Pak Tenas (sedang menuang air) ketika menghadiri jamuan makan malam di restoran Muara, Melaka sempena Seminar Penggawa dan Penghulu dan Adat Melayu di Melaka, 19 September 2005. Seminar ini diadakan sebagai salah satu acara dalam Bulan Bahasa dan Sastera Negara 2005, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Menyelami Resah Rasa Orang Riau
Bulan lalu, persisnya 20 November 2000, saya sempat bersembang dengan Tengku Nasaruddin Effendy atau senang dengan sebuatan Pak Tenas di rumahnya di Pekan Baru, Riau. Pak Tenas berpakaian baju Melayu dan berkain palikat. Cara berpakaiannya tidak ada bezanya dengan cara berpakaian orang Melayu di Semenanjung. "Ya, saya kan orang Melayu," katanya. Pun Pak Tenas ini adalah salah seorang waris keturunan kerabat Diraja Kerajaan Kampar Tua (Pelalawan). Masih ingat bagaimana Sultan Mahmud Syah, sultan Melaka terakhir bersama permaisuri baginda Tuan Fatimah melarikan diri dari Portugis ke Kampar lalu menjadi raja di sana?
Pak Tenas orang Melayu. Cakapnya pun lebih banyak dialek Johornya berbanding dialek "orang seberang", walaupun Pak Tenas disitilahkan sebagai orang seberang. Orang Sumatera. Berada di sisinya bersama anggota rombongan Jejak Bahasa yang melakukan penggambaran di kediamannya itu bagaikan kita berada di kalangan anggota kerabat sahaja. Saling tak tumpah.
Bagaimanapun ada sesuatu yang sedikit mengharukan dalam sembang-sembang pagi itu. Sebabnya baru semalamnya suratkabar "Riau Pos" menyiarkan liputan khas tentang apa yang dianggap sebagai "ada fenomena menarik terjadi pada masyarakat Riau." Fenomena itu barupa wujudnya keinginan "yang menggebu-gebu dari masyarakat Kepulauan Riau untuk memisahkan diri daripada Provinsi (Negeri) Riau dengan membentuk provinsi sendiri." Bagaimanapun sehingga hari ini niat Kepulauan Riau itu belum mendapat restu dari Gabenor dan Dewan Undangan Negeri (DPRD) Riau. Akibatnya, tulis Riau Pos lagi, "seolah-olah terjadi perpecahan antara masyarakat Kepulauan Riau dengan masyarakat yang ada di daerah Riau Daratan?
Benarkah? Saya minta pandangan Pak Tenas setelah membaca liputan khas Riau Pos itu. Jawapan Pak Tenas persis seperti apa yang dilaporkan Riau Pos. Pak Tenas akur bahawa persatuan Riau tidak lagi ditemukan. Hal ini disebabkan pergeseran pandangan antara orang politik dengan orang politik sendiri dan orang budaya dengan orang politik. Kata Pak Tenas, "Persebatian Riau yang seharusnya tetap terjaga, kini sudah tidak ada lagi. Riau sudah terkotak-kotak dalam satu komuniti politik yang berbeza-beza yang memunculkan kepentingan peribadi atau golongan sahaja, bukan kepentingan bersama."
Pak Tenas menghimbau zaman silam sejarah Riau. Menurutnya, dahulu puak Melayu Riau ini memiliki latar perjuangan sejarah yang kukuh. Katanya, "Persatuan Melayu itu dulunya kukuh. Jangankan yang ada di Riau sahaja, puak Melayu yang tergabung dalam semenanjung ini termasuk Singapura, Johor dan Riau pernah punya satu visi. Namun berpisahnya mereka bukan disebabkan keinginan sendiri, melainkan kerana penjajahan Inggeris dan Belanda dan terpisahnya selat."
"Mahu dibawa ke mana Riau ini sebenarnya? Pertanyaan ini sering dikemukakan oleh ramai orang politik dan budaya di Pekan Baru. Tidak terkecuali Pak Tenas. Katanya, "Perlu ada kesepakatan bersama, ataupun rekonsiliasi. Mahu kita jadikan apa negeri kita ini?"
Persoalannya ialah bagaimana mulanya timbul perpecahan antara sesama elit politik dan budaya ini? Ada yang menyebut semuanya bermula dari meruncingnya hubungan antara Tanjung Pinang (Kepulauan Riau) dengan Pekan Baru (Riau Daratan). Umum menganggap hubungan dan konflik ini sebenarnya adalah antara daratan dan kepulauan. Malah dikatakan ada tanda wujudnya ketegangan antara Gabenor Riau, Saleh Djasit dengan Bupati Kepulauan Riau yang baru terpilih, Huzrin Hood. Hal ini ada kaitannya dengan usaha masyarakat Kepulauan Riau membentuk apa yang disebut Badan Persiapan pembentukan Propinsi Kepulauan Riau. Badan ini diketuai oleh Huzrin sendiri.
Gabenor Riau mahu dialog diadakan sebelum badan pemisah ini mahu meneruskan rancangan untuk ke Jakarta menemui Dewan Perwakilan Rakyat bagi mendapatkan restu. Namun Gabenor sedikit kesal kerana badan itu sudah mendahului "hasil dialog". Pemergian Huzrin dan kawan-kawan seperti membelakangi autoritinya sebaga seorang gabenor. Mengapa terjadi demikian sehingga Huzrin tergesa-gesa ke Jakarta mengadu hal. Dr Alfitra Salam, seorang pemerhati politik Lembaga Ilmu Pengetahuan Indonesia (LIPI) yang mendapatkan ijazah kedoktorangnya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) beberapa tahun dahulu membayangkan bahawa tindakan tergesa-gesa Huzrin itu ada kaitananya dengan rasa kecewa terhadap pemerintah daerah dan pusat yang selama ini "secara politik memang kurang mendapat perhatian." Malah Presiden Gus Dur sendiri pernah mengulas bahawa "Riau tidak ada apa-apanya."
Kata Alfitrah, "Ini juga menunjukkan sikap kekecewaan masyarakat marginal yang selama ini terpinggirkan dan semakin terpinggir. Autonomi merupakan peluang untuk meningkatkan harkat dan harga diri yang selama ini diinjak-injak." Pandangan Alfitrah ini tiada bezanya dengan pandangan Dr. Yusmar Yusuff, Ketua Pusat Bahasa dan Kebudayaan Melayu Universiti Riau yang saya temui sebelumnya. Cuma katanya, "untuk permulaan kita akan berjuang secara intelektuil, bukan secara politik." Yusmar cukup terkesan dengan ulasan Gus Dur bahawa "Riau tidak ada apa-apanya", padahal menurutnya Riau kaya sumber enerji seperti minyak dan kelapa sawitnya. Bagaimanapun, sikap kecewa Yusmar adalah berpunca dari Jakarta yang menganggap Riau tidak ada apa-apanya.
Alfitrah kecewa dengan sikap Huzrin yang tergesa-gesa mengadu hal ke Jakarta. Katanya, "Seandainya Huzrin agak sabar sedikit dan mengikuti aturan-aturan yang telah ada, saya yakin dia bisa memimpin kepulauan Riau tanpa ada polemik seperti sekarang ini. Tapi kenyataannya Huzrin telah memilih jalan yang salah."
Namun diakui Bupati Huzrin merupakan tokoh dari kelupulauan Riau yang memilik karisme. Alfitrah melihat Huzrin sebagai aset bangsa Melayu di kepulauan itu. Cuma dia tidak sabar. Dan sikapnya dimanfaatkan oleh golongan politik yang menentang rancangannya untuk "membebaskan kepulauan Riau dari Riau Daratan."
Bukan tidak mungkin sikap tak sabar Huzrin ini disebabkan oleh keputusan Dewan Undangan Negeri (DPRD) Riau yang menolak pembentukan propinsi (negeri) Kepulauan Riau, terpisah dari Propinsi Riau yang ada sekarang. Ertinya harapan masyarakat Kepulauan Riau untuk menjadi sebuah propinsi baru setaraf dengan Sumatera Barat atau Jawa Barat mahupun Sumatera Utara belum kesampaian. Kepulauan itu buat sementara akan tetap menjadi sebuah daerah dalam Propinsi Riau, seperti halnya daerah Sepang dalam negeri Selangor, misalnya.
Ini membuatkan Huzrin hilang sabar kerana telah begitu banyak dialog diadakan antara orang kepulauan dengan orang daratan Riau tapi belum mendatangkan hasil yang positif kepada orang kepulauan. Huzrin barangkali berfikir kalau Banten dan Pulau Bangka telah diizinkan untuk membentuk propinsi sendiri mengapa permintaan Kepulauan Riau untuk menjadi propionsi masih juga dihalang-halang?
Dalam hal ini pula Alfitrah mencadangkan empat perkara dasar yang perlu dirujuk sebagai jalan penyelesaian kepada krisis ini. Pertama, peraturan mengenai proses pembentukan propinsi dan sebagainya perlu ditegakkan. Kedua, Gabenor Riau harus tegas mengamanahkan kepada Bupati sebagai pentabdir sementara "caretaker" kepulauan Riau secepatnya. Ketiga, Tokoh-tokoh dari Kepulauan Riau dan di peringkat propinsi perlu menahan diri dan melakukan usaha yang lebih beretika, misalnya mengadakan dialog yang lebih intim dan berdasarkan kekeluargaan. Keempat, propinsi Riau perlu menyatakan secara tegas bahwa masa depan Kepulauan Riau untuk menjadi sebuah propinsi tersendiri dan bebas dari Propinsi Riau yang sekarang ini masih terbuka luas. Kata Alfitrah, "Ada baiknya DPRD Propinsi Riau meninjau kembali keputusannya menolak pembentukan propinsi Kepulauan Riau. Mesti ada saling memberi dan menerima."
Riau hari ini mempunyai 15 kabupaten (daerah) termasuk lapan yang baru. Empat daripadanya adalah kabupaten induk. "Ini satu tugas berat untuk membenahinya," tutur Pak Tenas. "Ia memerlukan sikap berbaik-baik atau rekonsiliasi. Kita selesaikan satu, satu." Pak Tenas mahu proses berbaik-baik ini dimulakan dari peringkat bawahan. Ia bukan milik orang politik atasa sahaja. Pak Tenas berharap ia bermula di peringkat kabupaten melalui Dewan Undangan Negerinya ataupun lembaga adatnya. "Carilah kesepakatan bersama. Bukan orang elit politik sahaja tapi akan menyeluruh kepada semua masyarakat," katanya.
Pak tenas yakin perjuangan memperbaiki nasib Riau bukanlah milik "segolongan orang sahaja". Semua golongan dan lapisan masyarakat Riau, baik rakyat biasa, mahasiswa, golongan intelek patut direngkuh untuk menghasilkan kesepakatan bersama ini. Katanya, "Kita selama ini hanya terpukau dengan apa yang ada di Pekan Baru, sehingga tokoh-tokoh berpotensi di daerah-daerah dilupakan dan mereka tersingkir." Pak Tenas melihat proses mencar kesepatan bersama itu boleh dimulakan dengan pertemuan tidak formal dengan menggunakan pendekatan kebudayaan dan wadah silaturrahim. Kata Pak Tenas, "Kalau bisa ini yang harus sering kita lakukan. Mencari kesepakatan bersama ini harus dimulai dengan hal-hal yang sifatnya informal."
Apapun jua ada yang serius mengakui bahawa kekalutan ini berpunca dari krisis ketokohan. Di Riau diperkirakan tidak ada tokoh yang suaranya mahu didengar oleh Jakarta. Setidk-tidaknya inilah anggapan Alfitrah. "Dulu kita ada Tabrani tapi dia telah melakukan pengkhianatan terhadap perjuangan masyarakat Riau. Ada baiknya dia kembali ke pangkal jalan." Bagaimana dengan Huzni, Bupati dari tanjung Pinang itu? Kata Alfitrah, "Huzrin akan mendapat dukungan seluruh masyarakat Riau andaikata dia berada pada blok Riau Merdeka. Andaikata dia ambil alih kedudukan Tabrani saya kira dosa-dosanya akan dimaafkan." Satu pandangan yang sedikit radikal berbanding pandangan Pak Tenas, tokoh budaya dari Pekan Baru itu. (Dipetik daripada Utusan Zaman, 31 Disember 2000.)
A.F.Yassin
19. 12. 2000.
No comments:
Post a Comment