28 June 2011

Meninjau Pemikiran Keris Mas

Allahyarham Kamaluddin Muhamad atau Keris Mas

CATATAN NOSTALGIK PADA PERINGATAN KERIS MAS

Oleh A.F.Yassin

Memang sukar bertemu dengan rakan-rakan penulis secara serentak. Apatah lagi jika mereka tinggal berjauhan. Dan minat mereka untuk bertemu dalam seminar, umpamanya telah semakin luntur. Kalau ingin bertemu penulis mapan dan kelas kakap, tunggu mereka diundang sebagai pembentang kertas kerja oleh penganjur seminar atau kongres persuratan. Jika tidak, mereka terpaksa tunggu sehingga Pena atau Gapena mengadakan mesyuarat agung tahunannya. Tetapi jangan pula terkejut rakan-rakan penulis yang ditemui itu hanya muka-muka itu sahaja.

Maka apabila Dewan Bahasa dan Pustaka menganjurkan seminar sehari dan pelancaran empat buku Arenawati dengan kerjasama Penerbit UKM dan Utusan Publications & Distributors Sabtu minggu lalu rindu untuk menemui rakan-rakan penulis terobat juga. Tiga hari kemudian DBP sekali lagi menganjurkan seminar tiga hari tentang pemikiran Sasteran Negara pertama, Keris Mas. Semakin bertambah bilangan penulis yang jarang ditemui datang berkumpul.

Dari Negara Brunei Darussalam datang Dato’ Prof. Dr Hashim Awang, dari Singapura datang pula Mana Sikana yang datang tertengkot-tengkot kerana sakit kaki. Dia tersedat sebentar di ruang letak kereta DBP, tidak tahu arah tuju kerana besarnya ruang letak kereta itu dan lif yang menghubungkan ruang letak kereta dengan Dewan Seminar tidak berfungsi. Dari utara datang Azizi Hj. Abdullah, yang namanya sejak akhir-akhir ini agak sensitive bagi sesetengah kalangan media.

Azizi yang kini bertugas di Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) akan ke Melaka dahulu untuk menghadiri satu seminar lain sebelum menghadiri Seminar Pemikiran Keris Mas. Dari Penjara Sungai Buloh, datang pula Ijmala MN. Penyair ini bertugas di Penjara Sungai Buloh. Dato’ Dr. Nordin Haji Abdul Rahman (Atondra) tidak ketinggalan hadir berpakaian kemas dengan songkok dipakai senget ala atondra. Kemala, Saleh Rahmad, S.M. Zakir dan beberapa yang lain bukan orang asing di DBP. Begitu juga dengan sasterawan negara paling bongsu, S. Othman Kelantan.

Dan Dato’ Mohd Nor Yusof (M. Noor Azam) berpakaian lasak (rugged) semua biru turut sama. Sejak akhir-akhir ini towering personality, salah seorang yang mewajahkan Dewan Bahasa sehingga menjadi towering institution satu ketika  itu sering ke Dewan Bahasa. Katanya, “Nak jumpa kawan-kawan.” Tetapi lazimnya M. Noor Azam Cuma bersembang di warong mamak di tempat yang dikenali dengan bucu dewan.

Dari Makasar, Pulau Sulewasi, datang sekumpulan empat orang tokoh persuratannya, antaranya Safrullah Sanre yhang jarang kjetinggalan hadir dalam majlis-majlis seperti ini. Seperti katanya, “Malaysia adalah kampung keduaku. Dan rumah Gapena rumah keduaku.” Mereka datang kali ini kerana ingin merayakan hari ulangtahun kelahiran Arenawati yang ke-80. Kata salah seorang anggota rombongan, “Pak Arena sasterawan milik kami juga kerana beliau kelahiran Makasar.”

Ada yang berkata ramainya penulis mapan dan “yang punya nama” datang ke Dewan kerana meraikan dua tokoh besar persuratan, iaitu Arenawati dan Allahyarham Keris Mas. Mereka diraikan Dewan Bahasa. Tidak pasti apakah majlis keraian ini diadakan atas inisiatif Ketua Pengarah baru Dewan Bahasa, Dato’ Dr Firdaus Abdullah, yang juga penulis, atau mereka datang hendak bernostalgia dengan kawan-kawan penulis tentang hubungan dengan Keris Mas dan Arenawati.

Jika kehadiran mereka adalah untuk bernostalgia, mereka tidak kecewa. Sebabnya   di seminar pemikiran Keris Mas sahaja ada kertas M. Noor Azam yang membincangkan pemikiran Keris Mas berdasarkan pengalamannya bekerja di bawah Keris Mas. Kata seorang penulis, “Saya fikir kertas dato’ Noor Azam amat mengesankan kerana menyjngkap pemikiran dan sosok peribadi Keris Mas dari sudut hubungan akrab antara dua rakan dan antara ketua dengan timbalannya.” M. Noor Azam bertugas sebagai timbalan Keris Mas di Dewan Bahasa satu ketika.

Noor Azam melihat Keris Mas sebagai mentornya dalam bidang penulisan. Noor Azam amat terhutang budi kepadanya kerana tanpanya Noor Azam mungkin kekal menjadi guru sekolah rendah. Tidak mungkin dia menjadi penulis seperti sekarang. Yang paling menarik daripada sosok personality Keris Mas ialah dia seorang ketua yang tidak pernah marah atau kasar kepada orang bawahannya. Keris sentiasa senyum kepada anak-anak huahnya seolah-olah senyumannya itu ibarat penyuntik semangat bekerja buat mereka.

Kemudian ada pula nota “pendahuluan” untuk prosiding seminar yang memuatkan 29 kertas kerja tentang pemikiran Keris Mas. Pengalaman bekerja Jaafar Rahim di bawah Keris Mas dicatatkan dalam nota “Pendahuluan”. Menurut Jaafar, satu perkara menarik tentang hubungan kerja Keris Mas sebagai Ketua dan “kami sebagai orang bawahan ialah kami bekerja dalam suasana ceria. Bekerja dalam satu pasukan dan saling menghormati.” Tulis Jaafar, “Cara bekerja seperti ini bukan sahaja tidak mendatangkan tekanan bahkan meningkatkan produktiviti Bahagian Pngembangan Sastera, khususnya di majalah Dewan Bahasa, Dewan Masyarakat dan Dewan sastera.”

Kedua-dua catatan M. Noor Azam dan Jaafar Rahim ini adalah prolog sebuah seminar tentang sikap dan pemikiran Keris Mas melalui karya-karyanya. Selama ini pun telah banyak peneliti sastera menganalisisi pemikiran Keris Mas melalui karyanya. Maka seperti kata seorang penulis yang hadir, “Tidak ada yang baru. Cuma kita disegarkan semula dengan analisis-analisis dalam 27 kertas kerja itu. Bagi saya paling terkesan ialah catatan M. Noor Azam dan Jaafar Rahim.”

Di luar sidang Hashim Awang dari Universiti Negara Brunei Darussalam bercerita tentang peristiwa-peristiwa lama yang terjadi dalam tahun-tahun 1980an. Di samping Keris Mas Hashim tidak melupakan allahyarham Othman Puteh dan Dharmawijaya, dua kawan akrabnya yang telah pergi dahulu. Hashim rindukan kata-kata dan gerak tingkah mereka. Begitu juga pensyarah UPM, Abd. Rahim Marsidi. Katanya, “Kita ini seperti 10 budak hitam. Entah siapa pula selepas ini.” Manakala Safrullah Sanre mahu majlis hari ulangtahun Arenawati di ulang sambut di Makasar dalam masa terdekat. Katanya, “Pak Arena perlu diberi penghormatan di kota kelahirannya. Penulis sana pun mahu merayakannya.”  (Modified on 8 August 2005).. 
Komen: 

Born in Kampung Ketari, Bentong, Pahang, Keris Mas received his early education at the Malay School in his village, before going to the Tawalib school in Sumatra, and the Muallimin Al-Islamiah College.
After World War II, he joined the Parti Kebangsaan Melayu Malaya (The National Malay Party of Malaya) (PKMM) wing in Pahang, and was actively involved in its branch in Singapore. In the party, he held the Information Officer post.
He also worked with several newspapers, such as the Melayu Raya, Warta Negara (until 1956), and Utusan Melayu in Singapore (as the Editor of Publication). He is credited with contributing a lot towards the development of Mastika magazine and Utusan Zaman, a Malay-language newspaper in Jawi script.
He joined the Dewan Bahasa dan Pustaka in December 1956 as an editor, and his highest post, before his retirement on 10 June 1977, was as the head of the literary development section. After his retirement, he continued to be a Penulis Tamu (Resident Writer) at the University of Malaya and Dewan Bahasa dan Pustaka. Source: Wikipedia





27 June 2011

Aktivis NGO Yang Juga Wartawan Melaka


 Jamal Shah (kiri) bersama crew Jejak Bahasa di rumah TS Abdul Aziz Tapa di Jasin Melaka.

JAMAL SHAH: AKTIVIS NGO YANG MENULIS

 Terakhir saya berbual dan melawak dengannya ketika di Pekan Baru, Riau menghadiri Festival Kebudayaan Melayu anjuran pemerintah daerah Riau. Itu kira-kira tiga tahun yang lalu (19960. Ketika bersama Jamal Shah, kita tidak akan mengantuk atau rasa bosan. Ada sahaja cerita yang dibawanya. Seronok malah mengasyikkan. Kawan-kawan yang rapat dan yang jarang jumpa cukup senang berada bersamanya. Jika diajak berbual, dia seperti tidak punya nokhtah.

Banyak perkara yang dibualkan dan tentunya yang lebih diutamakan kisah dunia persuratan, termasuk dunia kewartawanan. Beberapa bulan lalu saya menghubunginya di Melaka dan kami bercerita lagi. Daripada perbualan kami itu ternyata Jamal masih juga tidak luntur minat untuk terus menulis. Malah menurutnya, kini dia menjadi penulis bebas untuk majalah dan akhbar, terutama di Indonesia.

Dia bercerita tentang nasib karyanya yang kekurangan dana untuk penerbitan. Katanya, buku Jejak-Jejak Ke Tanah Haram diterbitkannya dengan dana terhad sehingga dengan demikian "edarannya juga terhad". Begitu juga dengan bukunya "UMNO Melaka Kumpulan 11". Barangkali dia menerbitkan buku-bukunya sendiri melalui tajaan orang perorangan. Barangkali juga dia memikirkan bahawa untuk menerbitkan buku-bukunya oleh penerbit-penerbit bona-fide tentu memakan tempoh lama. Dia tidak sanggup menunggu lama ketimbang isu yang dikemukakan adalah bersifat semasa.

Yang mengkagumkan saya tentang Jamal ini ialah kegiatannya dalam pelbagai bidang penulisan - cetak dan elektronik. Dia menulis untuk media cetak dan juga media elektronik. Dia menulis rencana sebagai penulis bebas untuk akhbar tempatan seperti Berita Harian, Utusan Malaysia dan Utusan Melayu, kebanyakannya dalam bentuk kisah berita dan berita rencana. Dan di media elektronik dia pernah satu ketika dahulu menjadi penulis ruangan "Sinar Desa" terbitan Radio Malaysia, kelolaan Majid Kayat. Jamal mula menulis ketika masih bersekolah dalam tahun 1962. Tulisan pertamanya ialah "Melaka Dahulu Kala". Sejak tulisan pertamanya itu dia tidak lagi menoleh ke belakang sehingga hari ini dengan usianya menjangkau 53 tahun 16 Oktober depan.

Jamal masuk dunia persuratan, khususnya persuratkhabaran melalui satu peristiwa menarik yang baginya tidak akan mudah dilupakan. Peristiwa itu menyangkut namanya "Jamal Shah". Nama ini bukan nama sebenarnya kerana namanya, kalau mengikut kad pengenalan rasmi ialah Mat Jamal bin Abu Sah. Dia bercerita "nama Jamal Shah bukanlah saya cipta sendiri tetapi ia adalah hasil tulisan pertama saya  yang disiarkan dalam Berita Minggu." Menurutnya tulisannya berjudul "Menanti Di Ambang Syurga", iaitu sebuah rencana tentang drama yang dipentaskan oleh Persatuan  Belia Angkatan Seni Remaja Ujung Pasir. Ketika itu pengarang Berita Minggu ialah A. Samad Ismaiil (kini Tan Sri). "Samad Ismaillah yang mencipta nama Jamal Shah," katanya. 

Ciptaan A. Samad Ismail ini melekat sampai hari ini. Malah, nama Jamal Shah semacam sudah sebati dengan jiwa dan orangnya. Orang tidak akan kenal siapa Mat Jamal Abu Sah, kecuali barangkali keluarga dan kawan-kawan sekampung terdekat. Dalam dunia persuratan siapa tak kenal Jamal Shah, penulis rencana berita yang gigih, satu ketika dulu, yang punya "dateline" Melaka.

Untuk mengetahui selok-belok penulisan kisah berita dan rencana berita Jamal mengikuti kursus kewartawanan di South East Asia Press Center di Kuala Lumpur pada tahun 1982. Dan dalam penulisan dia menggunakan beberapa nama samaran seperti A.S. Jaha, Yukri Ananda, Awang Cik Tunggal dan Jamal Shah sendiri. Namun nama terakhir itulah yang masih melekap di dada surat khabar dan majalah.

Jamal sebenarnya merupakan seorang aktivis dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO), khususnya pertubuhan belia. Dia anggota aktif dalam Angkatan Seri Remaja Ujong Pasir dan Pergerakan Belia 4B Malaysia. Disebabkan kegiatannya itu dia pernah dihantar ke Jerman untuk mengikuti kursus lanjutan  belia anjuran Friedrich Ebert Stiftung dan ke Singapura  anjuran People's Association. Keterlibatan aktifnya dalam bidang belia ini turut membawanya berkunjung ke London, Kanada, Kuwait dan Indonesia.

Kurang jelas apakah Jamal masih terus aktif dalam bidang ini kerana melihat usianya yang sudah melewati setengah abad, ada  kemungkinan kegiatan itu telah banyak dikurangi. Biasanya orang masih aktif dalam persatuan belia jika usianya di bawah 40 tahun. Namun mana tahu pengalaman Jamal masih diperlukan mengingat pengalaman luas dan kematangannya dalam mengurus persatuan belia dan kumpulan anak-anak muda yang lain.

Berani saya katakan bahwa Jamal Shah tidak pernah bertugas luar dari Melaka. Bukan itu sahaja malah alam persekolahannya sejak kecil masih di bawah langit  bumi Hang Tuah itu. Misalnya, tahun 1953 dia belajar di Sekolah Melayu Merlimau. Setelah itu dia pindah belajar di Sekolah Melayu Ujong Pasir dan akahirnya dia melanjutkan pelajaran di Sekolah Anglo-Chinese, Melaka. Pada tahun-tahun 1970an dia menulis dari Melaka, tahun 1980an di menulis juga dari Melaka dan kini tahhun 1990an, dia tetap mengirimkan karyanya dalam bentuk rencana berita dari Melaka.

Ramai penulis lebih daripada faham akan negeri Melaka mempunyai banyak persatuan penulis. Malah ada yang kurang mengerti pula mengapa Melaka, salah sebuah sebuah negeri yang terkecil di Malaysia mempunyai begitu banyak persatuan penulis. Negeri jirannya Johor, cuma ada satu atau dua persatuan penulis iaitu Persatuan Penulis Johor (PPJ) dan  Lembaga Bahasa Melayu Muar, sementara Negeri Sembilan juga dua, iaitu Persatuan penulis Negeri Sembilan (PEN) dan Persatuan Penulis Sastera Negeri Sembilan (PESAN). Berbanding jumlah penduduk atau jumlah penulis dan peminat sastera yang lain, kedua-dua negeri jiran Melaka ini jauh lebih banyak.

Masih saya ingat tentang jemputan Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia, Cawangan Daerah Melaka Tengah pada Januari 1982. Saya dan Maarof Saad telah diundang untuk mengambil bahagian dalam Bengkel Penulisan Karyawarta MAYC Melaka Tengah sebagai ahli panel satu forum yang bertajuk "Ke arah pembentukan  sebuah badan penulis  yang tunggal di Negeri Melaka." Kami juga diminta memberikan ceramah atas tajuk "penulisan rencana termasuk rencana sastera." Surat jemputan ditandatangani oleh pengerusi bengkel Ahmad Hj. Taib.

Saya percaya Jamal Shah memainkan peranan juga dalam perjalanan bengkel ini kerana ketika dua hari di Tapian Gelanggang, Air Keroh, Jamal tetap ada bersama. Bidang belia dan persuratan yang dia ceburi menambah kepercayaan saya itu. Saya tidak beberapa ingat apa yang saya perkatakan di forum malam itu. Begitu juga dengan apa yang diperkatakan Maarof. Tetapi satu yang jelas ialah pertanyaan peserta "Mengapa Melaka yang kecil dan tidak ramai penduduk, khususnya penulis, mempunyai begitu banyak persatuan penulis, iaitu empat buah?"

Jamal bercerita kepada saya beberapa bulan yang lalu. Katanya, dia, Ajikik (Ismail Ahmad), Salim kassim, Noor S.M., Kou Yok Liong dan beberapa teman penulis yang lain berusaha menubuhkan  sebuah persatuan penulis negeri Melaka. Persatuan itu kini dikenali dengan nama Persatuan Penulis Melaka (PANAMA). Penubuhannya dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, Hj Talib Karim di Dewan Undangan Negeri Melaka pada 4 Oktober 1969. Jamal sendiri pernah dua kali menjadi setiausaha PANAMA.

Di samping PANAMA ada pula persatuan penulis Ikatan Persuratan Melayu Melaka (IPM), Lembaga Bahasa Melayu Melaka (LBM) dan Tun Sri Lanang. Pada tahun 1980an, Jamal dikatakan kurang persefahaman dengan ahli jawatankuasa PANAMA, lalu meninggalkan persatuan untuk menganggotai Lembaga Bahasa Melayu Melaka (LBM) dan menduduki kursi ahli jawatankuasanya. Melaui LBM ini Jamal semakin mendekatkan dirinya dengan kegiatan Gapena dan melalui LBM juga Jamal dihantar mengikuti pelbagai kursus, seminar dan simposium terutama di Kuala Lumpur.

Ada yang berkata Jamal punya potensi menjadi salah seorang pemimpin persatuan penulis. Pengalaman luas dalam gerakan belia dan badan NGO lainnya merupakan aset yang boleh dimanfaatkan. Potensinya untuk kemungkinan mencantumkan semua badan penulis di Melaka itu amat besar. Sebabnya Jamal juga mempunyai pengalaman mencurahkan khidmat dalam dua persatuan, iaitu PANAMA dan kini LBM. Saya kira Jamal mesra dengan pemimpin empat persatuan penulis ini dan merupakan orang penghubung terbaik untuk melihart kemungkinan mengurangi jumlah persatuan penulis ini. PANAMA kini diketuai Othman Muhamad, LBM oleh Prof. Madya Dato' Dr. Abd. Latif Bakar, IPM oleh Hj Mokhtar Yassin sementara Tun Sri Lanang kurang mahfum siapa ketuanya atau apakah ianya masih wujud.

Saya kira Jamal masih mesra dengan ketiga-tiga ketua I ini. Bagi Jamal mereka pejuang-pejuang kesusasteraan yang telah tahan diiuji zaman seperti halnya Jamal sendiri. Jamal tak berat mulut dan sebarang inisiatif darinya ke arah penyatuan keempat-empat persatuan itu ada baiknya diberikan pertimbangan. Jika hal ini dapat dimulakan dan Jamal menjadi orang penghubung, mana tahu suatu waktu terdekat ini Gapena akan dipaksa menimbangkan semula keahlian tiga persatuan penulis Melaka untuk digabungkan menjadi satu. Dan saya yakin, walaupun bunyinya mudah, tetapi sebarang kejayaan menyatukan penulis Melaka akan mengurangkan kata-kata perli penulis-penulis luar Melaka yang sering kita dengar suatu waktu dahulu dan juga sekarang: " Di Melaka lebih banyak persatuan penulis daripada penulisnya sendiri."

Andainya usaha menyatukan penulis Melaka ini di bawah satu bumbung persatuan, maka Jamal Shah yang menjadi penggerak dan penghubung akan menjadi aktivis NGO yang paling berjaya di Melaka. Dan jangan lupa Jamal masih terus aktif menulis, terutama dalam bidang rencana berita. Katanya, "Saya sekarang sedang menyiapkan Gugurnya Sebutir Bintang." Bunyinya semacam karya fiksyen, tetapi mana tahu ia sebuah karya biografi! 
 
A.F.Yassin
24 September 1999.
 

24 June 2011

Kongres Bahasa Ke-7: Manfaatnya??

Prof. Diraja Ungku Aziz, Pengarah DBP pertama dan membuka pejabat di Bukit Timbalan Johor Bahru.


KONGRES BAHASA KE-7: DI MANA SILAPNYA?
Oleh A.F.Yassin

Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ke-7, mulanya mahu diadakan secara besar-besaran, sempena perayaan Jubli Emas Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Sebabnya, dikatakan DBP terhutang budi kepada Kongres kerana melahirkannya 50 tahun yang lampaumelalui Kongres ketiga di Johor Bahru., Pada penuhuhannya DBP Ungku Aziz, ketika itu pensyarah di Universiti Malaya, Singapura,  dilantik sebagai Pengarah DBP pertama dengan pejabatnya berpusat di Bukit Timbalan di Johor Bahru.

Dalam kegiatan kongres kali ini DBP meminta kerjasasama Gabungan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) sebagai penyelenggara bersama dengan DBP menyediakan dana dan Gapena menyediakan peserta dan kertas kerja.

Untuk menjadikan kongres ini lebih relevan, DBP dan Gapena mencadangkan  supaya kongres ketujuh ini diadakan di Johor Bahru, mengambil sempena kelahiran DBP oleh Kongres ke-3, 50 tahun yang lalu. Kongres ketika itu antara lain merumuskan penubuhan DBP. Gapena yang begitu teruja untuk menyelenggarakan secara bersama Kongres Ke-7 ini telah menjelajah ke seluruh negara menggembling kerjasama badan-badan persuratan dan badan-badan bukan kerajaan. Tan Sri Ismail Hussein, Ketua 1 Gapena dan kerabat kerjanya ligat meredah daerah dari Perlis hingga ke Sabah mencanangkan penyelenggaraan Kongres. Ismail yakin berkas kerjasma para pejuang dan peminat bahasa dan persuratan ini kongres akan dapat mencapai matlamatnya, iaitu mengembalikan status bahasa dan sastera di tempanya yang wajar.

DBP dalam pada itu telah mengeluarkan pernyataan dan komitmen bahawa untuk mendapatkan kerjasama Kerajaan Negeri Johor bagi mengadakan kongres di negeri yang melahirkan DBP. Melalui pernyataan itu kongres dijadualkan pad 15-17 September 2006.

Penytaan itu juga menyebut tentang status bahasa Melayu yang “sedikit demi sedikit mengalami perubahan yang kurang menggembirakan. Ini adalah antara realiti yang patut dihadapi oleh kongres dengan semangat yang terbuka dan sikap yang positif tanpa terperangkap oleh sikap yang terlalu dogmatik. Satu strategi baru yang pragmatik dan memandang ke hadapan mestilah difikirkan bersama. Kedaulatan dan martabat bahasa Melayu mestilah dipertahankan dengan sikap yang lebih terbuka, setia kepada matlamat, walaupun strategi boleh berubah, sesuai dengan kebijaksanaan ajaran orang tua-tua: “Tidak salah beralih tegak asal di tanah yang sebidang, tidak salah beralih duduk asal di tikar yang sehelai.”

Bagaimanapun akhirnya cadangan untuk mengadakan kongres di Johor pada tarikh yang ditetapkan tidak kesampaian kerana ia akhirnya diadakan di Balai Budaya  Tun Syed Nasir (dulunya Balai Budaya,) di DBP Kuala Lumpur. Tarikhnya ditunda dari bulan September ke bulan November. Kongres tidak lagi dirasmikan oleh seorang menteri kanan tetapi cukup sekadar dirasmikan seorang alhi Parlimen dari Gua Musang, iaitu Tangku Razaleigh Hamzah. Itu pun sebagai kapasiti Tengku Razaleigh sebagai Pengerusi Sekretariat Kongres Kepentingan Bangsa dan ditutup oleh Ketua I Gapena, Ismail Hussein. Kongres pula diadakan pada 6-8 November, dua bulan terlewat dari jadual asal.
Walaupun terlewat dan berubah tempat namun sambutan terhadap Kongres dikatakan membanggakan juga. Menurut catatan jumlah peserta mencecah 500 orang, hampir sama dengan jumlah yang menghadiri Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke-3 di Johor Bahru dahulu. Semangat juga hampir sama. Kalau dahulu pejuang mahu memartabatkan bahasa Melayu. Pada kongres kali ini semangat itu ingin mengembalikan martabat bahasa itu yang seperti dikatakan banyak peserta “telah banyak tercalar.”
Bezanya pula mungkin ibarat langit dan bumi. Kalau Resolusi Kongres Bahasa ke-3 di Johor Baharu antara lain bersemangat menubuhkan Balai Pustaka yang kemudian bertukar nama kepada Dewan Bahasa dan Pustaka tetapi resolusi Kongres ke-7 ini tidak pasti nasibnya. Belum jelas di mana kedudukan resolusi lima (5) perkara yang menyentuh isu kebudayaan, bahasa, sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka serta bangsa Malaysia itu. Masih ada dalam “laci” DBP atau ada cadangan hendak menyerahkannya kepada kerajaan untuk tindakan lanjut.
Siasah dalam edisi 17-30 November 2006, melaporkan “Kongres ini semacam tidak mendapat dorongan daripada kepimpinan UMNO, parti kebangsaan  yang mengaku menjadi pejuang bangsa. Bukan itu saja, agensi kerajaan juga seperti malu-malu atau takut untuk melibatkan diri di dalam kongres berkenaan. Keadaan ini berlaku  kerana agensi bekenaan yang ditunjangi orang politik bimbang penyertaan  mereka akan menjejaskan masa depan politik mereka. Hal ini secara tidak langsung disuarakan oleh Datuk Dr. Abd. Latif Bakar, selaku pengarah Kongres. Beliau melahirkan rasa kesalnya dengan karenah dan birokrasi sesetangah kementerian yang berdlak dalik dalam menjayakan kongres ini.”
Menurut laporan itu lagi Latiff namun berterima kasih kepada Kementerian Pelajaran kerana membenarkan DBP dijadikan arena kongres. Ini kata Latif seperti yang dilaporkan, kerana bagi mereka yang mengetahui latar belakang penyelenggaraan kongres akan geleng kepala. Latif benr-benar tidak tahu akan latar belakang mengadakan kongres atau pura-pura tidak tahu. Ini kerana  rancangan untuk mengadakan Kongres Bahasa ini telah lama dibuat, iaitu sejak awal tahun lagi.  Ia adalah sebahagian daripada kegiatan perayaan Jubli Emas DBP. Satu Jawatankuasa Khas telah ditubuhkan untuk mempastikan kejayaan kongres. Serang pegawai kanan bahasa DBP ditugaskan untuk menyelaraskan program kongres. Khabarnya pegawai kanan bahasa ini dengan kerjasama Ismail telah berkeliling “negeri” untuk mencanangkannya.. Pertemuan dengan Menteri Besar Johor turut diadakan dan menghasilkan rumusan bahawa kongres diadakan di Johor Bahru, sempena penubuhan DBP di bandaraya itu 50 tahun lalu.
Di mana silapnya rancangan tidak ikut jadual. Ada sesetengah pihak, terutamanya dalam kalangan orang DBP, mengaitkannya dengan tokoh-tokoh tertentu dalam politik. Kegagalan mengikut jadual dikaitkan dengan  “percanggahan kepentingan politik” di samping karenah birokrasi di DBP. .Tidak jelas siapa tokoh-tokoh politik yang dimaksudkan, atau dalam bentuk apa karenah birokrasi yang wujud di DBP. Salah satu sumber dari DBP yang boleh dipercayai berkata dua tokoh politik sentral yang dikaitkan dengan penyelenggaraan kongres ini ialah Menteri Pendidikan, Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein dan Menteri besar Johor, Dato’ Abd. Ghani Othman.
Hal ini dapat difahamkan apabila Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Firdaus Hj Abdullah sebelum telah diminta oleh Menteri Besar Johor, khabarnya melalui Gapena untuk mengeluarkan satu pernyataan atau komtmen bahawa Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke-7 adakan diadakan di Pusat Konvensyen Persada Negeri Johor, bersebelahan Bangunan Kerajaan Bukit Timbalan yang menjadi lokasi pertama pejabat DBP. Menurut ceritanya, pusat konvensyen yang hampir siap itu akan dibuka secara rasmi dengan berlangsungnya kongres berkenaan d an dianggap satu satu penghormatan tertinggi kepada DBP, khususnya bahasa Melayu.
Menurut sumber itu, Johor bersedia memberikan komitmen penuh, terutama yang menyangkut pembiayaan dan kemudahan peserta sepanjang tiga hari kongres. Bagaimanapun, akhirnya komitmen Johor tidak kesampaian kerana DBP telah terpaksa “tunduk” kepada keputusan kementerian yang bertanggungjwab terhadap DBP untuk mengadakan kongres di Kuala Lumpur sahaja. Ada cakap-cakap yang menuduh seorang dua individu di kementerian yang  kurang senang dengan komitmen Johor dan kongres patut dan perlu diadakan di Kuala Lumpur, tempat perayaan sentral kegiatan Jubli Emas DBP. Dengan demikian segala usaha promosi DBP dan Gapena dan penglibatan Johor menjadi sia-sia, malah “membazir”. Ini agak bertentangan dengan konsep berhemat yang mahu diamalkan Firdaus.
Karenah birokrasi yang begitu menebal di DBP tidak terkecuali menjejaskan persiapan kongres. Sebagai sebuah agensi separuh kerajaan dan mempunyai kuasa autonomi, DBP amat jarang atau hampir tidak langsung memanfaatkan fungsinya sebagai institusi yang mempunyai kuasa autonomi. Malah terdengar khabar bahwa salah seorang pegawai kanan kini mendadbik dada mendakwa beliau kini mempunyai tiga orang bos, iaitu Menteri Pelajaran sendiri, Pengerusi kepada Lembaga Pengelola DBP dan Ketua Pengarahnya. Maka dikatakan ada yang sedang memantau pergerakannya, bukan oleh Pengerusi atau Ketua Pengarah tetapi oleh seorang yang lain yang gusar dengan gerak langkah yang dilaksanakan pegawai ini.
sekarang ini, bukan menjadi rahsia lagi,  apa sahaja keputusan yang mahu dilaksanakan di DBP hendaklah merujuk kepada peruntukan dan peraturan yang termaktub dalam Jabetan Perkhidmatan Awam (JPA). Kalau dahulu keputusan cukup sekadar medapat lampu hijau Lembaga Pengelola yang berfungsi melaksanakan tugas pemantauan pelaksanaan tugas eksekutifnya. Lebih memburukkan lagi keadaan, kini DBP tidak lagi bertanggungjawab langsung (direct) kepada Menteri Pelajaran, tetapi sekadar kepada Tmbalan Menterinya, iaitu Datuk Noh Omar. Fungsi Lembaga Pengelola di bawah pengeurusinya Datuk Johan Jaafar telah menjadi rubber stamp semata-mata. . Maka keliahatanya DBP kini bertaraf sebuah jabatan di bawah timbalan menteri bukan lagi  seorang menteri penuh.
Kemudian, pegawai kanan bahasa yang bertanggungjawab mempastikan kejayaan kongres ini dikatakan kurang senang dengan peranan Gapena dalam kongres. Pegawai ini dikatakan berkata “Kalau DBP yang keluar duit mengapa mesti kita serahkan kepada Gapena menguruskan kongres. Sepatutnya kita DBP yang menyelenggarakan sepenuhnya. Seolah-olah ada orang dari Gapena yang hendak ambil kesempatan.” Sentimen begini sepatutnya tidak wujud, terutama dlam kalangan orang DBP, kerana agensi-agensi sukarela dalam bidang bahasa dan perseuratan, terutama Gapena yang mahu puluhan kerabatnya di seluruh Malaysia yang terdiri daripada pejuang dan peminat persuratan adalah rakan kongsi sejati DBP.
Ada seorang sahabat di DBP yang keliru dengan sentimen pegawai kanan bahasa ini. Katanya, “Jika DBP (baca: kerajaan) mahu mengharapkan satu bentuk sinergi dari tokoh-tokoh dan pejuang dan peminat bahasa sentimen memperlekehkan semangat begini perlu dielakkan. Nampaknya sesetengah orang DBP ini tidak peka dengan konsep sinergi dan gerakan massa dalam kegiatan bahasa dan sastera tanah air. Soal bahasa dan persuratan bukan boleh diukur dengan wang dan ringgit.”
Ketika kongres berlangsung, banyak kertas kerja tentang bahasa, satera malah tentang DBP sendiri dibentangkan. Antara pembentang yang masih bertenaga ialah Datuk Dr. Hassan Ahmad, mantan ketua pengarah DBP dan Prof. Dr. Awang Sariyan, mantan Pengarah Jabatan Bahasa DBP. Mereka berdua ini masih “bergigi dan bertaring” dalam bidang bahasa, walaupun dianggap sebagai harimau kertas sahaja. Selain mereka tidak ada tokoh besar dan ternama diketengahkan. Mungkin tokoh-tokoh seperti itu tidak wujud lagi atau telah “malas” berbuat demikan. Maklumlah, siapa peduli dengan isu bahasa dan sastera hari ini. Atau tokoh-tokoh yang namanya menjulang dalam bidang-bidang ini sudah menjadi endangered species. Dan tokoh seperti Datuk A. Samad Said yang perjuangannya dalam bidang ini begitu lama, terutama dalam bidang sastera kini hanya sekadar bertarap “pendeklamator” sahaja. Kehadirannya hanya membaca puisi.
Ada yang bertanya:Bagaimana persoalan bahasa dan sastera selepas kongres ke-7 ini? Dan bagaimana pula dengan resolusi yang dikeluarkan selepas Kongres? Tidak ada jawapan jelas. Para peserta yang hadir dan kemudian pulang mungkin sedang meraba-raba akan apa yang bakal terjadi dengan resolusi kongres. Bagi mereka resolusi kongres akan mengalami nasib yang sama dengan resolusi-resolusi kongres sebelumnya. Seorang peserta kongres membandingkan suasana kongres ke-6 yang diadakan di Tanjung Malim sebelum ini. Katanya, “Kali ini kongres diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasur. Jauh lebih baik berbandingkan yang diadakan di sebuah dewan kecil di Tanung Malim. Tapi saya rasa nilai kesungguhan dan komitmen di Tanjung Malin adalah lebih baik. Semangat Tanjung Malim lebih digeruni kerana kongres diadakan hampir tanpa restu sesiapa-siapa.”
Kesan persidangan? Kata  seorang sahabat, Salleh Yusof, namanya, “Kurang.” Salleh. mantan pegawai UKM dan mantan kakiangan DBP, sezaman dengan Usman Awang dan Keris Mas. Salleh ini terkenal dengan semangat kentalnya terhadap bahasa dan masih tidak luntur-luntur sehingga hari ini. Salleh pernah terlibat dalam protes bahasa tahun 1967 yang melahirkan peristiwa “Keranda 152” yang menjunng secara literal keranda  di DBP ketika itu. Pejuang bahasa masih belum lupa peranan yang dimainkan Salleh bersama beberapa yang lain seperti Yahya Ismail, Abdullah Abbas, Fadzil Agussalim dan Maarof Saad tentang bahasa Melayu dikatakan sedang terhakis sehingga membuat Tuan Syed Nasir menangis mengenangkan nasib bahasanya.
Salleh berkata, “Kalau bahasa Melayu hendak dimartabatkan, ikut saja cara Indonesia. Jangan banyak retorik. Buat. Lihat jiran kita itu. Presidennya berucap dalam bahasa Indonesia di Pertubuhan bangsa Bersau. Tapi orang kita tak sanggup buat begitu. Kita di Malaysia, semuanya berlumba-lumpa nak cakap bahasa Inggeris. Nahu lintang pukang tak mengapa asal bunyinya Inggeris. Orang pun hormat kita. Inilah mentaliti kita. Kan kau tak tahu?.” (Modified 12 November 2006).


18 June 2011

Dino Anak Sungai Sumun


CATATAN A.F.YASSIN
Mengenang Dino Sungai Sumun

Terima SMS daripada Wahba pagi Khamis minggu lalu. Bunyinya, “ Ahmad Razali beritahu Dino SS meninggal. Kalau nak nak pergi tumpang sama.”  Spontan “Innalillah” terucapkan. Seorang lagi pergi meninggalkan kawan-kawan untuk meneruskan minat dalam bidang sastera. Usianya 59 tahun.

Tidak ramai kawan-kawan yang ditemui di rumah Allahyarham Dino atau nama penuhnya Mohd. Said Abd. Hamid. Barangkali sudah ramai yang mengunjunginya di sebelah pagi. Yang masih tercegat menunggu jenazah diusung ke surau berhampiran termasuk Datuk Baharuddin Zainal (Baha Zain), Datuk A.Samad Said, Datuk Johan Jaafar, S. Othman kelantan, Wahid Kasran, Ahmad Razali (Dr.) dan Othman Shariff, jiran allahyarham yang paling dekat. Ariffin Said salah orang yang paling sibuk mengurus jenazah.

Jiran terdekat lain, seperti Maaruf Saad tidak kelihatan. Barangkali Maarof telah menziarahi pada sebelah paginya. Jiran-jiran lain seperti Othman Puteh dan Rahman Shaari tidak juga kelihatan. Khabarnya Othman tidak dapat membuat kunjungan hormat terakhir kerana masih membentang kertas kertas dalam satu symposium anjuran NUTP Terengganu. Sementara Rahman begitu terkilan kerana hanya mendapat tahu pemergian DINO sehari selepas pengkebumian.

Ahmad Razali sibuk membuat catatan sambil bertanya beberapa orang. Katanya dia diminta editor Dewan Sastera menulis “balasungkawa”. Bagaimana Ahmad Razali akan menulisnya sehingga dua halaman majalah tidak dapat dipastikan kerana seperti kata Rahman “ tidak banyak diketahui tentang Dino dalam bidang sastera.”

Nama Dino SS dikaitkan dengan bidang puisi. Namun sebahagian besar usianya dia habiskan sebagai wartawan di Berita Harian, mengasuh ruangan pendidikan dan kemudian mengetuai unit sastera akhbar berkenaan. Pernah juga dipinjamkan untuk bertugas di Akademi Penulis Pena ketika itu bertempat di Lorong Lumba Kuda off Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Kawan-kawan yang mengunjungi allahyarham buat kali terakhir Khamis, 17 Julai itu tidak banyak bercakap tentangnya. Barangkali tidak ada apa yang dapat dicakapkan. Ada di kalangan kawan-kawan menyifatkan Dino begitu pendiam, sedikit “memencilkan” diri terutama sejak dia terkena angin ahmar bebera tahun dahulu. Menurut seorang ahli keluarganya Dino sihat-sihat sahaja dan tidak menunjukkan tanda-tanda sesuatu akan berlaku. Dia sedang membuat kerja-kerja terjemahan apabila muntah tiba-tiba. Dia dikejarkan ke hospital Umum Kuala Lumpur sebelum menghenbuskan nafas terakhir kira-kira 2.30 pagi.

Dalam tahun 1990an Rahman Shaari dalam kertas kerjanya “Penulis Muda dan Masa Depannya” yang dibentangkan sempena Hari Sastera Nasional di Shah Alam menyifatkan Dino sebagai seorang penulis yang tidak “mengambil kesempatan.” Maksud Rahman biasanya jika ada penulis yang mengasuh sesuatu ruangan, dia akan memanfaatkan ruangan itu untuk menyiarkan karyanya. Katanya, “Ternyata Dino tidak berbuat begitu. Jarang sangat saya melihat karyanya tersiar dalam Berita Minggu sejak dia mengasuh ruangan itu.”

Rahman tak pasti apakah Dino diberikan syarat oleh majikannya untuk tidak menyiarkan karya kreatifnya atau dia “segan” berbuat demikian bimbang “apa penulis lain akan kata.” Atau Dino terikat dengan etika pengasuh ruangan yang lazimnya tidak akan memanfaatkan keadaan. Jika ini sikap Dino, sememangnya ia amat terpuji, jelas seorang kawan.

Rahman mengakui tidak begitu rapat dengan allahyarham, walaupun katanya, “Kami sama-sama menjadi anak angkat Usman Awang dalam erti mendapatkan tunjuk ajar dalam selok-belok penulisan. Kami tak geng sebenarnya.”  Bukan Dino dan Rahman sahaja yang menjadi anak angkat Usman yang tidak pernah kenal secara intim sesama sendiri, tetapi juga ramai yang lain yang mengaku pernah menjadi anak angkat sasterawan negara itu. Contohnya, Maaruf Saad dan Sutong Umar RS. Maaruf sendiri pernah tinggal bersama-sama Usman untuk beberapa ketika di Petaling Jaya dan Sutong Umar RS.

Rahman tidak ingat sajak Dino yang manakah yang pernah menghambat hatinya. Secara tersirat Rahman barangkali mahu menjelaskan bahawa jarang ada karya puisi Dino yang terserlah. Puisinya tidak banyak diperkatakan. Kata Rahman, “Ada sebuah dua yang dicipta Dino semasa dia di luar negeri. Saya lupa nama sajak itu, tetapi itulah saya amat meminatinya.”

Biasanya Rahman ingat setiap sajak yang diminatinya, termasuk sajaknya sendiri. Malah dia mampu menghafal sajak-sajak itu. Sedikit aneh dia tidak mengingati judul sajak Dino yang dia minati. Apakah  kerana Rahman “tidak geng” dengan Dino, maka dia tidak begitu ambil pusing dengan judul sajak Dino itu. A. Ghaffar Ibrahim akan lebih mesra dengan sajak-sajak Dino. Bukan sahaja sebagai jiran terdekat, Ghaffar dianggap kawan karib Dino dan membaca segala gerak tingkahnya dalam bidang puisi. Malah seangkatan kata seorang penyair.

Penglibatan Dino dalam Pena begitu aktif satu ketika. Pernah Dato’ Ahmad Sebi Bakar, presiden PENA meminta kerjasamanya untuk rekrut lebih ramai ahli Pena dari kalangan wartawan Berita Harian. Dikatakan hasil jerih payah Dino jugalah Ahmad Sebi berjaya dipilih menjadi presiden sehinggalah ke hari ini. Dan bukan tidak mungkin kerana kegigihan Dino dalam dua bidang, wartawan dan sasterawan, maka Ahmad Sebi menggunakan jasa baiknya untuk Dino dipinjamkan ke Akademi Penulis.

Sebelum jenazah disembahyangkan di surau berhampiran, Wahid Kasran mengingatkan kami bahawa Dino lahir di seberang sungai sebelah Perak dan “saya lahir di seberang sungai di sebelah Selangor.”  Sunagi yang dimaksudkan Wahid ialah Sungai Bernam yang memisahkan dua negeri. Kata Wahid, “Tempat lahir saya Sabak Bernam. Tempat lahir Dino Bagan Datoh.” Lebih tepat tempat lahir Dino di Kampung Sungai Sumun. Dan dua huruf “SS” di hujung nama Dino itu ialah “S” untuk Sungai dan satu “S” lagi untuk Sumun. Samad Said datang menyampuk, “Bukan Syok Sendiri.”- (Modified on 1 Januari 1998)       

 

07 June 2011

KALI TERKHIR KETEMU WAJAH WARIS YAMTUAN MUDA RIAU


WARIS YAMTUAN MUDA RIAU TELAH TIADA

Jumaat pertengahan Ogos lalu lalu Zam Ismail, Timbalan Pengarah Yayasan Warisan Johor (YWJ), yang juga penyair memberitahu saya bahawa Raja Hamzah Yunus, seorang ahli waris Yanmtuan Muda Riau, juga budayawan dan Ketua Pusat Maklumat Kebudayaan Melayu Riau, telah meninggal dunia. Dan dengan demikian rancangan untuk menemui budayawan itu dalam beberapa waktu yang dekat ini terpaksa dibatalkan sahaja. Tersentak juga mendengar berita dari Zam. Sebabnya belumlah begitu lama kami dari rombongan Jejak Bahasa TV3-DBP menjadi tetamunya. Sementara Zam bercadang menemuinya untuk projek YWJ sementara saya untuk mendapatkan “Kata Pendahuluan” kepada buku Sejarah Adat Istiadat Kesultanan Johor Riau yang akan diterbitkan YWJ.

Zam mendapat berita itu ketika menghadiri Pertemuan Sasterawan Nusantara di Bandar Sri Begawan, Brunei. Saya sedikit musykil kerana pertemuan itu diadakan pada  10 – 12 Ogos sedangkan menurut Raja Malik, anak Raja Hamzah, yang saya hubungi Ahad 26 Ogos lalu, Raja Hamzah menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 5.00 pagi 18 Ogos di Rumah Sakit Angkatan Laut Republik Indonesia di Pulau Bintan. Zam barangkali tersilap haribulan. Zam mungkin di Sentubung, menghadiri Hari Sastera ketika berita sedih itu disebarkan. Hari sastera dilangsungkan 17 – 20 Ogos lalu.

Apapun jua, menurut anak Allahyarham, iaitu Raja Malik, ayahandanya menghidap penyakit kencing manis dan sering mendapatkan ubat di Johor Baharu. Katanya, “Ayah meninggal selepas seminggu pulang dari Melaka. Temu kawan di sana.” Raja Hamzah atau lebih senang dipanggil Pak Raja atau Pak Ungku baru berusia 63 tahun. Kepergiannya dalam usia yang relatif muda bagi orang budaya merupakan satu kehilangan kepada bumi Riau dan waris keturunan Raja Ali Haji, pengarang terkenal dengan bukunya Tuhfatul Nafis, Salsilah Melayu dan Bugis, Syair Abdul Muluk, Gurindam Dua Belas, Syair Hukum Nikah, Sinar Gemala Mustika Alam dan lain-lain.  Pak Raja adalah waris keturunan keempat daripada Raja Ali Haji.

Seperi baru semalam Pak Raja berkata kepada roombongan YWJ bulan April 1998 dahulu, “Sejak dulu kegiatan menulis dipandang sebagai pekerjaan yang sangat mulia dan kepandaian mengarang tinggi sekali darjatnya. Kemajuan Singapura dalam kegiatan perdagangan seperti dibuat seimbang oleh kerajaan Riau-Lingga dalam kegiatan kebudayaan.” Ketika itu rombongan YWJ sedang membuat kajian tentang tarian zapin di Pulau penyengat. Katanya lagi, “Tentang tarian zapin, ia sudah jarang diketemukan. Kebanyakan yang ada di sini, terutama di Pulau Bintan sudah diubah rentak dan langkahnya sehingga keasliannya  telah tercemar. Ia sudah lebih merupakan  tarian zapin kontemporari.”

Pak Raja seperti merindui keaslian  budaya dan kesenian, seperti halnya dia merindui alam semula jadi di Pulau Penyengat yang didiami kira-kira 4,000 penduduk. Kediamannya yang betul-betul terletak di tepian jeti bagaikan rumah sentri yang menunggu kedatangan pengunjung yang tidak mungkin terlepas daripada melewatinya.

Pak Raja begitu berjasa dalam membudayakan masyarakat Pulau penyengat, khususnya dan  Pulau Bintan, amnya. Di bahunya terletak tanggungjawab memperkenalkan budaya dan sejarah silam kepada generasinya dan juga generasi penerus. Beberapa minit berjalan, kita akan menemui bangunan yang menempatkan khazanah peninggalan dalam bentuk persuratan dan kitab-kitab lama. Tersimpan koleksi pelbagai dokumen yang memperkuat tanggapan tentang peranan bahasa Melayu di istan dalam abad ke-17, 18 dan ke-19. Peta penggunaan bahasa Melayu di kesultanan Johor-Riau-Pahang-Lingga dan kemudian Riau-Lingga memperlihatkan pembatasan dalam pemakaian bahasa. Keadaan bahan yang dikumpulkan masih utuh dan tersusun dengan baik. Pak Raja amat setia merawati bahan-bahan bersejarah di pusat maklumatnya itu.

Pak Raja juga berjasa besar kepada pengisian bahan budaya Yayasan Warisan Johor. Sejak tahun 1998 lagi YWJ telah meminta bantuan Pak Raja untuk mendapatkan khazanah berharga empayar Johor. YWJ tengah hebat-hebatnya berusaha menggali dan memperkenalkan umum sejarah budaya dan keasenian Johor sejak zaman kegemilangan kerajaan Johor-Riau-Pahang-Lingga setelah kejatuhan Melaka di tangan Portugis.

Satu yang menarik tentang Pak Raja ialah kemahirannya bercerita tentang sejarah Johor-Riau dan Riau-Lingga. Ceritanya spontan tanpa perlu merujuk kepada mana-mana sumber lagi. Dan kemahirannya itu memudahkan penyelidikan oleh anggota rombongan YWJ tentang sejarah Zapin dan penggambaran Jejak Bahasa oleh rombongan TV3-DBP. Malah Pak Raja dengan senang hati mengiringi pula rombongan Jejak Bahasa sehingga ke Pulau Lingga dan tinggal bersama mereka selama tiga hari. Bicaranya tentang sejarah dan budaya Riau  tetap konsisten walau di mana dia ditanya. Misalnya, Pak Raja menerangkan sejelas-jelasnya tentang sejarah Istana Damnah di tapak yang hanya tinggal puing-puing istana sahaja.

Menurut Pak Raja sejarah boleh digali  dan akan menjadi sah faktanya jika peneliti mengikuti empat syarat penting. Syarat-syarat itu ialah  ada cerita, ada salsilah, ada keududukan awal dan ada siarah, iaitu kaitan kekeluargaan dengan keluarga dalam istana berdasarkan semenda. Di Daik hingga ke Hulu Riau kesemua syarat ini dapat dipenuhi. Terserah kepada sungguh tidak sungguhnya para peneliti yang berminat dalam hal ini. "Contohnya, di Riau Lingga pernah ada seorang wanita menjadi raja. Baginda ialah Engku Fatimah, Sultanah yang memerintah negeri. Silakan cari sejarahnya," katanya.

Ada kalangan budayawan berpendapat Pak Raja mempunyai pegangan tersendiri tentang sejarah tanah kelahirannya, Riau Kepulauan. Pegangannya itu dikaitkan dengan sejarah bahasa. Pak Raja kata, menurut orang Riau, Palembang adalah asal mulanya bahasa Melayu, Melaka pula adalah asas kegemilangan  bahasa Melayu, Johor merupakan mahkota bahasa Melayu, Pulau Penyengat  junjungan buih bahasa Melayu sementara Pulau Lingga (Daik) adalah mutiara bahasa Melayu. Pak Raja menjelaskan lebih lanjut pandangannya kepada rombongan Jejak Bahasa Jejak Bahasa Oktober 2000 yang lalu. Pertama, bahasa Melayu mula tumbuh di Palembang melalui bahasa Melayu tua (huruf palava). “Kita boleh melihatnya dalam bentuk prasasti dan batu bertulis. Kemudian ia berkembang di Melaka. Ketika itu bahasa Melayu digunakan di istana, yang bererti bermulanya era kegemilangan bahasa Melayu,”katanya.

Walaupun pegangan Pak Raja ini belum dianalisis secara terpeinci, malah belum ada kajian dibuat mengenainya, namun pegangan Pak Raja ini tetap dianggap benar selain belum ada penermuan baru tentang sejarah bahasa itu. Bacaan luas dan pengalaman dalam kegiatan budaya dan persuratan memberi ruang kepada Pak Raja merumuskan tentang pensejarahan bahasa Melayu di alam Nusantara. Manakala titisan warisan dari bangsawan istana dari keturunan Yamtuan Muda Riau meyakinkannya tentang sejarah asal usul bahasa Melayu. Pak Raja seperti mewakili pandangan seluruh masyarakat Riau tentang sejarah kebahasaan yang mereka miliki.

Siapa yang sempat bertemu dan bergaul dengannya tidak akan menduga bahawa Pak Raja cepat mesra. Malah kemesraan yang datang mendadak dan tiba-tiba itu menjadikan kita serba salah dibuatnya. Pernah satu ketika setelah menghadiri majlis pementasan zapin di panggung budaya Pulau Penyengat yang jauhnya kira-kira dua kilometer dari rumahnya, saya dan Zam Ismail mengambil keputusan untuk berjalan kaki sahaja ke Jeti untuk pulang ke Tanjung pinang. Kami minta Pak Raja menunggu beca sahaja untuk pulang. Tetapi Pak Raja enggan berbuat demikian kerana mahu mengiringi kami sama-sama jalan kaki ke jeti. Dan di sepanjang jalan Pak Raja masih juga mahu bercerita tentang makam dan bekas istana yang dilalui sepanjang perjalanan. Malam gelap tidak mengurangi bicaranya sehingga perjalanan sejauh dua kilometer itu seperti dilalui sekejap sahaja.

Beliau adalah warisan daripada sejarah wujudnya institusi Yamtuan Muda. Nilai sentimental dan lekapan emosinya terhadap institusi itu tidak mudah beliau lupakan. Hanya ketika kami  bersamanya dalam gelap malam itu terfikir juga siapakah  bakal menggantinya andainya Pak Raja tiba-tiba sirna. Siapa penggantinya yang sanggup membantu penggiat seni budaya  yang ingin membuat penyelidikan sehingga ke Pulau Lingga? Apakah akan muncul tokoh semahir Pak Raja?

Semua soalan ini muncul sekali lagi sebaik sahaja berita penghijrahannya ke alam baqa dihebohkan. Malah GAPENA yang turut mendapat bantuan tidak ternilai, terutama dalam menjayakan kegiatan Pertemuan Penulis Melayu Serumpuna beberapa tahun dahulu di Daik pasti akan kehilangan seorang pakar rujuk budaya dari daerah Riau. Apatah lagi Zainal Borhan yang akan terasa sepi tanpa Pak Raja setiap kali “melabuhkan”diri di Bentan yang kini dianggapnya  kampungnya setelah Melaka. Pusat kebudayaan di Pulau Penyengat sementara waktu  kini tinggal sepi tanpa Pak Raja. Sewaktu saya menghubungi pusat itu Ahad lalu, anaknya Raja Malik menjawab panggilan telefon saya untuk pengesahan kepergiannya. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya!

A.F.Yassin 
 9 september 2001

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

What Other People Say...


"A.F.Yassin dalam cerpennya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).