DYMM RAJA ZARITH SOFIAH
Puteri Gunung Ledang Bersama Legenda
RAJA ZARITH SOFIAH
Puteri Gunung Ledang Bersama Legenda
SETIAP kali saya melintasi perbatasan Melaka-Johor di Lebuh
Raya Selatan dari Kuala Lumpur setiap kali itu pula pandangan
saya berpusat ke puncak Gunung Ledang dan beberapa bukit
lain yang mengiringinya. Puncak itu berbalam biru dalam ketenangan
sekitar. Sesekali puncak yang penuh cerita legenda puteri jelita yang
konon mengahwininya dilindungi awan putih yang sekejap-sekejap
berarak lalu. Fikiran akan terus terpaku kepada beberapa versi cerita
tentang kewujudan puteri itu bersama kesaktiannya.
Memang, Gunung Ledang kaya sejarah dan legenda. Gunung yang
dikaitkan dengan hasrat Sultan Mahmud Shah, sultan Melaka meminang
puteri jelita yang dikatakan tinggal di puncaknya. Puteri itu pula
mencipta nama dalam sejarah dan legenda bangsa apabila meminta
yang bukan-bukan daripada sultan itu sebagai syarat peminangan.
Akibatnya sultan membatalkan hasrat sekali gus menguburkan nafsunya
untuk menjadikan Puteri Gunung Ledang sebagai permaisurinya.
Yang menariknya, akibat daripada syarat-syarat puteri itu, sultan disedarkan
daripada igauan mimpi dan khayalannya. Barulah dia mengerti
bahawa kuasa yang ada pada dirinya tidak dapat menundukkan sang
puteri. Barulah sultan memahami akan keterbatasan kekuasaannya
dan sultan kembali berpijak di bumi nyata.
Walaupun legenda menarik itu banyak dongeng daripada benarnya,
namun Puteri Gunung Ledang memberikan beraneka tafsiran
terhadap syarat-syarat yang diberikan kepada Sultan Melaka. Yang
terbaharu adalah tafsiran semula daripada seorang puteri raja dan isteri
kepada Tuanku Mahkota Johor, Raja Zarith Sofiah Idris. Puteri
itu menganggap penyesalan Sultan Mahmud sebagai kebijaksanaan
Puteri Gunung Ledang. Raja Zarith menulis, dalam buku sulung yang
terbit baru-baru ini, “Dia menunjukkan hajat beta untuk memperisterikan
adalah salah. Selama ini beta seperti melihat bayang-bayang
dalam air sahaja. Kehidupan kita di sini amat berlainan dengan kehidupan
puteri itu di atas gunungnya. Sebuah jambatan pun tidak
akan boleh menyatukan beta dengannya. Sudah lama beta terpengaruh
dengan Puteri Gunung Ledang. Mulai hari ini namanya tidak akan
beta sebut-sebut lagi.”
Demikianlah Raja Zarith melihat watak raja, Sultan Mahmud, menyesali
sikap dan tingkah lakunya. Oleh sebab terlalu sayang akan
anak, sultan tidak dapat memenuhi syarat terakhir puteri, iaitu menyediakan
semangkuk darah Raja Ahmad. Sultan, menurut persepsi
Raja Zarith tidak mungkin dapat memenuhi syarat itu seperti katanya,
“Ini tidak dapat beta lakukan. Beta tidak akan penuhi syarat ini walaupun
itu kehendak seratus puteri jelita.”
Banyak pengajaran yang diperoleh daripada syarat-syarat sang puteri
ini. Manusia tidak mungkin dapat melakukan apa yang tidak terjangkau
olehnya. Kemudian kekuasaan yang ada pada diri seseorang
itu belum tentu dapat dimanfaatkan sekehendak hati. Mana mungkin
seseorang insan, jika sultan sekalipun, dapat memenuhi permintaan
puteri yang mahukan tujuh dulang hati nyamuk, tujuh tempayan air
mata anak dara sunti, satu tempayan air pinang muda, satu jambatan
emas dan satu jambatan perak yang menghubungkan puncak Gunung
Ledang dengan istana dan yang terakhir semangkuk darah anak sultan
sendiri.
Namun begitu, kehebatan saksi puteri Ledang ini dianggap sebagai
satu perbuatan sihir pula oleh seorang Portugis yang hidup di bumi
Melaka, selepas Melaka ditakluki Portugis pada tahun 1511.Emanuel
Godhinho de Eredia yang lahir di Melaka dan mendapat pendidikan
di Gua, India dan beribukan seorang puteri dari Makasar menuduh
dalam laporannya kepada Raja Dom Philip dari Sepanyol bahawa
Puteri Ledang ialah seorang ahli sihir. Laporan Eredia yang ditulisnya
pada tahun 1613 itu menyebut yang dia mendapat cerita tentang
kesaktian Puteri Ledang itu daripada penduduk tempatan pada zaman
itu.eredia menulis puteri itu adalah teman baik raja pertama Melaka,
Parameswara. Puteri itu tidak mati-mati sehingga ke hari ini.
Tempat tinggal puteri itu ialah sebuah gua gelap di puncak Gunung
Ledang. Puteri itu bersemayam di atas peterana yang dihiasi tulang-tulang
manusia. Dia sungguh jelita dan sentiasa berpakaian cantik yang
diperbuat daripada sutera lengkap dengan hiasan emas. Di sekeliling
gua itu ditanami pokok-pokok buluh yang apabila ditiup angin akan
berbunyi seperti orang meniup seruling dan bermain alat muzik lain
sejenis tamborin yang diceritakan oleh Marco Polo. Tidak berapa jauh
dari gua itu terdapat pula buah-buahan yang beraneka jenis. Kawasan
ini dipenuhi dengan burung yang berkicau merdu, dengan bunyi-bunyian
yang begitu harmonis. Jauh sedikit dari kawasan itu terdapat
pula hutan tebal yang dipenuhi binatang liar seperti harimau. Binatang
ini yang mengawal puteri sepanjang masa.
Walaupun Eredia menganggap cerita penduduk tempatan itu tentang
Puteri Gunung Ledang ini dongeng semata, namun dia tidak
dapat mencari jawapan kepada kehebatan penduduk asli (orang benua)
di Gunung Ledang itu dalam bidang perubatan tradisional dan
ilmu sihir.
Eredia melaporkan orang benua di gunung itu belajar ilmu perubatan
itu dengan cara berhubung dengan penunggu gua yang gelap
itu. Dikatakan orang benua ini sering berkomunikasi dengan penunggu
itu, iaitu Puteri Gunung Ledang dan mendengar suaranya walaupun
mereka tidak pernah bertemu muka dengannya. Mereka tidak
melihat siapa bercakap tetapi mereka diberitahu oleh suara itu akan
khasiat dan kegunaan akar kayu yang terdapat di gunung itu.
Untuk berkomunikasi dengan puteri itu, orang benua ini menggunakan
sejenis akar kayu yang dipanggil bilika yang boleh ditemukan
di puncak gunung itu. Menurut Eredia akar kayu itu boleh juga didapati
di Amerika. Jika air akar kayu itu diminum, orang benua ini
dapat bercakap dengan sang puteri yang boleh pula bertukar bentuk
menjelma sebagai seekor binatang atau burung. Pun, orang benua itu
pula dapat menjelma menjadi harimau, biawak, buaya, burung atau
ikan jika mereka gunakan akar kayu itu. Mereka juga boleh mengetahui
apa yang berlaku di tempat-tempat yang jauh. Kebolehan melihat
yang jauh-jauh ini disamakan Eredia dengan kebolehan ahli sihir dari
Sepanyol pada zaman itu.
Dongeng tak dongeng, Eredia bercerita tentang kisah penjelmaan
orang benua ini kepada uskop di Rom yang merupakan uskop gereja
pertama di Melaka. Dikatakan orang benua yang boleh bertukar-tukar
rupa dan bentuk itu sering sahaja mengganggu orang-orang kampung
dengan membunuh anak dan isteri mereka. Untuk mengelakkan
gangguan ini daripada terus berlaku, uskop diminta bersembahyang
di gereja di atas bukit Kota Melaka memohon agar orang kampung
diselamatkan daripada bahaya penjelmaan orang benua ini. Eredia
melaporkan sejak itu tidak ada gangguan yang datang daripada orang
benua itu yang sering menjelma sebagai harimau jadian. Kita melihat
peranan Puteri Gunung Ledang ini berbeza mengikut tafsiran dan
persepsi seseorang yang bercerita tentangnya.
Wataknya juga turut berubah mengikut tafsiran. Puteri itu dianggap
sebagai seorang yang jelita sehingga menawan hati raja. Puteri itu
terlalu mementingkan diri kerana mengenakan syarat yang bukan-bukan.
Pada abad ke-17, dia dilihat sebagai seorang ahli sihir memberikan kuasa sihirnya
kepada orang benua untuk mengganggu penduduk tempatan. Tidak
kurang pula menganggap puteri itu adalah puteri bunian yang menetap
di puncak Gunung Ledang sampai bila-bila.
Apa pun jua, saya akan tetap terpikat dengan kehadiran Gunung
Ledang itu setiap kali saya melintas perbatasan Melaka-Johor. Gunung
yang berdiri teguh dengan iringan beberapa buah gunung yang
lain akan terus membetulkan legenda dan ceritanya dalam ingatan
kita dengan puteri jelita menggamit kenangan kita dalam seribu kesaktiannya.
(“Sembang-sembang”, dalam Utusan Zaman, 4 Disember
1994.)
No comments:
Post a Comment