16 April 2012

PULAU PANDAN JAUH KE TENGAH GUNUNG DAIK BERCABANG TIGA..


Kelihatan Gunung Daik bercabang tiga, patah satu tinggal dua dari Makm Bukit Cengkeh di Pulau Lingga, sewaktu rombongan GAPENA mengunjungi ke pulau yang digelar "Bonda Tanah Melayu".

Ada sesuatu yang mengusik jiwa ketika saya menjejakkan kaki di Pulau Daik Lingga 5 Julai lalu. Bulu roma tegak berdiri apabila  lebih 70 orang anggota rombongan Perkampungan Penulis Melayu Serumpun dari Malaysia, Singapura, Negeri Thai, Filipina dan tuan rumah Kepulauan Riau ditaburi beras kunyit melalui sambutan penuh adat Melayu oleh masyarakat Daik. Kemesraan datang spontan dalam dialek dan adat resam yang sama. Para pembesar Kecamatan Lingga dan Kelurahan Daik menyambut kami lengkap berpakaian baju Melayu. Sesampainya rombongan di dataran Kota Daik, yang dahulunya pasar, ribuan masyarakat Daik telahpun menunggu dengan pakaian cantik berwarna warni.

 Bekas Imam Mesjid Sultan Daik Lingga, Haji Abdul Ghani menjelaskan bahawa ramai warga Daik yang bekerja di pulau-pulau berdekatan seperti Dabosingkep, Batam, Bintan serta pulau-pulau yang lain pulang, semata-mata ingin ikut serta dalam perayaan tiga hari sempena Perkampungan penulis Melayu Serumpun ini.

 Gunung Daik masih dilindungi awan ketika kami sampai, walaupun cuaca cukup panas. Sehingga dengan demikian kami tidak berpeluang melihat gunung yang masyhur dengan cabang tiganya itu. Namun keramahan masyarakat Daik mengurangi kekecewaan itu Menurut penduduk tempatan cabang gunung itu telah "patah satu tinggalah dua". Sepatah kata Datuk Prof Zainal Keling, "Disitulah letaknya misteri Gunung Daik. Ia begitu ilusif."


Waris keturunan Kesultanan Johor-Riau-Lingga, YM Tengku Husien Saleh, B.Sc. berdiri di atas puing-puing Istana Damnah Daik Lingga ketika penggambaran program Jejak Bahasa DBP-TV3 di pulau itu pada tahun 2000.

Umumnya sambutan yang diterima rombongan boleh disimpulkan daripada pandangan Ketua I Gapena, Tan Sri Prof Emeritus Hj Ismail Hussein, "Saya begitu terharu dengan sambutan. Rasa keterikatan begitu mencengkam, seolah-olah orang Daik ini saudara rapat yang dipertemukan semula setelah sekian lama hilang."

 Perasmian perkampungan selama tiga hari ini dilakukan Gabnor Riau, Hj. Saleh Jasit, SH. Sebelum melafaz rasmi perkampungan Hj. Saleh berpantun:

       Gunung Daik bercabang tiga

      Nampak tersenyum dari Selat Melaka

      Adat resam dan nilai budaya

      Pusaka yang harus kita bina bersama.

 Sememangnya budaya dan adat resam di Daik Lingga khasnya tidak dapat dipisahkan, walaupun oleh eniti politik yang berbeza. Implikasi daripada dasar pecah dan perintah penjajah Belanda dan Inggeris abad lampau tidak sedikitpun menjejaskan kebersatuan budaya dan adat resam bangsa Melayu di Nusantara. Di Daik sendiri penduduknya mengamalkan adat dan budaya yang sama seperti di Malaysia, khususnya Johor, Riau, Brunei dan Singapura. Tutur kata sehari-hari, pemakanan dan cara berpakaian orang Daik saling tak tumpah seperti orang Melayu di daerah lain Nusantara dan alam Melayu. Semua anggota rombongan ke perkampungan ini seperti berada di tengah-tengah keluarga sendiri apatah lagi mereka mendapat "berkeluarga angkat" semasa tinggal di Daik.   


YM Raja Hamzah Yunus (kanan) ahli waris Yamtuan Muda Riau bersama-sama rombongan Jejak Bahasa DBP-TV3, wakil GAPENA dan wakil Jabatan Penyelidikan DBP di Balai Maklumat dan Dokumentasi Pulau Penyengat pada tahun 2000.

 Memang benarlah Daik Lingga adalah bunda tanah Melayu. Raja Hamzah Raja Yunus, generasi keenam daripada waris keturunan Raja Haji Fisabilillah, Yamtuan Muda Riau ke-4 mengungkapkannya demikian. Raja Hamzah, Ketua Pusat Maklumat Kebudayaan Melayu Riau berkata, "Daik itu pernah menjadi pusat Kerajaan Lingga-Riau selama kurang lebih 120 tahun. Sebagai pusat kerajaan tentu di sana juga sebagai pusat pengembangan budaya, adat istiadat, serta agama. Dengan demikian pada suatu ketika memang pantas Daik-Lingga dikatakan sebagai bunda tanah Melayu.

 Sebagai saksi sejarah kepada keagungan silam kerajaan Daik, terdapat empat makam sultan Melayu, iaitu Makam Sultan Mahmud Riayat Shah, Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah, Sultan Muhammad dan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah II. Ada pula makam Yang Dipertuan Muda Riau ke-10, Raja Muhammad Yusuf. Kemudian terdapat pula bekas lima buah istana, iaitu Istana Pengkalan Kenanga, Istana Keraton, Istana Damnah, Istana Robat dan Istana 44 bilik. Istana terakhir ini tidak sempat siap kerana sultannya telah dipecat Belanda.

 Untuk melihat keagungan kerajaan Riau-Lingga di tanah Daik tidak sukar seperti diakui Raja Hamzah. Sebabnya, semasa Daik menjadi pusat kerajaan, ia pernah mengembangkan budaya fikir yang dituangkan dalam bentuk tulisan. Katanya, "Masih banyak naskhah lama tentang kerajaan Daik Lingga atau yang berkaitan dengan masalah budaya serta agama yang ditulis oleh pengarang  tanah Lingga. Naskhah itu sekarang masih banyak dan masih dapat dibaca. Jadi tidak begitu sulit kalau ada orang yang mahu menelaah tentang kebesaran kerajaan Riau-Lingga di Daik."

 Salah seorang penduduk Daik yang masih banyak menyimpan naskhah lama ialah Tengku Husein Saleh, generasi keenam daripada keturunan Sultan Muhammad  Muazzam Shah yang memerintah Riau Lingga dari tahun 1830 hingga 1841. Dalam pertemuan singkat kami (Datuk Prof. Zainal Keling, Prof. Amat Johari Moain, Prof. Madya Zainal Borhan dan Raja Hamzah)  satu petang dengan beliau, Tengku Husein bukan sahaja memperagakan naskhah-naskhah lama yang ditulis tangan, tetapi juga membentangkan carta salsilah keturunannya. Tengku Husein menyelusuri salsilah keturunannya  seawal Sang Nila Utama yang digelar Sri Tri Buana dan berayahkan Sang Saperba dari Bukit Siguntang, Palembang. Sang Nila Utamalah yang menemui Tumasik (Singapura) dan menjadi raja pertama Singapura pada tahun 1160.

 Menurut salsilah itu, Singapura diperintah oleh lima orang raja, iaitu Sri Tri Buana sendiri, Sri Pekermawira (1203), Sri Ratna Wikarma (1223), Sri Maharaja  (1236), Sri Iskandar (1249). Sewaktu pemerintahan Sri Maharaja, Singpaura telah dilanggar todak dan sewaktu pemerintahan Sri Maharaja (Parameswara?) Majapahit datang melanggar Singapura dan Sri Maharaja terpaksa berundur ke  Melaka dan berbuat negeri di sana pada tahun 1254. Saya tanyakan Tengku Husein dan Raja Hamzah tentang perbezaan hampir 200 tahun antara tarikh ini dengan tarikh yang diberikan orintalis Barat yang Malaka dibuka Parameswara pada tahun 1403.

 "Mungkin ada motif tertentu pihak Barat untuk menidakkan tamadun Melayu sebelum Melaka. Pada hal Singpaura sudah pun melahirkan tamadun besar di bawah pemerintahan raja-raja Melayu yang belum masuk Islam," jawab Raja Hamzah. Tengku Husein sependapat dengan Raja Hamzah.

 "Kita kena luruskan sejarah. Dan rasanya mestilah ada orang yang sanggup membuat penelitian. Dan selagi belum ada penemuan dan hasil penelitian yang menyangkal fakta Barat ini maka kita terpaksalah menganggap yang ada sekarang adalah benar," celah Zainal Keling.

 Salsilah yang dibentangkan Tengku Husein ini berupa dokumen penting untuk dikaji sebagai langkah awal untuk meluruskan sejarah keagungan tamadun Melayu. Daik telah membuka pintunya untuk memberi peluang kepada ahli sejarah bangsa Melayu sendiri, paling-paling untuk menyangkal segala bentuk tulisan Barat selama ini. Ikut serta dalam rombongan beberapa orang ahli akademik dari jurusan sejarah. Tengku Husein dan Raja Hamzah'  masing-masing daripada keturunan Yang Dipertuan Besar atau Sultan Riau-Lingga dan Yamtuan Muda Riau malah dengan segala senang hati mahu memberikan kerjasama. Keramahan dan kemesraan masyarakat Daik, yang menurut Raja Hamzah, sebahagian besarnya daripada keturunan pengikut-pengikut Sultan Mahmud Shah yang berpindah dari Hulu Riau membuka negeri di Daik Lingga, turut menambah ringankan beban peneliti untuk mencari kebenaran sejarah.

 Cuma amat disayangkan seperti kata Datuk Zainal, tapak bekas kerajaan Melayu di Riau Lingga ini, seperti halnya di negeri-negeri Melayu lainnya, tidak dapat bertahan lama. Tidak seperti halnya dengan  tinggalan sejarah purba di Itali, misalnya yang masih tersergam walaupun usianya sudah hampir seribu tahun. "Tapi, kita tidak pula dapat menafikan bahawa kebanyakan istana sultan zaman dulu diperbuat daripada kayu. Ia tak tahan," katanya.

 Namun ia tidak bererti usaha meluruskan sejarah terhenti di situ. Raja Hamzah berkata sejarah boleh digali  dan akan menjadi sah faktanya jika peneliti mengikuti empat syarat penting. Syarat-syarat itu ialah  ada cerita, ada salsilah, ada keududukan awal dan ada siarah, iaitu kaitan kekeluargaan dengan keluarga dalam istana berdasarkan semenda. Di Daik hingga ke Hulu Riau kesemua syarat ini dapat dipenuhi. Terserah kepada sungguh tidak sungguhnya para peneliti yang berminat dalam hal ini.

"Contohnya, di Riau Lingga pernah ada seorang wanita menjadi raja. Baginda ialah Engku Fatimah, Sultanah yang memerintah negeri. Silakan cari sejarahnya," kata Raja Hamzah.

 Selama tiga hari di Kota Daik, runtunan hati untuk kembali mengenang zaman silam semakin menggugah jiwa apabila setiap malam pelbagai persembahan budaya dipentaskan masyarakat Daik. Pada malam pertama pesta joget tempo dulu-dulu yang popular di tahun-tahun 1950an di "Happy World" Singapura dipersembahkan. Yang menjadi penarinya wanita-wanita yang sudah berumur dan isteri orang. Pada malam kedua dipentaskan pula Bangsawan Melayu bertjudul "Hulubalang Daik" sementara pada malam terakhir diadakan pula tarian-tarian tradisional dan tarian orang laut. Pelakon-pelakon bangsawan terdiri kebanyakan daripada suri rumah. Sejarah mencatatkan bahawa  kerajaan dahulu memang kaya seni. Malah ada yang mendakwa bahawa muzik Ghazal berasal dari Daik, lalu berkembang di Johor dan kawasan-kawan lain di Tanah Melayu.

 Demikianlah, kembara budaya rombongan dari mancanegara di Nusantara ini telah mewujudkan semacam untaian rasa dan kenangan yang tidak begitu mudah dilupakan. Gunung Daik yang pada hari pertama masih menyembunyikan tiga cabangnya, mula bermurah hati pada hari kedua. Setelah hujan lebat mencurah turun pada paginya, kami disajikan pemandangan yang mengasyikkan. Tiga cabang gunung itu menampakkan diri, yang oleh masyarakat Daik diungkapkan "Gunung Daik bercabang tiga, patah satu tinggallah dua." Sebabnnya, cabang kiri gunung  telah patah di tengah-tengah - A.F.Yassin. (Dipetik daripada majalah berita mingguan Massa, 17 Juli 1999, yang diterbitkan Kumpulan Utusan Melayu)


 


1 comment:

  1. Ada beberapa isu menarik dalam tulisan ini untuk saya ulas. Pertama, nama pulau itu bukan Pulau Daik. Daik hanya nama tempat dan nama gunung di sana. Nama pulau itu ialah Pulau Lingga.

    Kedua, Parameswara lari ke Melaka dari Singapura bukan kerana serangan Majapahit. Sebaliknya untuk mengelak diserang tentera Siam yang ingin membalas dendam kerana baginda membunuh Raja Temagi (wakil kerajaan Siam di Singapura).

    Kenapa wakil kerajaan Siam ada di Singapura? Bukankah Negeri Siam seribu batu jauhnya dari Singapura? Tidak adakah pakar sejarah yang perhatikan ada apa di sebalik kaitan Siam dengan Singapura. Saya rasa belum ada kajian tentang persoalan ini.

    Mari kita berhipotisis bahawa, kerajaan Siam pernah meluaskan jajahannya sampai ke selatan Semenanjung. Hal ini mungkin benar kerana terdapat dugaan kota Klang Kio pernah wujud di hulu Sungai Johor, malah namanya sendiri disebut dalam hikayat Sejarah Melayu. Klang Kio ialah nama Siam yang bermaksud perbendaharaan permata. (Nama Johor sendiri berasal dari kata jauhar, yang juga bermaksud permata). Klang Kio dikatakan pusat kerajaan Siam untuk jajahan selatan. Jadi mungkin inilah kaitannya.

    Berbalik kisah Parameswara, benar memang baginda larikan diri dari serangan Majapahit, tapi itu ketika di Palembang. Bukan ketika dia di Singapura.

    Isu ketiga, saya agak terkilan kerana orang Malaysia sendiri terikut-ikut menamakan kerajaan di sana dengan nama Riau -Lingga. Padahal nama itu ialah muslihat pemerintah Indonesia untuk memadamkan keterkaitan wilayahnya dengan sejarah negara kita. Ini dilakukan atas nama nasionalisma dan stigma atas orang-orang Melayu di sana akan kesetiaannya pada negara.

    Sejarahnya, Riau -Lingga hanya kerajaan boneka buatan Belanda yang dicipta mulai tahun 1824. Sebelumnya Riau - Lingga masih di bawah Johor sejak 1528. Hanya ada sultan 'patung' yang dilantik Belanda selepas wilayah ini terlepas dari Johor. Namun dalam catatan Indonesia, Kerajaan ini sudah wujud sekian lama dengan barisan sultan yang naik tahta silih berganti, walhal sultan yang mereka nyatakan sebenarnya Sultan Johor yang memerintah di sana bila tanah besar Johor terdedah ancaman Portugis. Dalam hal ini, kita yang harus tegas menyatakan Riau dan Lingga adalah jajahan Johor hingga 1824.

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PROFIL

My photo
Rawang, Selangor Darul Ehsan, Malaysia

What Other People Say...


"A.F.Yassin dalam cerpennya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).