CATATAN A.F.YASSIN
Mengenang Dino Sungai Sumun
Terima SMS daripada Wahba pagi Khamis minggu lalu. Bunyinya, “ Ahmad Razali beritahu Dino SS meninggal. Kalau nak nak pergi tumpang sama.” Spontan “Innalillah” terucapkan. Seorang lagi pergi meninggalkan kawan-kawan untuk meneruskan minat dalam bidang sastera. Usianya 59 tahun.
Tidak ramai kawan-kawan yang ditemui di rumah Allahyarham Dino atau nama penuhnya Mohd. Said Abd. Hamid. Barangkali sudah ramai yang mengunjunginya di sebelah pagi. Yang masih tercegat menunggu jenazah diusung ke surau berhampiran termasuk Datuk Baharuddin Zainal (Baha Zain), Datuk A.Samad Said, Datuk Johan Jaafar, S. Othman kelantan, Wahid Kasran, Ahmad Razali (Dr.) dan Othman Shariff, jiran allahyarham yang paling dekat. Ariffin Said salah orang yang paling sibuk mengurus jenazah.
Jiran terdekat lain, seperti Maaruf Saad tidak kelihatan. Barangkali Maarof telah menziarahi pada sebelah paginya. Jiran-jiran lain seperti Othman Puteh dan Rahman Shaari tidak juga kelihatan. Khabarnya Othman tidak dapat membuat kunjungan hormat terakhir kerana masih membentang kertas kertas dalam satu symposium anjuran NUTP Terengganu. Sementara Rahman begitu terkilan kerana hanya mendapat tahu pemergian DINO sehari selepas pengkebumian.
Ahmad Razali sibuk membuat catatan sambil bertanya beberapa orang. Katanya dia diminta editor Dewan Sastera menulis “balasungkawa”. Bagaimana Ahmad Razali akan menulisnya sehingga dua halaman majalah tidak dapat dipastikan kerana seperti kata Rahman “ tidak banyak diketahui tentang Dino dalam bidang sastera.”
Nama Dino SS dikaitkan dengan bidang puisi. Namun sebahagian besar usianya dia habiskan sebagai wartawan di Berita Harian, mengasuh ruangan pendidikan dan kemudian mengetuai unit sastera akhbar berkenaan. Pernah juga dipinjamkan untuk bertugas di Akademi Penulis Pena ketika itu bertempat di Lorong Lumba Kuda off Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
Kawan-kawan yang mengunjungi allahyarham buat kali terakhir Khamis, 17 Julai itu tidak banyak bercakap tentangnya. Barangkali tidak ada apa yang dapat dicakapkan. Ada di kalangan kawan-kawan menyifatkan Dino begitu pendiam, sedikit “memencilkan” diri terutama sejak dia terkena angin ahmar bebera tahun dahulu. Menurut seorang ahli keluarganya Dino sihat-sihat sahaja dan tidak menunjukkan tanda-tanda sesuatu akan berlaku. Dia sedang membuat kerja-kerja terjemahan apabila muntah tiba-tiba. Dia dikejarkan ke hospital Umum Kuala Lumpur sebelum menghenbuskan nafas terakhir kira-kira 2.30 pagi.
Dalam tahun 1990an Rahman Shaari dalam kertas kerjanya “Penulis Muda dan Masa Depannya” yang dibentangkan sempena Hari Sastera Nasional di Shah Alam menyifatkan Dino sebagai seorang penulis yang tidak “mengambil kesempatan.” Maksud Rahman biasanya jika ada penulis yang mengasuh sesuatu ruangan, dia akan memanfaatkan ruangan itu untuk menyiarkan karyanya. Katanya, “Ternyata Dino tidak berbuat begitu. Jarang sangat saya melihat karyanya tersiar dalam Berita Minggu sejak dia mengasuh ruangan itu.”
Rahman tak pasti apakah Dino diberikan syarat oleh majikannya untuk tidak menyiarkan karya kreatifnya atau dia “segan” berbuat demikian bimbang “apa penulis lain akan kata.” Atau Dino terikat dengan etika pengasuh ruangan yang lazimnya tidak akan memanfaatkan keadaan. Jika ini sikap Dino, sememangnya ia amat terpuji, jelas seorang kawan.
Rahman mengakui tidak begitu rapat dengan allahyarham, walaupun katanya, “Kami sama-sama menjadi anak angkat Usman Awang dalam erti mendapatkan tunjuk ajar dalam selok-belok penulisan. Kami tak geng sebenarnya.” Bukan Dino dan Rahman sahaja yang menjadi anak angkat Usman yang tidak pernah kenal secara intim sesama sendiri, tetapi juga ramai yang lain yang mengaku pernah menjadi anak angkat sasterawan negara itu. Contohnya, Maaruf Saad dan Sutong Umar RS. Maaruf sendiri pernah tinggal bersama-sama Usman untuk beberapa ketika di Petaling Jaya dan Sutong Umar RS.
Rahman tidak ingat sajak Dino yang manakah yang pernah menghambat hatinya. Secara tersirat Rahman barangkali mahu menjelaskan bahawa jarang ada karya puisi Dino yang terserlah. Puisinya tidak banyak diperkatakan. Kata Rahman, “Ada sebuah dua yang dicipta Dino semasa dia di luar negeri. Saya lupa nama sajak itu, tetapi itulah saya amat meminatinya.”
Biasanya Rahman ingat setiap sajak yang diminatinya, termasuk sajaknya sendiri. Malah dia mampu menghafal sajak-sajak itu. Sedikit aneh dia tidak mengingati judul sajak Dino yang dia minati. Apakah kerana Rahman “tidak geng” dengan Dino, maka dia tidak begitu ambil pusing dengan judul sajak Dino itu. A. Ghaffar Ibrahim akan lebih mesra dengan sajak-sajak Dino. Bukan sahaja sebagai jiran terdekat, Ghaffar dianggap kawan karib Dino dan membaca segala gerak tingkahnya dalam bidang puisi. Malah seangkatan kata seorang penyair.
Penglibatan Dino dalam Pena begitu aktif satu ketika. Pernah Dato’ Ahmad Sebi Bakar, presiden PENA meminta kerjasamanya untuk rekrut lebih ramai ahli Pena dari kalangan wartawan Berita Harian. Dikatakan hasil jerih payah Dino jugalah Ahmad Sebi berjaya dipilih menjadi presiden sehinggalah ke hari ini. Dan bukan tidak mungkin kerana kegigihan Dino dalam dua bidang, wartawan dan sasterawan, maka Ahmad Sebi menggunakan jasa baiknya untuk Dino dipinjamkan ke Akademi Penulis.
Sebelum jenazah disembahyangkan di surau berhampiran, Wahid Kasran mengingatkan kami bahawa Dino lahir di seberang sungai sebelah Perak dan “saya lahir di seberang sungai di sebelah Selangor.” Sunagi yang dimaksudkan Wahid ialah Sungai Bernam yang memisahkan dua negeri. Kata Wahid, “Tempat lahir saya Sabak Bernam. Tempat lahir Dino Bagan Datoh.” Lebih tepat tempat lahir Dino di Kampung Sungai Sumun. Dan dua huruf “SS” di hujung nama Dino itu ialah “S” untuk Sungai dan satu “S” lagi untuk Sumun. Samad Said datang menyampuk, “Bukan Syok Sendiri.”- (Modified on 1 Januari 1998)
Nama DINO SS telah saya temui sajak-sajaknya sejak 1970-an.Kemudian apabila saya sebagai siswa Sarjana Muda Pendidikan di UPM pada awal 1980-an, dalam satu majlis baca puisi di UPM saya diundang baca; begitu juga En.Mohd Said Abdul Hamid (Dino SS)pensyarah muda dari FPP,UPM ketika itu. Di UPM saya tidak begitu mengenalinya kerana dia tidak mengajar kami. Selepas saya tamat belajar UPM dalam beberapa tahun kemudian saya mendapat tahu beliau berkhidmat di Berita Harian pengasuh ruangan pendidikan dan kemudian sastera budaya. Seingat saya, pembantu beliau ketika itu Aziz Desa.Kenangan yang tidak dilupakan, di Berita harian saya agak akrab dengan Dino. Saban minggu saya menitipkan karya/artikel untuk dijadikan polemik dalam BH.Terlalu banyak mahu diceritakan. Namun kenangan bersama rombongan Pena berkunjung ke Eropah (Paris,Franfurt,London) 1994 bersama Dino, Baha Zain, T.Alias taib, Wahba, Zakaria Ali dll tetap terpahat dan mesra dalam ingatan. Saya cuma dapat tahu sehari setelah kematian.Namun sempat bersama isteri berziarah ke rumahnya,menemui isterinya,menyampaikan takziah. Alfatiha. (Rajiee Hadi)
ReplyDeleteWalaupun kami tidak begitu rapat kerana Allahyarham selepas meninggalkan Berita Harian untuk bertugas di Akademi Penulis PENA, namun kami tinggal berjiran di Bandar Baru Bangi. Sebelum jenazahnya disembahyangkan di surau berhmpiran, saya sempat bernostalgia sebentar bersama Wahba dan Wahid Kasran yang pernah bertugas di Utusan Melayu. Juga bicara sebentar dengan Datuk Johan Jaafar dan Yassin Salleh yang datang ziarah selepas kedatangan Usman Awang beberapa jam sebelumnya. Banyak kenangan lama bersama Allahyarham dengan kesedihan sahaja yang mengiringi Allahyarham. Kadang-kadang saya dan isteri mampir di warong pagi di belakang rumah Allahyarham sambil sarapan nasi lemak dan kami tidak terlepas daripada memerhatikan bahagian dapur rumah yang ditinggalknnya. Terima kasih Tiub Bocor atas ingtan Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Amin ya Rabul Alamin!
ReplyDelete