Bukan 60 tetapi 9 artikel menarik untuk bacaan umum |
Memoir A.F.Yassin 2 Menuju Pelabuhan Waktu yang mula beredar Oktober ini secara online |
Tidak ada yang paling menyeronokkan selain dapat bercakap-cakap
dengan seorang menteri besar yang minatnya dalam seni agak
luar biasa. Apatah lagi jika menteri besar itu seorang ahli ekonomi.
Bagi sesetengah kalangan, jarang ada seorang yang tokoh dalam
sesuatu bidang akan petah bercakap dalam bidang yang lain. Seorang
ahli ekonomi tidak mungkin dapat bercakap sepetah itu apabila berbincang
tentang tarian zapin dan muzik ghazal, umpamanya. Inilah yang
kami bimbangkan ketika dalam perjalanan menuju ke Saujana, kediaman
rasmi Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman (Sekarang
Tan Sri), Ahad lalu. Apakah masa satu jam diperuntukkan untuk
pertemuan itu akan menjadi terlalu lama kerana topik seni yang dibincangkan
terlalu “kering” buat tokoh ekonomi seperti Datuk Ghani.
Bagaimanapun kebimbangan awal kami ternyata meleset. Perbincangan
yang sepatutnya berlangsung satu jam akhirnya mengambil
masa dua setengah jam. Kelihaian menteri besar bercakap tentang seni
ghazal dan zapin menunjukkan minat beliau yang mendalam terhadap
kedua-dua cabang seni itu. Walaupun masih dalam “cuti sakit” dan
jauh dari pentadbiran rasmi kerajaan negeri namun ia tidak sedikitpun
menghalang Datuk Ghani berbincang panjang. Idea dan pandangan beliau
terhadap seni ini keluar seperti “air mengalir”. Jarang sekali beliau
meminta bantuan “maklumat” dari Haji Ahmad Zahari Jamil, EXCO
Kerajaan Negeri bagi pendidikan dan gunatenaga, belia, sukan dan kebudayaan
atau dari Haji Ismail Zamzam yang turut hadir.
Demikian kesan awal kami bersama Datuk Ghani. Suasana pertemuan
mesra dan bersahaja, malah kami menganggap pertemuan itu
sebagai “acara santai minum pagi dan makan siang”. Mauduk perbincangan
yang dianggap “kering” pada mulanya menjadi semakin hangat
dan mengasyikkan. Jamaudin Idris dari unit sastera “Berita Harian”
dan Hisham Harun, penyeleras ruangan “Youth Quake” akhbar “New
Straits Times”, yang pada mulanya “sedikit diam” semakin bersemangat
bertanya setelah mendapat “suntikan minat” daripada menteri besar.
Umumnya, Datuk Ghani menilai pembangunan negeri Johor harus
mengambil pendekatan holistik. Malah perkataan “holistik” itu sendiri
telah menjadi sinonim dengan nama Datuk Ghani. Dengan perkataan
lain, Datuk Ghani mempunyai impian bahawa pembangunan Johor
dalam berbagai-bagai bidang perlu dengan matlamat akhirnya melahirkan
insan sempurna. Mahunya Datuk Ghani setiap individu anggota
masyarakat di Negeri Johor dapat menikmati kemakmuran, memiliki
daya ketahanan diri dan menemukan semula jati diri yang sejak sekian
lama hampir sirna dan diabaikan.
Inilah agenda kerja Datuk Ghani sejak mula beliau dipertanggung
jawabkan untuk memimpin negeri Johor, kubu kuat orang Melayu
amnya, dan UMNO khasnya. Di pundaknya tergalas beban maha mencabar
untuk melaksanakan apa yang beliau impikan untuk mengubah
Johor sebagai antara negeri yang paling maju dan negeri contoh kepada
negeri-negeri lain. Secara holistik, bidang-bidang yang diberikan keutamaan
seimbang ialah agama, kesihatan, alam sekitar, pendidikan dan
seni budaya. Datuk Ghani memberi jaminan bahawa tidak satu bidang
pun yang akan dianaktirikan. Malah pelaksanaan rancangan pembangunan
dalam semua bidang ini berjalan serentak dan tersusun dengan
pemantauan langsung oleh menteri besar sendiri.
Yang menarik ialah minat beliau dalam memantau pelaksanaan
pembangunan seni budaya. Yayasan Warisan Johor (YWJ) yang diletakkan
langsung di bawah tanggungjawab Ahmad Zahari, memainkan
peranan penting membina dan mengembangkan bidang yang besar
ertinya kepada pembangunan rohaniah, pembniaan ketahanan dan
pembentukan jati diri. Menurut Datuk Ghani, soal membentuk jati diri
perlu diberikan keutamaan kerana telah wujud apa yang disebut suasana
“tenggelam punca” akibat nawaitu politik sesetengah pemimpin
Melayu, terutama dari kalangan yang bukan UMNO.
Jati diri Melayu itu bagaimana? Dan siapa Melayu itu? Barangkali
pertanyaan ini menghantui Datuk Ghani setiap kali beliau cuba mencari
formula yang boleh menemukan semula jati diri Melayu itu. Kalau
pun Perlembagaan Persekutuan meperuntukan definisi dan pengertian
Melayu itu siapa, namun masih terdapat kekosongan dalam definisinya.
Ia ibarat sesusuk tubuh yang kaku lagi dingin, tanpa jiwa dan
emosi. Tubuh kaku dan dingin ini perlu diisi dengan kehangatan rohaniah
dan runtunan emosi rasional agar hasil daripada pengisian itu
akan menjelmalah masyarakat insan yang holistik sifatnya. Dan sifat
holistik demikian merupakan ciri-ciri jati diri dalam insan yang bernama
Melayu.
Dalam proses pengisian ini, Datuk Ghani tidak dapat lari daripada
berpetualang dalam bidang seni budaya, dan dalam hal ini, zapin dan
ghazal sebagai permulaan. Kedua-dua cabang seni akan diangkat dan
dimartabatkan semula khazanah Melayu Johor melalui proses “pemasyarakatan”.
Biartpun kedua-dua unsur seni ini berasal dari luar
(Arab) namun ia telah mendarah daging dalam kehidupan Melayu sejak
kegemilangan empayar Melayu Melaka dan Johor lagi. Pengaruh
seni ini malah kini begitu mencengkam dalam kehidupan orang Melayu
di Riau, Jambi, Sumatera Selatan, Bengkulu, Sumatra Barat dan
di Kalimantan. Begitu besarnya minat orang ramai dan pemimpin di
Johor terhadap zapin dan ghazal ini sehingga setiap kali diadakan seminar
tentangnya, ada sahaja suara yang meminta Johor dijadikan pusat
pengembangannya. Johor pasti tidak akan dapat mengelak kerana seperti
kata Datuk Ghani, “Johor ada asasnya (base). Dan kita akan lestarikan
nyanyian dan muzik tradisi ini.”
Menurut menteri besar, zapin dan ghazal mempunyai banyak unsur
yang mampu bukan sahaja menemukan semula jati diri Melayu tetapi
juga membina ketahanan diri. Kemampuan itu dipamerkan melalui
unsur-unsur disiplin, nilai estetika dan taat setia sesama anggota
kumpulan atau esprit de korps. Nilai-nilai ini boleh ditanamkan dalam
diri generasi baru hari ini melalui kegiatan budaya demikian. Salah
satu kegiatan yang diusahakan ialah perkampungan zapin di seluruh
daerah, yang menyusul setelah kejayaan “memasyarakatkan” zapin di
kalangan rakyat, terutama anak muda.
Pelbagai kegiatan diadakan, antaranya memperkenalkan kokurikulum
tarian zapin di sekolah, menganjurkan pertandingan zapin tahunan
antara daerah dan intra daerah dan menaja seminar zapin antarabangsa
yang diadakan pada tahun 1998 dahulu. Kegiatan mengembangkan
seni ini di kalangan masyarakat bukan Melayu berjalan lancar. Sudah
ada tanda-tanda positif bahawa mereka mula tertarik dan menerima
zapin sebagai salah satu kegiatan seni. Misalnya, Kumpulan Temple
of Fine Arts masyarakat India akan mengadakan perembahan tarian
zapinnya pada 2 Disember akan datang. Ada juga usaha untuk memasukkan
unsur-unsur zapin dalam tarian kipas masyarakat Cina. Hanya
yang perlu diberikan keutamaan ialah bagaimana menarik golongan
muda Cina mencintai dan menyertai kegiatan tradisi ini.
Muzik tradisi ghazal merupakan satu lagi cabang seni yang sedang
diketengahkan. Kegiatan akan ditingkatkan persis tarian zapin. Setakat
ini sambutan amat memberangsangkan. Misalnya, pertandingan
ghazal Johor di peringkat daerah dan negeri mula meletakkan Johor
sebagai negeri ghazal tiada tandingannya. Hai ini memperkuatkan lagi
kedudukannya sebagai negeri ghazal. Dalam kata sambutannya sempena
pertandingan ghazal Johor peringkat kebangsaan tahun 2000,
Datuk Ghani berkata, “Kesedaran sudah sampai bukan sahaja ke peringkat
akar umbi, iaitu di kampung-kampung dan
Mukim-mukim malah telah sampai ke sekolah-sekolah dan boleh
diterima di peringkat antarabangsa. .. Di sinilah terletaknya kekuatan
kita kerana khalayak ghazal yang mapan berada di peringkat ini.
Sesungguhnya ghazal adalah seni muzik rakyat bukannya seni muzik
golongan elit tertentu. Namun kita harus berusaha memartabatkannya
supaya muzik ini boleh setanding dengan muzik tradisional bangsabangsa
lain.”
Sejak mula meminpin kerajaan Johor lima tahun dahulu, tenaga dan
usaha yang dicurahkan Datuk Ghani dalam bidang pembangunan seni
a.k.a. kejiwaan ini belum pernah luntur bahkan seperti kata setengah
kalangan di negeri itu semakin bersemangat jua. Barangkali semangat
tidak luntur yang ditunjukkan ini ada kaitannya dengan keazaman politik
dan minat menteri besar sendiri. Katanya, “Walaupun saya orang
ekonomi, tetapi saya suka bergaul dengan orang di luar ekonomi. Saya
bebas bergaul dengan misalnya, Tan Sri Ismail Hussein, Datuk Zainal
Keling dan Dr Anis. Mereka orang budaya dan kami saling bertukar
pandangan. Bagi saya kepemimpinan harus bersifat terbuka.” Menurutnya
lagi oleh kerana kecintaan dan minatnya kepada seni ini, beliau
berasa bimbang “nanti ada yang kata saya menteri besar zapin atau
menteri ghazal.”
Demikianlah, Datuk Ghani dengan agenda kerja yang holisitik
sifatnya. Tidak keterlaluan jika ada yang menilai minat dan komitmen
Datuk Ghani dalam bidang seni ini sebagai visi suci satu-satunya tokoh
pemimpin di peringkat negeri yang secara holisitik merangsang
kekuatan kentalnya tanpa pamrih dan basa-basi pentadbiran. Barangkali
pada saat ini akan ada pemikiran di kalangan orang budaya di Johor
tentang nasib seni budaya, tarian zapin dan muzik tradisi ghazal
terutamanya, andainya Datuk Ghani tidak lagi menerajui Johor suatu
ketika nanti. Apakah kegiatan seni budaya akan seagresif kini? Atau
apakah Yayasan Warisan Johor akan mendapat peruntukan seperti
sekarang yang menjangkau RM2.5 juta setahun?
Apapun jua, Datuk Ghani punyai misi mempastikan seni budaya,
terutama zapin dan ghazal akan tertancap dalam kehidupan
masyarakat sehingga dengan demikian siapa sahaja yang memimpin
kerajaan negeri perlu menjadi sebahagian daripada kehidupan itu agar
“tidak hanyut” dalam arus perdananya. Kata Datuk Ghani, “Bagi saya
pendekatan holisitik pembangunan dengan matlamat melahirkan sebuah
masyarakat makmur, mempunyai ketahanan dan jati diri meruapakan
bagian yang tidak dapat dipisahkan daripada kerajaan negeri.”
Wajah mesra Datuk Ghani, sebelum kami minta diri, melambangkan
hati dan budinya itu, iaitu meletakkan pembangunan budaya sejajar
dan sedarjat pembangunan dalam bidang-bidang yang lain.
Latar belakang Tokoh Menurut Wikipedia
Ia dilahirkan di Sungai Mati, Muar, Johor. Ia mendapat pendidikan awal di Sekolah Laki-laki Tangkak dan
kemudian melanjutkan pengajian di Sekolah Tingi Muar (High School Muar).
Kemudian dia menyambung pelajaran ijazah sarjana muda dalam bidang ekonomi
di Universitas Australia dan sarjana dalam
bidang ekonomi politik dari Universitas Queensland. Sekembalinya ke Malaysia, ia
menjadi pensyarah di Fakultas Ekonomi di Universiti Malaya (1974-1984) dan seterusnya dilantik sebagai Dekan
Fakultas Ekonomas & Adminisytasi Universitas
Malaya (1980-1982).
Karier politiknya mula
berkembang apabila dilantik menjadi Anggota Dewan Negara pada
Desember 1984 hingga
Juli 1986 dan
setelah itu, ia telah dipilih menjadi Angoota Parlemen Ledang pada Agustus 1986. Pada Mei 1987 hingga November 1990, ia telah dilantik menjadi Wakil Menteri Tenaga, Telekom
dan Pos dan kemudiannya menjadi Wakil Menteri Keuangan mulai
November 1990 hingga 30 November 1993.
Setelah itu, ia dilantik
menjadi Menteri Pemuda dan Olahraga mulai 1 Desember 1993 hingga Maret 1995 dan mendapat julukan sebagai 'Bapa
Rakan Muda' karena berhasil memperkenalkan program Rakan Muda yang mendatangkan
manfaat kepada golongan remaja dan pemuda. Pada 3 Mei 1995, layanan bakti Abdul Ghani mulai ditagih
oleh rakyat Johor dan ia bertanding di peringkat DUN Serom setelah lebih 10
tahun bertugas di peringkat Pusat.
No comments:
Post a Comment