CATATAN A.F.YASSIN
PANDANGAN SINIS TERHADAP RATIB 1000 SYAIR
Kelihatannya, apa sahaja kegiatan yang diadakan oleh Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) semuanya tidak kena bagi sesetengah orang. Kegiatan terbaru badan penulis itu ialah Majlis Ratib 1000 Syair, yang diadakan selama 24 jam dan terus dicatat dalam “Malaysia Book of Records” pada 2-3 November lalu.
Salah seorang daripadanya tokoh bahasa yang sudah bertaraf profesor emeritus. Bidangnya lingusitik, sudah bersara tapi dipanggil lagi untuk bertugas oleh sebuah universiti lain. Barangkali ilmunya masih perlu dimanfaatkan. Bidang penyelidikannya masih boleh membawa faedah kepada perkembangan kebahasaan di negara ini.
Maknanya profesor ini masih belum ada taranya dari sudut bidang ilmunya. Bagaimanapun apabila beliau secara sinis bertanya apakah Gapena bikin acara ratib hanya nak masuk “Malaysia Book of Records” maka pertanyaan itu sudah sedikit keterlaluan. Tidak sewajarnya seorang ahli akademik dalam apa bidang ilmu sekalipun bersuara sinis terhadap institusi seperti Gapena yang selama ini berusaha memartabatkan bidang kesusasteraan dan kebudayaan termasuk aspek kebahasaan juga. Malah tokoh yang memimpin Gapena selama 30 tahun merupakan seorang ahli akademik dan setaraf jawatan profesornya. Makna kata Tan Sri Prof. Emeritus Ismail Hussein dan profesor bahasa itu sama setaraf dari segi akademik. Tan Sri Ismail dalam bidang kesusasteraan manakala satu lagi dalam bidang kebahasaan.
Kurang pasti mengapa profesor bahasa itu bersikap demikian terhadap profesor sastera. Apakah ia ada kaitannya dengan pandangannya bahawa hasil karya pengarang Melayu terutama novel tidak ada yang bermutu. Menurutnya Gapena sepatutnya mengutamakan usaha meningkatkan mutu karya pengarang. Teringatkah kita akan pandangan yang sama yang diberikan oleh Mohd Affandi Hassan suatu ketika dahulu. Nampaknya Mohd Affandi Hassan tidak keseorang dalam hal ini.
Bagi Tan Sri Ismail, pandangan sinis dan segala macam itu “sudah lali” di telinganya. Gapena punya agenda tersendiri dan terpulanglah kepada siapa sahaja untuk berkata “apa”. Dan pandangan yang tidak semestinya sama itu menjadi hak orang yang memberikannya. Apakah acara Ratib 1000 syair hanya bertujuan untuk dicatat dalam “Malaysia Book of Records”?
Menurut Tan Sri Ismail acara ratib ini diilhamkan daripada mimpi “kawan-kawan”penyair di Rumah Gapena. Mereka ingin berbuat sesuatu untuk meningkatkan lagi usaha memasyarakatkan puisi ke khalayak ramai. Barangkali para penyair berdetik hatinya apabila tiba-tiba sahaja sambutan orang ramai terhadap karya puisi semakin hangat dan menyeluruh. Ada media elektronik yang menggunakan deklamasi puisi sebagai acara selingan. Orang politik menjadikan puisi, terutama pantun untuk memperkuat hujah politiknya. Beberapa buah negeri dengan rasminya menganjurkan kembara puisi masing-masing dan bukan tidak mungkin daerah-daerah juga mula memperkenalkan deklamasi puisi kepada warganya.
Baru-baru ini seorang pegawai tingkat tinggi sebuah kementerian menghubungi seorang pengrang kenalannya memintanya menyiapkan beberapa kerat pantun dan perbilangan adat tentang perkahwinan. Pegawai itu minta tolong bagi pihak bosnya untuk majlis perkahwinan anaknya. Menurutnya, kata perbilangan itu perlu kerana bosnya itu orang Negeri Sembilan dan biasanya pesta kahwin di Negeri Sembilan tidak akan meriah kalau tidak dimasukkan kata-kata perbilangan adat.
Demikianlah, atas prestasi puisi yang semakin ditatang orang kewujudannya, maka apakah salah bagi Gapena untuk terus memperteguh citra yang semakin mula meneguh itu? Dan untuk respons terhadap pandangan profesor bahasa yang bergelar datuk itu, apakah sudah menjadi tugas utama Gapena untuk mempastikan setiap karya pengarang yang dilahirkan mesti bermutu tinggi setanding karya dari pengarang Barat? Kata seorang anggota kerabat Gapena, “Tugas Gapena mempersiapkan infrastruktur, menyediakan lapangan dan memperteguh fundasi berkarya. Kemudian terserah kepada pengarang itu sendiri untuk mencipta yang terbaik. Kalau pengarang mencipta yang tidak baik, itu bukan salah Gapena!” katanya.
Gapena sebuah institusi yang terlalu besar untuk sekadar memantau nilai karya pengarang. Bukankah ada pengkritik yang memantaunya? Tugas Gapena lebih besar dan luas. Tugas Gapena melihat Melayu dan dunianya yang satu waktu habis dirobek-robek oleh perakus Barat dengan pemikrian penjajahannya. Gapena perlu melihat jauh, melepasi sempadan politik dalam usaha mencari dan menebus semula maruah ketuanan Melayu yang sekian lama hilang. Satu ketika dahulu Melayu pernah menjadi bangsa besar, mempunyai empayar yang dikenali di seluruh dunia. Setelah dijajah, ramai Melayu dijadikan hamba dan pesuruh sehingga harus ditebus semula oleh keadaan dan masa. Melayu telah menjadi salah satu bangsa yang betebaran di merata-rata negara sehingga timbullah apa yang disebut Melayu diaspora.
Bagaimanapun, istilah diaspora ini pun tidak disenangi profesor bahasa itu. Menurutnya diaspora tidak sesuai digunakan untuk orang Melayu yang tinggal di luar tanah induk Melayu. Menurut kamus diaspora bermakna antara lain sesuatu kelompok manusia yang bertaburan lari ke tempat lain disebabkan satu keadaan seperti perang atau diusir. Profesor itu berkata masih boleh dipertikai apakah orang keturunan Melayu yang ditemui Gapena di Afrika Selatan, Sri Lanka atau Madagaskar itu Melayu diaspora. Profesor itu mungkin belum bertanya hal atau membuat penelitian tentang keadaan orang Melayu di sana yang ramai bercerita bagaimana nenek moyang mereka dibawa keluar dari kepulauan Nusantara ke tempat di mana mereka berada sekarang. Mereka dibawa secara paksa sebagai hamba atau khadam. Keadaan nusantara waktu itu mirip perang yang berlanjutan. Apakah keturunan Melayu di negara-negara berkenaan bukan diaspora?
Profesor bahasa itu juga mempertikaikan apakah orang keturunan Melayu di negara-negara berkenaan benar-benar datang dari Semenanjung Tanah Melayu, Singapura atau Brunei. Mungkin sahaja mereka dari kepulauan lain seperti Jawa atau Sulawesi. Dan bagi profesor itu kedua-dua daerah itu bukan tempat tinggal orang Melayu. Barangkali maksud preofesor itu orang Jawa bukan orang Melayu, orang Bugis bukan orang Melayu kerana bahasanya berlainan sekali dengan bahasa Melayu.
Inilah tantangan Gapena. Isu nilai karya dan isu orang Melayu yang ditimbulkan oleh profesor bahasa didasarkan bidang ilmunya, iaitu linguistik. Melayu baginya barangkali adalah mereka yang bertutur dalam bahasa Melayu, mengamalkan kebudyaan Melayu dan beragama Islam. Persis seperti dalam Perlembagaan Malaysia. Soalnya apakah Gapena melihat Melayu seperti yang didefinisikan oleh Perlembagaan? Oleh kerana perjuangan mencari Melayu itu jauh melepasi sempadan politik maka jawapan kepada isu profesor bahasa itu menjadi mudah.
Pandangannya terhadap Melayu dan nilai karya Melayu inilah yang diyakini mewarnakan alam fikirnya sehingga prejudis terhadap sebarang kegiatan Gapena. Dan tidak mengejutkan jika dia bersikap sinis dengan majlis ratib 1000 syair. Biar apapun kelemahan yang ada, majlis ratib 24 jam itu bukan setakat mengejar catatan “Malaysia Book of Records” tetapi lebih penting keinginan para penyair dan pencinta sastera untuk mencipta kelastarian dalam pengucapan puisi. Dan ia merupakan satu proses untuk mencari pembaharuan demi pembaharuan.
Suara sinis seperti yang dilontarkan profesor bahasa itu mungkin tidak besar jumlahnya di kalangan orang akademik. Tetapi kalau sesuatu tidak dilakukan jumlah itu akan meningkat. Sebabnya pemilik-pemilik suara sinis demikian tidak dapat menghayati perjuangan orang sastera atau orang budaya. Atau mungkin juga dunia pemilik suara sinis terletak di sekitar bidangnya sahaja sehingga terlupa bahawa masih wujud dunia-dunia lain di luar bidangnya. Ada yang mahu Gapena mengambil inisiatif mendekatkan pemilik-pemilik suara ini kepada kegiatan Gapena, menjelaskan kepada mereka konsep dan falsafahnya.
Satu waktu dahulu pernah terdengar suara yang mengatakan kegiatan Gapena hanya bersifat sorak-sorai. Tetapi hari ini kebanyakan daripada pemilik suara itu bukan sahaja telah dapat menghayati perjuangan Gapena tetapi turut aktif dalam kegiatannya. Tidak perlulah disebut siapa pemilik suara itu. Yang penting gerak inisiatif Gapena mengenal pasti suara “sumbang”ini dan membawa pemilik suara itu melalui hamparan permaidani Gapena untuk mengetahu apakah hamparan itu gatal atau enak untuk diduduki.
Mana tahu nanti jika ada lagi acara ratib syair kedua, mungkin jumlah syairnya 2000 pula, profesor bahasa yang bersuara sinis akan mengirimkan nukilan sajaknya untuk dibaca di atas pentas dan di hadapan sejumlah besar penyair Malaysia. Waktu itu nanti profesor bahasa itu akan berfikir bahawa kata perbilangan, syair, gurindam dan pantun-pantun yang sesetangahnya diminatinya kerana “keindahan bunga bahasa” lahir daripada ciptaan nenek moyang orang Melayu yang mencipta dan dibacakan dalam majlis keramaian seperti ratib 1000 syair ini. Mungkin ada yang ingin tahu siapa profesor bahasa itu. Sebaiknya namanya berada dalam baris-baris “catatan a.f. yassin” minggu ini.(modified on 30 June 2011)
No comments:
Post a Comment