Allahyarham Kamaludin Mohamad (Keris Mas) Sasterawan Negara pertama yang banyak menaikkan nama Dewan Bahasa dan Pustaka. Juga bos saya yang banyak memberi nasihat dalam bidang penulisan.
Martabat Bahasa di Puncak Dewan
Oleh A.F.Yassin
Lama juga tidak ke Dewan Bahasa dan Pustaka (Dewan Bahasa). Sejak mesyuarat terakhir Program Jejak Bahasa ditangguhkan enam bulan dahulu bangunan Dewan Bahasa tidak dikunjungi. Tidak ada yang perlu untuk ke sana. Hendak mengunjungi kawan-kawan, tak banyak lagi yang tinggal. Semuanya sudah bersara. Kalau pun ada tinggal Abdul Ahmad yang satu angkatan, yang bersama-sama memerah otak dan tenaga menghidupkan majalah Dewan Masyarakat, ketika itu di bawah pimpinan M. Noor Azam (kini Dato’). Atau Jaafar Rahim dan Ghaffar Abdullah. Kemudian adalah juga seorang berdua yang setahun dua junior seperti Haji Hamdan Yahya dan Dr Anuar Rithwan ( kini Dato’). Tetapi mereka ini telah terlalu tinggi jawatannya sehingga tidak mudah untuk datang dan pergi tanpa “temu janji” terlebih dahulu.
Baru-baru ini saya kena pergi jugalah ke Dewan Bahasa kerana ada surat jemputan untuk menghadiri mesyuarat Jejak Bahasa III. Sebagai salah seorang penyelidik program ini saya diminta hadir dengan “harap tidak diuzurkan”. Kalau sebelum ini mesyuarat sentiasa sahaja diadakan di luar Dewan Bahasa tetapi masih di Kuala Lumpur, namun kali ini ia diadakan di Dewan Bahasa di Tingkat 29. ‘Wow!” spontan saya hampir menjerit apabila membaca tingkat 29 dalam surat jemputan mesyuarat. Ertinya bangunan Dewan Bahasa yang baru setinggi 33 tingkat ( kalau tak silap) telah digunakan. Kurang pasti sejak bila ia digunakan. Tidak terdengar bila ia dirasmi atau ditepung tawar.
Jika mesyuarat diadakan di Tingkat 29, maka sudah barang tentu panorama Kuala Lumpur dari udara boleh mengkhayalkan orang yang melihatnya dari tingkat setinggi itu. Saya tidak sabar-sabar lagi untuk menghadiri mesyuarat. Bukan kenapa, cuma mahu melihat tempat baru. Sebagai bekas kakitangan Dewan Bahasa, paling sedikit masih terpalit dalam hati rasa megah dan bangga kerana institusi bahasa yang pernah menjadi tempat “mencari rezeki” pada tahun-tahun 1970an dahulu kini beroperasi di bangunan setinggi itu. Dahulu bangunan Dewan Bahasa hanya enam tingkat, kini jumlah tingkatnya berganda lebih lima kali. Tahniah kepada Pengarah Dewan Bahasa Dato’Haji Aziz Deraman yang mengambil inisiatif meningkatkan keselesaan fizikal Dewan Bahasa.
Tegak juga bulu roma ketika lif meluru ke tingkat 29. Lajunya bukan main kerana tidak sampai beberapa saat sahaja ia telah berhenti di Tingkat 29. Kelajuan lif ini amat jauh bezanya berbanding kelajuan lif di bangunan lama. Terbuka sahaja pintu lif, seorang pengawal telah menunggu di pintu masuk. Dengan sopan pengawal menunjukkan bilik mesyuarat Jejak Bahasa III (JB3). Suasana tingkat 29 mengkagumkan, terutama peralatan bilik mesyuarat dan kerusi mejanya. Ruang menunggu, walaupun kecil, amat selesa dan menyenangkan.
Seluruh tingkat 29 dikhaskan untuk tempat mesyuarat. Ada bilik mesyuarat induk yang terbesar di kalangan bilik-bilik yang lain. Tidak pasti berapa jumlah bilik mesyuarat, tetapi banyak juga berbanding di bangunan lama yang ditempatkan di jabatan atau bahagian masing-masing. Jika dibandingkan dengan kemudahan bilik mesyuarat di hotel-hotel yang pernah digunakan Dewan Bahasa, bilik-bilik mesyuarat di Tingkat 29 ini tidak kalah hebatnya. Malah bilik mesyuarat Dewan Bahasa lebih hebat jika dilihat dari sudut pemandangan sekitar Kuala Lumpur. Di Hotel biasanya bilik mesyuarat berada di tingkat bawah. “Kalau sudah begini, tak perlulah kita ke hotel lagi untuk bermesyuarat,” ujar salah seorang penyelidik Jejak Bahasa.
Ketika mesyuarat ditangguhkan untuk makan tengah hari dan sembahyang Zuhur, kami diundang makan tengah hari di Tingkat 5, yang menempatkan kantin Dewan Bahasa. Seluruh tingkat 5 ini dikhaskan untuk kantin dan bilik sembahyang. Sekali lagi kami terpesona melihat susun-atur kantinnya. Berkata juga dalam hati, “Kalau begini kantinnya sampai petang pun boleh duduk minum dan sembang-sembang.” Suasana kantin seperti suasana di hotel, lengkap dengan bilik makan khas. Difahamkan setiap pegawai dan kakitangan tidak dibenarkan memesan makanan dari luar kecuali dari kantin berkenaan, terutama untuk mesyuarat. Sedap tak sedap itu soal kedua. Difahamkan juga harga makanan dikawal pihak Dewan Bahasa.
Ketika sedang makan teringat juga pengalaman makan di hotel apabila sidang ditangguhkan. Oleh kerana sistem sistem terbuka di restoran makannya maka biasanya pengunjung terpaksa beratur mendapatkan makanan, terutama pada waktu puncak. Di Dewan Bahasa tidak begitu halnya. Semuanya sudah disajikan di bilik makan khas. Bukan sahaja waktu makan dapat dihematkan, tetapi juga ada masa yang lebih daripada mencukupi untuk solat dan mengunjungi kawan-kawan lama, jika masih ada.
Kesempatan ini saya gunakan untuk mengunjungi bahagian majalah, kalau tak silap saya di Tingkat 14. Di tingkat inilah terletaknya pejabat Pengarah Penerbitan, Dato’ Dr Anwar Rithwan. Suasana di Bahagian Majalah sedikit tidak menyenangkan. Sistem pejabat terbuka yang dilaksanakan di tingkat ini nampaknya tidak begitu selesa buat sidang editornya. Hal ini mungkin disebabkan ruangan yang begitu sempit menampung seluruh warga majalah. Suasana bekerja di bangunan lama lebih selesa.
Tidak pasti sama ada Bahagian Majalah akan kekal ditempatkan di ruang sempit itu. Jika kekal maka diyakini keadaan bekerja yang kurang selesa itu akan menjejaskan produktiviti sidang editor. Bukan sahaja mereka akan terganggu dalam kerja penyuntingan, tetapi juga dalam kerja mengarang. Dengan batas waktu (deadline) pendek untuk menyiapkan tugas apakah tidak mungkin nanti ada yang akan histerikal dan “buntu minda”. Saya tidak dapat mengelak daripada mengganggu konsentrasi para editor apabila berjalan sebelah mereka untuk bertemu Hassan Alias, Timbalan Editor majalah Dewan Sastera dan Nor Hazizan Talib, editor majalah Dewan Bahasa. Tidak sempat pula bertanya kepada mereka berdua ini di mana pejabat Ketua Editor, Zulkifli Salleh.
Bagaimana khabarnya dua kawan sepertugas majalah tahun 1970an, Abdul dan Jaafar. Kini mereka tidak lagi berkerja di Bahagian majalah. Abdul kini bertugas di Bahagian Penerbitan Sastera dan Jaafar di Bahagian Sastera Moden. Mereka berdua ini mungkin telah dipisahkan bukan sahaja oleh Bahagian tetapi juga oleh tingkat bangunan. Belum sempat lagi bertanya khabar. Rasa rindu untuk medengar Jaafar ketawa atau melihat Abdul mereka bentuk sendiri kulit buku (melampaui tugas seorang editor buku) begitu menebal. Malah rasa rindu turut dirasakan ketika terkenang suasana “bergaduh dan bertengkar” semasa mesyuarat post-mortem setiap kali Dewan Masyarakat diterbitkan. Kadang-kadang terfikir juga bilakah agaknya kedua-dua sahabat sepertugas ini hendak bersara. Apakah usia bagi mereka kekal tak meningkat.
Demikianlah, Dewan Bahasa Dari hanya menumpang di Tingkat 2, Bangunan Pejabat Kerajaan di Bukit Timbalan di Johor Bahru pada tahun 1956, kini ia beroperasi di sebuah bangunan tinggi dan indah di tengah-tengah kota. Harap-harap kebanyakan pegawai dan kaitangan Dewan Bahasa dapat memanfaatkan keselesaan dan keindahan bangunannya untuk meningkatkan produktiviti per kepalanya. (Modified on 28 Mac 2003)
No comments:
Post a Comment