14 July 2011

SEA Write Award: Penulis Suka Bercakaran!?


10 Disember 2000
CATATAN A.F.YASSIN
PENULIS MASIH SUKA BERCAKARAN!

Betulkah kata orang: Penulis itu sensitif. Tidak boleh salah sikit terus sahaja bercakaran sesama sendiri. Kurang jelas apakah hal ini disebabkan sensitiviti mereka atau ada unsur keakuan dalam pandangan dan sikap. Terbaru ada cerita "rumah siap pahat masih berbunyi" berhubung penerimaan anugerah SEA Write Award tahun 2000. Penyair Lim Swee Tin dipilih untuk menerima anugerah tersebut. Akibat pemilihannya, maka timbul ribut. Ada sahaja yang tak kena dengan keputusan pemilihan. Maka panel pemilih dipersoalkan, malah wibawa dan wewenang mereka diragukan. Yang menjadi kambing hitam Dewan Bahasa dan Pustaka sendiri, yang menjadi sekretariat pemilihan.

Tetapi betulkah disebabkan sensitiviti maka penulis terus berbalah sesama sendiri, mempersoalkan keputusan yang dibuat panel tyang terdiri daripada penulis-penulis sendiri? Atau apa yang disebut seorang penulis veteran, "heboh-heboh tentang persoalan penulis ini hanya berlaku kerana gatal-gatal tangan sahaja". Katanya, "Lazimnya, penulis itu kerjanya menulis. Ada sahaja yang boleh dijadikan bahan penulisan, mereka akan tulis. Tidak kira apakah tulisannya itu bawa mudarat atau akibat. Itu bukan soal dia."

Jika demikian halnya, maka apa perlu ribut-ribut tentang hasil pemilihan sesuatu anugerah seperti SEA Write Award ini? Penulis veteran ini menafikan apa yang dipergonjengkan sekarang ini adalah ribut-ribut. Katanya, "Bukan ribut, cuma penulis ini tidak boleh duduk diam. Percayalah, selepas dua tiga minggu semuanya reda. Penulis akan bertanya sesama sendiri berapa honorarium yang mereka perolehi masing-masing dari suratkabar atau majalah yang memuatkan tulisan mereka tentang hal ribut-ribut ini."

Tetapi soalnya pemilihan tokoh untuk SEA Write Award ini dan penganugerahannya sudah melampaui tiga minggu itu. Pandangan pro dan kontra terhadap hasil pemilihan masih juga dikeluarkan. Terakhir oleh  Hashim Yaakob dengan pusat pandangannya tertumpu kepada penyair Rahman Shaari, yang masih lagi belum terpilih menertima anugerah berprestij dari Bangkok itu. Dalam pada itu ada pula penulis yang membuat cadangan bagaimana seharusnya anggota panel penilai dipilih dan dari golongan penulis mana. Ada juga penulis yang membebelkan pandangannya yang kurang relevan dengan isu pemilihan SEA Write Award ini dengan mengungkit-ungkit kewibawaan panel penilai anugerah atau hadiah sastera lainnya. Maka bertambah gawat lagi dunia persuratan ini jadinya!

Seorang penulis yang menghasilkan banyak karya sastera remaja mempersoalkan kredibiliti sesetengah ahli panel penilai peraduan atau anugerah apabila berkata "karya sastera remaja baru satu sudah boleh menjadi ahli panel."  Ada yang senyum sinis mendengarnya. Memang penulis ini tidak tahu banyak tentang konsep penghakiman dan pemilihan panel. Yang senyum ini bertanya pula, "Apakah mereka yang pernah menjadi ahli panel penilai karya kreatif sastera harus orang yang kreatif juga, sudah menulis cerepen atau sajak? Bagaimana dengan Prof. Dr Hashim Awang atau Dr. Ramli Isin. Begitu juga Prof Dr. Yusof Hassan atau Dr. Suhaimi Aziz mahupun Salleh Yaapar serta Dr. Ungku Maimunah? Tidak pasti berapa banyakkah karya kreatif mereka yang telah dibaca orang awam, kecuali hasil kritikan?"

Pertanyaan yang tersenyum sinis ini seperti mendedahkan ada yang tidak kena dengan alam pemikiran persuratan kita hari ini. Umumnya penulis mempunyai buah fikir "yang samrawut dan kacau". Dan bukan tidak mungkin cara berfikir begini timbul akibat tidak adanya disiplin berfikir yang baik dan tersusun.  Barangkali ia dikaitkan juga dengan penulis yang kota fikirnya belum terisi penuh dengan ilmu penulisan dan persuratan. Sehingga dengan demikian wujudlah apa yang dinamakan sindrom "baku hentam", tanpa memikirkan implikasinya kepada kewibawaan jangka panjang golongan penulis sendiri.

Dengan hal yang demikian maka sindrom "baku hantam" ini barangkali turut mempengaruhi  persoalan pemilihan penerima anugerah SEA Write Award tahun 2000. Pertanyaan siapa yang lebih layak selain Lim Swee Tin diulang-ulang. Nama-nama lain disebut sebagai bahan bukti untuk mewar-warkan pandangan. Nama-nama itu diperalat, antaranya nama tokoh penyair Shamsuddin Jaafar, Tengku Alias Taib, Zen Kasturi, Lim Swee Tin dan Rahman Shaari sendiri. Pernah saya ditanya oleh seorang petugas Dewan Bahasa dan Pustaka sebulan sebelum penerima anugerah SEA Write Award ini diumumkan. Pertanyaan itu diajukan ekoran tersiarnya sebuah rencana dalam majalah "Dewan Sastera" yang membuat spekulasi  tentang pemilihan ini.  

Jawapan saya tidak memberi sebarang petunjuk siapa yang layak dipilih. Sebabnya saya kurang pasti apa kriteria dan peraturan pemilihan. Apakah ia didasarkan kepada merit, atau kekananan pengalaman dalam bidang penulisan yang tentunya menjangkau kerangka waktu dan musiman. Barangkali sahaja panel pemilih SEA Write Award Malaysia mempunyai kriteria yang tersendiri. Barangkali juga panel pemilih diarahkan untuk menilai seseorang calon pemenang itu berdasarkan kreativiti semasanya tanpa memberi pertimbangan kepada hasil karya mereka sepuluh tahun yang lalu, misalnya. Kemudian barangkali juga panel penilai diarahkan untuk mengkaji dan meneliti karya-karya yang dihasilkan sepanjang tahun pemilihan sahaja, tanpa mengambil kira hasil karya tahun lalu.

Maka jawapan yang tepat amat bergantung kepada apa yang difikir dan ditentukan oleh panel pemilih. Andainya ketiga-tiga "kebarangkalian" di atas dijadikan asas pemilihan maka siapa yang aktif sepanjang tahun 1999, misalnya berkemungkinan besar terpilih. Tokoh seperti Shamsuddin Jaafar yang telah menjadi purnawirawan a.k.a pesara dalam serba serbi termasuk menulis dengan aktif tidak mungkin tersenarai. Begitu juga halnya dengan Tengku Alias Taib yang bukan menganggap dirinya "kilang pencetak karya kreatif yang beroperasi 24 jam sehari." Rahman Shaari jauh sekali. Dengarnmya selagi dia tidak boleh menghafiz karya yang bakal dilahirkan maka dia tidak akan mengirimkannya ke suratkabar atau majalah untuk disiarkan. Saya dengar sahaja. Betul tak betul itu kena tanya Rahman sendiri.

Cerita tentang Rahman ini sedikit "terkehel". Konon ceritanya nama Rahman tidak dapat dipertimbangkan kerana dia sendiri adalah anggota panel pemilih. Rahman nafikan kerana katanya surat tawaran menjadi ahli panel pemilih terlewat sampai. Maka selama ini Rahman tidak tahu menahu bahawa dia juga seorang ahli panel. Jika cerita Rahman ini benar maka timbul pula pertanyaan. Mengapa surat tawaran dari Dewan Bahasa lambat sampai sedangkan jarak antara rumah Rahman di Bandar Baru Bangi dengan Dewan Bahasa tidak sampaipun 30 km. Bagaikan ada yang tidak kena dalam sistem penghantaran surat.

Soalnya pula, apakah nama Rahman dapat dipertimbangkan andainya dia tidak menjadi anggota panel? Soalnya lagi tokoh seperti Rahman yang memang terkenal dengan karya puisinya lebih daripada karya-karya dari genre lain belum layak menerima anugerah ini. Barangkali masalah Rahman ini ialah dia juga bukan seperti Tengku Alias Taib yang tidak punya "kilang puisinya yang beroperasi 24 jam sehari."

Maka disarankan mulai sekarang tokoh-tokoh seperti Rahman, Tengku Alias Taib atau Shamsuddin Jaafar yang veteran ini hendaklah aktif semula menulis. Soal mutu soal kedua, yang penting menulis sebanyak-banyaknya untuk layak menjadi calon penerima anugerah. Dalam pada itu Rahman, misalnya, perlu membulatkan azam sama ada mahu namanya dipertimbangkan sebagai calon penerima anugerah atau dia mahu menjadi anggota panel pemilih. Jika pilihan kedua yang dia ambil maka saya kira sampai bila-bila pun dia tidak layak menerima anugerah berprestij itu kecuali dia berhenti atau "dipecat" menjadi ahli panel pada sesuatu waktu tertentu.

Bagi kebanyakan orang yang mengikuti anugerah SEA Write Award ini, nama-nama seperti Tengku Alias Taib, Shamsuddin Jaafar dan Rahman Shaari ini adalah contoh klasik, malah antik, sepanjang pemilihan calon anugerah ini. Dahulu nama Prof. Muhammad Haji Salleh pernah dijadikan demikian. Setelah Muhamad terpilih sebagai penerima, walaupun sebelumnya dia dinobatkan sebagai sasterawan negara, nama itu serta-merta padam daripada wajah klasiknya. Kurang pasti apakah ada tangan-tangan halus yang membuatkan nama Muhammad menjadi klasik dan antik beberapa ketika. Dan apakah tidak mungkin pula tangan-tangan yang serupa membuatkan nama-nama Tengku Alias, Shamsuddin Jaafar dan Rahman Shaari menjadi klasik dan antik. Nampaknya orang yang punya nama ini terpaksa mandi air bunga!  Paling-paling untuk mengelakkan diri daripada menjadi bahan tulisan penulis-penulis yang gatal tangan atau tahaf keakuannya  sudah sampai ke pringkat megaloman, sekadar meminjam istilah psikologi.

Bagi penerima anugerah tahun ini, Lim Swee Tin, soal sama dia layak menerima atau tidak tidak timbul. Sama juga halnya dengan kes Muhammad Hj Salleh. Tidak timbul soal sama ada dia layak menerima anugerah ini setelah dinobatkan sebagai Sasterawan Negara!

A.F.Yassin  

 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PROFIL

My photo
Rawang, Selangor Darul Ehsan, Malaysia

What Other People Say...


"A.F.Yassin dalam cerpennya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).