09 August 2012

WAKTU-WAKTU BEGINI KITA TERINGATKAN ARWAH KERIS MAS.

CATATAN NOSTALGIK PADA PERINGATAN KERIS MAS
Oleh A.F.Yassin
Memang sukar bertemu dengan rakan-rakan penulis secara serentak. Apatah lagi jika mereka tinggal berjauhan. Dan minat mereka untuk bertemu dalam seminar, umpamanya telah semakin luntur. Kalau ingin bertemu penulis mapan dan kelas kakap, tunggu mereka diundang sebagai pembentang kertas kerja oleh penganjur seminar atau kongres persuratan. Jika tidak, mereka terpaksa tunggu sehingga Pena atau Gapena mengadakan mesyuarat agung tahunannya. Tetapi jangan pula terkejut rakan-rakan penulis yang ditemui itu hanya muka-muka itu sahaja.

 Maka apabila Dewan Bahasa dan Pustaka menganjurkan seminar sehari dan pelancaran empat buku Arenawati dengan kerjasama Penerbit UKM dan Utusan Publications & Distributors Sabtu minggu lalu rindu untuk menemui rakan-rakan penulis terobat juga. Tiga hari kemudian DBP sekali lagi menganjurkan seminar tiga hari tentang pemikiran Sasteran Negara pertama, Keris Mas. Semakin bertambah bilangan penulis yang jarang ditemui datang berkumpul.

 Dari Negara Brunei Darussalam datang Dato’ Prof. Dr Hashim Awang, dari Singapura datang pula Mana Sikana yang datang tertengkot-tengkot kerana sakit kaki. Dia tersedat sebentar di ruang letak kereta DBP, tidak tahu arah tuju kerana besarnya ruang letak kereta itu dan lif yang menghubungkan ruang letak kereta dengan Dewan Seminar tidak berfungsi. Dari utara datang Azizi Hj. Abdullah, yang namanya sejak akhir-akhir ini agak sensitive bagi sesetengah kalangan media.

 Azizi yang kini bertugas di Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) akan ke Melaka dahulu untuk menghadiri satu seminar lain sebelum menghadiri Seminar Pemikiran Keris Mas. Dari Penjara Sungai Buloh, datang pula Ijmala MN. Penyair ini bertugas di Penjara Sungai Buloh. Dato’ Dr. Nordin Haji Abdul Rahman (Atondra) tidak ketinggalan hadir berpakaian kemas dengan songkok dipakai senget ala atondra. Kemala, Saleh Rahmad, S.M. Zakir dan beberapa yang lain bukan orang asing di DBP. Begitu juga dengan sasterawan negara paling bongsu, S. Othman Kelantan.

 Dan Dato’ Mohd Nor Yusof (M. Noor Azam) berpakaian lasak (rugged) semua biru turut sama. Sejak akhir-akhir ini towering personality, salah seorang yang mewajahkan Dewan Bahasa sehingga menjadi towering institution satu ketika  itu sering ke Dewan Bahasa. Katanya, “Nak jumpa kawan-kawan.” Tetapi lazimnya M. Noor Azam Cuma bersembang di warong mamak di tempat yang dikenali dengan bucu dewan.

 Dari Makasar, Pulau Sulewasi, datang sekumpulan empat orang tokoh persuratannya, antaranya Safrullah Sanre yhang jarang kjetinggalan hadir dalam majlis-majlis seperti ini. Seperti katanya, “Malaysia adalah kampung keduaku. Dan rumah Gapena rumah keduaku.” Mereka datang kali ini kerana ingin merayakan hari ulangtahun kelahiran Arenawati yang ke-80. Kata salah seorang anggota rombongan, “Pak Arena sasterawan milik kami juga kerana beliau kelahiran Makasar.”

 Ada yang berkata ramainya penulis mapan dan “yang punya nama” datang ke Dewan kerana meraikan dua tokoh besar persuratan, iaitu Arenawati dan Allahyarham Keris Mas. Mereka diraikan Dewan Bahasa. Tidak pasti apakah majlis keraian ini diadakan atas inisiatif Ketua Pengarah baru Dewan Bahasa, Dato’ Dr Firdaus Abdullah, yang juga penulis, atau mereka datang hendak bernostalgia dengan kawan-kawan penulis tentang hubungan dengan Keris Mas dan Arenawati.

 Jika kehadiran mereka adalah untuk bernostalgia, mereka tidak kecewa. Sebabnya   di seminar pemikiran Keris Mas sahaja ada kertas M. Noor Azam yang membincangkan pemikiran Keris Mas berdasarkan pengalamannya bekerja di bawah Keris Mas. Kata seorang penulis, “Saya fikir kertas dato’ Noor Azam amat mengesankan kerana menyjngkap pemikiran dan sosok peribadi Keris Mas dari sudut hubungan akrab antara dua rakan dan antara ketua dengan timbalannya.” M. Noor Azam bertugas sebagai timbalan Keris Mas di Dewan Bahasa satu ketika.

 Noor Azam melihat Keris Mas sebagai mentornya dalam bidang penulisan. Noor Azam amat terhutang budi kepadanya kerana tanpanya Noor Azam mungkin kekal menjadi guru sekolah rendah. Tidak mungkin dia menjadi penulis seperti sekarang. Yang paling menarik daripada sosok personality Keris Mas ialah dia seorang ketua yang tidak pernah marah atau kasar kepada orang bawahannya. Keris sentiasa senyum kepada anak-anak huahnya seolah-olah senyumannya itu ibarat penyuntik semangat bekerja buat mereka.

 Kemudian ada pula nota “pendahuluan” untuk prosiding seminar yang memuatkan 29 kertas kerja tentang pemikiran Keris Mas. Pengalaman bekerja Jaafar Rahim di bawah Keris Mas dicatatkan dalam nota “Pendahuluan”. Menurut Jaafar, satu perkara menarik tentang hubungan kerja Keris Mas sebagai Ketua dan “kami sebagai orang bawahan ialah kami bekerja dalam suasana ceria. Bekerja dalam satu pasukan dan saling menghormati.” Tulis Jaafar, “Cara bekerja seperti ini bukan sahaja tidak mendatangkan tekanan bahkan meningkatkan produktiviti Bahagian Pngembangan Sastera, khususnya di majalah Dewan Bahasa, Dewan Masyarakat dan Dewan sastera.”

 Kedua-dua catatan M. Noor Azam dan Jaafar Rahim ini adalah prolog sebuah seminar tentang sikap dan pemikiran Keris Mas melalui karya-karyanya. Selama ini pun telah banyak peneliti sastera menganalisisi pemikiran Keris Mas melalui karyanya. Maka seperti kata seorang penulis yang hadir, “Tidak ada yang baru. Cuma kita disegarkan semula dengan analisis-analisis dalam 27 kertas kerja itu. Bagi saya paling terkesan ialah catatan M. Noor Azam dan Jaafar Rahim.”

 Di luar sidang Hashim Awang dari Universiti Negara Brunei Darussalam bercerita tentang peristiwa-peristiwa lama yang terjadi dalam tahun-tahun 1980an. Di samping Keris Mas Hashim tidak melupakan allahyarham Othman Puteh dan Dharmawijaya, dua kawan akrabnya yang telah pergi dahulu. Hashim rindukan kata-kata dan gerak tingkah mereka. Begitu juga pensyarah UPM, Abd. Rahim Marsidi. Katanya, “Kita ini seperti 10 budak hitam. Entah siapa pula selepas ini.” Manakala Safrullah Sanre mahu majlis hari ulangtahun Arenawati di ulang sambut di Makasar dalam masa terdekat. Katanya, “Pak Arena perlu diberi penghormatan di kota kelahirannya. Penulis sana pun mahu merayakannya.”  
Jaafar Rahim

Catatan Sisi: Masih saya ingat bagaimana Keris pada akhir Disember 1990, berkunjung ke Pejabat saya di Penerbit Fajar Bakti untuk berbincang  tentang penerbitan semula buku "Patah Tumbuh". Selaku Pengurus Penerbitan saya diberi tanggungjawab untuk memperkemas edisi yang ada dan memberikan "Kata Pendahuluan" yang baru. Hampir semua 20 cerpen yang terkandung dalam edisi yang ada diperkemas. Akhirnya Keris Mas menyerahkan pruf halaman terakhir sebelum proses pencetakan dimulakan. Keris Mas menyerahkannya kepada saya pada bulan mei 1991.

Masih saya ingat kata-katanya ketika menyerahkan pruf halaman terakhir itu. Katanya hampir apologetik, " Fadhil, you semak sekali lagi, buat kali terakhir. Aku dah buat yang terbaik. You tengok-tengoklah. Aku serahkan kepada you." 

Melalui perjanjian baru untuk kami terbitkan semula Patah Tumbuh, saya telah mencadangkan kepada pihak pengurusan Fajar Bakti untuk menaikkan royalti buku berkenaan kepada 20% daripada harga jualan. Berdasarkan rekod Patah Tumbuh diterbitkan pada tahun 1962 dan sehingga tahun 1990 telah dicetak ulang sebanyak 24 kali.  


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PROFIL

My photo
Rawang, Selangor Darul Ehsan, Malaysia

What Other People Say...


"A.F.Yassin dalam cerpennya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).