08 February 2015

HARI-HARI TERAKHIR AFY DI PENERBIT FAJAR BAKTI


Kad Selamat Jalan yang diserahkan kepada saya pada hari terakhir sebelum saya meninggalkan Penerbit Fajar Bakti.

Arahan terakhir yang saya terima sebagai Pengarah Penerbitan II (Editorial) sebulan sebelum saya meninggalkan penerbit ternama iaitu Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. (sekarang dikenali sebagai Oxford Fajar Sdn. Bhd.) ialah serah terima tugas. Ertinya, saya akan mengikuti tradisi OUP dan Fajar menyiapkan “Rancangan Tiga Tahun” dan bajet tahunan yang akan datang. Penyiapan dan seterusnya penyerahan rancangan dan bajet ini adalah asas, tanpanya gaji terakhir mungkin akan ditahan sementara. Maka dalam hal ini “anak-anak buah” saya di jabatan, iaitu ketua-ketua unit memberikan bantuan yang sungguh menakjubkan. Bagaikan sudah memahami bahawa saya akan meninggalkan Fajar Bakti, mereka dalam kesibukan rutin harian turut membuat persiapan.  

Misalnya, Abd. Majid Baharom, Ketua Unit (Pengurus) Perkamusan memberikan laporan terperinci tentang program perkamusan untuk tujuh tahun yang akan datang, termasuk penterjemahan The Avanced Learner’s Dictionary of Current English Oxford yang telah selesai diterjemahkan oleh Prof. Dato’ Dr. Asmah Hj. Omar, dari Pusat Bahasa, Universiti Malaya. Sembang santai antara staf Fajar Bakti dengan pengarang-pengarang yang menyumbang kepada Fajar Bakti. Kamus dwibahasa ini dijangka dapat diterbitkan menjelang pertengahan tahun depan (1999). Yulis Alwi, mantan Pegawai Perancangan Bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), banyak membantu dengan menyemak dan menjadi penyelaras dengan Prof. Dato’ Asmah. Yulis ialah lulusan dari Universitas Gadjah Mada, Jogjakarta, Indonesia.Turut menjadi “tenaga utama” penerbitan kamus dwibahasa besar ini ialah Siti Rosmah Razak, seorang graduan, lulusan University Michigan, USA.

Kemudian ada pula Pemangku Ketua Unit Buku Umum, Norazah Aziz, lulusan Program Komunikasi dari USM.Kelincahannya bekerja walaupun baru masuk tahun ketiga di syarikat ini cukup menjadi satu aset yang baik. Melaluinya, buku-buku bahasa, sastera dan bacaan umum dapat diterbitkan mengikut jadual. Hanya dalam masa kurang daripada tiga tahun, Norazah telah menyesuaikan dirinya untuk meminati buku-buku yang suatu waktu begitu asing baginya. Norazah tidak akan kenal siapa pngarang Aziz Jahpin, atau Karim Abdullah, Mohd. Affandi Hassan atau Kassim Ahmad, Dharmawijaya atau Masuri S.N. dan ramai lagi nama besar dalam dunia sastera Malaysia andainya dia tidak mengendalikan penerbitan buku sastera. Norazah ini orang komunikasi dan baginya tokoh-tokoh seperti Dr. Mansor Ahmad Saman, Dr. Asiah Sarji, Dato’ Kadir Jasin atau Dato’ Nazri Abdullah akan lebih mesra bermain di bibirnya.Tambahan pula dia adalah anak saudara kepada Prof. Dr. Bokhari Ismail, Pengarah ITM Cawangan Perlis, lulusan Ph.D dalam bidang komunikasi dan mantan Ketua Kajian Komunikasi Massa, ITM.

Norazah dibantu “kamus bergerak” Fajar Bakti, Khalid Mohd.Noor yang telah berkhidmat selama lebih 16 tahun di syarikat itu. Memang Khalid ini pakar ejaan, tanpanya barangkali editor-editor di Fajar Bakti semuanya akan mati langkah untuk memastikan setiap buku yang diterbitkan bebas daripada kesalahan ejaan. Malah, Khalid telah “dinobatkan” sebagai “pakar rujuk ejaan”.Baginya buku-buku panduan ejaan DBP bagaikan telah menjelma masuk ke dalam dirinya.Pengarang-pengarang yang bukunya telah pernah diterbitkan oleh Fajar Bakti jarang membuat teguran tentang ejaan salah dalam buku mereka.Malah, Dharmawijaya yang telah memberikan kepercayaannya kepada Fajar Bakti untuk menerbitkan buku-bukunya tidak berhenti-henti mengucapkan rasa penghargaan terhadap kualiti buku yang diterbitkan.“Tanpa Khalid siapalah kami editor Fajar Bakti.”

Kata-kata ini pernah diluahkan oleh seorang editor dalam mesyuarat post-mortem penerbitan.Jabatan Pengarang yang saya kendalikan mempunyai tiga unit besar, iaitu Unit Perkamusan, Unit Buku Akademik dan Unit Buku Umum.Di samping menebitkan buku-buku bahasa dan sastera, Unit Buku Umum menerbitkan juga buku-buku bacaan yang dikategorikan dalam berbagai-bagai siri. Antara siri-siri yang popular ialah Siri Kisah Remaja, Siri Seram, Siri Misteri, Siri Kembara, Siri Bacaan Kanak-kanak, Siri Bacaan Sekolah Menengah, di samping Siri Karya Umum yang berkait dengan novel-novel umum. Tujuan memperbanyak siri ini agar lebih banyak buku bacaan diterbitkan pada sesuatu waktu.Manusia banyak seleranya dan seperti kata Keris Mas, “Terserah kepada penerbit untuk menerbitkan karya-karya yang dapat memenuhi setiap selera itu.”Kata Keis Mas lagi, “Penerbit mesti cari sasaran selera itu dan untuk berjaya mencari sasaran penerbit perlu kreatif dan inovatif.”

Kata-kata ini dituturkannya kepada saya suatu hari di lobi DBP.Ketika itu Keris Mas adalah Ketua Bahagian Penerbitan Umum DBP.Norazah mematuhi nasihat Keris Mas ini seperti yang saya sampaikan kepadanya.Maka dalam perancangan tiga tahun yang dia siapkan untuk saya serah-terima nanti tidak banyak perubahan yang saya lakukan. Cuma masalah besar yang mungkin menanti Norazah ialah pelaksanaan penerbitan siri-siri yang banyak juga telah diluluskan akan tertangguh akibat kemelesetan ekonomi hari ini. Tidak kurang pentingnya ialah Unit Akademik dalam menyumbang kepada pendapatan keseluruhan bahagian.Unit Akademik diketuai oleh Ida Suraini Abd.Shukor (pemangku).Beliau lulusan Universiti Malaya dalam bidang Biologi.Unit ini dianggap “unit berbudi” oleh mantan ketuanya, Asiah Abd. Rahman pada tahun-tahun 1980-an dahulu.

Ketika itu Asiah berkata begitu kerana kebanyakan buku akademik yang diterbitkan oleh unit ini kurang mendapat sambutan orang ramai.Ertinya buku-buku yang diterbitkan kurang laku.Dasar penerbitan Fajar Bakti pada masa itu adalah mengedarkan lapan atau 10 buah buku akademik setahun.Nyataya dasar ini tidak banyak menyumbang kepada pembesaran kantung Fajar Bakti.Lebih banyak naskhah buku tersimpan di gudang daripada yang laris di kedai.Apapun jua, sambutan masyarakat terhadap penerbitan buku kategori akademik ini tetap mampu meningkatkan imej atau citra Fajar Bakti. Kedatangan Ida bagaikan membawa tuah.Dia yang mula bertugas dua tahun lalu memberikan harapan kepada usaha mempertingkat kegiatan penerbitan unit.

Ida berusaha merancang buku-buku akademik yang disebut “item bernilai tinggi”, iaitu menerbitkan buku akademik yang sesuai dan bersifat mewah (lux) kulit tebal dengan harga yang relatif tinggi.Sasaran audiensnya tergolong daripada mereka yang suka mengumpul collector’sitems dan buku-buku yang diterbitkan ini adalah dalam kategori ini.Sehingga dengan demikian dia mula mengusahakan buku-buku yang ada kaitannya dengan bidang sains yang diperlukan oleh pelajar-pelajar matrikulasi, terutamanya.Ida melihat ada kemajuan dalam bidang penerbitan buku-buku untuk rujukan matrikulasi ini.Hari ini, banyak buku dalam siri ini telah dijadikan buku teks di beberapa buah universiti tempatan.Ida dibantu Norhayati Abbas, lulusan Komunikasi Massa, UiTM.

Abd.Majid, Norazah, Ida, Siti Rosmah, Norhayati dan Khalid adalah tonggak dan tenaga penggerak Jabatan Pengarang Buku Umum dan Pengajian Tinggi Fajar Bakti.Mereka menjadi peghubung antara penulis yang kebanyakannya terdiri daripada tokoh-tokoh dan pemimpin-pemimpin besar negara dalam pelbagai bidang. Bekerja dengan mereka daripada generasi baharu ini (rata-rata usia mereka dalam lingkungan pertengahan dan akhir 20-an) mengingatkan saya cara bekerja dengan Tan Sri A. Samad Ismail, Dato’ A. Samad Said, A. Shukor Haron, Salim Kajai, Mali dan A. Shukor Rahman di surat khabar Berita Harian, atau Keris Mas, Dato’ M. Noor Azam, Dato’ Usman Awang, Dato’ Abdullah Hussain, Saleh Daud, Kemala, Awam-il-Sarkam, A. Karim Abdullah, Shamsuddin Jaapar, Dharmawijaya, Wijaya Mala, Rubaidin Siwar, Abdul Ahmad, Jaafar Rahim dan Salmiah Ismail di DBP.

Saya melihat ada suatu kebersamaan sikap “siapa kamu, siapa saya” dalam heirarki pejabat.Hampir tidak wujud heirarki seumpama itu di kedua-dua tempat.Kami bekerja dalam satu keluarga di bawah satu bumbung, saling membantu dan saling memenuhi rasa tanggungjawab.Saya seperti merasakan ada tangan-tangan kemanusiaan yang wujud dalam insan-insan seni, baik semasa di Berita Harian, mahupun di DBP.Seolah-olah saya telah dilatih secara alamiah membimbing generasi baharu yang dahagakan bimbingan di tempat saya bertugas ketika itu, iaitu Penerbit Fajar Bakti.Malah, generasi yang saya pimpin itu tetap tidak melupakan nama-nama besar di institusi berkenaan, terutama apabila ada sesetengahnya menawarkan buku-buku mereka diterbitkan di Fajar Bakti.

Maka, tidak hairanlah pada hari-hari terakhir saya di Fajar Bakti, Sidang Editor Jabatan yang saya pimpin melakar sebuah puisi sebagai penghargaan yang tiada bandingannya. Antara lain puisi itu mengungkapan:

Bertemu dan berpisah hukum yang lumrah
Sepanjangnya terpahatlah kenangan perungkai sejarah.
Sanjungan tak mesti segunung intan
Penghargaan tak perlu seluas lautan
Cukup sekadar terima kasih yang berpanjangan
Atas segala tunjuk ajar dan bimbingan
Yang terbit daripda ikhlas kemanusiaan bukan buatan.

Abdul Majid dan rakan-rakan yang menghadiahkan saya puisi demikan mengharapkan agar:
Bos!
Agar pegangan dan perjuanganmu
Selama ini tidak sia-sia
Inilah doa kami anak-anak bimbinganmu. 

Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1 Mac 1983, ketika saya melangkah keluar buat kali terakhirnya bagaikan menerpa di depan mata. Ketika itu tidak ada ucapan perpisahan, tidak ada titisan air mata keharuan, tidak ada genggaman erat tangan-tangan hangat dan tidak ada bait-bait puisi yang mengiringi.Namun, demikian pula lumrahnya sebuah kehiduan. Manakan sama seorang editor di Dewan Bahasa dan Pustaka yang meletakkan jawatan dengan seorang Ketua Jabatan di Penerbit Fajar Bakti yang mengundurkan diri!

Pengarang Aziz Jahpin, yang dua buah bukunya,Biar Buang Anak dan Pulanglah Perantau yang kami terbitkan berkunjung ke Fajar Bakti, setelah membuat panggilan telefon terlebih dahulu. Pada sebelah paginya, mantan editor DBP, A. Karim Abdullah bertanya tentang masa depan saya, juga melalui telefon. Pengarang Othman Puteh dan Rahman Shaari bertandang ke rumah saya, ketika itu di Bandar Baru Bangi untuk meraikan dan bertanya khabar.Sementara Saleh Daud minta saya belanjanya makan, seperti katanya, “Tidak semestinya orang yang berhenti tidak boleh beri makan orang yang mengucapkan tahniah!”

Akhirnya pada malam Jumaatnya Yahaya Ismail, pengarang buku politik yang terkenal itu mengucapkan “selamat masuk kelab penulis sepenuh masa sepertinya”.Yahaya sembang melalui telefon.Begitu juga dengan kawan dari Perlis, Nazel Mohd.Hashim.Katanya, “Sekarang bolehlah jumpa selalu tiap kali ada rombongan GAPENA ke mana-mana.”

Catatan pinggir

1. Setelah menamatkan khidmat di Fajar Bakti, saya bertugas sebagai Perunding Penulisan dengan Yayasan Warisan Johor dengan Kerajaan Negeri Johor. Timbalan Pangarah, YWJ, Tuan Haji Ismail Zamzam telah meminta saya membantunya dalam bidang penulisan dan kepengarangan. Di samping itu, tugas utamanya membuat penyelidikan tentang Sejarah Kesultanan Johor Moden.Setelah itu berkelana dalam bidang akademik dan penyelidikan serta penulisan, antaranya sebagai pensyarah tamu di Universiti Malaysia Sabah (UMS), di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Felo Tamu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).Turut membantu Ketua Pengarah DBP, Dato’ Dr. Firdaus Abdullah sebagai Pegawai Dengan Tugas-Tugas Khas pada tahun 2005 hingga 2007.Akhirnya sebelum bersetuju membuat penyelidikan dan penulisan untuk sebuah organisasi pelajar luar negeri, saya telah membantu menyempurnakan penyelidikan dan penulisan sebuah buku untuk Kerabat Diraja Pahang Darul Makmur. Ahad, 3 Disember 2012.
 
2. Catatan ini merupakan salah satu artikel yang akan dimuatkan dalam buku Memoir A.F.Yassin Suka Duka Menuju Pelabuhan Waktu untuk Kategori Keluarga. 

2 comments:

  1. Just curious. What ever happens to the staff after their boss left. No words from them or as what the English saying goes out of sight out of mind. Just delivering a pretty card with signatures did not seem to give any purpose or are they the hypocrite lots. Well, thy are just makan gaji as did the boss. Who bloody cares.

    ReplyDelete
  2. Biasalah lazimnya nak jaga Bos kena hormat tapi belakang Bos itu cerita lain. Saya, saya, bos, bos.

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

What Other People Say...


"A.F.Yassin dalam cerpennya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).