15 March 2013

TAHNIAH! - BAHA ZAIN SASTERAWAN NEGARA KE-12


 Baha Zain (Dato') dinobatkan Sasterawan Negara Ke-12.

PENYAIR BAHA YANG JADI PENERBIT: Suatu hari dalam bulan Mei 1981, saya menemui Baha Zain, salah seorang orang kuat sastera Dewan Bahasa dan Pustaka. Saya memintanya menulis apa saja yang berdetak di hatinya  tentang Dewan Bahasa yang akan menyambut Jubli Peraknya tahun itu. Saya telah ditugaskan oleh M. Noor Azam, Ketua Pengarang majalah Dewan Masyarakat ketika itu  untuk meminta Baha Zain menulis  dalam keluaraan  khas majalah itu.  Baha Zain menyanggupinya dan beberapa hari kemudian, apabila saya  temuinya semula, dia menyerahkan sekeping kertas memonya.

“Sehelai saja?” tanya saya kepadanya.
“Ya, cuuplah tu,” jawabnya sambil ketawa.
Saya membaca tulisan dalam kertas itu. Tulisan itu berupa ungkapan puitis tentang bahasa yang berbunyi: 


Buku Baha Zain keluaran istimewa Esei dan Puisi Baha Zain, 2000.

Bahasa
Betapa susah
Menemukan makna dengan kata
Demikian payah
Menyebut budi dengan bahasa
Kata bestari lama
Terkilat ikan di air
Tahu jantan betinanya.

Ungkapan puitis Baha Zain  ini kemudian menghiasi  halaman 72 keluaran khas Dewan Masyarakat terbitan 15 Julai/15 Ogo 1981. Bagi kami (M. Noor Aam, Abdul Ahmad, Jaafar Rahim dan saya)  sebagai anggota sidang pengarang majalah berkenaan) ungkapan Baha Zain itu  seperti membayangkan  betapa laluan bahasa untuk menjadi lingua franca terpenting Negara akan mengalami jalan sukar memikirkan rintangan  yang bakal ditemukan bahasa itu pada masa depan. Dan betapa masalah itu dapat dirasakan Tmbalan Perdana Menteri ketika itu, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad, dalam wawancara khas sempena keluaran Jubli Perak majalah itu bagaimana rakyat akan menanggapinya.

Ketawa Baha Zain  semasa menyerahkan kertas memonya itu mengingatkan saya  kepada ungkapan pertamanya  semasa dia masuk ke pejabat sidang pengarang majalah-majalah DBP suatu hari pada tahun 1972. Baha Zain baru pulang dari Jakarta setelah menyelesaikan pengajiannya di Universitas Indonesia. Dia bertanya kepada salah seorang sidang pengarang majalah Dewan Masyarakat, Awam-Il-Sarkam (Abdul Wahab Muhammad) yang duduk berdekatan dengan pintu masuk bilik sidang pengarang dan berdepan pula dengan Dharmawijaya.

 Suatu ketika pada tahun 1984, di Damansara Kim. Baha Zain (tengah) bersama Adibah Amin (kiri) dan A.F.Yassin. Membincangkan penerbitan majalah berita Era.

“A.F.Yassin itu siapa?” tanyanya kepada Awam-Il-Sarkam.
“Itu yang duduk di sebelah kawan kita Dharmawijaya. Namanya Fadzil. Bapanya Yassin. Dia nak jadi H.B. Jassin  barangkali. Dia ini baru masuk Dewan Bahasa. Kenapa tanya?”  jawab Awam-il-Sarkam sambil bertanya kembali.
Tak adalah. Saya ingat orang mana,” ujar Baha Zain pula.
“Kalau dah kenal, salamlah,” kata Awam-il-Sarkam secara bergurau

Baha Zain ketawa. Rambutnya yang panjang hampir mencecah bahu diurutnya. Kami bersalaman. Sebagaimana cepat dia masuk ke bilik itu, begitu cepat pula dia keluar dari bilik itu. Awam-il-Sarkan berkata kepada saya, “Baha Zain itu kau tahukan? Dia itu penyajak, orang Dewan Bahasa jugak. Dewan Bahasa hantar dia belajar ke Jakarta. Dia orang lama di Dewan Bahasa, Mula bekerja tahun 1963 lagi. Engkau waktu itu entah di mana. Mungkin hingus pun belum kering lagi.”

Demikianlan, buat pertama kali saya diperkenalkan dengan Baha Zain, yang terkenal dengan sajak “Perempuan dan Bayang-Bayang” dan “Tiga Catatan Perjalanan”. Baha Zain yang nama penuhnya Baharuddin Zainal memang minatnya puisi dalam ciptasatera. Maka tidak hairanlah dia menyerahkan secebis puisi tatkala dia diminta menulis sesuatu untuk keluaran khas majalah Dewan Masyarakat. (Sedutan artikel dalam buku Sembang Sastera, Bersama Orang Persuratan, oleh A.F.Yassin yang diterbitkan oleh Penebit Fajar Bakti, Shah Alam, 1998.)

Sembang Sastera, Bersama Orang Persuratan, kumpulan esei A.F.Yassin terbitan Penerbit Fajar Bakti, 1998. Ada artikel tentang Baha Zain di dalamnya.
 
Suatu ketika dalam tahun 1975, semasa saya tengah “ngopi”  di kantin Dewan Bahasa dan Pustaka bersama Baha Zain (lazimnya dia jarang ditemui di kantin) kami berbual singkat tentang alam penulisan, terutama yang membabitkan nama besar di Indonesia. Melalui sembang singkat itu Baha Zain bertnya adakah saya hanya setakat berpuas hati dengan menulis pElbagai makalah dan rencana yang biasa-biasa sahaja. Mahu ke mana saya dan adakah saya tidak mahu menjadi lebih daripada setakat menjadi penulis esei.

Katanya, “ You sepatutnya perlu berfikir bagaimana mahu meningkatkan penulisan you sehingga menjadi seorang kolumnis. Baha Zain menyebut beberapa nama di Indonesia yang pada ketika itu nama mereka menjadi sebutan orang kerana tertarik dengan gaya penulisannya yang digemari. Baha Zain khususnya menyebut dua nama kolumnis, seorang dalam bidang persuratkabaran dan seorang lagi dalam bidang pemajalahan. Baha Zain menyebut Mahbon Djuneidi, kolumnis hebat dari suratkabar Kompas dan Goenawan Mohamad , kolumnis untuk majalah Tempo.
“You mesti aim untuk menjadi seperti mereka dengan stail daan gaya penulisannya amat digemari.”

Malam ini  saya mengucapkan tahniah kepada Baha Zain (Dato’ Baharuddin Zainal) atas terpilihnya dia sebagai Sasterawan Negara yang ke-12, saya kembali membaca  tulisan saya tentang Baha Zain. Terfikir juga sepatutnya Baha Zain sudah lama diiktiraf sebagai Sasterawan Negara, namun entah apa sebabnya namanya terus tercicir sehinggalah hari ini apabila Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pemilihannya. Sebagai Sasterawan Negara yang terbaru, Baha Zain didahului oleh Sasterawan-Sasterawan Negara yang lain seperti Dr. Ahmad Kamala Abdullah (Kamala), DDr. Anwar Rithuan, Dr. Muhammad Hj Salleh, Dr. Othman Kelantan dan lain-lain. Tahniah Dato’, dan semoga Baha Zain akan terus berkarya meskipun dalam usianya  74 tahun , pada 22 Mei ini. Catatan AFYassin, 16 Mac 2013 2.49 pagi.

3 comments:

  1. Baha Zain should have been the National Laureate way before and at par with recipients like Keris Mas, Usman Awang, Shahnon Ahmad and the like. His book "Esei dan Puisi" Baha Zain is a masterpiece.

    ReplyDelete
  2. Tahniah kpd. Pak Baha

    ReplyDelete
  3. Tahniah..terima sahaja pendapat Pak Shahnon tapi usah dihiraukan.

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

What Other People Say...


"A.F.Yassin dalam cerpennya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).