Tan Sri Abd. Aziz Tapa: Pemantun yang hebat dan juga seorang pejuang bangsa.
Datuk Wira Borhan Yaman: Budayawan dan pemantun dari Melaka.
CATATAN A.F.YASSIN
Jejak Bahasa: Pantun dan Dondang Sayang di Melaka
Pengacara Jejak Bahasa TV3, Nizal Mohammad bertanya pada pagi 27 Mei yang lalu. “Apa engel saudara minggu ini?”
Oleh kerana pertanyaannya spontan dan tiba-tiba, saya juga menjawab spontan, “Belum terfikir lagi, mungkin pantun orang Melaka.”
Sememangnya kru Jejak Bahasa sedang dalam perjalanan ke kediaman Tan Sri Aziz Tapa, 78 tahun, di Jasin. Turut sama dalam rombongan pagi itu ialah Datuk Borhan Mohd Yamin, 74 tahun, yang dijemput khas dari kediamananya di Klebang untuk menyertai Aziz Tapa, berbincang tentang pantun dan jika perlu rumah tradisi orang Melaka.
Aziz Tapa kurang sihat sewaktu kami hubungi sebelumnya, tapi kerana pantun dan bahasa Melayu dia “menyihatkan” diri bersiap menunggu kedatangan kami. Dan kami menyelusuri jalan-jalan kenangan Tan Sri itu dalam hujan lebat, yang bagaikan cuba menghalang pertemuan. Jamal Shah, orang perantaraan kami di Melaka sedikit hairan. Katanya, “Biasanya di Melaka hujan sebelah petang. Ini pagi. Pelik juga.”
Aziz Tapa, seperti halnya Borhan Yamin, masih bersemangat membincangkan topik tradisi warisan Melayu, iaitu pantun. Kedua-duanya masih mampu mengingat pantun-pantun lama yang berkait dengan budi pekerti, perjuangan dan kasih saying. Malah sambil berbual mereka menyelitkan pantun-pantun usik-mengusik suami isteri. “Mengasyikkan!” kata seorang anggota rombongan. Di samping pantun rupa-rupanya Aziz Tapa juga seorang pelukis. Salah sebuah lukisannya kini dipamerkan di Balai Senilukis Negara dengan judul “Suatu Petang Di Pelabuhan”. Sebenarnya Aziz Tapa guru lukisan satu ketika dulu. Dan dia juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka. Borhan Yamin mengakui bahawa Aziz Tapa adalah guru lukisannya ketika bersekolah dahulu. Kedua-dua tokoh berada dalam lingkungan lebih dua dekad daripada usia emasnya.
Aziz Tapa bangga dengan Melaka. Bukan sahaja kerana pantunnya tapi dianggap negeri Islam pertama terkenal di dunia. Katanya semuanya bermula di Melaka. Betapa tidak, Melaka telah terkenal di seluiruh dunia pada tahun kegemilangan empayarnya pertengahan abad ke-15, terutama sewaktu Sultan Mansur Shah memerintah. Banyak pedagangan dan santeri singgah di pelabuhan Melaka. Katanya, “Jangan lupa sistem pemerintahan Melayu bermula di Melaka. Dulu kita ada sultan, bendahara, temenggung, penghulu Bendahari dan Laksamana. Hari ini kita ada sultan (Yang Dipertuan Agung, Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri, Menteri Kewangan dan Menteri Pertahanan yang di bawah kuasanya ada Laksamana.”
Cuma satu hal yang kadang-kadang susauh diterima akal. Kata Aziz Tapa ada perbilangan orang kita, iaitu “Kalau nak makan angin pergi ke Singapura, Kalau nak makan pergi ke Pulau Pinang dan kalau nak mati pergilah ke Melaka. Sebabnya di Melaka kalau ada orang mati meriah. Ramai yang hantar jenazah ke pusara.”
Aziz Tapa cuba menghuraikan pembayang maksud dalam pantun. Menurutnya lazimnya pembayang diambil dari suasana persekitaran, alam dan kehidupan. Banyak pantun dicipta melalui pengalaman bersama alam yang melingkunginya. Misalnya pantun kasih Kalau padi katakana padi, tidak saya terrtampi-tampi; kalau sudi katakan sudi tidak saya ternanti-nanti. Pembayang kepada pantun itu ialah padi. Dan orang Melayu dekat dengan padi yang menghasilkan beras, makan utamanya. Menampi padi itu lazim untuk mengasingkan hampanya sebelum ditumbuk menjadi beras. Padi dan tampi adalah sesuai dengan rima dan ritme akhirannya.
Borhan Yamin yang kental semangat juang terutama dalam bidang bahasa dan budaya, turut merasakan keindahan dan kekentalan semangat kesetiakawanan dan kasihkan bangsa. Borhan Yamin mengeja “Alif”, “Ba” dan “Ta”. Katanya, “Alif” ialah agama, “Ba” bangsa dan “Ta” tanah air. Beliau berpantun, “Kalau roboh kota Melaka, papan di Jawa saya dirikan, Kalau sungguh bagai dikata, nyawa dan badan saya berikan (serahkan?)”. Pembayang pantun ini adalah simbol perjuangan. Menurutnya, pantun itu “hadis”nya orang Melayu. Siapa tak kenal Borhan Yamin yang satu ketika merupakan Ketua Pemuda UMNO Negeri Melaka yang berjuang bersama-sama A. Ghaffar Baba (sekarang Tun) dan Aziz Tapa sendiri (tiga serangkai yang menjadi pengasas kepada kemajuan UMNO dan kerajaan Melaka hari ini.
Borhan Yamin mengungkapkan rasa cintanya kepada agama, bangsa dan tanah air dengan “redha berkorban segala” sesuai dengan pribahasa yang disukainya, “Bahasa menunjukkan bangsa”. Baginya cinta tanah air adalah sebahagian daripada iman. Dan semangat ini banyak terjelma dalam pantun-pantun dan perbilangan orang Melayu.
Tidak kurang menariknya ialah pantun dalam irama Dondang Sayang di negeri yang pernah terkenal dengan temasha Mandi Safar satu ketika. Malah temasya tahunan ini tidak akan lengkap tanpa nyanyian dondang sayang dengan pantun liriknya. Ini diakui kedua-dua tokoh Aziz Tapa dan Borhan Yamin. Turut akur dengan fenomena pantun dan Mandi Safar ini ialah pengerusi Persatuan Peranakan Baba dan Nyonya Melaka, Baba Kim Bok, 58 tahun, yang ditemui di rumahnya di Bukit Rambai. Baba Kim aktif mengenengahkan budaya baba dan nyonya yang tunjangnya adalah dari budaya Melayu.
Baba Kim menerajui Badan kesenian Babah dan Nyonyah, ringkasnya “Kebaya” yang kegiatannya antara lain menubuhkan kumpulan Dondang Sayang. Salah seroang anak suhan Bab Kim dalam irama dondang sayang ialah Boon Kim Geok. Pada pagi 28 Mei, kru Jejak Bahasa mengadakan penggambaran untuk lagu dondang sayang yang didendangkan oleh kumpulan Mawar Biru pimpinan Baharim Mohd Shariff, 58 tahun, dengan barisan penyanyinya Nona Othman 52 tahun, Maarof bin Abu Chik, 69 tahun, serta Boon Kim Geok sendiri (penyanyi undangan). Penggambaran diadakan di sebuah rumah di Bachang. Rumah ini menyaksikan kumpulan ini berlatih sejak 40 tahun lalu.
Nama Dondang Sayang sinonim dengan pantun usik-mengusiknya. Inilah kelebihannya, terutama dibawa berlagu oleh penyanyinya. Istimewanya irama ini ialah lirik pantun spontan penyanyinya ketika menjual dan membeli. Seperti kata Maarof, keindahan dondang sayangnya ialah lirik dihasilkan ketika sedang menyanyi. Contohnya dia menjual serangkap pantun dengan penuh irama dan pasangan diminta membeli atau menjawabnya dengan pantun yang disesuaikan dengan apa yang dijual.
Baharim yang memimpin kumpulan adalah juara Dondang Sayang Kebangsaan dalam Pertandingan Dendang Rakyat anjuran RTM pada tahun 1988. Baginya dondang sayang telah mendarah daging dengan hampir 40 tahun daripada usianya dihabiskan untuk mengasah bakatnya dalam lagu kebanggaan orang Melaka ini. Kini dia sedang mempersiapkan beberapa anak kecil untuk meneruskan tradisi dondang sayang ini. Ada dua orang yang sedang diasah bakatnya, Mohd Firdaus, 12 tahun, dan Mohd Herdi Ramli, 14 tahun. Mohd Herdi dilatih memukul rebana sementara Firdaus penyanyi.
Kegigihan Baharim dan Baba Kim Bok meneruskan tradisi Dondang Sayang ini barangkali akan tinggal “gigih” sahaja sekiranya tidak ada pihak yang secara serius mempertahankannya. Siapalah Baharim atau Kim Bok jika pihak berkuasa kebudyaan, misalnya tidak pernah menjenguk kegiatan mereka. Tidak keterlaluan jika dondang sayang pupus maka pantun yang menjadi lirik spontan nyanyian turut akan hilang. Maka satu-satunya lirik tradisi yang dicipta spontan ketika melagukan irama dondang sayang akan pupus, sepupusnya cara lirik dicipta. Barangkali nama Baharim, Maarof, Nona Othman, Kim Geok atau Kim Bok hanya tinggal dalam kumat-kumit bibir Mohd Herdi dan Firdaus yang kehilangan arah.
Itulah pantun dan lagu, antara lirik dan irama yang menyaksikan pembauran tokoh pemantun dan dondang sayang. Melaka amat terhutang budi dengan Aziz Tapa dan Borhan Yamin yang petah berpantun dan dengan baharim. Maarof, Nona Othman, Kim Geok serta Kim Bok yang “takkan senang duduk tanpa dondang sayangnya.”
Rentak irama Melayu asli dari Melaka ini masih terus bergema di awing-awang fikiran setelah dua hari berada di Melaka. Kadang-kadang terfikir pula macam manalah indahnya irama dondang sayang tanpa pantun yang dicipta spontan oleh penyanyinya, seperti halnya juga bagaimanalah indahnya pantun yang dicipta spontan tanpa irama dondang sayang yang mengiringnya? Fikiran ini terus datang dan pergi seolah-olah ia seperti ingin mencari jawapan kepada pertanyaan Nizal Mohammad tentang catatan saya minggu ini. Pertanyaan Nizal ini diselang-seli pula oleh pernyataan Kim Bok tentang keadaan Baba dan Nyonya sekarang di Melaka. Kata Kim Bok, “Kami ini macam bank OCBC. Bukan banknya tapi OCBCnya, iaitu Orang Cina Bukan Cina. Cina bukan melayu pun bukan, terutama dari sudut budayanya. Barangkali pula, ini juga yang sedang difikirkan oleh Penerbit Jejak Bahasa Musim kedua ini, Hisham Abdullah.
-Bukit Rambai, Melaka.