21 November 2011

SETELAH ENAM DEKAD MERANTAU MERAJUK HATI...


Abdullah (kanan) bersama Haji Hamdan Yatim (tengah) dan Bahari di rumah Hamdan di Taman Fajar Harapan Bongek 8 Nov. 2011 yang lalu.

SETELAH LEBIH ENAM DEKAD TINGGALKAN TANAH DATAR
Nama ini betul-betul baru. Belum pernah saya dengar nama ini sejak saya mengenal asam garam kehidupan lebih enam dekad yang lalu. Tiba-tiba saya terlihat fotonya dalam facebook. Fikir saya, “Macam kenal, tapi siapa ya?” Setelah bebarapa kali berkomunikasi melalui media social itu, “foto” itu memaklumkan bahawa “saya abang Bahari Abd. Rahman. Nama saya Abdullah dan berusia 70 tahun.”

Pertama kali saya dengar Bahari Abd. Rahman, suami Rosiah (kini Datuk) mempunyai abang. Saya kagum melihat foto yang dipamerkan dalam Facebook. Saling tak tumpah wajah Bahari yang saya kenal sejak bersama sebagai murid di Sekolah Tunku Besar Tampin tahun 1950an dahulu.
Itulah asal mula saya mengenali Abdullah, seorang “warih” dari suku Tanah Datar, Gadong yang mengikut ceritanya merantau ke Kuala Lumpur setelah dikatakan merajuk akibat tertekan dengan cakap-cakap kurang positif orang kampong terhadap dirinya. Beliau meninggalkan kampung setelah tamat belajar setakat Darjah VII di Sekolah Melayu Kota (terletak di Kampong Perah) sekitar tahun 1955.Dengan berbekalkan pendidikan di tahap itu dan dilengkapi asas-asas ilmu agama yang dipelajarinya di sekolah Agama Ulu Gadong (kini dinamakan Sekolah Menengah Agama Haji Mohd. Yatim, Ulu Gadong), Abdullah meneruskan pelajaran secara sendiri-sendiri sehingga Berjaya memasuki Institiut Pertanian Serdang.
Rumah tradisi Abdullah di Tanah Datar, Gadong
Beliau akhirnya memajukan bidang kerjayanya dalam bidang pertanian dan berkhidmat sebagai kakitangan kerajaan. Menurutnya mana negeri yang beliau tidak memberikan khidmatnya. Beliau cukup banyak pengalaman bagaikan beliau sendiri faham asam garam sebagai seorang anak tani, lahir dan membesar di kampung. Barangkali beliau amat
memahami bahawa ayahnya mungkin
seorang penoreh getah, manakal ibunya seorang pesawah. Apatah lagi apabila beliau adalah ahli waris yang taat mengamalkan sistem adat Perpatih. Anak suku Tanah Datar ini pernah menyemenda ke suku Biduanda Gadong.
Beliau aktif dalam kerja-kerja sosial dan kemasyarakatan. Beliau tidak mengasingkan diri dalam memahami politik tanah air. Malah beliau memperkasa dirinya menjadi seorang yang pintar berkomunikasi dengan penduduk setempat, terutama di tempat beliau tinggal sekarang, iaitu di Taman Sri Rampai, Setapak Jaya. Begitu akrabnya beliau dengan anggota masyarakat setempat beliau terus dipilih menjadi pemimpin masyarakat (opinion leader) yang saya anggap amat disenangi. Beliau cepat mesra, mesra tegur sapanya malah ketawanya telah menjadi ciri khas perawakannya. Saya sendiri baru menganalinya kira-kira sebulan yang lalu tetapi kemesraan bersamanya seolah-olah saya telah mengenalinya sejak mula mengenal asam garam kehidupan. Dan ketika beliau menyebut nama saya, seolah-olah saya merasa saya seperti mempunyai seorang abang kandung yang sejak 50 tahun lalu hilang “entah ke mana.”
Latiff Rahman menunjukkan kolam ikan lele kepada Abdullah dan Bahari di Lubok China.
Pada 8 November 2011 yang lalu, saya, Abdullah dan adiknya Bahari behalal-bihalal ke kampung untuk menemui beberapa orang kampong yang telah lama tidak dikunjungi Abdullah. Maklum sejak merantau pada tahun 1955. Nama yang masih meniti di bibir Abdullah ialah Haji Hamdan Yatim, anak mantan Kadi Rembau, Haji Mohd. Yatim Haji Zainal, Abd. Latiff Rahman yang sesuku dengan Abdullah dan seorang dua yang namanya masih meniti di bibirnya. Sepanjang hari pada Selasa itu kami mengadakan kunjungan ke rumah mereka.
Di Bongek Abdullah menemui Haji Hamdan, kini bertugas sebagai Imam di Masjid Bongek, Chengkau. Kalau tak dilerai pertemuan dua kawan lama ini barangkali Abdullah ‘kena tinggal bermalam di rumah Hamdan.” Kemudian kami mengunjungi Latiff Rahman di Lubok China di Taman Berembang Jaya. Latiff sempat memperkenalkan kolam mandi mini dan Homestay Villanya. Kami dijamu dengan masakan khas “gulai lomak cilia api”. Sebelum mengunjungi ibu saya, Minah Wahab dan bekas rakan sekerja, Haji Majid dan isteri, Kak Chik, kami bertiga sempat mengunjungi replica Istana Raja Melewar di Istana Raja.
Mantan teman sekerja Abdul Majid diapit Abdullah (kiri) dan Bahari di rumah Majid di Gadong, 8 Nov. 2011
Dan biasanya, Abdullah dan Bahari akan bernostalgia, malah tafakur beberapa minit di “porak”  rumah ibunya di Kampong Ulu Gadong, tetapi masih dalam suku Tanah Datar. Sebuah rumah tradisi yang mungkin telah berusia satu abad masih utuh. Binaan dan struktur rumah masih kukuh.Rumah yang terletak betul-betul di belakang Sekolah Menengah Agama Haji Mohd Yatim Ulu Gadong. Ketika di rumah Minah Wahab, perbualan berlangsung hamper satu jam. Abdullah banyak bercerita tentang kisah beliau masih kanak-kanak dan beliau dianggap nakal. Abdullah dan Bahari dijamu dengan lemang dan rending kerana kebetulan sudah masuk waktu minum petang. Sebelum meninggalkan kampong Abdullah menguji ingatan teman sekerjanya, Majid yang tinggal sejiran dengan rumah ibu saya, Minah.
Ternyata Majid tidak mengenali Abdullah sehingga Majid mendengar ketawanya. “Dollah ni. Apa buat kat sini?” dan walaupun perbualan ringkas tapi mereka saling berpelukan dan bercerita kisah lama ketika bertugas di Kuala Lumpur. “kita akan jumpa lagi, Insya Allah,” kata Abdullah. Dan dari Majid Abdullah dapat tahu bahawa Majid suami isteri baru sahaja “pulang kampong” beberapa tahun kebelekangan ini.

Begitulah perjalanan Abdullah dengan ditemani adiknya Bahari dan saya menelusuri sepanjang jalan kenangan  sehari suntuk hanya untuk menemui dua tiga orang rakan lamanya yang tidak pernah ditemuinya sejak tahun 1955.  Seorang budak kampong yang merajuk hati  yang akhirnya menjadi seorang yang dianggap popular di kalangan komunitinya di tempat barunya di Kuala Lumpur.
Itulah Haji Abdullah Abd. Rahman, yang kini bertugas sebagai Pengerusi  masjid Taman Sri Rampai, Setapak Jaya. Namun beliau tetap sederhana dalam penampilan, cepat mesra dan mudah beragul.  Beliau turut memiliki blognya sendiri yang beliau namakan Cahaya Andang http://www.cahayaandang.blogspot.com


2 comments:

  1. Tuan,

    Saya sebenarnya tertunggu catatan terbaru tuan.

    Catatan Setelah Enam Dekad Merantau Merajuk Hati...ini bukan sahaja dinanti tetapi juga amat dekat dengan persekitaran saya membesar.

    ReplyDelete
  2. Setelah dua hari berada di Kampung Gadong dan Kg Tanah Datar, dua kampung kenbar di kaki Gunung datuk Rembau, hati ini terpanggil untuk bercerita tentang masa dulu-dulu sewaktu burung taktibau melambung tinggi dan keluang saban petang terbag pulang ke sarang dari barat menuju timur untuk barangkali hingga di sarang masing-masing di sepanjang banjaran titiwangsa. Di situlah sawah padi menguning dan dan pokok-pokok getah menunggu pagi hari untuk ditoreh para penghuni kampung. alangkah gembiranya ketika itu anak-anak kedil berlari di permatang dan itik menyudu mencari rezeki di celah-celah rimbunan padi yang meliang liuk ditiup angin dinihari. di situlah aku membesar, menjadi anak petani. Alangkah rindunya kepada kisah semalam.

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

What Other People Say...


"A.F.Yassin dalam cerpennya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).