Isteri Ayob, Zubaidah Suleiman memeluk seorang anggota keluarga sebelum berpisah di ruang menunggu ICU Hospitak Serdang, 31 Mac 2012.
Kami berempat dan sebiras. Ertinya kami - Ayob Hashim dari Muar, Ahmad Fadzil Yassin dari Kota, Negeri Sembilan, Mohd Daud Kassim dari Segamat dan Norzrin Mohd Noor dari Seri Menanti, Kuala Pilah - berkahwin dengan empat gadis dari keluarga Haji Suleiman Rahimin dan Hajah Asiah Minhat di Johor Bahru. Ayob berkahwin dengan Zubaidah Suleiman, Ahmad Fadzil berkahwin dengan Rubiyah Suleiman, Norzrin berkahwin dengan Noraniza Suleiman manakala Mohd Daud berkahwin dengan Normaizon Suleiman.
Kami empat sebiras ini memang mesra dan rapat sehingga ke hari ini. Tetapi kami jarang berjumpa, kalau pun ada sesekali, terutama pada musim lebaran. Ada seorang lagi biras. Namanya Zulkarnain atau Zul (panggilan mesra kami) berkahwin dengan Noraleeza Suleiman. Namun Zul tidaklah serapat kami berempat. Ini mungkin kerana usia Zul yang agak jauh juniornya.
Biras Norzrin (duduk) dengan biras Mohd Daud sedang berbincang tentang keadaan Ayob yang sedang berada di Wad ICU.
Yang ingin kongsi pengalaman ialah apabila empat sebiras ini sama-sama bercuti dan tinggal serumah di Kg. Melayu, Majidee Johor Bahru. Kalau kebetulan malam minggu, kami berempat sering menghabiskan waktu sehingga ke pagi dengan bermain trup (atau kad). Kami kumpul mata yang menang akan belanja yang kalah. Kadang-kadang begitu asyiknya bermain kami lupa waktu sehinggalah azan subuh bergema dari Masjid Kg. Melayu. Sebelum itu empat sebiras ini bersama adik-adik ipar lelaki akan mengikuti "ngopi" atau "ngoteh" di bandar, biasanya di Restoran Singgah Selalu. Yang sering mengiringi kami ialah Mohd Sedek dan Mohd Ruskeen. Kadang-kaang turut ikut Mohd. Nazmir
Ini cerita lama yang kadang-kadang mengusik jiwa. Cerita kemesraan itu hanya tinggal kenangan. Kelmarin di ruang menunggu ICU Tingkat 4 Hospital Serdang, kami bertiga tanpa Ayob yang sedang berada di Wad ICU, merenung jauh ke belakang dan ke hadapan. Bagaimanakah nasib tiga sebiras ini setelah melihat keadaan kritikal Ayob. Dan walaupun Ayob berkahwin dengan adik dalam keluarga Hj. Suleiman ini, namun Ayob adalah yang tua daripada segi usia.
Biras Ayob bersama isteri Zubaidah ketika menghadiri majlis pertunangan anak saudara di Bukit Jelutong, Shah Alam, Februari 2012 yang lalu.
Saya melihat kesayuan dalam mata Mohd Daud dan Norzrin. Boleh saya bayangkan perasaan mereka. Tanpa Ayob kami tidak dapat melihat keletah dan tingkah Ayob semasa dengan kami. Jarang sekali beliau marah di hadapan kami dan kami pun demikian pula. Malah kami pula yang sering memanipulasi permainan, misalnya, sehingga menyebabkan Ayob kalah terpaksa dalam permainan. Dan akhirnya beliau sering "ngocok" daun dan membahagi-bahagikan buat kami. Dan seperti biasa permainan Jin-Ramilah yang paling kami gemari. Dan kami sering ketawa melihat cara Ayob memegang dan menyusun kad. Dan kami sentiaasa melihat wajahnya ketika Ayob hampir menang. Seronok sekali!
Hampir jam tujuh kami masih lagi berada di ruang menunggu. Dan mengikut waktu, kami sudah harus beredar meninggalkan rung itu kerana waktu terakhir ziarah ialah 6.30 petang. Hampir 20 orang datang berkunjung petang ini, termasuk anggota keluarga terdekat Ayob dan isterinya Zubaidah. Tiga keluarga datang dari Johor Bahru.
Hanya doa yang dapat kami panjatkan agar Ayob kembali sembuh dan dapat bersama anggota keluarganya semula. Ayob mempunyai dua orang anak yang sudah berkahwin dan tiga cucu. Ketika turun ke ruang lobi, Mohd Daud, Norzrin dan saya berjalan seiiring menuju lif. Mohd Daud dan keluarga akan pulang ke ruahnya di Jalan Jelutong, Shah Alam, Norzrin akan menginap semalam lagi di rumah adiknya di Bangi Perdana sementara saya dan keluarga akan pulang ke Sg. Buloh. Masih dalam kepala kenangan biras berempat, dan akan terus berputar selagi Ayob dalam keadaan kritikal begitu.
No comments:
Post a Comment