Kak Azah (Aziz) telah tiada. Petang ini media elektronik tempatan (RTM, Bernama, ASTRO dan TV3) menyiarkan berita pemergian Allahyarham kerana "sakit tua". Terakhir saya temui Allahyarham lima tahun dahulu di kediamannya di Petling Jaya pada 24 November 2007, menemu bual Allahyarham untuk Jabatan Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka. Ketika itu kami bersembang tentang kemajuan bahasa Melayu sempena menyambut 50 tahun tertubuhnya DBP. Banyak yang kami sembangkan dan di bawah ini saya petik sebahagian daripada pandangan Allahyarham yang saya muatkan dalam Blog Pena Kembara.
Kira-kira sedekad sebelum itu Allahyarham pernah bersama kumpulan kami, sebagai anggota Panel Hakim Hadiah Buku Kebangsaan, Kementerian Pendidikan Malaysia untuk Kategori Buku Kanak-kanak. Ahli-ahli pael yang lain termasuklah Prof. Dato' Dr. Isahak Haron dan Datin Hamsiah Abd. Hamid dari DBP. Saya maih yakin hasil temu bual lengkap itu masih tersimpan baik di Jabatan Bahasa, DBP, ketika itu di bawah Pengarahnya Dr. Awang Sariyan. Dengan rasa yang amat sedih dan terharu kami menghulurkan salam takziah kepada Prof. Diraja Ungku Aziz (Pak Ungku) dan keluarga. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Al-Fatihah!
Thursday, 29 May 2008
AZAH AZIZ: BUDAYA MELAYU DAN ANCAMAN GLOBALTokoh budaya Puan Azah Aziz (Kak Azah) ketika ditemui A.F.Yassin di kediamannya di Petaling Jaya, 24 November 2007.
"Sesungguhnyalah, budaya Melayu hari ini menghadapi pelbagai cabaran dan ancaman pada zaman global yang begitu pesat bergelora akibat pengaruh kuat media massa, akibat serangan hebat budaya moden asing dalam segala bidang termasuk seni budaya, perilaku manusia, bahasa dan lain-lain. Memanglah budaya Melayu sedang menghadapi cabaran. Sikap orang Melayu yang ghairah meniru dan mudah terpengaruh mencelarukan lagi suasana. Betapa sebahagian besarnya tidak lebih daripada edaran fesyen. Ia datang dan bakal pergi. Insyaallah.
Yang pasti terus bertahan hanyalah budaya warisan bangsa. Kini telah wujud keadaan betapa bertambah ramai pihak yang merasa terpanggil untuk tampil memberi, mempertahan serta memeliharanya daripada segala pengaruh yang tidak diundang dan kurang disenangi itu. Pembaca budiman selaku penyambung warisan semestinya turut merasa bertanggungjawab dan tidak akan berpeluk tubuh membiarkan suatu budaya yang sedemikian indah, kaya dan unggul ini hilang lesap jati dirinya begitu sekali.
Tentulah ini tidak diredai. “Takkan Melayu hilang di dunia”. Oleh itu, semoga mulai sekarang satu langkah pemeliharaan budaya Melayu akan disusun dan dilancarkan dengan sepenuh kasih sayang agar budaya Melayu ini kelak boleh bercahaya dan terus hidup subur berkembang laksana bunga yang harum semerbak di sisi kita.
Akhir kata, jikalau kita memiliki sesuatu yang indah, halus, cemerlang, gilang-gemilang dan murni dalam hidup ini, di manakah akan kita simpan segala khazanah tersayang itu supaya khazanah itu boleh diselamatkan? Di manakah kita nak simpan? Saya ada jawabannya melalui serangkap pantun nasihat orang tua-tua zaman dahulu untuk kita hayati bersama. Pernahkah dengar pantun ini:
Burung merpati kepak bersilang,
Turun ke bendang makan padi;
Simpan di peti takutkan hilang,
Baik disimpan di dalam hati.
Saya ajar pantun ini pada cucu saya masa dia kecil-kecil lagi. sekarang cucu saya itu sampaikan pantun ini kepada kawan-kawannya." (Petikan temu bual dengan Puan Azah Aziz di kediamannya di Petaling Jaya, 24 November 2007.)
No comments:
Post a Comment