Baha Zain (Dato') dinobatkan Sasterawan Negara Ke-12.
PENYAIR
BAHA YANG JADI PENERBIT: Suatu hari dalam bulan Mei 1981, saya menemui
Baha Zain, salah seorang orang kuat sastera Dewan Bahasa dan Pustaka. Saya
memintanya menulis apa saja yang berdetak di hatinya tentang Dewan Bahasa yang akan menyambut
Jubli Peraknya tahun itu. Saya telah ditugaskan oleh M. Noor Azam, Ketua
Pengarang majalah Dewan Masyarakat
ketika itu untuk meminta Baha Zain
menulis dalam keluaraan khas majalah itu. Baha Zain menyanggupinya dan beberapa hari
kemudian, apabila saya temuinya semula,
dia menyerahkan sekeping kertas memonya.
“Sehelai saja?” tanya saya kepadanya.
“Ya, cuuplah tu,” jawabnya sambil ketawa.
Saya membaca tulisan dalam kertas itu. Tulisan
itu berupa ungkapan puitis tentang bahasa yang berbunyi:
Buku Baha Zain keluaran istimewa Esei dan Puisi Baha Zain, 2000.
Bahasa
Betapa
susah
Menemukan
makna dengan kata
Demikian
payah
Menyebut
budi dengan bahasa
Kata
bestari lama
Terkilat
ikan di air
Tahu
jantan betinanya.
Ungkapan puitis Baha Zain ini kemudian menghiasi halaman 72 keluaran khas Dewan Masyarakat terbitan 15 Julai/15 Ogo 1981. Bagi kami (M. Noor
Aam, Abdul Ahmad, Jaafar Rahim dan saya) sebagai anggota sidang pengarang majalah
berkenaan) ungkapan Baha Zain itu
seperti membayangkan betapa
laluan bahasa untuk menjadi lingua franca
terpenting Negara akan mengalami jalan sukar memikirkan rintangan yang bakal ditemukan bahasa itu pada masa
depan. Dan betapa masalah itu dapat dirasakan Tmbalan Perdana Menteri ketika
itu, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad, dalam wawancara khas sempena keluaran
Jubli Perak majalah itu bagaimana rakyat akan menanggapinya.
Ketawa Baha Zain semasa menyerahkan kertas memonya itu
mengingatkan saya kepada ungkapan
pertamanya semasa dia masuk ke pejabat
sidang pengarang majalah-majalah DBP suatu hari pada tahun 1972. Baha Zain baru
pulang dari Jakarta setelah menyelesaikan pengajiannya di Universitas
Indonesia. Dia bertanya kepada salah seorang sidang pengarang majalah Dewan Masyarakat, Awam-Il-Sarkam (Abdul Wahab
Muhammad) yang duduk berdekatan dengan pintu masuk bilik sidang pengarang dan
berdepan pula dengan Dharmawijaya.
Suatu ketika pada tahun 1984, di Damansara Kim. Baha Zain (tengah) bersama Adibah Amin (kiri) dan A.F.Yassin. Membincangkan penerbitan majalah berita Era.
“A.F.Yassin itu siapa?” tanyanya kepada Awam-Il-Sarkam.
“Itu yang duduk di sebelah kawan kita
Dharmawijaya. Namanya Fadzil. Bapanya Yassin. Dia nak jadi H.B. Jassin barangkali. Dia ini baru masuk Dewan Bahasa.
Kenapa tanya?” jawab Awam-il-Sarkam
sambil bertanya kembali.
Tak adalah. Saya ingat orang mana,” ujar Baha
Zain pula.
“Kalau dah kenal, salamlah,” kata
Awam-il-Sarkam secara bergurau
Baha Zain ketawa. Rambutnya yang panjang hampir
mencecah bahu diurutnya. Kami bersalaman. Sebagaimana cepat dia masuk ke bilik
itu, begitu cepat pula dia keluar dari bilik itu. Awam-il-Sarkan berkata kepada
saya, “Baha Zain itu kau tahukan? Dia itu penyajak, orang Dewan Bahasa jugak.
Dewan Bahasa hantar dia belajar ke Jakarta. Dia orang lama di Dewan Bahasa,
Mula bekerja tahun 1963 lagi. Engkau waktu itu entah di mana. Mungkin hingus
pun belum kering lagi.”
Demikianlan, buat pertama kali saya
diperkenalkan dengan Baha Zain, yang terkenal dengan sajak “Perempuan dan
Bayang-Bayang” dan “Tiga Catatan Perjalanan”. Baha Zain yang nama penuhnya
Baharuddin Zainal memang minatnya puisi dalam ciptasatera. Maka tidak hairanlah
dia menyerahkan secebis puisi tatkala dia diminta menulis sesuatu untuk
keluaran khas majalah Dewan Masyarakat. (Sedutan
artikel dalam buku Sembang Sastera, Bersama Orang Persuratan, oleh A.F.Yassin
yang diterbitkan oleh Penebit Fajar Bakti, Shah Alam, 1998.)
Sembang Sastera, Bersama Orang Persuratan, kumpulan esei A.F.Yassin terbitan Penerbit Fajar Bakti, 1998. Ada artikel tentang Baha Zain di dalamnya.
Suatu ketika dalam tahun 1975, semasa saya tengah
“ngopi” di kantin Dewan Bahasa dan
Pustaka bersama Baha Zain (lazimnya dia jarang ditemui di kantin) kami berbual
singkat tentang alam penulisan, terutama yang membabitkan nama besar di
Indonesia. Melalui sembang singkat itu Baha Zain bertnya adakah saya hanya
setakat berpuas hati dengan menulis pElbagai makalah dan rencana yang
biasa-biasa sahaja. Mahu ke mana saya dan adakah saya tidak mahu menjadi lebih
daripada setakat menjadi penulis esei.
Katanya, “ You sepatutnya perlu berfikir
bagaimana mahu meningkatkan penulisan you sehingga menjadi seorang kolumnis.
Baha Zain menyebut beberapa nama di Indonesia yang pada ketika itu nama mereka
menjadi sebutan orang kerana tertarik dengan gaya penulisannya yang digemari.
Baha Zain khususnya menyebut dua nama kolumnis, seorang dalam bidang
persuratkabaran dan seorang lagi dalam bidang pemajalahan. Baha Zain menyebut
Mahbon Djuneidi, kolumnis hebat dari suratkabar Kompas dan Goenawan Mohamad , kolumnis untuk majalah Tempo.
“You mesti aim untuk menjadi seperti mereka
dengan stail daan gaya penulisannya amat digemari.”
Malam ini
saya mengucapkan tahniah kepada Baha Zain (Dato’ Baharuddin Zainal) atas
terpilihnya dia sebagai Sasterawan Negara yang ke-12, saya kembali membaca tulisan saya tentang Baha Zain. Terfikir juga
sepatutnya Baha Zain sudah lama diiktiraf sebagai Sasterawan Negara, namun
entah apa sebabnya namanya terus tercicir sehinggalah hari ini apabila Menteri
Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pemilihannya. Sebagai
Sasterawan Negara yang terbaru, Baha Zain didahului oleh Sasterawan-Sasterawan
Negara yang lain seperti Dr. Ahmad Kamala Abdullah (Kamala), DDr. Anwar
Rithuan, Dr. Muhammad Hj Salleh, Dr. Othman Kelantan dan lain-lain. Tahniah
Dato’, dan semoga Baha Zain akan terus berkarya meskipun dalam usianya 74 tahun , pada 22 Mei ini. Catatan AFYassin, 16 Mac 2013 2.49 pagi.
Baha Zain should have been the National Laureate way before and at par with recipients like Keris Mas, Usman Awang, Shahnon Ahmad and the like. His book "Esei dan Puisi" Baha Zain is a masterpiece.
ReplyDeleteTahniah kpd. Pak Baha
ReplyDeleteTahniah..terima sahaja pendapat Pak Shahnon tapi usah dihiraukan.
ReplyDelete