Tan Sri Ismail Hussein (kiri) Ketua Satu GAPENA bersama Dato' Zainal Borhan, Setiausaha GAPENA dalam stu Seminar di Johor Bahru suatu ketika yang belum lama. Sutardji seharusnya perlu hadir untuk mengethui perkembangan sastera di Malaysia sebelum membuat penilaian.
Rencana ini telah disiarkan dalam Ruangan "Sastera dan Budaya", Berita Harian, 2 Ogos 1999 yang lalu, dengan judul "Gapena Hanya Buang Masa: Sutardji".
RENCANA
SUTARDJI JAHIL TENTANG KEGIATAN GAPENA?
Oleh A.F.Yassin
"Seniman perlu ada semangat amok," kata Sutardji Calzoum Bachri, ketika membentangkan kertaskerjanya dalam Kolokium Penulisan Kreatif di Daik-Lingga, Riau 7 Julai lalu. Sutardji berkata demikian di hadapan kira-kira 80 orang peserta Perkampungan Penulis Melayu Serumpun dari lima negara di Daik Lingga arus. Ada pula yang menilai Sutardji melepaskan geram kerana kecewa tidak dapat yang dia mahukan.
Tentang Gapena Suratdji menilai badan itu selama ini mengadakan di Balai Pertemuan Kelurahan Daik di Jalan Masjid Sultan Lingga. Maksud semangat amok ini boleh ditafsir berbagai-bagai. Hamzah Hamdani yang ikut serta menafsirkan sebagai penulis mestilah berani melahirkan karya besar yang kadang-kadang menongkah kegiatan yang sia-sia, Tidak ada hasil yang konkrit seperti penerbitan buku setelah berlangsungnya sesuatu kegiatan. Sutardji kesal rancangan Gapena hanya "membuang masa, tenaga dan wang. "Hanya sia-sia lebih kepada kegiatan basa-basi. Kegiatan Gapena lebih kepada mencari Melayu di mana saja," ujarnya.
Para peserta yang hadir bercakap sesama sendiri, sebagai memberikan reaksi pro-dan kontra terhadap pandangan Sutardji. Di luar balai, reaksi semakin gencar. Ada yang marah dan ada pula yang kesal dengan penilaian Sutardji terhadap kegiatan Gapena. Saya melihat ada kesatuan dalam membidas sikap kurang sopan Sutardji dari peserta-peserta Malaysia. Hampir semuanya mempertahankan Gapena, terutama Tan Sri Ismail Hussein, Ketua Satunya.
"Tak patut Sutardji berkata begitu," kata Tengku Alias Taib. "Nampak sangat dia ini dengki. Perli kawan-kawan seperti Taufik Ismail dan Rendra yang mendapat layanan istimewa dari Kerajaan Malaysia. Tengku Alias menambah, "biar orang lain mengakui kita penyair besar. Tak perlulah kita angkat diri sendiri. Saya rasa dia hendak layanan seperti Taufik, terbitkan puisinya, beri layanan baik seperti yang diterinma Rendra dan Taufik dan beri anugerah RM5,000 seperti Taufik."
Sasterawan Indonesia, Taufik Ismail ambil tahu tentang status sastera di Malaysia dan sentiasa mengikuti perkembangan genre itu di Malaysia. Foto ini diabadikan A.F.Yassin ketika berlangsungnya Persidangan MABBIM, MASTERA dan FOKEPS di Johor Bahru.
Akhirnya Tengku Alias menilai Sutardji terlalu membesarkan diri bila berkata puisi Taufik tidak bernilai sedangkan "puisi-puisi Taufik dalam bukunya Aku Malu Menjadi Bangsa Indonesia sungguh tinggi nilainya berbanding sesetangah puisi Sutardji."
Peserta Sabar Bohari turut tidak berkenan dengan pandangan Sutardji dan mempertahankan Gapena yang selama ini telah berbuat banyak dalam meningkatkan martabat sastera Malaysia di mata dunia. Sementara beberapa peserta Malaysia lain mempersoalkan kridibiliti Sutardji dalam menilai usaha Gapena. "Siapa Sutardji? Dia orang luar dan tidak sepatutnya memperli kegiatan Gapena. Barangkali dia kecewa kerana tidak dapat kerana Gapena dan Malaysia tidak memilihnya menerima Anugerah sastera Nusantara baru-baru ini," kata seorang peserta.
"Lihat saja aksinya di pentas. Dengan cara dia menghisap paip dan matanya meliar ke sana ke mari seperti dia tidak menunpukan perhatian kepada kolokium. Biarkan dia seperti Si Luncai terjun dengan labu-labunya," marah peserta lain. Lau disambut seorang lagi peserta, "Biarkan, biarkan."
Sutardji Luncai? Tidak. Dia bajak wangkang makan diangkat, kata seorang. Malah ada menuduhnya kurang sopan apabila berbicara. Dan dia bicara di depan peserta yang sebahagian besarnya dari Malaysia dan kebanyakannya penulis mapan dan ahli akademik yang punya nama. Ada yang menilai bahawa Sutardji terlalu geram dan kecewa dengan Malaysia kerana kononnya dia tidak dianggap setaraf dengan Rendra dan Taufik. Lalu dia menjadikan Gapena kambing hitamnya. Terdengar juga suara marah-marah dari peserta Malaysia yang menghentam Sutardji dari sudut peribadi yang kurang enak dicatatkan.
Saya tanyakan Hamzah Hamdani tentang kriteria pemberian anugerah sastera Nusantara di Johor Bahru baru-baru ini. Jawabnya ada beberapa yang perlu dilihat. Pertama karya terbaru seseorang calon penerima. Kedua usaha dan kegiatan dan penglibatannya dalam membina dan mengembangkan produk kesusasteraan kepada masyarakat khalayak dan ketiga sumbangan pemikiran calon penerima terhadap dunia kesusasteraan di negara masing-masing, khasnya.
Maka dalam hal ini memang wajar Taufik Ismail dipilih untuk menerima anugerah, terutama apabila dilihat sumbangan kegiatan dan pemikirananya dalam menjayakan Pertemuan Sasterawan Nusantara ke-9 dua tahun lalu di Bukit Tinggi dan Padang di Sumatra Barat. Umumnya semua orang mengakui Sutardji seniman besar di Indonesia, malah oleh Ismail Hussein, Sutardji dianggap seniman tulen. Sutardji punya wawasan yang ideal untuk membina kesusasteraan yang biasanya dimilik semua seniman tulen. Wawasan itu kadang-kadang terlalu ideal untuk berpijak di bumi nyata. Sedangkan apa yang dilakukan Gapena ialah mencari jalan tengah untuk merealisi wawasan kesusasteraan berdasarkan realiti semasa.
"Apa yang dilakukan oleh Gapena banyak juga faedahnya. Paling-paling perkampungan di Daik ini dapat mempertemukan penulis-penulis dari kelima-lima negara di Nusantara. Malah Sutardji pun dapat datang sambil bermesra dengan para penulis, " kata Rejab F.I. Manakala peserta dari Yayasan Warisan Johor, Ahmad Ruslan bertanya "apakah dia (Sutardji) akan kecam begitu jika sekiranya dia dapat Anugerah Sasterawan Nusantara itu?" Sutardji tidak menjawab.
Saya melihat reaksi peserta Malaysia seperti menujukkan satu patriotisme dalam kesusasteraan, ketika berada di luar negeri. Kita sama-sama maklum reaksi negatif sesetengah penulis terhadap usaha Gapena di dalam negeri, tapi nyatanya reaksi seumpama itu tidak terlihat pada hari kedua di Daik, iaitu hari berlangsungnya kolokium. Semangat kebersamaan ini menarik.
Apapun jua, sebilangan penulis muda dari Riau yang hadir menilai positif pandangan Sutardji. Bagi mereka sepatutnya panitia yang bertanggungjawab mengadakan perkampungan seperti ini perlu memikirkan bagaimana satu usaha konkrit perlu dilakukan bagi menerbitkan karya-karya yang lahir daripada pertemuan seperti ini. "Penulis muda perlukan wadah penampungan karya mereka." Seorang peserta Malaysia senyum simpul mendengar cadangan penulis muda Riau ini. Katanya kepada saya, "Suruhlah pertubuhan sastera awak (negaranya) terbitkan karya, bukanya Gapena."
Demikian pagi itu, ada dua kelompok suara yang menghangatkan kolokium di Balai Pertemuan Kelurahan Daik. Apapun jua Rejab khabarnya telah mendapat restu Gapena untuk menyelenggarakan sebuah antologi cacamerba (puisi, cerpen, rencana atau apa saja coretan dari Daik) yang bakal diterbitkan Gapena sendiri. Rejab meminta jasa baik kawan-kawan yang turut sama dalam perkampungan itu untuk memberikan sumbangan. Kurang pasti apakah tindakan Rejab ini berputik daripada kecama Sutardji terhadap Gapena atau memang Rejab telah memikirkannya lama sebelum dia sampai di Daik. Apapun jua, ramai yang percaya bahawa Sutardji telah memberi satu suntikan yang sedikit mengejutkan kepada setiap yang hadir hari itu. Sesi kedua dan petangnya kembali menenangkan suasana dan pembentang dan peserta lebih bersikap rasional berdisiplin. Tidak ada lontaran pendapat dan pandangan yang kontraversi. Seperti kata seorang peserta "carik-carik bulu ayam di sidang pagi akhirnya bercantum juga di sebelah petangnya." Sementara seorang peserta lain berkata bahawa lontaran Sutardji tidak menjadi kudis kepada perkampungan."
Kolokium yang sepatutnya diadakan satu hari setengah itu dapat diselesaikan dalam masa sehari. Khabarnya ada beberapa pembentang kertas kerja tidak dapat hadir atas sebab-sebab tertentu. Hujan tengahari menyebabkan tidak ramai yang hadir pada sesi petang. Daripada hasil perbincangan sehari itu satu Deklarasi Daik diisytiharkan pada malam terakhir di Daik. Deklarasi yang disusun oleh Sutardji Calzoum Bachri, Taufik Ikram Jamil, Hamzah Hamdani, Al azhar, Masran Sabran, Yusmar Yusuf dan seluruh peserta Perkampungan Penulis Melayu Serumpun adalah hasil perbincangan kolokium dan dibacakan oleh Drs Syafrial Syamsuddin selaku Ketua Pelaksana Perkampungan. Deklarasi itu berbunyi:
1. Adalah suatu kenyataan bahawa bahasa merupakan mahkota kebudayaan Melayu yang penggunaannya tersebar pada sejumlah negara di Asia Tenggara.
2. Oleh kerana sastera merupakan mahligai bahasa maka sepatutnya kegiatan sastera memperoleh perhatian yang khas dalam kegiatan kebudayaan Melayu. Perhatian khas dimaksud antara lain berupa penerbitan buku bersama atau penampilan seni sastera.
3. Mengembangkan rasa saling memiliki karya sastera tersebut melalui semua sarana.
4. Deklarasi ini dibuat setelah mengamati dan mempertimbangkan fikiran mahupun perasaan yang muncul dalam Perkampungan Penulis Melayu Serumpun tajaan Pusat Pengajian Bahasa dan Kebudayaan Melayu, Universitas Riau (P2BKM UNRI) di Daik, 4 - 8 Julai 1999.
Daik Lingga
7 Julai 1999.
No comments:
Post a Comment