23 May 2011

ORANG DAIK ITU ORANG MELAYU DAN MENYANYI LAGU MELAYU

  Gunung Daik yang terletk di Pulau Lingga, di Kepulauan Riau

 Kenangan masih mengusik jiwa. Walaupun telah hampir 12 tahun ( Julai 1999) kami mula menjejakkan kaki di pulau yang terkenal dengn jolokan Pulau Daik Lingga, nun jauh di selatan Pulau Bintan, nmun terasa baru semalam kami melangkahkan kaki menyelusuri pulau penuh bersejarah itu. Yang paling mendektkan kmi ke pulau itu ialah pantun orang tua-tua yang berbunyi “Pulau Pandan jauh ke tengah/Gunung Daik bercabang tiga/Hancur badan di kandung tanah/Budi yang baik dikenang juga.  

Demikianlah, sehari sebelum menjejakkan kaki di Pulau Daik Lingga, ramai juga di kalangan kami, peserta Perkampungan Penulis Melayu Serumpuan dari Malaysia masih tertanya-tanya. Bagaimanakah nanti sambutan masyarakat Daik terhadap mereka? Bagaimanakah bahasa mereka? Apakah masyarakat Daik ramah dan mesra? Saya juga turut tertanya-tanya sebelum melelapkan mata pada malam sebelum belayar ke Daik dari Tanjung Pinang. Bilik hotel Tanjung Pinang yang dingin terasa panas kerana memikirkan apa akan berlaku di Daik esoknya. Suara Hj Saleh Daud yang menyatakan bersiap-siaplah  ke Daik dan kita mesti tahan lasak ketika saya mendaftar sebagai peserta dahulu, masih belum dapat saya lupakan.

Setibanya di Daik, kami dipersilakan menaiki motor ke tempat perasmian perkampungan dan melalui rimbunan rumbia dan hutan bakau di kiri kanan jalan, hati terasa sayu dan hiba. Maklum bau sagu dari rumbia itu mengingatkan saya waktu kecil-kecil dahulu di kampung. Dan sepanjang jalan sejauh lima kilometer ingatan waktu kecil melayang datang dan pergi.

Namun itu hanya sementara kerana sesampai sahaja di rumah camat, drs Yahaya Arif, bau lauk-pauk seperti membawa saya ke rumah ibu di kampung. Serta merta kerinduan masakan ibu menjelma dan tidak hairanlah ramai peserta yang menghadap hidangan seperti berada di rumah sendiri. Tidak pasti apakah mereka begitu lapar kerana tak makan ketika belayar dari Tanjung Pinang sejak pagi lagi, atau aroma lauk-pauk yang dihidangkan saling tak tumpah seperti aroma lauk-pauk di Malaysia sahaja.

Demikianlah sikap ragu sejak semalam hilang begitu sahaja setelah menjamah makanan dan menerima kehangatan sambutan panitia perkampungan serta keramahan masyarakatnya. Ketika saya diperkenalkan kepada keluarga angkat di Jalan Mesjid, kira-kira satu kilometer dari pusat perkampungan, saya seperti berada di sebuah kampung di Johor atau Melaka. Sebabnya, ketua keluarga, Puan Salamah atau nama panggilan mesranya Andak Lamah bertutur dalam loghat Johor dan tidak sepatahpun saya dengar dia berbahasa Indonesia. Dalam perbualan awal Andak Lamah, 55 tahun, menjelaskan bahawa dia berasa gentar untuk menerima tamu dari Malaysia. Dalam hati dia tertanya-tanya, apakah tamunya nanti faham tutur katanya. Maklum, katanya dia tidak pernah menerima tamu sebelum ini. Dan dia tidak pernah tahu adanya orang lain di luar Daik yang bertutur sama bahasa dan sama loghat dengannya. Sukar juga dia hendak meyakinkan dirinya bahawa tamunya nanti itu orang Melayu dan bercakap Melayu.

Apabila ditanya macam mana dia terpilih untuk menjadi keluarga angkat peserta perkampungan. Dia tidak tahu. Katanya satu hari pihak kelurahan datang menemuinya menawarkan peluang untuk menjadi keluarga angkat orang asing. Dia kata rumahnya buruk, tidak cukup perkakas. Bilik tidur kecil, bilik air di luar rumah dan dia tidak punya banyak wang untuk menanggung tamunya. Pihak kelurahan menenangkannya dan rumahnya diperbaiki sana sini, terutama bilik airnya. Andak Lamah tidak usah bimbang bahawa tamunya nanti cuma berada di rumah waktu malam kerana siangnya banyak acara yang perlu diikuti. Akhirnya Andak Lamah bersetuju menerima tamu. Dan saya suami isteri menjadi tamunya selama tiga hari.

Ternyata tinggal di rumah Andak Lamah amat menyenangkan. Malah ada ketikanya saya terdorong untuk mengakui bahawa rumahnya itu mirip rumah orang tua saya di kampung pada tahun 1950an dahulu. Luar serambinya berdinding separuh, bahagian dapurnya beratap rumbia dan tangganya diperbuat daripada kayu hutan. Yang paling menyeronokkan ialah di belakang rumah, ada dusun durian (tapi bukan miliknya), dan berdekatan dengan bilik air ada dua tiga pokok pinang.

Andak Lamah terperanjat besar apabila kami bercakap seloghat dengannya. "Mana belajar cakap kita?" tanyanya.
"Kami tak belajar. Memang cakap kami begitu sejak kecil," kata isteri saya.
Akhirnya, sikap malu dan segan silunya hilang dan Andak Lamah seperti berada dengan sanak-saudaranya jua.
"Anak saya lima orang. Dua di Batam dan Tanjung Pinang. Seorang dah kahwin dengan guru. Ada dua lagi di rumah. Yang tua bawa ojek," katanya. Ojek yang dimaksudkan Andak Lamah ialah motosikal yang digunakan sebagai teksi membawa penumpang dari satu tempat ke satu tempat di Pulau Daik Lingga. Kereta memang kurang, malah hampir tak ada. Yang ada cuma beberapa buah lori dan van. Sana sini orang pakai motosikal atau basikal.

Daik hanyalah sebuah nama yang masyhur dalam sejarah. Suatu waktu ia adalah pusat pemerintahan Johor-Pahang-Riau-Lingga, setelah Melaka dijajah Portugis, Belanda dan Inggeris. Daik menjadi bunda Tanah Melayu selepasa itu kerana segala kekuasaan Melayu, baik politik mahupun ekonomi berpusat di Daik. Sultan Mahmud Riayat Shah yang membuka pusat pemerintahan Melayu di Daik setelah berundur dari Hulu Riau, bimbangkan ancaman Belanda. Ketika berundur ke Daik, Sultan membawa bersamanya pengikut-pengikut dalam 200 buah perahu layar. Menurut Raja Hamzah Yunus, dari keturunan Raja Haji Fisabilillah, ahli sejarah di Pulau Penyengat setiap perahu layar boleh memuat 40 orang. Maka jumlah pengikut sultan waktu itu ialah 8000 orang.

Hari ini penduduk Daik Lingga berjumlah kira-kira 23,000 orang,  kebanyakannya adalah dari keturunan para pengikut Sultan Mahmud. Cuma kalau dahulu Daik Lingga adalah pusat pemerintahan empayar besar Melayu, merangkumi empat wilayah besar Johor, Pahang, Riau dan Lingga, tetapi hari ini ia hanya sebuah kacamatan (setaraf dengan mukim di Malaysia) dengan diketuai oleh seorang camat (setaraf penghulu) saja. Sementara Daik sendiri cuma sebuah kelurahan, setaraf sebuah kampung di Malaysia.

Raja Hamzah yang telah beberapa kali datang ke Daik berkata Daik Lingga hanya terkenal dengan makam dan tinggalan tapak istana. Kalaupun ada yang ingin membangunkan Daik Lingga maka makam dan bekas istana ini mempunyai potensi untuk tarikan pariwisata (pelancongan). Kegiatan ekonomi cuma pembalakan dan ada sebuah kilang sagu yang didirikan sejaka pemerintahan sultan lagi.
"Dulu pun ada usaha untuk menggantikan tanaman padi dengan rumbia, kerana memang tidak menguntungkan kalau menanam padi. Maka diambillah beberapa baka rumbia dari Sarawak untuk ditanam di sini. Hari ini di mana-mana sahaja ada pokok rumbia. Sagunya boleh dimakan dan Daik terkenal dengan lempeng sagunya," kata Raja Hamzah.

Di Daik terdapat tiga tempat untuk mendarat. Pertama orang boleh mendarat melalui Sungai Daik, tapi waktunya menunggu air pasang. Kedua pendaratan boleh dibuat melalui Sungai Resun dari Pancur-Pekaka. Dan ketiga melalui pelabuhan Tanjungbutun, di sebelah barat pulau itu.

Seorang peserta tidak tanggung-tanggung menyatakan rasa seronoknya tinggal di Daik. Tetapi ada pula temannya menambah, "Kalau duduk empat lima hari memang seronok, tetapi kalau lebih dari itu, mula timbul bosan." Menurutnya waktu berlalu begitu perlahan di pulau itu, apatah lagi keramahan masyarakatnya akhirnya membuatkan orang baru datang  menjadi sedikit "boring".
"Apakan tidaknya, setiap kali kita berselisih jalan, kita kena beri hormat dengan senyum, Sebab mereka hormat  dan senyum kepada kita dahulu. Kemudian kena jawab soalan mereka yang sering bertanya apa khabar encik?" kata teman itu.

Yang minat sejarah, terutama sejarah empayar kesultanan Melayu, mereka punya agenda paling sibuk. Sewaktu berkunjung ke setiap makam dan tempat sejarah lainnya, yang meminati sejarah ini tidak habis-habis menulis dalam buku catatan. Ketika Raja Hamzah menjelaskan sejarah sesuatu makam atau tapak istana, mereka begitu tekun mendengar dengan tangan mencoret sesuatu dalam buku catatan.
"Sepatutnya jabatan sejarah di universiti, terutama Universiti Malaya dan UKM patut menghantar mahasiswanya membuat kajian dan orientasi di sini," kata seorang peserta. Barangkali kerana Daik Lingga kaya dengan sejarah maka peserta ini mengemukakan cadangannya itu.
"Zainal Borhan boleh jadi pemandu dan tunjuk jalan," kata yang lain. "Mana tempat Zainal tak pergi di Riau ini. Di darat, di laut dan mana pulau yang tidak dikunjunginya."

Namun dalam kunjungan ke Daik ini saya perhatikan Zainal tidak semesra seperti biasa. Apakah ada sesuatu yang difikirkannya. Atau dia sedang bergelut dengan persoalan-persoalan perkampungan yang barangkali ada yang kurang beres. Saya melihat air mukanya. Dia seperti orang yang sedang mencari sesuatu penyelesaian kepada sesuatu masalah yang sedang dihadapi. Zainal. Jumlah peserta melebihi 70 orang dan dia telah berada di Riau dua hari sebelum rombongan sampai. Bila ditanya dia menjawab dengan ketawa," Tak ada. Ah Engkau ini, ada-ada saja. Bukan kau tak tahu  aku. Beginilah cara aku bekerja." Dan apabila rombongan meninggalkan Tanjung Pinang pulang ke Johor Bahru Jumaat lalu, Zainal masih tinggal di pelabuhan itu. Saya teringat gurauannya suatu ketika,"Tanjung Pinang ini kan kampung aku."

Ketika feri meninggalkan Tanjung Pinang menuju ke perairan Malaysia seorang peserta wanita Rosnah Jalil dari Johor Bahru berdiri di belakang feri sambil merenung pelabuhan Tanjung Pinang yang semakin menjauh. Kurang pasti apa yang sedang dia fikirkan. Barangkali dia dedang melihat dengan mata hatinya, pelayaran orang-orang dahulu yang berulang-alik dari Johor ke Bentan. Atau mungkin juga dia membayangkan Laksamana Hang Nadim yang perkasa berulang alik dari Batam ke Bentan. Hang Nadim adalah laksamana yang berpangkalan di Batam ketika berperang menentang  Portugis antara tahun 1511 hingga 1528. Hang Nadim meninggal dan dimakamkan di Pulau Bentan. Atau Rosnah seperti halnya saya sedang memikirkan kisah dan teladan yang dapat dimanfaatkan ketika bersama-sama dengan keluarga angkat di Daik, yang juga orang Melayu. Lalu saya teringatkan Andak Lamah, yang membahasakan dirinya kakak yang baru semalam kami tinggalkan.  

Secara geografis, Gunung Daik adalah gunung yang terletak di Pulau Lingga, Kabupaten Lingga, Provinsi Kepulauan Riau. Gunung ini adalah gunung tertinggi di  Kepulauan Riau. Gunung Daik memiliki tiga puncak, iitu Gunung Daik,Gunung Pejantan danGunung Cindai Menangis. Tinggi Gunung Daik ialah 1,165 meter dari paras laut.

 

2 comments:

  1. boleh kah gunong daik di daki ...ada kah laluan ke kemuncak gunong daik.... berapa hari boleh tiba ke puncak gunong daik...saya berhasrat mendaki gunong daik...insyallah....

    ReplyDelete
  2. saya berhasrat mendaki gunong Daik..boleh kah gunong Daik di daki....adakah laluan ke puncak gunong Daik...berapa hari kah paling lewat boleh sampai ke puncak gunong daik...adakah Pemandu pendaki berbayar dan berapakah bayaran nya seorang..sekian terima kaseh..

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PROFIL

My photo
Rawang, Selangor Darul Ehsan, Malaysia

What Other People Say...


"A.F.Yassin dalam cerpennya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).