24 June 2011

Kongres Bahasa Ke-7: Manfaatnya??

Prof. Diraja Ungku Aziz, Pengarah DBP pertama dan membuka pejabat di Bukit Timbalan Johor Bahru.


KONGRES BAHASA KE-7: DI MANA SILAPNYA?
Oleh A.F.Yassin

Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ke-7, mulanya mahu diadakan secara besar-besaran, sempena perayaan Jubli Emas Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Sebabnya, dikatakan DBP terhutang budi kepada Kongres kerana melahirkannya 50 tahun yang lampaumelalui Kongres ketiga di Johor Bahru., Pada penuhuhannya DBP Ungku Aziz, ketika itu pensyarah di Universiti Malaya, Singapura,  dilantik sebagai Pengarah DBP pertama dengan pejabatnya berpusat di Bukit Timbalan di Johor Bahru.

Dalam kegiatan kongres kali ini DBP meminta kerjasasama Gabungan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) sebagai penyelenggara bersama dengan DBP menyediakan dana dan Gapena menyediakan peserta dan kertas kerja.

Untuk menjadikan kongres ini lebih relevan, DBP dan Gapena mencadangkan  supaya kongres ketujuh ini diadakan di Johor Bahru, mengambil sempena kelahiran DBP oleh Kongres ke-3, 50 tahun yang lalu. Kongres ketika itu antara lain merumuskan penubuhan DBP. Gapena yang begitu teruja untuk menyelenggarakan secara bersama Kongres Ke-7 ini telah menjelajah ke seluruh negara menggembling kerjasama badan-badan persuratan dan badan-badan bukan kerajaan. Tan Sri Ismail Hussein, Ketua 1 Gapena dan kerabat kerjanya ligat meredah daerah dari Perlis hingga ke Sabah mencanangkan penyelenggaraan Kongres. Ismail yakin berkas kerjasma para pejuang dan peminat bahasa dan persuratan ini kongres akan dapat mencapai matlamatnya, iaitu mengembalikan status bahasa dan sastera di tempanya yang wajar.

DBP dalam pada itu telah mengeluarkan pernyataan dan komitmen bahawa untuk mendapatkan kerjasama Kerajaan Negeri Johor bagi mengadakan kongres di negeri yang melahirkan DBP. Melalui pernyataan itu kongres dijadualkan pad 15-17 September 2006.

Penytaan itu juga menyebut tentang status bahasa Melayu yang “sedikit demi sedikit mengalami perubahan yang kurang menggembirakan. Ini adalah antara realiti yang patut dihadapi oleh kongres dengan semangat yang terbuka dan sikap yang positif tanpa terperangkap oleh sikap yang terlalu dogmatik. Satu strategi baru yang pragmatik dan memandang ke hadapan mestilah difikirkan bersama. Kedaulatan dan martabat bahasa Melayu mestilah dipertahankan dengan sikap yang lebih terbuka, setia kepada matlamat, walaupun strategi boleh berubah, sesuai dengan kebijaksanaan ajaran orang tua-tua: “Tidak salah beralih tegak asal di tanah yang sebidang, tidak salah beralih duduk asal di tikar yang sehelai.”

Bagaimanapun akhirnya cadangan untuk mengadakan kongres di Johor pada tarikh yang ditetapkan tidak kesampaian kerana ia akhirnya diadakan di Balai Budaya  Tun Syed Nasir (dulunya Balai Budaya,) di DBP Kuala Lumpur. Tarikhnya ditunda dari bulan September ke bulan November. Kongres tidak lagi dirasmikan oleh seorang menteri kanan tetapi cukup sekadar dirasmikan seorang alhi Parlimen dari Gua Musang, iaitu Tangku Razaleigh Hamzah. Itu pun sebagai kapasiti Tengku Razaleigh sebagai Pengerusi Sekretariat Kongres Kepentingan Bangsa dan ditutup oleh Ketua I Gapena, Ismail Hussein. Kongres pula diadakan pada 6-8 November, dua bulan terlewat dari jadual asal.
Walaupun terlewat dan berubah tempat namun sambutan terhadap Kongres dikatakan membanggakan juga. Menurut catatan jumlah peserta mencecah 500 orang, hampir sama dengan jumlah yang menghadiri Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke-3 di Johor Bahru dahulu. Semangat juga hampir sama. Kalau dahulu pejuang mahu memartabatkan bahasa Melayu. Pada kongres kali ini semangat itu ingin mengembalikan martabat bahasa itu yang seperti dikatakan banyak peserta “telah banyak tercalar.”
Bezanya pula mungkin ibarat langit dan bumi. Kalau Resolusi Kongres Bahasa ke-3 di Johor Baharu antara lain bersemangat menubuhkan Balai Pustaka yang kemudian bertukar nama kepada Dewan Bahasa dan Pustaka tetapi resolusi Kongres ke-7 ini tidak pasti nasibnya. Belum jelas di mana kedudukan resolusi lima (5) perkara yang menyentuh isu kebudayaan, bahasa, sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka serta bangsa Malaysia itu. Masih ada dalam “laci” DBP atau ada cadangan hendak menyerahkannya kepada kerajaan untuk tindakan lanjut.
Siasah dalam edisi 17-30 November 2006, melaporkan “Kongres ini semacam tidak mendapat dorongan daripada kepimpinan UMNO, parti kebangsaan  yang mengaku menjadi pejuang bangsa. Bukan itu saja, agensi kerajaan juga seperti malu-malu atau takut untuk melibatkan diri di dalam kongres berkenaan. Keadaan ini berlaku  kerana agensi bekenaan yang ditunjangi orang politik bimbang penyertaan  mereka akan menjejaskan masa depan politik mereka. Hal ini secara tidak langsung disuarakan oleh Datuk Dr. Abd. Latif Bakar, selaku pengarah Kongres. Beliau melahirkan rasa kesalnya dengan karenah dan birokrasi sesetangah kementerian yang berdlak dalik dalam menjayakan kongres ini.”
Menurut laporan itu lagi Latiff namun berterima kasih kepada Kementerian Pelajaran kerana membenarkan DBP dijadikan arena kongres. Ini kata Latif seperti yang dilaporkan, kerana bagi mereka yang mengetahui latar belakang penyelenggaraan kongres akan geleng kepala. Latif benr-benar tidak tahu akan latar belakang mengadakan kongres atau pura-pura tidak tahu. Ini kerana  rancangan untuk mengadakan Kongres Bahasa ini telah lama dibuat, iaitu sejak awal tahun lagi.  Ia adalah sebahagian daripada kegiatan perayaan Jubli Emas DBP. Satu Jawatankuasa Khas telah ditubuhkan untuk mempastikan kejayaan kongres. Serang pegawai kanan bahasa DBP ditugaskan untuk menyelaraskan program kongres. Khabarnya pegawai kanan bahasa ini dengan kerjasama Ismail telah berkeliling “negeri” untuk mencanangkannya.. Pertemuan dengan Menteri Besar Johor turut diadakan dan menghasilkan rumusan bahawa kongres diadakan di Johor Bahru, sempena penubuhan DBP di bandaraya itu 50 tahun lalu.
Di mana silapnya rancangan tidak ikut jadual. Ada sesetengah pihak, terutamanya dalam kalangan orang DBP, mengaitkannya dengan tokoh-tokoh tertentu dalam politik. Kegagalan mengikut jadual dikaitkan dengan  “percanggahan kepentingan politik” di samping karenah birokrasi di DBP. .Tidak jelas siapa tokoh-tokoh politik yang dimaksudkan, atau dalam bentuk apa karenah birokrasi yang wujud di DBP. Salah satu sumber dari DBP yang boleh dipercayai berkata dua tokoh politik sentral yang dikaitkan dengan penyelenggaraan kongres ini ialah Menteri Pendidikan, Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein dan Menteri besar Johor, Dato’ Abd. Ghani Othman.
Hal ini dapat difahamkan apabila Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Firdaus Hj Abdullah sebelum telah diminta oleh Menteri Besar Johor, khabarnya melalui Gapena untuk mengeluarkan satu pernyataan atau komtmen bahawa Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke-7 adakan diadakan di Pusat Konvensyen Persada Negeri Johor, bersebelahan Bangunan Kerajaan Bukit Timbalan yang menjadi lokasi pertama pejabat DBP. Menurut ceritanya, pusat konvensyen yang hampir siap itu akan dibuka secara rasmi dengan berlangsungnya kongres berkenaan d an dianggap satu satu penghormatan tertinggi kepada DBP, khususnya bahasa Melayu.
Menurut sumber itu, Johor bersedia memberikan komitmen penuh, terutama yang menyangkut pembiayaan dan kemudahan peserta sepanjang tiga hari kongres. Bagaimanapun, akhirnya komitmen Johor tidak kesampaian kerana DBP telah terpaksa “tunduk” kepada keputusan kementerian yang bertanggungjwab terhadap DBP untuk mengadakan kongres di Kuala Lumpur sahaja. Ada cakap-cakap yang menuduh seorang dua individu di kementerian yang  kurang senang dengan komitmen Johor dan kongres patut dan perlu diadakan di Kuala Lumpur, tempat perayaan sentral kegiatan Jubli Emas DBP. Dengan demikian segala usaha promosi DBP dan Gapena dan penglibatan Johor menjadi sia-sia, malah “membazir”. Ini agak bertentangan dengan konsep berhemat yang mahu diamalkan Firdaus.
Karenah birokrasi yang begitu menebal di DBP tidak terkecuali menjejaskan persiapan kongres. Sebagai sebuah agensi separuh kerajaan dan mempunyai kuasa autonomi, DBP amat jarang atau hampir tidak langsung memanfaatkan fungsinya sebagai institusi yang mempunyai kuasa autonomi. Malah terdengar khabar bahwa salah seorang pegawai kanan kini mendadbik dada mendakwa beliau kini mempunyai tiga orang bos, iaitu Menteri Pelajaran sendiri, Pengerusi kepada Lembaga Pengelola DBP dan Ketua Pengarahnya. Maka dikatakan ada yang sedang memantau pergerakannya, bukan oleh Pengerusi atau Ketua Pengarah tetapi oleh seorang yang lain yang gusar dengan gerak langkah yang dilaksanakan pegawai ini.
sekarang ini, bukan menjadi rahsia lagi,  apa sahaja keputusan yang mahu dilaksanakan di DBP hendaklah merujuk kepada peruntukan dan peraturan yang termaktub dalam Jabetan Perkhidmatan Awam (JPA). Kalau dahulu keputusan cukup sekadar medapat lampu hijau Lembaga Pengelola yang berfungsi melaksanakan tugas pemantauan pelaksanaan tugas eksekutifnya. Lebih memburukkan lagi keadaan, kini DBP tidak lagi bertanggungjawab langsung (direct) kepada Menteri Pelajaran, tetapi sekadar kepada Tmbalan Menterinya, iaitu Datuk Noh Omar. Fungsi Lembaga Pengelola di bawah pengeurusinya Datuk Johan Jaafar telah menjadi rubber stamp semata-mata. . Maka keliahatanya DBP kini bertaraf sebuah jabatan di bawah timbalan menteri bukan lagi  seorang menteri penuh.
Kemudian, pegawai kanan bahasa yang bertanggungjawab mempastikan kejayaan kongres ini dikatakan kurang senang dengan peranan Gapena dalam kongres. Pegawai ini dikatakan berkata “Kalau DBP yang keluar duit mengapa mesti kita serahkan kepada Gapena menguruskan kongres. Sepatutnya kita DBP yang menyelenggarakan sepenuhnya. Seolah-olah ada orang dari Gapena yang hendak ambil kesempatan.” Sentimen begini sepatutnya tidak wujud, terutama dlam kalangan orang DBP, kerana agensi-agensi sukarela dalam bidang bahasa dan perseuratan, terutama Gapena yang mahu puluhan kerabatnya di seluruh Malaysia yang terdiri daripada pejuang dan peminat persuratan adalah rakan kongsi sejati DBP.
Ada seorang sahabat di DBP yang keliru dengan sentimen pegawai kanan bahasa ini. Katanya, “Jika DBP (baca: kerajaan) mahu mengharapkan satu bentuk sinergi dari tokoh-tokoh dan pejuang dan peminat bahasa sentimen memperlekehkan semangat begini perlu dielakkan. Nampaknya sesetengah orang DBP ini tidak peka dengan konsep sinergi dan gerakan massa dalam kegiatan bahasa dan sastera tanah air. Soal bahasa dan persuratan bukan boleh diukur dengan wang dan ringgit.”
Ketika kongres berlangsung, banyak kertas kerja tentang bahasa, satera malah tentang DBP sendiri dibentangkan. Antara pembentang yang masih bertenaga ialah Datuk Dr. Hassan Ahmad, mantan ketua pengarah DBP dan Prof. Dr. Awang Sariyan, mantan Pengarah Jabatan Bahasa DBP. Mereka berdua ini masih “bergigi dan bertaring” dalam bidang bahasa, walaupun dianggap sebagai harimau kertas sahaja. Selain mereka tidak ada tokoh besar dan ternama diketengahkan. Mungkin tokoh-tokoh seperti itu tidak wujud lagi atau telah “malas” berbuat demikan. Maklumlah, siapa peduli dengan isu bahasa dan sastera hari ini. Atau tokoh-tokoh yang namanya menjulang dalam bidang-bidang ini sudah menjadi endangered species. Dan tokoh seperti Datuk A. Samad Said yang perjuangannya dalam bidang ini begitu lama, terutama dalam bidang sastera kini hanya sekadar bertarap “pendeklamator” sahaja. Kehadirannya hanya membaca puisi.
Ada yang bertanya:Bagaimana persoalan bahasa dan sastera selepas kongres ke-7 ini? Dan bagaimana pula dengan resolusi yang dikeluarkan selepas Kongres? Tidak ada jawapan jelas. Para peserta yang hadir dan kemudian pulang mungkin sedang meraba-raba akan apa yang bakal terjadi dengan resolusi kongres. Bagi mereka resolusi kongres akan mengalami nasib yang sama dengan resolusi-resolusi kongres sebelumnya. Seorang peserta kongres membandingkan suasana kongres ke-6 yang diadakan di Tanjung Malim sebelum ini. Katanya, “Kali ini kongres diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasur. Jauh lebih baik berbandingkan yang diadakan di sebuah dewan kecil di Tanung Malim. Tapi saya rasa nilai kesungguhan dan komitmen di Tanjung Malin adalah lebih baik. Semangat Tanjung Malim lebih digeruni kerana kongres diadakan hampir tanpa restu sesiapa-siapa.”
Kesan persidangan? Kata  seorang sahabat, Salleh Yusof, namanya, “Kurang.” Salleh. mantan pegawai UKM dan mantan kakiangan DBP, sezaman dengan Usman Awang dan Keris Mas. Salleh ini terkenal dengan semangat kentalnya terhadap bahasa dan masih tidak luntur-luntur sehingga hari ini. Salleh pernah terlibat dalam protes bahasa tahun 1967 yang melahirkan peristiwa “Keranda 152” yang menjunng secara literal keranda  di DBP ketika itu. Pejuang bahasa masih belum lupa peranan yang dimainkan Salleh bersama beberapa yang lain seperti Yahya Ismail, Abdullah Abbas, Fadzil Agussalim dan Maarof Saad tentang bahasa Melayu dikatakan sedang terhakis sehingga membuat Tuan Syed Nasir menangis mengenangkan nasib bahasanya.
Salleh berkata, “Kalau bahasa Melayu hendak dimartabatkan, ikut saja cara Indonesia. Jangan banyak retorik. Buat. Lihat jiran kita itu. Presidennya berucap dalam bahasa Indonesia di Pertubuhan bangsa Bersau. Tapi orang kita tak sanggup buat begitu. Kita di Malaysia, semuanya berlumba-lumpa nak cakap bahasa Inggeris. Nahu lintang pukang tak mengapa asal bunyinya Inggeris. Orang pun hormat kita. Inilah mentaliti kita. Kan kau tak tahu?.” (Modified 12 November 2006).


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PROFIL

My photo
Rawang, Selangor Darul Ehsan, Malaysia

What Other People Say...


"A.F.Yassin dalam cerpennya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).