik bucu ini seolah-olah sudah dianggap tempat pertemuan orang persuratan. Minggu lalu sahaja, misalnya, ada pertemuan santai Dato’ Mohd Noor Azam, bekas Timbalan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan bekas Setiausaha Politik Tun Dr. Mahathir dengan beberapa staf Dewan Bahasa yang juga penulis, seperti Jaafar Rahim, Mohd Daud Mohammad dan Ahmad Shahidan. Dalam beberapa hari ini ada pula Abd. Rahim Abdullah, Ketua Program Penulisan Akademi Seni Kebangsaan dan Marzuki Ali yang menikmati juadah gerai. Dan Selasa lalu, “timbul” Anas K. Hadimaja yang kelihatan sedikit uzur dan datang bertongkat. Kata mamak sebuah gerai, “Ini orang semua selalu datang juga minum. Pagi ada petang pun ada.”

Kalaulah bucu itu boleh mendengar, ia tentu gembira. Sebabnya penulis dan staf Dewan Bahasa sering sahaja bercerita kisah-kisah lama, bernostalgia sesama sendiri. Terutama dalam beberapa hari ini. Jaafar Rahim sedang merancang untuk mengadakan majlis mengingati Keris Mas pada 2-3 Ogos nanti. Berbagai acara diadakan dengan seminar sehari menjadi acara utamanya.

Satu acara menarik, tetapi tidak rasmi ialah mengumpulkan semula semua bekas petugas Dewan Bahasa, yang masih hidup dan  yang nama mereka sinonimos dengan kemajuan Dewan Bahasa. Malah mereka dianggap sebagai tokoh-tokoh besar atau “towering personality” nasional dalam bidang persuratan yang membantu Dewan Bahasa meningkatkan citranya di mata masyarakat. Selain Noor Azam, Jaafar akan mengundang antara lain Kemala (Dr. Ahmad Kamal Abdullah), Dato’ Abdullah Hussein, Saleh Daud, Shamsuddin Jaafar, Ajikik, Ainon Mohamad dan Awam il Sarkam,  Jaafar tidak lupa Dato’ Baharuddin Zainal dan Dato’ Johan Jaafar walaupun mereka warga Dewan Bahasa atas jawatannya sebagai ahli Lembaga Pengelola.

Di Bucu Dewan Bahasa itulah, Jaafar berjaya memujuk Noor Azam untuk bernostalgia di majlis mengingati Keris Mas. Letih juga Jaafar memujuk “Dato’ kita itu” sekadar meminjam katanya. Pada mulanya Noor Azam enggan dan  hanya ingin hadir sebagai peserta tetapi setelah didesak Jaafar dan kawan-kawan, Noor Azam menerima dengan syarat beliau hanya akan bercerita tentang Keris Mas sekadar yang beliau ingat. Katanya, “Dah lupa banyak dah, dah lama sangat. Yang saya ingat cara orang tua itu menghisap paipnya.”

Beberapa minggu sebelumnya beberapa orang anggota Kesatuan Sekerja Dewan Bahasa bersembang-sembang santai sambil kudapan mencari jalan bagaimana Kesatuan boleh membantu Dewan Bahasa mengembalikan semula citra kegemilangannya. Sambil meneguk tarik mamak, Hasni,  Ahmad Shahidan dan Yusof seperti bersumbang saran dalam kesantaian. Kudapan pagi

“Nampaknya Dato’ Ketua Pengarah kita yang baru ini berfikiran sama dengan kami,” kata Hasni. Menurutunya telah beberapa kali mereka bercerita tentang keazaman ini. “Kita tak mahu terus mendengar Dewan Bahasa dikatakan sudah tidak relevan lagi. Bagi kami Dewan Bahasa masih dan terus relevan. Cuma kegiatan dan fungsinya perlu disesuaikan dengan kehendak zaman. Dan masih banyak yang perlu dilakukan.” Menurut Hasni dan kawan-kawan pihak kesatuan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Dato’ Dr. Firdaus Haji Abdullah. “Kami lihat sebagai orang yang terlibat aktif dalam bidang persuratan Dato’ kita itu amat memahami masalah citra Dewan bahasa yang sedikit tercalar ini.”

Di bucu itu juga penulis Anas K. Hadimaja, yang  juga bekas setiausaha akhbar Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Tan Sri Ghazali Shafie pada tahun 1970an dahulu datang berkkunjung.  Selasa lalu Anas meminta saya menyampaikan salamnya kepada Ketua Pengarah yang baru. Katanya, “Kalau kau jumpa Firdaus, katakan saya kirim salam. Dan yang lebih penting kau sampaikan sangat-sangat supaya dia jaga kesihatan dan pergi cek dengan doktor selalu. Kita menaruh harapan kepada dia. Kembaikan Dewan ke fungsi asalnya.”

Sebelumnya datang pula Sutong Umar RS yang kini sibuk mengendalikan majalah “MASA” yang baru sahaja terbit dengan edisi keempatnya. Sutong  sedang melakar konsep untuk majalah kedua, iaitu majalah Seni. Sutong bernasib baik kerana Noor Azam masih mahu membantunya sebagai penasihat editorial. Kata Sutong, “Noor Azam penting. Ruangan perspektifnya dalam majalah Dewan Masyarakat suatu waktu telah kami teruskan dalam MASA. Bos kita juga turut membuat penyaringan rencana.”

Jelas bucu bagaikan menyaksikan wujudnya satu gelombang penulis yang masih mahu melihat Dewan Bahasa kembali unggul seperti dalam tahun-tahun 1960an dan 1970an dahulu. Kemahuan itu ditunjukkan oleh penulis-penulis mapan dan penulis-penulis generasi hari ini merangkap tenaga kerja Dewan Bahasa seperti Jaafar, Ahmad Shahidan dan Wahab Hamzah.

“Kita mesti bantu Firdaus. Jangan terlalu mengambil banyak masa belajar tentang masalah Dewan. Dia menghadapi cabaran dan dugaan, malah godaan dari pelbagai penjuru. Dia kena kuat fizikal dan mental,” kata seorang penulis yang sering menikmati mee mamak di Bucu itu. Penulis berkenaan yang juga bekas staf Dewan Bahasa turut bernostalgia tentang kisah Dol Keropok di Dewan Bahasa. Kebetulan  Jaafar Rahim sedang mengumpulkan kisah Dol Keropok dan peranannya di Dewan Bahasa pada dekad-dekad 60-an dan 70-an dahulu untuk majlis Keris Mas. (Modified on 20 Julai 2005) Ends. 



 


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PROFIL

My photo
Rawang, Selangor Darul Ehsan, Malaysia

What Other People Say...


"A.F.Yassin dalam cerpennya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).