Derita seorang Atuk melihat cucunya SA pergi at such a tender age. |
Ikutilah catatan tragis Cikgu Abu Aman Bachik yang juga merupakan alumni Tunku Besar School Tampin tentang cucu kesayangannya di bawah ini seperti yang saya terima melalui e-melnya: abuaman42@me.com.
Sejak daripada munculmu kami berdoa untuk kesejahteraanmu, namun
kau lebih mencintai-Nya. Aku faham engkau hanya dipinjamkan-Nya cuma. Samapai
tempoh pinjamanmu dijemput-Nya kembali. Begitu tepat pinjaman-Nya. Begitu, Dia
tidak akan memungkirkan janji-Nya. Begitulah Dia dengan cinta-Nya. Begitulah
arrahmannya Allah begitulah arrahimnya Allah dan begitulah penyayangnya Allah.
Allah hu akbar. Tiada Tuhan melainkan Allah!
Tiada kusangka. Tiada kuduga. Tiada kumimpikan bahawa
pinjaman-Mu hanya tiga belas tahun cuma. Allah hu akbar. Mahu Suci Mu Ya Allah.
Lahirmu ke dalam hidupku begitu tidak disangka-sangka. Begitu tiba-tiba. Letih
abangmu belum lagi reda. Engkau telah begitu memaksa. Engkau terlalu beria-ia
membawakan kegembiraan kepadaku yang tidak terhingga. Namun, apakan daya
kegembiraan, keceriaan dan kegirangan untuk kita nikmati bersama hanya sedetik
cuma. Rupa-rupanya engkau lebih rela untukku menikmati kegembiraan yang lebih
abadi di sana, insya-Allah. Oh Allah parancangan-Mu lebih abadi kiranya.
Perancangan-Mu adalah lebih sempurn,a ya Allah. Perancangan-Mu mengatasi
segala-galanya. Masya-Allah.
Demikianlanlah berakhirnya rancangan-Mu ya Allah. Pada lepas
waktu subuh Jumaat tanggal 12.9.2014, kembalilah cucuku yang begitu dikasihi ke
pangkuanmu Allah yang telah meminjamkannya selama sedetik belaka, namun sedetik
pinjaman itu rupanya telah dan akan membuatkan aku termangu-mangu sehingga
akhir hayatku pula. Oh, rupa-rupanya kucupan yang kuberikan di bilik ICU
kepadamu semalam sebelum berpisah adalah KUCUPAN TERAKHIR DARIKU UNTUKMU.
MASYA-ALLAH.
Walaupun 13 tahun bersamamu kekasihku, begitu banyak kenangan
pahit dan manis yang telah kita lalui bersama. Ketika kelahiranmu, ketika
tumbesaranmu. Ketika kamu disahkan lahir tanpa buah pinggang yang sempurna.
Ketika berulang-alik ke Hospital Pakar Damansara. Ketika kamu dipindahkan ke
hospital kanak-kanak di HKL dan masa-masa yang berlalu seterusnya sungguh
membuatku merinduimu sepanjang hayatku, insya-Allah. Bagaimana mungkin aku
memendamkan rasa kehilanganmu terhadapku. Oh Allah, Engkau Maha Agung!!!
Ketika aku menghantarmu ke airport dengan galagatmu yang
amat menceriakan sementara menunggu flightmu untuk ke Melbourn untuk
pemindahan buah pinggang ibumu untukmu dan ketika menunggu detik balikmu dari
Australia. Ketika menunggumu boleh menyusu tanpa menggunakan tiub plastik melalui
hidungmu. Ketika menunggu perkataan pertama dari mulutmu yang comel itu dan
ketika menunggumu membesar dan memulakan hari pertamamu di tadika Smart Reader
Kids.
Bagaimana akan kulupakan senyumanmu kepadaku ketika kau baru
benar dilahirkan oleh ibumu. Engkaulah satu-satunya cucu buah hatiku telah
tersenyum kepadaku ketika engkau baru dilahirkan ke dunia ini. Kiraku
senyumanmu itu akan berada di sisiku sentiasa. Rupa-rupanya itu adalah hadiah
untukku seketika cuma. Inilah saat yang amat bahagia bagiku, kerana tiada siapa
menyangka engkau menghadiahkan sebutir senyuman untukku dan kukira tidak kepada
sesiapa yang lain. Bagaimana aku akan mungkin melupakan ketika tumbesaranmu,
terpaksa disusukan melalui saluran tiub menerusi hidungmu kerana kamu hilang deria
rasa akibat buah pinggangmu yang tidak normal. Aku masih terbayang-bayang di
mataku ketika kita melawat The French Quarter begitu ramai orang melihatmu dan
mereka berbisik-bisik kerana melihat kejanggalanmu mempunyai tiub yang
diklipkan ke rambutmu. Mereka pelik memikirkan apakah gerangan fungsi tiub itu.
Sejak kamu disahkan lahir tanpa sepasang buah pinggang yang
sempurna aku berdoa setiap lepas solat agar Allah memulihkan kesihatanmu dengan
buah pinggang yang sempurna. Namun, cinta Allah mengatasi segala-galanya. Doaku
tiada mendapat layanan-Nya. Kerana Allah ada rancangan yang lebih baik untukmu
yang dirahsiakan-Nya sehingga kamu berumur tiga belas tahun. Demikianlah
hebatnya Allah. Bagaimana akan kuhapuskan memoriku ketika berulang-alik ke
Hospital Pakar Damansara dan ketika aku berulang-alik ke Bahagian Kanak-kanak
HKL aku terlalu keletihan dan mengantuk kemudian menumpang baring di serambi
Masjid Jamek HKL hingga terlelap. Semua ini adalah kenang-kenangan yang
mendewasakanku dan mendidik aku supaya banyak berdoa dan bersabar melihatkan
ujian Allah terhadap ibu bapa dan abangmu yang aku percaya tidak lekang bibir
mereka berdoa akan kesejahteraanmu. Masya-Allah, Agungnya Ujian Allah.
Tidak mungkin juga, pastinya aku melenyapkan daripada memoriku
bagaimana setelah mendapat rawatan di klinik nephro di HKL kita akan ke stesen
LRT Kampung Baru untuk menghantar ibumu kembali ke ofis di Menara Berkembar
Petronas. Di sana kita akan bersalaman dan berdakapan dengan ibumu yang telah
datang bersendirian manaiki teksi ke unit nephro HKL untuk menemanimu mendapat
rawatan daripada nephrologist yang bertugas pada hari itu. Sebelum itu
kamu pasti meminta dibelikan cendol dan pisang goreng untuk kamu makan tepung
kulitnya sahaja dan membiarkan nenekmu yang memangkumu di ribanya memakan
isinya. Dan bagiku tidak mungkin hilang daripada memoriku perkataan dari bibir
comelmu, ketika kamu mengajukkan bunyi halangan di tol semasa mahu melepasinya,
"Tit tit kata ia." Sungguh menghiburkan suaramu itu dan biasanya akan
kami ajukkan suara itu pula. Betapa damai dan mesranya suasana di dalam kereta
Proton Iswara ketika itu. Keadaan begini berterusan sehinggalah aku tidak mampu
lagi untuk menghantarmu ke klinik itu kerana keuzuranku pula.
Seluruh keluarga berbangga dan bersyukur. Ketika umurmu lima
tahun kamu telah dasekolahkan di Tadika Smart Reader Kids yang berhampiran.
Dengan ghairahnya aku menghantar dan menjemputmu balik ketika pagi dan tengah
hari. Ini untuk beberapa lama cuma. Kamu selalu tidak sihat. Doktor pakar yang
merawatmu di HKL menasihati supaya kamu tidak disekolahkan di sekolah yang
ramai pelajarnya. Kamu terpaksa diberhentikan sementara daripada bersekolah di
SRK itu. Kamu dihantar untuk private tuition pula ke rumah seorang guru tuition
yang berhampiran.
Ketika kamu bertuisyen di sini aku telah diingatkan oleh jiran
guru ini seorang yang warak agama supaya aku waspada kerana guru itu ialah
seorang Cina Kristian. Jiran itu bimbang jika nanti kamu dipengaruhi oleh cikgu
itu. Aku berterima kasih kepada jiran yang prihatin itu kerana menyatakan
kebimbangannya. Kamu adalah satu-satunya cucu yang amat bertuah kerana
keistimewaanmu, ibu bapamu telah menghatar kamu ke sekolah swasta. Ini adalah
atas nasihat doktor yang merawatmu supaya kamu tidak dihantar ke sekolah biasa
yang anggota kelasnya berbilangan terlalu besar; dengan latar belakang
kesihatan yang berbeza pula. Sedangkan kamu amat sensitif dengan jangkitan
sebarang penyakit. Di sekolah swast,a bilangan murid sekelasnya kecil.
Pendedahan kepada jangkitan juga adalah minimum.
Apa yang sungguh membanggakan ialah kamu di sekolah adalah
seorang pemain bola sepak yang aktif dan seorang perenang yang mencipta nama di
Okinawa Jepun. Kamu telah muncul naib johan di dalam pertandingan renang
daripada kalangan ahli transplant yang diadakan. Di samping itu di dalam
ujian UPSR yang telah diadakan, pencapaianmu sungguh membanggakan keluarga;
sehinggakan kamu telah dibawa menunaikan umrah bersama. Namun, keadaanmu ketika
mengerjakan umrah kesihatanmu tidak mengizinkan, banyak perlakuan aktiviti
menurut nenekmu yang turut membuat umrah bersamamu dan keluarga. Namun
demikianlah kehendak Allah yang Maha Kaya.
Ketika di Australia juga keadaanmu adalah amat mencemaskan,
namun kasih sayang Allah kepadamu amatlah nyata. Kecemasan itu berlalu seketika
cuma. Alhamdulillah, namun kasih sayang Allah terhadapmu telah mengatasi
segala-galanya. Perjanjian pinjaman untukmu dan kami telah sempurna, lalu pada
jam 7.40 pagi Jumaat, 12.9.2014 telah datanglah utusan Allah untuk menjemputmu
ke hadirat-Nya, namun apa yang masih terngiang-ngiang di telingaku ialah,
"Atuk gi Jumaat tak?" "Gi," jawabku sepatah. "Nak beli
air nanti." "Ok," balasku, faham maksudnya ialah Coke tin
dengan iringan tit bits kegemarannya. Malam Isnin 02.02.2015, 10.49
malam.
Derita seorang Atuk Abu Amn Bachik |
Komen:
AAB, saya telah baca seluruh catatan ini dan amat memahami suasana
kesedihan yang menyelubungi anggota keluarga saudara. Menyayatkan, terutama
memikirkan anak kecil baru berusia at tender age. Belum lagi puas
menikmati alam kanak-kanak Allah telah memanggilnya kembali. Penderitaan yang
tidak tertanggung dan suasana derita itu meresap masuk ke dalam diri setiap
anggota keluarga daripada atuk hingga ke abang dan adik anak ini. Ibu bapanya
lebih terseksa melihat anak yang dilahirkan "istimewa" demikian.
Namun demikian, Allah menyalurkan hasrat dan keinginan-Nya kepada setiap
hambanya. Saya merasakan apa yang saudara rasakan dan doa kami sekeluarga di
sini semoga saudara tabah menghadapinya. Kita hanya boleh merancang, namun
Allah menentukan segala-galanya dan itulah hikmah yang harus kita terima. Allah
menyayanginya. Terima kasih kerana mengizinkan kami berkongsi pengalaman.
Sebuah tragedi yang tidak dapat kita elakkan. Al-Fatihah.
Amat menyedihkan. berapa ramaikan atuk-atuk yang mengalami nasib yang sama. Hanya Allah yang maha mengetahui. Kalau Atuk begitu menderita bagaimanakah agaknya perasaan ibu dan ayah kepada anak istimewa ini. Al-Fatihah.
ReplyDeleteThis comment has been removed by a blog administrator.
ReplyDeleteAtuk pasti ada hikmahnya dengan tragedi keluarga ini. Atuk perlu bersabar dan begitu juga dengan keluarga anak istimewa ini.
ReplyDeleteMy heart-felt sympathies to Uncle and deepest condolence to the bereaved family. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham. The late grandchild was so young and yet ...Al-Fatihah.
ReplyDeleteAl-Fatihah
ReplyDeleteYang pergi tetap pergi yang tinggal Insya-Allah teruskan perjuangan membentuk keluarga bahagia. Allah lebih menyayanginya. Dan saya percaya ini akan memperteguh iman kita dan yakinlah ada hikmah di sebalik pemergian cucu yng dikasihi itu.
ReplyDelete