14 May 2011

ALLAHYARHAM DR. OTHMAN PUTEH: NAMANYA TERPHAT DI WAJAH SEJARAH

Allahyarham Dr. Othman Puteh

Akhbar, Utusan Melayu Mingguan, keluaran 25 Oktober 2003 telah menyiarkan artikel ini itu dengan suntingan yang boleh mengelirukan maksud dan menghilangkan kontinuitinya. Untuk mempastikan pengunjung web ini tidak terganggu dalam bacaan, maka kami siarkan sepenuhnya artikel asalnya - A.F.Yassin

CATATAN A.F.YASSIN
Kini Othman Puteh Sudah Tiada!

Dr. Othman Puteh, 60 tahun kurang lebih dua bulan,  tidak sempat menyambut Ramadhan yang datang seminggu sahaja lagi. Othman dijemput pulang menemui Sang Penciptanya sehari setelah menyelesaikan tugasnya berbincang dan berpuisi di rumah Dato’ Ismail Abbas di Putatan, sabah.  Bagaikan cara kebetulan di majlis perbincangan dan baca puisi itu, Othman mendeklamasikan sebuah sajak, yang menurut Ustazah Jalidar Abd. Rahman dan Jaafar Ungkil tidak pernah dilakukannya. Dan paling kebetulan perbincangan terfokus kepada “Selamat Tinggal Sabah” karya Raymond Majmumah.

Pernah juga apabila Ramadhan menjelang tiba, Othman bertanya sama ada saya akan mengadakan majlis buka puasa di rumah. Saya yakin Othman mahu meneruskan tradisi majlis berbuka puasa rumah ke rumah di kalangan kawan-kawan rapatnya. Tidak sering juga Othman memaklumkan bahawa beliau dan keluarga akan menghabiskan 10 hari Ramadhan munajat di Makah dan Madinah. Lebih-lebih lagi setahun dua kebelakangan ini Othman punya sebab ke Tanah Suci. “Usaha kami terakhir. Harap-harap Hizairi akan pulang,” katanya.

Ternyata semua itu tidak akan tertunai lagi. Othman terlebih dahulu kembali ke Rahmatullah Ahad minggu lalu setelah terjatuh di kamar mandi dan dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu. Beliau gagal  diselamatkan.

Othman berada dalam keadaan “segar bugar” ketika ditemui beberapa hari sebelum ke Sabah. Saya diminta datang ke rumahnya di Bandar Baru Bangi kerana beliau mahu menyerahkan wang RM30.00 sebagai bayaran membeli buku “Sembang Sastera Bersama Orang Persuratan” terbitan tahun 1998. Sehari sebelumnya Othman menelfon saya, untuk membeli berkenaan. Ada beberapa naskhah yang masih tersimpan. Tanya Othman, “Berapa harganya? Aku nak beli bukan nak percuma.” Setelah berbual beberapa ketika Othman bertanya lagi, “Macam mana, kau nak datang ke rumah aku atau aku bayar di Rumah Gapena kemudian?”

“Aku datang ke Bangi. Lama tak jumpa.” Kira-kira 11.00 pagi kami bertemu tapi cuma di get rumahnya. Othman hanya memakai kain pelikat dan tidak berbaju. Cucunya, yang cuma satu itu dan masih berusia kira-kira dua tahun mengekornya di belakang. “Dia ini manja sungguh,” kata Othman sambil menyerahkan duit RM30.00 kepada saya. “Buku yang dulunya tidak boleh pakai lagi, basah.”
“Banjir ke?”
“Bocor. Kena air hujan. Tak masuk dulu?” pelawanya.
“Saya rasa tak payahlah. Kau pun  sedang sibuk dengan cucu. Balik dari Sabah nanti, kita sembang panjang di Rumah Gapena atau makan roti canai di La Rizz. Bawalah Usof (Mohd Nor) atau Rahman Shaari. Lama tak jumpa mereka.”

Itulah bualan kami terakhir. Apabila Zulkhairi dari Gapena memaklumkan berita duka ini melalui telefon, Ahad, 3.30 petang, saya hampir tidak percaya. Makluman Zulkhairi mengesahkan berita sebelumnya yang disampaikan Jalil Rahman, mantan pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka cawangan Sarawak. Jalil pula mendapat berita dari Zaiton Abu Samah, editor Dewan Pelajar. Saya menghubungi Kamaluddin Lela dari Utusan Melayu yang kemudian menghubungi Wahba.

Ratusan saudara mara, sahabat taulan dan penulis tanah air bergegas menziarahi jenazah buat kali terakhir di kediaman Othman di Bandar Baru Bangi. Dari Kulim kelihatan Drs Anuar Ahmad, dari Terengganu datang Shariff Putera, dari Johor ada Zam Ismail. Dari Sabah datang Jalidar Rahman dan Jaafar Ungkil. Dari Singapura, Jamal Tukimin telefon yang beliau akan sampai sebelum zohor bersama-sama Masuri SN. Saya melihat wajah-wajah duka antaranya wajah Dharmawijaya, Rahman Shaari, Abdul Ahmad , Mohd. Yusof Md. Nor dan Abd. Rahim Marshidi. Wajah-wajah suram itu mengiringi perjalanan  terakir Othman untuk disemadikan di Tanah Perkuburan Sungai Tangkas. Mereka berempat adalah dia antara yang paling rapat dengan Othman, dua dekad terakhir ini.

Seorang lagi kawan rapat Othman, iaitu  Dato’ Prof. Dr. Hashim Awang  masih berada di Brunei hanya dapat merakamkan perasaan dukanya melalui e-mel yang dikirimkan kepada saya. Antara lain Hashim menulis, “Saya sungguh-sungguh merasa terkejut dan kesedihan mendalam atas berita kematian saudara (Othman) yang sama-sama kita sayangi. Moga-moga rohnya sentiasa  berada dalam keberkatan dan tergolong sebagai ahli syurga.

“Pemergiannya adalah kehilangan besar bukan  sahaja dilihat sebagai seorang sahabat, tetapi juga kehilangan seorang intelek dan pengarang Melayu...Saya amat merasakan kehilangannya, dan juga merasakan giliran saya menjadi semakin hampir. Ini adalah peringatan untuk kita bersedia secukupnya menghadapi Tuhan apabila tiba masanya nanti.”

E-mel Hashim menggambarkan kegiatan Othman dalam dunia persuratan. Othman disifatkan sebagai “darling” penerbit, pelajar dan penulis generasi muda. Malah Othman dianggap “godfather” kepada penulis muda yang bergabung dalam Sekretariat Penulis Muda Gapena (SPMG). Sumbangannya untuk memasyarakatkan sastera di kalangan penerbit, pelajar dan penulis muda tiada batasnya. Othman menjelajah ke seluruh pelusuk tanah air, dari Perlis hingga ke Sabah, memenuhi jemputan pelbagai pihak untuk berceramah, berbengkel dan berbincang tentang sastera. Sebagai bekas pendidik di UKM dan kemudian karyawan tamu di Universiti Malaya, Othman menganggap kegiatannya itu sebagai satu tanggungjawab moral kerana hidup matinya adalah dalam dunia yang hanya dia datu, iaitu kesusasteraan.

Tidak perlulah diperkatakan berapa jumlah karya yang telah dihasilkan dalam bentuk buku. Seperti pernah Othman berkata, “Aku tidak tahu berapa banyak buku aku yang telah diterbitkan, baik novel, kumpul cerpen atau esei. Tapi anehnya aku tahu cerpen dan novel siapa yang telah diterbitkan sejak sebelum perang lagi.”

Dari Penerbit Fajar Bakti datang ziarah sekumpulan editor dan pegawai pemasarannya. Begitu juga halnya pegawai dan editor dari Dewan Bahasa dan Pustaka. Puluhan jumlahnya yang datang berziarah. Norazah Aziz , editor kanan Utusan Publications dan Distributors (UP&D) datang dengan kerusi roda. Azah tidak akan dapat melupakan saat-saat manis bersama Othman dan ahli-ahli panel Hadiah Sastera Kumpulan Utusan dalam mesyuarat akhir pemilihan di berbagai-berbagai tempat. Othman merupakan pengerusi panel yang tegas tetapi menyenangkan. Tidak cerewet dan menggunakan pendekatan konensus ketika membuat pemilihan karya. Azah kebingungan dan kesal kerana karya-karya Othman yang sedang dalam proses penerbitan tidak akan dapat dilihat Othman

Demikianlah. Othman kini hanya tinggal kenangan. Kegigihan dan kesibukannya memenuhi permintaan pelbagai pihak dan menyiapkan kertas perbincangan dan karya baru bagaikan masa-masa berlalu melebih 24 jam sehari. Setiap kali ditanya bila beliau tidur, makan dan bermain dengan cucu, Othman hanya ketawa dengan menjawab pendek, “Ada. Tidur juga. Makan! Mana-mana pun makan.” Lalu dia membuka diarinya. “Kalau nak makan roti canai dan minum teh tarik, petang ini tak bolehlah. Esok sahajalah. Petang ini aku ada di Rumah Gapena.”

 Sebagai Bendahari Gapena memang sepatutnya Othman berada di Rumah gapena untuk menjalani tugas-tugas yang melibatkan kewangan. Bagaimanapun, belum tentu Othman berada di Rumah Gapena petang itu. Mungkin sahaja beliau di Dewan Bahasa berbincang sesuatu dengan editor, sama ada di bahagian majalah atau bahagian buku. Atau beliau dibawa waktu berlalu di kedai buku DBP. DaripadaNya kita datang dan kepadaNya kita kembali!

( Othman Puteh dilahirkan pada 5 Januari 1944 di Kampung Kuala, Kuala Sungai Baru, Melaka.
Othman Puteh pernah mendapat pendidikan di MPSI, Tanjung Malim 1963 - 1964. Selepas itu, beliau telah melanjutkan pendidikannya dalam bidang bahasa di Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia.Beliau aktif menulis dan sering menyumbang dalam majalah bulanan seperti Dewan Pelajar selain mengarang antologi dan novel. Allahyarham Othman Puteh telah pulang ke rahmatullah pada tanggal 19 Oktober 2003).


2 comments:

  1. Alfatiha buat Allahyarham Othman Puteh. Walaupun saya mengenali beliau sebagai penulis terlebih dahulu tetapi kemudian saya mengenali beliau sebagai 'guru' saya kerana beliau adalah pensyarah saya bagi kursus Penulisan Kreatif ketika saya melanjutkan pelajaran M.A di UKM dahulu.Saya masih ingat pertemuan dalam biliknya bagi membincngkan kertas tugasan.Beliau tidak banyak kerenah dengan saya. Akhirnya beliau memberi markah gred (A-) kepada saya dan sering memberi galakan kepada saya serta memberi yakin positif bahawa saya akan boleh menapak lebih jauh dalam akademik. Alhamdulillah.Ketika saya mendapat khabar beliau meninggal dunia, sewal pagi saya telah menanti jenazah di rumahnya di Bandar Baru Bangi. Syukur, saya dapat menyambut dan mengusung jenazahnya masuk ke dalam rumah sebaik sampai.ltulah kenangan dan penghormatan terakhir yang dapat saya lakukan kepada Allahyarham yang lemah-lembut ini.Semoga Allah cucuri rahmat ke atas rohnya. Amin.Al-Fatiha. (Dr Rajiee Hadi).

    ReplyDelete
  2. Alfatiha! Setiap kali saya melewati makamnya di Sungai Tangkas, Bandar Baru Bangi, saya sebak seketika, walaupun Allahyarham sudah lama pergi. Kami terlalu rapat. Kami (Allahyarham, Rahman Shaari, Mod. Yusof Mohd Nor dan saya)paling sedikit seminggu sekli akan ngobrol santai di Restoran Lariz berhmpiran Maktab Pergurun Islam di jalan menuju Sungai Merab, sambil minum pagi atau minum petang. Kadang-kadang turut serta Dr. Siti Zainon Ismail. Masih saya ingat kenangan manis bersama-sama ke UMS Kota Kinabalu setiap dua minggu memberi kuliah kepada mahasiswa di sana. Kami terbang bersama dan nginp di hotel yang sama, berdepan dengan laut. Namun kita jarang dapat bertemu setelah kami check-in di hotel. Allahyarham sibuk dengan tanggungjawabnya sebgai tenaga pengjar dan saya sibuk dengan tanggungjawab saya. Allahyarham memberi kuliah sastera dan saya untuk kuliah komunikasi. Kalau pun sempat bertemu ketika kami di kampus, kami berbual sementara dengan Dr. Manaf Saad, Wiramanja atau dengan Inon Shaharuddin. Kini, itu semua hanya tinggal kenangan. Dan tak lupa sesekali saya mampir ke makamnya untuk "bertemu sapa" dan menghadiahkan doa.Allhyaham merupakan penulis tetap kami yang setia ketika saya bertugas sebagai Pengarah Penerbitan di Fajar Bakti pada tahun 1983 sehingga tahun 1998. Terima kasih Tiub Bocor atas ingatan . Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Amin ya Rabul Alamin!

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

What Other People Say...


"A.F.Yassin dalam cerpennya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).