27 June 2011

Aktivis NGO Yang Juga Wartawan Melaka


 Jamal Shah (kiri) bersama crew Jejak Bahasa di rumah TS Abdul Aziz Tapa di Jasin Melaka.

JAMAL SHAH: AKTIVIS NGO YANG MENULIS

 Terakhir saya berbual dan melawak dengannya ketika di Pekan Baru, Riau menghadiri Festival Kebudayaan Melayu anjuran pemerintah daerah Riau. Itu kira-kira tiga tahun yang lalu (19960. Ketika bersama Jamal Shah, kita tidak akan mengantuk atau rasa bosan. Ada sahaja cerita yang dibawanya. Seronok malah mengasyikkan. Kawan-kawan yang rapat dan yang jarang jumpa cukup senang berada bersamanya. Jika diajak berbual, dia seperti tidak punya nokhtah.

Banyak perkara yang dibualkan dan tentunya yang lebih diutamakan kisah dunia persuratan, termasuk dunia kewartawanan. Beberapa bulan lalu saya menghubunginya di Melaka dan kami bercerita lagi. Daripada perbualan kami itu ternyata Jamal masih juga tidak luntur minat untuk terus menulis. Malah menurutnya, kini dia menjadi penulis bebas untuk majalah dan akhbar, terutama di Indonesia.

Dia bercerita tentang nasib karyanya yang kekurangan dana untuk penerbitan. Katanya, buku Jejak-Jejak Ke Tanah Haram diterbitkannya dengan dana terhad sehingga dengan demikian "edarannya juga terhad". Begitu juga dengan bukunya "UMNO Melaka Kumpulan 11". Barangkali dia menerbitkan buku-bukunya sendiri melalui tajaan orang perorangan. Barangkali juga dia memikirkan bahawa untuk menerbitkan buku-bukunya oleh penerbit-penerbit bona-fide tentu memakan tempoh lama. Dia tidak sanggup menunggu lama ketimbang isu yang dikemukakan adalah bersifat semasa.

Yang mengkagumkan saya tentang Jamal ini ialah kegiatannya dalam pelbagai bidang penulisan - cetak dan elektronik. Dia menulis untuk media cetak dan juga media elektronik. Dia menulis rencana sebagai penulis bebas untuk akhbar tempatan seperti Berita Harian, Utusan Malaysia dan Utusan Melayu, kebanyakannya dalam bentuk kisah berita dan berita rencana. Dan di media elektronik dia pernah satu ketika dahulu menjadi penulis ruangan "Sinar Desa" terbitan Radio Malaysia, kelolaan Majid Kayat. Jamal mula menulis ketika masih bersekolah dalam tahun 1962. Tulisan pertamanya ialah "Melaka Dahulu Kala". Sejak tulisan pertamanya itu dia tidak lagi menoleh ke belakang sehingga hari ini dengan usianya menjangkau 53 tahun 16 Oktober depan.

Jamal masuk dunia persuratan, khususnya persuratkhabaran melalui satu peristiwa menarik yang baginya tidak akan mudah dilupakan. Peristiwa itu menyangkut namanya "Jamal Shah". Nama ini bukan nama sebenarnya kerana namanya, kalau mengikut kad pengenalan rasmi ialah Mat Jamal bin Abu Sah. Dia bercerita "nama Jamal Shah bukanlah saya cipta sendiri tetapi ia adalah hasil tulisan pertama saya  yang disiarkan dalam Berita Minggu." Menurutnya tulisannya berjudul "Menanti Di Ambang Syurga", iaitu sebuah rencana tentang drama yang dipentaskan oleh Persatuan  Belia Angkatan Seni Remaja Ujung Pasir. Ketika itu pengarang Berita Minggu ialah A. Samad Ismaiil (kini Tan Sri). "Samad Ismaillah yang mencipta nama Jamal Shah," katanya. 

Ciptaan A. Samad Ismail ini melekat sampai hari ini. Malah, nama Jamal Shah semacam sudah sebati dengan jiwa dan orangnya. Orang tidak akan kenal siapa Mat Jamal Abu Sah, kecuali barangkali keluarga dan kawan-kawan sekampung terdekat. Dalam dunia persuratan siapa tak kenal Jamal Shah, penulis rencana berita yang gigih, satu ketika dulu, yang punya "dateline" Melaka.

Untuk mengetahui selok-belok penulisan kisah berita dan rencana berita Jamal mengikuti kursus kewartawanan di South East Asia Press Center di Kuala Lumpur pada tahun 1982. Dan dalam penulisan dia menggunakan beberapa nama samaran seperti A.S. Jaha, Yukri Ananda, Awang Cik Tunggal dan Jamal Shah sendiri. Namun nama terakhir itulah yang masih melekap di dada surat khabar dan majalah.

Jamal sebenarnya merupakan seorang aktivis dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO), khususnya pertubuhan belia. Dia anggota aktif dalam Angkatan Seri Remaja Ujong Pasir dan Pergerakan Belia 4B Malaysia. Disebabkan kegiatannya itu dia pernah dihantar ke Jerman untuk mengikuti kursus lanjutan  belia anjuran Friedrich Ebert Stiftung dan ke Singapura  anjuran People's Association. Keterlibatan aktifnya dalam bidang belia ini turut membawanya berkunjung ke London, Kanada, Kuwait dan Indonesia.

Kurang jelas apakah Jamal masih terus aktif dalam bidang ini kerana melihat usianya yang sudah melewati setengah abad, ada  kemungkinan kegiatan itu telah banyak dikurangi. Biasanya orang masih aktif dalam persatuan belia jika usianya di bawah 40 tahun. Namun mana tahu pengalaman Jamal masih diperlukan mengingat pengalaman luas dan kematangannya dalam mengurus persatuan belia dan kumpulan anak-anak muda yang lain.

Berani saya katakan bahwa Jamal Shah tidak pernah bertugas luar dari Melaka. Bukan itu sahaja malah alam persekolahannya sejak kecil masih di bawah langit  bumi Hang Tuah itu. Misalnya, tahun 1953 dia belajar di Sekolah Melayu Merlimau. Setelah itu dia pindah belajar di Sekolah Melayu Ujong Pasir dan akahirnya dia melanjutkan pelajaran di Sekolah Anglo-Chinese, Melaka. Pada tahun-tahun 1970an dia menulis dari Melaka, tahun 1980an di menulis juga dari Melaka dan kini tahhun 1990an, dia tetap mengirimkan karyanya dalam bentuk rencana berita dari Melaka.

Ramai penulis lebih daripada faham akan negeri Melaka mempunyai banyak persatuan penulis. Malah ada yang kurang mengerti pula mengapa Melaka, salah sebuah sebuah negeri yang terkecil di Malaysia mempunyai begitu banyak persatuan penulis. Negeri jirannya Johor, cuma ada satu atau dua persatuan penulis iaitu Persatuan Penulis Johor (PPJ) dan  Lembaga Bahasa Melayu Muar, sementara Negeri Sembilan juga dua, iaitu Persatuan penulis Negeri Sembilan (PEN) dan Persatuan Penulis Sastera Negeri Sembilan (PESAN). Berbanding jumlah penduduk atau jumlah penulis dan peminat sastera yang lain, kedua-dua negeri jiran Melaka ini jauh lebih banyak.

Masih saya ingat tentang jemputan Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia, Cawangan Daerah Melaka Tengah pada Januari 1982. Saya dan Maarof Saad telah diundang untuk mengambil bahagian dalam Bengkel Penulisan Karyawarta MAYC Melaka Tengah sebagai ahli panel satu forum yang bertajuk "Ke arah pembentukan  sebuah badan penulis  yang tunggal di Negeri Melaka." Kami juga diminta memberikan ceramah atas tajuk "penulisan rencana termasuk rencana sastera." Surat jemputan ditandatangani oleh pengerusi bengkel Ahmad Hj. Taib.

Saya percaya Jamal Shah memainkan peranan juga dalam perjalanan bengkel ini kerana ketika dua hari di Tapian Gelanggang, Air Keroh, Jamal tetap ada bersama. Bidang belia dan persuratan yang dia ceburi menambah kepercayaan saya itu. Saya tidak beberapa ingat apa yang saya perkatakan di forum malam itu. Begitu juga dengan apa yang diperkatakan Maarof. Tetapi satu yang jelas ialah pertanyaan peserta "Mengapa Melaka yang kecil dan tidak ramai penduduk, khususnya penulis, mempunyai begitu banyak persatuan penulis, iaitu empat buah?"

Jamal bercerita kepada saya beberapa bulan yang lalu. Katanya, dia, Ajikik (Ismail Ahmad), Salim kassim, Noor S.M., Kou Yok Liong dan beberapa teman penulis yang lain berusaha menubuhkan  sebuah persatuan penulis negeri Melaka. Persatuan itu kini dikenali dengan nama Persatuan Penulis Melaka (PANAMA). Penubuhannya dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, Hj Talib Karim di Dewan Undangan Negeri Melaka pada 4 Oktober 1969. Jamal sendiri pernah dua kali menjadi setiausaha PANAMA.

Di samping PANAMA ada pula persatuan penulis Ikatan Persuratan Melayu Melaka (IPM), Lembaga Bahasa Melayu Melaka (LBM) dan Tun Sri Lanang. Pada tahun 1980an, Jamal dikatakan kurang persefahaman dengan ahli jawatankuasa PANAMA, lalu meninggalkan persatuan untuk menganggotai Lembaga Bahasa Melayu Melaka (LBM) dan menduduki kursi ahli jawatankuasanya. Melaui LBM ini Jamal semakin mendekatkan dirinya dengan kegiatan Gapena dan melalui LBM juga Jamal dihantar mengikuti pelbagai kursus, seminar dan simposium terutama di Kuala Lumpur.

Ada yang berkata Jamal punya potensi menjadi salah seorang pemimpin persatuan penulis. Pengalaman luas dalam gerakan belia dan badan NGO lainnya merupakan aset yang boleh dimanfaatkan. Potensinya untuk kemungkinan mencantumkan semua badan penulis di Melaka itu amat besar. Sebabnya Jamal juga mempunyai pengalaman mencurahkan khidmat dalam dua persatuan, iaitu PANAMA dan kini LBM. Saya kira Jamal mesra dengan pemimpin empat persatuan penulis ini dan merupakan orang penghubung terbaik untuk melihart kemungkinan mengurangi jumlah persatuan penulis ini. PANAMA kini diketuai Othman Muhamad, LBM oleh Prof. Madya Dato' Dr. Abd. Latif Bakar, IPM oleh Hj Mokhtar Yassin sementara Tun Sri Lanang kurang mahfum siapa ketuanya atau apakah ianya masih wujud.

Saya kira Jamal masih mesra dengan ketiga-tiga ketua I ini. Bagi Jamal mereka pejuang-pejuang kesusasteraan yang telah tahan diiuji zaman seperti halnya Jamal sendiri. Jamal tak berat mulut dan sebarang inisiatif darinya ke arah penyatuan keempat-empat persatuan itu ada baiknya diberikan pertimbangan. Jika hal ini dapat dimulakan dan Jamal menjadi orang penghubung, mana tahu suatu waktu terdekat ini Gapena akan dipaksa menimbangkan semula keahlian tiga persatuan penulis Melaka untuk digabungkan menjadi satu. Dan saya yakin, walaupun bunyinya mudah, tetapi sebarang kejayaan menyatukan penulis Melaka akan mengurangkan kata-kata perli penulis-penulis luar Melaka yang sering kita dengar suatu waktu dahulu dan juga sekarang: " Di Melaka lebih banyak persatuan penulis daripada penulisnya sendiri."

Andainya usaha menyatukan penulis Melaka ini di bawah satu bumbung persatuan, maka Jamal Shah yang menjadi penggerak dan penghubung akan menjadi aktivis NGO yang paling berjaya di Melaka. Dan jangan lupa Jamal masih terus aktif menulis, terutama dalam bidang rencana berita. Katanya, "Saya sekarang sedang menyiapkan Gugurnya Sebutir Bintang." Bunyinya semacam karya fiksyen, tetapi mana tahu ia sebuah karya biografi! 
 
A.F.Yassin
24 September 1999.
 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

What Other People Say...


"A.F.Yassin dalam cerpennya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).