30 June 2012

MELIHAT MELAYU DARIPADA KACA MATA PAK TENAS DARI RIAU

TENGKU NASRUDDIN EFFENDY @ PAK TENAS:MENILAI MELAYUNYA PAK TENAS...




Pak Tenas (sedang menuang air) ketika menghadiri jamuan makan malam di restoran Muara, Melaka sempena Seminar Penggawa dan Penghulu dan Adat Melayu di Melaka, 19 September 2005. Seminar ini diadakan sebagai salah satu acara dalam Bulan Bahasa dan Sastera Negara 2005, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
 Menyelami Resah Rasa Orang Riau

Bulan lalu, persisnya 20 November 2000, saya sempat bersembang dengan Tengku Nasaruddin Effendy atau senang dengan sebuatan Pak Tenas di rumahnya di Pekan Baru, Riau. Pak Tenas berpakaian baju Melayu dan berkain palikat. Cara berpakaiannya tidak ada bezanya dengan cara berpakaian orang Melayu di Semenanjung. "Ya, saya kan orang Melayu," katanya. Pun Pak Tenas ini adalah salah seorang waris keturunan kerabat Diraja Kerajaan Kampar Tua (Pelalawan). Masih ingat bagaimana Sultan Mahmud Syah, sultan Melaka terakhir bersama permaisuri baginda Tuan Fatimah melarikan diri dari Portugis ke Kampar lalu menjadi raja di sana?

Pak Tenas orang Melayu. Cakapnya pun lebih banyak dialek Johornya berbanding dialek "orang seberang", walaupun Pak Tenas disitilahkan sebagai orang seberang. Orang Sumatera. Berada di sisinya bersama anggota rombongan Jejak Bahasa yang melakukan penggambaran di kediamannya itu bagaikan kita berada di kalangan anggota kerabat sahaja. Saling tak tumpah.

Bagaimanapun ada sesuatu yang sedikit mengharukan dalam sembang-sembang pagi itu. Sebabnya baru semalamnya suratkabar "Riau Pos" menyiarkan liputan khas tentang apa yang dianggap sebagai "ada fenomena menarik terjadi pada masyarakat Riau." Fenomena itu barupa wujudnya keinginan "yang menggebu-gebu dari masyarakat Kepulauan Riau untuk memisahkan diri daripada Provinsi (Negeri) Riau dengan membentuk provinsi sendiri." Bagaimanapun sehingga hari ini niat Kepulauan Riau itu belum mendapat restu dari Gabenor dan Dewan Undangan Negeri (DPRD) Riau. Akibatnya, tulis Riau Pos lagi, "seolah-olah terjadi perpecahan antara masyarakat Kepulauan Riau dengan masyarakat yang ada di daerah Riau Daratan?

Benarkah? Saya minta pandangan Pak Tenas setelah membaca liputan khas Riau Pos itu. Jawapan Pak Tenas persis seperti apa yang dilaporkan Riau Pos. Pak Tenas akur bahawa persatuan Riau tidak lagi ditemukan. Hal ini disebabkan pergeseran pandangan antara orang politik dengan orang politik sendiri dan orang budaya dengan orang politik. Kata Pak Tenas, "Persebatian Riau yang seharusnya tetap terjaga, kini sudah tidak ada lagi. Riau sudah terkotak-kotak dalam satu komuniti politik yang berbeza-beza yang memunculkan kepentingan peribadi atau golongan sahaja, bukan kepentingan bersama."

Pak Tenas menghimbau zaman silam sejarah Riau. Menurutnya, dahulu puak Melayu Riau ini memiliki latar perjuangan sejarah yang kukuh. Katanya, "Persatuan Melayu itu dulunya kukuh. Jangankan yang ada di Riau sahaja, puak Melayu yang tergabung dalam semenanjung ini termasuk Singapura, Johor dan Riau pernah punya satu visi. Namun berpisahnya mereka bukan disebabkan keinginan sendiri, melainkan kerana penjajahan Inggeris dan Belanda dan terpisahnya selat."

"Mahu dibawa ke mana Riau ini sebenarnya? Pertanyaan ini sering dikemukakan oleh ramai orang politik dan budaya di Pekan Baru. Tidak terkecuali Pak Tenas. Katanya, "Perlu ada kesepakatan bersama, ataupun rekonsiliasi. Mahu kita jadikan apa negeri kita ini?"

Persoalannya ialah bagaimana mulanya timbul perpecahan antara sesama elit politik dan budaya ini? Ada yang menyebut semuanya bermula dari meruncingnya hubungan antara Tanjung Pinang (Kepulauan Riau) dengan Pekan Baru (Riau Daratan). Umum menganggap hubungan dan konflik ini sebenarnya adalah antara daratan dan kepulauan. Malah dikatakan ada tanda wujudnya ketegangan antara Gabenor Riau, Saleh Djasit dengan Bupati Kepulauan Riau yang baru terpilih, Huzrin Hood. Hal ini ada kaitannya dengan usaha masyarakat Kepulauan Riau membentuk apa yang disebut Badan Persiapan pembentukan Propinsi Kepulauan Riau. Badan ini diketuai oleh Huzrin sendiri.

Gabenor Riau mahu dialog diadakan sebelum badan pemisah ini mahu meneruskan rancangan untuk ke Jakarta menemui Dewan Perwakilan Rakyat bagi mendapatkan restu. Namun Gabenor sedikit kesal kerana badan itu sudah mendahului "hasil dialog". Pemergian Huzrin dan kawan-kawan seperti membelakangi autoritinya sebaga seorang gabenor. Mengapa terjadi demikian sehingga Huzrin tergesa-gesa ke Jakarta mengadu hal. Dr Alfitra Salam, seorang pemerhati politik Lembaga Ilmu Pengetahuan Indonesia (LIPI) yang mendapatkan ijazah kedoktorangnya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) beberapa tahun dahulu membayangkan bahawa tindakan tergesa-gesa Huzrin itu ada kaitananya dengan rasa kecewa terhadap pemerintah daerah dan pusat yang selama ini "secara politik memang kurang mendapat perhatian." Malah Presiden Gus Dur sendiri pernah mengulas bahawa "Riau tidak ada apa-apanya."

Kata Alfitrah, "Ini juga menunjukkan sikap kekecewaan masyarakat marginal yang selama ini terpinggirkan dan semakin terpinggir. Autonomi merupakan peluang untuk meningkatkan harkat dan harga diri yang selama ini diinjak-injak." Pandangan Alfitrah ini tiada bezanya dengan pandangan Dr. Yusmar Yusuff, Ketua Pusat Bahasa dan Kebudayaan Melayu Universiti Riau yang saya temui sebelumnya. Cuma katanya, "untuk permulaan kita akan berjuang secara intelektuil, bukan secara politik." Yusmar cukup terkesan dengan ulasan Gus Dur bahawa "Riau tidak ada apa-apanya", padahal menurutnya Riau kaya sumber enerji seperti minyak dan kelapa sawitnya. Bagaimanapun, sikap kecewa Yusmar adalah berpunca dari Jakarta yang menganggap Riau tidak ada apa-apanya.

Alfitrah kecewa dengan sikap Huzrin yang tergesa-gesa mengadu hal ke Jakarta. Katanya, "Seandainya Huzrin agak sabar sedikit dan mengikuti aturan-aturan yang telah ada, saya yakin dia bisa memimpin kepulauan Riau tanpa ada polemik seperti sekarang ini. Tapi kenyataannya Huzrin telah memilih jalan yang salah."

Namun diakui Bupati Huzrin merupakan tokoh dari kelupulauan Riau yang memilik karisme. Alfitrah melihat Huzrin sebagai aset bangsa Melayu di kepulauan itu. Cuma dia tidak sabar. Dan sikapnya dimanfaatkan oleh golongan politik yang menentang rancangannya untuk "membebaskan kepulauan Riau dari Riau Daratan."

Bukan tidak mungkin sikap tak sabar Huzrin ini disebabkan oleh keputusan Dewan Undangan Negeri (DPRD) Riau yang menolak pembentukan propinsi (negeri) Kepulauan Riau, terpisah dari Propinsi Riau yang ada sekarang. Ertinya harapan masyarakat Kepulauan Riau untuk menjadi sebuah propinsi baru setaraf dengan Sumatera Barat atau Jawa Barat mahupun Sumatera Utara belum kesampaian. Kepulauan itu buat sementara akan tetap menjadi sebuah daerah dalam Propinsi Riau, seperti halnya daerah Sepang dalam negeri Selangor, misalnya.

Ini membuatkan Huzrin hilang sabar kerana telah begitu banyak dialog diadakan antara orang kepulauan dengan orang daratan Riau tapi belum mendatangkan hasil yang positif kepada orang kepulauan. Huzrin barangkali berfikir kalau Banten dan Pulau Bangka telah diizinkan untuk membentuk propinsi sendiri mengapa permintaan Kepulauan Riau untuk menjadi propionsi masih juga dihalang-halang?

Dalam hal ini pula Alfitrah mencadangkan empat perkara dasar yang perlu dirujuk sebagai jalan penyelesaian kepada krisis ini. Pertama, peraturan mengenai proses pembentukan propinsi dan sebagainya perlu ditegakkan. Kedua, Gabenor Riau harus tegas mengamanahkan kepada Bupati sebagai pentabdir sementara "caretaker" kepulauan Riau secepatnya. Ketiga, Tokoh-tokoh dari Kepulauan Riau dan di peringkat propinsi perlu menahan diri dan melakukan usaha yang lebih beretika, misalnya mengadakan dialog yang lebih intim dan berdasarkan kekeluargaan. Keempat, propinsi Riau perlu menyatakan secara tegas bahwa masa depan Kepulauan Riau untuk menjadi sebuah propinsi tersendiri dan bebas dari Propinsi Riau yang sekarang ini masih terbuka luas. Kata Alfitrah, "Ada baiknya DPRD Propinsi Riau meninjau kembali keputusannya menolak pembentukan propinsi Kepulauan Riau. Mesti ada saling memberi dan menerima."

Riau hari ini mempunyai 15 kabupaten (daerah) termasuk lapan yang baru. Empat daripadanya adalah kabupaten induk. "Ini satu tugas berat untuk membenahinya," tutur Pak Tenas. "Ia memerlukan sikap berbaik-baik atau rekonsiliasi. Kita selesaikan satu, satu." Pak Tenas mahu proses berbaik-baik ini dimulakan dari peringkat bawahan. Ia bukan milik orang politik atasa sahaja. Pak Tenas berharap ia bermula di peringkat kabupaten melalui Dewan Undangan Negerinya ataupun lembaga adatnya. "Carilah kesepakatan bersama. Bukan orang elit politik sahaja tapi akan menyeluruh kepada semua masyarakat," katanya.

Pak tenas yakin perjuangan memperbaiki nasib Riau bukanlah milik "segolongan orang sahaja". Semua golongan dan lapisan masyarakat Riau, baik rakyat biasa, mahasiswa, golongan intelek patut direngkuh untuk menghasilkan kesepakatan bersama ini. Katanya, "Kita selama ini hanya terpukau dengan apa yang ada di Pekan Baru, sehingga tokoh-tokoh berpotensi di daerah-daerah dilupakan dan mereka tersingkir." Pak Tenas melihat proses mencar kesepatan bersama itu boleh dimulakan dengan pertemuan tidak formal dengan menggunakan pendekatan kebudayaan dan wadah silaturrahim. Kata Pak Tenas, "Kalau bisa ini yang harus sering kita lakukan. Mencari kesepakatan bersama ini harus dimulai dengan hal-hal yang sifatnya informal."

Apapun jua ada yang serius mengakui bahawa kekalutan ini berpunca dari krisis ketokohan. Di Riau diperkirakan tidak ada tokoh yang suaranya mahu didengar oleh Jakarta. Setidk-tidaknya inilah anggapan Alfitrah. "Dulu kita ada Tabrani tapi dia telah melakukan pengkhianatan terhadap perjuangan masyarakat Riau. Ada baiknya dia kembali ke pangkal jalan." Bagaimana dengan Huzni, Bupati dari tanjung Pinang itu? Kata Alfitrah, "Huzrin akan mendapat dukungan seluruh masyarakat Riau andaikata dia berada pada blok Riau Merdeka. Andaikata dia ambil alih kedudukan Tabrani saya kira dosa-dosanya akan dimaafkan." Satu pandangan yang sedikit radikal berbanding pandangan Pak Tenas, tokoh budaya dari Pekan Baru itu. (Dipetik daripada Utusan Zaman, 31 Disember 2000.)

A.F.Yassin
19. 12. 2000.





29 June 2012

PAK YA: PENA-GAPENA-POLITIK SASTERA, TIGA DALAM SATU


Yahaya Ismail (Pak Ya) dengan pos terbarunya.


PAPTI YAHAYA Ismail GAPENA DAN TABLOID POLITIKNYA
Tidak ingat, bila kali terakhir saya menemui Yahaya Ismail atau berbual dengannya. Yahaya sibuk sakan, maklum seorang sasterawan dan kini penulis buku politik sepertinya perlu berada dalam keadaan peka dengan dunia sekelilingnya. Yahaya juga seorang tokoh besar kesusasteraan suatu ketika dulu dengan karya-karyanya sering mengundang kontraversi dan polimik. Khamis lalu, Yahaya menelfon. Suaranya masih seperti biasa dengan dialek Kedah campur Indonesia yang semakin membekas sebagai identiti dirinya. Dan seperti biasa setiap kali memulakan bicara, baik ketika bertemu mahupun ketika bercakap melalui telefon Yahaya akan bertanya, “Apa ada cerita baru?”

Dengan suara tinggi seperti biasa, Yahaya akan bercakap yang diselang dengan ketawa. Kadang-kadang kata-katanya melucukan juga dan kami sama-sama ketawa panjang. Pagi itu entah apa mimpinya Yahaya telefon. Barangkali dia menerima kad raya dari saya yang turut memaparkan sebuah gambar lamanya. Atau memang sudah lama sangat kami saling tidak berhubungan.

Seperti biasa topik yang dibincangkan tidak lari daripada kegiatan penulisan, persatuan penulis, terutama Pena dan Gapena. Yahaya pun pernah memimpin Pena satu ketika pada tahun 1980an dan dia dilabel cuba menyeret persatuan penulis nasional itu masuk ke kancah politik. Kebetulan UMNO ketika itu sedang berdepan dengan Parti Semangat 46 pimpina Tengku Razaleigh Hamzah. Ada sesetengah kalangan dalam UMNO yang mendakwa Yahaya sedang mendekatkan Pena ke Parti Semangat 46.

Dalam perbualan pagi khamis itu, Yahaya masih juga prejudis terhadap kegiatan Gapena di bawah pimpinan Tan Sri Ismail Hussein. Baginya, Gapena masih lagi seperti dulu, mencari Melayu yang tak habis-habis. Ismail yang kebetulan berada di Sibolga ketika ini mengundang pertanyaan Yahaya. “Buat apa Ismail ke sana?” Seolah-olah Yahaya ingin bertanya, “Bukankah daerah Siobolga itu daerah Batak. Apakah orang Batak itu orang Melayu?” Seolah-olah Yahaya mahu memberitahu Ismail bahawa orang Batak dengan orang Melayu di Sumatera Utara masih mempunyai masalah hubungan akibat sengketa tanah dan daerah.

Satu kesimpulan dapat ditarik daripada pertanyaan Yahaya, iaitu selagi persatuan penulis yang bergabung dalam Gapena dipimpin oleh orang-orang yang sama sejak puluhan tahun lalu, tidak mungkin akan berlaku perubahan dalam pucuk pimpinan Gapena, dan seterusnya dalam dasar dan kegiatannya. Yahaya seperti mahu melihat Gapena mencari dasar baru yang boleh menjadikan Gapena lebih bererti kepada masyarakat penulis daripada hanya menumpukan perhatian kepada kegiatan “mencari Melayu”nya.

“Pada saya, yang penting Gapena berperanan aktif menjaga kepentingan penulis dan melibatkan diri dalam isu-isu yang mempunyai kepentingan nasional, walaupun tidak semestinya politik,” katanya. Tafsiran yang boleh dibuat daripada cara berfikir Yahaya ialah Gapena, sebagai induk persatuan penulis seluruh Malaysia perlu melihat ke dalam; melihat masalah akar umbi Melayu Malaysia, terutama penulis-penulisnya. Masih banyak masalah yang perlu diberikan perhatian. Misalnya, masalah royalti dan cara berurusan dengan penerbit; masalah Dewan Bahasa dan Pustaka yang tetap sahaja dengan isu lapuk buku tak lakunya dan pengurusannya; masalah beberapa persatuan penulis yang khabarnya mengalami krisis kepimpinan.

Tafsiran ini ada juga benarnya. Bukan menjadi rahsia lagi ada persatuan penulis yang tidak berlaku adil kepada ahli-ahli penulisnya, terutama yang tidak sebulu dengan pucuk pimpinan. Ada persatuan yang jumlah ahlinya tidak bertambah langsung sejak mula ditubuhkan. Ada pula negeri yang diwakili empat persatuan dalam kerabat Gapena. Pada hal negeri itu adalah antara yang terkecil jumlah penduduk mahupun luas wilayahnya. Lebih menarik ada persatuan yang barisan pemimpinnya tidak pernah bertukar sejak ditubuhkan.

Betul juga! Pernah seorang ahli seumur hidup Pena bertanya, “Mana ada persatuan penulis yang sejak tahun 1970an sudah membuat pertukaran pemimpin silih berganti melalui proses pemilihan. Setahu saya cuma Pena sahaja. Kita tahu Pena mempunyai ketua yang bertukar ganti. Dari Usman Awangnya, Mohd Nor Azamnya, Adam Kadirnya, Baha Zainya, Maarof Saadnya, Yahaya Ismailnya dan kini Ahamd Sebinya.”

Selain Pena barangkali Persatuan Penulis Johor (PPJ) juga adakalanya bertukar pemimpin. PPJ pernah dipimpin beberapa tokoh penulis antaranya Ismail Zamzam, Mas’ud Abd Rahman (allahyarham) dan Shukor Ismail. Kecuali Pena dan PPJ ada satu dua persatuan penulis lain yang berbuat begitu. Namun hendak kita salahkan persatuan-persatuan lain kerana tidak bertukar pemimpin, tidak boleh juga. Ada persatuan yang ahli-ahlinya enggan dipilih menerajui kepimpinannya sehingga pemimpin yang ada terus diminta mengekalkan jawatannya. Alasan yang diberikan lebih bersifat peribadi. Ada yang terlalu terlalu sibuk dan masa untuk menumpukan perhatian kepada persatuan terlalu kurang. Kemudian ada juga ahli-ahli persatuan yang tidak mahu mengganggu status quo kepimpinan yang ada kerana khuatir kegiatan persatuan akan tergugat. Atas alasan ini maka ada persatuan yang tetap dipimpin oleh tokoh-tokoh yang sama sejak dulu sampai sekarang.

Di sinilah letak persoalan mengapa Ismail perlu memberikan perhatian kepada masalah dalaman. Kata seorang penulis, “Tan Sri boleh sahaja mencari Melayu di luar negeri tapi berikan tumpuan lebih kepada masalah persatuan, terutama mencari jalan mengubah minda ahli-ahli persatuan di tiap-tiap negeri supaya lebih pro-aktif dalam persatuan. Bagaimana kalau Gapena merancang lebih banyak kegiatan yang berkait dengan latihan atau seminar perubahan minda ahli. Kurangkan sedikit kegiatan memberi kursus sastera, seperti bagaimana mahu menulis sajak, cerpen, lulus peperiksaan dalam kertas sastera atau sebagainya.”

Di samping Gapena, Yahaya juga berbincang tentang peranan akhbar tabloid yang banyak terdapat di pasaran sekarang. Yahaya sendiri memiliki dan memimpin tabloid “Bebas” sejak beberapa tahun yang lalu. “Alhamdulillah, masih dapat bertahan. Itu pun setelah saya tukar strategi dan pendekatan dalam pemberitaan,” katanya. Yahaya megakui bukan mudah mengekalkan kelangsungan hidup akhbar tabloid, terutama jika tabloid itu cendung untuk menyokong golongan establishment. Kalau seratus peratus menyokong pihak kerajaan atau parti kerajaan, tabloid itu seperti “menempah maut”. Bukan sahaja ia akan terpaksa berdepan dengan akhbar-akhbar arus perdana yang sudah mapan, tetapi juga ia tidak akan dapat merebut audien pembaca yang kesetiaannya telah “melekat” dengan akhbar arus perdana.

Sebaliknya jika tabloid menuruti arus kecenderungan pembangkang secara melulu, ia terpaksa bersaing dengan lenggok dan pendekatan pemberitaan tabloid milik pembangkang. Kecuali tabloid seperti yang dimiliki Yahaya mahu menjadi organ parti pembangkang, tidak mungkin tabloid berkenaan dapat bersaing dengan akhbar dan tabloid pembangkang. Maka satu-satunya jalan yang ada ialah satu formula yang meletakkan tabolid pada kedudukan tidak sepenuhnya berpihak kepada establishment tetapi ada kecenderungan memihak kepada pembangkang dalam pendekatan pemberitaannya. Atau tabloid berkenaan memanfaatkan intirk-intrik dan konflik dalaman yang bergolak dalam parti politik, terutama dalam parti yang memerintah. Kelihatannya tabloid “Bebas” yang dipimpin Yahaya membuat pendekatan ini. Begitu juga dengan beberapa tabloid yang lain seperti “Buletin Utama”dan “Buletin Demokrasi”yang dipimpin Jamaluddin Bakar, bekas eksko Pemuda UMNO.

Yahaya mendapati pendekatan seperti ini merupakan jalan tengah yang dianggapnya banyak mendatangkan manfaat kepada kelangsungan hidup tabloidnya. Tetapi yang menjadikan tabloidnya kembali mendapat tempat dalam pasaran ialah pendekatan pemberitaannya yang lebih pro parti pembangkang. Barangkali Yahaya bertolak daripada sikap umum pembaca yang inginkan berita alternatif selain daripada yang dipaparkan akhbar arus perdana, seperti Utusan Malaysia, New Straits Times, The Star, The Sun, Berita Harian, Nanyang Siang Pau, Sin Chew Jit Poh atau Tamil Nesan. Juga bukan tidak mungkin Yahaya juga menganggap tidak semua orang suka membaca tabloid organ pembangkang kerana pendekatannya yang terlalu prejudis terhadap kerajaan, seperti Harakah, Keadilan dan lain-lain. Masih ramai yang inginkan pendekatan yang neutral dan mendedahkan kelemahan parti-parti politik, baik yang memerintah mahupun yang membangkang. Yahaya mendapatkan formulanya daripada keinginan golongan ini.

Apapun jua, Yahaya yang telah lama meninggalkan dunia kesusasteraannya, kini merupakan orang media yang sentiasa berusaha mencari pendekatan yang terbaik untuk meningkatkan nilai komersial medianya. Perubahan dalam cara berfikir tidak dapat dia elakkan, seperti yang terlihat dalam penerbitan tabloid “Bebas”. Bagi sesetengah kalangan, perubahan dalam cara berfikir Yahaya ini adalah kekuatannya. Hal ini amat ketara jika kita menilai karya-karyanya sejak mula dia menulis buku berunsur politik, seawal tahun-tahun 1980an dahulu.

Sesiapa sahaja yang membaca buku-buku politiknya nescaya akan mendapati cara berfikir Yahaya yang kritikal berubah-ubah dari satu ekstrim ke satu ekstrim yang lain. Pada suatu ketika buku Yahaya begitu kritikal terhadap tokoh-tokoh tertentu dalam parti kerajaan dan ada ketikanya pula bukunya memuji sakan tokoh-tokoh yang sama. Katanya, “Tunggulah buku baru saya yang bakal terbit Januari tahun depan. Mesti meledak.” Apabila ditanya apakah buku itu nanti pro atau anti establishment jawabnya, “You tunggulah.” Kelihatannya hanya dengan Gapena sikap Yahaya tak banyak berubah.
Pasca-skrip: Dalam perbualan melalui telfon pagi ini, Jumaat 29 Jun 2012, Pak Ya ingin kembali mewarnai daerah kesusasteraan yang telah lama ditinggalkannya. Pak Ya malah mula berinteraksi dalam Facebook, wadah yang baginya boleh dimanfaatkan untuk menemui teman-teman penulis di seluruh negara. Dan seperti biasa Pak Ya akan bertanya: Apa cerita baru?" ...dan selepas itu kami akan berbual panjang menyangkut pelbagai persoalan. Katanya, "Sayang u tidak ada hari Selasa, 26 Jun lalu di Dewan Bahasa. Saya sempat menemui beberapa sahabat lama dan malah sempat memberi pandangan dalam wacana yang sedang berlangsung. Pak Ya bercerita tentang perjuangan menegak bahasa, sastera dan memperkasa orang Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka menganjurkan Wacana ketamadunan Melayu: Pensejarahan Bahasa dan Bangsa.

25 June 2012

BUDAYA MELAYU SEMENANJUNG DAN SINGAPURA: ADA APA-APA PERBEZAAN?

Pengasas ASAS '50 Cikgu Mohamad Arif Ahmad (MAS) sewaktu ditemui di rumahnya di Singapura. Foto diabadikan A.F.Yassin ketika penggambaran Jejak Bahasa di Singapura terbitan DBP-TV3 pada tahun 2001.

Menghayati Budaya Melayu di Malaysia dan Singapura

Ada dua petemuan penting bulan Jun lalu jika mahu mencari sejauh mana budaya antara dua Melayu di Malaysia dan Singapura berbeza atau pun sama. Satu pertemuan dalam bentuk simposium diselenggarakan oleh Fakulti Komunikasi dan Bahasa Moden Universiti Putera Malaysia (UPM) di Serdang dan satu lagi oleh Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) di Rumah Gapena Kuala Lumpur. Kedua-dua pertemuan ini dihadiri oleh tenaga akademik, sasterawan dan budayawan kedua-dua negara. Malah di Rumah Gapena turut hadir ialah beberapa orang sasterawan dan budayawan Indonesia yang diketuai Isteri Taufik Ismail.

 Yang paling menarik ialah isu pertemuan di Serdang (15-17 Jun 2004). Pertemuan mahu melihat dunia Melayu melalui teks kesusasteraan Singapura dan Malaysia dalam bahasa Inggeris. Oleh kerana pencarian dilakukan melalui teks Inggeris maka keseluruhan sidang adalah dalam bahasa Inggeris kecuali kertas kerja yang dibentangkan Dr Ramli Isin dan Abd. Rahim Marasidi, kedua-duanya pensyarah di fakulti berkenaan. Walaupun hampir semua yang hadir (jumlah tak sampai 30 orang) terdiri daripada orang Melayu.

 Di Rumah Gapena pertemuan berupa dialog dengan empat ahli panel membincangkan tentang kebudayaan Melayu di Singapura dan Malaysia. Keempat-empat ahli panel itu ialah Prof. Madya Dr Solehah Ishak dari UKM, Mohamad Rahma n Daud (Singapura), Prof. Madya Zainal Abidin Borhan (Universiti Malaya), dan Djamal Tukimin (Singapura). Sempena dialog, diadakan pula pelancaran buku “Perjalanan MAS” terbitan ASAS ’50 di Singapura. Dialog adalah anjuran bersama Gapena dan Majlis Pusat Pertubuhan Budaya Melayu Singapura serta ASAS ’50.

 Titik persamaan kedua-dua pertemuan ini ialah perbincangan tentang kebudayaan Melayu di keuda-dua negara. Sejauh mana kebudayaan telah dipengaruhi oleh faktor-faktor sekitaran dalam semua aspek: politik, ekonomi, pendidikan dan kemasyarakatan lainnya. Jika pertemuan di Serdang lebih menjurus kepada aspek tekstual kesusasteraan, pertemuan di Rumah Gapena hanya melihat teks sastera sebagai salah sudut pandangan, seperti yang dibicarakan Djamal Tukimin.

 Kedua-dua pertemuan, baik di Serdang mahupun di Rumah Gapena, memperkukuh pandangan umum bahawa hala tuju budaya Melayu di kedua-dua negara mula memisahkan diri akibat keadaan dan kedudukan. Melayu Singapura adalah Melayu kosmopolitan dan merupakan kaum minoriti (15% daripada jumlah penduduk), sementara Melayu Malaysia merupakan kaum yang secara dominannya  masih agraris tetapi masih kaum majoriti (60% daripada jumlah penduduk). Kelainan hala tuju budaya Melayu dua negara ini tidak dapat dielakkan.

 Ketua Satu Gapena, Tan Sri Ismail Hussein, dalam ucapan pembukaannya tetap mahu bernostalgia tentang keadaan orang Melayu Singapura dulu-dulu. Sambil itu Ismail menyanjung keupayaan Melayu Singapura bersaing dengan lain-lain etnik. Ia adalah perjuangan untuk kelangsungan hidup walaupun tidak terkecuali daripada berdepan dengan cabaran. Orang Melayu Singapura perlu menyesuaikan diri dengan suasana dan keadaan dan proses penyesuaian ini menjadi teras dinamika umat Melayu Singapura.

 Seorang peserta yang hadir menyamakan keadaan Melayu Singapura hampir bersamaan dengan keadaan yang serupa dengan kaum minoriti Cina di Malaysia. “Mereka tidak leka, tidak mengharap dan lebih banyak berdikari,” katanya. Ini adalah reaksi spontannya setelah mendengar hujah ahli panel, Djamal. Kata Djamal, “Kita orang di Singapura jarang mendapat bantuan kerajaan. Kita kena usaha sendiri. Kita berani katalah misalnya, kebanyakan masjid yang didirikan di Singapura merupakan hasil bantuan dan gotong royong orang Melayu sendiri.”

 Menurut Djamal kebanyakan orang Melayu Singapura perlu meningkatkan keupayaan dalam hampir semua bidang. Katanya, “Dalam bidang teknologi maklumat, misalnya, ramai keluarga Melayu sudah mempunyai menguasai teknologi ini. Saya sendiri, bukan nak menyombong, mempunyai tiga komputer di rumah.”

 Bagaimanapun, Djamal sedikit resah dengan identiti Melayu di negara pulau itu adalah “sesuatu yang mulai terhakis.” Judul kertas kerjanya sendiri mengakui anggapannya ini. Djamal cuba “mendakapnya kembali....asing tapi mesra.” Bagi Djamal, ungkapan “Tidak Melayu Hilang Di Dunia” bagi sesetengah orang  “mulai sedikit demi sedikit  kehilangan nilai dan wibawanya”. Bagi orang Singapura identiti Melayu  antara ada dan tidak ada. Djamal mengungkap, “Sekali rindu tetapi hilang dari mata. Sesekali didakap terasa asing dan tidak mesra. Seperti kata orang Jawa Ojo Jadi Kreweng (jangan jadi pecahan genting). Maksudnya mahu dibikin bumbung tidak bisa kerana kalau hujan kebocoran dan kalau hendak dijadikan tanah kembali sudah tak bisa juga kerana sudah keras.”

 Lain pula halnya dengan pandangan Zainal Borhan. Baginya keMelayuan di Malaysia membawa konotasi nasionalisme, semangat yang pada awalnya diperjuangkan Guru-guru Sekolah Melayu, tidak terkecuali para lulusan Maktab Perguran Sultan Idris. Mohamad Arif, pengasas ASAS ’50, yang bukunya dilancarkan di majlis dialog, kini rakyat Singapura merupakan salah seorang anak kandungnya. Semangat nasionalisme Melayu dalam diri Ariff nyata telah “diubahsuai” untuk membolehkannya menjadi pemangkin kepada gerakan reformis minda orang Melayu Singapura. Seperti yang dijelaskan Zainal, “Generasi seperti MAS (Ariff) semasa muda mempunyai pendirian dan pendapat malah kekuatan ideologi mengenai soal-soal penting bangsa. Mereka memiliki idealisme yang bertunjangkan kemelayuan.”

 Ariff dan golongan seangkatannya, baik di Singapura lebih-lebih lagi di Malaysia, adalah ibu dan  bapak bangsa Melayu. Zainal merindukan mereka, terutama apabila isu-isu yang berkaitan dengan Melayu hari ini semakin mula dipergonjengkan. Seolah-olah satu azam politik untuk memperkukuh semangat Melayu hampir terhakis punah dibenam oleh dampak pembangunan.

 Zainal mahu semangat nasionalisme untuk pembinaan bangsa oleh generasi perintis terdahulu dan para pemikir bangsa ketika itu yang terdiri daripada guru-guru Melayu perlu digemakan kembali dalam seperti katanya, “kerangka mempertegaskan kebudayaan bangsa secara beterusan... semangat generasi itu diangkat sebagai memori kolektif bangsa untuk menyedarkan para pemimpin politik, ekonomi, pendidikan, birokrat, teknokrat, korporat, akademik dan generasi pembangunisme.” Zainal khuatir jika memori kolektif bangsa hilang begitu sahaja maka usaha memajukan bangsa daripada sudut kebudayaan dengan mengenengahkan persoalan bahasa, sastera dan budaya Melayu akan dianggap remeh belaka. Malah akan ada golongan yang mendakwa bahawa memupuk semula semangat nasionalisme sudah ketinggalan zaman.

 Seruan yang ada dan satu-satunya opsyen ialah guru-guru generasi hari ini, terutama guru Melayu, baik di kota mahupun di kampung mesti memanfaat ruang yang wujud di zaman pemimpin baru Malaysia. Hai ini dapat dilakukan dengan meningkatkan kecerdasan, memperkukuh kemahuan, memperhalus perasaan, memperhebat kecintaan kepada Melayu dan budaya bangsa di setiap hati nurani anak-anak sekolah. Tidak ada jalan lain.

 Di Singapura pula kebersamaan budaya Melayu perlu ditingkatkan penghayatannya seperti yang telah dirintis Ariff. Usaha ini menjadi bertambah penting kerana seperti yang dikatakan Masuri SN, “Orang Melayu, terutama generasi mudanya sudah tidak lagi melihat budayanya sebagai satu yang perlu dipersoalkan lagi. Melayu kosmopolitan Singapura sudah terlalu bersifat akomodatif dan toleren dengan budaya-budaya lain yang wujud di pulau itu.” Hal ini amat terserlah terutama dalam aspek penggunaan bahasa Melayu di kalangan orang Melayu republik itu.

Menurut kajiannya, ada kecenderungan orang Melayu Singapura, terutama golongan remajanya, tidak lagi menggunakan bahasa Melayu dalam pergaulan sehari-hari mereka, kecuali ketika bersama keluarga di rumah. Bahasa Inggeris telah menjadi bahasa utama. Hanya mereka tidak “merojakkan” kedua-dua bahasa Melayu dan Inggeris seperti yang diamalkan oleh kebanyakan orang Melayu di Malaysia. Setidak-tidaknya inilah hasil kajian yang dilakukan pensyarah Universiti Putera Malaysia, Ain Nadzimah Abdullah terhadap  60 responden, yang terdiri daripada orang Melayu Singapura. Kajian ini dibentangkan sebagai salah satu kertas kerja penting di Simposium  di Serdang itu.

 Apapun jua keadaan kosmopolitan orang Melayu di Singapura, walaupun baik dari sudut kemajuan bangsa yang bernama Melayu, cenderung untuk menuju ke arah pembentukan sikap dan cara hidup Melayu yang diaspora sifatnya. Melayu Singapura bukan Melayu diaspora. Yang dibimbangkan kekosmopolitannya akan cenderung untuk mewujudkan suasana seperti apa yang berlaku kepada orang Melayu di Afrika Selatan, Nadagaskar atau Sri Lanka. Waris-waris Melayu di sana hari ini menganggap mereka masih Melayu, tetapi cara hidup, tingkah laku, sikap dan dunia fikir semuanya tidak lagi melambangkan keMelayuan yang dirundukan Zainal Abidin Borhan dan mungkin sahaja Djamal atau Ariff sendiri.

 Demikianlah, dua negara jiran yang dahulunya merupakan sebuah entiti politik jua, mengalami proses pembudayaan yang menuju halanya masing-masing, dengan faktor-faktor politik, ekonomi dan budaya setempat memainkan peranan penting. Barangkali pula Melayu Singapura lebih memerlukan suntikan semangat yang lebih untuk masyarakat Melayunya kembali kepada identiti Melayu yang lebih tradisi dan tulen sifatnya. Sedangkan Melayu di Malaysia perlukan pula penghayatan yang lebih mendalam untuk kembali kepada semangat budaya bangsa. Tidak kiralah apa dan bagaimana bentuknya budaya bangsa itu!

Yaaob Ibrahim, warga Melayu Sngapura
Oleh A.F.Yassin
Rencana ini pernah disiarkan dalam Dewan Budaya, majalah bulanan terbitan DBP.         




11 June 2012

IZAN: PERTAMA KALI SAYA MELIHAT WAJAHNYA...

PAPTI 5 afyassin SITI ZAINON ISMAIL DARI ANAK ALAM KE MENARA GADING afyassin wordpress com uz 5 jan 1997

Ayob Yamin (sekarang Haji) memperkenalkan kepada saya seorang gadis manis di Sudut Penulis , Tingkat 1, Dewan Bahasa dan Pustaka, satu malam pada tahun 1974. Ada pertemuan penulis dan pameran lukisan malam itu. Gadis manis itu, mrenurut Ayob baru pulang dari Yogyakarta. Indonesia. Katanya, gadis itu pelukis, lulusan Akademi Senirupa Indonesia (ASRI). “Dia itu kawan baik dan sama sekolah dengan isteri saya, Yasmin,” kata Ayob.

Saya melihat gadis manis ini pendiam orangnya. Setidak-tidaknya pada malam itu. Dia tidak banyak bicara. Ketika itu dia duduk di atas sebuah meja kecil, Kedua-dua belah tangannya memegang tepi meja sementara kedua-dua kakinya terjuntai ke bawah. Memang banyak orang yang hadir dan perkenalan kami Cuma setakat di situ. Sehinggalah pada suatu hari apabila saya menerima panggilan telefon daripadanya. Dia ingin memesan majalah Dewan Masyarakat untuk dihantar kepadanya setiap bulan. Sejak itu kami sering berbincang dan bertemu untuk menyemarakkan lagi dunia penulisan. Dia punya kelebihan , iaitu bakat melukisnya. Pun dia terdidik dalam bidang seni rupa.

Itulah Dr. Siti Zainon yang saya kenali. Kini dia seorang profesor Madya dan bertugas sebagai Pengarah Kebudayaan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi. Ayob Yamin, Latiff Mohidin dan beberapa kenalan baiknya memanggilnya Izan. Ibunya memanggilnya begitu. Barangkali itu nama timangannya sejak kecil. Ijazah Doktor Falsafahnya diraihnya empat tahun yang lalu. Baginya barangkali itulah pencapaian akademik yang paling dia tunggu-tunggudan paling manis yang dia anggap sebagai kejayaan puncak kehidupan kampusnya.

Perjuangan dan suka duka untuk mencapai tahap yang paling tinggi dalam bidang pendidikan ini yang sekian lama dilalui tidak sia-sia. Barangkali dia sendiri tidak menduga bahawa pada hari ini, dia berada di persada mulia puncak menara gading sambil menyumbang bakti memaju kebudayaan yang pelbagai. Saya kira Izan akan selalu bernostalgia, menyelusuri kisah-kisah lama di negara tetangga ketika menimba ilmu. Sesekali dia akan bersedih mengenang nasib malang di perantauan. Dia akan mengenang jerih payah ibunya di Padang Balang yang selama beberapa tahun membiayai persekolahannya di Yokyakarta, sehingga dia tamat dan pulang. Namun apapun jua jerih payah ibunya itu adalah “sebutir emas” yang menjadi bekalannya untuk lulus cemerlang dalam bidang seni lukis.

Dua minggu lalu, tepatnya pada 18 Disember 1997, Izan merayakan hari ulang tahunnya. Puas, saya kira, dengan kerjaya yang diimpikan melalui lirikan senyuman dan linangan air mata . Baginya, kehidupan yang dia lalui sejak meninggalkan tanah air pada awal tahun 1970-an adalah ibarat mimpi sedih, ngeri bercampur indah dan mengasyikkan. Mimpi sedih dan ngeri kerana liku-liku kehidupan yang dia lalui di rantau orang tanpa persediaan yang cukup demi mengejar cita-cita yang saya kira berputik daripada nasihat pelukis Hussein Anas . Indah dan mengasyikkan kerana dia mula kenal mesra dengan pelukis-pelukis ternama Indonesia, seperti Affandi dan anaknya, Kartika. Di samping itu dia berpeluang membiasakan diri bertemu, berbincang dengan penyair dan dramtis Indonesia W.S. Rendra dan nama-nama besar yang lain. Pengalaman bertemu dan bekerja dengan nama-nama besar dalam dunia seni lukis dan persuratan ini adalah “kekayaannya” dan menjadikannya lebih matang dan dewasa.

Hingga ke hari ini hubungan intimnya dengan rakan-rakan sekarya di bumi jiran tetap utuh. Malah, keintiman itu telah berhijrah pula ke daerah Serambi Mekah di utara Pulau Sumatera, iaitu Acheh. Begitu kasihnya Acheh kepadanya, sehingga dia dianugerahkan gelaran Teuku Nyak Fakinah pada tahun 1990. Empat tahun sebelumnya dia menerima hadiah awal berupa piagam Seminar Sastera Nusantara, Universitas Jabal Ghafur, Acheh.

Latiff Mohidin, A. Ghaffar Ibrahim, Sulaiman Isa dan beberapa orang lagi tidak akan lupa akan kegiatan dan peranan wanita ini dalam kelompok Anak Alam yang setiap petang “ngumpul” di sebuah rumah di Taman Budaya berdekatan dengan padang yang sekarang dinamakan Padang Merbuk. Di rumah inilah ada kalanya ahli-ahli kumpulan ini berbincang-bincang santai tentang alam lukisan dan kepenyairan. Sesekali mereka serius melukis. Senja atau lewat malam baru mereka bubar. Bagi mereka alam adalah segala-galanya dalam proses penciptaan dan Izan bersama yang lain menjelajahinya melalui minda dan jejak langkah. Dan alam juga menjadikan Izan begitu perasa dan mudah terusik.

Dan dia juga begitu manusiawi. Dengarkan dia bersuara lewat sajaknya “Tukang Besi Di Bengkel Kereta Api”:

Dia lelaki tiga zaman

telah dilengkungnya fajar kelabu

telah disilangnya keringat siang

dialah lelaki penakluk malam

menyentik hujan

silih berganti

jari kematunya masih mengetuk jeriji

seperti juga setia dia

menghitung malam

Jiwanya yang perasa itu dilahirkannya melalui berbagai-bagai ungkapan puitis dalam beberapa buah antologi puisinya. Sehingga tahun 1992 dia telah melahirkan Nyanyian Malam (1976), Puisi-Puisi Sang Kekasih (1984), Daun-Daun Muda (1986), Perkasihan Subuh (1986), Kau Nyalakan Lilin (1990), dan Bunga-Bunga Bulan (1992). Antologi terakhir ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris yang diberi judul The Moon is a cradle setahun kemudian. Terjemahan disempurnakan sendiri oleh suaminya sendiri, Hafiz Ariff Aveling.

Izan cuba bernostalgia melalui Rembang Flamboyan, sebuah novel remaja yang diterbitkan pada tahun 1995. Seting dan latar belakang cerita Jakarta, Bandung dan Bali. Ini sebuah kisah remaja dunia kampus, kisah seorang gadis di perantauan yang terpaksa bergelut dengan realiti dan karenah alam keremajaan di tengah-tengah dia memburu cita-cita. Anizah, watak utama Rembang Flamboyan dibuai rasa dan dia berkeras ingin menjadi remaja ideal yang mampu mengawal rasa dan perasaan. Semua dugaan hidup remaja berjaya dilaluinya dan akhirnya dia berjaya, bukan setakat meraih gelar sarjana tetapi juga tetap utuh setelah berdepan dengan berbagai-bagai dugaan dan godaan. Anizah mendengar lagu Trio Bimbo:

Senja itu

Flamboyan berguguran

Berserakan

Jatuh ke bumi…

Dan sewaktu dia ‘ngelamun” itu namanya dipanggil dan Anizah cepat-cepat memadamkan “ingatan padangan rembang flamboyan, menggantinya dengan kembang semarak merah menyalakan… dengan tekad utama.” Barulah Izan berasa puas apabila dia, melalui watak Anizah berdoa, “Tuhan, hidupku baru bermula,tiupi daku demi nyala cinta-Mu!’ Pada tahun yang sama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerbitkan Pulau renek Ungu.

Bagaikan tak puas mengukir kata dalam puisi dan novel, Izan melahirkan empat antologi cerpen, iaitu Sri Padma (1984), Dongeng Si Siti Kecil (1988), Attar Dari Lembah Mawar (1988), dan Bunga Putik Putih (1991). Pendidikan akademiknya dalam bidang seni rupa menyemarakkan lagi warna kerjayanya. Izan seperti membaurkan minat dan kerjaya, lebur dalam satu wadah budaya. Seni tekstil dan kraf tangan bagaikan menyatu pula ke dalam wadah itu. Dia melahirkan Getaran Jalur dan Warna (1985), Rekabentuk Kraftangan Melayu (1986), Percikan Seni (1988), Tekstil Tenunan Melayu (1994), dan The Craft of Malaysia (1994).

Dalam perbualan pendek melalui telfon beberapa hari yang lalu, dia memberitahu yang dia sudah pun menyiapkan manuskrip untuk buku mewah berjudul Busana Melayu Johor. Katamnya penerbitan buku ini akan ditaja oleh Yayasan Johor dan bakal terbit tidak lama lagi. Dalam pada itu, Izan sedang sibuk pula dengan rancangan untuk mengadakan pameran lukisan keliling negara-negara ASEAN. Menurutnya, beberapa pelukis dari negara-negara sahabat ini akan bergabung tenaga menjayakannya. Sebenarnya, kegiatan seumpama ini tetap dia teruskan . Beberapa pameran lukisan , hasil koleksi dan karya peribadinya telah pun diadakan sepanjang kerjayanya. Semacam lukisan itu telah sebati pula dengan darah dagingnya. Dia amat giat dalam bidang ini hingga kadang-kadang terfikir juga bagaimana dia membahagikan waktu melakukan semua ini. Misalnya, pada tahun 1976, dia menjadi ahli jawatankuasa Anak Alam selama tujuh tahun . Setelah itu dia bergiat pula dalam Persatuan Pelukis Malaysia himgga tahun 1984. Pada tahun 1991, untuk selama tiga tahun dia dilantik menjadi ahli Lembaga Balai Senilukis Negara . Institut Teknologi MARA melantiknya sebagai pemeriksan luar Kajian Seni Halus pada tahun 1987, 1991 dan 1993.

Kualiti perjuangan dan hasil karyanya tercermin melalui hadiah dan penghargaan yang diraihnya. Sejak tahun 1960 karyanya telah diberi pengiktirafan sebagai yang berkualiti. Pada tahun itu, Izan memenangi Hadiah Seni Lukis Sekolah- Sekolah rendah Selangor. Semasa menuntut di Yokyakarta, dia mendapat penghargaan Hadiah Sketsa Kartini, ASRI. Pada tahun 1972, dia menerima pula hadiah utama Pelajar Seni Lukis ASRI.Dalam bidang penulisan Izan meraih Hadiah Sastera genre puisi sejak tahun 1975 lagi. Hadiah Puisi Islam PUSPA, Kelantan 1987, Hadiah Esei Seni, Dewan Sastera 1988 dan puncaknya Hadiah SEA Write Award di Bangkok, 1989. Tiga tahun lalu kerana jasanya yang tidak ternilai dalam usaha menaikkan martabat wanita, Izan terpilih menerima Anugerah Tan Sri Fatimah Avon.

Demikianlah, dalam usia yang masih dianggap muda, kejayaannya dalam bidang seni lukis dan penulisan serta pencapaian puncak dalam bidang akacemik merupakan hasil kerja keras yang tiada hentinya sejak dia menjejak kaki di bumi Indonesia. Di sanalan tersimpan segala khazanah suka dukanya dan di sanalah berputiknya impian untuk menjadi seorang wanita “serba boleh”. Dan saya kira kelunakan suaranya berbicara lancar, terutama apabila dia memperkatakan sesuatu dalam bidangnya ini adalah bukti keserbabolehannya itu. Dialah Siti Zainon Ismail yang doktor dan senang dengan nama Izan Baina. Terakhir ini dia sering membahasakan dirinya “bonda” atau “kakak” apabila bersembang rasa dengan penulis-penulis remaja. (Utusan Zaman, 5 Januari 1997).

Like this:


Be the first to like this page.

2 Responses “Siti Zainon Ismail” →




electric cigarette electric cigarette, or even smokeless cigarette, will be an electro-mechanical unit which models the action of smoking tobacco as a result of delivering any inhaled water having the particular actual physical feeling, visual aspect, and infrequently the flavor along with may be content material in inhaled cigarettes still minus the notice in cigarettes. The unit utilizes warm, or maybe in many cases ultrasonics, to vaporize any propylene glycol- or even glycerin-based aqueous remedy right into any aerosol water, the same as the process any nebulizer or even warm mist humidifier vaporizes choices with regard to inhalation.

Virtually all e cigarettes are built to seem like precise smoking tobacco tools, which includes smokes, pipes, or even pipe joints, but a majority consider the variety of ballpoint pencils or even tools given that people versions tend to be handy to house the particular elements concerned. The majority are also multiple-use, with exchangeable along with refillable sections, numerous styles will be non reusable.

The primary stated technique smokeless cigarette can be as any stop smoking unit, as it tries to provide the connection with cigarettes with no, or even with cut down tremendously, adverse health and wellbeing impact generally involving cigarettes. Yet, problems are high involving for the unit nonetheless contains health problems, and that it could possibly draw in non-smokers, notably infants, because of its nice idea, seasonings, and it could high assertions in security.




I Think your Blog has informative contents. I should say thanks to you to write these type of researched contents

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

What Other People Say...


"A.F.Yassin dalam cerpennya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).