26 August 2011

Hadiah Sastera Mastera dan Sasterawan Seberang Sapardi Djoko Damono


BICARA
OLEH A.F.YASSIN

HADIAH SASTERA MASTERA 1999

Soronok juga berbual santai dengan Sapardi Djoko Damono di majlis makan malam anjuran Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA). Sambil menunggu hidangan, kami bersembang tentang banyak perkara, terutama di Indonesia - tentang politik semasa, tentang sastera dan tentang internet. Sapardi tokoh sastera ternama di Indonesia. Kini dia bertugas sebagai guru besar kesusasteraan di Universitas Indonesia.

Kata Sapardi, dia ke Malaysia atas undangan sebagai pembentang kertas kerja dalam Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Bandingan selenggaraan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Dan katanya lagi, "kami tidak punya masaalah untuk mengetahui perkembangan sastera Malaysia kerana kami baca melalui internet. Biasanya kami dapat bahan dari Berita Harian dan New Straits Times yang disiar dalam internet."

Apakah dia tidak kecewa kerana gagal memenangi hadiah mastera malam itu? Sapardi senyum sambil berkata, "Tidak apa-apa kok!". Dari Indonesia, yang menang malam itu ialah Titis Basiono P.I. melalui trilogi novelnya, Dari Lembah ke Coolibah 1997, Welas Asih Merangkuh Tajali 1997 dan Menyucikan Perselingkuhan 1889.

Nama Sapardi masuk peringkat akhir lewat karyanya Arloji (kumuplan puisi). Tapi  barangkali nasib tidak menyebelahinya. Seorang lagi tokoh Indonesia yang namanya masuk peringkat akhir ialah Taufik Ikram Jamil melalui antologi cerpennya Membaca Hang Jebat.

Malam itu kelihatan Sapardi tidak banyak bercakap. Dia barangkali bukan jenis manusia yang "mulut murai". Namun dari raut wajahnya seperti dia sedang memikirkan sesuatu. Sesekali matanya "berlegar" memandang keadaan keliling. Dan apabila saya tanyakan jumlah tokoh sastera yang datang dari Indonesia, dia menjawab lima dan matanya tercari-cari lagi yang tiga. Seorang sudah berada di sebelahnya yang sedang asyik berbual dengan A. Rahim Abdullah dan Rahman Shaari.
Apakah yang difikirkan Sapardi? Apakah dia sedang memikirkan kertas kerjanya yang akan dibentangkan pagi esoknya? Atau dia memikirkan kawan-kawannya yang tidak kelihatan malam itu? Atau mungkin saja dia memikirkan bagaimana karyanya tidak terpilih untuk memenangi Hadiah Mastera yang pertama itu? Kerana siapa tidak mahu menjadi pemenang sulung  dari negaranya untuk hadiah sastera yang terbongsu yang dilahirkan dan yang pula merupakan projek sulung Mastera dalam program pengiktirafan bakat atau tokoh sastera serantau.

Dan Sapardi bukan calang-calang tokoh di negara jiran itu. Pada tahun 1984, Sapardi menrima Anugerah Puisi Putra dari Malaysia. Dua tahun kemudian Sapardi menerima pula SEA-Write Award dari Thailand. Pada tahun 1990, dia meraih pula Hadiah Seni dari negaranya sendiri. Sedangkan Titis Basino cuma pernah memenangi hadiah hiburan majalah sastera tahun 1963.

 Namun seperti kata penganjur, hadiah mastera hanya mempertimbangkan karya-karya yang diterbitkan pada tahun 1997 dan 1998. Dan pertimbangan tidak mengambil kira karya-karya sebelumnya, mahupun pretasi dan status tokoh sastera itu sendiri. Hanya karya yang menjadi tumupuan. Misalnya, Indonesia menyenaraikan 38 buah karya ke peringkat akhir. Malaysia pula 22 buah sementara Brunei 10. Daripada sejumlah karya ini tiga masuk peringkat akhir bagi setiap negara.

Penilaian di peringkat akhir ini dilakukan oleh Panel Hadiah Sastera Peringkat Induk yang terdiri daripada Hj Aziz Deraman (pengerusi), Hj Hamdan Yahya (Timbalan pengerusi), Zaini Oje @Ozea (setiausaha), Zahrah Ibrahim (Timbalan Pengerusi). Sementara ahli-ahlinya ialah Prof. Dr. Md Salleh Yaapar dan Prof Dato' Abu Hassan Sham dari Malaysia; Hj Abd. Hakim Hj. Mohd Yassin dari Brunei Darussalam; Drs Abd Rozak Zaidan dari Indonesia dan Dr. Hadijah Rahmat dari Singapura.

Karya-karya Malaysia ke peringkat akhir dipilih oleh lapan ahli panel terdiri daripada Hj Aziz Deraman, Hj Hamdan Yahya, Hamzah Hamdanu, Kemala, Zaini Oje@Ozea, Abdul Rahman Yusof, Prof. Madya Dr Sahlan Mohd Saman, Prof. Madya Dr. Siti Zainon Ismail dan Zahrah Ibrahim. Di Indonesia, karya-karya ke pringkat akhir dipilih oleh Drs. Abdul Rozak Zaidan, Hamsad Rangkuti, Dr. Boen S. Oemarjati, Drs. Lukman Ali dan Prof Dr. Yus Rusyana. Brunei pula diwakili oleh Dato' Paduka Hj Alidin Hj Othman, Hj Abd. Hakim bin Hj Mohd Yassin, Awang Alimin bin Hj Abd. Hamid, Datuk paduka Haji Mahmud Haji Bakyr, Dato' Paduka Hj Ahmad bin Kadi, Dr Haji Hashim bin Hj Abd. Hamid, Pg. Hj Mahmud bin Pg. Hj. Damit dan Dayang aminah binti Haji Momin. Singapura tidak mempunyai ahli panel dan tidak memilih karya kerana statusnya sebagai pemerhati.

Dengan demikian itu hadiah mastera sulung ini hanyalah untuk tiga negara, Malaysia, Brunei dan Indonesia. Kemungkinan pemberian hadiah ini akan diperluaskan ke negera-negara lain di Asia Tenggara akan menjadi kenyataan sekiranya rakyat masing-masing negara mampu berkarya dalam bahasa Melayu/Indonesia. Mana tahu dalam masa yang terdekat ini Singapura dan Thailand mungkin akan menghantar karya tokoh sasteranya untuk dipertimbangkan memandangkan banyak juga hasil karya  dalam bahasa Melayu/Indonesia telah diterbitkan.

Panel setiap negara yang terlibat telah memilih tiga karya untuk dinilai secara induk di Malaysia. Brunei misalnya memilih kumpulan puisi Episod-Episod Si Awang, karya Badaruddin H.O. (1998),  Kumpulan cerpen "Hoha" karya Norsiah M.S. (1887) dan novel Kenawi Dari Hulu oleh P.H. Abd. Aziz (1998).

Indonesia memilih Trilogi novel Dari Lembah ke Coolibah (1997), Welas Asih Merengkuh Tajali (1997) dan Menyucikan Perselingkuhan (1998) karya Titis Basino P.I.;  Kumpulan puisi 'Arloji" karya Sapardi Djoko Damono (1998) dan kumpulan cerpen "Membaca Hang Jebat" oleh Taufik Ikram Jamil. Manakala Malaysia pula memilih esei/kritikan "Rasa- Fenomenologi: Penerapan Terhadap Karya A. Samad Said" karya Sohaimi Abdul Aziz (1998); ese/kritikan "Dunia Puisi Dalam Penelitian dan Pengajaran" karya Dharmawijaya (1998) dan kumpulan cerpen "Rapsodi" karya Zaen Kasturi.

Malam itu, selain Titis Basino penenang dari Indonesia, muncul pula Badaruddin H.O. sebagai pemenang dari Brunei  dengan "Episod-Episod Si Awang"nya dan dari Malaysia sendiri muncul Sohaimi  Abdul Aziz dengan esei-kritikannya itu. Nyatanya Malaysia mengutarakan esei'kritikan sebagai pemenang, sementara Indonesia dan Brunei karya kreatif (novel dan puisi).

Ketika memberikan ulasan Panel Induk mendapati semua karya yang dinilai di peringkat akhir, iaitu pringkat induk dan rantau (negara) mempunayi kekuatan masing-masing. Panel juga "sedar bahawa menilai karya antara genre secara bandingan memang sukar dan memerlukan asas penilaian dan pemilihan yang kukuh. Kata penilai lagi, "Bagaimanapun, karya yang dinilai tyang merentasi genre didasarkan pada dampaknya kalau dibaca seganding dengan karya-karya lain walaupun berbeza genre. Penilian ini melihat kekuatan kesatuan organik karya, kekuatan dan keaslian persoalan yang ditampilkan  secara matang, keseimbangan estetika bahasa dengan persoalan kemanusiaan, keindahan moral, kesusilaan nilai dan inovasi dalam kreativiti. Di samping itu ada ketetapan lain juga yang dicapai oleh panel dalam menentukan pemilihan seperti jumlah karya dalam satu antologi, imbangan peratusan karya lama dan baru, tempoh relevannya esei/kritikan, ada tidaknya ISBN, dan sumber penerbit."

Demikianlah, berdasarkan jargon penilaian inilah akhirnya panel induk membuat pemilihan akhir. Cuma ada yang bertanya di majlis penyampaian hadiah malam itu tentang kemungkinan panel masing-masing negara tidak memperolehi dan membaca setiap karya sastera yang diterbitkan oleh pelbagai penerbit. Di Malaysia sahaja ada 300 buah penerbit dan tidak kurang daripada 25% dripadanya menerbitkan karya sastera. Dan setiap penerbit ini tidak hanya menerbitkan sebuah dua karya dalam tempoh dua tahun kebelakangan (1997-1998). Begitu juga halnya di Indonesia. Penerbitan karya sastera dalam pelbagai genre cukup berkembang, ketimbang audien pembacanya yang cukup luas pula.

Rahman Shaari pula menekankan peri pentingnya diwujudkan satu kriteria penilaian yang standard dan umum yang merentasi antarnegara peserta. Ertinya Rahman mencadangkan supaya pihak mastera "mencari satu kayu ukur penilaian dan kriteria minimal agar setiap karya yang terpilih di setiap negara mempunyai kualiti yang asas." Rahman berkata tidak wajar sekiranya karya yang terpilih di sebuah negara itu  mempunyai kualiti yang terlalu tinggi berbanding karya yang dipilih oleh negara yang lain pula. Persoalan ini akan timbul sebaik sahaja ada peneliti yang telah selesai membuat kajian tentang karya-karya yang menang setiap dua tahun.

Bagaimanapun jua, usaha mastera menampilkan hadiah sasteranya sendiri ini patut diberi pujian kerana ia akan menambahkan lagi jumlah hadiah sastera yang ada di negeri ini. Dengan demikian, maka tidaklah keterlaluan jika saya katakan Malaysia begitu pemurah dalam pemberian hadiah kepada golongan  penulis dan sasterawannya. Mana tahu suatu hari nanti Indonesia, Brunei, Singapura dan negara-negara anggota Asean yang lain akan mengikuti jejak langkah Malaysia dalam usahanya memertabatkan kesusasteraan  dan sasterawannya.

Sebelum pulang saya melihat ramai hadirin yang masih lagi berkumpul di ruang lobi dewan. Antara yang terakhir meninggalkan lobi ialah Sapardi  sendiri. Dia masih ayik berbual-bual dengan rakan-rakan sasterawan dari Malaysia dan Brunei. Haji Aziz, Hj Hamdan dan Hj Hamzah menjadi hos paling baik dan mesra malam itu apabila mereka tetap melayan dan menunggu sehingga jemputan tearkhir meninggalkan dewan jamuan. Turut sama hingga ke saat akhir ialah Datok Hassan Ahmad, mantan Ketua pengarah DBP yang sekarang ini memimpin Yayasan Karyawan.


A.F.Yassin
27 Ogos 1999

22 August 2011

Kembali Ke Bonda Tanah Melayu Daik-Lingga


 
 Tim TV3 sedang "shooting" Jejak Bahasa di tapak Istana Damnah di Daik-Lingga.


 Sekembalinya dari ekspedisi Jejak Bahasa di Sumatera, Jakarta dan Bandung, hari kedua puasa, terlihat satu mesej di atas meja. Mesej itu dari Saleh Daud, Bendahari Gapena. Pendek saja bunyinya: Buku dah siap. Datanglah ambil - Saleh (ejaan rumi Saleh dengan satu L). Ketika mengunjungi rumah Gapena beberapa hari kemudian, orang yang memberi mesej tidak ada. Yang ada cuma penghuni tetap, Zul. Dia menyerahkan dua naskhah. Saya minta dua naskhah kerana ada dua orang yang menyumbang karya. Saya sendiri dan isteri, Rubiyah.

Tajuk buku "Daik, Bonda Tanah Melayu" segera mengingatkan saya kepada kunjungan budaya ke Lingga, 4-8 Julai 1999 yang lalu. Seperti baru semalam rombongan Gapena berkunjung ke sana. Malah ketika saya mengikuti ekspedisi Jejak Bahasa DBP-TV3 Oktober lalu, dan menyelusuri sungai Resun dari jeti Panchor-Pakaka, saya seperti berada dalam bot pompom yang sedang mudik. Kenangan meruntun-runtun datang dan mahu rasanya saya menghubungi rakan-rakan penulis yang ikut serta dalam rombongan Kembara Budaya Gapena itu.

Bonda Tanah Melayu itulah Daik. Dan Daik Bonda Tanah Melayu adalah tajuk buku yang diselenggarakan Rejab F.I. salah seorang peserta kembara budaya 1999 itu. Kepadanya telah diserahkan tugas mencari bahan dan menyusunnya dalam bentuk buku. Bahan boleh berupa apa sahaja, asal ia jenis ciptasastera, baik kreatif mahupun bukan kreatif. Rejab memerlukan hampir 15 bulan untuk mengumpul dan menerbitkan buku "Daik Bonda Tanah Melayu" ini. Kegigihan Rejab patut dipuji, terutama dalam usahanya mendapatkan hasil karya kawan-kawan penulis yang umumnya bersikap bagaikan liat-liat daging setengah masak.

Daik, Bonda Tanah Melayu (tebalnya 346 halaman) mengandungi pelbagai genre sastera yang terdiri daripada makalah, sajak, cerpen dan pantun syair. Juga dikepilkan gambar-gambar tentang kembara budaya di pulau yang dianggap budayawan Riau, Raja Hamzah Yunus sebagai mutiara bahasa melayu dari sudut kebahasaan. Ada 21 buah makalah, lima cerpen, 45 sajak dan sebelas pantun serta syair. Seramai 44 penulis - baru dan mapan - memberikan sumbangan. Penulis seperti Affrini Adham menyumbang dalam tiga genre, makalah, sajak dan pantun. Ada yang menyumbang dalam dua kategori seperti Rejab sendiri, Sabar Bohari dan Ahmad Jamaan.

Rejab dalam "prakata" memberi rasional kepada penerbitan buku ini. Menurutnya, ketika berbincang di Daik ada peserta yang menyelar Gapena yang bergiat dengan langsung "tidak menghasilkan apa-apa, maksudnya himpunan karya-karya  yang perlu diterbitkan." Rejab rasa tercabar dengan selaran peserta itu yang kebetulan bukan dari anggota rombongan Gapena. Rejab pun berunding dengan pucuk pimpinan Gapena, khususnya Tan Sri Ismail Hussein, Ketua Satu, dan menyatakan kesediaannya untuk mengumpulkan bahan dan seterusnya menerbitkannya sebagai "satu amanah".

Kata Rejab, "Saya berusaha menghubungi setiap peserta Malaysia, sejumlah 77 orang yang terdiri daripada  berbagai latar kehidupan  dan peserta dari Riau melalui Dr. Yusmar Yusuf, Kepala Pusat Pengajian Bahasa dan Kebudayaan Melayu, universiti Riau."  Rejab berhasil mendapatkan pelbagai karya dan dimuat dalam buku ini tanpa saringan dan penyuntingsn. Kata Rejab pemuatan cara begini bermaksud memberi kesempatan kepada para peserta  "yang berusaha menghasilkan tulisan untuk diabadikan."

Dengan kata lain  estetika karya tidak dinilai. Setiap karya yang dikirim dimuatkan. Yang penting bagi perkiraan Rejab ialah rakaman pengalaman penulis dalam bentuk apa jua pun untuk diabadikan. Malah pada sesetangah karya, diabadikan, "misalnya keajaiban bumi yang bernama Daik dengan gunungnya bercabang tiga, patah satu tinggal dua."

Penulis Evy R. Syamsir dari Riau melakar bumi Daik Lingga sebagai sebahagian daripada sejarah Melayu yang dilupakan. Katanya, Daik Lingga baginya adalah saksi sebuah kebesaran Melayu, yang kini hanyalah sebuah ibukota kecamatan Lingga, kabupaten kepulauan Riau yang jarang disebut-sebut orang. Katanya, "bahkan di sana tidak satu pun ada kemudahan umum untuk menunjangi kunjungan pendatang ke bekas kerajaan Melayu Riau Lingga itu."

Yusmar Yusuf menilai Daik Lingga dikenal sebagai sebuah negeri yang bertamadun tinggi, memiliki taji sejarah yang tajam dan panjang serta penuturan bahasa yang halus, yang merupakan benteng lidah Melayu sekaligus benteng tamadum. Namun  keluhnya, "apa yang terjadi sekarang Daik ibarat amnesia sejarah kerana kita tidak pernah berniat sungguh-sungguh membangun Daik sehingga masyarakat di sana berada dalam garis kemiskinan."
Apapun jua, Syamsir menilai keindahan alam Pulau Lingga, kekayaan sejarah dan budaya yang dimilikinya serta prestasinya di masa lalu "sebagai kerajaan Melayu Riau Lingga, pantaslahia disebut bonda Tanah Melayu. Siapa pun yang singgah  ke Pulau Lingga akan berdecak kagum  melihat indahnya panorama alam Gunung Daik (Gunung tertinggi di Riau, 1,200 meter) yang puncaknya bercabang tiga, perairan lautnya yang biru serta pemandangan laguna (danau tasik tepi laut)  yang berhias rumpun bakau. Belum lagi kekhasan budaya Melayu masyarakat tempatan dan rimbunya pohon yang telah berumur ratusan tahun."

Inilah rakaman saksi mata tentang latar keindahan Lingga bersama Daiknya yang memukau. Latar keindahan itu menjadi objek mainan kata-kata sang penyair, lebih-lebih lagi dari Malaysia. Terlupa seketika akan nasib malang pulau itu di tengah-tengah kancah perekonomian bangsanya. Yang punya ilham mencipta akan mengungkaikan kata lunak yang kadang-kadang sinis menempelak yang ditujukan kepada pulau yang menyajikan keindahan semula jadi yang serba adanya.

Penyair Hashim Ismail, misalnya bermadah melalui "Daik, Bondaku". Melalui mata hatinya Hashim menulis, "Daik, bermula aku memijak tanahmu dapat kurenungkan kusut masai wajahmu/ Dapat kurasakan betapa erat peluk ciummu/ Membuatkan kita remuk redam/ Sebak dek debaran pertemuan/ Setelah sekian lama berjauhan…Kita tinggalkan dia kelemasan/Tenggelam dihanyut kegelapan zaman/Hilang haluan/hilang di perantauan.

Rahimidin Zahari, penayir muda dari Kuantan yang sedang "naik" menyumbang dua sajak berjudul "Beberapa Percakapan Di Tanjung Pinang" dan "Aku Di Kampung Masa Lampau". Dengarkan suara hati Rahimidin ketika "aku di kampung masa lampau/Mengapung jiwa di permukaan sungai/Yang jernih oleh rimbun pohon/aku menyelam ke dasar/batu-batu sejuk yang dingin/sambil bersalaman/dengan anak-anak ikan/yang jinak".

Rahimidin begitu nostalgik dan rindukan tamadun silam apabila melihat suasana kontras Daik dulu dan sekarang. Dia menghimbau "Anak-anak SD (sekolah dasar = rendah) yang manis, ibu/dan kakek yang menyapa/di sepanjang jalan -- menyalami kami/dengan suara emas bahasa dan /jalinan cermat adat yang tepu/bersukat." Lalu Rahimidin berhiba di jeti Sungai Resun sambil "kukesat mataku yang gerimis".

Yang menarik ialah suara rasa Sabar Bohari dengan nukilan tiga puisinya. "Wajahmu wajahku jua" seperti sebuah pengakuan dari dalam diri Sabar bahawa Melayu di Daik adalah "tulen/adalah sejati/mencengkam erat/tiada goyah oleh masa/tiada goyah oleh keadaan/bahasanya masih segar/masih utuh/diuji zaman/diuji gelombang."  Lalu Sabar pun menyatu dalam keikhlasan cintanya terhadap Daik. Katanya, "Melayumu, Melayuku/akrab bersatu/mempamerkan keunggulan/ia akan menjadi saksi/satu bangsa/satu bahasa/Daik Lingga/wajahmu adalah wajahku jua."

Siapa pun tidak menduga bahawa pulau Lingga Daik yang jauhnya kira-kira 100 km dari Tanjung Pinang, malah lebih jauh dari Tanah Semenanjung begitu dekat dengan jiwa setiap peserta rombongan. Ada suatu daya tarikan yang menjadi pulau bersejarah itu dipuisikkan dengan "begitu syahdu". Seolah-olah ia tidak pernah lekang dan sirna dari hati para penulis Malaysia.

Malah lebih mengharukan ketika meneliti bait-bait syarir dan pantun yang dimuatkan, hasil nukilan sebelas penulis baru dan lama. Sebuah pantun berkait paling panjang mengandungi 33 rangkap bercerita tentang Pulau Daik sendiri. Pantun karya Yusof Bakar ini pantun nasihat tentang tingkah laku. Sekali baca ia seperti membawa tema "Gurindam 12" syair agung Raja Ali Haji itu. Namun terselit juga rangkap-rangkap yang bercerita tentang Daik, tentang Pulau pandan dan alam flora dan fauna sekitarnya.

Dalam satu rangkapnya Yusof seperti bertanya, "Dimasak oleh gadis Melayu/harganya mahal tiada ditanya/Daik bonda Tanah melayu/ Kemajuannya terpinggir di mana silapnya?" Manakala peserta Saleh Ali bagaikan jatuh cinta dengan tanah Daik apabila dia mencipta rangkap pantunnya, "Dua tiga kucing berlari/manakan sama si kucing belang/ dua tiga boleh kucari/ manakan sama puteri Daik seorang." Khabarnya Saleh berkunjung lagi beberapa kali ke Daik setelah Kembara Budaya Gapena. Khabarnya juga dia banyak membantu membina sebuah kelong  dan sebuah sekolah agama di pulau itu.

Dalam ulasannya Ismail Hussein menganggap hasil karya dalam buku ini adalah "suara hati dan suara bicara para peserta - amat berguna untuk kajian dan penyelidikan  tentang Daik dan Pulau Lingga yang suatu ketika dahulu menjadi pusat pemerintahan Melayu serumpun."  Kata Ismail lagi "peserta merakamkan segala aspek yang mereka perolehi sama ada  secara spontan, menemuramah penduduk Daik, penyelidikan daripada  bahan-bahan sejarah atau dari hasil inspirasi mereka sendiri menghasilkan karya-karya kreatif cerpen dan puisi."  Ismail dan Gapena terhutang budi dengan Malaysian Ensaiklopedia Research Centre Berhad pimpinan Haji Hassan Hamzah yang sudi menaja penerbitan antologi empat genre ini. Jarang amat kita melihat dan membaca sebuah buku berisikan pelbagai genre sastera sekaligus. Penajaan oleh sebuah pusat penyelidikan ini bagaikan menyahut cabaran seorang peserta Perkampungan Penulis Melayu Serumpun dahulu itu.

Mahunya usaha murni ini dapat diteruskan dengan kelahiran lebih banyak buku seumpama ini dan setiap kali Gapena  "berkabilah" ke sesuatu lokasi Melayu. Cuma barangkali antologi seperti Daik Bonda Tanah Melayu ini sebaiknya disusun tanpa mengesampingkan nilai estetika yang diperlukan dalam sesebuah hasil karya.

A.F.Yassin
19 Disember 2000.       

 

17 August 2011

Berkampung Di Tanah Kelahiran Seniwati Maria Menado dan Normadiah



 Abd. Rahim Aman, perantara Jejak Bahasa di Menado. Rahim adalah alumni Universitas Hasanuddin di   Makasar, Sulawesi Selatan.



BERKAMPUNG DI TANAH KELAHIRAN NORMADIAH, MARIA MENADO 
Oleh A.F.Yassin     
Berita kematian bintang filem Normadiah beberapa ketika yang lalu masih membekas dalam hati ketika pertama kali saya menjejakkan kaki di tanah kelahirannya di Menado.  Begitu juga dengan nama bintang filem kawakan tahun 50an dan 60an, Maria Menado. Saya dan hampir seluruh sebelas anggota rombongan Jejak Bahasa DBP-TV3 begitu ghairah untuk melihat suasana dan keadaan sekitarnya, terutama Kota Menado, yang terletak di hujung utara Pulau Sulawesi.

Bagi Abd. Rahim Aman, Penyelidik untuk Daerah Sulawesi dan Pensyarah UKM, kedatangan ke Menado seperti “balik kampung” sahaja sebabnya mertuanya orang Gurintalo tetapi menetap di Minado.  Maka tidak hairanlah dia tenang sahaja sepanjang penerbangan dari Makassar ke Menado. Lagu Oinani kiki nyanyian Aniki Karunluh tahun 60-an dan dinyanyikan semula oleh penyanyi remaja sensasi Sulawesi Utara, Nova Sandukh untuk rakaman penggambaran Jejak Bahasa di Pantai Menado mengasyikkan.

Walaupun tidak sebaik penampilan suaranya berbanding Aniki Karunluh namun suara Nova Sandukh cukup untuk mengembalikan ingatan kami kepada penyanyi Aniki Karunluh yang kini khabarnya menetap di Belanda.  Menurut pemandu Jejak Bahasa di Menado, Bety Polo seorang Pegawai Wanita dari Pejabat Gabenor Sulawesi Utara, lagu Oinani Kiki adalah lagu simpati seorang anak yang ingin membeli rumah tetapi tidak punya wang.

Bety Menterjemahkan bait-bait lagu itu ke dalam bahasa Melayu antara lain: Oh anak ku tersayang/mahu pergi ke Minado/ingin membeli rumah / tolong berikan wang / kerana saya tidak punya apa-apa / asalkan ikhlas.  Suara Nova serak-serak basah dan penyanyi keturunan Minahasa dan anak saudara pula kepada Gabenor Sulawesi Utara itu popular dengan tiga album solonya, dua daripadanya berjudul “satu .Kadira (kerusi) tiga orang” dan “kita rela berkorban” Nova baru berusia 17 tahun tetapi berstatus “janda anak satu”.  Katanya, “saya kahwin muda eihoo!

Dari atas bukit Tomahon Kota Minado kelihatan memenuhi pinggiran sebuah teluk.  Pulau Menado tua berbalam seperti mengepungi perairan teluk sehingga Menado bagaikan teluk di pinggiran sebuah tasik.  Kotanya tidaklah besar, tetapi di sana sini gereja menjadi unsur terpenting.  Adalah sebuah dua masjid besar, termasuk masjid raya yang sedang dibangunkan.

Menurut Bety, terdapat hanya 10% penduduk beragama Islam di kota ini, tetapi 42% daripada hampir tiga juta penduduk provinsi Sulawesi Utara, beragama Islam.  Kebanyakannya tinggal di Guruntalo yang akan menjadi sebuah provinsi dalam waktu terdekat ini.

Ertinya Guruntalo akan menjadi provinsi yang hampir seluruh penduduknya beragama Islam.  Barangkali pemisahan Guruntalo daripada Sulawesi Utara didasarkan kepada kelompok etnik dan keagamaan. Salah satu yang menarik di Minado ialah intonasi dan sebutan penutur bahara Indonesia/Melayu.  Ramainya yang berkata bahawa orang Menado bercakap dalam bahasa Melayu Menado.   Jarang kami dengar penduduk tempatan menyatakan mereka berbahasa Indonesia.  Kata seorang peniaga ikan di pasar Pililangan ”kami bercakap dalam bahasa Melayu dialek Minado” soalnya apakah ada dialek Minado dan apakah memang rasminya mereka bercakap dalam apa yang dikatakan mereka “Melayu Menado?”

Jejak Bahasa mendapatkan pandangan Profesor Doktor Haji Hongo Tajuddin Yusof, Ketua Pejabat Bahasa Menado merangkap Profesor di Institut Keguruan Ilmu Pendidikan (IKIP) Menado.  Kata Profesor Yusof bahasa Melayu itu rasminya bahasa Indonesia dan di Menado bahasa itu dituturkan melalui berbagai-bagai dialek seperti dialek Menado sendiri, dialek Guruntalo atau dialek Minahasa. Sementara itu setiap dialek itu mengandungi idioleknya pula semacam bunyi sebutan atau intonasi. “Yang kita dengar mereka bicara itu adalah tutur kata mereka berdasarkan idiolek itu’, katanya.

Tutur kata orang di Menado cepat dan pantas.  “Kita perlu dengar baik-baik kalau mahu mengerti dan banyak perkataan dalam bahasa tempatan berasal daripada bahasa Melayu. Kata Bety.  Hal ini diakui oleh Profesor Yusof sendiri.  Menurutnya di Sulawesi Utara penduduknya memahami tiga bahasa, baik bahasa ibunda mereka sendiri, bahasa Melayu Menado dan bahasa Indonesia’. Menurut Profesor Yusof bahasa ibunda mereka terdiri daripada misalnya bahasa Minahasa untuk etnik Minahasa bahasa Guruntalo untuk etnik yang hampir semuanya  beragama Islam atau bahasa etnik lainnya.  Bahasa-bahasa etnik ini berbeza sekali antara satu dengan yang lain.  Perbezaan sama seperti perbezaan antara bahasa jawa dengan bahasa Melayu atau bahasa sunda.

“Bagaimanapun, semua etnik itu tahu berbahasa Melayu Menado dan berbahasa Indonesia.  Kedua-dua bahasa Melayu Menado ini pula berbeza dengan bahasa Indonesia, ”kata Profesor Yusof.  Kami difahamkan bahasa-bahasa Melayu minado itu berasal dari bahasa Melayu Riau. Cuma bahasa itu mengalami proses sosiolisasi dan membaur dengan bahasa ibunda.  Kata Bety,”Bahasa Indonesia pula, ya sepertinya yang ada sekarang.  Banyak perkataan telah dijawakan”.

Bety Polo beragama Kristian Protestan. Tapi tunggu dulu, katanya. “Walaupun saya beragama Kristian keharmonian hubungan antara agama amat rukun.  Kami seperti berkeluarga.  Di sini perkahwinan antara agama sudah lazim.Misalnya, ada keluarga yang isteri Islam, suami Kristian dan anak-anak dipersilakan untuk memilih, apakah mahu masuk Islam agama ibunya atau Kristian, agama ayahnya.  Itukan rukun namanya” ketua Komiti penyambut, David Babiho, beragama Islam, walaupun namanya bukan Daud.  Lebih menarik ialah nama salah seorang pemain gitar kumpulan muzik yang mengiringi nyanyian Nova Sandukh. namanya Jefri bin Jaafar.  Pengacara TVRI, Menado yang turut menganggotai komiti penyambut, bernama Drs. Uthkan Diman.  Bunyi macam beragama Islam tetapi dia kristian.

Othman Ismail, Ketua Projek Jejak Bahasa dan saya berpandangan ketika Bety menjelaskan dalam mesyuarat malam pertama bersama Jawatankuasa Penyambut Jejak Bahasa di Menado. Yang membuatkan kami saling berpandangan lagi ialah apabila orang Islam dan orang Kristian saling bersapa-sapaan dengan ucapan Assalamualaikum dan selom sekali gus” atau seorang beragama Hindu dengan seorang beragama Islam memberi salam dan “Om Swastiastu” sekali gus.  Bety Polo yang Protastan setiap kali menyapa kami dengan assalamualaikum” terlebih dahulu.  Inilah rukun hidup orang Minado.

Beberapa hari bersama hos rombongan dan menjelajahi Menado dan daerah sekitarnya menyaksikan keharmonian sebuah kota kecil yang seperti tidak mengenali erti demontrasi dan tunjuk rasa yang sedang hangat-hangatnya di Jakarta.  Kata David, “di sini semua tenang-tenang sahaja”.Saya fikir rukun agama yang sudah menjadi adat kebiasaan di Menado memperkuat hubungan silaturahim antara sesama kita.  Saudara perlu memahami konsep hidup kami di Menado ialah kerukunan dan lambang kami di kota ini ialah Menado kota  nyiur melambai”

Menado kota nyiur melambai! sungguh Menado dipenuhi pohon kelapa.  Di sana sini di tengah-tengah kota pohon kelapa ditanam orang.  Apabila ditiup angin dari laut atau dari gunung daunnya meliang liuk terkena tiupan bagaikan ia sedang melambai pengunjung dari lautan atau dari daratan.  “Kami gunakan kata nyiur bukan kelapa.  Itu adalah pengaruh bahasa Melayu.  Bahasa Indonesia kelapa”, kata seorang anggota komiti penyambut. Kami dibawa kekaki sebuah gunung berapi.  Masih terdapat asap dan sesekali api yang menyala.  Seluruh lereng di sebelah selatannya berwarna hitam dan dibahagian depannya kekuningan. 

“Saudara boleh tafsirkan sendiri maka daripada warna-warna itu”, kata  ..........yang memandu kami ke tempat itu.  Gunung ini adalah salah satu daripada dua gunung berapi yang mengapit kota Menado dari selatan dan utara yang menurut pemandu kami masih hidup dan aktif. Tidak jauh daripada tempat kami melihat kota Menado “yang saujana mata memandang” ada sebuah tanah perkuburan orang Minahasa yang dinamakan wali  waroga dalam bahasa Minahasa wali bererti rumah dan waroga badan yang hancur luluh dalam batu.

Terdapat puluhan kubur orang Minahasa dulu-dulu yang batu nisan mengandungi mayat.  Ertinya orang Minahasa suatu ketika dulu menanam mayat di dalam batu yang kemudian ditegakkan sebagai nisan. Ertinya lagi, dalam batu nisan tersimpan mayat yang ditanam secara duduk berpeluk tubuh, lengkap dengan ruang kepala di bahagian atas batu, bukan dalam tanah seperti lazimnya orang menanam mayat. Menurut penjaga kubur, Ulca, wanita berusia 33 tahun beranak empat, batu-batu itu dipindahkan dari berbagai-bagai tempat di seluruh daerah Minahasa.  “Yang ada masih puluhan.  Ada 2,000 lagi yang akan dipindahkan ke sini”, kata Ulca
Dia begitu pintar bicara dalam bahasa Indonesia.  Dia menjelaskan beberapa perbezaan dalam ukiran dan bentuk batu nisan bermayat itu.  Batu tanpa tulisan atau gambar menunjukkan ia telah berusia ribuan tahun. Yang berukirkan kelasi. Portugis menunjukkan batu nisan itu berisikan mayat orang Portugis sementara batu nisan berukirkan mahkota di bahagian atasnya menunjukkan ia berisikan mayat orang Belanda.  Batu yang bertuliskan bahasa minahasa berisikan mayat orang Minahasa. Kuburan ini menarik kerana mayat semua agama ditanamkan di satu tempat, terutama Islam dan Kristian.  Nyatanya tanah perkuburan turut  “hidup rukun”! di Menado. (Dipetik daripada akhbar Utusan Zaman, 28 Januari 2001).

15 August 2011

Riyono Pratikto: Dosen Yang Juga Sasterawan Nasional Indonesia



RIYONO PRATIKTO, PAK DOSEN YANG JUGA SASTERAWAN
Belum lama ini, saya mengunjungi bekas mahaguru saya, Bapak Riyono Pratikto (gambar kiri) di kediamannya di Jalan Sosiologi, Kompleks perumahan Dosen UNPAD, di daerah Dago Utara. Beliau adalah dosen untuk kuliah Scientific writing yang wajib saya ambil pada semester 7 dan 8, tahun 1979. Beliau lebih senang dipanggil Pak Riyono saja. Gempal orangnya dan tidak banyak bicara. Sentiasa senyum dan perawakannya amat menyenangkan. Bicaranya lembut dan ketika memberikan kuliah, beliau bicara santai seperti layaknya seorang pembicara ilmu komunikasi. Sememangpun beliau adalah daripada jurusan ilmu publisistik, dengan bidangnya jurnalistik.

Tutur katanya teratur dan jelas. Amat mudah kita memahaminya. Beliau terharu dikunjungi di rumahnya. Berdasarkan cerita burung beliau dikatakan kurang senang kalau ada mahasiswa yang mengunjungi ke rumahnya tanpa terlebih dahulu membuat temu janji. Namun apabila berdepan dengannya saya melihat semua rasa tidak senangnya itu tidak pula dijelmakan, pada hal saya mengunjunginya ketika itu tanpa temu janji. Alasan saya tidak menghubunginya terlebih awal kerana saya ada seperti yang saya katakan kepadanya “kasus darurat.”
Beliau bertanya khabar tentang bekas-bekas mahaiswanya  seperti Sulaiman Muhamad, Supian Mat, Razali Aziz, Ismail Hamzah dan Yunus Mohd Amin. Terus terang sahaja saya katakan bahawa saya jarang menemui mereka walaupun ketika saya pulang bercuti di Kuala Lumpur.

Lahir pada 27 Ogos 1932 di Tegal, Jawa Tengah, Pak Riyono adalah juga seorang sasterawan Indonesia dan menulis sejak di bangku sekolah lagi. Genre cerpen adalah bidangnya  dan beliau banyak menghasilkan karya dalam tahun-tahun 1952-56. Beliau terbawa-bawa dengan gaya dan imagini sasterawan tersohor Idrus. Beliau telah menghasilkan  beberapa buah antologi termasuk Api dan beberapa Cerita Pendek Lain (1951), Si Rangka dan beberapa cerpen Lain (1958), Wira Muda Dari Ambarawa  dan General (tarikh tidak dapat dikesan).
Dalam bidang akademik, beliau menghasilkan buku Kreatif Menulis Feature dan Berbagai Aspek Ilmu Komunikasi. Walaupun beliau masih aktif menulis beliau terus memberi kuliah dalam bidang komunikasi. Beliau pernah mengandaikan betapa amannya manusia dan damainya dunia jika manusia itu sebagai makhluk Tuhan dapat memahami hati nurasni  sesesama mereka”. Inilah juga andaian yang diluahkan Pak Riyono sejak dulu lagi, katanya. Malah saya sendiri pertama kali mendengar luahan rasa hatinya sejak mula mengenali beliau pada hari pertama saya mengikuti kuliahnya.

Pak Riyono pasti semua masalah manusia berkait erat dengan masalah komunikasi. Baginya komunikasi adalah segala-galanya. Kemelut dunia hari ini berpunca daripada angkara manusia yang gagal berkomunikasi. Mereka berinteraksi tetapi tidak berkomunikasi. Mereka berbicara dan mereka berpandangan tetapi mereka tidak berkomunikasi, sehingga memungkinkan timbulnya gejolak rasa yang negatif. Manusia pun saling berbunuhan, saling bermusuhan, saling memfitnah dan saling berperang,”  katanya.

Pak Riyono yakin pada suatu hari nanti akan wujud suatu sistem  komunikasi  bentuk telepati yang boleh memindahkan apa yang difikirkan seseorang kepada seorang yang lain. Ketika itu manusia akan lebih memahami apa yang ingin disampaikan  sesama sendiri. Pada waktu itu nanti manusia tidak perlu lagi berkata-kata atau menggunakan bahasa atau bahasa isyarat. Cukuplah manusia berada pada situasi pandang-memandang  atau fikir-memikir. “Bayangkan waktu itu, dunia dan manusianya tidak lagi seperti apa yang berlaku pada hari ini, tidak saling berbunuhan, bermusuhan atau saling –memfitnah,” ujar Pak Riyono lagi.

Dalam pertemuan ini Pak Riyono bagaikan memberi kuliah kepada mahasiswanya. Begitu bersemangat beliau dan itulah pendiriannya. Beliau seperti mahu menyampaikan pesan kepada dunia: “berhentilah daaripada berperang, bermusuhan dan bersengketa.” Namun renungan matanya yang kadang-kadang di kejauhan seperti memberi isyarat bahawa beliau makhluk lemah dan hanya manusia biasa.  Cuma barangkali apa yang tersirat daaripada keinginannya  itu tidak sukar diteka.

Khabarnya Pak Riyono kurang disenangi oleh Pemerintah waktu itu. Beliau dikatakan terlibat dalam kegiatan Lekra (Lembaga Kebudayaan Rakyat) yang dianggap pro-komunis. Beliau sentiasa menafikan dakwaan tak berasas itu. Menurutnya terdapat salah pengertian yang berpunca daripada kegiatannya  sebagai seorang sasterawan di zaman Lekra yang pada saat itu  pengaruh Lekra begitu meluas. Malah dalam tempoh itu beliau menghasilkan banyak karya seperti halnya sasterawan-sasterawan lain yang sedang “gila berkarya”. Beliau malah terpaksa mencari wadah untuk menampung hasil karyanya, tidak kiralah sama ada tempat penampungan itu yang pro-komunis atau sebaliknya. Itulah katanya yang menjadi realiti keadaan dan situasi ketika itu.

Sebagai contoh banyak hasil karyanya disiarkan dalam majalah Zaman Baru dan akhbar harian Kebudayaan Baru, kedua-duanya milik Lekra. Oleh kerana beliau menulis kepada majalah dan harian seumpama itu . maka beliau dianggap salah seorang pengarang Lekra seperti halnya Pramoedya Ananta Toer dan S. Rukiah.

“ Saya tidak punya pilihan kecuali menyiarkan karya saya melalui media berkenaan. Sama ada ia milik Lekra atau bukan bukan persoalan atau tidak menjadi persoalan. Maka saya tidak hairan jika saya dianggap orang Lekra kerana pasti orang tidak memahami hati nurasi saya dan tidak dapat memahami apa yaang saya fikirkan, katanya.

Menurutnya, jika masalah komunikasi sekecil peribadi itu tidak dapat diatasi maka apatah lagi masalah komunikasi yang global sifatnya. Saya pasti maksudnya. Contohnya permusuhan Palestin-Israel adalah hasil bibit-bibit pergolakan akibat salah faham yang terus tumbuh dan sehingga menjadi kronik sekarang ini. Akibat salah fahamitu juga timbulnya rasa rakus dan gila kuasa antara manusia dengan manusia.

Mengingatkan kata-kata itu maka tidak ada siapa yang akan berasa hairan “ manusia akan terus bersengketa dan bermusuhan, malah terus menreus berbunuhan. Konflik akan menjadi-jadi antara manca negara sampai dunia lebuh menjadi debu,” kata Pak Riyono. “ Jika orang enggan berkomunikasi melalui akal dan fikiran tetapi diseret oleh hati dan perasaan, inilah akibatnya.”

Saya mohon diri setelah hampir tiga jam bersamanya. Beliau begitu apologetik dan mesra. Barangkali beliau mengetahui bahawa saya juga sebenarnya seperti beliau yang meminati bidang kesusasteraan.  (Ini berupa catatan memori saya pada tahun 1979 di Universitas Negeri Padjadjaran Bandung. Catatan ini kemudian dijadikan sumber rencana untuk koleksi artikel yang termuat dalam buku Sembang Sastera Bersama Orang Persuratan yang diterbitkan oleh Penerbit Fajar Bakti, Shah Alam, tahun 1998)

14 August 2011

Cikgu Shaharom Hussain Menulis Di Pusara Isteri Di Pemakaman Mahmoodiah


Artikel "SHAHAROM MENULIS DI PUSARA ISTERI" ini tersiar dalam Utusan Melayu Mingguan  1 Sept 2000
Cikgu Shaharom Husain mundar mandir di luar pagar "Gapura Sastera"nya Sabtu petang dua minggu yang lalu. Beliau berbaju kurung  putih dengan celana sedikit kekuningan. Cikgu Shaharom memungut beberapa ranting kayu dan daun kering yang berguguran dan melonggokkannya di satu tempat. Seperti beliau sedang membersihkan  kawasan di luar pagarnya. Beliau menoleh ke belakang barangkali setelah mendengar deru enjin kenderaan. Serta merta wajahnya berubah, menunjukkan sedikit seri, tanda beliau gembira melihat tamu datang. Dengan gerak tangan seperti menyambut tamu Cikgu Shaharom mengisyaratkan supaya saya masuk bersama kenderaan sekali ke pekarangan Gapura Sastera. Setelah saling bertanya khabar kami duduk di bangsal kecil di depan Gapura a.k.a kediamannya.

Keadaan di sekitar pekarangan Gapura tetap tidak berubah seperti dahulu. Nama dan tempat sejarah, terutama yang ada kaitannya dengan Sejaerah Johor masih utuh di tempatnya. Jika pun ada kekurangan, barangkali dalam sebulan dua ini Cikgu Shaharom "tidak begitu mengambil berat" membenahinya kerana nun jauh di dalam hatinya, Cikgu Shaharom masih lagi "berkabung" sejak beliau ditinggalkan pergi oleh "buah hatinya" iaitu isteri tercinta. Suasana berkabung Cikgu Shaharom belum juga menampakkan akan susut walaupun "edah" beliau ditinggalkan telah lama berlalu. Katanya, "Inilah Encik Fadzil. Saya lebih tenang ketika di pusara isteri saya. Di sini saya terlalu keseorangan."

Ramai bimbang akan keadaan Cikgu Shaharom, terutama anak-anaknya yang tidak seorang pun tinggal bersamanya. Tetapi itu semua sementara kerana menurut Cikgu Shaharom, anaknya yang bertugas di Mersing akan pindah kerja di Johor Bahru. "Sekarang, saya seorang saja di rumah. Ada jiran sebelah sudah saya berikan satu kunci. Manalah tahu," katanya lagi. Bagaimanapun, Cikgu Shaharom sedikit terhibur di hujung minggu apabila seorang dua anak dan cucunya pulang.

Dalam keadaan berkabung itu, nyatanya Cikgu Shaharom tetap aktif dengan kegiatan penulisannya. Beliau sedang dikejar waktu untuk menyiapkan novel sejarahnya yang baru. Menurutnya sudah ada penaja yang sanggup menerbitkannya. "Percaya tidak, saya menulis di pusara isteri saya. Begitu laju saya menulis seolah-olah suasana pusara membuatkan ilham tiba mencurah-curah. Saya sendiri tidak percaya, tapi begitulah. Sekarang pun saya telah mencipta sebuah sajak. Saya ini mana pernah menulis sajak sebelum ini."  Beliau kemudian membaca sebait dua sajak itu. Sajak itu tentunya diabadikan untuk "isteri tercinta".

Sebenarnya pertemuan kami ada kaitannya dengan novel sejarahnya yang bakal terbit September ini. Manuskrip novel itu telah lama dihasilkan hanya menunggu untuk diterbitkan. Cikgu Shaharom amat berterima kasih kepada mantan pengarah ITM (kini UiTM) Tan Sri Arshad Ayub kerana sanggup menjadi penaja untuk menerbitkan novel ini. Novel Cikgu Shaharom ini berjudul "Di Bawah Hujan Peluru" yang berlatar belakangkan penaklukan Jepun di Semenanjung Tanah Melayu.

Kata Cikgu Shaharom, cerita dalam novel ini disandarkan kepada kisah benar ketika Jepun  sedang rancak-rancaknya mara ke selatan menuju Johor dan Singapura. Cikgu Shaharom yang sering tidak terlepas untuk menghadirikan diri dalam karya sejarahnya, tetapi membuat pendekatan yang sama dalam novelnya ini. Dalam novel ini beliau bercerita tentang kisah sebenar kawan-kawannya, melalui watak utama Rasiman dan Rasimah. Kedua-duanya ini sedang berkasih-kasihan tetapi masa depan percintaan mereka dimusnahkan oleh perang yang melanda. Mereka terpisah akibat perang dan oleh kerana keadaan hidup yang melarat, hajat Rasiman untuk menegikuti jejak kekasihnya ke Johor Bahru tidak kesampaian.

Dalam pada itu Cikgu Shaharom mempertahankan cara pengolahan cerita melalui pendekatan konvensional dan cara bercerita pengarang tempo dulu. Dan sebenarnya inilah cara Cikgu Shaharom berkarya. Baik dulu baik sekarang. Menariknya, dialog yang digunakan watak-watak lebih real atau berpijak di bumi nyata. Maksudnya tiada unsur sastera-sasteraan ketika wataknya berdialog walaupun ada kalanya tutur kata relatif panjang. Misalnya, perbualan antara ibu dan ayah Rasiman:  "Betul juga , bapak Rasiman. Tapi jangan lupa, kita hidup bermasyarakat. Kita belum lepas daripada adat. Hidup biarlah lebih berbudi bahasa. Wang ringgit kita tak ada. Budi bahasa kan tak berjual beli. Apa salahnya dan apa ruginya kita mempelawa dan menjemput orang berlindung selamat di rumah kita ini? Yang awak sibuk  benar nak membetul dan membuatkan anjung dan dapur  pondok getah itu kerana apa?"   Sebuah dialog panjang dengan kata-katanya mirip percakapan sehari-hari orang Johor.

Dalam pendahuluannya, Cikgu Shaharom mengakui bahawa "novel ini berdasarkan pada peristiwa yang benar-benar berlaku pada masa bala  tentera Jepun menyerang Tanah Melayu pada akhir tahun 1941. Tidak sampai dua bulan mereka berjaya menewaskan  kekuatan tentera British yang mempertahankan Tanah Melayu dan Singapura. … Kandungan novel ini didasarkan kepada yang benar-benar penulis dengar, lihat dan alami sendiri. Terutama  peperangan yang berlaku  di kawasan-kawasan dalam negeri Johor dan Singapura. Malapetaka dan peristiwa kejam  bersejarah yang menyayat hati itu, penulis kumpulkan dan jadikan novel ini."

Generasi hari ini semakin jauh untuk memehami jerih-perih dan penderitaan generasi terdahulu ketika hidup di bawah pendudukan Jepun. Generasi hari ini tidak dapat menghayati penderitaan agenerasi terdahulu ketika turut terlibat dalam peperangan. Generasi sekarang hanya tahu berkata, "Itu dulu bukan sekarang." Seolah-olah penglibatan dan penderitaan akibat perang adalah urusan agenerasi terdahulu dan tidak ada kena mengena dengan generasi sekarang. Novel ini bagaikan ingin menyampai mesej kepada generasi anak muda hari ini bahawa sebarang bentuk konflik dan perang, baik dulu baik sekarang, adalah sama dari sudut cara dan akibatnya, iaitu penderitaan. Dan barangkali Cikgu Shahnon dalam mesejnya melalui novel ini ingin menasihati anak muda hari ini supaya "jangan cuba-cuba menaikkan semangat yang membawa kepada konflik dan pergaduhan kerana tidak ada siapa untung kecuali rakyat terbanyak yang menjadi mangsa."

Sambil menyemak halaman pruf novel itu Cikgu Shaharom bercerita tentang sumber inspirasinya dalam bidang penulisan. "Saya lebih senang berada di pusara isteri saya. Jadi kalau nak jumpa saya di pagi hari, ke sana saja. Kadang-kadang saya di sana hingga tengahari. Kalau tidak ada urusan saya boleh dicari di sana. "  Ketika masih bersama, Cikgu Shaharom tidak sunyi daripada kalibatnya. Kadang-kadang ketika mengarang di ruang kerjanya, isterinya akan duduk di kerusi menghadapnya. Ada tikanya isteri akan meminta Cikgu Shaharom "beristirehat sebentar"  kerana katanya jangan terlalu memaksa diri "kita kan dah tua". Dan ada tikanya juga isterinya akan menyiapkan minuman untuk kemudian duduk kembali menghadapi Cikgu Shaharom meneruskan penulisannya.

"Yang membuat saya terkejut ialah bahan dokumentasi isteri saya. Selama 50 tahun berkahwin saya tidak tahu yang dia juga mengumpul bahan. Apa saja yang berkaitan dengan kehidupan kami ada tersimpan. Percaya tidak pakaian kahwin kami masih tersimpan baik. Rupa-rupanya dia juga banyak koleksi buku sastera dan budaya yang ada beberapa di antaranya saya sendiri tak ada. Setelah berbincang dengan anak-anak, kami putuskan untuk memelihara koleksi dan dijadikan dokumentasi keluarga," kata Cikgu Shaharom.

Wajah Cikgu Shaharom menggambarkan sebak dadanya. Di kelopak matanya, air jernih mula bergenang tapi tidak sampai mengalir turun membasah pipi. Cikgu Shaharom masih dapat menahan rasa sedihnya barangkali. Namun ada beberapa ketika dalam bercerita suaranya bergetar dan Cikgu Shaharom berhenti sebentar daripada bersuara. Hal ini amat jelas ketika beliau bercerita tentang saat-saat beliau menemui keadaan isterinya yang sudah terkujur badan. "Ketika Encik Fadzil telefon saya waktu itu, isteri saya baru dua jam meninggalkan saya. Sungguh saya tidak sangka kerana sehari sebelum itu dia baik-baik saja. Pagi itu saya cuba bercanda dengannya bila dia tidak bangun-bangun. Saya lihat dia biasa sahaja seperti orang tidur, walaupun ketika itu sudah pukul sembilan. Dia begitu tenang dan seperti tersenyum juga. Kedua-dua belah tangannya terletak di bahagian badan seperti orang tengah sembahyang. Saya hanya meraung  bila mendapati dia tidak ada lagi," ujarnya.

Hari semakin senja dan pertemuan hanya sampai di situ. Cikgu Shaharom menyerahkan halaman pruf "Di Bawah Hujan peluru" sambil bertanya, "Bila terbit? Mungkin saya akan Tanjung Malim pada 8 atau 9 September ini. Kalau boleh dapat beberapa naskhah, boleh juga saya bawa ke sana."
"Ada penting di sana Cikgu?"
"Universiti Pendidikan di sana jemput saya. Mula saya keberatan maklum dalam keadaan sekarang ini, tapi nampaknya mereka mahu sangat saya ke sana."

Sambil melambai tangan Cikgu Shaharom menutup pintu pagarnya. Lama dia di pintu itu seolah-olah dia begitu berat melangkah masuk  ke Gapuranya yang buat sementara ini hanya beliau seorang menjadi penghuninya. Saya teringatkan kata-katanya, "Bila senja tiba saya tidak tertahan rasanya. Malam pula begitu lama."  Dalam pada itu saya mengutuk diri kerana tidak teringat untuk bertanya nama isteri Cikgu Shaharom.
    

A.F.Yassin
1 September 2000

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

What Other People Say...


"A.F.Yassin dalam cerpennya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).