Rombongan PAPTI yang diketuai Presidennya, Dato' Mohamad Rahmat semasa sarapan pagi di Hotel Mandarin, Jakarta, awal 1980-an. Rombongan ahli-ahli Jawatankuasa PAPTI itu adalah dalam rangka "fact-finding mission ke Jakarta, Bandung dan Jogjakarta untuk mengatasi masalah pelajar Malaysia di Indonesia. Masalah yang tak selesai-selesai sejak tahun tahun 1960-an lagi.
Lelucon dan hilaian ketawa yang memecah kesunyian malam di Pusat Pelajar Malaysia (PPM) di Bandung tidak dapat menandingi betapa seriusnya persoalan yang dihadapi oleh para mahasiswa Malaysia di Indonesia ketika ini. Hinggakan anggota Panitia yang dibentuk khas oleh Duta Besar Malaysia di Indonesia untuk menyiasat masalah pelajar ‘pening” memikirkan apakah mahasiswa Malaysia di Indonesia selama ini belajar sambil memikul beban masalah demi masalah.
Bagi mahasiswa ini sahaja jalan terakhir untuk mreka menarik perhatian pihak yang bertanggungjawab, terutama kerajaan sendiri supaya cuba melihat problem yang dihadapi oleh mahasiswa Malaysia di Indonesia dengan perspektif yang betul. Bagaimanapun, soal biasiswalah yang mula-mula jadi sasaran. Hampir seluruh mahasiswa yang menerima biasiswa kerajaan sebulat tekad menjelaskan bahawa jumlah yang mereka peroleh satu-satu bulan tidak mencukupi memandangkan kos hidup yang semakin melambung dua tiga tahun terakhir ini.
Pada bulan Mac lalu, seramai 12 orang mahasiswa private telah ditemu duga oleh JPMI, Jakarta untuk permohonan biasiswa. Mereka terdiri daripada mahasiswa-mahasiswa IKIP dan Universitas Padjadjaran yang telah menunjukkan kelulusan yang baik dan layak menerima biasiswa. Tetapi, mengikut salah seorang pemohon, yang sekarang dalam tahun akhir, hingga ke hari ini belum diterima jawapan apakah mereka berjaya atau sebaliknya. Kelambatan menjawab dari pihak JPMI sungguh menghampakan mereka kerana dalam keadaan hidup yang terdesak mereka pasti kurang dapat menyempurnakan perkuliahan dengan baik.
Fasilitas meminjam memang diberikan kepada mahasiswa yang menerima biasiswa kerajaan, terutama yang menyangkut pembayaran sewa rumah. Tetapi untuk mendapatkan pinjaman itu para mahasisa dikatakan “terpaksa menghadapi berbagai soalan yang kadang-kadang menyakitkan hati hingga kalau tak kuat mental enggak tahu apa akan jadi.” Kadang-kadang keputusan pinjaman itu tidak diberikan pada hari itu juga. Pmohon terpaksa datang lagi di waktu yang lain. Tanya mahasiswa, “ Apa halnya dengan mahasiswa yang belajar di Bandung, Jogjakarta atau Surabaya? Bukankah untuk datang beberapa kali ke Jakarta memerlukan waktu dan wang?”Masalah ini tidak timbul satu masa dulu bagi mahasiswa kerajaan tetapi sekarang hampir semua mahasiswa baru angkatan 1976 mengalami kesulitan mendapatkan visa pelajar untuk tiga atau empat tahun. Malah ada setengah-setengahnya diperlukan pulang selepas tiga bulan untuk mengambil visa pelajar di KBRI di Kuala Lumpur.
Mengikut salah seorang mahasiswaa private, beliau terpaksa menunggu lima bulan untuk mendapatkan KIMS dan selama itu beliau terpaksa memperpanjang tempoh visa kunjungannya bulan ke bulan. Sekali diperpanjang beliau harus membayar Rp 9,000 ($55) untuk wang stemnya, padahal stem yang digunakan cuma berharga Rp 1000. ($6). Maka di sini harapan mahasiswa kepada kerajaan adalah pada masa akan datang baik pelajar yang menerima biasiswa atau yang datang secara persendirian harus melengkapkan dahulu dokumen imigrasi seperti visa pelajar dan segala sebelum berangkat ke Jakarta. Ini tentunya akan memudahkan pross mendapatkan KIMS di Jakarta. Dan proses mendapatkan KIMS memerlukan komitmen pihak JPMI dengan menanganinya secara lebih efisien lagi.(A.F.Yassin.Dipetik dari akhbar Utusan Malaysia, 24 Mei 1976).