23 April 2012

BERKUBURNYA MAJALAH MINGGUAN BERITA MASSA


Ma'rof Saad (Allahyarham) pernah menjadi editor kepada sebuah majalah berita mingguan "era" yang juga tak dapat bertahan. Era ketika itu diterbitkan dan dipimpin Dato' Baharuddin Zainal sebagai Ketua Editornya.


Matinya Sebuah Lagi  Majalah Berita Massa


Oleh A.F.Yassin

 Editor pertama majalah berita mingguan MASSA, Datuk Chamil Wariya, yang ditemui pada hari kematian majalah yang pernah dipimpinnya itu memberikan reaksi pendek, “Baca berita pagi ini. Majalah MASSA dah tutup.” Chamil yang kini bertugas di stesen swasta TV3 tidak melanjutkan reaksinya tentang nasib majalah berita mingguan itu. Tidak pasti sama ada Datuk itu kecewa dengan penutupan majalah berkenaan atau semamangnya beliau merasakan bahawa sudah agak terlewat majalah itu ditutup.

 Chamil memimpin MASSA yang mula mengetuk pintu pasaran sembilan tahun lalu. Chamil barangkali tahu benar suka duka “mendodoi” majalah itu ketika ia masih di peringkat bayi. Harapannya MASSA akan menjadi majalah berita satu-satunya di Malaysia yang menyajikan apa yang diharapkan rakyat kelas menengah, terutama golongan pembuat keputusan (decision makers) di kalangan kaum elit pentadbiran kerajaan dan pengurusan swasta. MASSA diharapkan menjadi majalah dalam bahasa Melayu yang boleh menyaingi majalah TEMPO di Indonesia, Time, Newsweek atau Far Eastern Economic Review yang diterbitkan di Hongkong.

 Difahamkan majalah MASSA merupakan majalah harapan yang akhirnya akan diiktiraf sebagai  Flagship Kumpulan Utusan Melayu satu hari nanti dan ia dilahirkan dengan restu istimewa Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan waktu itu, Tan Sri Kamarul Ariffin (kini Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka). Bagaimanapun harapan Chamil dan Kamarul tidak kesampaian apabila riwayat majalah berakhir 6 Jun 2004 lalu. Dalam ruangan “Bisik-Bisik Mingguan”nya,  Awang Selamat memberi alasan “tidak laku” sehingga  “terpaksa diberhentikan penerbitannya.” Tujuan Awang Selamat mengumumkan “kematian” majalah ini adalah untuk menyedarkan  pembaca  “akan tabiat membaca  di kalangan rakyat Malaysia yang masih tidak banyak berubah.”

 Awang Selamat menjelaskan hanya 6,000 orang membeli MASSA setiap minggu. Ini bererti jumlah yang terjual setiap minggu hanyalah 6,000 naskhah. Dengan demikian purata jualan sebulan ialah 24,000 naskhah. Jumlah ini tidak banyak bezanya dengan majalah bulanan Dewan Masyarakat, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Difahamkan, Dewan Masyarakat baru dua tiga bulan kebelakangan ini meningkat  jualannya menghampir 30,000 naskhah setelah berada pada titik terendah sebanyak 13,000 naskhah  sebelumnya.

 Membandingkan MASSA dengan Dewan Masyarakat mungkin tidak begitu adil kerana Dewan Masyarakat diterbitkan sebulan sekali dan kandungannya tidak seluruhnya analisis berita seperti yang terdapat dalam MASSA. Lagi pula Dewan Masyarakat telah mengalami jatuh bangun dari sudut jualan dan jumlah cetakan. Satu ketika jumlah terjual mencecah 100,000 naskhah. Hal itu berlaku ketika Datuk Johan Jaafar menyandang jawatan Ketua Editornya. Namun “tangan emas” Johan bagaikan tidak berfungsi ketika mempin MASSA sebagai Ketua Pengarangnya satu ketika. Pengalaman editor-editor MASSA seperti Chamil, Ratnawati Jamil, Hassan Mohd Nor atau Baharom Mahusin turut tidak banyak membantu meningkatkan jualan.

 Apa yang terjadi kepada MASSA ini pernah juga dialami oleh majalah berita mingguan yang pertama, iaitu ERA di bawah pimpinan Ketua Editornya, Datuk Baharuddin Zainal dan Editornya Allahyarham Ma’arof Saad. ERA sempat bertahan dua tahun berbanding MASSA sembilan tahun.  ERA mula diterbitkan pada tahun 1985, sementara MASSA 10 tahun kemudian. Sebelum lahirnya ERA dan MASSA, telah ada cadangan untuk menerbitkan majalah berita mingguan pada tahun 1970an.

Ketika itu Datuk M. Noor Azam dan Datuk Usman Awang pernah membayangkan untuk menerbitkan majalah berita ini melalui penubuhan sebuah syarikat penerbitan, tentunya setelah bersara dari DBP. Bagaimanapun bayangan ini hanya tinggal bayangan setelah kajian  secara mendalam dilakukan tentang risiko tinggi menerbitkan majalah berita seumpamanya, terutama risiko hasil pengiklanan dan pulangan. Malah, masalah iklan menjadi dasar pertimbangan kerana tanpa iklan untuk setidak-tidaknya menampung kos penerbitan dan overhed, majalah tidak akan kekal bertahan.

 Dan masalah iklan ini pula yang menjadi faktor utama “mati”nya MASSA seperti yang dimaklumkan Awang Selamat. Menurut Awang, “Pengiklan tidak suka  majalah seperti itu. Apa yang pengiklan suka? Itu  satu cerita lain.” Satu ketika dalam pertengahan tahun 1970an, pemimpin sebuah majalah berita terkemuka yang diterbitkan di Hongkong pernah menjelaskan bahawa jumlah naskhah yang terjual tidak menjadi penentu hidup matinya sesebuah majalah. Yang menentukannya ialah jumlah hasil iklan yang diperolehi. Majalah TEMPO yang terbit di Jakarta dapat bertahan hingga kini (kecuali ia diharamkan buat seketika di zaman pemerintahan order baru pimpinan bekas Presiden Soeharto) kerana hasil iklan yang begitu banyak menghiasi halamannya.

 Menurut satu sumber, TEMPO  dapat bertahan dan jumlah iklan yang diperolehi kerana wujudnya satu peraturan dalam pengurusan iklannya. Difahamkan setiap halaman iklan yang diterbitkan dalam majalah itu menampung kos perbelanjaan untuk menyiarkan sesuatu rencana atau tulisan yang “mengapitnya”. Maka bukan tidak mungkin setiap iklan yang diperoleh bukan sahaja dapat menampung kos demikian pengeluaran tulisan tetapi juga kos overhed dan honorarium bagi setiap tulisan yang tersiar. Soalnya bagi majalah sesebuah majalah berita di negeri ini bagaimana hendak mendapatkan iklan atau meyakinkan syarikat untuk mengiklankan produknya dalam majalah, terutama yang  berbahasa Melayu.

 Seorang pemerhati media berpendapat mati hidupnya majalah berita bergantung kepada bagaimana meyakinkan syarikat, baik swasta mahupun awam. Jika  syarikat atau pengiklan tidak suka  majalah seperti MASSA atau ERA, maka perlu pula dicari sebab mengapa “mereka tidak suka”. Dan jika kita tinjau secara rambang di pasaran tidak semua majalah yang berbahasa Melayu memperoleh keyakinan pengiklan, kecualilah mungkin majalah Wanita atau Mastika. Lain halnya majalah berita (mingguan, dwibulanan atau bulanan) dalam bahasa Inggeris dan bahasa Cina terbitan dalam atau luar negeri. yang banyak menerima tempahan iklan.

 Tabiat membaca yang tidak berubah seperti yang disebut Awang Selamat mungkin satu faktor mengapa majalah tidak laku, tetapi ia tidak pula menjadi  faktor penentu. Belum ada kajian khas tentang hal ini. Maka ada baiknya satu kajian terperinci dilakukan untuk mencari kepastian apakah tabiat membaca yang tidak berubah menjadi penyebab kematian sesebuah majalah berita dan ilmiah atau ada sebab-sebab lain. MASSA hanya sebuah majalah berita. Keilimiahnya tidak dapat disamakan dengan apa yang disajikan, misalnya oleh Dewan Masyarakat. Namun, tidak tahulah jika MASSA sudah tergelincir dari landasan analisi beritanya dan menjadi ilmiah sehingga menyaingi majalah Pemikir  (juga terbitan Kumpulan Utusan Melayu) atau jurnal Dewan Bahasa.

 Satu kajian komparatif, sebagai satu cara post-mortem, untuk menilai secara bandingan dan melihat sejauh mana kebersamaan antara mutu  bahan yang disiarkan majalah berita mingguan berbahasa Melayu dengan bahan majalah berita berbahasa lain, terutama Inggeris.  Hal ini penting untuk mencari jawapan yang tepat mengapa majalah berita berbahasa Melayu tidaki mendapat sambutan orang ramai. Walaupun sekarang ini alasan utama kurangnya sambutan ialah apa yang dikatakan sesetengah golongan pengamal media lebih bersifat emosi dan prejudis terhadap bahasa Melayu itu sendiri. 

Ada sesetengah pengamal media, misalnya menilai kematian MASSA dapat dikaitkan dengan faktor semangat cintakan bahasa Melayu. Dia membandingkan sambutan orang ramai terhadap majalah berita bukan bahasa Melayu seperti Time, Newsweek, Asia Inc., atau Malaysian Business. Dia juga membandingkan jumlah pengiklan dalam majalah-majalah ini. Lebih penting dia membandingkan golongan pembeli dan pembaca majalah-majalah ini dengan majalah berita berbahasa Melayu, persisnya MASSA. Katanya, “Tidak pernah saya dengar penerbit majalah-majalah berkenaan berkata  pengiklan tidak suka kepada majalah-majalah seumpama itu.”

 Mesej yang ingin disampaikan pemerhati ini ialah pengiklan masih suka kepada majalah berita. Namun majalah berita berbahasa Melayu perlu meyakinkan pengiklan agar kandungan majalah menepati citarasa pembaca, terutama pembuat keputusan kerajaan dan golongan menengah serta dapat dimanfaatkan oleh mereka. Pimpinan majalah juga perlu mengkaji sejauh mana  bahan kandungan majalah berbahasa Melayu ini dapat mempengaruhi  golongan ini secara psikologis. Bagaimana pula  sikap golongan ini terhadap bahan majalah berita berbahasa Melayu. Mungkin juga  ada yang akan berkata, secara praktisnya, analisis berita dan pendapat yang terkandung dalam dalam majalah berbahasa Melayu belum setanding dengan anlisis dalam bahasa Inggeris.

 Dengan lain perkataan, golongan ini masih menganggap apa sahaja yang disajikan oleh majalah-majalah berita dalam bahasa selain daripada bahasa Melayu mempunyai nilai yang lebih tinggi, patut dibaca dan perlu.  Jika inilah  sikap mereka, maka tidak akan ada sebarang majalah berita dalam bahasa Melayu yang dapat  bertahan. Dan seperti kata pemerhati media itu, “Tempoh sembilan tahun bertahan bagi MASSA sudah dianggap cukup baik.”

Bagaimanapun, ada pula yang berpendapat penerbit MASSA agak terburu-buru menutup majalah berkenaan. Menurut mereka, sepatutnya penerbit diberikan opsyen untuk mengubah tempoh penerbitan daripada seminggu kepada sebulan atau dua minggu sekali. Sehingga dengan demikian kandungannya juga turut berubah berdasarkan kekerapan penerbitan. Balasungkawa buat sebuah majalah yang hanya mampu menemui pembacanya selama sembilan tahun.



         

1 comment:

  1. Majalah Massa boleh dikirkan untuk diterbitkan semula, sebulan sekali.

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

What Other People Say...


"A.F.Yassin dalam cerpennya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).