14 August 2012

MELAKAR KERJASAMA PENDIDIKAN DAN BUDAYA UKM-UNPAD


Staf Akademik Fikom, UNPAD Bandung berkumpul dalam satu majlis Dies Natalies di Kampus induk Jatinangor. Kelihatan Drs. Atang Samsuddin (tengah baris depan) dan Drs. Riyono Pratikto di belakangnya. Riyono adalah juga seorang sasterawan Indonesia yang bukunya pernah diterbitkan di Malaysia bersama Dr. Othman Puteh.

Seramai 60 orang pensyarah dan ilmuan dari sebuah universiti di Bandung, Indonesia berkunjung ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)  8-10 Oktober 2002 yang lalu untuk menghadiri Simposium Kebudayaan Malaysia-Indonesia Ke-8. Pensyarah dan ilmuan itu merupakan spesialis dalam bidangnya masing-masing yang berkait dengan kebudayaan dan ilmu sosial lainnya. Rombongan 60 orang itu diketuai oleh Rektor Universitas Padjadjaran Bandung.
 Hos simposium ialah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM dan simposium dirasmikan Selasa lalu oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Dato’Aziz Shamsuddin  di sebuah hotel terkemuka di Bandar Baru Bangi. Simposum tiga hari itu mengetengahkan 18 kertas kerja, merangkumi pelbagai aspek kebudayaan dan kehidupan berilmu. Semua jurusan di fakulti sains sosial dan kemanusiaan digerakkan untuk menjayakan simposium. Begitu juga halnya dengan Universiti Pajajaran yang mengirim para ilmuan kanan bergelar profesor dan gurubesar. Dekan pelbagai fakulti yang berkait dengan ilmu sosial dan kemanusiaan turut hadir dalam simposium ini, antaranya Prof. Dr Zulrizka Iskandar, Dekan Fakultas Psikologi dan Drs Soeganda Priyatna, Dekan Fakultas Ilmu Komunikasi. Antara yang memberikan ucaputama ialah Datuk Prof Dr Shamsul Amri Baharuddin dari ATMA.
 Termasuk tahun ini telah lapan kali simposium diadakan secara bergilir antara UKM dan Bandung. Bagaimana hasilnya? Seorang peserta dari Bandung, Drs Solleh Soemirat, MA dari Fakultas Ilmu Komunikasi menilai simposium sebagai wadah mendekati jurang komunikasi budaya antara dua negara, terutama di kalangan para ilmuan di dua universiti – UKM dan Padjadjaran. Katanya, “Kerjasama erat dalam bidang kelilmuan dan multi-disiplin dapat diteruskan, malah simposium sering mengingatkan kita akan pentingnya kerjasama itu.”
 Solleh sedikit gusar dengan arah tuju hubungan dua negara. Katanya, “Adalah membimbangkan di saat kita sedang berusaha mendekatkan jurang komunikasi di kalangan cerdik pandai di universiti, kini ada pula yang buat angkara dan karenah di peringkat orang biasa.” Solleh risau peristiwa  yang kurang “enak” yang melibatkan Tenaga Kerja Indonesia tanpa izin dan dihantar pulang baru-baru ini bagaikan menjejaskan usaha para ilmuwan ini memupuk kerjasama yang lebih erat.
 Matlamat simposum dan kerjasama antara UKM dan Bandung ini berubah-ubah mengikut keadaan semasa. Kalau sekarang orang bercakap tentang globalisasi, maka “kita juga harus mengutamamakan proses globalisasi itu untuk dapat dimanfaatkan oleh kedua-dua negara.” Katanya, “Malah ini juga ditekankan oleh Datuk Shamsul Amri ketika memberikan ucaputamanya selasa lalu.”
 Seperti lazimnya orang bersimposium, isu yang dibincangkan di luar sidang lebih menarik perhatian. Barangkali ini terjadi kerana perbincangan tidak terikat dengan tajuk-tajuk kertas kerja yang kadang-kadang rigid dan bersifat ilmiah. Kering dan kadangkala membosankan. Isu hangat yang dibincangkan di luar sidang ialah isu pendatang tanpa izin yang dihantar pulang baru-baru ini. Selain itu ada pula isu pengiriman pelajar Malaysia ke Indonesia yang jumlahnya semakin berkurangan saat ini.
 Solleh berpendapat neutral tentang isu ini. “Saya orang komunikasi dan saya perlu melihat tanpa bayangan prasangka,” katanya. “Sebagai seorang pendidik dalam bidang komunikasi, pesan penting ialah melihat sebarang isu itu atas dasar ilmu dan logika.” Maksud Solleh ialah jangan  libatkan unsur emosi dan sentimen kenegaraan jika mahu “bincangkan” masalah sensitif seperti ini.  Katanya lagi, “Yang penting mencari akar masalah seperti yang sering diminta Perdana Menteri Malaysia ketika mengulas  ancaman Presiden Bush untuk menyerang Iraq. Mahathir benar. Kerana bagi saya punca masalah pendatang tanpa izin ini, misalnya ialah wujudnya sikap tamak dan tidak berperikemanusiaan di kalangan mereka yang mengeksport tenaga kerja Indonesia ke Malaysia.”
 Beberapa orang peserta yang ketagih teh tarik membawa perbincangan tak formal ke gerai makan malam di Bangsar. Sekurang-kurangnya empat orang pesnyarah universiti Bandung berbincang serius bersama rakannya dari Malaysia. Misalnya, Didi Suyardi, Soeganda Priyatna, Zulrizka Iskandar dan Solleh Soemirat bersetuju bahawa pertukaran pelajar antara kedua negara ditingkatkan lagi. Malah Fakultas Kedoktoran sebuah universirti di Bandung menawarkan 30 tempat bagi pelajar Malaysia malanjutkan pelajarannya dalam bidang itu. Mereka mengakui suatu ketika tidak ramai lulusan dari Malaysia. Statistik menunjukkan sepanjang tahun-tahun 1970-90an hanya seorang yang lulus dari fakultas itu, padahal jumlah pelajar yang dihantar adalah lebih banyak.
 Kerjasama bidang penerbitan juga dibincangkan lebih hangat di luar sidang. Rombongan dari Bandung ini mengakui kecanggihan penerbitan di Malaysia, khususnya di UKM sendiri. “kita mungkin akan mengambil waktu juga untuk sampai ke tahap yang dicapai UKM hari ini,” kata Solleh. Dalam pada itu Solleh dan rakan-rakannya bercadang untuk mengirimkan hasil penelitian ilmiahnya yang ditulis semula kepada jurnal-jurnal di Malaysia untuk diterbitkan.
 Salah satu jurnal yang diperkatakan ketika “minum teh taik” di Bangsar itu ialah Pemikir terbitan Kumpulan Utusan Melayu. Selain Pemikir mereka menyebut Tenggara terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Solleh sendiri terkesan dengan kandungan “Pemikir” keluaran terbaru yang diperolehnya dari Penyelaras jurnal, Wan Hamzah Awang (Wahba). Solleh menyebut artikel “Hubungan Agama dan Negara” yang ditulis Kamaruzzaman Bustamam Ahmad.
 Kamaruzzaman, asli Aceh mendapat pendidikan  di Madrasah  Ibtidaiyah Negeri Krueng, Aceh Utara dan Institut Agama Islam Negeri  Sunan Kalijaga, Yogyakarta, Indonesia. Artikelnya membincangkan keadaan agama Islam di Indonesia dalam realiti politik negara itu. Kajian ilmiah Kamaruzzaman itu menjadi penting kerana dua perkara. Pertama walaupun Indonesia sebuah negara yang mempunyai jumlah penduduk Islam yang paling banyak, namun ia masih dianggap negara sekular. Bukan negara Islam. Dan hal ini lebih jelas diungkapkan dalam Perlembagaan negara itu yang digubal pada tahun 1945.
 Kemudian Indonesia kini dianggap sebagai salah sebuah negara di Asia Tenggara yang dicap sebagai  “sarang” pengganas yang dikaitkan dengan al-Qaedah. Ada beberapa pemimpinnya berada di Indoensia dan mereka dikehendaki oleh sama ada Singapura, Amerika mahupun Malaysia. Bagaimanapun artikel Kamaruzaaman tidak membincangkan tentang kedua perkara tersebut. Cuma di bahagian akhir artikel dua bahagian ini memperlihatkan kaitan Indonesia dengan keinginan beberapa rakyatnya menubuhkan sebuah  negara Islam atau “daulah Islamiah”. Kebetulan  istilah “Daulah Isliamiah” ini sering sahaja disebut-sebut ketika orang berbincang tentang kumpulan Jemaah Islamiah di Singapura dan Kumpulan Militan Malaysia (KMM) di Malaysia. Majalah Time baru-baru ini mendakwa pemimpin kedua-dua kumpulan ini berada di Indonesia.
 Bagusnya simposium kali ini ia mendapat kerjasama memberangsangkan daripada Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur. Timbalan Duta yaang juga Menteri Kedutaannya, Suherman Obon sentiasa mengambil berat tentang rombongan. Suherman kelihatan hadir dalam beberapa perbincangan. Katanya, “Simposium begini patut diteruskan. Malaysia dan Indonesia begitu dekat dan kita dari rumpun yang sama dan mengamalkan budaya yang sama.”
 Menurut Herman, dia peribadi lebih senang berada di Malaysia berbanding negara-negara lain. “Saya telah ditugaskan di merata negara di dunia ini, tapi Malaysia yang amat saya senangi. Saya seperti berada di negeri saya sendiri. Makannya, minumnya, orangnya tidak ubah seperti di Indonesia juga,” katanya. Sebagai menghormati rombongan pihak kedutaan mengadakan pertemuan silaturahmi antara staf kedutaan dengan peserta rombongan Rabu malam di bangunan kedutaan di Jalan Tun Razak.
Inilah juga yang mungkin menjadi penyebab utama mengapa begitu ramai peserta rombongan Indonesia menghadiri simposium tahunan ini. Menurut seorang peserta, jumlah yang hadir tahun ini adalah yang terbesar. Tahun depan simposium akan dilanjutkan di Bandung pula, di kampus Universitas Padjadjaran. “Saya melihat persediaan untuk menjadikan simposium tahun ini cukup berhasil. Pihak UKM telah begitu berhati-hati dan hasil kertas kerja yang telah dibukukan memudahkan kami mengikuti jalannya sidang,” kata Solleh.
 Solleh, salah seorang anggota jawatankuasa simposium di pihak Indonesia menganggap persediaan rapi oleh pihak UKM mencabarnya untuk mengadakan simposium yang lebih baik pada tahun depan. “Perlu saya akui bahawa pembukuan kertas kerja dan diedarkan serentak di simposium kali ini cukup bererti bagi kami. Paling-paling para peserta tidak perlu mencari-cari kertas kerja setiap kali sidang mahu dimulakan,”katanya. Kata-kata anggota jawatankuasa simposium dari Indonesia ini semestinya satu pujian tak langusng kepada jawatankuasa penyelenggara  simposium UKM. Minta-minta juga hasil simposium akan dilaksanakan seberkesan penyediaan simposium. Ini barangkali permintaan  pihak pentadbir kedua-dua universiti – satu di Bangi dan satu lagi di Bandung!  (Artikel ini pernah tersiar dalam ruangan "Catatan A.F.Yassin" di akhbar mingguan Utusan Zaman pada tahun 2002 yang lalu).  

12 August 2012

YANG REMEH DAN YANG TEMEH: MELIHAT DUNIA MELAYU YANG "TEMPANG"?


Dua tokoh penting TS Ismail Hussein (kanan) dan TS Mohamad Mohd Taib, Dunia Melayu yang telah memberikn sumbangan besar dalam tamadun dunia Melayu, khusunya dalam bidang persuratan.

Ulasan ini prnah dilontarkan dalam kolum saya di Utusan Zaman. Hanya saya tidak begitu ingat bila ulasan ini disiarkan. Apapun yang ingin digambarkan ialah sebahagian peserta yang mengikuti persidangan di Melaka dan Kuala Lumpur itu mengakui bahawa sesuatu boleh diperbaiki daripada sudut perjalanan persidangan. Sebabnya ini sebuah persidangan bertaraf antarabangsa yang diuruskan oleh orang Melayu.

Bagaikan ada sesuatu yang kurang enak dalam Persidangan Dunia Melayu yang ketiga di PWTC Kuala Lumpur baru-baru ini. Kata seorang peserta, “Saya terima beg seminar pada hari pendaftaran tapi kerta kerja tak lengkap. Berbeza sekali dengan apa yang saya alami semasa menghadiri Pertemuan Sasterawan Nusantara di Kayu Tanam, Sumatera Barat atau di Johor Bahru dahulu. Kertas kerja yang kami terima lengkap, malah sudah dalam bentuk buku jadi.”
Di Melaka pada Konvensyen Dunia Melayu, Dunia Islam berikutnya peserta yang sama mengeluh tentang kertas kerja juga. Katanya, “Beg seminar kosong. Kertas kerja terpaksa diambil setiap hari dari meja panitia. Dengar cerita lain pula. Kata dia orang kertas kerja sudah siap cuma ia diberi pada hari pembentangan. Ini apa punya cerita daa!”
 Itu baru kertas kerja. Lain pula hanya tentang penginapan peserta. Di Kuala Lumpur semua peserta seminar menginap di hotel mewah bersebelahan dengan PWTC. Tamu penganjur, seperti kumpulan seni dari Madagaskar dan Tonga ditempatkan di hotel yang alhamdulillah boleh tahan lagi, walaupun “sikit bawah” dari segi bintangnya berbanding hotel penginapan peserta seminar. Di Melaka peserta ditempatkan di hotel mewah tempat konvensyen berlangsung, termasuk tetamu penting dari negara jiran, Tetamu gabungan persatuan penulis nasional (Gapena) yang menjadi penganjur bersama, ditempatkan di sebuah hotel “RM45 semalam” di depan Balai Polis di Hujung Pasir. Menariknya ada seorang penjual buku, juga mendakwa dirinya tamu Gapena, bernasib baik dapat tinggal di hotel tempat persidangan. Katanya dia menggantikan tamu yang tidak dapat hadir di saat akhir.
 Itu cerita tentang beg, kertas kerja dan penginapan. Tidak penting sebenarnya berbanding tujuan ke seminar untuk mendengar pandangan tokoh-tokoh pembentang makalah. Maklum, tokoh-tokoh itu didatangkan dari seluruh dunia. Melaka sahaja mengundang tokoh dari 27 negara termasuk empat orang gabenor dari Indonesia. Berbobot semuanya. Di Kuala Lumpur negara yang dijemput menghantar wakil tidaklah sebanyak yang di Melaka. Barangkali Kuala Lumpur mahu membataskan jemputan kepada negara yang di kalangan rakyatnya masih punya darah Melayu mengalir dalam badannya, termasuk dari Afrika Selatan, Madagaskar dan Sri Lanka.
 Pembentang makalah baik di Kuala Lumpur mahupun di Melaka terdiri daripada tokoh-tokoh yang sama, seperti Tengku Nasaruddin Effendy dari Riau, Safrullah Sanre dari Makassar, Zounie Fallil dari Sri Lanka (yang mengaku dirinya Melayu Sri Lanka) dan Muhammad Taib Ranaivoson dari Madagaskar. Oleh kerana tema pertemuan di kedua-dua persidangan adalah dunia Melayu maka kebanyakan kertas kerja seperti mengulangi apa yang dibentangkan sebelumnya. Yang dibentangkan di Kuala Lumpur diulangi semula di Melaka dengan pendekatan yang sedikit berbeza. Di Melaka pendekatan lebih menumpukan kepada penglibatan belia. Barangkali pendekatan ini dikaitkan dengan pengalaman kegiatan ketua menterinya, Dato’ Seri Mohd Ali Mohd Rustam dalam pergerakan belia.
 Makanya pada hari pembukaan dan penutupan rasmi konvensyen Melaka, lebih tiga perempat daripada jumlah peserta yang hadir terdiri daripada kaum belia. Muda-muda dan comel-comel lengkap berpakaian seragam. Keadaan berlainan di Kuala Lumpur di mana kebanyakan peserta terdiri daripada  tokoh-tokoh dalam berbagai bidang dari dalam dan luar negeri. Malah turut serta selebriti dalam bidangnya masing-masing, seperti Azalina Mohd Said dari Puteri UMNO dan Erma Fatima, orang filem yang juga exco Puteri UMNO.
 Sekurang-kurangnya tiga bekas menteri turut bersama di persidangan Kuala Lumpur, iaitu Tan Sri Abdul Samad Idris, bekas menteri kebudayaan, Tan Sri Aishah Ghani bekas Menteri Kebajikan Am dan Tan Sri Mohammad Mohd Taib, bekas Menteri Besar Selangor. Seorang menteri Melayu, Sidek Saniff, dari Singapura turut hadir sebagai peserta dan pembentang makalah. Seorang ahli jawatankuasa penganjur gembira dengan kualiti peserta yang hadir, malah sepanjang tiga hari persidangan jumlah yang hadir tidak surut-surut. Ada dua sesi berjalan serentak dan dewan sentiasa penuh. “Paling mereka terus berminat mengikuti setiap sesi,” katanya. Menurut seorang peserta, memang pun dia berminat untuk hadir setiap sesi kerana seperti katanyam, “Kita datang jauh-jauh dan membayar untuk ikut serta. Bukannya percuma.”
 Di Melaka lain lagi ceritanya. Kehadiran peserta dalam sesi perbincangan memperlihatkan skala  turun naik. Tetapi sekali sesi, jumlah yang hadir tidak  sampai pun 50 orang. Kadang-kadang terasa seperti pemakalah-pemakalah membentangkan kertasnya dalam dewan yang hampir kosong. Apapun jua mesej persidangan di Melaka lebih terarah. Ada wawasan dalam mesej. Penganjur utamanya Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP) mahu mendekatkan generasi belia kepada masalah bangsanya, dan memahami jaiti dirinya. Belia adalah generasi penerus dalam memperkasa jati diri. Bagi Iksep, ini amat penting kerana umumnya pada hari ini kaum belia begitu goyah dalam mempertahankan kepribadian dan jaiti diri Melayu. Hal ini diperkuat oleh hujah Tengku Nasaruddin Effendy (Pak Tenas), tokoh budaya dari Riau dalam kertas kerjanya yang bertajuk “Jati Diri Belia Dalam Tamadun Melayu.”
 Pak Tenas bimbang jati diri di kalangan belia Melayu hari ini “begitu goyah”. Baginya terdapat 25 sifat yang dikaitkan dengan jati diri dan kesemua sifat ini perlu dihayati semula oleh anak-anak muda hari ini agar “Tak Melayu hilang di bumi.” Gabenor Riau yang turut hadir, Salleh Djasit, SH mengakui pentingnya peranan belia yang menghayati jaiti diri keMelayuannya. Katanya, “Para belia Melayu sendirilah pada saatnya akan menentukan tercapai atau tidaknya cita-cita dan wawasan bangsanya. Elok padi, berisi buahnya, elok negeri berisi belianya. Tegak rumah kerana tiang, tegak bangsa kerana belia.”
 Betapa tepatnya pandangan dua tokoh dari Riau ini tercermin dalam “Deklarasi Melaka” yang diikrarkan oleh Prof. Madya Dato’Dr Latiff Bakar, Pengerusi Jawatankuasa Kecil Resolusi pada majlis penutup. Ikrarnya, antara lain, “Bahawa kami belia dunia Melayu dunia Islam sepakat melaksanakan nilai-nilai luhur budaya Melayu dan islam, di seluruh rumpun Melayu, dalam segala aspek kegiatan. Bahawa kami .....berjuang secara optimum dan berfterusan mengembangkan bahasa dan budaya Melayu dan Islam kepada bangsa Melayu dan Islam. Bahawa kami... akan membuktikan sokongan penuh kepada semua pihak yang berjuang mewujudkan belia dunia Melayu dan dunia Islam yang berjaya sepanjang masa dan bahasa kami ...akan selalu meningkatkan sumber daya manusia yang berkualiti dan pembangunan ekonomi bangsa Melayu melalui kerjasama yang ampuh dan saliong menguntungkan bagi dunia Melayu dunia Islam yang berjaya sepanjang masa.”
 Melalui ikrar itu, belia akan membentuk satu jawatankuasa kerja  yang akan diletakkan di bawah sekretariat dunia Melayu dunia Islam yang berpusat di Melaka. Maknanya jawatankuasa kerja ini akan melakar satu “blueprint” untuk melaksanakan apa yang diikrarkan. Sekretariat Dunia Melayu Dunia Islam akan memantaunya. Ini satu wawasan besar yang dipersetujui oleh 27 perwakilan yang bersidang di Melaka itu. Dengan deklarasi Melaka ini maka kini sudah terbentuk dua sekretariat dunia Melayu, satu yang di Melaka ini dan satu yang beribu pejabat di Rumah Gapena, iaitu Sekretariat Dunia Melayu dengan setiausaha sekretariat Tan Sri Ismail Hussain, Ketua I Gapena. Diperkirakan Sekretariat Dunia Melayu Dunia Islam di Melaka itu akan dipimpin oleh Latiff Bakar yang juga Ketua II Gapena. Secara tidak langsung kedua-dua sekretariat dunia Melayu ini akan dikuasai langsung oleh orang nombor satu dan nombor dua Gapena.
 Akan terbentang satu senario kegiatan dunia Melayu yang prakarsai Gapena, sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang seluruh tenaganya terdiri dari kalangan sukarelawan. Barangkali Melaka akan muncul sebagai negeri katalis yang  meletakkan belia sebagai sayap generasi penerus kepada kelangsungan gagasan Dunia Melayu. Manakala sekretariat Dunia Melayu di Kuala Lumpur akan tetap kekal sebagai badan induk. Dengan Johor berperanan memperkasa kesenian Melayu antarabangsa, maka bukan tidak mungkin Kuala lumpur, Melaka dan Johor akan menjadi tiga serangkai yang saling cuba “memartabatkan pembangunan dunia Melayu secara holistik” dengan Melaka diharapkan mempelopori proses regenerasi  di kalangan belia. Setakat ini kelihatannya hanya tiga wilayah ini yang bergiat rancak melalui kekuatan kesukarelawanannya.
 Yang deperlukan sekarang barangkali menyelaraskan kegiatan dan cara kegiatan itu dilaksanakan, baik yang dianggap remeh dan enteng mahupun yang lebih sulit dan kompleks. Misalnya dalam sebaran resolusi dan ikrar di akhir persidangan. Ternyata Melaka lebih efisien kerana sejam sebelum resolusi diikrarkan, salinan-salinannya sudah diedarkan kepada semua peserta. Ini berbeza dengan persidangan di Kuala Lumpur. Seorang ahli jawatankuasa malah berjanji akan mengedarkan kemudian, walaupun persidangan sudah masuk “masa kecederaan”.  
 Pada hal resolusi Kuala Lumpur ditunggu-tunggu peserta mengingatkan pandangan-pandangan bernas daripada tokoh-tokoh pembentang. Peserta ingin tahu sekiranya ada anjakan daripada resolusi terdahulu kerana persidangan ini merupakan kali ketiga dilangsungkan. Tokoh-tokoh yang memberikan pandangan merupakan ahli dalam pelbagai bidang, tidak terkecuali politik. Menteri Singapura Sidek Saniff, Dr. kassim Ahmad, Tan Sri Awang Had Salleh, Prof. Ahmad Johari Moain,  Azalina Mohd Said dari dalam negeri. Kemudian ada Tengku Luckman Sinar SH, Prof. Samin Siregar,  Tengku Nasaruddin Effendy  dari Indonesia dan beberapa tokoh lain dari Melayu diaspora. Peserta ingin tahu bagaimana penganjur mengadunkan keperluan Melayu diaspora yang menekankan bantuan kerjasama dari Kuala Lumpur dengan keperluan Melayu induk, terutama di Malaysia, untuk sentiasa berwaspada terhadap ancaman globalisasi yang menurut Kassim “hanya menguntungkan Barat dan patut sangat ditentang.”
 Resolusi akan menjadi semakin menarik apabila keperluan-keperluan politik, sosial, pendidikan dan ekonomi  diadunkan dalam membentuk satu wawasan yang komprehensif demi survival orang Melayu sejagat. Keluh seorang peserta Persidangan Melayu Sedunia 2001 itu, “Entahlah, saya tahu apakah ini boleh dilaksanakan. Soalnya masih banyak yang remeh-remeh belum dapat diatasi dengan baik. Nampaknya cara tidak begitu penting, Yang dipedulikan tujuan akhirnya sahaja, iaitu mengadakan persidangan.” Tidak pasti sama ada Ismail Hussain yang hampir setiap pagi minum teh tarik bersendirian di restoran Riverside sepanjang persidangan sedang memikirkan hal-hal yang remeh ini.

09 August 2012

WAKTU-WAKTU BEGINI KITA TERINGATKAN ARWAH KERIS MAS.

CATATAN NOSTALGIK PADA PERINGATAN KERIS MAS
Oleh A.F.Yassin
Memang sukar bertemu dengan rakan-rakan penulis secara serentak. Apatah lagi jika mereka tinggal berjauhan. Dan minat mereka untuk bertemu dalam seminar, umpamanya telah semakin luntur. Kalau ingin bertemu penulis mapan dan kelas kakap, tunggu mereka diundang sebagai pembentang kertas kerja oleh penganjur seminar atau kongres persuratan. Jika tidak, mereka terpaksa tunggu sehingga Pena atau Gapena mengadakan mesyuarat agung tahunannya. Tetapi jangan pula terkejut rakan-rakan penulis yang ditemui itu hanya muka-muka itu sahaja.

 Maka apabila Dewan Bahasa dan Pustaka menganjurkan seminar sehari dan pelancaran empat buku Arenawati dengan kerjasama Penerbit UKM dan Utusan Publications & Distributors Sabtu minggu lalu rindu untuk menemui rakan-rakan penulis terobat juga. Tiga hari kemudian DBP sekali lagi menganjurkan seminar tiga hari tentang pemikiran Sasteran Negara pertama, Keris Mas. Semakin bertambah bilangan penulis yang jarang ditemui datang berkumpul.

 Dari Negara Brunei Darussalam datang Dato’ Prof. Dr Hashim Awang, dari Singapura datang pula Mana Sikana yang datang tertengkot-tengkot kerana sakit kaki. Dia tersedat sebentar di ruang letak kereta DBP, tidak tahu arah tuju kerana besarnya ruang letak kereta itu dan lif yang menghubungkan ruang letak kereta dengan Dewan Seminar tidak berfungsi. Dari utara datang Azizi Hj. Abdullah, yang namanya sejak akhir-akhir ini agak sensitive bagi sesetengah kalangan media.

 Azizi yang kini bertugas di Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) akan ke Melaka dahulu untuk menghadiri satu seminar lain sebelum menghadiri Seminar Pemikiran Keris Mas. Dari Penjara Sungai Buloh, datang pula Ijmala MN. Penyair ini bertugas di Penjara Sungai Buloh. Dato’ Dr. Nordin Haji Abdul Rahman (Atondra) tidak ketinggalan hadir berpakaian kemas dengan songkok dipakai senget ala atondra. Kemala, Saleh Rahmad, S.M. Zakir dan beberapa yang lain bukan orang asing di DBP. Begitu juga dengan sasterawan negara paling bongsu, S. Othman Kelantan.

 Dan Dato’ Mohd Nor Yusof (M. Noor Azam) berpakaian lasak (rugged) semua biru turut sama. Sejak akhir-akhir ini towering personality, salah seorang yang mewajahkan Dewan Bahasa sehingga menjadi towering institution satu ketika  itu sering ke Dewan Bahasa. Katanya, “Nak jumpa kawan-kawan.” Tetapi lazimnya M. Noor Azam Cuma bersembang di warong mamak di tempat yang dikenali dengan bucu dewan.

 Dari Makasar, Pulau Sulewasi, datang sekumpulan empat orang tokoh persuratannya, antaranya Safrullah Sanre yhang jarang kjetinggalan hadir dalam majlis-majlis seperti ini. Seperti katanya, “Malaysia adalah kampung keduaku. Dan rumah Gapena rumah keduaku.” Mereka datang kali ini kerana ingin merayakan hari ulangtahun kelahiran Arenawati yang ke-80. Kata salah seorang anggota rombongan, “Pak Arena sasterawan milik kami juga kerana beliau kelahiran Makasar.”

 Ada yang berkata ramainya penulis mapan dan “yang punya nama” datang ke Dewan kerana meraikan dua tokoh besar persuratan, iaitu Arenawati dan Allahyarham Keris Mas. Mereka diraikan Dewan Bahasa. Tidak pasti apakah majlis keraian ini diadakan atas inisiatif Ketua Pengarah baru Dewan Bahasa, Dato’ Dr Firdaus Abdullah, yang juga penulis, atau mereka datang hendak bernostalgia dengan kawan-kawan penulis tentang hubungan dengan Keris Mas dan Arenawati.

 Jika kehadiran mereka adalah untuk bernostalgia, mereka tidak kecewa. Sebabnya   di seminar pemikiran Keris Mas sahaja ada kertas M. Noor Azam yang membincangkan pemikiran Keris Mas berdasarkan pengalamannya bekerja di bawah Keris Mas. Kata seorang penulis, “Saya fikir kertas dato’ Noor Azam amat mengesankan kerana menyjngkap pemikiran dan sosok peribadi Keris Mas dari sudut hubungan akrab antara dua rakan dan antara ketua dengan timbalannya.” M. Noor Azam bertugas sebagai timbalan Keris Mas di Dewan Bahasa satu ketika.

 Noor Azam melihat Keris Mas sebagai mentornya dalam bidang penulisan. Noor Azam amat terhutang budi kepadanya kerana tanpanya Noor Azam mungkin kekal menjadi guru sekolah rendah. Tidak mungkin dia menjadi penulis seperti sekarang. Yang paling menarik daripada sosok personality Keris Mas ialah dia seorang ketua yang tidak pernah marah atau kasar kepada orang bawahannya. Keris sentiasa senyum kepada anak-anak huahnya seolah-olah senyumannya itu ibarat penyuntik semangat bekerja buat mereka.

 Kemudian ada pula nota “pendahuluan” untuk prosiding seminar yang memuatkan 29 kertas kerja tentang pemikiran Keris Mas. Pengalaman bekerja Jaafar Rahim di bawah Keris Mas dicatatkan dalam nota “Pendahuluan”. Menurut Jaafar, satu perkara menarik tentang hubungan kerja Keris Mas sebagai Ketua dan “kami sebagai orang bawahan ialah kami bekerja dalam suasana ceria. Bekerja dalam satu pasukan dan saling menghormati.” Tulis Jaafar, “Cara bekerja seperti ini bukan sahaja tidak mendatangkan tekanan bahkan meningkatkan produktiviti Bahagian Pngembangan Sastera, khususnya di majalah Dewan Bahasa, Dewan Masyarakat dan Dewan sastera.”

 Kedua-dua catatan M. Noor Azam dan Jaafar Rahim ini adalah prolog sebuah seminar tentang sikap dan pemikiran Keris Mas melalui karya-karyanya. Selama ini pun telah banyak peneliti sastera menganalisisi pemikiran Keris Mas melalui karyanya. Maka seperti kata seorang penulis yang hadir, “Tidak ada yang baru. Cuma kita disegarkan semula dengan analisis-analisis dalam 27 kertas kerja itu. Bagi saya paling terkesan ialah catatan M. Noor Azam dan Jaafar Rahim.”

 Di luar sidang Hashim Awang dari Universiti Negara Brunei Darussalam bercerita tentang peristiwa-peristiwa lama yang terjadi dalam tahun-tahun 1980an. Di samping Keris Mas Hashim tidak melupakan allahyarham Othman Puteh dan Dharmawijaya, dua kawan akrabnya yang telah pergi dahulu. Hashim rindukan kata-kata dan gerak tingkah mereka. Begitu juga pensyarah UPM, Abd. Rahim Marsidi. Katanya, “Kita ini seperti 10 budak hitam. Entah siapa pula selepas ini.” Manakala Safrullah Sanre mahu majlis hari ulangtahun Arenawati di ulang sambut di Makasar dalam masa terdekat. Katanya, “Pak Arena perlu diberi penghormatan di kota kelahirannya. Penulis sana pun mahu merayakannya.”  
Jaafar Rahim

Catatan Sisi: Masih saya ingat bagaimana Keris pada akhir Disember 1990, berkunjung ke Pejabat saya di Penerbit Fajar Bakti untuk berbincang  tentang penerbitan semula buku "Patah Tumbuh". Selaku Pengurus Penerbitan saya diberi tanggungjawab untuk memperkemas edisi yang ada dan memberikan "Kata Pendahuluan" yang baru. Hampir semua 20 cerpen yang terkandung dalam edisi yang ada diperkemas. Akhirnya Keris Mas menyerahkan pruf halaman terakhir sebelum proses pencetakan dimulakan. Keris Mas menyerahkannya kepada saya pada bulan mei 1991.

Masih saya ingat kata-katanya ketika menyerahkan pruf halaman terakhir itu. Katanya hampir apologetik, " Fadhil, you semak sekali lagi, buat kali terakhir. Aku dah buat yang terbaik. You tengok-tengoklah. Aku serahkan kepada you." 

Melalui perjanjian baru untuk kami terbitkan semula Patah Tumbuh, saya telah mencadangkan kepada pihak pengurusan Fajar Bakti untuk menaikkan royalti buku berkenaan kepada 20% daripada harga jualan. Berdasarkan rekod Patah Tumbuh diterbitkan pada tahun 1962 dan sehingga tahun 1990 telah dicetak ulang sebanyak 24 kali.  


08 August 2012

SUTARDJI KURANG ARIF TENTANG SITUASI SASTERA MALAYSIA?!


Tan Sri Ismail Hussein (kiri) Ketua Satu GAPENA bersama Dato' Zainal Borhan, Setiausaha GAPENA dalam stu Seminar di Johor Bahru suatu ketika yang belum lama. Sutardji seharusnya perlu hadir untuk mengethui perkembangan sastera di Malaysia sebelum membuat penilaian.


Rencana ini telah disiarkan dalam Ruangan "Sastera dan Budaya", Berita Harian, 2 Ogos 1999 yang lalu, dengan judul "Gapena Hanya Buang Masa: Sutardji".  

 RENCANA

 SUTARDJI JAHIL TENTANG KEGIATAN GAPENA?

Oleh A.F.Yassin

 "Seniman perlu ada semangat amok," kata Sutardji Calzoum Bachri, ketika membentangkan kertaskerjanya dalam Kolokium Penulisan Kreatif di Daik-Lingga, Riau 7 Julai lalu. Sutardji berkata demikian di hadapan kira-kira 80 orang peserta Perkampungan Penulis Melayu Serumpun dari lima negara di  Daik Lingga arus. Ada pula yang menilai Sutardji melepaskan geram kerana kecewa tidak dapat yang dia mahukan.

 Tentang Gapena Suratdji menilai  badan itu selama ini mengadakan di Balai Pertemuan Kelurahan Daik di Jalan Masjid Sultan Lingga. Maksud semangat amok ini boleh ditafsir berbagai-bagai. Hamzah Hamdani yang ikut serta menafsirkan sebagai penulis mestilah berani melahirkan karya besar yang kadang-kadang menongkah kegiatan yang sia-sia, Tidak ada hasil yang konkrit seperti penerbitan buku setelah berlangsungnya sesuatu kegiatan. Sutardji kesal rancangan Gapena hanya "membuang masa, tenaga dan wang. "Hanya sia-sia lebih kepada kegiatan basa-basi. Kegiatan Gapena lebih kepada mencari Melayu di mana saja," ujarnya.

Para peserta yang hadir bercakap sesama sendiri, sebagai memberikan reaksi pro-dan kontra terhadap pandangan Sutardji. Di luar balai, reaksi semakin gencar. Ada yang marah dan ada pula yang kesal dengan penilaian Sutardji terhadap kegiatan Gapena. Saya melihat ada kesatuan dalam membidas sikap kurang sopan Sutardji dari peserta-peserta Malaysia. Hampir semuanya mempertahankan Gapena, terutama Tan Sri Ismail Hussein, Ketua Satunya.

 "Tak patut Sutardji berkata begitu," kata Tengku Alias Taib. "Nampak sangat dia ini dengki. Perli kawan-kawan seperti Taufik Ismail dan Rendra yang mendapat layanan istimewa dari Kerajaan Malaysia. Tengku Alias menambah, "biar orang lain mengakui kita penyair besar. Tak perlulah kita angkat diri sendiri. Saya rasa dia hendak  layanan seperti Taufik, terbitkan puisinya, beri layanan baik seperti yang diterinma Rendra dan Taufik dan beri anugerah RM5,000 seperti Taufik."

Sasterawan Indonesia, Taufik Ismail ambil tahu tentang status sastera di Malaysia dan sentiasa mengikuti perkembangan genre itu di Malaysia. Foto ini diabadikan A.F.Yassin ketika berlangsungnya Persidangan MABBIM, MASTERA dan FOKEPS di Johor Bahru.

 Akhirnya Tengku Alias  menilai Sutardji terlalu membesarkan diri bila berkata puisi Taufik tidak bernilai sedangkan "puisi-puisi Taufik dalam bukunya Aku Malu Menjadi Bangsa Indonesia sungguh tinggi nilainya berbanding sesetangah puisi Sutardji."

 Peserta Sabar Bohari turut tidak berkenan dengan  pandangan Sutardji dan mempertahankan Gapena yang selama ini telah berbuat banyak dalam meningkatkan martabat sastera  Malaysia di mata dunia. Sementara beberapa peserta Malaysia lain mempersoalkan kridibiliti Sutardji dalam menilai usaha Gapena. "Siapa Sutardji? Dia orang luar dan tidak sepatutnya memperli kegiatan Gapena. Barangkali dia kecewa kerana tidak dapat kerana Gapena dan Malaysia tidak memilihnya menerima Anugerah sastera Nusantara baru-baru ini," kata seorang peserta.

 "Lihat saja aksinya di pentas. Dengan cara dia menghisap paip dan matanya meliar ke sana ke mari seperti dia tidak menunpukan perhatian kepada kolokium. Biarkan dia seperti Si Luncai terjun dengan labu-labunya," marah peserta lain. Lau disambut seorang lagi peserta, "Biarkan, biarkan."

 Sutardji Luncai? Tidak. Dia bajak wangkang makan diangkat, kata seorang. Malah ada menuduhnya kurang sopan apabila berbicara. Dan dia bicara di depan peserta yang sebahagian besarnya dari Malaysia dan kebanyakannya penulis mapan dan ahli akademik yang punya nama. Ada yang menilai bahawa Sutardji terlalu geram dan kecewa dengan Malaysia kerana kononnya dia tidak dianggap setaraf dengan Rendra dan Taufik. Lalu dia menjadikan Gapena kambing hitamnya. Terdengar juga suara marah-marah dari peserta Malaysia yang menghentam Sutardji dari sudut peribadi yang kurang enak dicatatkan.

 Saya tanyakan Hamzah Hamdani tentang kriteria pemberian anugerah sastera Nusantara di Johor Bahru baru-baru ini. Jawabnya ada beberapa yang perlu dilihat. Pertama karya terbaru seseorang calon penerima. Kedua usaha dan kegiatan dan penglibatannya dalam membina dan mengembangkan produk kesusasteraan kepada masyarakat khalayak dan ketiga sumbangan pemikiran calon penerima terhadap dunia kesusasteraan di negara masing-masing, khasnya.

Maka dalam hal ini memang wajar Taufik Ismail dipilih untuk menerima anugerah, terutama apabila dilihat sumbangan kegiatan dan pemikirananya dalam menjayakan Pertemuan Sasterawan Nusantara ke-9 dua tahun lalu di Bukit Tinggi dan Padang di Sumatra Barat. Umumnya semua orang mengakui Sutardji seniman besar di Indonesia, malah oleh Ismail Hussein, Sutardji dianggap seniman tulen. Sutardji punya wawasan yang ideal untuk membina kesusasteraan yang biasanya dimilik semua seniman tulen. Wawasan itu kadang-kadang terlalu ideal untuk berpijak di bumi nyata. Sedangkan apa yang dilakukan Gapena ialah mencari jalan tengah untuk merealisi wawasan kesusasteraan berdasarkan realiti semasa.

 "Apa yang dilakukan oleh Gapena banyak juga faedahnya. Paling-paling perkampungan di Daik ini dapat mempertemukan penulis-penulis dari kelima-lima negara di Nusantara. Malah Sutardji pun dapat datang sambil bermesra dengan para penulis, " kata Rejab F.I. Manakala peserta dari Yayasan Warisan Johor, Ahmad Ruslan bertanya "apakah dia (Sutardji) akan kecam begitu jika sekiranya dia dapat Anugerah Sasterawan Nusantara itu?" Sutardji tidak menjawab.

 Saya melihat reaksi peserta Malaysia seperti menujukkan satu patriotisme dalam kesusasteraan, ketika berada di luar negeri. Kita sama-sama maklum reaksi negatif sesetengah penulis terhadap usaha Gapena di dalam negeri, tapi nyatanya reaksi seumpama itu tidak terlihat pada hari kedua di Daik, iaitu hari berlangsungnya kolokium. Semangat kebersamaan ini menarik.

Apapun jua, sebilangan penulis muda dari Riau yang hadir menilai positif pandangan Sutardji. Bagi mereka sepatutnya panitia yang bertanggungjawab mengadakan perkampungan seperti ini  perlu memikirkan bagaimana satu usaha konkrit perlu dilakukan bagi menerbitkan karya-karya yang lahir daripada pertemuan seperti ini. "Penulis muda perlukan wadah penampungan karya mereka."  Seorang peserta Malaysia senyum simpul mendengar cadangan penulis muda Riau ini. Katanya kepada saya, "Suruhlah pertubuhan sastera awak (negaranya) terbitkan karya, bukanya Gapena."

 Demikian pagi itu, ada dua kelompok suara yang menghangatkan kolokium di Balai Pertemuan Kelurahan Daik. Apapun jua Rejab khabarnya telah mendapat restu Gapena untuk  menyelenggarakan sebuah antologi cacamerba (puisi, cerpen, rencana atau apa saja coretan dari Daik) yang bakal diterbitkan Gapena sendiri. Rejab meminta jasa baik kawan-kawan yang turut  sama dalam perkampungan itu untuk memberikan sumbangan. Kurang pasti apakah tindakan Rejab ini berputik daripada kecama Sutardji terhadap Gapena atau memang Rejab telah memikirkannya lama sebelum dia sampai di Daik. Apapun jua, ramai yang percaya bahawa Sutardji telah memberi satu suntikan yang sedikit mengejutkan kepada setiap yang hadir hari itu. Sesi kedua dan petangnya kembali menenangkan suasana dan pembentang dan peserta lebih bersikap rasional berdisiplin. Tidak ada lontaran pendapat dan pandangan yang kontraversi. Seperti kata seorang peserta "carik-carik bulu ayam di sidang pagi akhirnya bercantum juga di sebelah petangnya." Sementara seorang peserta lain berkata bahawa lontaran Sutardji tidak menjadi kudis kepada perkampungan."

 Kolokium yang sepatutnya diadakan satu hari setengah itu dapat diselesaikan dalam masa sehari. Khabarnya ada beberapa pembentang kertas kerja tidak dapat hadir  atas sebab-sebab tertentu. Hujan tengahari menyebabkan tidak ramai yang hadir pada sesi petang. Daripada hasil perbincangan sehari itu satu Deklarasi Daik diisytiharkan pada malam terakhir di Daik. Deklarasi yang disusun oleh Sutardji Calzoum Bachri, Taufik Ikram Jamil, Hamzah Hamdani, Al azhar, Masran Sabran, Yusmar Yusuf dan seluruh peserta Perkampungan Penulis Melayu Serumpun adalah hasil perbincangan kolokium dan dibacakan oleh Drs Syafrial Syamsuddin selaku Ketua Pelaksana Perkampungan. Deklarasi itu berbunyi:  

 1.    Adalah suatu kenyataan bahawa bahasa merupakan mahkota kebudayaan Melayu yang penggunaannya tersebar pada sejumlah negara di Asia Tenggara.

2.    Oleh kerana sastera merupakan mahligai bahasa maka sepatutnya kegiatan sastera memperoleh perhatian yang khas dalam kegiatan kebudayaan Melayu. Perhatian khas dimaksud antara lain berupa penerbitan buku bersama atau penampilan seni sastera.

 3.    Mengembangkan rasa saling memiliki karya sastera tersebut melalui semua sarana.

 4.    Deklarasi ini dibuat setelah mengamati dan mempertimbangkan fikiran mahupun perasaan  yang muncul dalam Perkampungan Penulis Melayu Serumpun tajaan Pusat Pengajian Bahasa dan Kebudayaan Melayu, Universitas Riau (P2BKM UNRI) di Daik, 4 - 8 Julai 1999.

Daik Lingga

7 Julai 1999. 

07 August 2012

MENYELAMI DIALEK NOGORI 9 DI SIAK INDERAPURA...


Penggambaran Jejak Bahasa DBP-TV3 Di depan Wisma Timah, Siak Inderapura 11 tahun lalu. Merakamkan suara sekumpulan orang Siak yang sdang berbual di bawah pokok. Dialeknya mirip dialek orang Negeri Sembilan, khususnya orang Rembau.

CATATAN A.F.YASSIN


TUTUR KATA ORANG SIAK MIRIP ORANG NOGORI

 5.30 petang, 21 Februari: Muzium Siak yang dahulunya Istana Sultan Siak Inderapura telah hampir satu jam ditutup. Namun kru penggambaran Jejak Bahasa dari TV3 masih berada di dalam untuk mengabadikan beberapa barang purba ke dalam media selulos. Antara barang yang diabadikan termasuklah manuskrip dan perjanjian lama yang dibuat Sultan Siak dengan Belanda. Juga yang menjadi tarikan kru ialah sebuah alat muzik lama, satu daripada dua yang masih ada di dunia. Di luar muzium tiga orang gadis menghampiri pintu masuk. Mereka mahu masuk tetapi dicegat pengawal muzium. Kata seorang gadis, “Awak nak nengok!” Dia merayu supaya membenarkannya masuk tetapi tetap dihalang. Kata pengawal, “Ada TV3 dari Malaysia lagi shooting.”

 Gadis itu membahasakan dirinya “awak”. Dan awak di Siak bererti saya. Lalu saya teringat akan bahasa orang negeri Sembilan, terutama Rembau yang lazimnya membahasakan dirinya “awak”. Beberapa minit kemudian saya mendengar pula pengawal itu bersembang dengan seorang kawannya yang baru sampai. Tanya pengawal, “Malam ini kau buek apo?” Kawannya menjawab, “Tak ada buek apa doh! Duduk yo di rumah. Nak nengok budak-budak itu baco buku sekolah.” Budak-budak bermaksud anak-anaknya.

 Sekali lagi saya teringatkan dialek orang negeri Sembilan. Pernah Prof. Madya Zainal Borhan menjelaskan bahawa dialek pertuturan orang Siak sama dengan orang di Negeri Sembilan. Malam itu saya menghubungi Dharmamawijaya, penyair dan budyawan terbilang di Seremban melalui telefon. Saya hendakkan kepastian tentang perbilangan tentang hubungan Siak dengan Negeri Sembilan, terutama Rembau. Dharwamijaya membacakan satu petikan dari sebuah buku,  “ Raja Mahmud dijadikan raja di Negeri Sembilan (Rembau) dan menetap di Penajis dengan gelaran Raja Melewar, setelah mendapat restu dari Sultan Johor pada kurun ke-17. Maka adalah perbilangan yang berbunyi, Beraja ke Johor, bertali ke Siak dan bertuan ke Minangkabau.”

 Pengarang buku “Negeri Yang Sembilan” Nurhalim Ibrahim pula  suatu ketika pernah cuba mencari makna perbilangan ini. Nurhalim berpendapat Bertali Ke Siak itu mungkin membawa maksud  orang-orang di Negeri Sembilan, khususnya  Rembau kebanyakannya mempunyai hubungan keluarga dengan orang Siak. Ada pertalian darah. Kurang pasti apakah Datuk Lela Balang, yang keturunannya menjadi Undang Rembau sejak abad ke-16 lagi berasal dari Siak atau dari Minangkabau. Dalam pada itu ada pula suku-suku di Rembau yang sama namanya dengan suku-suku di Siak, seperti suku tanah datar. Andainya Nurhalim turut berada di Siak dan mendengar pertuturan penduduknya, adalah diyakini Nurhalim akan membuat kesimpulan bahawa sebenarnyalah orang Rembau (Negeri Sembilan) itu sebahagian besarnya berasal dari Siak.

 Pengaruh dialek Minang dalam bahasa Melayu Siak amat ketara, walaupun orang Siak tidak bercakap dalam bahasa Minang. Lenggok intonasi pertuturan orang Siak amat berbeza dengan orang Minang tetapi lenggok intonasi pertuturan orang Rembau hampir sama dengan lenggok orang Siak. Amat menarik jika orang Rembau di Negeri Sembilan mengunjungi Siak Sri Indrapura, apakah perasaannya? Apakah ia terasa akan wujud keterikatan daripada sudut pertuturan dan pertalian darah yang kental setelah mendengar orang Siak bercakap atau melihat keadaan alam sekeliling yang saling tak tumpah dengan di daerahnya sendiri? Di tebing Sungai Siak penuh dengan  pokok rumbia. Ada juga pokok mengkuang. Kelapa sawit dan getah menjadi tanaman utama. Sepanjang perjalanan dari Pekan Baru, ibukota Propinsi Riau ke Siak Sri Indrapura yang dilihat di kiri kanan hanya estet kelapa sawit, getah dan dusun buah-buahan.

Pengacara Jejak Bahasa DBP-TV3, Azura Abd. Karim (kiri), sedang berehat santai sambil menjamah ice-cream bersama seorang penduduk Siak selepas berlangsungnya satu perarakan Festival Siak yang berlangsung di satu pagi di hadapan Masjid Siak yang telah dijadikan Muzium Diraja.  

 Siak Sri Indrapura suatu ketika dahulu merupakan sebuah kerajaan besar dan berdaulat. Daerah takluknya menjangkau wilayah yang hari ini terletaknya Medan di Sumatera Utara. Menurut sejarah, Kerajaan Siak diasaskan oleh Raja Kecil (Raja Kecik, menurut sebutan orang Siak), yang dikatakan anak Sultan Mahmud Johor yang mangkat dijulang pada tahun 1699.  Drs Husrin, dari pejabat Pelancongan Siak menjelaskan anak Sultan Mahmud dengan isterinya Cik Pung ini, yang masih bayi ketika dibawa lari ke Sumatera.

 Cerita pelarian Raja Kecil ini mempunyai dua versi. Menurut versi pertama, setelah Sultan mangkat dijulang setelah ditikam Laksamana Bentan dalam perjalanan ke masjid, Cik Pung  dilarikan bersama bayinya ke Jambi lalu ke Sumatera Selatan. Di sana anaknya itu dibesarkan dan akhirnya mengasaskan kerajaan Siak. Menurut versi kedua pula, Cik Pung dan anaknya dibawa lari ke Jambi lalu ke Pagar Ruyung di Sumatera Barat (Minangkabau). Setelah dewasa Raja Kecil  perlu membuktikan dirinya anak raja dengan memanjat pohon jelatang, sejenis pokok yang daunnya jika dipegang atau disentuh membuat orang gatal-gatal. Raja Kecil memanjat pohon itu dan kemudian turun tanpa mengalami gatal-gatal di tubuhnya. Dengan ujian ini Raja Pagar Ruyung mengisytiharkan Raja Kecil sememangnyalah seorang anak raja sebenar-benarnya.

 Siak waktu itu masih di bawah takluk Johor tetapi hanya pada nama  dan diketuai oleh seorang Shahbandar. Maka oleh Raja Kecil Siak dijadikan  pusat kekuasaannya dengan mengasaskan sebuah kerajaan apa yang dipanggil Kerajaan Siak Sri Indrapura. Raja Kecil menjadi raja dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah dan bertakhta dari tahun 1723 hingga 1745. Baginda memerangi Johor yang di bawah sultan yang bernisabkan Bendahara, setelah kemangkatan Sultan Mahmud dikatakan tidak meninggalkan pengganti.

 Ahli sejarah berpendapat Sultan Mahmud mangkat dibunuh tanpa mempunyai anak sebagai ganti. Maka ditabalkanlah Bendahara sebagai pengganti raja untuk memerintah Johor dan akhirnya keturunannya menjadi raja untuk wilayah takluk yang meliputi Johor, Riau, Pahang dan Lingga. Sultan terakhir di kalangan keturunan Bendahara ini ialah Sultan Ali yang keturunannya telah diusir keluar dari Istana Sri Gelam Singapura pada tahun lalu melalui satu enakmen Parlimen Singapura.

 Apapun jua, Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah bercita-cita merebut takhta milik ayahanadanya Sultan Mahmud Mangkat Dijulang dari tangan sultan keturunan Bendahara. Beberapa peperangan terjadi dengan menang dan kalah menjadi adat orang berperang. Pernah Sultan Abdul Jalil Rahmat menguasai seluruh kerajaan Johor namun akhirnya baginda terpaksa akur dengan kekuatan Johor. Bagaimanapun, semangat juang Sultan Abdul Jalil Rahmat ini diteruskan oleh penggantinya yang pada kali ini menentang penjajahan Belanda pula.

 Ada sebelas sultan yang bertakhta di Siak Sri Indrapura saling silih berganti sejak mangkatnya Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah (Raja Kecil) pada tahun 1746. Mereka terdiri daripada anakanda baginda Sultan Abdul Jalil Muzaffar Shah (1746-1765); Sultan Abdul Jalil Jalaluddin Shah (1765-1766); Sultan Abdul Jalil Alamuddin Shah (1766-1780); Sultan Muhammad Ali Abdul Jalil Muazzam Shah (1780-1782); Sultan Yahya Abdul Jalil Muzaffar Shah (1782-1784); Sultan Assyidis Syarif Ali Abdul Jalil Syaifuddin Baalawi (1784-1810). Baginda merupakan sultan pertama yang berdarah Arab dengan gelar Sayed Syarif. Baginda adalah anakanda kepada puteri Sultan Yahya Abdul Jalil Muzaffar Syah, sultan yang keenam memerintah Siak. Puteri ini berkahwin dengan bangsawan Arab. Ketika Sultan Abdul Jalil Muzaffar Shah mangkat di Dungun ketika mengunjungi Terengganu pada tahun 1784, cucu baginda yang berdarah Arab ini menjadi penggantinya.

 Sultan pertama berdarah Arab ini mangkat pada tahun 1810 dan digantikan oleh puteranya dengan gelar Sultan Assyaidis Syarif Ibrahim Abdul Jalil Khaliluddin (1810-1815). Penggantinya Sultan Assyaidis Syarif Ismail Abdul Jalil Jalaluddin (1815-1854). Anakanda baginda naik takhta pada tahun 1854 dengan gelar  Sultan Assyaidis Syarif Kassim Abd Jalil. Baginda naik takhta sehingga tahun 1889. Setelah mangkat baginda digantikan oleh Sultan Assyaidis Syarif Hashim Abdul Jalil Syaifuddin (1889-1908). Anakanda baginda yang bernama Tengku Sulong naik takhta setelah tujuh tahun kemangkatan ayahandanya, Sultan Assyaidis Syarif Hashim Abdul Jalil Syaifuddin, iaitu pada tahun 1915.

 Baginda merupakan sultan terakhir Siak setelah baginda menyatakan taat setia kerajaan Siak kepada pemerintah Republik Indonesia dan bersama berjuang menentang Belanda. Pernyataan baginda ini mendapat bantahan keras dari Belanda. Akhirnya baginda meninggalkan Siak lalu menggabungkan diri dengan rakyat Indonesia untuk melanjutkan perjuangan di daerah Aceh. Sebelum meninggalkan Siak baginda menyerahkan istananya beserta keseluruhan kekayaan Siak kepada Pemerintah Republik Indonesia. Setelah Indonesia rasmi merdeka pada 17 Ogos 1945  baginda berangkat ke Jakarta dan tinggal menetap di sana dengan mendapat pencen dari Pemerintah Indonesia.

 Beberapa tahun kemudian baginda kembali ke Siak, tanah tumpah darahnya dan wafat pada 23 April 1968 dalam usia 76 tahun. Baginda dimakamkan berdekatan dengan masjid Shahabuddin Sri Indrapura  dengan penuh istiadat kenegaraan. Baginda dianugerahkan secara “post humus” gelar Pahlawan Nasional dengan disertai piagam dan tanda kehormatan Bintang Mahaputra Adipradana oleh Presiden Republik Indonesia pada tahun 1998 sebagai mengenang jasanya berjuang menentang Belanda. .

 Muzium Siak Sri Indrapura yang terletak kira-kira 300 meter dari masjid ini adalah lambang kebesaran kesultanan Siak terutama sultan terakhirnya. Di dalamnya terdapat pelbagai khazanah peninggalan sultan sejak tahun 1725, walaupun ada di antaranya hanya tiruan daripada asalnya yang telah disimpan di Muzium Jakarta atau yang telah hilang.

 Ketika pertemuan dengan Timbalan Setiausaha Daerah Kabupaten Siak, Drs Zul Irianto, 19 Fenruari lalu, kepada rombongan Jejak Bahasa diperjelaskan komitmen Siak sebagai sebuah daerah dalam kesatuan republik Indonesia. Penduduk Siak sejak berada dalam republik telah mengalami pelbagai situasi politik. Suka dan duka silih berganti. Setelah menjadi rakyat sebuah kesultanan besar yang mempunyai daerah takluk hingga ke daerah Sumatera Utara bersempadankan Aceh, penduduk yang kini dianggarkan berjumlah hanya  20,000 orang ini turun status menjadi warga bertaraf kacamatan  (desa). Hanya pada tahun lalu, Siak dinaik taraf menjadi sebuah kabupaten semacam regency atau daerah.

 Keadaan hidup masih dianggap dhaif. Penduduk masih mendapatkan air dari sungai Siak yang dianggap terdalam di seluruh Indonesia. Telaga masih menjadi suatukemudahan asas di setiap rumah dan kedai. Zul Irianto menjelaskan setelah Siak Sri Indrapura naik taraf maka pembangunan akan diusahakan secara terancang sesuai dengan kedudukannya sebagai salah  sebuah kabupaten dalam Propinsi Riau. Barangkali di dalam kepala timbalan  setiausaha daerah ini terdapat pemikiran bagaimana suatu hari nanti penduduk Siak tidak lagi perlu mandi dari air sungai Siak yang kemerahan warnanya akibat pencemaran di hulu sungai. Di Siak Raya dan Pekan Baru kira-kira 80 km ke hulu Siak, terdapat banyak kilang perusahaan, terutama kilang memproses papan lapis.

 Anggota rombongan yang ditempatkan di Wisma Tuah yang baru siap dibina terpaksa berpuas hati mandi dengan air sungai yang kemerahan. Dan tidak dapat dielakkan ada yang mandi dalam gelap kerana tidak sanggup melihat air merah membasahi badan. Apapun jua, rombongan Jejak Bahasa begitu selesa tinggal di Siak selama empat hari kerana suasana dan lingkungan yang amat mirip kepada yang terdapat di Malaysia. Saya sendiri seperti berada di tengah-tengah kaum keluarga dan sahabat handai di Rembau setiap kali makan dan bercakap dengan penduduk tempatan.

  Siak Sri Indrapura, 23 Februari 2001  

    

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PROFIL

My photo
Rawang, Selangor Darul Ehsan, Malaysia

What Other People Say...


"A.F.Yassin dalam cerpennya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).