27 February 2012

MERINDUI ABAH YANG TELAH PERGI 27 TAHUN LALU. AL-FATIHAH!

Allahyarham Abah yang meninggalkan kami 27 tahun yang lalu.

Telah 27 tahun Abah (Hj. Yassin Bin Zainal) pergi. Persisnya 16 Januari 1985. Seperti baru semalam abah berpesan kepada adik-adik yang Abah nak jumpa dengan saya. Sudah beberpa kali Abah berpesan tapi adik-beradik tidak menyangka yang permintaan Abah itu begitu serius. Pada hari berkenaan saya baru akan sampai di lapangan terbang Subang dari luar negeri. Di Airport saya mendengar suara dari Penerangan yang meminta saya menghubungi kaunter untuk menerima pesanan. Namun sebaik sahaja saya dan beberapa kawan, termasuk Dr. Othman Puteh, Dharmawijaya dan Mohd Yusof Md Nor keluar ke galeri menunggu di pintu ketibaan,

Prof.Dr. Hashim Awang dan isteri telah menarik kami dan terus ke keretanya. "Bersabarlah, nanti kami akan jelaskan," Demikian kata-kata Prof. Hashim. Hahim terus menghantar ke rumah saya, ketika itu di Damansara Utama dan saya pun terus mengambil kereta dan pulang ke kampung bersama-sama Ruby dan keluarga yang sedang menunggu. Sempatlah saya menatap wajah Abah yang sedang menungu ketibaan bersama keluarga.

Abah hanya menunggu kami untuk disembahyangka di Surau Perkuburan Gadong sebelum dikebumikan. Ramai orang kampung telah menunggu untuk uacara pengkebumian. Buat kali terakhir Abah akan mengadakan perjalanan terakhirnya ke pusara. Jaraknya dari rumah kami hanyalah 300 meter. Saya menerima sepucuk telegram dari staf Penerbit Fajar Bakti. Malam itu setelah mengadakan kenduri arwah saya membaca kandungannya. Bunyi telegram: Pihak Pengurusan dab Kakitangan Penerbit Fajar Bakti dengan penuh rasa terharu dan dukacita menyampaikan ucapan takziah kepada Saudara Fadzil Yassin dan keluarga atas pemergian Ayahanda mereka. Semoga Allah mencucuri rahmat-Nya ke atas Allahyarham. Fajar MA 37578 (16 Jan 85). Diterima 8.40 AM. Telegram itu ditujukan kepada Ahmad Fadzil Yasin, Kg. Gadong, Kota. telegram berasal dari Kuala Lumpur.

Surat telegram yang diterima dari pihak Pengurusan dan Kakitangan Penerbit Fjar Bakti.

Kami begitu merasakan kehilangan Abah walau sudah 27 tahun berlalu. Dan 12 tahun kemudian, pada bulan Mac 2007, saya sekali lagi kehilangan seorang anak sulung kami, Allahyarham Ahmad Faizal akibat penyakit diabetes. Kami bagaikan "sudah dijatuh ditimpa tangga. Namun kami pasrah kerana bagi kami itu adalah kehendak-Nya jua. Namun kami merindukan mereka. Al-Fatihah!

20 February 2012

SELINTAS KISAH BERSAMA TOK MAT DALAM PAPTI

Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat, Preiden Pertama PAPTI 1975 - 1981

BERSAMA TOK MAT DALAM PAPTI (1980-1981)

Tidak berapa ingat bila peristiwa kunjungan Anggota Jawatankuasa Persatuan Alumni Perguruan Tinggi Indonesia (PAPTI) mengadakan kunjungan rasmi ke beberapa Perguruan Tinggi di Indonesia. Mungkin kunjungan ini dilakukan seminggu antara tahun 1980 hingga 1981. Ketika itu Presiden PAPTI ialah Datuk Mohamed Rahmat, Menteri Penerangan Malaysia. Beliau mengambil inisiatif membawa hampir semua anggota Jawatankuasa ke Jakarta, Bandung dan Jogjakarta. Dan Prof. Dato’ Abu Bakar Hamid adalah Timbalan Presiden PAPTI dengan Setiausah Agungnya Yusof Abu Samah. Antara yang menganggotai rombongan termasuk Drs. Sulaiman Mohamad.

Di Jakarta, Tok Mat menginap di Mandarin sementara anggota rombongan di Grand Pacific di Jalan Tamrin, Pusat Kota. Pada hari kedua kunjungan, Tok Mat memimpin kami mengunjungi Bapak Ali Murtopo. Menteri Penerangan Indonesia yang sakit di sebuah hospital terkemuka di Jakarta. Kurang pasti nama hospital itu, tetapi kira-kira setengah jam perjalanan dari hotel penginapan kami. Sebelah paginya Tok Mat mengundang semua anggota rombongan sarapan pagi di Hotel Mandarin. Kami terkejut kerana sarapan pagi itu turut disertai Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Menteri Pertama dan beberapa pegawai lain kedutaan.
TS Mohamed Rahmat atau lebih dikenali dengan panggilan Tok Mat (dua kiri) sedang sarapan di Hotel Mandarin Jakarta bersama Duta Besar Malaysia ke Indonesia (tiga kiri) dan staf kedutaan serta rombongan PAPTI yang sedang mengunjungi Indonesia tahun 1980. Dto' Abu Bakar Hamid (tiga kanan membelakangi kamera) dan A.F.Yassin (kiri sekali).

Pak Ali Murtopo masih boleh bercakap dengan anggota rombongan, sempat berjenaka dan ternyata masih ceria, walaupun kesihatan tidak begitu mengizinkan. Hubungan antara kedua Negara berlangsung erat dan Pak Ali memainkan peranan penting bagi pihak Indonesia untuk menstabilkan hubungan kerjasama. Kedua-dua menteri sempat berbincaang tentang hubungan dua hala secara tak formal, terutama yang berkait dengan penghantaran pelajar Malaysia ke Indonesia, yang pada ketika itu begitu ramai jumlahnya. Walaupun sebenarnya, kedua-dua menteri berkenaan amat memahami bahawa bidang kuasa mereka bukanlah pendidikan.

Kurang ingat sama ada rombongan berkunjung ke kampus Universitas Indonesia di Salemba, tetapi yang jelas rombongan berkunjung ke IKIP Bandung dan kampus Universitas Gajah Mada di Jogjakarta. Dato’ Abu Bakar memimpin rombongan kerana Tok Mat tidak ikut serta. Di Bandung rombongan sempat berdialog dengan pelajar-pelajar Malaysia di kota itu. Dialog diadakan di Pusat Pelajar Malaysia, di Jalan Sulanjana. Pelajar Malaysia mewakili Persatuan Kebangsaan palajar Malaysia di Indonesia (PKPMI), Cabang Bandung.

Kami masih ingat salah satu tugas penting yang berhasil dilaksanakana PAPTI ketika di bawah pimpinan Tok Mat ialah menyediakan satu memorandum untuk diserahkan kepada Kerajaan Malaysia Mengenai Pengiktirapan Ijazah dari Universiti-Universiti di Indonesia. Memorandum ini disediakan pada tahun 1981, iaitu pada tahun terakhir Tok Mat memimpin PAPTI sebelum tugas diambil alih oleh Datuk Abu Bakar Hamid.
Dato' M. Noor Azam mempengerusikan pertemuan IKAMA di Jakarta beberapa tahun lalu. Turut hadir Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dato' Dr. Firdaus Hj. Abdullah (dua dari kanan).
Tujuan memorandum ini disediakan adalah PAPTI menerima keluhan dari sejumlah anggota PAPTI yang menyangut masalah pengiktirafan ijazah yang mereka peroleh dan penilaian ijazah itu dari segi  skim perkhidmatan, baik dalam perkhidmatan awam mahupun perkhidmatan pelajaran. Adalah menjadi harapan PAPTI ketika itu, memorandum yang disediakan dapat dijadikan landasan  pertimbangan Kerajaan, mengkaji semula dan seterusnya mengambil tindakan sewajarnya  untuk menyelesaikan masalah lulusan dariIndonesia ini.

Seperti yang tercatat dalam Penutup Memorandun: “PAPTI mengharapkan Kerajaan meneliti dan memberikan pertimbangan yang saksama kepada kandungan memorandum ini. Sebarang tindakan yang sesuai dengan hasrat yang terkandung dalam memorandum ini tentunya akan dapat membantu Kerajaan dalam usahanya memperbanyak  ahli baik dalam bidang ilmu mahpun iktisas, terutama Bumiputera  di samping meneratkan lagi hubungan Indonesia-Malaysia melalui bidang ilmu dan kebudayaan.”

Di bawah ini disertakan sedikit catatan tentang Tok Mat dalam bidang politik, pendidikan dan hubungan kerjasama Indonesia-Malaysia seperti yang dihuraikan dalam Wikipedia, Ensiklopedia Bebas. Barangkali ia akan memberi manfaat dalam kita mengenang Tok Mat yang telah kembali ke Rahmatullah pada 1 Januari 2010 setelah menghidap sakit buah pinggap beberapa waktu. Hari ini genap dua tahun 19 hari Allahyarham meninggalkan kita. Amin Ya Rabulalamin!:



“Tan Sri Mohamed bin Rahmat (4 Januari 1938 - 1 Januari 2010) [1] merupakan ahli politik UMNO/ Barisan Nasional yang terkenal di Malaysia. Beliau berketurunan Jawa, dilahirkan di Pulai,Johor, selatan Malaysia. 'Tok Mat' adalah gelaran singkat bagi beliau. Beliau turut digelar 'Tok Mat', 'Mat Setia', 'Mat Umno' ,'Mat Bulat' dan 'Mr Propaganda'. Ucapan sebelum dan semasa Perhimpunan Agung UMNO sentiasa dinantikan sama seperti pengulungan Presiden UMNO.

Beliau merupakan pemimpin veteran UMNO Beliau pernah menjadi Timbalan Menteri Kewangan (1973) dan Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri (1974). Kemudian menjadi Menteri Penerangan sebanyak dua kali, iaitu dari 1978 hingga 1982 semasa kepimpinan Tun Hussein Onn dan dari 1987 hingga 1999 ketika kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad. Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia bertaraf Menteri dari 1982 hingga 1984.

Mohamed Rahmat keturunan Jawa. Anaknya Datuk Nur Jazlan Mohamed mewarisi politik UMNO Pulai . Nur Jazlan menjadi ahli parlimen Pulai dan Ketua UMNO Bahagian Pulai. Pulai dan Gunung Pulai berhampiran dengan Pekan Nanas dan Skudai, selatan Johor, berhampiran dengan pulau Singapura.

Bapanya seorang Jawa sementara ibunya seorang Cina. Isteri Mohamed Rahmat , Puan Sri Salbiah A. Hamid juga seorang keturunan Cina. [2]

Mohamed mendapat pendidikan menengah di Maktab Abu Bakar, Johor Baharu pada 1956 sebelum melanjutkan pengajiannya dalam bidang Bachelor of Letters di Universiti Indonesia, Jakarta pada 1961. Beliau bagaimanapun tidak sempat menamatkan pengajiannya di peringkat Ijazah Sarjana ekoran konfrontasi antara Malaysia dan Indonesia.

Beliau pernah menjadi guru di Sekolah King Edward VII, Taiping, Perak pada 1963. Kemudiannya beralih kepada bidang penulisan skrip di Filem Negara Malaysia (Finas) selama setahun bermula 1964.[3]

Mohamad Rahmat menjadi ahli UMNO (Baru) dengan no 00000003. Beliau menyertai UMNO sejak 1963 dan terpilih menjadi ahli parlimen Johor Baru Barat dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 1969. Kawasan ini diberi nama baru 'Pulai' pada 1974.

Mohamad Rahmat bertanding di parlimen Pulai atas tiket Barisan Nasional pada tahun 1978. Ketika itu Perdana Menteri Malaysia ialah Dato Hussein Onn - juga orang Johor . Di atas kejayaan besar UMNO Johor meraih undi , maka Mohamed Rahmat telah dilantik sebagai Menteri Penerangan Malaysia (1978-1982). Ketika ini Kelantan yhang diperintah oleh PAS berjaya dirampas oleh UMNO melalui Mageran Kelantan 1978. Difahamkan Mohamad Rahmat telah menghanrar 200 petugas ke Kelantan bagi menerangkan kebaikan dan kelebihan Kelantan jika menyertai Barisan Nasional.

Beliau pernah menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO. Atas kapasiti sebagai Menteri Penerangan, beliau juga dilantik sebagai Setiausaha Agung UMNO dan Setiausaha Agung Barisan Nasional.

Dalam kerajaan , beliau menjadi Menteri Penerangan Malaysia dua kali kerana mempunyai kebolehan mempengaruhi pendengar. Beliau menjadi Menteri Penerangan dari 1978-1982 iaitu semasa Dato Hussein Onn menjadi Perdana Menteri Malaysia. Apabila Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, jawatan itu diserahkan kepada Dato'Seri Mohd Adib bin Mohamad Adam dari Melaka. Mohamed Rahmat dilantik sebagai Duta berstatus menteri ke Jakarta, Indonesia pada 1982.

Mohamad Rahmat dilantik semula sebagai Menteri Penerangan dari tahun 1987-1999 kerana kesetiaan beliau terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad. Pengunduran Musa Hitam sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia dari Johor pada 1986, diisi oleh Mohamed Rahmat. Dengan perlantikan itu, politik Johor dan sokongan Johor kembali stabil.

Mohamed Rahmat adalah alternatif kepada pemimpin UMNO yang 'berpaling-tadah' seperti Dato Shahril Samad . Namun Shahril Samad masih menang dalam Pilihan raya kecil Johor Bharu.Beberapa pemimpin Johor menyertai Team B yang memihak kepada Tengku Razaleigh Hamzah. Tetapi Mohamad Rahmat terus setia kepada dalam Team A . Pendaftaran UMNO dibatalkan dan menyebabkan UMNO menjadi parti haram. Dengan itu juga pengerusi Barisan Nasional terpaksa diserahkan kepada Presiden MCA iaitu Dato Ling Leong Sik. Apabila UMNO Baru berjaya didaftarkan semula, Mohamad Rahmat menjadi Setiausaha Agung Sementara pada 16 Februari 1988. [4] UMNO berjaya dipulihkan dan diyakini rakyat .Perkataan 'Baru' pada UMNO berjaya dibuang . Kelab UMNO luar negara telah ditubuhkan bagi menarik sokongan pelajar luar negara. Pada 19 Januari 1994, Kelab UMNO Surabaya, Indonesia dirasmikan oleh Dato' Mohamad Rahmat.

07 February 2012

APA ADA DI MAKAM WALI SONGO GUNUNG JATI CIREBON?

Wali Songo Gunung Jati yang makamnya terletak di Kesepuhan Gunung Jati di Cirebon. Namanya Syarif Hidayatullah dan dikatakan lahir di Mesir. Ibunya bernama TRatu Mas Rarasantang, manakala bapanya Sultan Abdullah dari Mesir.

Sekadar menunaikan hajat Ibu, maka kami - Ibu Minah Wahab, Amrah Yasin , isteri Rubiyah Suleiman  dan saya berkunjung ke Makam Wali Songo Gunung Jati di Cirebon, sekitar 3.5 jam perjalanan dari Bandung, Jawa Barat hari Minggu, 15 Februari 2012 yang lalu. Ditemani anggota waris keturunan Wali Songo, Deni Moerdiana, kami tiba di pekarangan istana Wali Songo sekitar tengahari. Telah berada ratusan pengunjung menziarahi pekarangan makam. Puluhan peminta sedekah  "mengarak" kami hingga ke gerbang istana a.k.a. makam. Dari jauh sudah kedengaran tahlil dan bacaan doa silih berganti, tanpa hentinya. Kami diberitahu sebelum sampai ke pekarangan parkir kami perlu untuk bersiap dengan uang lima ratusan, dalam bentuk syiling atau kertas untuk beredekah.

Ibu Abbas Suwarna daripada waris keturunan Wali Songo Gunung Jati, Syarif Hidayatullah.

Kami disambut seorang pegawai muda istana yang berpakaian sergam dan menurut Deni akan memimpin acara bertahlil di makam. Ada puluhan pusara yang khabarnya adalah pusara para syuhadah yang kembali ke Rahmatullah ketika berjuang menentang Kerajaan Hindu Padjadjaran yang bermarkas di Sunda Kelapa, Bandung. Wali Songo Gunung Jati ini adalah tunggak perjuangan Islam dan akhirnya Wali dan para pengikutnya berjaya menjadikan Kerajaan Padjadjaran kerajaan Islam di Jawa Barat dan Banten. Peristiwa ini berlaku pada abad ke-17. Dan Wali Songo Gunung Jati adalah antara sembilan wali yang memperjuangkan Islam di seluruh pesisir pantai utara Pulau Jawa dari Surabaya hingga ke Cirebon dalam tempoh 200 tahun kegemilangan wali Jawa.

Pegawai istana yang kami kenal sebagai Ilham Taufik memimpin rombongan kami bertahlil dan berdoa sebeum kami diizinkan naik ke makan Wali Songo di atas puncak Gunung Jati yang mempunyai sembilan peringat anak tangga. Setiap peringkat mengandungi sekitar enam anak tangga. Ibu yang kurang sihat dipimpin naik di setiap anak tangga oleh pemandu van, Pak Aep Saifuddin, juga daripada keluarga keturunan Wali Songo Gunung jati ini.

Suaana sekitar istana yang dipenuhi pusara para syuhada ini amat tenang, tenteram dan penuh damai (serenity). Dari puncak kita seperti berada dalam sebuah taman berbukit-bukit menghijau dipenuhi pohon-pohon rendang yang meredupkan. Sesetengah pohon itu tingginya mencapai puluhan meter. Oleh kerana cuaca panas terik dan anggota rombongan perlu menanggalkan sepatu di gerbang masuk maka tapak kaki bagaikan "melocot" kepanasan. Batu-bata yang tersusun rapi menghiasi anak tangga mengingatkan kami ketika berjalan keluar dari Masjidil Haram di Mekah menuju ke tempat penginapan. Cuaca panas terik menjadikan batu dan marmar sepanjang koridor jalanan seperti kami berada di atas  bara api.


Taman istana yang damai lagi mententeramkan, dipenuhi bunga-bungaan dan pohon Naga Sari yang meredupkan. Saujana mata memandang dari puncak bukit Gunung Jati. Damai lagi mendamaikan!

Terdapat sekelompok empat atau lima pusara di kalangan banyak pusara. Yang paling menonjol alah pusara (makam) Wali Songo Gunung Jati yang agak panjang, Sebelahnya adalah pusara Isteri daripada keturunan Raden sementara beberepa meter di ebelah kanan pusara ada satu lagi pusara yang dikatakan pusara isteri Wali Songo, Puteri Raja China. Menurut ceritanya Wali Songo Gunung Jati ini pernah belayar ke Negara China dan berjaya "mengIslamkan" beberapa pembesar istana. Seorang puteri Raja China ini berkahwin dengan Wali Songo sebelum pulang ke Cirebon.

Tidah mudah untuk dapat menziarahi makam. Rombongan perlu memenuhi syarat. Pertama anggota lelaki perlu memakai seragam istana seperti halnya pegawai istana. Jumlah pegawai istana dikatakan sekitar 30 orang. Kemudian syarat paling utama "bersedekah" kepada ketua istana yang akan menentukan jumlah yang perlu dibayar. Ketika iu kami dengan rela dan ikhlas memberi salam sebanyak RP 600,000 (RM 200). Dan di makam puncak itu kami masih terus dipimpin pegawai muda istana  yang sejak awal mengiringi kami. Pegawai muda itu ada juga menawarkan kepada kami tasbih yang boleh kami beli dengan sejumlah dana. Namun kami menolak dengan baik tawaran pegawai muda itu.
Anggota rombongan yang berziarah ke Makam Wali Songo Gunung Jati, Cirebon. Dari kiri: Deni Moerdiana, Rubiyah Suleiman, Ibu Minah Wahab, Amrah Yasin, pegawai istana Wali Songo dan A.F.Yassin berpakaian seragam istana.

Keseluruhannya kami berada di makam Wali Songo itu sekitar dua jam dan sebelum pulang ke Bandung kami mampir di kampung Deni di tengah-tengah kota Cirebon berhampiran dengan landasan keretapi. Menurut Deni ibunya (Raden Suwarna) telah menjual rumah itu dan menetap di Jalan Titimplik Dalam, Panyingkiran Kota Bandung, sementara Deni sendiri menetp di Jalan Padasuka, arah pasar Chichaeum, Jalan Jatinangor, utara Bandung. Ibu Suwarna tidak lagi menggunakan "Raden" di pangkal namanya kerana berkahwin dengan orang kebanyakan, Pak Abbas Suwarna (Allahyarham).

Pak Aep Saefuddin, pemandu van berpakaian seragam istana menjirus air untuk menyejukkan anak-anak tangga sebelum anggota rombongan memijak anak tangga naik ke makam di puncaknya. Ini adalah peringkat keenam anak tangga yang perlu dilalui sebelum sampai ke puncak makam.


Dan tak lupa kami mampir di Bandar  Sumedang kira-kira sejam sebelum sampai di Bandung untuk membeli taufu  Sumedang yang masyhur lagi enak itu.  Bagi rombongan ziarah ke Makam Wali Songo Gunung Jati di Cirebon amat menenangkan, penuh dengan damai dan tenteram. Rasa-raasanya ingin ziarah lagi kalau masih punya kesempatan. Kapan-kapan saja lho!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

What Other People Say...


"A.F.Yassin dalam cerpennya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).