30 April 2011

MELIHAT DUNIA MELAYU YANG TEMPANG DAERAH NUSANTARA

   
 Tan Sri Ismail Hussein, Ketua 1 Gapena bertanggungjawab memperkasa Dunia Melayu.


Bagaikan ada sesuatu yang kurang enak dalam Persidangan Dunia Melayu yang ketiga di PWTC Kuala Lumpur baru-baru ini ( tahun 2001). Kata seorang peserta, “Saya terima beg seminar pada hari pendaftaran tapi kerta kerja tak lengkap. Berbeza sekali dengan apa yang saya alami semasa menghadiri Pertemuan Sasterawan Nusantara di Kayu Tanam, Sumatera Barat atau di Johor Bahru dahulu. Kertas kerja yang kami terima lengkap, malah sudah dalam bentuk buku jadi.”

Di Melaka pada Konvensyen Dunia Melayu, Dunia Islam berikutnya peserta yang sama mengeluh tentang kertas kerja juga. Katanya, “Beg seminar kosong. Kertas kerja terpaksa diambil setiap hari dari meja panitia. Dengar cerita lain pula. Kata dia orang kertas kerja sudah siap cuma ia diberi pada hari pembentangan. Ini apa punya cerita daa!”

Itu baru kertas kerja. Lain pula hanya tentang penginapan peserta. Di Kuala Lumpur semua peserta seminar menginap di hotel mewah bersebelahan dengan PWTC. Tamu penganjur, seperti kumpulan seni dari Madagaskar dan Tonga ditempatkan di hotel yang alhamdulillah boleh tahan lagi, walaupun “sikit bawah” dari segi bintangnya berbanding hotel penginapan peserta seminar. Di Melaka peserta ditempatkan di hotel mewah tempat konvensyen berlangsung, termasuk tetamu penting dari negara jiran, Tetamu gabungan persatuan penulis nasional (Gapena) yang menjadi penganjur bersama, ditempatkan di sebuah hotel “RM45 semalam” di depan Balai Polis di Hujung Pasir. Menariknya ada seorang penjual buku, juga mendakwa dirinya tamu Gapena, bernasib baik dapat tinggal di hotel tempat persidangan. Katanya dia menggantikan tamu yang tidak dapat hadir di saat akhir.

Itu cerita tentang beg, kertas kerja dan penginapan. Tidak penting sebenarnya berbanding tujuan ke seminar untuk mendengar pandangan tokoh-tokoh pembentang makalah. Maklum, tokoh-tokoh itu didatangkan dari seluruh dunia. Melaka sahaja mengundang tokoh dari 27 negara termasuk empat orang gabenor dari Indonesia. Berbobot semuanya. Di Kuala Lumpur negara yang dijemput menghantar wakil tidaklah sebanyak yang di Melaka. Barangkali Kuala Lumpur mahu membataskan jemputan kepada negara yang di kalangan rakyatnya masih punya darah Melayu mengalir dalam badannya, termasuk dari Afrika Selatan, Madagaskar dan Sri Lanka.

Pembentang makalah baik di Kuala Lumpur mahupun di Melaka terdiri daripada tokoh-tokoh yang sama, seperti Tengku Nasaruddin Effendy dari Riau, Safrullah Sanre dari Makassar, Zounie Fallil dari Sri Lanka (yang mengaku dirinya Melayu Sri Lanka) dan Muhammad Taib Ranaivoson dari Madagaskar. Oleh kerana tema pertemuan di kedua-dua persidangan adalah dunia Melayu maka kebanyakan kertas kerja seperti mengulangi apa yang dibentangkan sebelumnya. Yang dibentangkan di Kuala Lumpur diulangi semula di Melaka dengan pendekatan yang sedikit berbeza. Di Melaka pendekatan lebih menumpukan kepada penglibatan belia. Barangkali pendekatan ini dikaitkan dengan pengalaman kegiatan ketua menterinya, Dato’ Seri Mohd Ali Mohd Rustam dalam pergerakan belia.

Makanya pada hari pembukaan dan penutupan rasmi konvensyen Melaka, lebih tiga perempat daripada jumlah peserta yang hadir terdiri daripada kaum belia. Muda-muda dan comel-comel lengkap berpakaian seragam. Keadaan berlainan di Kuala Lumpur di mana kebanyakan peserta terdiri daripada  tokoh-tokoh dalam berbagai bidang dari dalam dan luar negeri. Malah turut serta selebriti dalam bidangnya masing-masing, seperti Azalina Mohd Said dari Puteri UMNO dan Erma Fatima, orang filem yang juga exco Puteri UMNO.

Sekurang-kurangnya tiga bekas menteri turut bersama di persidangan Kuala Lumpur, iaitu Tan Sri Abdul Samad Idris, bekas menteri kebudayaan, Tan Sri Aishah Ghani bekas Menteri Kebajikan Am dan Tan Sri Mohammad Mohd Taib, bekas Menteri Besar Selangor. Seorang menteri Melayu, Sidek Saniff, dari Singapura turut hadir sebagai peserta dan pembentang makalah. Seorang ahli jawatankuasa penganjur gembira dengan kualiti peserta yang hadir, malah sepanjang tiga hari persidangan jumlah yang hadir tidak surut-surut. Ada dua sesi berjalan serentak dan dewan sentiasa penuh. “Paling mereka terus berminat mengikuti setiap sesi,” katanya. Menurut seorang peserta, memang pun dia berminat untuk hadir setiap sesi kerana seperti katanyam, “Kita datang jauh-jauh dan membayar untuk ikut serta. Bukannya percuma.”

Di Melaka lain lagi ceritanya. Kehadiran peserta dalam sesi perbincangan memperlihatkan skala  turun naik. Tetapi sekali sesi, jumlah yang hadir tidak  sampai pun 50 orang. Kadang-kadang terasa seperti pemakalah-pemakalah membentangkan kertasnya dalam dewan yang hampir kosong. Apapun jua mesej persidangan di Melaka lebih terarah. Ada wawasan dalam mesej. Penganjur utamanya Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP) mahu mendekatkan generasi belia kepada masalah bangsanya, dan memahami jaiti dirinya. Belia adalah generasi penerus dalam memperkasa jati diri. Bagi Iksep, ini amat penting kerana umumnya pada hari ini kaum belia begitu goyah dalam mempertahankan kepribadian dan jaiti diri Melayu. Hal ini diperkuat oleh hujah Tengku Nasaruddin Effendy (Pak Tenas), tokoh budaya dari Riau dalam kertas kerjanya yang bertajuk “Jati Diri Belia Dalam Tamadun Melayu.”

Pak Tenas bimbang jati diri di kalangan belia Melayu hari ini “begitu goyah”. Baginya terdapat 25 sifat yang dikaitkan dengan jati diri dan kesemua sifat ini perlu dihayati semula oleh anak-anak muda hari ini agar “Tak Melayu hilang di bumi.” Gabenor Riau yang turut hadir, Salleh Djasit, SH mengakui pentingnya peranan belia yang menghayati jaiti diri keMelayuannya. Katanya, “Para belia Melayu sendirilah pada saatnya akan menentukan tercapai atau tidaknya cita-cita dan wawasan bangsanya. Elok padi, berisi buahnya, elok negeri berisi belianya. Tegak rumah kerana tiang, tegak bangsa kerana belia.”

Betapa tepatnya pandangan dua tokoh dari Riau ini tercermin dalam “Deklarasi Melaka” yang diikrarkan oleh Prof. Madya Dato’Dr Latiff Bakar, Pengerusi Jawatankuasa Kecil Resolusi pada majlis penutup. Ikrarnya, antara lain, “Bahawa kami belia dunia Melayu dunia Islam sepakat melaksanakan nilai-nilai luhur budaya Melayu dan islam, di seluruh rumpun Melayu, dalam segala aspek kegiatan. Bahawa kami .....berjuang secara optimum dan berfterusan mengembangkan bahasa dan budaya Melayu dan Islam kepada bangsa Melayu dan Islam. Bahawa kami... akan membuktikan sokongan penuh kepada semua pihak yang berjuang mewujudkan belia dunia Melayu dan dunia Islam yang berjaya sepanjang masa dan bahasa kami ...akan selalu meningkatkan sumber daya manusia yang berkualiti dan pembangunan ekonomi bangsa Melayu melalui kerjasama yang ampuh dan saliong menguntungkan bagi dunia Melayu dunia Islam yang berjaya sepanjang masa.”

Melalui ikrar itu, belia akan membentuk satu jawatankuasa kerja  yang akan diletakkan di bawah sekretariat dunia Melayu dunia Islam yang berpusat di Melaka. Maknanya jawatankuasa kerja ini akan melakar satu “blueprint” untuk melaksanakan apa yang diikrarkan. Sekretariat Dunia Melayu Dunia Islam akan memantaunya. Ini satu wawasan besar yang dipersetujui oleh 27 perwakilan yang bersidang di Melaka itu. Dengan deklarasi Melaka ini maka kini sudah terbentuk dua sekretariat dunia Melayu, satu yang di Melaka ini dan satu yang beribu pejabat di Rumah Gapena, iaitu Sekretariat Dunia Melayu dengan setiausaha sekretariat Tan Sri Ismail Hussain, Ketua I Gapena. Diperkirakan Sekretariat Dunia Melayu Dunia Islam di Melaka itu akan dipimpin oleh Latiff Bakar yang juga Ketua II Gapena. Secara tidak langsung kedua-dua sekretariat dunia Melayu ini akan dikuasai langsung oleh orang nombor satu dan nombor dua Gapena.

Akan terbentang satu senario kegiatan dunia Melayu yang prakarsai Gapena, sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang seluruh tenaganya terdiri dari kalangan sukarelawan. Barangkali Melaka akan muncul sebagai negeri katalis yang  meletakkan belia sebagai sayap generasi penerus kepada kelangsungan gagasan Dunia Melayu. Manakala sekretariat Dunia Melayu di Kuala Lumpur akan tetap kekal sebagai badan induk. Dengan Johor berperanan memperkasa kesenian Melayu antarabangsa, maka bukan tidak mungkin Kuala lumpur, Melaka dan Johor akan menjadi tiga serangkai yang saling cuba “memartabatkan pembangunan dunia Melayu secara holistik” dengan Melaka diharapkan mempelopori proses regenerasi  di kalangan belia. Setakat ini kelihatannya hanya tiga wilayah ini yang bergiat rancak melalui kekuatan kesukarelawanannya.

Yang deperlukan sekarang barangkali menyelaraskan kegiatan dan cara kegiatan itu dilaksanakan, baik yang dianggap remeh dan enteng mahupun yang lebih sulit dan kompleks. Misalnya dalam sebaran resolusi dan ikrar di akhir persidangan. Ternyata Melaka lebih efisien kerana sejam sebelum resolusi diikrarkan, salinan-salinannya sudah diedarkan kepada semua peserta. Ini berbeza dengan persidangan di Kuala Lumpur. Seorang ahli jawatankuasa malah berjanji akan mengedarkan kemudian, walaupun persidangan sudah masuk “masa kecederaan”.  

Pada hal resolusi Kuala Lumpur ditunggu-tunggu peserta mengingatkan pandangan-pandangan bernas daripada tokoh-tokoh pembentang. Peserta ingin tahu sekiranya ada anjakan daripada resolusi terdahulu kerana persidangan ini merupakan kali ketiga dilangsungkan. Tokoh-tokoh yang memberikan pandangan merupakan ahli dalam pelbagai bidang, tidak terkecuali politik. Menteri Singapura Sidek Saniff, Dr. kassim Ahmad, Tan Sri Awang Had Salleh, Prof. Ahmad Johari Moain,  Azalina Mohd Said dari dalam negeri. Kemudian ada Tengku Luckman Sinar SH, Prof. Samin Siregar,  Tengku Nasaruddin Effendy  dari Indonesia dan beberapa tokoh lain dari Melayu diaspora. Peserta ingin tahu bagaimana penganjur mengadunkan keperluan Melayu diaspora yang menekankan bantuan kerjasama dari Kuala Lumpur dengan keperluan Melayu induk, terutama di Malaysia, untuk sentiasa berwaspada terhadap ancaman globalisasi yang menurut Kassim “hanya menguntungkan Barat dan patut sangat ditentang.”

Resolusi akan menjadi semakin menarik apabila keperluan-keperluan politik, sosial, pendidikan dan ekonomi  diadunkan dalam membentuk satu wawasan yang komprehensif demi survival orang Melayu sejagat. Keluh seorang peserta Persidangan Melayu Sedunia 2001 itu, “Entahlah, saya tahu apakah ini boleh dilaksanakan. Soalnya masih banyak yang remeh-remeh belum dapat diatasi dengan baik. Nampaknya cara tidak begitu penting, Yang dipedulikan tujuan akhirnya sahaja, iaitu mengadakan persidangan.” Tidak pasti sama ada Ismail Hussain yang hampir setiap pagi minum teh tarik bersendirian di restoran Riverside sepanjang persidangan sedang memikirkan hal-hal yang remeh ini.

-ends.   

21 April 2011

SUTARDJI JAHIL TENTANG PENULIS MALAYSIA?



Berita Harian (2 Ogos 1999) menyiarkn artikel  "Gapena Hanya Buang Masa: Sutardji".yang saya tulis pada 7 Julai 1999. Saya namakan artikel itu “Sutardji Jahil Tentang Kegiatan Gapena?” Antara lain tulis saya:
"Seniman perlu ada semangat amok," kata Sutardji Calzoum Bachri (gambar), ketika membentangkan kertaskerjanya dalam Kolokium Penulisan Kreatif di Daik-Lingga, Riau 7 Julai lalu. Sutardji berkata demikian di hadapan kira-kira 80 orang peserta Perkampungan Penulis Melayu Serumpun dari lima negara di Daik Lingga di Balai Pertemuan Kelurahan Daik di Jalan Masjid Sultan Lingga. Maksud semangat amok ini boleh ditafsir berbagai-bagai. Hamzah Hamdani yang ikut serta menafsirkan sebagai penulis mestilah berani melahirkan karya besar yang kadang-kadang menongkah arus. Ada pula yang menilai Sutardji melepaskan geram kerana kecewa tidak dapat yang dia mahukan.

Tentang Gapena Suratdji menilai badan itu selama ini mengadakan kegiatan yang sia-sia, Tidak ada hasil yang konkrit seperti penerbitan buku setelah berlangsungnya sesuatu kegiatan. Sutardji kesal rancangan Gapena hanya "membuang masa, tenaga dan wang. "Hanya sia-sia lebih kepada kegiatan basa-basi. Kegiatan Gapena lebih kepada mencari Melayu di mana saja," ujarnya.

Sutardji telah memberi satu suntikan yang sedikit mengejutkan kepada setiap yang hadir hari itu. Sesi kedua dan petangnya kembali menenangkan suasana dan pembentang dan peserta lebih bersikap rasional berdisiplin. Tidak ada lontaran pendapat dan pandangan yang kontraversi. Seperti kata seorang peserta "carik-carik bulu ayam di sidang pagi akhirnya bercantum juga di sebelah petangnya." Sementara seorang peserta lain berkata bahawa lontaran Sutardji tidak menjadi kudis kepada perkampungan."

Kolokium yang sepatutnya diadakan satu hari setengah itu dapat diselesaikan dalam masa sehari. Khabarnya ada beberapa pembentang kertas kerja tidak dapat hadir atas sebab-sebab tertentu. Hujan tengahari menyebabkan tidak ramai yang hadir pada sesi petang. Daripada hasil perbincangan sehari itu satu Deklarasi Daik diisytiharkan pada malam terakhir di Daik. Deklarasi yang disusun oleh Sutardji Calzoum Bachri, Taufik Ikram Jamil, Hamzah Hamdani, Al azhar, Masran Sabran, Yusmar Yusuf dan seluruh peserta Perkampungan Penulis Melayu Serumpun adalah hasil perbincangan kolokium dan dibacakan oleh Drs Syafrial Syamsuddin selaku Ketua Pelaksana Perkampungan. Deklarasi itu berbunyi:

1. Adalah suatu kenyataan bahawa bahasa merupakan mahkota kebudayaan Melayu yang penggunaannya tersebar pada sejumlah negara di Asia Tenggara.

2. Oleh kerana sastera merupakan mahligai bahasa maka sepatutnya kegiatan sastera memperoleh perhatian yang khas dalam kegiatan kebudayaan Melayu. Perhatian khas dimaksud antara lain berupa penerbitan buku bersama atau penampilan seni sastera.

3. Mengembangkan rasa saling memiliki karya sastera tersebut melalui semua sarana.

4. Deklarasi ini dibuat setelah mengamati dan mempertimbangkan fikiran mahupun perasaan yang muncul dalam Perkampungan Penulis Melayu Serumpun tajaan Pusat Pengajian Bahasa dan Kebudayaan Melayu, Universitas Riau (P2BKM UNRI) di Daik, 4 - 8 Julai 1999. Daik Lingga. 7 Julai 1999.

17 April 2011

BERSAMA DJAMAL TUKIMIN DALAM MRT SINGAPURA 12 THUN LALU.




Djamal Tukimin (kanan sekali) bersama rombongan Jejak Bahasa DBP-TV3 ketika penggambaran di Singapura. Djamal bertindak sebagai pemandu rombongan.


















Salah seorang pengasas ASAS '50, Mohamad Ariff Ahmad (MAS) bercerita tentang orang Melayu Singapura, tahun 1999.






Sekitar bulan Oktober 1999, saya dan penulis/wartawan Singapura, Djamal Tukimin menaiki tren komuter (MRT) di Singapura. Pertama kali saya menaiki MRT di pulau republik itu dan sempat melihat suasana sekitaran dari Stesen Buono Vista di barat Singapura menuju Stesen Pasir Ris di sebelah timur. Perjalanan memakan masa kira-kira 45 minit. Koc penuh sesak dengan penumpang.

Ketika kereta api berhenti sejenak di Stesen Paya Lebar, saya melihat Perkampungan Melayu, kira-kira 200 meter di sebelah kanan dan berhampiran dengan "pasar makan" Geylang Serai. Kompleks Perkampungan Melayu itu memang menarik kerana reka bentuk keMelayuannya. Ada pelbagai jualan di kompleks itu, termasuk sebuah restoran makanan laut, gerai makan Melayu dan gerai hasil kraftangan orang Melayu. 

Di kompleks itulah malam sebelumnya saya menikmati hidangan Melayu sambil menonton peraduan menyanyi karaoke sempena mengutip derma untuk pembinaan sebuah masjid. Nyanyian karaoke oleh para peserta yang kebanyakan terdiri daripada pasangan suami isteri mengingatkan saya kepada zaman kegemilangan Jalan Ampas tahun 1950an dan Pop Yeye tahun 1960an. Hampir semua lagu yang dibawakan adalah lagu-lagu dari filem-filem P. Ramlee dan lagu-lagu tahun 1960an. Difahamkan kompleks itu didirikan dan dimiliki oleh orang bukan Melayu.

Kecuali kompleks itu tidak ada lagi bangunan bercirikan Melayu yang dibina di sekitarnya. Dulu satu waktu, kawasan Geylang ini dipenuhi rumah-rumah bentuk Melayu sehinggalah ke Pasir Ris. Kini ia dipenuhi bangunan rumah pangsa puluhan tingkat yang memagari sepanjang jalan MRT. Penduduknya tidak lagi majoriti Melayu tetapi telah dibaurkan sehingga menjadi percampuran pelbagai sukubangsa - Cina, Melayu dan India.

Ketika keluar dari Stesen Pasir Ris, Jamal menujuk ke arah timur. Katanya, "Dulu tempat itu adalah perkampungan Melayu. Di situ juga lokasi penggambaran siri filem Bujang Lapuk. Sekarang hanya rumah pangsa dan taman." Dan di sebuah restoran stesen itu kami melihat sekumpulan anak muda lelaki perempuan sedang asyik bersembang. Mereka berpakaian fesyen terkini, yang lelaki berseluar pendek dan yang perempuan berseluar panjang. Seorang daripada mereka duduk di kerusi roda.

Pada mulanya kami menyangka mereka orang Cina kerena wajah mereka saling tak tumpah orang Cina. Tetapi setelah mendengar mereka bercakap, barulah saya sedari bahawa mereka anak muda Melayu. Nampaknya semakin hari semakin sukar untuk mengenali keturunan anak-anak muda Singapura melalui wajah dan perawakan. Jamal sendiri pun kata begitu. Malah dia sendiri kini mempunyai ahli keluarga yang wajahnya tidak lagi sepenuhnya Melayu atau Jawa. Menurutnya, dia punya menantu dari keturunan India dan kalau tidak ada haral melintang pada tahun depan (2000) dia bakal mempunyai menantu daripada keturunan Cina pula.

Oleh kerana hari hampir maghrib, Djamal membawa kami ke masjid terdekat. Kata Jamal masjid Pasir Ris yang kami kunjungi itu baru sebulan setengah dibuka dan ia dibina hasil titik peluh penduduk, tanpa bantuan satu sen pun daripada kerajaan. Sebagai anak Melayu, kata Jamal, penduduk berasa bangga kerana "kita tidak mengemis." Kerajaan hanya membantu dari sudut pengurusan kewangan, iaitu dengan "membuat pemotongan gaji."

Pada tahun 1990, penduduk Melayu Singapura berjumlah kira-kira 400,000 ribu orang, termasuk kira-kira 17,000 orang Islam bukan Melayu. Penduduk Melayu Singapura terdiri daripada keturunan Melayu (261,200 orang), keturunan Jawa (65,600 orang), keturunan Bawean (43,200 orang), keturunan Bugis (1,500 orang) dan keturunan suku Melayu lainnya (11,200 orang). Jumlah penduduk Singapura seluruhnya ialah 2.7 juta orang. Orang Melayu merupakan golongan majoriti dalam kumpulan minoriti, iaitu kira-kira 15% daripada keseluruhan jumlah penduduk. Menurut Jamal Melayu Singapura telah dapat menyesuaikan diri dengan keadaan dan suasana dan mereka telah mampu bersaing dengan masyarakat-masyarakat lain, terutama masyarakat Cina dalam semua bidang, pendidikan khasnya. Mereka tidak lagi rasa tersisih atau rendah diri. 

Yang menarik ialah wajah kosmopolitan orang Melayu ini baik lahiriah mahupun batiniah, lebih-lebih lagi batiniah. Hj Mohamad Arif Ahmad, salah seorang pengasas ASAS '50 dalam kertas kerjanya "Kebudayaan Melayu Kini Dalam Kehidupan Di Singapura" yang dibentangkan dalam Kongres Nilam, yang turut saya hadiri pada tahun 1999 merumuskan bahawa "Cara hidup baru demikian itu, lama kelamaan telah mengubah kehidupan orang Melayu kini yang sentiasa berkita, menjadi orang Melayu kini yang hidup beraku dan berengkau, yakni yang lu sapa-gua sapa. Semangat kekitaan hampir pudar."

Kata  Mohamad Arif, "Oleh kerana 86% jiran di rumah pangsa terdiri daripada mereka yang bukan beragama Islam, maka jarang-jaranglah orang Melayu berpeluang mengucapkan assalamualaikum kepada jirannya. Mereka lebih kerap kali mengucapkan good morning kepada jirannya. Kadang-kdang chau-an atau sekali-sekala manekem. Itu pun hanya sekali dua mereka  bersapaan dalam sehari, ketika kebetulan mereka bertemu di dalam lif atau masa hendak pergi atau pulang kerja.

Menurutnya lagi , dari sudut kebudayaan, orang Melayu menghayati kebudayaan kebangsaan sebagai rakyat Singapura dan dalam pada itu menghayati dan mengamalkan pula kebudayaan warisan sebagai orang Melayu. Mohamad Ariff mengertikan kebudyaan kebangsaan sebagai kebudayaan yang tercipta sesuai dengan kehendak dan kepentingan negara - sama ada yang tercipta hasil dari rasa, karsa dan daya masyarakat Singapura ataupun yang terbentuk dari asimilasi/akulturasi budaya warisan bangsa-bangsa warganegara. 

Manakala dia mengertikan kebudayaan warisan sebagai kebudayaan yang terwaris daripada nenek moyang, yang telah dihayati zaman berzaman. Demikianlah amalan dan penghayatan orang Melayu terhadap kebudayaan. Hal ini mudah difahami kerana asas-asas persekitaran dan demografi yang telah dirancang sejak sekian tahun oleh pihak berkuasa.

Orang Melayu Singapura belum sampai ke tahap itu dan menurut seorang peserta agak mustahil untuk sampai ke tahap begitu, namun disebabkan keghaiarahan suku bangsa ini untuk saling bersaing dengan masyarakat-masyarakat bukan Melayu demi mengejar kemajuan akan memungkinkan berubahnya senario budaya Melayu Singapura menjadi seperti yang di Cape Town. Di Majlis Pusat, Institut Kebangsaan bagi Kepimpinan Masyarakat (NACLI), tidak ada sepatah pun bahasa Melayu digunakan di papan-papan tanda arah. Anak-anak muda yang duduk di sebalah kami itu juga lebih banyak bersembang dalam bahasa Inggeris daripada bahasa Melayu. Pakaian yang mambalut tubuh yang tidak lagi sawo matang ittu tidak lagi menampakkan ciri keMelayuan.

Sebelum meninggalkan Singapura Ahadnya, saya mampir di Istana Kampong Gelam di Sultan Gate. Seluruh kawasan istana telah menjadi hakmilik negara (state property), mulai 18 September 1999. Satu papan tanda tentang perkara itu diletakkan di depan istana dan kawasan itu telah menjadi kawasan larangan. Namun masih terdapat 11 keluarga waris Sultan Hussein Shah tinggal di dalam pekarangan istana dan pemerintah menganggapnya sebagai setinggan. Pada 29 September, ahli-ahli waris ini telah disaman untuk hadir di mahkamah bagi menjawab  mengapa mereka menduduki tanah hakmilik negara secara haram.

Difahamkan bahawa ahli-ahli waris seperti Tengku Yusoff b T. Abd Samad dan isteri Raja Khatijah Bt Raja Saad serta Raja abu Bakar b. Raja Abd Rahman telah mngiriman surat kepada  Queen Elizabeth II di London meminta jasa baik baginda menyelesaikan masalah istana ini. Pada 15 September 1999 mereka menerima jawapan dari ratu Inggeris itu yang antara lain berkata bahawa agak mustahil bagi baginda  masuk campur  dalam hal-ehwal negara lain. Namun Baginda telah memanjangkan surat itu kepada Robin Cook, Setiausaha Luar  dan Hal-Ehwal Komonwel untuk tindakan selanjutnya. Surat jawapan Ratu Inggeris itu dialamatkan kepada Tengku Mohamad B Tengku Jamil.

Keadaan hidup serba dhaif ahli-ahli waris Sultan Hussein di pekarangan istana adalah refleksi kisah sejarah bermulanya Sultan Hussein diangkat menjadi Sultan Johor ke-16 oleh penjajah Inggeris pada tahun 1819. Hari ini saki -baki waris sultan itu mula bertaburan, sesetengahnya telah meninggalkan pulau republik itu buat selama-lamanya, menumpang ehsan di rumah kerabat di Johor, terutama di Batu Pahat. Istana Kampong Gelam pula ibarat sarang setinggan di tengah-tengah kota kosmopolitan yang corak pembangunan fizikalnya tidak ubah seperti kota London atau Cape Town. 

13 April 2011

MENGENALI JINS SEBAGAI ANAK WAYANG

Jins Shamsuddin gambar Wikipedia
Dalam peretmuan eksklusif saya dengan Jins Shamsuddin, nama sebenar Mohamed Zain Shamsuddin, di Perfima yang berpejabat di Jalan Ampang untuk “write-up” majalah Dewan Masyarakat pada tahun 1973, Jins bercerita tentang suka-duka sebagai anak wayang. Monopoli dua gergasi filem waktu itu sungguh-sungguh “mencekikkan”. Katanya, “Perfima, sebuah studio yang bertujuan mengeluarkan filem-filem bermutu dan mengedarkan Indonesia kini sedang perlahan-lahan dicekik oleh Shaw Brothers.” Bagaimanapun ketika itu Jins yakin “lambat laun benteng monopoli ini roboh juga akhirnya.”

Jins (lahir pada tahun 1935) mengemukakan berbagai-bagai cadangan untuk memecah monopoli ini, termasuk campur tangan kerajaan. Antara cadangannya membangunkan panggung sendiri, mengadakan kuota import filem asing untuk melindungi pengeluaran filem tempatan dan mempastikan filem-filem yang diimpot tidak bertentangan dengan konsep Rukunegara. Lebih penting semua filem import hendaklah bersarikatakan bahasa Melayu sahaja.

Cadangan Jins yang mengaitkan filem dengan budaya begitu ditekankan. Menurutnya, kerajaan perlu campur tangan dalam mengimport filem asing. Jins yakin banyak filem asing boleh merosakkan “peradaban bangsa. Masyarakat ditonjolkan dengan kisah seks melulu, keganasan dan sebagainya. Kesannya kian nyata bila dadah, ganja, curi, rampas, rogol dan lain-lain sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat hari ini.”

Di Dewan Negara, Senator Othman Abdullah mengulangi kebimbangan Jins ini. Katanya, “Keluar sahaja dari bangunan Parlimen kita terus melihat anak-anak muda berasamara di sana sini di Taman Bunga.Tentu ini adalah kesan menonton filem-filem seks.” Sementara Jins mengulangi cadangannya itu dalam Seminar Ekonomi Bumiputra yang diadakan di Universiti Malaya tahun 1973.

Kini, masyarakat filem menaruh harapan kepada Jins untuk terus menyuarakan rintihan dan harapan mereka di Dewan Negara. Platform perjuangan Jins tidak lagi setakat Studio Panca Delimanya, tetapi semakin membesar dan bersigfat lebih rasmi dan nasional di Dewan Negara. Sebagai senator yang turut aktif dalam politik, Jins mempunyai peluang sepenuhnya untuk memperjuangkan bidang yang telah menjadi darah dagingnya.

Jins mampu dan boleh melakukan sesuatu. Ini anggapan orang filem. Walaupun rancangan untuk mengeluarkan filem “Pasir Salak”nya masih tertangguh dan dipersoal sesetengah pihak, namun baginya Pasir Salak telah menjadi masalah remeh dengan adanya platform yang lebih besar ini. Kata seorang peminatnya, “Minta-minta Jins dengan mencicah usia lanjut itu akan terus diberikan kekuatan, rohani dan jasmani untuk menyuarakan keluahan anak wayang. Jins perlu mendekati mereka bukan sebagai saingan tetapi sebagai sumber inspirasi untuknya berhujah dalam Dewan Negara.”

Penglibatan Jins dalam bidang sastera-budaya amat membantu. Jins banyak teman di kalangan penulis dan aktivis budaya. Ini dapat dilihat melalui kekerapannya hadir dalam majlis-majlis anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena). Jins tidak kekok bergaul mesra dengan anggota kerabat. Barangkali sudah menjadi tanggung jawabnya begitu kerana Jins ahli persatuan penulis nasional (Pena) dengan nombor urutan 191. Penglibatannya tidak sekadar memenuhi undangan atau menggenapkan jumalah ahli tetapi turut giat di lapangan.

Ketika berlangsungnya Pertemuan Sasterawan Nusantara di Ujung Pandang, Makasar, Indonesia pada tahun 1986, Jins merupakan salah seorang daripada 69 anggota perwaikilan Gapena yang turut hadir. Setiap anggota perwakilan mungkin tidak dapat melupakan bagaimana sibuknya Jins macam lipas kudung menguruskan bagasi dan “check-in” di lapangan terbang Jogjakarta dan Bali. Pada 19 November, ketika penerbangan Jogjakarta-Ujung Pandang tergendala hampir satu jam, akibat karenah birokrasi terminal, Jins ke sana ke mari bersama beberapa orang pemimpin Gapena, termasuk Tan Sri Ismail Hussein menyelesaikan masalah. Sehingga ke hari ini kami anggota rombongan tidak pernah dimaklumkan secara rasmi punca penerbangan tergendala.

Usaha Jins seperti ini datangnya secara sukarela dan kerana cintanya kepada cabang yang turut menjadi profesionnya. Tidak siapa yang menyuruhnya. Sebagai seniman besar dan menjadi idola remaja, Jins boleh sahaja mendiamkan diri di satu penjuru balai berlepas. Tetapi Jins tidak berbuat demikian. Dalam pada itu pandangan yang diberikan dalam majlis-majlis dialog atau makan malam di Rumah Gapena mencerminkan gejolak rasanya dalam bidang yang beliau telah benar-benat menjadi sebahagian daripada periuk nasinya pula.

Sastera dan filem, dua genre dalam satu kesatuan yang terbaur diri manusia yang bernama Jins. Beliau bukan jin yang menjelmam dalam diri manusia. Sesekali berbual dengannya dalam majlis-majlis anjuran Gapena, saya mengingatkan kembali kepada pertemuan di pejabatnya Perfima tahun 1973 itu. Ketika saya dipersilakan masuk oleh seniman Wahid Satay yang berada di pintu pejabat, saya terlihat Jins sudah pun berada di mejanya. Di atas meja ada sebuah buku. Tidak pasti apakah dia sedang khusyuk membacanya atau sedang berlakon membaca. Melihat saya masuk Jins bingkas bangun dan menghulurkan tangannya. “Saya tengah baca novel ini untuk cuba nak buat filem,” katanya tanpa ditanya.

11 April 2011

RICKIENO BAJURI BERMUKIM DI BANDUNG,BERKKAHWIN DI SEPANG


Rickieno Bajuri dan isteri brunya Ramlah. Mereka berkahwin di Sepang.

Pelajar-pelajar Malaysia yang kuliah di Bandung pada tahun-tahun 197o-an tentu tidak mudah lupa akan tokoh pop yeh-yeh, Rickieno Bajuri, warga Singapura yang melanjutkan pelajaran di salah sebuah universiti terkemuka di Bandung. Rickieno bukan sahaja belajar tetapi terus mendirikan rumah tangga dengan wanita Bandung.

Pelajar-pelajar Malaysia barangkali ada yang menjadi jirannya ketika indekos di daerah Titimplik, Panjingkiran berhampiran dengan kampus Universitas Padjadjaran di Jalan Dipati Ukur. Di daerah inilah Rickieno meneruskan hidup berumah tangganya. Kadang-kadang pelajar-pelajar terserempak dengan tokoh pop Singapura ini di depan rumahnya. Mesra orangnya dan boleh diajak berbual.

Jiran Rickieno memanggilnya Mas Rickie dan oleh kerana begitu lama menetap di daerah Titimplik yang padat penduduk maka Rickie tidak mendapati dirinya terasing. Tutur kata dan perwatakannya telah banyak menunjukkan bahawa beliau telah sebati dengan kehidupan orang Sunda, malah menjadi lebih Sunda daripada orang Sunda sendiri. Dan kalau bertemu di jalan, tidak siapa boleh menduga bahawa beliau orang Singapura.

Dan dua hari lalu keluar berita bahawa Rickie berkahwin dengan wanita Malaysia beranak lima. Baca ceritanya di bawah ini. Dengan demikin, Rickie yang sejak pertengahan tahun 197o-an meneruskan hidup berumah tangga di Bandung, kini menjalani hidup baru sebagai suami seorang warga Malaysia.

Soalnya mungkinkah Rickie akan menetap di Selangor di rumah isterinya yang baru ini atau akan berulang-alik di tiga negara, iaitu Indonesia, Singapura dan Malaysia. Dan bagi orang Indonesia, Mas Rickie sudah pasti berganti status sebagai warga mancanegara dengan sembilan anak - empat yang punya Rickieno dn lima milik Ramlah.
Tahniah dan Selamat Pengantin Baru!

SEPANG 9 April - Penyanyi pop 60-an daripada kumpulan The Cliffters, Rickieno Bajuri atau Marwasi Bajuri, 68, hari ini selamat bernikah dengan Ramlah Pondo, 49, di Bandar Seri Ehsan di sini. Pasangan itu dinikahkan oleh Pegawai Tadbir Agama Daerah Kuala Langat, Md. Razali Hassanusi dengan mas kahwin RM300.
Kata Rickieno, hari ini genap tiga bulan perkenalannya dengan Ramlah yang ditemui ketika mengadakan persembahan konsert Pop Yeh Yeh kedua di Stadium Bandaraya Johor Bahru, 8 Januari lalu.

Rickieno yang popular dengan lagu Bisikan Cliffters manakala Ramlah masing-masing mempunyai anak hasil perkahwinan terdahulu.
Penyanyi itu yang pernah berkahwin dengan wanita Indonesia, mempunyai empat anak yang kini menetap di Bandung, Indonesia manakala Ramlah pula mempunyai lima anak.
The Cliffters merupakan sebuah kugiran adik-beradik yang aktif era 1960-an dan pernah menjuarai pertandingan 'Rolling Stones of Singapore'. Utusan Malaysia 10 April 2011.

03 April 2011

BERSAMA PAK TENAS: RESAH RASA ORANG MELAYU DI RIAU

Pak Tenas, mesra dan ramah ketika berkunjung ke rumahnya di Pekan Baru.


Lebih satu dekad dulu, persisnya 20 November 2000, rombongan Jejak Bahasa berkunjung ke rumah Tengku Nasuddin Affendy atau mesra dengan panggilan Pak Tenas untuk bikin filem dokumentari tentang asal usul bahasa Melayu. Pak Tenas dianggap salah seorang waris keturunan daripada Kesultanan Melayu Melaka, daripada nisab Sultan Mahmud Shah. Ini sejarah.Pada akhir penggambaran rombongan dijamu dengan pengat pulut durin, makanan kegemaran orang Riau sejak bersaman.

Inilah yang sempat saya catatkan sepanjang pertemuan itu:
Bulan bulan lalu, persisnya 20 November 2000, saya sempat bersembang dengan Tengku Nasaruddin Effendy atau senang dengan sebuatan Pak Tenas di rumahnya di Pekan Baru, Riau. Pak Tenas berpakaian baju Melayu dan berkain palikat. Cara berpakaiannya tidak ada bezanya dengan cara berpakaian orang Melayu di Semenanjung. "Ya, saya kan orang Melayu," katanya. Pun Pak Tenas ini adalah salah seorang waris keturunan kerabat Diraja Kerajaan Kampar Tua (Pelalawan). Masih ingat bagaimana Sultan Mahmud Syah, sultan Melaka terakhir bersama permaisuri baginda Tuan Fatimah melarikan diri dari Portugis ke Kampar lalu menjadi raja di sana?

Pak Tenas orang Melayu. Cakapnya pun lebih banyak dialek Johornya berbanding dialek "orang seberang", walaupun Pak Tenas disitilahkan sebagai orang seberang. Orang Sumatera. Berada di sisinya bersama anggota rombongan Jejak Bahasa yang melakukan penggambaran di kediamannya itu bagaikan kita berada di kalangan anggota kerabat sahaja. Saling tak tumpah.

Bagaimanapun ada sesuatu yang sedikit mengharukan dalam sembang-sembang pagi itu. Sebabnya baru semalamnya suratkabar "Riau Pos" menyiarkan liputan khas tentang apa yang dianggap sebagai "ada fenomena menarik terjadi pada masyarakat Riau." Fenomena itu barupa wujudnya keinginan "yang menggebu-gebu dari masyarakat Kepulauan Riau untuk memisahkan diri daripada Provinsi (Negeri) Riau dengan membentuk provinsi sendiri." Bagaimanapun sehingga hari ini niat Kepulauan Riau itu belum mendapat restu dari Gabenor dan Dewan Undangan Negeri (DPRD) Riau. Akibatnya, tulis Riau Pos lagi, "seolah-olah terjadi perpecahan antara masyarakat Kepulauan Riau dengan masyarakat yang ada di daerah Riau Daratan?

Benarkah? Saya minta pandangan Pak Tenas setelah membaca liputan khas Riau Pos itu. Jawapan Pak Tenas persis seperti apa yang dilaporkan Riau Pos. Pak Tenas akur bahawa persatuan Riau tidak lagi ditemukan. Hal ini disebabkan pergeseran pandangan antara orang politik dengan orang politik sendiri dan orang budaya dengan orang politik. Kata Pak Tenas, "Persebatian Riau yang seharusnya tetap terjaga, kini sudah tidak ada lagi. Riau sudah terkotak-kotak dalam satu komuniti politik yang berbeza-beza yang memunculkan kepentingan peribadi atau golongan sahaja, bukan kepentingan bersama."

Pak Tenas menghimbau zaman silam sejarah Riau. Menurutnya, dahulu puak Melayu Riau ini memiliki latar perjuangan sejarah yang kukuh. Katanya, "Persatuan Melayu itu dulunya kukuh. Jangankan yang ada di Riau sahaja, puak Melayu yang tergabung dalam semenanjung ini termasuk Singapura, Johor dan Riau pernah punya satu visi. Namun berpisahnya mereka bukan disebabkan keinginan sendiri, melainkan kerana penjajahan Inggeris dan Belanda dan terpisahnya selat."

"Mahu dibawa ke mana Riau ini sebenarnya? Pertanyaan ini sering dikemukakan oleh ramai orang politik dan budaya di Pekan Baru. Tidak terkecuali Pak Tenas. Katanya, "Perlu ada kesepakatan bersama, ataupun rekonsiliasi. Mahu kita jadikan apa negeri kita ini?"

Persoalannya ialah bagaimana mulanya timbul perpecahan antara sesama elit politik dan budaya ini? Ada yang menyebut semuanya bermula dari meruncingnya hubungan antara Tanjung Pinang (Kepulauan Riau) dengan Pekan Baru (Riau Daratan). Umum menganggap hubungan dan konflik ini sebenarnya adalah antara daratan dan kepulauan. Malah dikatakan ada tanda wujudnya ketegangan antara Gabenor Riau, Saleh Djasit dengan Bupati Kepulauan Riau yang baru terpilih, Huzrin Hood. Hal ini ada kaitannya dengan usaha masyarakat Kepulauan Riau membentuk apa yang disebut Badan Persiapan pembentukan Propinsi Kepulauan Riau. Badan ini diketuai oleh Huzrin sendiri.

Gabenor Riau mahu dialog diadakan sebelum badan pemisah ini mahu meneruskan rancangan untuk ke Jakarta menemui Dewan Perwakilan Rakyat bagi mendapatkan restu. Namun Gabenor sedikit kesal kerana badan itu sudah mendahului "hasil dialog". Pemergian Huzrin dan kawan-kawan seperti membelakangi autoritinya sebaga seorang gabenor. Mengapa terjadi demikian sehingga Huzrin tergesa-gesa ke Jakarta mengadu hal. Dr Alfitra Salam, seorang pemerhati politik Lembaga Ilmu Pengetahuan Indonesia (LIPI) yang mendapatkan ijazah kedoktorangnya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) beberapa tahun dahulu membayangkan bahawa tindakan tergesa-gesa Huzrin itu ada kaitananya dengan rasa kecewa terhadap pemerintah daerah dan pusat yang selama ini "secara politik memang kurang mendapat perhatian." Malah Presiden Gus Dur sendiri pernah mengulas bahawa "Riau tidak ada apa-apanya."

Kata Alfitrah, "Ini juga menunjukkan sikap kekecewaan masyarakat marginal yang selama ini terpinggirkan dan semakin terpinggir. Autonomi merupakan peluang untuk meningkatkan harkat dan harga diri yang selama ini diinjak-injak." Pandangan Alfitrah ini tiada bezanya dengan pandangan Dr. Yusmar Yusuff, Ketua Pusat Bahasa dan Kebudayaan Melayu Universiti Riau yang saya temui sebelumnya. Cuma katanya, "untuk permulaan kita akan berjuang secara intelektuil, bukan secara politik." Yusmar cukup terkesan dengan ulasan Gus Dur bahawa "Riau tidak ada apa-apanya", padahal menurutnya Riau kaya sumber enerji seperti minyak dan kelapa sawitnya. Bagaimanapun, sikap kecewa Yusmar adalah berpunca dari Jakarta yang menganggap Riau tidak ada apa-apanya.

Alfitrah kecewa dengan sikap Huzrin yang tergesa-gesa mengadu hal ke Jakarta. Katanya, "Seandainya Huzrin agak sabar sedikit dan mengikuti aturan-aturan yang telah ada, saya yakin dia bisa memimpin kepulauan Riau tanpa ada polemik seperti sekarang ini. Tapi kenyataannya Huzrin telah memilih jalan yang salah."

Namun diakui Bupati Huzrin merupakan tokoh dari kelupulauan Riau yang memilik karisme. Alfitrah melihat Huzrin sebagai aset bangsa Melayu di kepulauan itu. Cuma dia tidak sabar. Dan sikapnya dimanfaatkan oleh golongan politik yang menentang rancangannya untuk "membebaskan kepulauan Riau dari Riau Daratan."

Bukan tidak mungkin sikap tak sabar Huzrin ini disebabkan oleh keputusan Dewan Undangan Negeri (DPRD) Riau yang menolak pembentukan propinsi (negeri) Kepulauan Riau, terpisah dari Propinsi Riau yang ada sekarang. Ertinya harapan masyarakat Kepulauan Riau untuk menjadi sebuah propinsi baru setaraf dengan Sumatera Barat atau Jawa Barat mahupun Sumatera Utara belum kesampaian. Kepulauan itu buat sementara akan tetap menjadi sebuah daerah dalam Propinsi Riau, seperti halnya daerah Sepang dalam negeri Selangor, misalnya.

Ini membuatkan Huzrin hilang sabar kerana telah begitu banyak dialog diadakan antara orang kepulauan dengan orang daratan Riau tapi belum mendatangkan hasil yang positif kepada orang kepulauan. Huzrin barangkali berfikir kalau Banten dan Pulau Bangka telah diizinkan untuk membentuk propinsi sendiri mengapa permintaan Kepulauan Riau untuk menjadi propionsi masih juga dihalang-halang?

Dalam hal ini pula Alfitrah mencadangkan empat perkara dasar yang perlu dirujuk sebagai jalan penyelesaian kepada krisis ini. Pertama, peraturan mengenai proses pembentukan propinsi dan sebagainya perlu ditegakkan. Kedua, Gabenor Riau harus tegas mengamanahkan kepada Bupati sebagai pentabdir sementara "caretaker" kepulauan Riau secepatnya. Ketiga, Tokoh-tokoh dari Kepulauan Riau dan di peringkat propinsi perlu menahan diri dan melakukan usaha yang lebih beretika, misalnya mengadakan dialog yang lebih intim dan berdasarkan kekeluargaan. Keempat, propinsi Riau perlu menyatakan secara tegas bahwa masa depan Kepulauan Riau untuk menjadi sebuah propinsi tersendiri dan bebas dari Propinsi Riau yang sekarang ini masih terbuka luas. Kata Alfitrah, "Ada baiknya DPRD Propinsi Riau meninjau kembali keputusannya menolak pembentukan propinsi Kepulauan Riau. Mesti ada saling memberi dan menerima."

Riau hari ini mempunyai 15 kabupaten (daerah) termasuk lapan yang baru. Empat daripadanya adalah kabupaten induk. "Ini satu tugas berat untuk membenahinya," tutur Pak Tenas. "Ia memerlukan sikap berbaik-baik atau rekonsiliasi. Kita selesaikan satu, satu." Pak Tenas mahu proses berbaik-baik ini dimulakan dari peringkat bawahan. Ia bukan milik orang politik atasa sahaja. Pak Tenas berharap ia bermula di peringkat kabupaten melalui Dewan Undangan Negerinya ataupun lembaga adatnya. "Carilah kesepakatan bersama. Bukan orang elit politik sahaja tapi akan menyeluruh kepada semua masyarakat," katanya.

Pak tenas yakin perjuangan memperbaiki nasib Riau bukanlah milik "segolongan orang sahaja". Semua golongan dan lapisan masyarakat Riau, baik rakyat biasa, mahasiswa, golongan intelek patut direngkuh untuk menghasilkan kesepakatan bersama ini. Katanya, "Kita selama ini hanya terpukau dengan apa yang ada di Pekan Baru, sehingga tokoh-tokoh berpotensi di daerah-daerah dilupakan dan mereka tersingkir." Pak Tenas melihat proses mencar kesepatan bersama itu boleh dimulakan dengan pertemuan tidak formal dengan menggunakan pendekatan kebudayaan dan wadah silaturrahim. Kata Pak Tenas, "Kalau bisa ini yang harus sering kita lakukan. Mencari kesepakatan bersama ini harus dimulai dengan hal-hal yang sifatnya informal."

Apapun jua ada yang serius mengakui bahawa kekalutan ini berpunca dari krisis ketokohan. Di Riau diperkirakan tidak ada tokoh yang suaranya mahu didengar oleh Jakarta. Setidk-tidaknya inilah anggapan Alfitrah. "Dulu kita ada Tabrani tapi dia telah melakukan pengkhianatan terhadap perjuangan masyarakat Riau. Ada baiknya dia kembali ke pangkal jalan." Bagaimana dengan Huzni, Bupati dari tanjung Pinang itu? Kata Alfitrah, "Huzrin akan mendapat dukungan seluruh masyarakat Riau andaikata dia berada pada blok Riau Merdeka. Andaikata dia ambil alih kedudukan Tabrani saya kira dosa-dosanya akan dimaafkan." Satu pandangan yang sedikit radikal berbanding pandangan Pak Tenas, tokoh budaya dari Pekan Baru itu.

A.F.Yassin
19. 12. 2000.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

What Other People Say...


"A.F.Yassin dalam cerpennya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).