Rombongan GAPENA ketika mengunjungi kediaman Duta Besar Malaysia di Arab Saudi di Jeddah
MENGUNJUNGI RUMAH KEDAH DI MEKAH
Bangunan empat tingkat yang diwakafkan Sultan Kedah, yang terletak kira-kira lima kilometer dari Masjidil Haram di Mekah dinamakan Wakaf Nuzhak. Bangunan 16 pintu ini adalah pemberian sultan kepada warga Kedah yang belajar dan menetap dan mencari rezeki di Mekah. Memang tujuan utama bangunan ini dibeli adalah untuk kemudahan pelajar-pelajar yang ingin mendalami ilmu agama dan hafiz al-Quran. Namun ada juga beberapa warga asal Kedah yang bukan pelajar menjadi penghuninya. Warga ini biasanya bekerja sambilan sana sini mencari rezeki halal. Ada yang bekerja sebagai pemandu teksi dan ada pula yang mencari upah mengerjakan Umrah atau Haji bagi pihak orang lain. Untuk membiayai kos penyenggaraan maka sebahagian daripada bangunan ini disewakan kepada penduduk-penduduk Arab. Salah seorang penghuni bangunan, asal Kedah ialah Hassan Shafie al-Qedah. Pada pagi Jumaat, 2 Jun lalu, kami dijemput ke rumahnya di bangunan itu dengan teksi yang dipandu adiknya Hussain. Pada mulanya saya menyangka Hassan dan Hussain ini orang Arab Yaman, melihat daripada pakaian dan perawakan mereka. Sesekali teringat pula akan wajah orang Melayu yang sarat dengan pakaian ala Arab ketika melintas di Sungai Pencala, Kuala Lumpur. Bagaimanapun, Hassan dan Hussein yang kami temui pagi itu dua insan yang saya kira sedang merindukan “berita” dari kampung halamannya. Dalam kerinduan itu pula mereka tidak tanggung-tanggung mahu bercerita tentang ehwal mereka, sebagai pemastautin di kota suci Mekah.
Hassan tiba di Mekah pada tahun 1948 ketika usianya dua setengah tahun. Dia anak Kaki Bukit. Ketika baru sampai orang tua Hassan dan keluarga menetap tidak jauh dari dari kawasan Masjidul Haram. Hassan tak pandai bertutur dalam bahasa Melayu pada suatu ketika. Sekarang dia pandai dan menurutnya kepandaiannya itu adalah hasil interaksinya dengan ahli-ahli jemaah Haji dan Umrah saban ketika setiap tahun. Ternyata dia memang petah berbahasa, cuma pelat Arabnya menguasai penuh tutur katanya bagaikan lidahnya sudah setebal lidah Arab. Hassan tidak lokek berkongsi pengetahuan, terutama dengan kami yang sejak pagi lagi menunggu kedatangannya. Rombongan kecil kami terdiri daripada Hj Shaari Awang Besar, Osman Ayob (kedua-duanya dari ASASI), Yaakob Haron, Prof. Madya Dr. Mohamad Redzuan Othman (kedua-duanya dari Universiti Malaya), Megat Shamsuddin dan Idris Said dari RTM. Pada mulanya “segan” juga hendak ikut serta, maklum tidak ada kawan rapat yang turut serta. Namun oleh kerana Tan Sri Ismail Hussein membuat pelawaan saya menjadi serba salah. Janggal rasanya. Kata Ismail, ” Barangkali ada sesuatu yang menarik tentang Rumah Kedah atau penghuninya.”
Barangkali ada wakil Utusan Melayu atau Berita Harian yang ikut. Tidak ada. Yang ada hanya krew RTM. Barangkali juga Wahba atau Nazar Abdul punya acara yang berasingan. Wartawan Utusan Melayu Wahba khabarnya tidak dapat bergerak lasak kerana sehari sebelumnya tapak kakinya melecur akibat memijak batau jalan yang panas. Wahba terpaksa berkaki ayam balik dari solat di Masjidul Haram kerana seliparnya dicuri orang. Mahu tidak mahu saya gahkan juga untuk ikut serta. Lagi pula sehari sebelumnya saya tidak dapat hadir di majlis kenduri di rumah tokoh masyarakat Melayu Mekah, Wan Hussain Wan Abdullah kerana ada temu janji dengan Ibrahim Abdullah, mualaf asal jerman yang berkahwin dengan wanita Melayu, Ani Kamaruddin dari Kampung Tanjung Kota, Negeri Sembilan. Pasangan suami isteri ini telah bermastautin di Mekah sejak tahun 1996. Wan Hussein yang mesra dengan panggilan Pak Wan berasal dari Baling, Kedah. Khabarnya kira-kira 50 orang hadir dalam majlis itu. Memang menarik. Sepanjang perjalanan sebelum sampai di Wakaf Kedah itu, kami dibawa mengunjungi beberapa tempat bersejarah yang berkaitan dengan Rasulullah. Kira-kira setengah kilometer dari Masjidul Haram, Hassan menunjukkan bekas tapak Wakaf Kedah yang kini sudah diganti dengan bangunan tinggi-tinggi yang tersergam dilereng-lereng bukit. Katanya, “Kami terpaksa pindah ke daeah luar yang sebelumnya tidak dihuni oleh sesiapa kecuali binatang liar seperti serigala dan ular.”
Kemudian kami berhenti seketika di sebuah bangunan kecil yang usang. Kami tafakkur sebentar melihat bangunan yang letaknya berdekatan dengan jalan raya. Kata Hassan, “Inilah rumah tempat Nabi dilahirkan.” Serta merta hati menjadi sayu dan kami tergesa-gesa keluar dari kenderaan untuk melihat bangunan itu dengan lebih dekat. “Yang di sebelah kiri di bawah jejantas itu adalah bekas tempat tinggal Saidina Ali. Sekarang ia sudah menjadi tempat letak kereta.” Sebelum sampai ke Wakaf Kedah Hassan membawa kami mengunjungi ke Wakaf Jarwal. Di wakaf ini terletak telaga di mana Rasulullah sempat mandi sebelum memasuki Mekah dalam kemenangan dari Madinah. Hassan sungguh bertenaga membawa kami sambil bercerita. Panas terik Kota Mekah dengan mencubit-cubit kulit bagaikan tidak terasa kerana Hassan pandai bercerita. Sesekali dia cuba juga bertutur dengan pelat Kedah, terutama apabila dia mengingat kembali zaman remajanya di Kota Suci itu. Menurutnya, ayahnya datang dahulu ke Mekah bersama Tok Guru Idris yang berasal dari Air Hitam, Kedah. Setelah keadaan mengizinkan ayah Hassan menjemput isteri dan anak-anaknya, termasuk Hassan yang baru berusia dua tahun setengah. Hassan mendapat didikan agama dan pada suatu ketika mengajar sebelum menjadi tukang jahit. Katanya, “Maklum, mahu bekerja undang-undang tidak membenarkan. Sekarang ini kami cari rezeki dengan membuat kerja macam-macam seperti mengambil upah Haji dan Umrah. “
Melihat keadaan rumahnya yang serba selesa, tidak ada siapa yang percaya yang Hassan tidak mempunyai kerja tetap. Katanya, “Ada rumah, ada dua kereta. Alhamdulillah rezeki ada di mana-mana.” Menurutnya lagi, setiap bulan dia terpaksa belanja dua ribu rial (sekitar RM2,000) untuk anak isteri. “Untungnya adik-adik kasi seribu rial. Yang lain adalah sedikit kerja sana sini.” Hassan menawarkan upah mengerjakan Haji bagi mereka tidak berupaya ke Tanah Suci sebanyak tiga ribu rial, manakala upah mengerjakan Umrah lima ratus rial. Maka sebahagian besar rezekinya adalah melalui cara begini. Katanya, “Apa yang saya lakukan ialah tolong menghasilkan Haji atau Umrah. Ertinya saya dan anak-anak isteri saya tolong sama mengerjakan Haji atau Umrah untuk mereka yang memerlukan bantuan.” Apakah tidak ada niat untuk pulang ke Malaysia? Hassan senyum sambil menjawab, “Kalau balik apa nak buat. Naik balik pun duit tak dak. Anak ramai. Tiga tahun dulu ada anak-anak balik kampung nak buat kad pengenalan. Kami semua masih lagi warganegara Malaysia.” Hassan tidak menyendiri dengan keluarganya. Malah masa baginya terlalu singkat. Terlalu banyak kegiatan dilakukannya. Menurutnya setiap hari ada sahaja orang Malaysia mengerjakan Umrah di luar musim haji, terutama di bulan puasa. “Insya Allah ada sahaja rezeki.” Kemudian ada kalanya masyarakat Melayu di sekitar Mekah ini mengadakan kegiatan berkumpul dan berkenduri. Mereka saling menziarahi. “Ada masanya kami jumpa dalam masjid sendiri. Malam kalmarin kami kumpul di rumah Pak Wan meraikan rombongan Gapena.”
Yang menarik tentang Hassan ini ialah cara dia mengahwini isterinya sekarang. Isterinya bukan wanita Arab tetapi wanita dari Perlis. “Ada cerita tentang isteri saya ini,” katanya. Menurut Hassan, pada mulanya dia tidak mahu kahwin lagi kerana belum punya kerja tetap. Lagipun, katanya mana ada anak gadis yang mahu menikah dengan lelaki yang tidak punya kerja. Oleh kerana desakan keluarga Hassan yang ketika itu berusia 21 tahun mengirimkan gambarnya yang paling hodoh dengan harapan wanita pilihan keluarganya itu menolak pinangannya. “Saya terpaksa buat begitu kerana pendapatan saya hanya 120 rial sahaja, gaji mengajar pondok. Dalam gambar itu saya betul-betul kurus kerana saya ambil selepas sakit,” katanya. Bagaimanapun oleh kerana sudah jodoh, wanita itu tidak menolaknya dan akhirnya “sampailah hari ini dia menjadi isteri saya.” Demikianlah, Hassan Shafie al-Qedah yang menjemput kami ke rumah pangsanya untuk saling memperkenal diri. Hassan begitu polos dan bersama adiknya Hussain mencari rezeki halal di daerah Tanah Suci. Adiknya membawa teksi dengan rezekinya tertumpah apabila mengangkut jemaah yang ingin keluar dari kawasan Tanah Haram untuk mengambil Miqat (niat Ihram) Umrah di Tan’im (jauhnya enam kilometer) atau di Ji’ranah (jauhnya 16 kilometer). Inilah sumber rezeki utama mereka dan “Alhamdulillah!” kata mereka, “Kami bersyukur bahawa di Tanah Suci ini, rezeki ada di mana-mana, asal ada usaha.” Ungkapan ini disebut Hassan berulang kali sepanjang pertemuan di bilik tetamunya yang nyaman dan selesa.
Hassan dan Hussein, kedua-duanya anak Melayu yang seperti halnya anak-anak Melayu di tempat lain di Benua Afrika dan Asia sanggup merentas halangan meneroka daerah baru sambil berakomodasi dengan penduduk setempat. Bagi Hassan dan Hussein, ayah mereka menentukan nasib mereka di bumi Arab, barangkali ingin melihat Hassan dan Hussain menjadi insan yang soleh dengan hidup matinya di Tanah Mulia bumi Mekah. A.F.Yassin 15 Jun 2000
Assalamualaikum tuan. Bagaimana mungkin saya dapat berhubung dengan kedua2 insan asal kedah diatas. Adakah no talipon yg boleh dikongsi bagi tujuan mendapat khimat pengangkutan teksi yg boleh berbahasa melayu ketika saya dimekah. Terima kasih.
ReplyDelete