BERSAMA TOK MAT DALAM PAPTI (1980-1981)
Tidak berapa ingat bila peristiwa kunjungan Anggota Jawatankuasa Persatuan Alumni Perguruan Tinggi Indonesia (PAPTI) mengadakan kunjungan rasmi ke beberapa Perguruan Tinggi di Indonesia. Mungkin kunjungan ini dilakukan seminggu antara tahun 1980 hingga 1981. Ketika itu Presiden PAPTI ialah Datuk Mohamed Rahmat, Menteri Penerangan Malaysia. Beliau mengambil inisiatif membawa hampir semua anggota Jawatankuasa ke Jakarta, Bandung dan Jogjakarta. Dan Prof. Dato’ Abu Bakar Hamid adalah Timbalan Presiden PAPTI dengan Setiausah Agungnya Yusof Abu Samah. Antara yang menganggotai rombongan termasuk Drs. Sulaiman Mohamad.
Di Jakarta, Tok Mat menginap di Mandarin sementara anggota rombongan di Grand Pacific di Jalan Tamrin, Pusat Kota. Pada hari kedua kunjungan, Tok Mat memimpin kami mengunjungi Bapak Ali Murtopo. Menteri Penerangan Indonesia yang sakit di sebuah hospital terkemuka di Jakarta. Kurang pasti nama hospital itu, tetapi kira-kira setengah jam perjalanan dari hotel penginapan kami. Sebelah paginya Tok Mat mengundang semua anggota rombongan sarapan pagi di Hotel Mandarin. Kami terkejut kerana sarapan pagi itu turut disertai Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Menteri Pertama dan beberapa pegawai lain kedutaan.
TS Mohamed Rahmat atau lebih dikenali dengan panggilan Tok Mat (dua kiri) sedang sarapan di Hotel Mandarin Jakarta bersama Duta Besar Malaysia ke Indonesia (tiga kiri) dan staf kedutaan serta rombongan PAPTI yang sedang mengunjungi Indonesia tahun 1980. Dto' Abu Bakar Hamid (tiga kanan membelakangi kamera) dan A.F.Yassin (kiri sekali). Pak Ali Murtopo masih boleh bercakap dengan anggota rombongan, sempat berjenaka dan ternyata masih ceria, walaupun kesihatan tidak begitu mengizinkan. Hubungan antara kedua Negara berlangsung erat dan Pak Ali memainkan peranan penting bagi pihak Indonesia untuk menstabilkan hubungan kerjasama. Kedua-dua menteri sempat berbincaang tentang hubungan dua hala secara tak formal, terutama yang berkait dengan penghantaran pelajar Malaysia ke Indonesia, yang pada ketika itu begitu ramai jumlahnya. Walaupun sebenarnya, kedua-dua menteri berkenaan amat memahami bahawa bidang kuasa mereka bukanlah pendidikan.
Kurang ingat sama ada rombongan berkunjung ke kampus Universitas Indonesia di Salemba, tetapi yang jelas rombongan berkunjung ke IKIP Bandung dan kampus Universitas Gajah Mada di Jogjakarta. Dato’ Abu Bakar memimpin rombongan kerana Tok Mat tidak ikut serta. Di Bandung rombongan sempat berdialog dengan pelajar-pelajar Malaysia di kota itu. Dialog diadakan di Pusat Pelajar Malaysia, di Jalan Sulanjana. Pelajar Malaysia mewakili Persatuan Kebangsaan palajar Malaysia di Indonesia (PKPMI), Cabang Bandung.
Kami masih ingat salah satu tugas penting yang berhasil dilaksanakana PAPTI ketika di bawah pimpinan Tok Mat ialah menyediakan satu memorandum untuk diserahkan kepada Kerajaan Malaysia Mengenai Pengiktirapan Ijazah dari Universiti-Universiti di Indonesia. Memorandum ini disediakan pada tahun 1981, iaitu pada tahun terakhir Tok Mat memimpin PAPTI sebelum tugas diambil alih oleh Datuk Abu Bakar Hamid.
Dato' M. Noor Azam mempengerusikan pertemuan IKAMA di Jakarta beberapa tahun lalu. Turut hadir Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dato' Dr. Firdaus Hj. Abdullah (dua dari kanan).Tujuan memorandum ini disediakan adalah PAPTI menerima keluhan dari sejumlah anggota PAPTI yang menyangut masalah pengiktirafan ijazah yang mereka peroleh dan penilaian ijazah itu dari segi skim perkhidmatan, baik dalam perkhidmatan awam mahupun perkhidmatan pelajaran. Adalah menjadi harapan PAPTI ketika itu, memorandum yang disediakan dapat dijadikan landasan pertimbangan Kerajaan, mengkaji semula dan seterusnya mengambil tindakan sewajarnya untuk menyelesaikan masalah lulusan dariIndonesia ini.
Seperti yang tercatat dalam Penutup Memorandun: “PAPTI mengharapkan Kerajaan meneliti dan memberikan pertimbangan yang saksama kepada kandungan memorandum ini. Sebarang tindakan yang sesuai dengan hasrat yang terkandung dalam memorandum ini tentunya akan dapat membantu Kerajaan dalam usahanya memperbanyak ahli baik dalam bidang ilmu mahpun iktisas, terutama Bumiputera di samping meneratkan lagi hubungan Indonesia-Malaysia melalui bidang ilmu dan kebudayaan.”
Di bawah ini disertakan sedikit catatan tentang Tok Mat dalam bidang politik, pendidikan dan hubungan kerjasama Indonesia-Malaysia seperti yang dihuraikan dalam Wikipedia, Ensiklopedia Bebas. Barangkali ia akan memberi manfaat dalam kita mengenang Tok Mat yang telah kembali ke Rahmatullah pada 1 Januari 2010 setelah menghidap sakit buah pinggap beberapa waktu. Hari ini genap dua tahun 19 hari Allahyarham meninggalkan kita. Amin Ya Rabulalamin!:
“Tan Sri Mohamed bin Rahmat (4 Januari 1938 - 1 Januari 2010) [1] merupakan ahli politik UMNO/ Barisan Nasional yang terkenal di Malaysia. Beliau berketurunan Jawa, dilahirkan di Pulai,Johor, selatan Malaysia. 'Tok Mat' adalah gelaran singkat bagi beliau. Beliau turut digelar 'Tok Mat', 'Mat Setia', 'Mat Umno' ,'Mat Bulat' dan 'Mr Propaganda'. Ucapan sebelum dan semasa Perhimpunan Agung UMNO sentiasa dinantikan sama seperti pengulungan Presiden UMNO.
Beliau merupakan pemimpin veteran UMNO Beliau pernah menjadi Timbalan Menteri Kewangan (1973) dan Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri (1974). Kemudian menjadi Menteri Penerangan sebanyak dua kali, iaitu dari 1978 hingga 1982 semasa kepimpinan Tun Hussein Onn dan dari 1987 hingga 1999 ketika kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad. Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia bertaraf Menteri dari 1982 hingga 1984.
Mohamed Rahmat keturunan Jawa. Anaknya Datuk Nur Jazlan Mohamed mewarisi politik UMNO Pulai . Nur Jazlan menjadi ahli parlimen Pulai dan Ketua UMNO Bahagian Pulai. Pulai dan Gunung Pulai berhampiran dengan Pekan Nanas dan Skudai, selatan Johor, berhampiran dengan pulau Singapura.
Bapanya seorang Jawa sementara ibunya seorang Cina. Isteri Mohamed Rahmat , Puan Sri Salbiah A. Hamid juga seorang keturunan Cina. [2]
Mohamed mendapat pendidikan menengah di Maktab Abu Bakar, Johor Baharu pada 1956 sebelum melanjutkan pengajiannya dalam bidang Bachelor of Letters di Universiti Indonesia, Jakarta pada 1961. Beliau bagaimanapun tidak sempat menamatkan pengajiannya di peringkat Ijazah Sarjana ekoran konfrontasi antara Malaysia dan Indonesia.
Beliau pernah menjadi guru di Sekolah King Edward VII, Taiping, Perak pada 1963. Kemudiannya beralih kepada bidang penulisan skrip di Filem Negara Malaysia (Finas) selama setahun bermula 1964.[3]
Mohamad Rahmat menjadi ahli UMNO (Baru) dengan no 00000003. Beliau menyertai UMNO sejak 1963 dan terpilih menjadi ahli parlimen Johor Baru Barat dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 1969. Kawasan ini diberi nama baru 'Pulai' pada 1974.
Mohamad Rahmat bertanding di parlimen Pulai atas tiket Barisan Nasional pada tahun 1978. Ketika itu Perdana Menteri Malaysia ialah Dato Hussein Onn - juga orang Johor . Di atas kejayaan besar UMNO Johor meraih undi , maka Mohamed Rahmat telah dilantik sebagai Menteri Penerangan Malaysia (1978-1982). Ketika ini Kelantan yhang diperintah oleh PAS berjaya dirampas oleh UMNO melalui Mageran Kelantan 1978. Difahamkan Mohamad Rahmat telah menghanrar 200 petugas ke Kelantan bagi menerangkan kebaikan dan kelebihan Kelantan jika menyertai Barisan Nasional.
Beliau pernah menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO. Atas kapasiti sebagai Menteri Penerangan, beliau juga dilantik sebagai Setiausaha Agung UMNO dan Setiausaha Agung Barisan Nasional.
Dalam kerajaan , beliau menjadi Menteri Penerangan Malaysia dua kali kerana mempunyai kebolehan mempengaruhi pendengar. Beliau menjadi Menteri Penerangan dari 1978-1982 iaitu semasa Dato Hussein Onn menjadi Perdana Menteri Malaysia. Apabila Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, jawatan itu diserahkan kepada Dato'Seri Mohd Adib bin Mohamad Adam dari Melaka. Mohamed Rahmat dilantik sebagai Duta berstatus menteri ke Jakarta, Indonesia pada 1982.
Mohamad Rahmat dilantik semula sebagai Menteri Penerangan dari tahun 1987-1999 kerana kesetiaan beliau terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad. Pengunduran Musa Hitam sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia dari Johor pada 1986, diisi oleh Mohamed Rahmat. Dengan perlantikan itu, politik Johor dan sokongan Johor kembali stabil.
Mohamed Rahmat adalah alternatif kepada pemimpin UMNO yang 'berpaling-tadah' seperti Dato Shahril Samad . Namun Shahril Samad masih menang dalam Pilihan raya kecil Johor Bharu.Beberapa pemimpin Johor menyertai Team B yang memihak kepada Tengku Razaleigh Hamzah. Tetapi Mohamad Rahmat terus setia kepada dalam Team A . Pendaftaran UMNO dibatalkan dan menyebabkan UMNO menjadi parti haram. Dengan itu juga pengerusi Barisan Nasional terpaksa diserahkan kepada Presiden MCA iaitu Dato Ling Leong Sik. Apabila UMNO Baru berjaya didaftarkan semula, Mohamad Rahmat menjadi Setiausaha Agung Sementara pada 16 Februari 1988. [4] UMNO berjaya dipulihkan dan diyakini rakyat .Perkataan 'Baru' pada UMNO berjaya dibuang . Kelab UMNO luar negara telah ditubuhkan bagi menarik sokongan pelajar luar negara. Pada 19 Januari 1994, Kelab UMNO Surabaya, Indonesia dirasmikan oleh Dato' Mohamad Rahmat.
No comments:
Post a Comment